TAJ MAHAL KATA
HALAMAN 2

 

SYAIR CINTAKU PADAMU

Dengarlah puan saya berperi
kisah cintaku di sanubari
makin bertambah setiap hari
padamu dinda wanita bestari.

Dari mula bertemu mata
hatiku resah tidak terkata
pada dirimu kujatuh cinta
engkaulah intan engaku permata.

Apabila engkau berkata iya
indahnya kurasa alam dan maya
ingin kudakap sedaya daya
engkau dimiliki penuh bergaya.

Semakin pandang semakin cantik
walau dirimu dah lama kupetik
tak pernah jemu walau sedetik
kasih tak susut walau setitik.

Hidup kita semasa bersama
bagaikan syurga datang menjelma
riang di hati riang di sukma
kekallah begini selama-lama.

Kuala Lumpur, 5.12.2003

 

Kembali Ke Muka Depan

 

SEKUNTUM MAWAR BUATMU CIKGU

Buat cikgu yang merenung mataku
walau di barisan murid seribu
dan membaca tulisanku
dalam timbunan esei murid di ribaan
dan mengesat air mataku
dalam esakan murid berpuluhan
dan membelai hatiku
walau murid merayu beratusan
dan mengajarku erti cinta
walau di luar kurikulum yang ada.

Selamat hari guru, terima kasih cikgu
dalam buku rekod cintamu di hati
kau beri padaku markah yang tinggi.

Terimalah ini sekuntum mawar
dari hati seorang suami
aku murid yang sentiasa mengagumi.

Indah kelopak dan wangi semerbak
mawar membawa 100 markah
untukmu
setelah kusemak setiap gerak.

irwan abu bakar
kuala lumpur, 15.05.2004
 

 
  

 

SAJAK PANJANG BUAT KEKASIH

Sejak aku berkata cinta dan engkau berkata ya
dunia tidak lagi serupa dan aku tidak lagi serupa
dengan sedar, dengan rela, dengan suka, penuh bahagia
kukorbankan kebebasan diri demi suatu perkongsian hati.

Engkau mawar mewangi terus mekar di taman hati
engkau mawar berduri sesekala mencucuk manja di sanubari
namun kebersamaan menuntut pengertian, menuntut pengorbanan
elusan wangi dan cucukan duri mengukuh ikatan sepasang hati.

Engkau dan aku sungguh bahagia, hidup kita riang sentiasa
sesekali bercumbu, sesekali bersengketa, sesekali kita berdansa
namun hatiku milikmu sahaja dan hatimu miliku sahaja
ombak badai datang melanda, biduk kita berlayar jua.

Pagi ini aku bermimpi dengan suatu mimpi yang ngeri
mukamu berpaling dan senyummu terlontar ke lain
terhantar senyumanmu itu kepada penghuni rimba
yang memang berkeliaran menanti mangsa yang terleka.

Mungkin engkau terlupa, tersilap langkah, atau mengapa
tidak dapat kuterka kerana rahsia hatimu engkau yang punya
hatiku resah, jiwaku gelisah, duniaku menjadi susah
air mata menjujuh selebat hujan tengkujuh dan tidak mahu teduh-teduh.

Kembalilah sayang, kembali bersamaku seperti biasa
biar terus kuramas jejarimu yang lembut dan pipimu kukucup
biar senyummu, jelingmu, dan cebik bibirmu terus menghias
dunia bahagia yang selama ini kita cipta bersama, begitu kukata.

Tersedar aku dari mimpi engkau bersimpuh tersenyum di sisi
cis, celakanya mimpi ngeri yang menyentap riaku sekejap!
namun hatiku semakin cinta, mimpi ngeri membawa berita
betapa sekeping hati akan parah jika cintamu berubah arah.

Mari kupimpin tanganmu kita bercanda di syurga dunia
engkau dan aku sahaja dan tiada lagi sesiapa
kita rungkaikan rasa kasih dan cinta di hati
kita deraikan gelak suka sepuas rasa.

Engkau dan aku biarlah bersama terus bersama
ke akhir waktu kita berdua menghirup suka
madu dunia racun dunia kita rasa biar berdua
biar tiada ceritera dunia yang dapat menggoda duga.

Andai ditakdiri engkau pergi dipanggil Ilahi
tiada apa daya, aku reda, hanya mampu berdoa
kerana yang memanggil itu Kekasihmu, Kekasihku jua
Kekasih Agung tempat cinta kita bertakhta
namun hatiku berduka pilu melagu rindu
dan aku tetap setia dengan cinta, engkau tak kulupa.

Sayang,
inilah ungkapan cinta setia, jangan kaupermain jangan kauragu
"aku cinta padamu, padamu, padamu, dan padamu."

Sayang,
biarlah kulontarkan kepadamu sebuah janji cinta sejati
tidak akan kucari ganti walaupun engkau tiada lagi.

irwan abu bakar
kuala lumpur, 15.09.2004