NIMOIZ T.Y ARTIKEL

1. Berkarya, Bakat atau minat?

2. Mengapa saya berkarya di laman ini 3. MPR Usaha Gilap Bakat Penulis Muda 4 PERTANDINGAN DIKIR BARAT IPTA KALI KE – VII 5. MALAM KEBUDAYAAN: MANIFESTASI PENGEKALAN BUDAYA
6. DS DAHULU DAN SEKARANG 7. PERLUNYA PENGLIBATAN PROFESIONAL 8. GEMA PUISI SEKTOR INDUSTRI DAN TEKNOLOGI 9. MALAM PATRIOTIK PERINGKAT KUiTTHO 2003 MERIAH 10. MENELUSURI MAKNA SAJEN
11. KEMBALIKAN ROH PUISI ISLAMIK DAN SUFISTIK        

 

 


 

11. KEMBALIKAN ROH PUISI ISLAMIK DAN SUFISTIK

 

 Oleh Nimoiz T.Y

 

 TERDAPAT empat dalil diutarakan oleh ahli falsafah (philosophers) tentang adanya Tuhan sebelum kelahiran Nabi Isa A.S dan Nabi Muhammad S.A.W. Dalil-dalil ini ialah dalil akal (Preuve Metaphisique), dalil alam/fizik (Preuve Phisique), dalil dari susunan dan keindahan alam (Preuve Teleologique) dan dalil moral atau akhlak (Preuve Morale). Selepas itu, manusia terus mengkaji untuk membenarkan dalil-dalil ini dan banyak perkembangan telah berlaku akibat impak naluri ingin tahu manusia.

 

Puisi-puisi keTuhanan juga turut berkembang dari semasa ke semasa. Dan dikatakan, puisi-puisi islamik dan sufistik telah bertapak sejak lama dahulu. Karya-karya Hamzah Fansuri masih lagi menjadi perbincangan sehingga kini. Misalnya Rubayat dan Syair Perahu. Amir Hamzah dengan Doa, Berdiri Aku dan Padamu Jua. Nama-nama lain seperti Jalaludin Rumi. Raja Ali Haji, Muhammad Iqbal, Haci Bayram Veli dan ramai lagi tidak ketinggalan. Lebih dekat, mengambil prospek perkembangan sastera di Indonesia (terutama dalam tahun 70-an), juga terdapat kecenderungan penyairnya memilih tema islamik dan sufistik. Misalnya, telah lahir beberapa tokoh seperti Sutardji Calzoum Bachri, Sapardi Djoko Domono dan para seniman lain seperti Putu Wijaya, Abdul Hadi W.M., Taufiq Ismail, dan Ikranagara. Malah di Malaysia sendiri telah lahir beberapa nama yang akrab dengan puisi islamik seperti Kemala, Shafie Abu Bakar, A. Aziz Deraman, Rahimidin Zahari dan lain-lain.

 

Retorik tentang sastera Islam tidak pernah berakhir. Bagaimanpun, polemik ini kadangkala tenggelam timbul juga. Paling terbaru, Dewan Sastera isu September 2004 memberi fokus kepada teori sastera Islam yang tenggelam timbul dengan hujahan pendapat oleh beberapa tokoh sastera iaitu Mana Sikana, Rahimah Haji A. Hamid, dan Jelani Harun. Ketidaksepakatan sama ada sastera Islam boleh digarap oleh penulis bukan Islam juga belum mencapai titik noktah.

 

Suatu ketika dahulu, khalayak sastera dikejutkan dengan sebuah cerpen yang temanya meniadakan Tuhan, yang ditulis oleh seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Ipoh, Perak. Tidak cukup dengan itu, dunia sastera dikejutkan juga dengan sebuah sajak berjudul Aku Tuhan, yang ditulis oleh seorang penuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI), yang barangkali terikut-ikut dengan Hamzah Fansuri. Di Singapura pula, seorang penulis telah terpengaruh dengan ideologi Karl Marx, lalu menulis sajak Agama Itu Candu. Kini pun, ada kecenderungan (terutama dari kalangan penulis muda remaja) memilih diksi atau sintaksis yang paradoks, misalnya Tuhan sudah lama mati, mengucup wajah Tuhan, akan kubunuh Tuhan dan sebagainya. Memang, apa yang ingin dimaksudkan dengan ungkapan misalnya akan kubunuh Tuhan ialah Tuhan dalam diri iaitu nafsu. Bagaimanapun, mampukah khalayak terutama golongan nonsastera memahami maksud tersirat yang bersifat ambiguiti?

 

Hal ini merupakan kes yang agak terpencil dan editor sebagai orang yang bertanggungjawab menyiarkan sesuatu karya tentu akan berfikir dua kali sebelum menyiarkannya. Walaupun ada hujahan untuk mempertahankan diri, secara peribadi, saya risau penulisnya (barangkali termasuk khalayak pembaca) akan terpesong akidahnya. Hal ini kerana, diksi-diksi sebegini adalah bersangkutan dengan ajaran akidah dan tauhid, yang tentunya tidak boleh dibuat main-main. Dalam Islam, kita tidak boleh menyamakan sesuatu dengan sifat, zat, atau asma’ Allah S.W.T. Tentang hakikat roh, Allah S.W.T. telah menegaskan akan ketidakmampuan akal manusia seperti firman-Nya; Mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit. (Al Isra’: 85).

 

Menyentuh soal agama, ada juga penulis yang memilih watak Yahudi sebagai protagonis (dengan sudut pandangan orang pertama, gaya aku), misalnya Azman Hussin dengan Tahun Depan di Jerusalem dan Ghafirah Idris dengan Eksperimen 5-S. Hal ini tidak menyalahi kerana penulisnya cuma ‘masuk’ ke dalam watak tersebut untuk menggarap sesuatu idealisme. Bukan masuk ke dalam zat Tuhan. Apa-apa sekalipun, paling penting, penulisnya mestilah tahu apa yang dia tulis dan bertanggungjawab atas apa yang dihasilkan. Bermakna, kebijaksanaan penulis membuat ending dengan merumuskan soal akhlak adalah perlu.

 

Dalam memperkatakan tentang puisi Islam, paling penting ialah takrifan puisi Islam itu sendiri. Menurut Dr. Haji Hashim Haji Abd.Hamid, Pengarah, Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (dalam periode kertas kerjanya - Puisi islam: Saranan Dakwah dan Ukhuwah Islamiah), puisi islam (sama ada puisi lama atau baru) ialah puisi atau sajak yang mengajak orang ke arah kebaikan dunia dan akhirat atau dengan kata yang lebih mudah, puisi Islam adalah yang mendendangkan/menyuarakan/mengajar/menganjurkan amar makruf dan nahi mungkar.

 

Definisi ini selaras dengan anjuran dalam Islam sendiri yang sentiasa mengajak manusia kepada jalan makruf dan mencegah mungkar. Islam tidak pernah melarang manusia untuk berpuisi. Malah, Allah S.W.T. telah mewahyukan kepada nabi Muhammad S.A.W Kitab suci Al-Quran, dengan bahasa yang unik dan puitis, dan tidak mampu dicapai oleh kemampuan kognitif manusia.

 

Dalam Al-Quran sendiri terdapat sebuah surah khusus untuk memperkatakan tentang Para Penyair, iaitu surah Asy-Syu’araa’: Surah ke-26. Surah ini mengandungi 227 ayat. Walaupun surah ini banyak memperihalkan akan kisah beberapa orang nabi dengan umatnya seperti Nabi Musa A.S., Nabi Ibrahim A.S., Nabi Nuh A.S., Nabi Hud A.S. dan lain-lain, paling menarik ialah kandungan penutup surah ini, iaitu dari ayat 224-227. Diperturunkan terjemahan ayat 224-227, Surah Asy-Syu’araa:

 

"Dan penyair-penyair itu diikuti orang-orang yang sesat (26:224); Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah (26:225); Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka suka menyatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya? (26:226); Kecuali orang-orang, yakni penyair-penyair, yang beriman dan beramal soleh dan menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali (26:227)."

 

Nabi Muhammad S.A.W. juga seorang yang suka kepada puisi. Sabda baginda: Dari Aisyah R.A, ia berkata: Rasulullah S.A.W. meletakkan sebuah mimbar di masjid untuk Hassan (Ibn Thabit) mengucapkan syair menentang ejekan kaum kafir terhadap baginda. Kemudian baginda bersabda: "Sesungguhnya Roh Al-Quddus bersama Hassan selama ia mempertahankan Rasulullah". Ketika menggali parit bersama para sahabat dalam peristiwa perang Ahzab, Nabi Muhammad S.A.W. sendiri pernah membacakan syair. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik dan juga Al-Barra’, Al-Barra’ menyatakan: "Dari Al-Barra’ ia berkata: Pada hari Ahzab Rasulullah menggali parit. Saya lihat baginda mengangkut tanah sehingga tertutup kulit perut baginda dengan tanah walhasil perut baginda berbulu lebat. Saya dengar baginda mengucapkan syair Ibn Rawahah sewaktu mengangkut tanah iaitu: "Wahai Tuhan, jika tidak kerana-Mu tidaklah kami mendapat hidayah. Tidaklah kami bersedekah dan bersembahyang. Kurniakanlah kami ketenangan, kukuhlah pendirian kami waktu berperang. Sesungguhnya, kepada kami mereka curang. Kami menolak fitnah yang mereka cetuskan."

 

Selain itu, Rasulullah juga suka mendengar syair gubahan Umaiyah Ibn Salt seperti dalam satu riwayat: "Dari Amr bin Syarid, dari bapanya, ia berkata: Saya menaiki unta di belakang Nabi pada suatu hari. Baginda bertanya kepada saya, Adakah kamu menghafal syair Umaiyah Ibn Salt? Jawabku: Ya. Sabda Baginda: Silakan. Saya pun membaca sebait. Baginda menyatakan lagi, lantas saya bacakan sebait lagi. Kemudian baginda meminta lagi, (akhirnya) saya bacakan kepada baginda hingga 100 bait." Bayangkan, Rasulullah sendiri yang meminta dan sanggup pula mendengar sehingga 100 bait.

 

Puisi Islam mempunyai beberapa ciri yang tersendiri. Menurut Dr. Haji Hashim Haji Abd.Hamid, ciri yang pertama ialah: puisi mestilah ditulis oleh orang Islam yang benar-benar tahu bahawa mereka adalah khalifah di atas muka bumi. Yang kedua: puisi tersebut mestilah mendorong manusia untuk melakukan amar maaruf dan nahi mungkar. Yang ketiga: puisi mestilah mendorong menegakkan yang halal, benar, dan mengharamkan yang batil/haram. Yang keempat: puisi itu mestilah menegakkan ajaran Allah. Yang kelima: puisi mestilah mendorong lahirnya masyarakat yang adil dan makmur. Dan yang keenam: puisi mestilah mengesan bahawa orang jahat tidak ada jalan untuk hidup. Jika ada pertentangan atau percanggahan daripada ciri-ciri ini, secara automatik sesebuah puisi itu tidak tergolong dalam puisi islam.

 

Seterusnya Dr. Haji Hashim telah mengemukakan beberapa elemen untuk melihat puisi Islam. Elemen-elemen ini ialah: 1. Pengarang, 2. Objek penyampaian, 3. Kaedah/cara penyampaian, dan 4. Kesan/pengaruh karya tersebut.

 

Seseorang penyair Islam tulen (pengarang) seharusnya memahami tiga konsep hubungan iaitu hubungan manusia dengan Al-Khaliq (Allah), hubungan manusia sesama manusia, dan hubungan manusia dengan alam. Secara peribadi, saya percaya bahawa hanya penulis yang berpegang teguh pada ajaran Islam syumul sahaja berkesan menulis puisi Islam secara efektif. Hal ini kerana, penulis yang beragama Islam mampu menterjemahkan ungkapan rohani secara telus. Paling dikhuatiri, jika sesebuah puisi islam ditulis oleh mereka yang bukan beragama Islam, tidak mustahil akan berlakunya kegagalan untuk menterjemahkan konsep ad din secara sebenar. Impak negatif, berlakunya penyimpangan atau maklumat yang terpesong dari makna sebenar. Bagaimanapun, tidaklah bermakna orang bukan Islam tidak boleh menulis puisi Islam. Kerana kadang-kadang ada juga puisi Islam yang menarik, yang ditulis oleh mereka yang bukan beragama islam. Malah kadang-kadang lebih bagus daripada puisi Islam yang dihasilkan oleh penulis yang beragama islam.

 

Menurut Dr. Haji Hashim lagi, objek penyampaian pula adalah meliputi keprihatinan pengalaman manusia, bukan sahaja pengalaman badani emosi atau akaliah, tetapi juga kerohanian dalam konteks hubungan dengan yang Maha Pencipta dan menjurus hubungannya dengan manusia dan alam.

 

Cara penyampaian puisi islam pula harus mengemukakan struktur teknik yang mengangkat unsur bermoral, hikmah, dan ukhuwah. Allah S.W.T pernah menyebut, "Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan Dialah yang sangat mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalannya dan Dialah yang lebih mengetahui orang mendapat petunjuk." (An-Nahl: 125). Bermakna puisi-puisi yang berbaur erotik walaupun disampaikan secara sinis atau ironi bukanlah tergolong dalam puisi Islam.

 

Paling penting, sesebuah puisi Islam mestilah memberikan kesan kerohanian yang tinggi kepada penulis dan pembaca. Untuk menberikan kesan rohani yang tinggi, pemilihan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik tidak harus dipinggirkan.

 

Mendekati puisi Islam tidak sama dengan puisi sufistik. Puisi sufistik lebih mengajak kepada perbincangan soal hubungan manusia dengan al-Khaliq. Antara ilmu yang diguna pakai ialah ilmu tasawuf. Terdapat banyak rangkaian makna tentang sufi dan tasawuf. Menurut Bandar Al Husain, sufi ialah orang yang telah memilih Al Haq (Allah) semata-mata untuk dirinya. Menurut Basy Al Harist Al Haafi pula, seorang sufi ialah orang yang telah bersih hatinya semata-mata untuk Allah. Makna tasawuf pula ialah mengambil hakikat dan putus asa dari apa yang ada dalam tangan makhluk (Ma’ruf Al Karakhi). Menurut Abu Muhammad Al Jurarai pula, tasawuf ialah masuk ke dalam budi menurut contoh yang ditinggalkan Nabi dan keluar daripada budi yang rendah manakala menurut Hamka, tasawuf ialah membersihkan jiwa dari pengaruh benda atau alam supaya dia mudah menuju kepada Tuhan. Jelas, ciri-ciri puisi bernada sufistik mestilah berada dalam konteks definisi yang diutarakan.

 

Dipetik daripada buku Ilham Seorang Sufi karangan Abdul Majid Khatib, fahaman keesaan Tuhan bagi orang sufi, menurut pendapat Jalaludin Rumi dan ahli sufi lain, adalah seperti berikut: Yang pertama, hanya satu sahaja wujud sebenarnya. Dialah hakikat atau punca asal muasal segala maujud (yang wujud) dari bukti-bukti yang lain. Hakikat atau wujud ini boleh dianggap sebagai Allah (zat ketuhanan) ataupun fenomena (alam) dengan zat ghaib itu dizahirkan atau dinyatakan.

 

Yang kedua, tidak ada penciptaan (yang dijadikan) dalam masa atau waktu. Penzahiran atau manifestasi diri ketuhanan itu adalah satu proses yang berterusan tanpa ada hentinya. Meskipun bentuk alam ini bertukar dan berlaku serta sentiasa diperbaharui, namun pada zat atau hakikatnya alam itu adalah bersama kekal (co-eternal) dengan Allah. Tidak ada masa atau waktu apabila alam ini tidak wujud secara total dalam ilmu Allah. Alam ini ada bersama kekal dengan Allah dalam ilmunya.

 

Yang ketiga, Allah itu tasybih perserupaan melalui (immanent), pengertian bahawa ia zahir dalam wajah terhad (aspect of limitaion) dalam semua bentuk fenomena (atau alam maya) ini. Di samping itu ia juga tanzih penyucian (transcendent) dengan pengertian bahawa Dialah Zat mutlak melampaui segala penzahiran, ibadat bagi yang Maha Tinggi dari segala manifestasi.

 

Yang keempat, Zat semata (kunhi zat) itu tidak dapat diketahui. Allah saja yang tahu. Allah memperkenalkan diri-Nya kepada kita melalui nama sifat-Nya seperti yang tersebut dalam al-Quran. Sifat-sifat Allah itu berbagai-bagai dan bertentangan antara satu sama lain. Perbezaan inilah yang merupakan alam maya ini, tanpa perbezaan dan pertentangan itu tidaklah dapat kita membezakan buruk dengan baik dan tidaklah dapat kita mengetahui baik mutlak. Dalam bidang hakikat, tidak ada apa yang dikatakan buruk itu.

 

Yang kelima, ada satu hadis yang sering diperkatakan oleh orang-orang sufi, iaitu: "Saya jadikan makhluk supaya Aku dapat dikenal." Apa yang terkandung dalam ilmu Allah itu dizahirkan dalam alam semesta raya ini dan dalam diri manusia. Akal ketuhanan yang mengatur dan menggerakkan alam semesta raya ini iaitu sebagai ‘logo’ atau Zat Hidup Yang Ada Dalam Alam (Indwelling Rational Principle) menzahirkan diri-Nya sepenuhnya dalam Insan Kamil (manusia yang sempurna). Insan kamil yang sebenarnya ialah hakikat atau Nurul Muhammadi. Cahaya-Nya bersinar pada diri para anbiya dari Adam hingga Muhammad S.A.W dan juga pada para auliya’ sebagai warisan Nabi Muhammad S.A.W. Anbiya dan auliya adalah para insan kamil. Mereka ini menyedari keesaan mereka dengan Tuhan. Insan kamil itu adalah bayangan atau penzahiran Allah. (Diharap jangan disalah tafsir dalam menerima pengertian mengenai soal bayangan).

 

Ternyata, ilmu tasawuf adalah sangat kompleks. Bermakna, hanya mereka yang mendalami ilmu tasawuf sahaja dapat menghuraikan perihal kesufian secara lengkap. Lebih-lebih lagi jika ingin menterjemahkannya ke dalam bentuk kreatif terutama puisi.

 

Puisi yang baik ialah puisi yang dapat memberi kesan kejiwaan atau kerohanian yang tinggi kepada pembaca. Syeikh al-Azhar, Dr. Abdul Halim Mahmud, pernah menyebut bahawa: Syarat penting yang mesti ada dalam tasawuf itu ialah "kesan rohani" atau dengan kata lain yang lebih tepat lagi ialah "barakah". Terdapat tiga kategori jiwa manusia iaitu Aathifah (perasaan), Fikriyah (fikiran), dan Araadah (kemahuan). Jelas, hanya mereka yang mendalami ilmu tasawuf sahaja boleh menggarap puisi-puisi sufistik yang dapat memberikan kesan kejiwaan yang tinggi. Hal ini penting disedari supaya tidak berlaku penyelewengan dan kesilapfahaman dari makna atau konsep sebenar.

 

Saya tidak berniat menyebelahi pendapat Shahnon Ahmad atau Syed Nurul Akla Abdullah. Di sini, saya berpendirian teguh bahawa, untuk puisi bernafas islamik yang biasa, yang menyentuh soal akhlak dan moral, boleh digarap oleh penulis yang bukan beragama Islam. Akan tetapi, puisi ini perlulah dipantau oleh pihak berkenaan, termasuk pembaca supaya tidak berlaku kesilapan, terutama berkaitan dengan fakta. Walaupun mereka bukan beragama Islam, saya percaya mereka akan membaca buku-buku Islam untuk menulis sesebuah puisi Islam. Mudah-mudahan terbuka pintu hati mereka untuk menerima Islam, sepertimana Mr. Jacques Yves Costeau, oceanografer (ahli kelautan) dan ahli selam terkemuka dari Perancis, yang telah memeluk Islam selepas terpesona dengan keunikan dasar laut ciptaan Allah yang Maha Esa.

 

Sama ada manggarap puisi biasa, islamik atau sufistik, apa yang paling penting ialah niat kita.  Hal ini kerana, puisi yang dihasilkan, apabila disiarkan, akan dibaca oleh khalayak. Imam At-Tirmidzi meriwayatkan dari Jabir R.A. bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Orang yang paling aku benci dan paling jauh tempatnya dariku pada hari kiamat ialah mereka yang banyak cakap, dan asal cakap, dan mutafaihiquun. Wahai Rasulullah! Kami telah tahu siapa orang yang banyak cakap dan asal cakap tetapi siapakah mutafaihiquun itu? Nabi S.A.W. menjawab: iaitu mereka yang takabur dan sombong".

 

Sebaik manapun puisi islamik atau sufistik itu dihasilkan, jika hadir perasaan takabur/sombong dalam diri, tidak akan memberi apa-apa kesan roh kepada pembaca. Seperti seseorang yang menasihati orang lain supaya bersembahyang, tetapi dia sendiri tidak bersembahyang, semuanya akan tawar. Bak ketam menyuruh anaknya berjalan betul, tapi ia sendiri tidak berjalan betul. Atau dengan istilah yang lebih konvensional, hipokrit.

 

Sebaik-baiknya, setiap penulis perlulah membetulkan diri sendiri dahulu sebelum membetulkan orang lain. Kembalikan juga dahulu roh Islam dalam diri sebelum meniupkan roh Islam dalam puisi supaya apabila kita melihat kuih yang berwarna-warni dengan mata, kita sudah dapat merasakan ‘rasa’ manis atau lazatnya, sebelum meletakkannya di lidah.  BESt.

 

(Majalah BESt, Tahun 1 Bil. 3 November 2004)

 

 

 

 

 

 

 

10. MENELUSURI MAKNA SAJEN

 

OLEH: Nimoiz T.Y

 

 

 Anda minat bersajen? Pernah cuba menghasilkan sajen? Atau mungkinkah anda tidak pernah tahu apa itu sajen? Jika anda menjawab ‘ TIDAK’, jangan bimbang, anda akan dibawa menelusuri maknawi sajen secara slow motion. Jika anda menjawab ‘ YA’, tahniah! Anda merupakan seorang yang cakna akan keindahan dan kelucuan kalimat dalam sesebuah sajen. Tidak salah kiranya kalau anda dikategorikan dalam kelompok mereka yang prihatin akan perkembangan dunia kepenyajenan.

 

 

 

Apakah itu sajen? Mungkin inilah pertanyaan pertama yang terlontar dari mulut anda kerana sajen merupakan satu istilah yang agak pelik dan unik. Bukan sahaja unik dari segi perkataan, malah juga sebutannya. Jika kali pertama anda mendengar perkataan sajen sekaligus sudah merasakan kelucuan cara menyebutnya, tahniah sekali lagi kerana anda semakin hampir dengan dunia kepenyajenan. Dunia yang agak unik dan kompleks. Dunia yang penuh dengan kegirangan, warna-warni, kelucuan dan gelak tawa.

 

 

 

Supaya tidak terkeliru, berikut diturunkan beberapa istilah yang sering digunapakai dalam dunia kepenyajenan.

 

 

 

Ø        Sajen                  : Akronim dua perkataan iaitu ‘ Sajak’ dan ‘ Jenaka’.

 

Ø        Menyajen            : Perihal menjadikan sesuatu sajak itu bernada jenaka.

 

Ø        Penyajen            : Kata gantinama kepada mereka yang bersajak jenaka.

 

Ø        Bersajen : Perihal bersajak jenaka.

 

 

 

Supaya lebih jelas, dicadangkan agar anda merujuk kamus untuk mendapatkan pemindahan maksud yang lebih jelas bagi imbuhan-imbuhan yang digunakan. Antaranya, ‘me’, ‘men’, ‘kan’ dan sebagainya. Kalau tidak pun , tanya saja pada pakar bahasa, Prof. Nik safiah Karim atau Dr. Awang Sariyan.

 

 

 

Sebenarnya, istilah sajen di sini merupakan satu istilah yang boleh dikatakan agak baru. Bukan sahaja baru dari perkataan, malah juga maksudnya.

 

 

 

Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga, sajen merupakan kata pinjaman yang ‘diimport’ dari perkataan jawa yang membawa maksud makanan dll yang dijamukan kepada hantu (orang halus) atau dengan kata lainnya ‘semahan’. Akan tetapi, dalam konteks sastera, sajen adalah akronim kepada dua perkataan yang berbeza iaitu ‘Sajak’ dan ‘Jenaka’.

 

 

 

Dari segi istilah, sajak membawa maksud seperti berikut:

 

 ~ bersesuaian bunyi suku kata (dlm syair, pantun, dll).

 

Manakala jenaka pula membawa maksud begini:

 

1.    Perbuatan atau kata-kata yang menggelikan hati, lawak.

 

2.    Menggelikan hati, membangkitkan ketawa.

 

 

 

Ini hanya merupakan istilah luaran sahaja. Pun, sebelum mengenal sajen, kita perlu terlebih dahulu memesrai puisi. Ini kerana, asas kepada sajen adalah puisi. Dari barat, kita dilontarkan dengan definisi puisi yang berbeza-beza. Antaranya oleh William Wordsworth, Edgar Allen Poe dan Mathew Arnold. Salah satu defininisi yang paling diterima pakai dikemukakan oleh Coleridge seperi berikut:

 

 

 

“.........Kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.......”

 

 

 

Timbal baliknya, dalam istilah sajen, mungkin kita boleh turunkan seperti berikut:

 

 

 

“........Kata-kata lucu dalam susunan yang terlucu.......”.

 

 

 

Pun, jika kita mengambil maksud saduran ini, bererti kita sudah tidak ada entiti tersendiri. Ini bererti kita sudah mengambil bulat-bulat maksud dari barat. Untuk tambah melengkapi, lebih baik kita susuli maksud yang dirumuskan oleh penulis tanahair sendiri, SN Muhammad Haji Salleh:

 

 

 

“..........bentuk yang kental, berentak, banyak berunsur muzik bahasa. Penggunaan bahasa dalam genre ini lebih padat, teliti dan kadang-kadang mendekati lagu. Temanya diolah dari hidup harian tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandang yang agak luar biasa; dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya. Puisi juga mempunyai bentuk-bentuk yang tertentu.........”.

 

 

 

Sebagai pengamal sastera, anda mungkin sudah jelas akan perbezaan sajak dan puisi. Menurut Muhammad Haji Salleh lagi, istilah sajak itu disebut bagi sesebuah karya yang belum mencapai tingkat sastera. Manakala puisi pula bagi karya yang sudah boleh dipertanggungjawabkan mencapai tahap yang tinggi. Dalam ruangan sastera dan budaya Berita Minggu misalnya, kita boleh melihat perbezaan antara sajak dan puisi. Kadang-kadang editornya akan menulis  “puisi” dan kadang-kadang pula “sajak”. Ini menunjukkan bahawa, ada karya tersiar itu boleh diklasifikasikan sebagai puisi dan dan ada juga boleh dipanggil sajak.

 

 

 

Berbalik kepada istilah puisi:

 

Dari penjelasan Muhammad Haji Salleh ini, dapatlah dibalikkan bahawa sajen membawa konotasi bahawa sesebuah sajen itu belum mencapai tahap sastera lagi. Ini kerana, jika karya bernada jenaka itu sudah mencapai tahap sastera, barulah ia boleh dipanggil ‘Pujen’( Akronim bagi puisi dan jenaka).

 

 

 

Tanpa bersandarkan kepada pendefinisian oleh Muhammad haji Salleh, dapatlah kita istilahkan makna sajen seperti berikut:

 

 

 

“..........Sajak jenaka yang tujuannya untuk menghiburkan pembaca.........”

 

 

 

Walaubagaimanapun, pendefinisian ini adalah terlalu pendek dan tidak lengkap. Sebenarnya, jenaka, lawak dan lucu adalah saling berasosiasi antara satu sama lain. Maksudnya adalah sama. Jadi, makna sajen dapat kita lengkapi lagi seperti berikut:

 

 

 

“..........Diksi-diksi yang kadang-kadang menjengah ke  galur puitis dan gramatis, lawak, lucu, tidak membosankan serta menggelikan hati sehingga boleh meyebabkan pembaca atau pendengar tidak kering gusi..........”.

 

 

 

Pun kadang-kadang, kita dapat menemui sajen yang diungkapkan dalam gaya penceritaan atau naratif. Di sini, ada dialog yang diterap untuk menyedapkan gaya penyampaian. Justeru, makna sajen dapat dilengkapkan lagi dengan sebutan begini:

 

 

 

“..........Konotasi diksi-diksi biasa yang kadang-kadang menjengah ke  galur puitis dan gramatis, kadang-kadang juga dalam bentuk satira, naratif atau erotik, yang tujuannya adalah untuk menghasilkan suasana lawak dan ceria, lucu, tidak membosankan serta menggelikan hati sehingga boleh menyebabkan pembaca atau pendengar tidak kering gusi..........”.

 

 

 

Mengapa perlu ungkapan ini? Berikut ialah beberapa perkara penting mengapa istilah ini diambil. Dari pendefinisian ini, diturunkan 8 kata kunci yang cukup penting yang menjadi nadi pendefinisian di atas:

 

 

 

1.    Konotasi diksi-diksi

 

2.    Puitis dan gramatis

 

3.    Satira

 

4.    Naratif

 

5.    Erotik

 

6.    Lucu

 

7.    Tidak membosankan

 

8.    Geli hati

 

9.    Tidak kering gusi.

 

 

 

Berikut ialah huraian ringkas mengapa kata konotasi diksi-diksi, puitis dan gramatis, naratif, lucu, tidak membosankan, geli hati dan tidak kering gusi diambil dan diputuskan dalam maknawi sajen ini.

 

 

 

            Konotasi diksi-diksi
Mengapa konotasi diksi-diksi? Dalam sesebuah sajen, kita biasanya akan diterapkan dengan diksi-diksi. Jadi, adalah mustahil dalam sesebuah sajen hanya ada satu diksi. Justeru, jika kita hanya menyebut diksi, permaknaan ini adalah tidak lengkap. Sebagai penyelesaiannya, sudah tentu perkataan diksi-diksi lebih wajar. Mungkin ada yang tidak bersetuju. Ya, memang, perkataan diksi pun sudah cukup untuk mewakili semua diksi, lebih-lebih lagi apabila kita masukkan sekali perkataan konotasi. Tapi sekali lagi saya katakan bahawa, ini bermakna kita sudah lari dari entiti peristilahan sendiri. Bagaimana pula dengan konotasi? Konotasi pula diambil untuk menggabungjalinkan dengan lebih lengkap dan menyeluruh dunia kepenyajenan.

 

 

 

Puitis dan Gramatis
Istilah puitis dan gramatis lazimnya dikaitkan dengan puisi yang bernada romantisme. Pun, dalam sesebuah sajen, ada juga unsur-unsur ini diterapkan. Ada yang mengambil tema romantisme sebagai perkara pokok. Pun, kita dikejutkan pula dengan klimaks yang bernada jenaka. Maka, disinilah unsur puitis dan gramatis wujud. Tetapi, jenakanya masih lagi ada walaupun kata-kata yang dipilih adalah puitis.

 

 

 

Satira
Dalam bidang penulisan, ada juga sesetengah penulis yang menggunakan sajen sebagai platform atau medan baru untuk melontarkan idealisme masing-masing. Ini termasuklah kritikan sosial dan sebagainya dengan hasrat tujuan penulisan itu adalah menghasilkan impak yang positif, yang kalau disampaikan secara langsung adalah tidak wajar. Terdapat dua jenis satira dalam penghasilan sesebuah sajen, yang pertama ialah satira langsung iaitu satira yang disampaikan secara jelas dan berani manakala satira kedua ialah tidak langsung, yang kurang jelas.

 

 

 

Naratif

 

Gaya naratiflah yang paling banyak dijumpai dalam sesebuah sajen. Malah, gaya ini seakan-akan sudah sebati dengan sajen itu sendiri. Mengapa naratif? Mungkin, gaya naratif dipilih supaya gaya penyampaian lebih jelas, lancar dan tidak tersekat-sekat. Dengan ini, khalayak akan lebih menerimanya sebagai sajen yang baik berbanding gaya yang lebih surealisme atau sajen yang entah-entah.

 

 

 

Erotik

 

Tidak semua sajen yang dihasilkan adalah bernada erotik. Seperi juga satira, terdapat dua jenis keerotikan dalam sesebuah sajen iaitu keerotikan langsung dan keerotikan tidak langsung. Pun, keerotikan yang kedualah paling lazim dipilih sebagai penyesuaian untuk tatapan umum.

 

 

 

Lucu
Lucu, lawak dan jenaka adalah istilah yang hampir sama. Perkataan lucu sebenarnya sudah memadai untuk mewakili perkataan-perkataan yang bersangkutan. Mengapa ‘lucu’ yang dipilih? Tidak kata ‘lawak’ atau ‘jenaka’. Sebenarnya, seperti yang disebutkan tadi, kata lucu sudah diambil untuk mewakili kesemua bahagian. Kalau kita mengambil kata ‘lawak’, perkataan ini adalah terlalu hampir dengan kata ‘pelawak’. Akan tetapi, tidak semua penyajen adalah pelawak. Mungkin hanya boleh berlawak dengan kata-kata. Tapi tidak di alam nyata?

 

 

 

Tidak membosankan

 

Tidak membosankan adalah berkaitan dengan sifat sajen itu sendiri. Jika pembaca membaca sesebuah sajen tetapi berasa bosan dan hambar, sudah pastilah ini berpunca dari kegagalan cara persembahan oleh penyajen tersebut. Justeru, setiap penyajen mestilah cuba sedaya upaya untuk menghasilkan sajen  yang tahap kekomunikatifannya adalah tinggi. Maksudnya di sini ialah, tahap yang langsung tidak membosankan khalayak.

 

 

 

Geli hati
Geli hati adalah klimaks dalam sesebuah sajen. Tanpa geli hati, pastilah matlamat penulisan sajen itu belum tercapai. Kalau pembaca sajen yang membaca sesebuah sajen, tetapi langsung tidak hadir rasa geli hati, bermakna tiada unsur-unsur jenaka yang diterapkan. Kalau ada pun, mungkin yang belum benar-benar jenaka. Jadi, tanpa jenaka pada tahap maksimum, sajen itu belum boleh berfungsi sebagai sajen yang boleh dipertanggungjawabkan.

 

 

 

Tidak kering gusi

 

Ini adalah efektif  langsung dari pembacaan sesebuah sajen. Tidak kering gusi adalah impak akhir. Maka, tidak kering gesi ini juga wajar dimasukkan dalam pendefinisian sebagai makna pelengkap.

 

  

 

Pun sebenarnya, ini hanyalah pendefinisian secara rambang sahaja. Ini kerana, setakat ini belum ada sarjana yang tampil memberikan definisi sajen secara jelas dan mantap. Selepas ini, saya mengharapkan akan ada mereka yang berani tampil dan memberikan definisi yang lebih menarik, segar dan mantap. Sekian.

 

 

 

(http://www.communityzero.com/sajen)

 

 

 


 

 

9. MALAM PATRIOTIK PERINGKAT KUiTTHO 2003 MERIAH

 

 

 

OLEH: Nimoiz T.Y

 

 

 

Tanggal 31 Julai telah diistiharkan sebagai Hari Pahlawan peringkat kebangsaan. Tarikh ini akan disambut tiap-tiap tahun sebagai manifestasi memperingati perjuangan jasa bakti pahlawan yang sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan tanahair.

 

 

 

Bersempena dengan tarikh ini iaitu pada 31 Julai 2003 yang lalu, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) telah menganjurkan Malam Patriotik peringkat KUiTTHO 2003 bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan 2003. Sambutan Malam Patriotik ini telah diserapkan ke dalam pengisian Pesta Konvokesyen KUiTTHO kali Ke-2 yang bermula dari 31 Julai hingga 4 Ogos 2003.

 

 

 

Antara tujuan utama Malam Patriotik ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada generasi muda hari ini mengenai pengorbanan para pejuang dan pahlawan tanahair yang telah banyak berkorban mempertahankan tanahair dan memelihara kemerdekaan negara. Selain itu,  ia juga bertujuan mewujudkan semangat patriotik dalam diri serta melahirkan semangat perpaduan dan bekerjasama dalam usaha memelihara keamanan dan kemakmuran sejagat. Program ini juga memainkan peranan dalam meningkatkan semangat juang untuk meningkatkan kualiti dalam segala aspek bagi membangunkan negara. Ini sejajar dengan peranan KUiTTHO sendiri sebagai salah sebuah IPT awam yang bakal melahirkan ahli teknokrat menjurus kepada bidang kejuruteraan dan teknologi yang sudah tentunya cukup diperlukan dalam prospek pembangunan fizikal negara.

 

 

 

Bertempat di padang kawad KUiTTHO, majlis bermula pada jam 9.00 malam dengan ketibaan tetamu dan dif-dif kehormat. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Rektor KUiTTHO sendiri iaitu Prof. Dr. Hj. Ismail bin Hj. Bakar, Timbalan Rektor Akademik, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Pendaftar KUiTTHO, pegawai-pegawai kanan, barisan dekan dan ramai lagi.

 

 

 

Tepat jam 9.20 malam, acara rasmi bermula dengan nyanyian lagu Negaraku beserta menaikkan Jalur Gemilang diiringi brassband dari rejimen ke-5 Askar Melayu Diraja Kluang. Tidak lupa juga nyanyian lagu tema KUiTTHO sendiri.

 

 

 

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian dan pelancaran Tabung Hari Patriotik oleh Prof. Dr. Hj. Ismail bin Hj. Bakar, Rektor KUiTTHO. Dalam ucaptamanya, Prof. Dr. Hj. Ismail menyeru agar masyarakat terutama warga KUiTTHO sendiri supaya memperingati jerih pengorbanan perwira tanahair yang sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara. Mereka yang hadir nyata terkejut termasuk rektor sendiri yang baru saja melangkah turun dari pentas apabila letupan mercun dan bunga api melegari dan mewarnai suasana menandakan majlis bermula dengan rasminya.

 

 

 

Meneruskan acara, Pasukan PALAPES KUiTTHO mengambil tempat di hadapan pentas dengan persembahan pancaragam. Penonton nyata terhibur dengan kecekapan PALAPES bermain alat pancaragam dan berkebolehan pula menyampaikan beberapa buah lagu termasuk lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Exist iaitu Julia dan beberapa buah lagu Noraniza Idris.

 

 

 

Menyerikan lagi majlis, 4 gadis cina disusuli dengan 2 gadis lagi naik ke pentas dan mempersembahkan tarian aerobik patriotik diiringi dengan pelbagai irama muzik. Sesi pertama adalah persembahan secara bebas manakala sesi kedua pula dengan menggunakan tali ‘skiping’. Persembahan mereka begitu menghibur walaupun ada sedikit kesilapan yang tidak disengajakan. Ternyata, kesilapan yang mereka lakukan inilah yang menarik perhatian penonton untuk terus kekal di tempat masing-masing.

 

 

 

Bergema padang kawad dengan tepukan gemuruh apabila 8 orang murid dari Sekolah Rendah Batu Pahat yang terdiri dari 4 murid lelaki dan 4 perempuan tampil dengan persembahan tarian zapin. Lemah-gemalai kelembutan liuk tubuh begitu mempesonakan penonton ditambah pula dengan iringan muzik yang begitu syahdu dan memikat.

 

 

 

Majlis diteruskan lagi dengan pidato oleh Mejar (B) Mohd H. Piah bin Ali dari Persatuan Bekas-Bekas Perajurit Malaysia. Mejar (B) Mohd H. Piah pernah mendapat pelbagai pingat diatas keberanian dan kecekalan beliau dalam mempertahankan tanahair. Dalam pidatonya, beliau menyeru muda-mudi supaya terus menghargai nilai kemerdekaan yang kita kecapi hari ini dan mempertahankannya hingga ke akhir hayat. Beliau juga menyeru supaya setiap orang harus ada sifat patriotik dalam diri bagi membolehkan negara terus mengecapi keamanan buat selama-lamanya.

 

 

 

Majlis pada malam itu terus dihiburkan pula dengan persembahan koir lagu-lagu patriotik oleh pasukan koir KUiTTHO yang terdiri daripada staf diiringi orkestra KUiTTHO. Gaya persembahan mereka persis pasukan kombo RTM dengan pelbagai lagu menarik. Mereka membawakan 4 buah lagu patriotik yang antaranya ialah lagu Keranamu Malaysia dan Bahtera Merdeka.

 

 

 

Seterusnya, Kumpulan Pemuisi Tiga Serangkai yang terdiri daripada tiga ahli iaitu 2 lelaki dan 1 perempuan mengambil tempat di pentas dan menyampaikan sebuah puisi panjang bertemakan semangat patriotik.

 

 

 

Acara kemuncak, Anggota PALAPES KUiTTHO tampil dengan persembahan pentomin bertajuk “Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata.” Kisah yang dibawakan ialah tentang perjuangan anggota keamanan yang sanggup menggadai nyawa dalam adegan pertempuran dengan penjajah Jepun. Walaupun diasah dengan selok-belok ilmu ketenteraan, mereka masih mampu memberikan persembahan yang memukau. Keadaan seakan-akan hidup dengan sistem audio yang baik termasuk bunyi unggas rimba walaupun ada sedikit kelemahan pada sistem penataan cahaya. Penonton yang lemah semangat pastinya terkejut dengan bunyi ledakan bom dan bedilan tembakan yang menggemakan Padang Kawad KUiTTHO. Pastinya, penonton dapat menerima kekurangan ini kerana persembahan ini dipentaskan di tempat yang terbuka, bukan di Istana Budaya atau pentas yang canggih dengan sistem audio visual.

 

 

 

Majlis usai lebih kurang jam 12.00 tengah malam. Pastinya, Malam Patriotik Peringkat KUiTTHO 2003 yang dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pejabat Pendaftar KUiTTHO ini meninggalkan kesan mendalam kepada penonton terutama warga KUiTTHO sendiri dan membangkitkan semangat patriotik dalam diri. Jauh di sudut hati, setiap mereka yang hadir pasti akan berkata dalam diri, “Aku anak merdeka. Aku cintakan tanahair

 

 

 

(http://www.communityzero.com/berbicara)

 

 

 

 

 

 

8. GEMA PUISI SEKTOR INDUSTRI DAN TEKNOLOGI

 

OLEH : Nimoiz T.Y

 

 

Lazimnya, acara baca puisi diadakan pada waktu-waktu tertentu dengan pelbagai pendekatan dan tema yang kebanyakannya bermusim sebagai rakaman peristiwa untuk mengingatkan kita akan satu-satu hal. Misalnya, gema puisi anti perang diadakan sebagai manifestasi yang kita benci dan bantah akan peperangan. Malam puisi ambang merdeka; untuk membangkitkan semangat patriotisme dalam diri. Malam Apresiasi Puisi Ramadan; untuk membangkitkan semangat islamik dan menghayati kelebihan bulan ramadan dan sebagainya. Apa pun tema yang cuba digarapkan, motif utamanya adalah untuk memasyarakatkan puisi kepada khalayak dengan pengucapan yang penuh bermakna, bermesej dan sarat dengan keindahan.

 

 

 

Baru-baru ini iaitu pada 6 September 2003, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan bersama-sama Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) telah mengadakan Gema Puisi Sektor Industri Dan Teknologi bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTI), KUiTTHO. Gema puisi ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas Daerah Batu Pahat dan Gerakan Belia 4B kawasan Seri Gading. Pemilihan KUiTTHO sebagai tuan rumah untuk acara baca puisi kali ini adalah paling dominan dengan tema yang menggarap dan menjurus kepada industri dan teknologi memandangkan peranan KUiTTHO sendiri yang berfungsi sebagai sebuah IPT awam yang bakal melahirkan teknokrat dalam bidang industri dan teknologi.

 

 

 

Antara objektif utama Gema Puisi Sektor Industri dan Teknologi yang julung-julung kali diadakan di negeri Johor ini adalah untuk mendekatkan golongan pelajar dan warga industri dan teknologi dengan pembacaan dan penghayatan puisi. Ia juga bertujuan untuk menghargai peranan warga pelajar dan pendidik sektor industri dan teknologi dalam dunia pengkaryaan. Selain itu, gema puisi ini juga bertujuan untuk menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai jawatan dan kedudukan dalam sektor industri dan teknologi dalam menghayati dan menghargai isi kandungan sesebuah puisi. Dengan ini, gema puisi ini sudah tentunya dapat mengeratkan hubungan karyawan sektor industri dan teknologi dengan karyawan sastera dan bahasa serta orang ramai melalui program deklamasi puisi.

 

           

 

Majlis bermula kira-kira pada jam 9.15 malam dengan ketibaan dif-dif jemputan dan para deklamator diiringi paluan kompang yang menggemakan Dewan Tunku Ibrahim smail. Antara dif-dif kehormat yang hadir ialah Y. B. Tuan Hj. Md. Sadikon sarpin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Usahawan, Industri Kecil dan sederhana, Sains dan Teknologi Negeri Johor bersama isteri. Turut hadir ialah En. Abdul Rahman Yusuf, ketua bahagian kesusasteraan moden DBP Wilayah Selatan yang mewakili Pengarah DBP, Datuk A. Aziz Deraman yang tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri satu majlis lain di Kuala Lumpur, En. Zabidi Abas, Pengarah DBP Wilayah selatan, Pegawai-Pegawai Kanan KUiTTHO dan ramai lagi.

 

 

 

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Encik Abdul Rahman Yusuf yang mewakili Datuk A. Aziz Deraman. Dalam ucapannya, En. Abdul Rahman menyampaikan salam dari Datuk A. Aziz yang tidak dapat hadir. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Y. B Sadikon kerana sudi hadir. Juga ucapan terima kasih kepada KUiTTHO sendiri kerana sudi menjadi tuan rumah untuk majlis gema puisi kali ini.

 

 

 

Meneruskan lagi majlis, Rektor KUiTTHO iaitu Prof. Dr. Ismail Bakar mengambil tempat di pentas dan menyampaikan sedikit ucapan. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa hubungan puisi dan industri itu sangat penting.

 

 

 

Y. B. Sadikon seterusnya naik ke pentas dan menyampaikan sedikit ucapan seterusnya merasmikan Gema Puisi Sektor Industri Dan Teknologi kali ini.

 

 

 

Acara diteruskan lagi dengan pertukaran cenderamata antara Rektor KUiTTHO, Wakil Datuk A. Aziz Deraman dan Y.B Sadikon.

 

 

 

Tepat jam 10.00 malam, Kumpulan Tunas tari Johor yang terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Gelang Patah, Johor mengambil tempat di pentas dan mempersembahkan sebuah tarian joget yang cukup mengasyikkan. Kumpulan Tunas Tari yang terdiri dari 6 murid lelaki dan 6 murid perempuan ini mendapat tepukan gemuruh seusai persembahan mereka. Walaupun masih kecil, mereka menunjukkan keupayaan untuk dibawa melangkah lebih jauh lagi.

 

 

 

Kini, acara yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Sebagai tuan rumah, wakil KUiTTHO telah diberikan penghormatan untuk memulakan acara deklamasi puisi. Noorhafiza Mahmud, pelajar  dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan,  KUiTTHO telah menyampaikan sebuah puisi sentuhan pena sendiri bertajuk Kota Itu. Noorhafiza Mahmud yang pernah mendapat tempat ketiga Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Batu Pahat 2002 menyampaikan puisi dengan begitu menarik sekali. Beliau memulakan deklamasi dengan ungkapan:

 

           

 

Malam

 

Indah cahaya lampu di jalan

Terang benderang kota itu

 

 

 

Dari Maktab Perguruan Batu Pahat, Jamal Mohd Nasir Atan tampil dengan sebuah puisi panjang bertajuk Curiga Dahulu Kini. Meneruskan lagi acara, Hamzah Hamdan dari Persatuan Penulis Johor (PPJ) mengambil tempat di pentas dan menyampaikan puisi dengan memukau sekali.

 

 

 

Puisi tambah menarik andainya dilagukan. Ditambah pula dengan petikan gitar dan lagu yang gemersik, pasti dapat memukau khalayak untuk lebih mendampingi puisi. Inilah alternatif yang diambil oleh 4 orang anak muda yang menggelarkan Kumpulan Metafora. Kumpulan lagu puisi dari KUiTTHO ini menyampaikan dua buah lagu puisi iaitu Berita Kepada Kawan dan sebuah lagi hasil sentuhan M. Nasir, Apokalips.

 

 

 

Khalayak seakan-akan tidak puas dengan persembahan tarian pada awal persembahan tadi. Justeru, Kumpulan Tunas Tari Johor yang terdiri dari murid Sekolah Kebangsaan Gelang Patah tampil sekali lagi dan mempersembahkan zapin Dia Datang. Penari-penari perempuan mengundur diri pada tengah persembahan dan diganti pula oleh 5 orang kakak-kakak mereka yang lebih senior.

 

 

 

Adik Normadihah Saiman dari Sekolah Kebangsaan Benut seterusnya naik ke pentas dan menyampaikan sebuah puisi panjang dengan 2 nada yang berbeza. Awalnya dengan suara sebak, mendayu-dayu  dan sedih diikuti pula dengan intonasi yang lebih tinggi. Kalau pendeklamator lain tampil dengan skrip di tangan, satu kelebihan adik Normadihah ialah kebolehannya menghafal puisi panjang dengan baik sekali.

 

 

 

Sekali lagi dari PPJ, Mohd Rosli Bakir seterusnya mengambil alih pentas dengan syair pendek sebagai alu-aluan diikuti dengan sebuah puisi hasil nukilan sendiri bertajuk Siapa Menduga.

 

 

 

Seorang lagi wakil KUiTTHO yang mendeklamasikan puisi pada malam tersebut ialah Cik Zalinah Salehon, staf dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar. Cik Zalinah yang juga salah seorang pegawai MAKUM menyampaikan sebuah puisi tulisan Norzailani Mohd Nuzi bertajuk Pesan seorang Teja. Suaranya yang halus dan kecil membolehkannya menghayati puisi  dengan efisien.

 

 

 

Sebagai selingan, majlis disajikan sekali lagi dengan persembahan tarian. Kali ini kumpulan dari K3P Parit Semarang.

 

 

 

Turut menujukkan bakat pada malam itu ialah Y.B Sadikon yang membacakan sebuah puisi yang dihulurkan kepadanya hasil tulisan penyair Lim Swee Tin.

 

 

 

Pada mulanya, Rektor KUiTTHO telah berjanji bahawa jika Y.B Sadikon tampil ke pentas deklamasi, beliau akan turut sama membacakan puisi.  Untuk tidak menghampakan khalayak, Rektor menunjukkan kebolehannya berpuisi dengan sebuah puisi hasil sentuhan Jariah Taha bertajuk Melayu Ikutan Dulu Kini. Beliau tentulah tidak kekok kerana nafas puisi masih segar memandangkan beliau pernah membacakan puisi pada malam Ambang Kemerdekaan 30 Ogos yang lalu.

 

 

 

Tuan Haji Abdul Manaf pula meneruskan acara dengan dua buah puisi. Tapi, hanya sekerat sahaja kerana terlupa membawa teks. Salah satunya adalalah sebuah puisi bertajuk Di Bawah Bintang Mengerdip, SN. A. Samad Said.

 

 

 

Diberi mandat untuk menutup tirai Gema Puisi Sektor Industri dan Teknologi pada malam itu, penyair besar negara, Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama AGI tampil dengan beberapa buah puisi. Salah satu daripadanya ialah sebuah puisi yang ditulisnya pada tahun 1991 bertajuk Di Wawasan Perdana 2020. Penyair yang telah mula berkarya sejak 4 dekat yang lalu seterusnya menununjukkan kehebatannya dengan sebuah nazam Kasih Ayah dan Ibu. Kalau para deklamator lain menyampaikan puisi bertemakan teknologi dan industri, kali ini AGI megejutkan khalayak dengan sebuah lagi nazam bertajuk Ramadan Bulan Mulia. Walaubagaimanapun, khalayak akhirnya faham apabila AGI menjelaskan bahawa nazam itu disampaikan sempena bulan ramadan yang akan menjelma tidak lama lagi.

 

 

 

Majlis usai lebih kurang jam 11.45 malam. Dan pastinya, Gema Puisi Sektor Industri dan Teknologi ini meninggalkan seribu kesan manis kepada lebih kurang 130 khalayak yang hadir. Diharapkan, acara sebegini dapat diteruskan pada masa-masa mendatang memandangkan puisi itu adalah halus. Dan kehalusan itulah yang dapat mengakrabkan lagi hubungan puisi dan ahli teknologi.

 

 

 

 

 

(http://www.communityzero.com/berbicara)

 

 

 

 

 

 

7. PERLUNYA PENGLIBATAN PROFESIONAL

 

 

 

 

Menganalisis buku panduan kemasukan ke IPTA bagi program pengajian lepasan SPM / Setaraf, didapati  hampir keseluruhan kursus yang ditawarkan hanya menjurus kepada pelajar aliran sains dan teknikal sahaja. Kursus – kursus ini meliputi bidang kejuruteraan serta sains dan teknologi. Tidak dinafikan bahawa dalam era pascamodenisme dan globalisasi, Malaysia memerlukan ratusan ribu teknokrat profesional (terutama bidang sains dan teknologi ) untuk menjadi tunggak dalam menerajui prospek pembangunann fizikal negara.

 

 

 

Bagi pelajar aliran sastera, peluang mereka ternyata tipis kecuali memasuki tingkatan 6. oleh itu, Mereka cenderung untuk menukar kursus apabila memasuki IPT kelak. Ini mungkin dihambat ekoran sukarnya peluang kerjaya dalam bidang ini.

 

 

 

Malaysia sememangnya ada sebilangan profesional atau separa profesional yang masih tekun berkarya.Misalnya nama-nama seperti Hasyim Yaacob, Irwan Abu Bakar dan Lee Keok Chih (sekadar menyebut beberapa nama).Tetapi, jika dihitung,jumlahnya nyata terlalu kecil.Penyertaan mereka ini pun sebenarnya adalah kerana minat yang mendalam dan rasa tanggungjawab untuk memartabatkan sastera dipersada tanahair.

 

 

 

Akan datang, adalah tidak mustahil andainya negara akan ketandusan para pejuang bahasa dan sastera. Barangkali, yang tinggal hanyalah golongan profesional atau elit yang langsung tidak berminat atau mengahargai nilai seni ini. Justeru, kita perlu mencari dan merencana formula yang ebih efektif  dan efisien untuk menarik minat profesional atau bakal-bakal profesional dalam mendekatkan diri dalam bidang ini. Ironinya, walaupun negara terus melangkah ke era modenisasi, kesusasteraan tanahair tidak mungkin terpinggir.Juga, entiti ketamadunan bangsa akan bergerak seiring dengan kemajuan negara.

 

 

 

Tunas Cipta, Julai 2003

 

 

 

 

 

 

 

 

6. DS DAHULU DAN SEKARANG

 

OLEH Nimoiz T.Y

 

 

 

Kebetulan, di rumah saya ada tiga naskhah DS edisi 70-an iaitu edisi 15 Julai 1977, 15 Januari 1978 dan 15 Mac 1979.  Pada masa itu, DBP masih diterajui oleh Datuk Hassan Ahmad. Ketua pengarang untuk ketiga-tiga edisi ini ialah Baha Zain. Antara sidang pengarangnya pula  ialah KEMALA, Sutung Umar R.S, Suhaimi Haji Muhammad, Zainal Abidin Bakar dan Salmiah Ismail.

 

 

 

Paling saya terpegun ialah harga DS pada masa itu hanyalah $0.80 sahaja. Kini, harganya sudah meningkat sehingga lebih lima kali ganda, seiring dengan perubahan masa dan situasi kini. Saban tahun, DS terus mengorak langkah; dari motto “Peneroka Sastera Kreatif” kepada “Penjana Sastera Global”. Suatu perkembangan yang memberansangkan saya rasa.

 

 

 

Meneliti secara rambang, saya dapati beberapa ruangan masih dikekalkan hingga kini, yang seolah-olah menjadi identiti DS. Antaranya, ruangan “Puisi Bulan Ini”, “Fokus Penyair” (Kini dikenali dengan ruangan “karyawan Bulan Ini” dan “Persada Puisi”), “Cerpen” dan banyak lagi. Jelasnya, konsep persembahan DS pada masa itu sesuai dengan mottonya yang disebutkan di atas. Terdapat juga sisipan kertas kerja yang boleh dibaca oleh khalayak umum untuk sesekali keluaran.

 

 

 

Secara keseluruhannya, DS pada masa itu sesuai untuk disajikan kepada masyarakat umum memandangkan konsep persembahannya yang agak terbuka walaupun sesekali disajikan dengan karya yang agak berat.

 

 

 

Syabas kepada DBP kerana berjaya menerbitkan DS yang kini sudah menjangkau umur  lebih kurang 32 tahun. Tempoh masa yang cukup  matang dalam sesebuah prospek penerbitan. Walaupun meja editor DS seringkali bertukar tangan, ternyata ianya masih segar menjadi sumber rujuk utama bagi penggemar dan peminat sastera melayu memandangkan ianya banyak memberi input berguna.

 

 

 

Apapun, nyali saya agak tersentuh kerana DS masih belum mampu menambat golongan muda remaja. Malah, paling menyedihkan ada yang sanggup mengejek jika ada rakannya membeli DS. Sungguhnya, mereka lebih senang menatap sumber bacaan popular atau majalah hiburan yang ternyata paling hampir dan serasi dengan jiwa remaja mereka.

 

 

 

Buktinya, semasa mengunjungi sebuah toko buku yang juga wakil pengedar DBP di sebuah Bandar, betapa peliknya saya melihat longgokan DS yang tarikhnya sudah basi tidak terjual. Bukan untuk DS sahaja, nasib yang sama juga menimpa majalah ilmiah lain seperti Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Dewan Budaya dan Tunas Cipta. Huh!

 

 

 

Sewajarnya, jika kita semua mahu melihat nilai sastera diletakkan pada kedudukan sewajarnya, saya rasa semua pihak harus berganding bahu dalam mengembalikan minat masyarakat. Caranya, kita semua perlu menggembling tenaga, tidak menimbulkan polemik klise, dan tidak perlu memperbesar isu yang tidak perlu. Apa yang penting, memasyarakatkan sastera adalah agenda utama. Kalau tidak, golongan karyawan sastera hanya menjadi golongan SS (Syok Sendiri). Yang bertungkus lumus menyajikan  sumber komoditi, tapi penjualnya melebihi bilangan pembeli. Impaknya, hasil usaha ibarat seperti sayur yang sudah kecut tidak terjual di pasar, yang akhirnya tiada apa-apa makna.

 

(Dewan Sastera, Mac 2003)

 

 

 

 

5. MALAM KEBUDAYAAN: MANIFESTASI PENGEKALAN BUDAYA

 

OLEH: Nimoiz T.Y

 

Menyedari bahawa budaya bangsa tidak seharusnya termalukut dalam era pascamodenisme terutama dalam era perkampungan global hari ini, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan “Malam Kebudayaan” sempena pesta konvokesyen KUiTTHO kali ke-2 bertempat di padang kawad, KUiTTHO. Malam kebudayaan ini merupakan salah satu slot pengisian acara pada sebelah malam sempena pesta konvokesyen ini selain Malam Patriotik, Malam Ghazal dan Keroncong serta Malam Keamanan.

 

Malam kebudayaan ini telah diadakan pada hari ketiga pesta konvokesyen iaitu pada 2 Ogos 2003. Program ini telah berjaya menarik ramai penonton terutama dari kalangan ibu bapa yang datang dari serata negeri kerana pada sebelah petangnya merupakan majlis penganugerahan ijazah untuk sesi pertama. Malah, kehadirin penonton melebihi angka yang diramalkan.

 

Majlis bermula seawal jam 9.00 malam dengan ketibaan para hadirin. Setelah jam menunjukkan ke angka 9.15 malam, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis.

 

Acara pada malam itu dimulai dengan pementasan deklamasi lakon (dekon) oleh ahli-ahli Kelab Warisan KUiTTHO, satu-satunya kelab pendukung kesenian, kebudayaan dan sastera di sini. Mereka mempersembahkan sebuah dekon bertajuk “Hamparan Putih”. Hamparan Putih mengisahkan tentang kebobrokan kehidupan manusia yang sanggup bermusuhan kerana tamakkan harta kekayaan. Seperti lazimnya, mereka yang tamak selalunya akan tewas dalam satu-satu analogi. Dan begitulah yang dicetuskan dalam ‘ending’ oleh pengarah dekon ini iaitu Mohd Lutfi Mohidin. Dekon ini telah dijayakan oleh 6 peserta iaitu 2 orang memegang watak Mala dan Pura, seorang memegang watak lembaga, seorang pendeklamator dan 2 lagi terlibat sebagai jurulampu dan jurubunyi. Ternyata, khalayak begitu terpesona dengan kebolehan Suhaimi yang memegang watak lembaga ketika melakonkan hilai tawa lembaga. Walaubagaimanapun, apa yang mereka persembahkan seolah-olah sudah masuk ke galur teater, dengan gaya lakon dan monolog serta dialog yang berlebih-lebihan, tidak seperti dekon yang diwar-warkan oleh juruacara pada malam itu.

 

Selepas itu, 8 orang murid tahun lima dari Sekolah Kebangsaan Sri Putih yang mengelarkan diri mereka Kumpulan Sua Tari Andalas mengambil tempat di pentas dan mempersembahkan tarian zapin. Persembahan zapin ini nyata menarik minat khalayak terutama bagi penonton dari luar Johor yang pertamakali menonton. Pencapaian membanggakan, kumpulan ini pernah mewakili Batu Pahat dalam satu pertandingan zapin peringkat negeri dan mendapat johan. Atas kejayaan ini, mereka sering mendapat undangan untuk mengadakan persembahan antaranya acara rasmi Kerajaan Johor, Malam Patriotik Peringkat Kebangsaan, Pesta Bola Baling Antarabangsa dan Santapan Diraja Tengku Mahkota Johor.

 

Majlis diteruskan lagi dengan persembahan dikir barat oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Tun Ismail, Parit Raja. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar yang berumur dalam lingkungan 15-17 tahun iaitu pelajar tingkatan 3, 4 dan 5. Kumpulan ini pernah mendapat naib johan dalam karnival dikir barat anti dadah peringkat Batu Pahat. Persembahan mereka begitu menghiburkan walaupun ada kelemahan pada vokal juara dan tukang karut. Walaubagaimanapun, kumpulan yang mendapat bimbingan dari Kelab Dikir Barat Dirgahayu KUiTTHO ini berjaya mendapat tepukan gemuruh dari penonton seusai mereka membuat persembahan.

 

Meneruskan lagi acara, 5 siswi KUiTTHO yang menggelarkan Kumpulan Srikandi tampil ke pentas dan membuat persembahan tarian zapin. Kumpulan ini merupakan kumpulan sama yang membuat persembahan semasa pesta konvokesyen pertama pada tahun 2002 dahulu.

 

Baby Fastayaini seterusnya naik ke pentas dan menyanyikan sebuah lagu bertajuk “Kasih.” Tamat Baby menyanyi, Norasaini pula tampil dan mendendangkan sebuah lagu asli bertajuk “ Patah Hati.” Seterusnya, mereka berduet dan menyampaikan sebuah lagu irama Malaysia iaitu “Hati Kama”, sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris. Jika diasah, mereka berpotensi untuk menjadi penyanyi yang berjaya dan melangkah lebih jauh lagi.

 

Menutup acara pada malam itu, Ahmad Faizal dan Ramli tampil mempersembahkan seni silat tari. Persembahan mereka begitu memukau dengan gaya yang unik dan menarik. Gaya mereka ada yang serius, bersahaja dan lawak. Pasangan ini pernah mendapat emas dalam sebuah pertandingan silat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Malah paling membanggakan, mereka pernah sampai ke peringkat Sukan Malaysia (Sukma).

 

Majlis bersurai lebih kurang pada jam 11.00 malam. Semoga, acara-acara sebegini dapat diteruskan pada masa-masa mendatang dalam mengekalkan budaya bangsa. Ini penting kerana budaya bangsa adalah entiti ketamadunan sesebuah bangsa itu sendiri.

 

(http://www.communityzero.com/berbicara)
4. PERTANDINGAN DIKIR BARAT IPTA KALI KE – VII

 

Oleh : Nimoiz T.Y

 

 

PENGANJUR

Pertandingan Dikir Barat IPTA Kali Ke- VII ini telah dianjurkan oleh Persatuan Himpunan Anak-Anak Kelantan (HAAK), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Hal Ehwal Pelajar USM. Pertandingan ini diadakan adalah bersempena dengan Minggu Kelantan, USM,  tahun ini.

 

 

 

TARIKH & TEMPAT

 

Pertandingan ini telah berlangsung pada 24-25 Januari 2004 di Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Pada malam 24 Januari, acara yang dijalankan ialah rehaisal penuh iaitu pada jam 9.30 malam. Pertandingan pula berlangsung pada hari kedua iaitu dengan 2 sesi (petang dan malam).

 

 

 

TEMA

 

Pada tahun-tahun yang lepas, tema yang dibawa hanyalah sebuah sahaja. Walaubagaimanapun, untuk tahun ini, penganjur telah mengadakan anjakan iaitu membawa dua tema sekaligus. Setiap IPTA akan membawa satu tema sahaja dan tema yang dipilih oleh setiap IPTA telah ditetapkan oleh penganjur. Tema-tema ini ialah:

 

 

 

1. Warisan Seni dan Budaya Khazanah Berharga Ummah Sejagat

 

2. Mahasiswa Berintelektual Teras Pemangkin Kesejahteraan Negara

 

 

 

 

 

PENYERTAAN

 

Sebanyak 8 buah Universiti dan Kolej Universiti dengan 9 buah pasukan telah menghantar wakil iaitu:

 

 

 

Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), Batu Pahat

 

 

 

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

 

 

 

Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai

 

 

 

Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM), Melaka

 

 

 

Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

 

 

 

Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur

 

 

 

Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak

 

 

 

Kebanyakan pasukan menghantar wakil-wakil kelab dikir barat yang terbaik dari universiti masing-masing. Sebagai tuan rumah, USM telah menghantar 2 buah pasukan iaitu Abang lanun dan Sri Mutiara. KUiTTHO pula dengan Pasukan Dikir Barat Dirgahayu, UiTM dengan Sri Perindu, UTM - Ratib Serambi Budaya, KUKTEM – Citra Pawarna, UKM – Tunas Harapan Arti Sukma dan lain-lain.

 

 

 

Pertandingan ini telah berlangsung dengan 2 sesi iaitu sesi petang dan sesi malam. Daripada undian, pasukan KUiTTHO telah membuka tirai pada sesi petang. Ini diikuti oleh UiTM, UTM dan KUKTEM. Pada sebelah malam pula, sebanyak 5 pasukan lagi telah berentap. Ini dimulai oleh pasukan Abang Lanun dari USM, diikuti dengan UM, UIA, USM (Sri Mutiara) dan UKM.

 

 

 

SYARAT-SYARAT

 

Antara syarat-syarat pertandingan ialah, setiap pasukan mestilah terdiri daripada 24 orang ahli iaitu; Juara @ “Jogho” (1), Tukang Karut (1), Awak-awak (17), Pemain alat (5) yang terdiri daripada pemain Gendang Ibu, Gendang Anak, Gong, Marakas dan Canang.

 

 

 

Setiap lagu yang dibawa juga mestilah bertepatan dengan tema yang ditetapkan selain tidak menyentuh isu perkauman, tidak  ada unsur lucah dan lain-lain. Antara lagu wajib ialah lagu juara, lagu tukang karut dan wau bulan.

 

 

 

PERASMIAN

 

Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (TNC), HEP, USM pada jam 9.30 malam iaitu pada sesi kedua pertandingan. Dalam ucapannya, beliau melontarkan rasa bangga kerana masih ada pihak yang menggiatkan aktiviti kesenian dan kebudayaan yang semakin dilupakan oleh golongan remaja. Kebetulan, TNC adalah salah seorang peminat setia kebudayaan negeri Kelantan walaupun bukan anak Kelantan. Antaranya, beliau pernah menjadi Tok Dalang Wayang Kulit (berguru dengan Allahyarham Pak Hamzah) selain mengiringi permainan wayang kulit untuk pembacaan puisi Latiff Mohidin.

 

 

 

PENGHAKIMAN

 

Berikut ialah 4 orang panel hakim yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengadili pertandingan:

 

i.                En. Mohd Suhaimi Ibrahim (ketua hakim)

 

ii.              En. Mohd Zain Hassan

 

iii.            En. Rashidi Abd. Razak

 

iv.            En. Abd. Hadi

 

Mereka terdiri daripada penggiat persatuan dikir barat yang pakar dalam bidang masing-masing iaitu juara, tukang karut dan pemuzik.

 

 

 

Dalam ucapan oleh ketua hakim seusai semua pasukan berentap, beliau telah memperkata tentang cara-cara pemarkahan dibuat. Beliau telah menyentuh tentang lagu juara, lagu tukang karut, awak-awak, rima akhir dalam lirik serta banyak lagi. Dalam penggulungan, beliau sekali lagi menegaskan bahawa dikir barat adalah bidang seni suara. Gaya serta pakaian (kostum) hanya membawa markah yang kecil dan itu hanya sebagai pelengkap.

 

 

 

ACARA SELINGAN

 

Lebih kurang jam 12.30 pagi usai pertandingan, iaitu semasa menunggu audit terakhir panel hakim, khalayak telah disajikan dengan persembahan wayang kulit versi multimedia yang telah disediakan oleh pihak  penganjur.

 

 

 

KEPUTUSAN

 

Tempat Pertama      : Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

 

Tempat Kedua          : Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur

 

Tempat Ketiga          : Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang – Pasukan Abang Lanun

 

 

 

Juara terbaik telah dimenangi oleh Mohd Radzi Che Mat dari UiTM Shah Alam manakala Tukang Karut terbaik pula oleh tukang karut dari UM.

 

 

 

(http://www.communityzero.com/berbicara)

 

 

 

 3

MINGGU PENULIS REMAJA USAHA GILAP BAKAT PENULIS MUDA

Oleh Nimoiz T.Y

SERAMAI 36 peserta berumur antara 14-21 tahun dari seluruh negara telah menghadiri pogram penataran sastera anjuran Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu Minggu Penulis Remaja (MPR). MPR kali ini yang telah memasuki fasa ke-18 telah diadakan selama seminggu di Genting Permai Park & Resort, Genting Highlands, Pahang dari 29 Mei hingga 5 Jun 2004 yang lalu.

MPR yang dahulunya dikenali sebagai Minggu Remaja dan kali pertama diadakan pada tahun 1985 telah terbukti melahirkan penulis generasi baru seperti Faisal Tehrani, Shamsudin Othman, Zaen Kasturi, Salina Ibrahim, Saharil Hasrin Sanin, Hizairi Othman, Rahimidin Zahari, Nisah Haron, Amaruszati Noor Rahim, Uthaya Sankar SB serta ramai lagi. Ternyata, MPR telah berjaya mewujudkan penulis generasi baru yang kreatif, dinamik, berilmu, berani, berbeza, bercita-cita tinggi, bekerja keras, menuju apresiasi dan pencapaian global serta prihatin terhadap akar agama, bangsa dan negara.

MPR merupakan program penulisan secara terancang dalam membimbing para penulis remaja tanahair berbakat yang telah dikenalpasti pencapaian mereka dalam penghasilan karya kreatif yang pernah tersiar di media, terutamanya yang pernah memenangi hadiah atau anugerah atau apa-apa bentuk pengiktirafan karya kreatif. Kali ini, bakat calon peserta telah dikesan dengan kerjasama tiga majalah iaitu Tunas Cipta, Dewan Siswa dan Fokus SPM.

Antara tujuan MPR ialah untuk mengenalpasti penulis muda yang berpotensi bagi didedahkan dengan pengalaman penataran sastera di peringkat kebangsaan seterusnya memungkinkan mereka diserap ke peringkat serantau dan antarabangsa. Ia juga bertujuan untuk menggiatkan usaha ke arah penghasilan karya sastera yang bermutu terutama dalam genre puisi, cerpen dan novel selain melahirkan penulis generasi baru tanahair yang berbakat dan berpotensi dengan imej yang lebih dinamik, agresif serta kreatif melalui bimbingan yang terancang dan berterusan.

Telah terbukti, MPR merupakan wahana penting bagi DBP dalam membina dan menggilap bakat penulis baru dari kalangan remaja. MPR bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta untuk mempertajam persepsi dan sensitiviti dalam bidang penulisan, malah melatih calon penulis tanahair agar lebih peka kepada isu semasa, berfikiran terbuka, kritis, kreatif serta dapat menghidupkan daya imaginasi golongan remaja bagi mendepani alaf baru yang penuh dengan rencam tribulasi.

MPR kali ke-18 telah dimulakan dengan taklimat oleh penyelaras program iaitu Encik A. Wahab Hamzah seterusnya majlis perasmian oleh pengerusi program iaitu Puan Hajah Zainab Kassim yang juga ketua Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan.

Kali ini, MPR telah dibimbing oleh penulis muda mapan tanahair yang juga mantan MPR iaitu Shamsudin Othman untuk genre puisi dan Faisal Tehrani bagi genre cerpen serta novel. Para peserta telah didedahkan dengan asas-asas penulisan serta bagaimana menghasilkan  puisi dan cerpen yang baik. Selain aspek teori dan praktikal, turut diadakan ialah sesi bedah karya bagi menilai sejauh manakah karya peserta menepati sasaran.

Bersama Shamsudin Othman, peserta telah dibawa menelusuri alam perpuisian dari sorot eksplisit kepada yang lebih implisit. Shamsudin memulakan sesinya dengan siri pengenalan umum dan ciri-ciri penulis yang baik sebelum menjengah kepada pengenalan puisi. Ini penting bagi membolehkan peserta supaya dapat mengenali susur galur sejarah dunia perpuisian. Seterusnya, peserta dibawa untuk mempelajari beberapa aspek asas seperti idea, estetika, proses tercipta dan mencipta, gaya bahasa, gaya kepuitisan selain konsep umum seperti metafora, anafora, semile, rima dan sebagainya. Shamsudin juga turut menyentuh sedikit tentang eksistensialisme dan semiotik sebagai pendedahan awal.

Faisal pula memulakan sesinya dengan aspek penulis, karya dan khalayak. Menurut Faisal, setiap penulis mestilah mempunyai ideologi, pemikiran atau pegangan tersendiri. Beliau sejenak membawa peserta untuk mengkoreksi diri samada ingin memilih sastera popular atau sastera serius sebagai lapangan pengkaryaan masing-masing. Faisal seterusnya membimbing peserta tentang persediaan menulis cerpen melibatkan aspek kreativiti, bakat, sikap, disiplin dan pembacaan. Ciri-ciri asas cerpen seperti tema, plot, latar masa, latar tempat dan sebagainya turut disentuh selain panduan menulis cerpen secara terperinci. Turut ditekankan ialah sudut pandangan dalam sesebuah cerpen atau novel selain gaya bahasa seperti pemilihan diksi, sintaksis, figuratif, penerapan bahasa arkaik, tempo cerita dan penambahan bahasa asing.

Turut terlibat ialah Puan Ainon Mohd yang mengendalikan slot motivasi dan aspek penerbitan. Puan Ainon yang pernah berkhidmat dengan DBP dan kini berada di PTS Publications & Distributors serta  telah menghasilkan puluhan buku termasuk buku bersama suami iaitu Prof. Abdullah Hassan sudah tentunya mempunyai pengalaman luas dalam bidang penerbitan. Sekaligus, ilmu yang bermanfaat dapat disalurkan untuk dikongsi kepada peserta. Puan Ainon juga turut mendedahkan ciri-ciri “cerita” yang baik dan berpotensi untuk diterima penerbit selain peluang-peluang menerbitkan buku di PTS.

Peserta juga telah diberi pendedahan tentang dunia kepengarangan oleh SN. Datuk (Dr.) A.Samad Said. Dalam sesi bersama Sasterawan Negara, Pak Samad turut mendedahkan “Risiko” menjadi seorang Sasterawan Negara (SN), antaranya “terpaksa” terlibat dalam program kecil mahupun peringkat yang lebih tinggi. Pak samad juga turut menjawab beberapa soalan yang dikemukakan peserta antaranya hala tuju perjuangan sasterawan masa kini dan sasterawan ASAS 50.

Dalam sesi bersama penulis jemputan pula, MPR kali ini menampilkan penulis yang juga mantan MPR iaitu Zaen Kasturi. Zaen yang juga salah seorang “produk” MPR menyebut bahawa penulis yang berjaya mestilah tahu apa tujuan sebenar mereka menulis. Menurut Zaen lagi, penulis mestilah mempunyai entiti tersendiri. Justeru, sastera klasik tidak seharusnya dipinggirkan. Setiap calon pengarang mestilah turut menelaah teks lama misalnya Sejarah Melayu dan Sulalatus Salatin. Dengan ini, penulis akan dapat menerapkan kembali bahasa arkaik dalam karya dengan baik dan mengesankan.

Turut diadakan ialah diskusi karya mantan MPR yang melibatkan proses kreatif dan pengalaman pengkaryaan iaitu oleh novelis Salina Ibrahim dan cerpenis Saharil Hasrin Sanin. Salina turut membawa lima buah novel yang telah dihasilkannya untuk “dipertontonkan” sebagai pembakar semangat kepada peserta sebagai bukti bahawa bidang kepenulisan juga mempunyai masa depan yang cemerlang. Salina dan Saharil turut menceritakan bagaimana susur galur dunia kepengarangan mereka yang juga bermula dengan MPR.

Slot penghayatan seni pula menampilkan dua orang pensyarah dari Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBBM) yang menyentuh tentang puisi tradisional termasuk pantun, seloka, syair dan gurindam.

            Selain berkampung di Genting Highlands, peserta juga telah dibawa melawat ke Bahagian Majalah, DBP kuala Lumpur untuk slot bersama editor.  Di sini, para peserta telah dibawa melawat editor majalah terbitan DBP antaranya editor Dewan Sastera, Tunas Cipta, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa dan Dewan Masyarakat. Melengkapi lagi lawatan ke bahagian majalah, turut diadakan ialah sesi dialog bersama editor DBP melibatkan Encik Zaharuddin Abdul Rahman dan Encik Abdul Ahmad di samping Puan Nor Azah Abd Aziz dari Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Di sini, peserta berpeluang melontarkan apa-apa pertanyaan atau kemusykilan melibatkan aspek penerbitan. Para peserta juga telah didedahkan dengan peluang-peluang penerbitan karya di majalah-majalah terlibat.

Peserta juga turut dibawa melawat ke Pusat Sains Negara untuk menyaksikan Pameran 100 tahun Hadiah Nobel. Di sini, peserta telah dapat mengenali secara lebih dekat penerima-penerima Hadiah Nobel untuk kategori sastera antaranya Rabindranath Tagore, Nadine Gordimer, Yasunari Kawabata, Toni Morrison, Boris Pasternak, Gabriela Mistral, Selma Langerlof, Gao Xingjian, Kenzaboro Oe dan ramai lagi.

            Menutup tirai MPR 2004, peserta telah menunjukkan bakat masing-masing semasa persembahan. Ada yang berpuisi, berpantun, berlakon dan bernyanyi. Pada malam tersebut, tiga peserta telah dipilih untuk menerima tiga kategori anugerah sebagai unsur galakan. Salah satu anugerah ialah Anugerah Hizairi Othman. Paling membanggakan, dua daripada tiga anugerah ini telah diberikan kepada ahli e-Sastera.*

Diharapkan, semoga MPR kali ke-18 ini mampu menambah bilangan penulis generasi baru tanahair yang berbakat dan berpotensi dengan imej yang lebih dinamik, agresif dan kreatif dengan minda terbuka, horizon pemikiran yang kritis, berkeyakinan seterusnya menjadi penulis yang berwawasan dan garda depan. Kepada mantan MPR 2004, khalayak tentunya menantikan karya yang mampu dipertanggungjawabkan.

Tersiar di Utusan Malaysia, 21 Jun 2004

*Tambahan (dari Drirwan): Anugerah dan pemenang yang berkenaan adalah seperti yang berikut: (1) Nimoiz T.Y., Anugerah Hizairi Othman (berdasarkan kepimpinan dan kebolehan berkarya dalam beberapa genre), (2) Ida Munira, Anugerah Tong Wai Chi, berdasarkan  peserta paling aktif (keprolifikan berkarya), dan (3) Nur Hidayah Maarof, Anugerah Nadarajan, berdasarkan walaupun karya dihentam teruk semasa sesi bedah, tuannya masih mampu tersengih.

2.

MENGAPA SAYA BERKARYA DI LAMAN INI

Oleh: Nimoiz T.Y

“Lain padang lain belalang, lain orang lain pandangan”. Justeru, lontaran tulisan yang akan saya paparkan di sini hanyalah bersifat personal sahaja sehingga menarik saya supaya berkarya di laman ini (www.communityzero.com/penyair). Satu-satunya medium saya berkarya di alam siber bersama teman-teman yang sudah tentunya mempunyai minat yang sama.

Sebetulnya, saya adalah seorang penggemar cerpen dan puisi. Pantang melihat cerpen atau puisi, saya akan membacanya tidak kira di mana berada. Saya juga gemar mengumpul cerpen dan puisi karya penulis lain yang tersiar dalam dua akhbar perdana, iaitu Berita Minggu dan Mingguan Malaysia.

Suatu hari, sedang saya menikmati nasi bungkus (nasi kerabu daging bakar) beserta air milo panas sebagai kudapan pagi, Saya terbaca beberapa buah puisi dan cerpen dalam ruangan sastera dan budaya. Begitupun, betapa remuk redamnya hati ini apabila mendapati bahawa harga sastera tidak lebih dari sekadar pembungkus nasi kerabu sahaja. Saya juga terfikir-fikir sendiri, inikah harga penat lelah dan usaha murni penulis tanah air yang banyak menghabiskan masa untuk menghasilkan sesebuah karya sekadar lontaran idealisme masing-masing? Tetapi, inilah yang mereka dapat. Dengan bayaran honorarium atau royalti yang tidak seberapa. Pedih. Pedih sekali.

Selang beberapa hari, sedang saya menatap akhbar Berita Minggu, saya terbaca nota dalam ruangan "Diari" yang menyatakan bahawa pengendali laman ini mempelawa peminat puisi Melayu untuk menjadi ahli dan menyiarkan karya masing-masing. Dan saya rasakan, sudah sampai masanya saya menyiarkan karya yang selama ini menjadi kolektif peribadi saya sahaja.

Dalam nota ini, di bawahnya tertulis, untuk keterangan lanjut, hubungi drirwan@hotmail.com atau senwanbakar@um.edu.my . Untuk e-mail kedua, saya berfikir-fikir sendiri dan membuat andaian bahawa sudah tentu laman ini dikendalikan oleh ahli akademik Universiti Malaya (UM) yang pastinya berpengalaman luas dalam dunia penulisan kreatif. Satu per satu nama besar dalam dunia perpuisian tanah air timbul dalam benak saya. Antaranya, PM Rahman Shaari, Prof. Dr. Hasyim Yaacob, dan Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas. Dengan berfikir-fikir begini, keyakinan saya bertambah mantap. Lalu tanpa teragak-agak, saya terus join sebagai ahli laman ini. Saya berpendapat bahawa, adalah mustahil karya alam siber boleh dijadikan pembungkus nasi kerabu. Lainlah kalau karya itu di-‘print’ dalam bentuk kertas.

Sebagai permulaannya, saya publikasikan sendiri beberapa buah sajak untuk tatapan teman-teman penulis. Ketika itu, bilangan ahli komuniti ini lebih kurang antara 20 hingga 30 orang sahaja. Pada awalnya, saya jarang sangat melewati laman ini. Oleh itu, saya tidak tahu sangat tentang apa yang menariknya dalam laman ini. Cuma sekali-sekala sahaja saya meneroka. Kerana teringin sekali ingin mengetahui siapakah lagi yang turut berkarya di laman ini, saya perlu berbuat sesuatu. Saya tidak tahu siapa ahli lain kerana ramai yang memilih untuk menggunakan nick name yang pada pendapat saya pelik dan canggih belaka.

Lalu, saya cuba memasukkan profil diri dengan harapan ahli-ahli lain akan turut memasukkan nama masing-masing. Sekadar pengetahuan, saya adalah orang pertama yang menggerakkan ruangan profil. Esoknya, Drirwan sendiri pula memasukkan profil dirinya. Dari sinilah saya dapat tahu bahawasanya Drirwan itu sebenarnya adalah Irwan Abu Bakar. Orang yang sudah berpengalaman luas pada pandangan saya. Yang saya turut kagum kerana bagaimana seorang yang bidangnya tiada bersangkut-paut dalam bidang perpuisian tiba-tiba boleh terjun dalam bidang ini.

Sebelum ini, Drirwan ada menghantar e-mail kepada saya menyatakan bahawa sajak saya ada tersiar untuk ruangan ‘Puisi Hari Ini’ dan ‘Puisi Hujung Minggu’ dalam laman ini. Ketika itu, ruangan ini baru sahaja diwujudkan. Di situlah baru saya merasakan bahawa usaha saya ada juga orang yang menghargainya. Bagi saya, cukuplah kalau ada orang yang sudi membacanya daripada terperam tidak bermakna. Sekurang-kurangnya, saya dapat berkongsi pengalaman dan membaiki apa yang perlu.

Sebagai seorang yang meminati bidang ini, apabila ada kelapangan, saya gemar menjelajahi mana-mana laman web. Dan yang paling penting, laman itu mestilah bersangkut paut dengan elemen kesusasteraan. Sepanjang penelitian, dapat saya kategorikan bahawa terdapat 2 jenis laman web umum yang mengendalikan laman sastera. Maksud saya, yang berkaitan dengan puisi/sajak di mana karya ini adalah sumbangan pelbagai lapisan penulis.

1. Puisi yang akan mengalami proses peng‘editan’ daripada editor (tidak tersiar secara langsung).

2. Puisi yang dipublikasikan secara terus oleh penulisnya sendiri.

Bagi saya, puisi yang sudah elok tidak perlu diubahsuai.

Jika perkara ini berlaku, keaslian sesebuah karya itu tidak akan wujud lagi. Memadailah jikalau karya itu dibetulkan dari segi kesalahan yang ketara sahaja. Misalnya kesalahan ejaan. Apa yang saya rasakan kelainan laman ini ialah, penulisnya sendiri yang akan bertanggungjawab terhadap karya masing-masing. Kalau pahit, pahitlah. Kalau manis, manislah. Yang penting, penulisnya sendiri mestilah sanggup telan apa yang mereka hasilkan.

Sekadar berkongsi pengalaman, sebelum menyertai laman ini, saya pernah mencuba nasib dengan menghantar beberapa buah sajak ke beberapa buah penerbitan arus perdana negara. Walau bagaimanapun, usaha saya itu ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Saya tidak tahu langsung status karya yang saya hantar. Setelah berkira-kira sendiri, empat andaian yang boleh saya buat iaitu:

1. Karya itu tidak sampai langsung ke meja editor

2. Karya itu langsung dibakulsampahkan

3. Karya itu terus di-‘delete’ (Kalau dihantar melalui e-mail)

4. Karya itu diperam oleh pengarang (mungkin selamanya)

Kerana merasakan betapa berharganya akan sentuhan mata pena sendiri, hasil penat lelah sendiri, sekadar bereksperimen, saya mengubah ‘skill’ menghantar karya. Kalau sebelum ini, di akhir sekali, saya akan mencatatkan nama kampung saya, iaitu Gual Ipoh, Tanah Merah . Walau bagaimanapun, selepas itu saya tukar pula kepada Fakulti Kejuruteraan, KUiTTHO. Ini saya lakukan terhadap tiga buah penerbitan. Dan ketiga-tiganya barulah saya mendapat respon daripada pihak editorial.

Saya ada banyak kali juga menghantar sajak kepada editor salah sebuah akhbar. Ini saya lakukan melalui e-mail sahaja. Walau bagaimanapun, cuma sekali sahaja e-mail saya dibalas. Dari sinilah baru saya tahu bahawa karya saya memang ada sampai. Tetapi belum mencapai tahap yang diingini pengarang barangkali.

Kali pertama saya menghantar sajak ke URTV melalui e-mail, e-mail saya terus dibalas oleh ketua pengarangnya sendiri yang menyatakan kekagumannya bagaimana saya boleh menulis walaupun bidang pengajian saya berbeza. Cuma mengagak, saya berpendapat bahawa barangkali kerana mungkin saya menulis di bawahnya ‘Fakulti Kejuruteraan’. Barangkali nampak ‘educated’ pada pandangan editor terbabit. Sekali lagi saya berkira-kira sendiri, mungkinkah wujud budaya pilih bulu dalam bidang penulisan? Bagaimana pula halnya dengan penulis yang langsung baru mahu cuba menulis.

Akhir sekali, saya cuba untuk majalah Pelita Bahasa. Seingatnya, saya pernah tiga kali menghantar sajak tentang bahasa untuk siaran Pelita Bahasa. Setiap kali menghantar, saya akan sertakan antara satu hingga tiga buah sajak. Kali ketiga menghantar, barulah saya mendapat maklum balas daripada ketua editornya yang menyatakan bahawa sajak yang saya hantar telah diterima dengan selamat. Tetapi, bilakah agaknya akan tersiar?

Bagi sajak saya yang lain, di mana statusnya? Mungkinkah telah dibakulsampahkan?

Sejak itu, saya jarang menghantar karya ke mana-mana penerbitan. Bagi saya, biarlah saya sendiri yang memeram karya saya sehingga tiba waktu dan ketikanya. Buat apa berhabis duit menghantar sajak untuk siaran media perdana kalau usaha itu hanya sia-sia sahaja. Bagi saya, biarlah saya terus berkarya di laman ini selagi termampu. Sekurang-kurangnya, ada juga yang sudi membaca daripada menghantar karya ke penerbitan perdana, tetapi hanya dibaca oleh semut atau ulat yang mendiami tong sampah. Saya juga tidak perlu bimbang kalau-kalau karya saya dibakulsampahkan.

Anda pula bagaimana? Mengapa berkarya di laman ini?


Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub (Nimoiz T.Y)
rumah sewa, Parit Raja, Batu Pahat
25 Disember 2002.

 

1. BERKARYA, BAKAT ATAU MINAT?

  

BERKARYA, BAKAT ATAU MINAT? Itulah persoalan yang dilontarkan dan pastinya menarik minat khalayak untuk dikongsi bersama. Sebenarnya, minat atau bakat merupakan satu istilah yang kompleks tetapi subjektif dan  sukar diekspresikan secara formulasi (ringkas dan tepat). Kita sedia maklum bahawa minat dan bakat memberi konotasi yang komparatif. Ia bergantung kepada setiap individu itu sendiri. Malah, kadang-kadang ianya berubah mengikut persepsi mentaliti masing-masing.

 Dari istana peristilahan, minat merujuk akan keinginan kepada sesuatu manakala bakat pula ditafsirkan sebagai kebolehan semulajadi. Di sini jelas bahawa bakat dan minat memberi maknawi yang berbeza.

 Barangkali, minat mungkin juga boleh dikaitkan dengan aspek naluri. Apa itu naluri? Satu lagi persoalan yang mungkin juga boleh dikongsi bersama. Naluri merupakan kuasa semulajadi biologi yang mendorong seseorang bertindak mengikut satu-satu cara (Hilgord, 1979). Walaubagaimanapun, Fantino pula mentakrifkan naluri sebagai pola tingkahlaku yang semulajadi dan bukanlah sesuatu yang dipelajari. Daripada kedua-kedua perspektif ini (Minat dan naluri), kita seolah-olah menemukan satu konotasi yang hampir sama iaitu keinginan dalaman.

 Mengikut pelopor teori naluri yang terkenal, William McDougall, beliau menyatakan bahawa kesemua pemikiran dan tingkahlaku manusia dipengaruhi oleh naluri. Sebagai manusia normal, kita dianugerahkan pelbagai jenis naluri. Salah satunya ialah naluri ingin tahu. Kehadiran naluri ini mendorong manusia ingin menyiasat, mencuba dan meneroka. Begitu juga dengan skop penulisan kreatif. Naluri ingin tahu menyebabkan seseorang itu cenderung untuk mencoret sesuatu, contohnya soal kehidupan dan kemanusiaan.

 Mengikut Mustafa Jusoh pula (Cerpenis dari Kelantan) dalam pembentangan kertasnya, ‘Asas Penulisan Cerpen’, beliau menyatakan bahawa minat ialah keinginan atau kecenderungan seseorang dalam bidang yang diceburi. Menurutnya lagi, minat adalah sangat penting untuk digabungjalinkan dengan bakat bagi melahirkan seorang pengarang yang berjaya.

 Bagaimana pula dengan bakat? Menurut Mustafa lagi, bakat merupakan kebolehan semulajadi (bakat alam) yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Mustafa seterusnya membahagikan elemen bakat kepada 2 skop iaitu bakat dan usaha. Berikut diturunkan pecahan bakat dan usaha / kerja keras:

 

  1. 90 % bakat + 10 % usaha / kerja keras

 

    • Adalah insan yang istimewa. Dalam konteks ini, sasterawan dilahirkan BUKANNYA dibentuk. Maknanya di sini, seseorang itu telah dikurniakan anugerah yang istimewa untuk menjadi penulis yang baik.

 

  1. 10 % bakat + 90 % usaha / kerja keras

 

    • Adalah insan biasa dan perlu gigih berusaha jika mahu menjadi seorang penulis yang berjaya. Daripada perpektif ini pula, sasterawan jenis ini boleh dibentuk.

 

Dalam situasi sebenar, bakat dan minat adalah tidak mencukupi untuk memungkinkan seseorang itu menjadi penulis yang berjaya. Satu perkara yang dikatakan agak penting dan perlu ditambah untuk melengkapkan lagi bakat dan minat ialah CITA-CITA. Cita-cita memainkan peranan penting dalam melahirkan penulis yang berjaya. Di sini, cita-cita merujuk kepada hasrat atau harapan setiap individu pada masa hadapan (futurulistik). Tanpa cita-cita, barangkali boleh dikatakan absurd untuk mengembangluaskan bakat dan minat sewajarnya.

 Tanpa PEMBACAAN, minat dan bakat individu itu tidak mungkin dapat dikembangkan secara bersepadu. Oleh itu, penulis yang prolifik tidak akan hanya menekuni buku-buku, jurnal atau teks kesusasteraan dan bahasa sahaja. Skop pembacaan mestilah luas meliputi semua aspek kehidupan seperti bab politik, ekonomi, sosial, sejarah, geografi, agama, perakaunan, sains dan kejuruteraan. Salah satu cabang ilmu yang cukup penting dan perlu ditelaah bakal-bakal penulis atau penulis yang telah sedia bertapak ialah ilmu psikologi. Ini kerana, penulis dikatakan sebagai orang tengah untuk menyalurkan luahan masyarakat. Justeru, pendekatan psikologi sangat penting samada pendekatan behaviorisme, kognitif, humanis, psikoanalitik, dan neurobiologi. Ini akan membantu penulis mendekatkan diri dengan masyarakat secara efektif dan menghasilkan karya yang berpijak di bumi nyata, tidaklah bersifat surelisme semata-mata.

Untuk memperkasakan lagi bidang penulisan, penulis juga perlu mendalami teori kritikan samada moden atau pascamodenisme mencakupi strukturalisme,dekontruksi,semiotik,teksdelisme,

fenomenalogi dan banyak lagi (sekadar menyebut beberapa teori). Dengan ini, penulis sendiri akan tahu sedikit sebanyak kelemahan karya masing-masing walaupun tidaklah secara menyeluruh. Seorang sutradara teater yang juga penulis skrip drama pentas memberitahu, dia juga turut menekuni buku mewarna kanak-kanak semata-mata untuk menjiwai fragmen watak kanak-kanak di pentas. Impaknya, ini  akan membantu seseorang pengkarya itu menghasilkan karya yang baik, bermutu dan boleh dipertanggungjawabkan.  Tidak hanya berkisar seputar isu yang remeh, sempit dan picisan sahaja.

 Minat sudah ada. Bakat juga ada. Membaca pun rajin. Tetapi, langsung tidak menulis. Sebenarnya, jika situasi ini wujud, ianya seolah-olah sia-sia sahaja. Pengkarya yang baik sebenarnya perlu menulis setiap hari. Akan tetapi, seseorang itu mestilah bijak membahagikan masa supaya tidak mengganggu dan mengabaikan proses perjalanan rutin harian. Ini termasuklah komitmen kerja atau profesion sebenar masing-masing, tanggungjawab terhadap keluarga,  bersosialisai dengan induk masyarakat dan tanggungjawab terhadap Pencipta. Pengkarya yang baik mestilah mempunyai jadual penulisan yang tersusun dan sistematik supaya tidak mengganggu hal yang lain. Tetapi perlu diingat, isu TIADA MASA tidak boleh wujud dalam dunia seorang penulis.

 Dalam ujana penulisan kreatif tanahair, terdapat beberapa nama yang boleh dikatakan mempunyai bakat istimewa ini. Antaranya ialah Latif Mohidin, Ghafar Ibrahim dan Siti Zainon Ismail (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka bukan sahaja berkecimpung dalam bidang penulisan malah juga sebagai pelukis yang disegani. Di sini jelas bahawa mereka tidak mensia-siakan bakat alam yang dimiliki. Walaubagaimanpun, jika mereka hanya berbakat, tetapi tidak berminat, mustahil mereka boleh menulis dengan baik.

 Kita juga memiliki beberapa nama yang terdiri daripada golongan intelek samada profesional atau separa profesional yang juga tekun menulis. Antaranya ialah Lee Keok Chih, Nisah Haron dan Aminah Mokhtar. Lee Keok Chih sibuk dengan dunia kejuruteraanya, Nisah Haron dengan kerjaya guamannya manakala Aminah Mokhtar pula seputar pesakitnya. Walaubagaimanapun, kerana minat, langsung tidak menghalang mereka untuk turut sama terjun dalam dunia penulisan. Mereka juga dikatakan memiliki bakat yang istimewa. Di sini, dapat kita katakan bahawa mereka telah menggabungjalinkan minat dan bakat dengan komprehensif sekali dan menterjemahkannya ke dalam penulisan.

 Walaubaimanapun, setiap manusia dilahirkan berbeza bakat dan minatnya. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk mempergunakannya dengan efektif. Block ( 1971), dalam satu kajian yang melibatkan 100 orang lelaki dan perempuan untuk satu tempoh yang agak lama (25 tahun) telah merumuskan bahawa ciri-ciri individu seperti kawalan emosi, MINAT, kesabaran dan kebolehpercayaan tidak banyak berubah. Di sini. Dapatlah kita tafsirkan bahawa ia merujuk kepada aspek individu itu sendiri samada mahu atau tidak. Bakat dan minat penting untuk melahirkan karya agung. Itu perkara yang perlu dipegang.

 Secara keseluruhannya, dapatlah dikonklusikan seperti berikut:

  1. Tanpa minat, bakat yang dimiliki hanyalah sia-sia sahaja jika tidak diperkembangkan dengan berkesan.
  2. Walaupun tiada bakat, seseorang itu berpotensi menjadi penulis yang berjaya asalkan mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh dan penuh minat.
  3. Minat dan bakat tidak mencukupi untuk memungkinkan seseorang itu menjadi penulis yang berjaya. Beberapa  elemen lagi yang perlu digabungjalinkan ialah cita-cita, rajin membaca dan tekun menulis.

Terdapat satu jalan pintas untuk anda menjadi penulis yang berjaya. Jalan ini tidak memerlukan bakat atau minat. Tidak lain dan tidak bukan, jalan ini ialah penciplakan. Akan tetapi, sanggupkah anda memilih jalan ini?

 - Nimoiz T.Y (2003)

 

http://www.communityzero.com/berbicara