RAJA RAJESWARI BIODATA

 
 

RAJA RAJESWARIBiodataKarya SasteraGaleri GambarAnugerah/Hadiah

 
 
 


 

Biodata

 

 

Raja Rajeswari Seetha Raman dilahirkan di Bagan Serai, Perak pada 19 Ogos 1961. Menerima pendidikan awal di SRJK (Inggeris), SMJK (Inggeris) Bagan Serai, Perak dan Sekolah Tinggi Chung Ling, Pulau Pinang. Mengikuti Kursus Perguruan Asas di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.  Berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu di SJK (Tamil) Ampang dan Sek. Keb. Selayang Jaya sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dari UPM.  Kini berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu di SMK Taman Ehsan, Kepong di samping menyambung pengajian peringkat sarjana di UPM.

 

Kelayakan Bahasa lain:
 

Boleh membaca dan menulis dalam bahasa Perancis dan Jawi dan memiliki sijil yang setara.

 

Pembabitan dalam Bidang Politik:

 

AJK MIC Cawangan Kampung Tasik Tambahan, Ampang pada tahun 1986 dan 1987. Menjadi Penolong Ketua Wanita MIC  Cawangan Kampung Tasik Tambahan, Ampang dari tahun 1988 hingga 1989.

 

Pembabitan dalam Penulisan Kreatif:
 

Mengikuti Kursus Penglahiran Bakat dan Karya Kreatif di UPM di bawah bimbingan sasterawan tersohor Pak Dharmawijaya dan sdr Lim Swee Tin. Menulis sajak dan cerpen dengan bimbingan mereka pada peringkat awal. Selepas itu menyertai Bengkel Deklamasi Puisi Artistik anjuran KALAM dan DBP di Port Dickson, Negeri Sembilan. Mendapat bimbingan daripada Prof. Rahman Shaari dan sdr AGI (Abdul Ghafar Ibrahim). Semasa menyertai Bengkel Penulisan Kreatif Puisi Selangor anjuran Akademi Seni Kebangsaan dan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Malaysia selama 5 hari di Genting Highlands, mendapat bimbingan daripada sdr A. Rahim Abdullah. Selain bimbingan secara formal dan sistematik yang diperoleh melalui penyertaan dalam beberapa siri bengkel, bimbingan informal serta motivasi  yang sering diterima daripada tokoh penyair Malaysia  seperti  Pak Arbak Othman, sdr Arifin Said, sdr Kemala, sdr T. Alias Taib , Prof. Madya Siti Zainon  serta rakan-rakan penyair  memberi inspirasi dan keyakinan kepada saya untuk terus menulis puisi . Manakala  dalam penulisan puisi-puisi Islam, saya mendapat bimbingan daripada pensyarah yang juga penyelia tesis sarjana saya iaitu Dr. Samsina Abd. Rahman, ustaz dan teman-teman yang akrab dengan saya. Malah sokongan padu daripada para editor majalah Islam  juga mendorong saya untuk menulis puisi bertema keagamaan  selain minat saya secara  peribadi.  Walau bagaimanapun wajar saya akui tanpa bimbingan dan kerjasama daripada guru-guru saya, pihak media dan editor, tidak mungkin saya dikenali oleh khalayak sastera. Malah pembabitan saya dalam persada sastera tanah air hanya diketahui oleh khalayak sastera  selepas saya mendaftar sebagai ahli PENA pada 1 Mac 2002. Seminggu selepas menjadi ahli  PENA, gambar saya yang pertama tersiar dalam ruangan Sastera dan Budaya akhbar Berita Harian. Selepas itu hampir setiap bulan  gambar dan tulisan mengenai saya disiarkan dalam akhbar Berita Harian. Promosi oleh  editor Berita Harian sdr Sutung Umar, kak Salbiah Ani, dan sdr Borhan Mohd Zain (Setiausaha PENA ketika itu) menyebabkan saya dikenali dengan cepat oleh khalayak sastera. Jasa mereka dan jasa semua pihak yang membantu mempromosi saya akanku kenang sehingga ke akhir hayat kerana tanpa mereka siapalah saya?

 

Bidang yang paling diminati ialah sajak dan rencana ilmiah walaupun pernah menulis esei dan cerpen. Wadah penerbitan sajak ialah Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Metro Ahad, Pentas Dunia, Wanita, Mingguan Wanita, URTV, Al-Islam, Anis, Dewan Agama & Falsafah dan Nur.

 

Sajak diterbitkan dalam Antologi  Anti-Perang Lakaran dan Puisi, Yayasan Kesenian Perak, 2003, Antologi Puisi Prahara di Padang Karbala 2003, dan APAS Antologi Puisi Pilihan Komuniti Penyair Alam Siber 2003.

 

Sajak “Monolog Buana Palestina” Dewan Sastera April: 2003 :91 telah dijadikan lagu puisi oleh DBP Cawangan Sarawak untuk program  “Malam Melambai Kedamaian Sejagat” pada tahun 2003.

 

Manakala cerpen kanak-kanak termuat dalam  Arca Cendekia Antologi Hari Guru 2003 terbitan Jabatan  Pendidikan Negeri Selangor.

 

Rencana tersiar dalam akhbar Berita Harian, majalah Pelita Bahasa dan Al-Islam.

 

Antara rencana yang tersiar adalah seperti yang berikut:
 

“Karya Penulis Kaum India diiktiraf”, dalam Berita Harian, 6 Feb. 1999.

“Nada-nada Islam dalam Sajak-sajak Joseph Selvam”,  Al-Islam, Sept. 2002.

“Sikap Endah Tidak Endah Bahasa Merugikan Siapa?” Pelita Bahasa, Ogos, 2003.

 “Kaedah Menjadikan Sastera Tidak Membosankan”, Dewan Sastera, Ogos 2003.

“Penterjemahan Memperkasa Khazanah  Sastera Kebangsaan”, Pelita Bahasa, Sept. 2003.

 

Wawancara oleh editor:
 

“Berkarya ikut Keserasian”, Metro Ahad,  9 Feb.2003.

“Seni Kecintaannya Menjangkaui  Batas Agama”,  Anis Jan. 2004.

 

Tulisan & gambar mengenai Raja Rajeswari Seetha Raman tersiar dalam akhbar dan majalah  yang berikut:

 

“Baca Puisi Pena Memikat”, Berita Harian 8 Mac 2002

“Baca Puisi Sinis Kuasai Pentas Baca Puisi Menara”, Berita Harian 27 April, 2002.

“Malam Tangisan Palestin: Yahudi Bangsa Terkutuk”, Berita Harian 7 Mei 2002

“Gendang perang untuk bahasa Melayu”,  Berita Harian, Jun. 2002.

Tokoh sasteradalam  Pentas Dunia  Bil. 136  Dis.2002

“Persada Puisi” Raja Rajeswari Seetha Raman,  dalam  Dewan Sastera Januari 2003: 99

“Temu “Penyair” Siber di Universiti Malaya, meriah …”, Pentas Dunia  Bil. 139 Jan. 2003.   

“Puisi Raja Rajeswari  Seetha Raman Memberi Keinsafan”, Anis Ogos 2003

 

Selain menghasilkan karya kreatif, turut terlibat dalam deklamasi puisi. Antara program yang telah disertai adalah seperti yang berikut:
 

  1. Baca puisi untuk “Ratib Seribu Syair” anjuran GAPENA pada 2-3 Nov. 2001

  2. Baca puisi di RTM pada 12 Feb.2001 dan 29 Jun 2002 bersama Pak Samad Said,   sdr Lim Swee Tin dan sdr Intan Marhayu.

  3. Baca puisi pada majlis penutupan program “Bengkel Deklamasi Puisi Artistik” di Port Dickson anjuran KALAM dan DBP pada 17 Mac.2002.

  4. Baca puisi di Menara Alor Setar pada 13 April  2002 anjuran PENA dan DBP.

  5. Baca puisi “Sempena Malam Tangisan Palestin” anjuran PENA, Berita Harian dan NSTP pada 3 Mei 2002 di Laman Pena.

  6. Baca puisi sempena “Malam Perjuangan Bahasa Kebangsaan” anjuran PENA pada 7 Jun 2002 di Laman Pena.

  7. Baca puisi pada majlis penutupan program “Bengkel Penulisan Kreatif Puisi, Selangor” anjuran Akademi Seni Kebangsaan dan Kementerian Kebudayaan  Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada 13 Sept. 2002.

  8. Baca puisi di Perkampungan Budaya Bintong, Perlis, Kangar pada 22 Ogos 2002. Wakil PENA.

  9. Baca Puisi di Dewan Za’ba FBMK UPM pada 1 Mac 2003 sempena Malam Puisi Gapura Perdamaian Sejagat anjuran Gapura Kreatif UPM, DBP, Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia dan Akademi Penyair Malaysia

  10. Baca Puisi  pada Malam Senandung Seni di Dataran Shah Alam pada 26 April 2003 anjuran  Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Bandar Raya Shah Alam, Sekretariat Seniman Selangor, Radio Malaysia Selangor dan Metro Ahad.

  11. Baca Puisi pada Majlis Pelancaran Sepetang Puisi di  Shah Alam pada 29 Jun 2003 di Laman Budaya Shah Alam

  12. Baca puisi pada Malam Puisi Perpaduan Sempena Festival Sastera Perpaduan Malaysia 2003  di Kota Kinabalu, Sabah pada 23 Ogos, 2003. Wakil PENA.

  13. Baca Puisi pada Majlis Penyampaian Hadiah  esastera.com pada 30 Ogos 2003 di Universiti Malaya.

 

Ahli:
PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia)

PPS (Persatuan Penulis Selangor)

3S (Sekretariat Seniman Selangor)

Komuniti Penyair Alam Siber

Komuniti Sastera Muzika