editorial ini diganti setiap Ahad bermula 28.11.2004        



Editor sasteraSMS

Amir Mukhriz

 

 ARKIB EDITORIAL

sastera SMS    Editorial 19    Ahad 10 April 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

KESERONOKAN SEORANG PENULIS

Seronokkah menjadi penulis? Bergelumang dengan buku yang memenuhi bilik tetapi tidak semua habis dibaca, termenung menunggu ilham jatuh ke riba, meracau seorang diri bait-bait puisi yang begitu sukar untuk dilahirkan, dan akhirnya menunggu berbulan-bulan untuk melihat karya (yang sukar untuk dilahirkan tadi) terbit di dada akhbar atau majalah.

 

            Ironi kepada gambaran di atas, menjadi penulis boleh sahaja diterjemah kepada satu kehidupan yang amat menyeronokkan dan begitu unik sehingga tidak mampu dikecap semua individu. Mengapa seronok? Ketepikan soal wang ringgit atau penerbitan karya di media cetak, seorang penulis itu akan merasa puas apabila mampu untuk membebaskan apa yang terbuku di hatinya dengan hanya berkarya. Masalah diri, ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara, atau kekurangan peribadi untuk bersuara secara lisan dalam menyatakan pendapat, boleh sahaja diterjemah kepada teks. Nah, bukankah itu sesuatu yang seronok?

 

Difokuskan kepada masalah di dalam diri, rata-rata pakar motivasi bersetuju, sesuatu masalah itu bukan untuk dipendam, bukan untuk dijeruk hingga sampai ke satu tahap masalah itu enak untuk diratah, itu bukan layanan sepatutnya kepada masalah. Tetapi masalah adalah untuk diluahkan, dan sastera menyediakan medan yang sangat luas bagi tujuan tersebut.

 

Lebih menarik lagi, penulis bukan sahaja terbatas kepada meluahkan masalah peribadinya sendiri, malah lebih jauh daripada itu, menolong menyalin masalah yang ditanggung manusia lain ke dalam karya-karyanya. Anda akan merasa puas apabila membaca kehidupan golongan marhaen di dalam cerpen-cerpen di akhbar hujung minggu, dan anda akan berkata, “inilah yang aku mahukan, cerita yang ikhlas menggambarkan perit dan jerih masyarakat kita,”. Jika bukan anda sekalipun, sekurang-kurangnya yang akan berkata demikian adalah mereka yang sudah muak menonton dialog berkisar projek-projek jutaan ringgit di dalam slot Samarinda (saya seronok menulis ayat ini).

 

Ada dikalangan rakan penulis yang hilang keseronokannya di dunia sastera kerana terikat dengan tuntutan untuk menghasilkan karya yang baik. Baik dari segi apa? Mutu? Penilaian mutu itu sendiri pun bersifat subjektif. Atau baik kerana menyembunyikan kebenaran dan menonjolkan kebatilan? Jika inilah tuntutan yang dimaksudkan, maka selama-lamanyalah keseronokan sebenar seorang penulis itu tidak dapat dinikmati.

Jumpa lagi minggu hadapan, insya-Allah.

 

- Amir Mukhriz-
 

EDITORIAL | KOMEN | CERPEN | CERPEN BERSIRI | SAJAK | LELUCONTEKA-TEKI

HAIKU | NOVEL BERSIRI | PUJANGGA  | PANTUN | BERBALAS PANTUN | POEMS |  HOME

Anda pelawat ke- Hit Counter sejak 25.03.2005