T. Alias Taib
MUKA DEPAN | BIODATA | SENARAI KARYA | KARYA PILIHAN | ANUGERAH | GALERI GAMBAR

 

BIODATA

 

Lahir : 20 Februari 1943 (di Kuala Terengganu);  Meninggal dunia : 17 Ogos 2004 (di Kuala Lumpur)

Tengku Alias Taib (lebih dikenali sebagai penyair T. Alias Taib), anak Terengganu tulen, didewasakan oleh angin Laut China Selatan, nasi dagang, dan keropok.  Semenjak mengangkat pena pada 1960, dia tidak menoleh ke belakang lagi dan terus menulis sehingga akhir hayatnya.  Beliau menulis puisi, cerpen, esei, pantun, renungan (quotation), dan terjemahan.  Buku kumpulan puisinya yang telah terbit ialah Laut Tak Biru Di Seberang Takir (1972), Pemburu Kota (1978), Seberkas Kunci (1985), Opera (1988), Piramid (1990), Petang Condong (1996), dan Pasar Pengalaman (2004).

Selama 43 tahun T. Alias Taib meneruskan langkahnya dengan penuh tanggungjawab, sabar, dan yakin; mencari makna hidup di luar dan dalam dirinya, melebarkan cakerawala pengalaman dan pemikirannya di dalam dan luar tanahair.  Pada 1986, T. Alias menghadiri Seoul Asian Poets Conference di Seoul, Korea Selatan; pada 1989 dia mengikuti penataran sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Jakarta, Indonesia; pada 1994 dan 1995, dia mengikuti delegasi Persatuan Penulis Nasional (PENA) ke London, Paris, Frankfurt, Istanbul, Amman, dan Kaherah.  Pada 2001, beliau dilantik writer-in-residence di Taipei, Taiwan, dan sekali gus mewakili Malaysia dalam Taipei 2001 International Poetry Festival (Festival Puisi Antarabangsa Taipei 2001).

Tanggapan dan pemikiran T. Alias Taib tentang kehidupan sering dikaitkan dengan puisi.  Keakraban dan kesebatian penyair prolifik ini dengan puisi sudah lama diketahui umum.  Tidak ramai yang tahu beliau juga menghasilkan tulisan berbentuk kreatif dan bukan kreatif yang lain: esei, cerpen, puisi, dan madah.  Bentuk tulisan yang rencam ini jelas memperlihatkan keupayaan penyair ini mempertahankan disiplin, komitmen, serta kesungguhannya memperluaskan pengucapan.

Karya terbaru beliau yang sedanga diproses untuk terbitan ialah Kumpulan Pantun dan Renungan dan Selected Poems (kumpulan puisi pilihan yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Eddin Khoo).

–– Diadaptasi dari kulit belakang buku Di Sisi Pelita Minyak Tanah (Zebra Editions, 2003) yang merupakan koleksi esei, cerpen, puisi, dan madah tulisan T. Alias Taib. (Besar kemungkinan versi asalnya ditulis oleh T. Alias sendiri).

WAB/7.11.04

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

 
 

T. ALIAS TAIB DAN KARYA SIBER

Oleh: Irwan Abu Bakar



"Dengan rendah diri dan sukacitanya saya menerima..."

Itulah kandungan utama surat yang saya terima daripada penyair mapan T. Alias Taib sebelum kembalinya ke rahmatullah. Suratnya itu bertarikh 30 Julai 2004, iaitu 18 hari sebelum beliau meninggal dunia.  Beliau menjawab surat saya yang "dengan sukacita dan rendah diri" mengundang beliau untuk menjadi Ahli Kehormat bagi komuniti esastera.com. Dengan penerimaan itu, beliau menjadi orang kedua setakat ini yang telah dipelawa ke kedudukan itu. Orang yang pertama ialah Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said.  Ahli Kehormat esastera.com diberikan kepada "individu yang telah memberi galakan dan sokongan yang bermakna kepada perkembangan sastera Melayu di alam siber".

Ditakdirkan Allah, saya menjadi agak rapat dengan T. Alias dalam setahun kebelakangan ini. Sebab pertama kami menjadi agak rapat ialah kerana urusan sastera. Sebab utama, beliau ialah seorang yang memang ramah, tidak sombong, dan baik hati.

Pertama kali saya bekerja rapat dengannya kerana beliau menyediakan prakata untuk antologi puisi saya, Semelar (kAPAS Publication, 2003). Selepas itu, kerja-kerja berkaitan dengan Hadiah eSastera.com, iaitu anugerah untuk sajak
dan sajak jenaka (sajen) yang disiarkan di majalah elektronik esastera.com sepanjang tahun 2003.  Kerana urusan itu, kami beberapa kali sempat makan-makan di coffee house sebuah hotel di Kuala Lumpur  dan minum teh tarik "kaw"
kegemaran beliau di warung dan restoran tepi jalan.

Saya agak terperanjat apabila mendapati bahawa beliau tidak kekok dengan karya siber walaupun beliau tidak begitu mahir dengan hal-hal yang berkaitan dengan internet. Apabila saya tunjukkan kepadanya majalah esastera.com di komputer di rumah saya, beliau menelitinya dengan yakin dan selesa.  Malah beliau memuji dan memberi apresiasi. Saya katakan yang saya main-main sahaja dengan projek itu.  Namun katanya, "Ini serius... serius..." apabila ditunjukkan kandungan majalah itu yang  merangkumi pantun dan padah kerana pada masa itu beliau memang sedang menumpukan penulisan kepada "madah" dan rajin pula menulis pantun.

T. Alias saya pelawa untuk menjadi pengadil bagi Hadiah eSastera.com 2003. Itulah penglibatan pertama beliau secara serius dengan hal-hal penerbitan di internet. Dia mengadili sajak-sajak dan sajak-sajak jenaka (sajen) yang
disiarkan oleh ahli-ahlil untuk Augerah Penyair Alam Siber dan Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber, dua anugerah yang telah disediakan untuk Hadiah Esastera.com 2003 itu. Di samping itu, beliau juga menentukan pemenang bagi sayembara menulis puisi pada talian yang kami adakan dari semasa ke semasa. Sungguh tekun
dia mengkaji bahan-bahan yang saya berikan kepadanya dalam bentuk cetakan keras. Namun dia memang menyedari sepenuhnya bahawa karya-karya itu ialah terbitan di alam siber.

Kemudiannya, T. Alias telah menjadi orang yang pertama menerima pelawaan saya untuk menganggotai panel editor jemputan (penilai) bagi majalah baru Bulanan eSastera, ringkasnya BESt, yang saya rancangkan.  Beliau menerima pelawaan iatu melalui telefon.  Pada mulanya majalah itu dirancang untuk diterbitkan pada 1 Ogos tetapi kemudiannya ditangguhkan kepada 31 Ogos sempena dengan sambutan kemerdekaan Malaysia ke-47. Penangguhan itu menyebabkan T. Alias tidak sempat melihat kelahiran majalah yang sangat disokongnya itu. Begitulah kehendak
Ilahi.

Pada suatu hari, T. Alias telah membawa koleksi madah barunya semasa bertandang ke rumah saya.  Saya beritahunya bahawa saya boleh menyiarkan karyanya itu di majalah esastera.com, jika dia bersetuju.  Dia memberikan persetujuannya. Setelah dipunggahnaikkan (up-load), saya buka kembali dan tunjukkan kepadanya. 
Beliau kelihatan amat gembira dan bangga, terutamanya apabila saya tegaskan bahawa, dalam beberapa minit itu, karya tersebut telah boleh diakses oleh sesiapa sahaja dari seluruh pelosok dunia.

Pada suatu hari yang lain, seorang ahli esastera.com telah menuduh seorang ahli yang lain menciplak karya A. Ghaffar Ibrahim apabila menulis sajaknya dengan menggunakan ungkapan "tak tun".  Berlaku polemik hangat di laman web itu. 
Kebetulan T. Alias datang ke kampus Universiti Malaya untuk suatu tujuan rasmi. Saya bawa T. Alias pulang ke rumah saya dan merujukkan kes itu kepadanya.  Beliau telah memberikan pendapatnya untuk meleraikan kontroversi itu.  Saya melihat hal ini sebagai penglibatan penting beliau dalam hal-hal yang berlaku di alam siber.

Sokongan T. Alias terhadap kegiatan eSastera.com dan kemudiannya majalah BESt merupakan manifestasi tentang keprihatinannya dan apresiasinya terhadap perkembangan karya sastera di alam siber.  Beliau amat memahami kehendak "generasi siber" untuk mendapatkan definisi baru terhadap karya sastera.

Kerana beliau telah menerima perlantikan sebagai Ahli Kehormat esastera.com, saya telah mula menyediakan sebuah laman web untuk T. Alais Taib di esastera.com/taliastaib.  Saya baru sempat menyediakan kerangkanya dan memasukkan gambarnya di halaman depan laman web itu. Hal ini sengaja saya segerakan kerana
mahu memberitahu kepadanya di majlis perkahwinan anaknya pada 15 Ogos 2004.  Namun saya terlupa dan beliau tidak pernah tahu bahawa sebuah laman web peribadi sedang disediakan untuknya.  Saya berazam untuk terus membangunkan laman web itu walaupun kini beliau sudah tiada.  Dalam pertemuan yang sama,
saya sempat menghadiahkan kepadanya senaskhah e-novel Hostel: Debaran Kedua.  Pada masa itu, buku itu baru kira-kira sepuluh hari saya terima daripada pencetak tetapi sengaja saya bawa ke majlis perkahwinan anaknya kerana beliau telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap projek penulisan novel di internet itu.  Beliau sentiasa membandingkannya dengan tradisi yang diamalkan oleh orang Jepun dalam membina puisi secara bersambung-sambung, seorang demi seorang.

Penglibatan dan minat T. Alias terhadap karya siber merapatkan beliau secara perlahan-lahan dengan medium internet. Dengan bantuan anaknya, beliau mula menggunakan emel.  Pada pertemuan saya yang terakhir dengannya, dua hari
sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah menegaskan bahawa alamat emel yang diberikannya kepada saya tidak lama sebelum itu, adalah aktif.  Sayang, saya tidak sempat menghantar sebarang emel kepadanya atau menerimanya daripadanya.

"Semoga impian sdr akan menjadi kenyataan."

Itulah ayat terakhir dalam suratnya kepada saya bertarik 30 Julai 2004.  Itulah doanya untuk saya.  Dan sewaktu menuliskan doa itu, saya yakin dia merujuk kepada "impian" saya untuk memajukan sastera Melayu di alam siber.

Kalaulah ia laut, maka bidang penulisan ialah lautan yang amat luas. Dan menjadi lautan tidak bertepi apabila masuk ke dunia siber. Saya pelayar yang kecil lagi kerdil. Kekadang berasa amat keseorangan dan kesunyian. Sentiasa
kecut dan dihambat takut. Sentiasa lemah dan lemas. Namun apabila penulis mapan seperti T. Alias datang bertanya khabar, semangat saya menjadi berkobar-kobar. Timbul kekuatan mengembang layar dan tidak akan saya lupa akan catatan tulisan tangan yang dibuatnya pada naskhah terjemahan Inggeris puisinya yang dihadiahkannya kepada saya beberapa bulan yang lalu: "Wan, never look back".   DS.

(Dewan Sastera, November 2004)


T. Alias Taib di Malam Hadiah eSastera.com 2003 (Gambar Fail)