Anda Peminat Nimoiz Yang Ke-
Hit Counter

klik di sini untuk ke

GALERI GAMBAR

BIODATA

NIMOIZ  T.Y

Suria Pagi Di Benua Salji

KARYA CERPEN
SAJAK
SAJEN
ARTIKEL
ESEI PELBAGAI
ANUGERAH & HADIAH
KEGIATAN

 

PERHATIAN

Laman web peribadi Nimoiz T.Y telah berpindah ke:

www.esasterawan.com

 

BIODATA

NIMOIZ T.Y atau Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub dilahirkan di Kampung
 Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan. Mendapat pendidikan
awal di Sekolah Kebangsaan Ipoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan
Ipoh sebelum bertukar ke Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai
 untuk mengambil kursus aliran teknikal iaitu Kejuruteraan Awam.
Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Jabatan Kejuruteraan Awam,
Fakulti Kejuruteraan, KUiTTHO - (Kini Fakulti Kejuruteraan Awam
dan Alam Sekitar). Sekarang mengajar di Jabatan Matematik, Sains dan
Komputer (JMSK), Politeknik Mukah, Sarawak.

Mula menulis secara serius selepas tamat SPM (ketika berumur 17 tahun)
iaitu semasa menunggu keputusan peperiksaan SPM terutama setelah
mengikuti bengkel penulisan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Kelantan
serta Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA). Puisinya, 'Garapan Puitis
Buat Kekasih' dan cerpen 'Fatin Atau Nabila?' terpilih sebagai salah
sebuah daripada 6 karya terbaik semasa bengkel ini. Juga mendapat
tempat ketiga dalam acara deklamasi puisi pada malam peserta. Tiga
kemenangan 'peribadi' serentak ini telah menyuntik semangat baru untuk
beliau terus berkarya.

Menulis dalam genre puisi, cerpen, esei/artikel dan Novel Bersama.
Mula menyiarkan karya pada tahun 2001 dengan sajak eceran 'Ahlan
Wasahlan Ya Ramadhan' dan 'Mutiara Ramadhan', (Majalah Intelek, JDS
KUiTTHO, Sesi 2001), tapi hanya untuk edaran kampus sahaja. Dua buah
sajaknya yang pertama terbit serentak di media cetak ialah 'Penagih
Cinta' (Berita Minggu, 20 Oktober 2002) dan 'Menyerahkan Pemilik
Suara'  (Pentas Dunia, 20-27 Oktober 2002).

Setakat ini, ulisan beliau pernah tersiar di akhbar Berita Minggu dan
Mingguan Malaysia serta Utusan Malaysia, Pentas Dunia, Metro Ahad,
Tunas Cipta, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Siswa,
Dewan Agama & Falsafah, Sarina, URTV, Mingguan Wanita, Majalah I, Seri
Dewi & Keluarga dan majalah Noor (Indonesia). Karya beliau juga
termuat dalam beberapa buah buku bersama seperti Apas, Sajen, Selagi
Ombak Mengejar Pantai 8, Hostel: Debaran Kedua, Bayi Kota Berahi,
Suara Tamu Tioman dan Salju Jabal Musa (bakal terbit). Kumpulan Puisi
persendirian beliau, Jalan Baru yang memuatkan 100 buah puisi bakal
terbit tidak lama lagi (Boleh dibeli secara online di laman
www.esastera.com/kedai).

Alam siber memberi ruang yang lebih terbuka untuk beliau berkarya.
Beliau juga memiliki weblog persendirian
(http://nimoizty.blogspot.com) sebagai jurnal catatan peribadi. Selain
itu, beliau turut menyiarkan karya di laman  http://www.esastera.com ,
Bulanan E-Sastera (http://www.esastera.com/best), Sastera SMS
(http://www.esastera.com/sms), http://www.pustakamaya.net  dan
http://www.melayu.com . Untuk tujuan pengantarabangsaan, sajak
ecerannya ada diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Irwan Abu
Bakar dan Airmas_sz dan disiarkan di URL
http://www.communityzero.com/poets.

Beliau merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2004 anjuran
Bahagian Pengembangan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta
ahli Sekretariat Alumni MPR-DBP.
Biodata dikemaskinikan pada 17.02.2005

 

 

NIMOIZ T.Y DIWAWANCARA OLEH ABDULLATIP


1. Saudara Nimoiz T.Y, kali ini giliran saudara diwawancara. Pernahkah saudara mengikuti wawancara bertulis sebelum ini? Wawancara manakah yang paling menarik minat saudara membacanya? Dan pada pendapat saudara apakah faedah yang kita dapat dari wawancara ini?

PERTAMA SEKALI, terima kasih diucapkan kerana sudi mewawancara saya. Suatu penghormatan yang cukup besar saya rasakan. Tambahan, saya diwawancara oleh cerpenis dan novelis prolifik, sdr. Abdullatip.

Pernah. Saya suka semuanya. Pada pendapat saya, wawancara memang relevan kerana kita dapat mengetahui sesuatu hal atau perkara daripada tokoh yang diwawancara. Maklumat ringkas di ruangan "profil" hanya menyebut sedikit sahaja tentang diri dan karya sastera. Ini tidak mencukupi.

Selain itu, orang yang diwawancara juga dapat berkongsi pendapat atau pengalaman. Jika ada kesilapfahaman berlaku, mungkin akan dapat dibetulkan.

2. Khabarnya saudara dari keluarga "NIK". Boleh beritahu nama sebenar, tempat lahir dan sedikit mengenai latar belakang keluarga?

TIDAK
juga. Dalam salalilah keluarga saya, boleh dikatakan semuanya ada - "Nik", "Tuan", "Raja" dan "Tengku". Misalnya, nama sebenar saya "Nik Mohd Iznan bin Tuan Yaakub". Lihat, saya menggunakan nama "Nik" dipangkal nama manakala ayah saya "Tuan". Lebih kompleks, datuk saya pula menggunakan nama "Raja" di pangkal namanya. Kalau sepupu saya lagi pelik. Namanya "Tengku Zawawi bin Nik Mustapha" manakala abangnya pula "Raja Azam bin Nik Mustapha".

Untuk adik-beradik saya, kalau yang lelaki akan menggunakan nama "Nik" manakala yang perempuan pula "Tuan". Abang saya yang sulung telah menterbalikkan tradisi ini untuk anak-anaknya, yang lelaki "Tuan" manakala perempuan pula "Nik". Entah, kadang-kadang saya sendiri pun pelik. Malah tidak berapa faham.

Saya dilahirkan di Kampung Gual Ipoh, 17500, Tanah Merah, Kelantan. (Nama "Gual Ipoh" sempat saya semadikan dalam sajak saya, "Gual Ipoh (1)" dan boleh dibaca di "Penyair". Sajak ini juga telah tersiar dalam Berita Minggu, dedikasi kepada semua orang Gual Ipoh dari anak Gual Ipoh yang tinggal di perantauan. Saya bercadang untuk menerbitkan siri-siri sajak Gual Ipoh yang seterusnya (2, 3, 4, 5..) seperti siri "Aku Dalam Sajak" (Arisel BA), "Ingatan Kepada Kawan" (Zaen Kasturi) dan Lim Swee Tin, kalau tidak silap "Perempuan Yang Sedang Tidur Itu".)

Saya anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik. Lima lelaki dan tiga perempuan. Saya merupakan anak bongsu yang lelaki. Yang sebetul-betulnya bongsu ialah adik perempuan saya yang kini sedang belajar di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh dalam tingkatan empat.

Daripada lapan orang ini, lima orang sudah berumahtangga. Yang tinggal, abang saya (anak ke-6), saya (anak ke-7) dan adik saya (anak ke-8 @ bongsu). Alhamdulillah, setakat ini saya sudah mempunyai tujuh orang anak saudara.

Yang tinggal di rumah hanya emak dan ayah. Abang saya yang sulung juga menetap di kampung, tapi di rumah sendiri. Yang lain tinggal di luar kerana urusan kerja. Salah seorang abang saya (anak ke-4) kini bermastautin di Perancis bersama isteri dan seorang anaknya, kerja di sana

3. Adakah ayah dan ibu saudara masih hidup? Boleh ceritakan bagaimana kehidupan saudara di zaman kanak-kanak?. Benarkah saudara anak paling manja?.

Ya, malah mereka masih sihat lagi. Perlukah saya ceritakan lebih lanjut? Oklah, biarpun tidak ditanya, biarlah saya ceritakan serba sedikit mengenai mereka.

Ayah saya merupakan pesara Lembaga Letrik Negara (LLN). Sebagai Atendan Letrik. Saya pernah curi-curi tengok slip pencennya, cuma RM 150.00 lebih-lebih. Untuk menampung kehidupan, sekarang ayah saya bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah sekolah sebagai pendapatan tambahan. Abang-abang dan kakak-kakak saya sebenarnya ada kirim duit, tapi terus masuk ke dalam akaun Tabung Haji. Ayah dan emak malas usik.

Baru-baru ini ayah saya pernah diarahkan oleh syarikat untuk berundur kerana umurnya sudah menjangkau 62 tahun (Lahir tahun 1942). Pun, kerana rekodnya yang baik dengan pihak sekolah, kontraknya telah disambung semula. Lagipun, ayah saya jenis orang yang tidak boleh duduk diam. Ada sahaja kerja yang dibuatnya. Ayah saya juga memelihara empat ekor lembu dan dua ekor kambing. Sekadar "main-main".

Emak saya pula merupakan seorang penoreh getah. Bukan menoreh getah sendiri, tapi getah orang lain. Kami sebenarnya ada kebun getah sendiri, tapi lokasinya agak jauh daripada rumah. Jadi, getah kami orang lain yang menoreh. Terbalik.

Kehidupan semasa kanak-kanak? Kalau hendak diceritakan, memang cukup panjang. Saya takut jadi macam autobiografi pula.Tapi secara ringkasnya, keluarga saya tidak pernah mengongkong saya dalam melakukan sesuatu perkara. Untuk membuat keputusan samada kecil atau besar, semuanya bergantung kepada diri saya. Sebagai contoh, kalau saya nak beli baju raya, emak akan bagi duit dan saya pergi beli sendiri. Ketika zaman kanak-kanak juga, macam-macam permainan telah saya main. Main wau, mandi di sungai, "modify" basikal, curi buah kelapa bapa saudara sendiri, buat kem dalam semak, main masak-masak, main perang-perang, main rakit, lastik burung dan sebagainya. Untuk lastik burung, saya bersyukur kerana saya tidak dikurniakan kebolehan melastik tepat pada sasaran. Sepanjang-panjang hidup saya, hanya sekali sahaja saya melastik sampai jatuh. Itupun butung itu telah terlepas selepas saya bawa pulang ke rumah. Oh ya, satu lagi, semasa kanak-kanak saya suka ratah Milo.

Anak paling manja? Tidak juga. Tapi memandangkan saya hanya sesekali pulang ke kampung, perhatian yang lebih biasanya akan diberikan. Saya telah tinggalkan Gual Ipoh sejak dari tingkatan 4 lagi. Sebenarnya, bukan kepada saya seorang, malah kepada adik-beradik yang lain. Maklumlah, emak dan ayah saya hanya tinggal berdua di kampung. Kalau hari ayah bekerja, emak akan tinggal seorang diri di rumah.

4. Apakah faedah yang saudara dapat setelah menyertai esastera.com?. Boleh ceritakan bagaimana bermulanya penglibatan saudara dengan laman web ini?

TENTANG bagaimana saya menyertai esastera, telah saya ceritakan panjang lebar dalam artikel "Mengapa Saya Menulis di Laman Ini". Artikel ini boleh diakses di laman "Berbicara" atau "Web page" saya.

Faedah:

1. Dapat berkenalan dengan ramai penulis yang juga ahli esastera samada penulis mapan atau baru.

2. Melalui laman inilah sajak dan profil saya dipetik oleh Arisel BA untuk kolum Sastera dan Budaya Tabloid Pentas Dunia. Inilah karya saya yang pertama di media cetak selain sajak "Penagih Cinta" dalam Berita Minggu yang disiarkan pada hari yang sama.

3. Peluang berkenalan dengan editor majalah dan wartawan. Misalnya Sri Diah, Arisel dan Dahrie.

4. Karya berpeluang diulas oleh penulis lain – Nakhoda, Cikgu Hasimah, Zainal Lasim dan Abdullatip.

5. Berpeluang memiliki laman web persendirian menggunakan kerangka esastera. (esastera.com/dot dot dot). Misalnya, laman web saya pernah dikunjungi oleh penulis berkaliber seperti Marsli NO dan Drs Ahmad Fadzil Yassin (AF Yassin) serta lain-lain.

6. Tidak perlu terbelek-belek di kedai majalah jika ada karya yang tersiar di media cetak. Saya sudah banyak kali dimarah oleh tuan kedai kerana asyik membelek-belek sahaja, tetapi tidak membeli. Adalah mustahil untuk saya membeli semua majalah. Paling banyak pun setakat tiga empat buah sahaja. Kalau ada karya ahli esastera yang tersiar, biasanya ahli lain akan tinggalkan notis di papan nota.

5. Khabarnya saudara kenal rapat dengan sdr Nakhoda. Boleh ceritakan pandangan saudara tentang dirinya dan adakah saudara tahu kenapa dia meninggalkan esastera.com dan membuka laman web sendiri?

BOLEH juga dikatakan begitu. Saya pertamakali jumpa Nakhoda di sebuah kedai kek. Kami sembang (sebenarnya bukan sembang, yang banyak bercakap hanya Nakhoda) sehingga kedai itu tutup. Kami tak perasan pun. Tuan kedai tak tergamak nak "halau" kami, jadi dia matikan lampu di ruang sebelah sana. Kami faham. Di luar kedai, kami sambung lagi.

Kalau ada kelapangan, biasanya saya akan ke rumah Nakhoda pada hujung minggu (Sabtu). Saya akan ke Bandar Batu Pahat lebih kurang jam 11.00 pagi untuk mendapatkan majalah terbitan DBP di sebuah toko buku yang juga wakil pengedar DBP di sana. Semasa balik, saya akan singgah di rumah Nakhoda. Saya sengaja pilih waktu tengahari sebabnya boleh terus makan nasi, sekaligus boleh "save budget" (ha ha ha - sebenarnya Nakhoda yang minta saya datang tengahari). Selepas itu, kami akan berbual-bual tentang hal-hal sastera.

Saya juga sudah tiga kali menghadiri program anjuran esastera di Kuala Lumpur. Semuanya saya tumpang kereta Nakhoda. Nakhoda juga pernah bawa saya jumpa Dr. Awang Sariyan di menara DBP. Alangkah bangganya saya apabila Nakhoda perkenalkan saya kepada Dr. Awang, "Cikgu (panggilan mesra Nakhoda kepada Dr. Awang Sariyan), ini Nimoiz, sahabat saya. Dia juga seorang penulis." Kembang-kempis hidung saya. Rasa macam tidak percaya yang berhadapan dengan saya sekarang itu ialah Dr. Awang sariyan.

Ketika menghadiri majlis penyampaian Hes.Com, kami sempat singgah di Mid Valley. Di sana, saya mengidam nak makan nasi kerabu. Tapi, betapa terkejutnya saya ketika menghulur pinggan, pelayan tu cakap: "RM 6.00". Apabila saya menghulur duit, cepat-cepat Nakhoda memintas. "Tak pe, saya belanja."

Nakhoda pernah beritahu kepada saya, dulu dia pernah juga ikut seseorang. Sekarang sudah sampai masanya untuk dia buat seperti orang itu buat kepadanya dengan harapan saya pun akan buat begitu kepada orang lain. Jadi, boleh dikatakan, keluarga Nakhoda sudah macam keluarga angkat saya di Johor. Pendapat saya tentang Nakhoda, dia memang seorang yang baik.

Tentang mengapa membuka laman web sendiri, Nakhoda cakap yang dia ada visi tersendiri. Setiap penulis mesti ada wawasan jik aingin berjaya. Minat Nakhoda lebih kepada muzik. Nakhoda pernah bawa saya naik ke atas loteng rumahnya. Dia tunjukkan kepada saya dua buah organ (Dengan saiz yang besar macam itu, saya fikir harganya mungkin mencecah tiga empat ribu). Malah, dia dan anaknya sempat mainkan beberapa buah lagu. Di dinding, tergantung sijil-sijil dari Sekolah Muzik Yamaha (kalau tidak silap). Dia juga tunjukkan saya beberapa buah manuskrip yang telah dikompilasikan. Tebal juga. Saya fikir, itu kumpulan puisi atau lirik lagu. Saya sempat juga intai-intai, ada satu rak buku-buku sastera. Di lantai pula, bertimbun-timbun koleksi majalah lama terbitan DBP seperti Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan lain-lain.

6. Saudara bukan pelajar aliran sastera tetapi saudara minat menulis. Apakah yang mendorong saudara menulis?. Adakah ayah dan ibu saudara memberi galakan?. Dan apakah cita-cita saudara dalam dunia penulisan?

DALAM sistem pendidikan di Malaysia, aliran pengajian sama ada sains, teknikal, ekonomi, sastera atau apa-apa sahaja bermula ketika seseorang pelajar itu masuk tingkatan empat. Kedudukan samada dalam kelas sains atau sastera bergantung kepada keputusan PMR. Saya meminati bahasa Melayu sejak dari sekolah rendah lagi. Jadi, soal bukan pelajar aliran sastera, itu tidak timbul dalam diri saya. Lagipun, ini satu kelebihan kerana saya tidak akan terikat dengan teori dan bebas menggarap apa-apa yang melanggar konvensi.

Analogi yang boleh saya buat begini; Dua orang pelajar Politeknik "X" telah disuruh oleh pensyarah pelatih untuk memotong kayu dengan menggunakan sebilah gergaji. Seorang daripadanya belajar cara memotong kayu dalam bilik kuliah manakala seorang lagi tidak. Selepas cukup masa yang ditetapkan, didapati kedua-kedua pelajar ini telah berjaya memotong kayu berkenaan. Cumanya, didapati pelajar yang ada belajar tadi agak sukar memotong kayu berkenaan memandangkan dia terlaku terikat dengan cara memotong kayu. Misalnya, kayu berkenaan mestilah diapit dengan apit G dahulu, kena tanda dahulu tempat yang hendak dipotong, kecondongan gergaji mesti mengikut darjah yang ditetapkan, cara menolak dan menarik gergaji serta banyak lagi. Andaikata mutu pemotongan pelajar ini kurang memuaskan, tentu dia akan dipersoalkan.

Apapun, jika nilai kepersisan atau kecantikan pemotongan oleh pelajar yang tidak belajar dalam bilik kuliah tadi kurang memuaskan, dia tentulah tidak boleh dipersalahkan kerana dia tidak belajar.

Tentang galakan, terus terang saya katakan, ayah dan ibu saya tidak pernah memberi galakan secara lisan. Semuanya bergantung kepada saya. Awal-awal dulu, saya menyorok semua hasil tulisan samada yang pernah tersiar atau tidak. Sebab itu saya guna nama pena. Apapun, segala-galanya terbongkar dan terjawablah misteri siapa "Nimoiz T.Y" apabila adik saya terjumpa sajak saya yang tersiar dalam Pentas Dunia kerana di dalamnya terdapat profil sama.

Lebih serius lagi apabila sajak "Gual Ipoh (1)" tersiar. Satu kampung tahu. Apapun, saya tahu, ayah, emak dan ahli keluarga memberi dorongan secara dalaman, tidak secara terus terang. Misalnya, saya ada jumpa keratan karya saya yang disimpan oleh ayah. Malah, siap fotostat lagi. Kalau ayah saya baca akhbar di rumah orang lain, dan di dalamnya termuat karya saya, ayah saya akan bawa pulang ke rumah. Sebenarnya, inilah galakan yang lebih kuat berbanding galakan secara lisan.

Cita-cita dalam penulisan, untuk masa terdekat ini saya mahu memastikan ada walau sebuah karya saya tersiar dalam apa-apa akhbar atau majalah. Cita-cita saya cukup tinggi. Kali pertama dahulu, saya sudah berani menghantar ke Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Bagi saya, hanya dua akhbar ini sahaja yang boleh saya peroleh secara mudah di kampung. Rupa-rupanya agak sukar juga untuk menembusinya. Suatu ketika dahulu, terdapat satu ruangan dalam akhbar Berita Harian iaitu "Medan Kreatif Riong." Ruangan ini dikhususkan untuk menyiarkan cerpen dan puisi pendatang baru. Saya begitu yakin karya akan tersiar dalam ruangan ini kerana untuk menghiasai laman "Sastera dan Budaya" Berita Minggu, saya fikir itu adalah mustahil. Alhamdulillah, dengan kesungguhan, kini saya telah berjaya menembusinya.

Misi saya seterusnya ialah Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, dan Dewan Sastera di samping artikel dalam Dewan Bahasa. Saya rasa tidak mustahil jika saya terus berusaha.

Saya pernah menghantar e-mel kepada Puan Rozninah (Editor Dewan Sastera) untuk mengucapkan terima kasih kerana sudi menyiarkan surat pembaca saya, Mac 2004. Saya tulis lebih kurang begini. "…Puan, terima kasih kerana sudi menyiarkan surat pembaca saya dalam Dewan Sastera, Mac 2004. Di kesempatan ini saya ingin bertanya, adakah sidang editor Dewan Sastera ada menerima kiriman sajak saya. Saya tidak pasti sama ada sampai atau tidak. Untuk makluman, bagi majalah terbitan DBP, sajak saya pernah tersiar dalam Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, dan Tunas Cipta di samping majalah francais untuk Media Network Sdn. Bhd. iaitu Dewan Agama dan Falsafah dan Dewan Siswa. Sekian, semoga Dewan Sastera terus maju sebagai penjana sastera global…"

Agak lama juga saya menunggu. Alhamdulillah, emel saya dibalas. Jawab Puan Rozninah, juga lebih kurang; "Sidang editor DS ada menerima tulisan saudara. Masih dalam pertimbangan. DS mengutamakan penulis mapan…"

Penulis mapan? Saya fikir, saya perlu terus mencuba walaupun belum lagi mapan. Setahu saya, ada juga puisi penulis yang tidak dikenali tersiar dalam Dewan Sastera. Sampaikan pengulas puisi pada bulan berikutnya menulis yang dia pun tidak pernah jumpa nama itu.

Semasa menyertai MPR, kami berkesempatan bertemu muka dengan Puan Rozninah. Dan sekali lagi Puan Rozninah menyebut, "...DS mengutamakan penulis mapan. Tapi, tidak salah jika ingin mencuba..." Dan hasil percubaan salah seorang penulis muda (Ummu Hani Abu Hassan – juga ahli esastera), karyanya tersiar dalam DS Jun 2004 di ruangan Ujana Klasik. Ummu Hani juga lebih kurang umurnya dengan saya. Jadi, mengapa saya tidak boleh? Saya juga tumpang gembira rupa-rupanya Ummu Hani sekarang ini merupakan timbalan editor Dewan Masyarakat (sebagai pelatih UM). Setahu saya, karya Lee Keok Chih juga pernah menembusi DS ketika beliau masih di sekolah menengah. Tidak mustahil.

Saya juga bercita-cita ingin memiliki kumpulan puisi dan cerpen persendirian. Selain itu, pada masa akan datang saya ingin juga menulis novel yang boleh memberi kesan mendalam kepada pembaca. Macam novel Senjakala (Baharudin Kahar). Saya juga kalau boleh ingin menghasilkan karya yang bila disebut, ada sinonimnya. Misalnya kalau sebut Salina, nama A. Samad Said akan terbayang. Kalau sebut Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, nama Keris Mas akan terlintas. Kalau sebut Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, nama Anwar Ridhwan akan terngiang-ngiang manakala kalau sebut Orang Tua di Kaki Gunung, nama Azizi Hj. Abdullah akan datang.

Cita-cita penulisan dalam jangka panjang, "…Mengislahkan diri dalam mengislahkan orang lain, dan hidup dalam kelompok dan suasana mereka yang terislah...".


7. Saudara adalah pemenang Hadiah esastera.com 2003. Adakah saudara sudah menjangka kemenangan itu?. Bagaimana perasaan saudara bila diumumkan keputusan tersebut?.

SEBENARNYA, saya langsung tidak menjangka. Ketika draf pertama Antologi "Apas" dikeluarkan, ketiga-tiga sajak yang layak ke peringkat akhir jauh melencong dari dugaan saya. Saya jangka sajak lain yang bakal termuat dalam antologi "Apas". Tapi, rupa-rupanya tidak.

Alhamdulillah, saya bersyukur. Kemenangan ini telah menyuntik lebih banyak "Hormon" semangat untuk terus menulis."…Menulis Terus Menulis…"

8. Ada yang tidak berpuas hati dengan pemilihan saudara sebagai pemenang Hes.com 2003. Berbagai reaksi diluahkan di sini hingga menghangatkan suasana esastera. Apa perasaan saudara ketika itu?

SAYA tak berasa apa-apapun sebab saya tidak kenal nama-nama mereka yang tidak puas hati tu. Kronologinya seolah-olah saya terdengar bunyi hantu ketika pulang kelas malam. Buat apa nak takut kalau kita tidak nampak. Mungkin orang kampung pasang "tape" untuk menakut-nakutkan anak muda suka keluar malam. Lainlah kalau tiba-tiba hantu tu muncul depan mata saya. Mungkin rasa seriau juga.

Bagi saya, mereka yang mempertikaikan kemenangan itu seolah-olah tidak menghormati keputusan hakim. Semua orang tahu siapa hakimnya. Rasanya, mahkamah agung pun akan menolak kalau sesuatu petisyen itu dihantar semacam surat layang.

9. Selepas dinobatkan sebagai penyair terbaik esastera.com saudara agak jarang muncul di laman web ini dan jarang menyiarkan karya berbanding sebelumnya. Mungkinkah kemenangan itu dan kritikan mereka yang tak puas hati sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saudara?

SEPERTI yang saya cakap tadi, saya tak rasa apa-apa pun. Sebenarnya, pada waktu itu saya masih dalam "iddah". Saya terlalu ghairah ingin melihat karya tersiar di media cetak. Akan tetapi, saya telah melakukan satu kesilapan besar iaitu tidak mencatatkan mana sajak yang sudah dihantar dan mana yang belum. Jadi, fail sajak saya bercelaru.

Saya lebih gemar hantar sajak secara pukal. Sebagai contoh, saya akan hantar ke 8 penerbitan sekaligus. Setiap penerbitan biasanya saya akan sertakan antara 1 hingga 3 buah sajak. Bermakna, saya akan hantar lebih kurang 15 sajak dalam satu-satu masa. Kalau 8 atau 9 atau 10 kali saya hantar, jumlah yang telah saya hantar sudah berpuluh-puluh buah. Dari segi kebarangkalian, jika 15 buah sajak yang saya hantar, mungkin hanya sebuah yang tersiar. Itupun kalau bernasib baik.

Sebenarnya, saya bukan jarang muncul. Tapi, saya masuk secara senyap-senyap. Ketika saya masuk, saya tidak tulis apa-apa pun di papan nota. Kalau ada ahli yang peka, tentu akan terperasan kehadiran saya pada "recent login". Pun, saya telah mula menghantar kembali sejak akhir-akhir ini kerana tempoh "iddah" sudah tamat. Sejak bulan Mac hingga Mei lalu pula, saya ada komitmen lain yang lebih penting. Tapi, saya tetap juga masuk. Macam yang saya cakap, masuk secara senyap-senyap.

Kalau masa bercuti di kampung pula, saya tidak mempunyai kemudahan internet. Bukan setakat internet, di rumah saya juga tidak ada telefon. Kalau "gian" sangat nak masuk esastera, saya terpaksa ke bandar Tanah Merah yang sejauh lebih kurang 25 Km. Kalau "CC" penuh pula (biasanya budak sekolah main "game"), saya akan balik dengan tangan kosong.

Di Batu Pahat, "CC" dekat sahaja dengan rumah saya. Kalau tidak ada duit, saya boleh ke makmal komputer. Tak payah bayar pun. Boleh akses dari pagi sampai malam. Sampaikan, ketika minggu ulangkaji saya pernah "login" esastera dari pagi sampai petang kerana makmal komputer kosong. (Saya berhenti sembahyang zohor dan sambung lagi).

Dulu, saya pernah ambil subjek Pengaturcaraan Komputer (C+++). Untuk kelas saya, dua buah makmal komputer digunakan. Semasa pensyarah ke makmal sebelah, saya akan bukan laman "penyair". Apabila pensyarah kembali, saya buat kerja semula. Bermakna, saya tidak pernah tinggalkan esastera walau sesibuk mana sekalipun jika kemudahan itu ada.

10. Selain dari saudara, Ida Munira memenangi hadiah sajen terbaik dan Nakhoda sampai 15 kali naik ke pentas mengambil hadiah. Apabila saudara sudah jarang masuk dan jarang menyiarkan karya di penyair, sdr Ida Munira sudah jarang masuk dan tidak lagi menyiarkan sajen dan sdr Nakhoda pula tidak lagi menyertai esastera.com, ada yang berpendapat anda bertiga seolah tidak menghargai esastera.com. Apa komen saudara?

ADA suatu cerita untuk dikongsi bersama: "...Seorang anak kampung telah belayar di lautan. Semasa belayar, dia terpaksa singgah di sebuah pulau bernama pulau Bintari untuk mendapatkan bekalan air mentah. Agak lama juga dia di pulau itu sehingga tidak sempat menjenguk keluarganya di kampung…"

Tanggapan orang kampung 1: Si anak itu tidak mengenang budi

Tanggapan orang kampung 2: Si anak itu tidak mengenang jasa

Tanggapan orang kampung 3: Si anak itu anak yang derhaka

Cerita di sebalik tabir: Semasa di pulau Bintari, anak itu menjumpai sebuah perkampungan Melayu yang aman-damai. Yang peliknya, orang Pulau Bintari tidak makan ikan kerana tidak tahu cara penagkapan ikan. Merasakan sudah menjadi tanggungjawabnya, si anak tersebut telah rela meninggalkan keluarganya untuk membantu orang kampung cara-cara penangkapan ikan. Si anak sedar dia pun tidak berapa pandai sangat. Tetapi cukuplah sekadar membantu, boleh juga merasa ikan. Orang kampungnya tidak tahu yang pulau ini tidak mempunyai talian internet. Anak murid ini pula terpaksa menggunakan duit poket sendiri untuk membeli bahan-bahan pengajaran atau barang-barang keperluan harian..." . Jawapan sebenar: ?

Sebenarnya, Ida juga hanya menggunakan kafe siber. Masuk kafe siber bukan percuma. Kena bayar. Ida pun macam saya, masih belajar. Masih bergantung kepada duit biasiswa atau pinjaman. Kami perlu berjimat. Kalau tidak, hujung semester makan lempeng. Alhamdulillah, hasil penjimatan ini, Ida sekarang sudah berjaya menerbitkan "Pendatang Malam". Nakhoda pula awal-awal sudah cakap yang dia akan kurangkan penglibatan di esastera pada tahun 2004. "So?".

11. Kalau tidak ada apa-apa halangan, Hescom.2004 akan diadakan tidak lama lagi. Boleh saudara sebutkan nama-nama mereka yang saudara fikir layak menerimanya?

SERAHKAN saja kepada kebijaksanaan hakim. Harap-harap lepas ni tidak akan ada lagi kontroversi.

12. Karya saudara pernah tersiar di esastera.com. Dan kini karya saudara tersiar di media cetak. Antara karya yang tersiar di media cetak dengan yang tersiar di internet mana satu yang lebih mengembirakan hati saudara?

TENTULAH kedua-duanya sekali.

Soalan Sains: Apakah yang berkaitan dengan katak?
  1. binatang yang melompat
     
  2. Kaloula Pulchra
     
  3. Binatang yang hidup dua alam
     
  4. Tidak berekor.
     

Jawapan: Semuanya betul. Dalam konteks sastera, jawapan yang saya pilih ialah (c), iaitu binatang yang hidup dua alam. Katak mempunyai kelebihan berbanding binatang lain kerana ia boleh hidup dua alam.

Jadi, saya cuba ikut resam katak. Saya akan cuba juga berenang di air walaupun saya tahu memang saya tidak pandai berenang. Sekurang-kurangnya, saya ada usaha. Apapun, jangan khuatir, saya ada ikat tali pada pokok kayu di tebing.

13. Khabarnya semasa mengikuti MPR di Genting Highlands, saudara dilantik menjadi Tok Penghulu dan menerima hadiah kerana kesungguhan yang saudara tunjukkan. Boleh kongsi pengalaman saudara?

SERAMAI 36 peserta telah menyertai MPR tersebut. 12 orang peserta lelaki manakala 24 orang peserta perempuan. Dari esastera, 4 orang peserta telah menyertainya iaitu saya, Amir Mukhriz, Ida Munira dan Ghafirah.

Saya masih ingat pesanan dari A. Wahab Hamzah, "Ingat, kalau ada apa-apa yang berlaku, Penghulu orang pertama yang akan saya cari." Apapun, saya bersyukur sebab tidak ada perkara yang tidak baik berlaku. Lagipun, semua peserta MPR 2004 semuanya baik-baik dan mudah mesra belaka. Jadi, saya dapat tumpukan perhatian kepada bengkel.

Pengalaman: Dari kalangan peserta ini, rupa-rupanya masih ada yang belum pernah jumpa "swimming pool" (termasuk saya). Selepas bengkel pada waktu petang, kami akan terjun dalam kolam renang ini sama-sama.

Sebagai penghulu, tidak banyak tugas yang perlu saya jalankan. Saya hanya ditugaskan untuk memastikan semua peserta mencukupi sebelum sesuatu sesi dimulakan. Kalau tidak cukup, kena pergi panggil. Selain itu, saya juga ditugaskan mencari peserta untuk jadi MC bagi satu-satu majlis. Saya juga turut ditugaskan untuk menyampaikan cenderamata kepada penceramah selepas selesai sesi. Paling bertuah, saya kena menyampaikan ucapan semasa malam penutup. Sebenarnya, saya cukup gementar. Tambahan, VIP pada malam tersebut ialah Tuan Hj. Hamdan Yahya, Hajjah Zainab Kassim dan A. Wahab Hamzah selain Faisal Tehrani, Shamsudin Othman dan Salina Ibrahim.

14. Sdr Ghafirah Idris juga terpilih untuk mengikuti MPR di Genting Highland. Apa pendapat saudara mengenai penulis yang memenangi hadiah utama cerpen sastera utusan ini?

PADA pendapat saya, terdapat tiga jalur kepengarangan dari kalangan penulis wanita. Contoh nama-nama dari jalur pertama ialah seperti Siti Zainon Ismail, Zaharah Nawawi, Khadijah Hashim, Fatimah Busu dan Siti Zaleha Mohd Hashim.

Dari jalur kedua pula adalah seperti Nisah Haron, Mawar Shafie, Siti Jasmina Ibrahim, Kamariah Kamarudin, Amy Suzani Ainuddin, Zanazanzaly, Rozais Al-Anamy dan Siti Hajar Mohd Zaki.

Jalur ketiga pula nama-nama baru seperti Ghafirah sendiri, Ida Munira dan nama-nama lain yang selalu dijumpa dalam Tunas Cipta seperti Luciana Benjamin, Noor Huwaina Idris dan ramai lagi.

Ghafirah sedang merintis denai untuk meletakkan dirinya sebaris dengan nama-nama di jalur kedua. Bermakna, Ghafirah sekarang sedang meletakkan dirinya pada peringkat pra-jalur kedua. Tidak mustahil akan datang, beliau akan meletakkan dirinya di jalur pertama pula kalau ada kesungguhan. Apa yang penting, beliau mestilah terus menulis. Tentang jalur-jalur itu, bukan untuk mewujudkan dikotomi, ini hanya pendapat saya.

15. Ada pendapat mengatakan kalau sdr Ghafirah Idris tidak menghantar karya ke media cetak namanya tidak popular seperti sekarang. Adakah saudara setuju?

POPULAR di sini dapat dilihat dalam dua aspek. Popular dalam "esastera" dan popular di "luar". Memandangkan beliau agak prolifik menyumbang untuk "Cerpenis", sudah tentulah beliau sudah popular di "esastera". Nama Ghafirah semakin melonjak kerana cerpennya mendapat mendapat hadiah utama. Cerpen itu tersiar dalam Utusan Malaysia. Utusan Malaysia adalah media cetak. Jadi, tentulah saya setuju.

Pun, pada pendapat saya, popular bukan soal utama. Ghafirah pernah beritahu yang dia sebetul-betulnya belum bersedia. Dalam dunia kesusasteraan, soal telah bersedia atau belum tidak timbul.

16. Dalam sajak Genting Highland terdapat kata-kata berikut: "Awan sisik di lereng bukit. Mencium-cium". Yang tersurat, sajak itu menggambarkan pemandangan di Genting Highland. Namun tafsiran yang tersirat ialah saudara ingin menceritakan bahawa saudara telah bertemu seorang gadis (lereng bukit) yang menarik minat saudara dan ingin mengenali dirinya dengan lebih dekat (mencium-cium). Adakah saudara setuju dengan tafsiran tersebut?.

GENTING HIGHLAND

Awan sisik menjinak-jinak di lereng

udara sejuk khayal,

mencium-cium.


Genting Permai Park & Resort, Genting Highlands

3 Jun 2004
 

Saya fikir, eloklah saya ceritakan serba-sedikit untuk perkongsian bersama. Begini. Semasa menyertai MPR, kami menginap di Genting Permai Park & Resort. Sebuah apartment yang agak mewah. Lokasi apartment ini bukanlah di puncak Genting, sebaliknya di tengah-tengah perjalanan ke puncak. Apabila keluar di beranda, puncak Genting akan tampak berbalam-balam. Kalau waktu malam, nampak terang-benderang cahayanya seolah-oleh menggamit kami ke puncak sana.

Kalau waktu pagi pula, puncak Genting hanya nampak sedikit sahaja. Dilitupi tompokan putih. Saya tidak pasti samada awan atau kabus. Tapi, warna putihnya seakan-akan gumpalan kapas. Tetapi, tidak pula bulat sebaliknya berselerakan. Macam sisik-sisik ikan begitu, tapi bukan juga sisik.

Memandangkan lokasi apartment yang kami menginap bukan di puncak, suhunya tidaklah sedingin suhu di puncak. Jadi, saya membayangkan dingin udara di puncak akan turun "mencium-cium" tubuh kami. Mencium-cium itu merujuk kepada udara. Manakala yang dicium pula adalah tubuh kami.

Alhamdulilah, semasa sesi bebas, kami telah dibawa naik ke puncak. Sempat naik kereta kabel. Dan, udara sejuk memang betul-betul mencium-cium tubuh kami.


17. Tidak lama lagi akan muncul majalah bulanan esastera.com. Apa pandangan saudara mengenai majalah yang akan mula terbit pada 1hb ogos itu?.

SAMA-samalah menyumbang. Berjaya atau tidak majalah ini bergantung kepada penyertaan khalayak esastera sendiri. Jangan sia-siakan.

18. Maaf kerana soalan ini agak peribadi. Wanita yang bagaimanakah pilihan saudara untuk dijadikan isteri?

Kadang-kadang susah juga. Apabila kita sukakan seseorang, orang itu pula tidak sukakan kita. Apabila seseorang sukakan kita, kita pula yang tidak suka. Jadi, wanita pilihan saya tentulah wanita yang sukakan saya dan saya sukakan wanita itu.

"...taksesuaitautanyasoalanbegini..." (Petikan daripada cerpen Kulat, Faisal Tehrani – Lagi Cerpen-Cerpen Underground).

19. Sajak "Menetak Bulan" antara beberapa buah sajak saudara yang menyentuh hal politik. Pada pandangan saudara apakah benar sastera telah dipolitikkan?

"POLITIK adalah kehidupan, sastera juga kehidupan. Di tengah-tengah politik dan sastera duduk seniman, dengan deria yang sangat peka, memerhati peristiwa di sekelilingnya, menangguk pengalaman dirinya dan pengalaman orang lain." (T. Alias Taib:2002).

Untuk sajak "Menetak Bulan", saya tidak fikir ia menyentuh hal politik. Cuba kalau saya tukar perkataan bulan kepada matahari?, saya fikir tanggapan lain pula akan diberi. Apapun, maksud lapisan pertama, kedua, ketiga atau seterusnya bergantung kepada khalayak. Saya hanya menulis.

Umur saya sudah masuk 21 tahun April lepas. Sudah layak untuk mendaftar sebagai pemilih. Nampaknya, selepas ini saya perlu lebih teliti dan berhati-hati.

20. Bagaimana pandangan saudara mengenai penulis-penulis baru di esastera.com? Dan apa nasihat saudara kepada mereka?

SAYA
cukup kagum. Jadikan esastera sebagai medan untuk mengembangkan bakat dan minat. Sama-sama berusaha untuk meletakkan esastera pada tempat yang sepatutnya. Jangan main-main.

Nasihat (sebenarnya bukan nasihat, sekadar perkongsian) – ini hanya untuk ahli baru: Jangan terlalu ghairah menyiarkan karya di "penyair". Siarkan sajak yang betul-betul berkualiti sahaja.

Kalau boleh, buat perancangan yang rapi. Misalnya, tulis dahulu dalam 40 buah sajak. Simpan dan peram sehingga betul-betul masak. Kemudian, siarkan sajak-sajak tersebut sedikit-demi sedikit di "penyair". Misalnya 1 hingga 2 buah seminggu. Dalam sebulan sdr telah menyiarkan 8 buah sajak. Kalau setahun bermakna sudah lebih 80 buah sajak dihasilkan. Dalam masa itu, tulis juga sajak-sajak terbaru. Selang-selikan siar yang lama dan yang baru.

Jika mahu lebih efisien lagi, tetapkan hari penyiaran. Misalnya hari Ahad sebuah dan hari Rabu sebuah. Ketika ada kesempatan "log in" pada hari-hari lain, tumpukan untuk membaca, meneliti dan mengkaji sajak-sajak penulis lain serta membaca papan nota. Kalau rajin, buat ulasan atau tulis artikel. Jangan lupa sibuk-sibukkan diri tulis sesuatu di papan nota.

Kalau belum masukkan profil, masukkan profil. Kalau belum siarkan gambar, siarkan gambar. Penumpuan pembacaan ahli lain akan lebih kepada penulis yang telah siar profil dan gambar berbanding mereka yang belum buat begitu. "Keterpegunan" juga akan lebih jika ada majlis nanti. Misalnya, saya pernah tengok gambar Drirwan sebelum jumpa dengannya. Ketika kami jumpa pertamakali semasa "Gathering" Raya dahulu, saya rasa macam tak percaya. Betul!

21. Saudara masih belajar tetapi dalam waktu yang sama aktif berkarya. Bagaimanakah saudara membahagikan masa antara belajar dengan berkarya?

INILAH soalan yang pernah saya ajukan kepada salah seorang rakan penulis muda. Jawabnya, "Saudara juga penulis, tentu saudara juga tahu jawapannya."

Itulah jawapan yang diberikan oleh beliau yang tidak memuaskan hati saya. Terus-terang saya katakan, saya memang tidak pandai membahagikan masa. Justeru, saya hanya memilih untuk menghasilkan sajak sahaja. Saya juga ada menulis cerpen, tetapi tidak banyak. Saya kurang menghasilkan cerpen kerana bagi saya, menulis cerpen memerlukan komitmen masa yang tinggi. Pun, tidaklah bermakna saya tinggalkan terus.

Saya lebih senang menulis sajak. Kalau sudah berpinar mata menaip tugasan misalnya, saya akan buka "folder" sajak. Dan menaip apa saja yang hadir di kepala. Jadi, kalau ada idea, saya boleh menulis di mana sahaja. Pada bila-bila masa.

22. Pernahkah saudara mengalami masalah ketika menulis tiba-tiba kehilangan mood dan kekeringan idea? Bagaimana saudara mengatasinya?

PERNAH
juga. Untuk sajak, saya biasanya akan menulis dalam buku conteng-conteng. Bukan buku mahal, tapi buku latihan sekolah yang berharga RM 0.80. Apabila hilang "mood" atau kekeringan idea, saya akan conteng-conteng atau letak di tepi dahulu. Kalau saya tulis dalam buku yang mahal – buku log misalnya, rasa sayang yang menyelinap akan membantutkan kerja-kerja penulisan.

Jadi, kalau datang idea, saya akan menulisnya cepat-cepat biarpun dengan tulisan cakar ayam – hatta saya sendiri tidak dapat baca apa yang saya tulis. Apabila ada kelapangan, saya akan buka semula, mengeditnya dan menyalin balik ke dalam "PC".

Kalau tidak ada buku, saya biasanya akan menulis dalam "outbox" "handset". Tidak perlu risau, saya boleh menulis di mana-mana kerana "handset" sentiasa bersama-sama. Saya pernah terbaca, ada penulis yang menulis atas di atas tiket, tapak kasut, papan lukisan, slip bank dan sebagainya di perjalanan.

23. Kata Drirwan bahawa "Masa depan sastera anda berada di esastera"?. Bagaimana saudara mentafsirkan kata-kata tersebut?

UMUMNYA, terdapat dua kategori laman iaitu:

1. Laman Web

2. Portal

Laman web dari segi kandungan bahannya adalah statik dan memaparkan maklumat lama yang sudah basi. Contohnya adalah seperti laman sastera persendirian atau persatuan penulis.

Portal pula adalah dinamik (berubah-ubah) dan sentiasa menyajikan maklumat baru dan terkini, segar serta berpotensi untuk terus maju ke hadapan.

Contoh portal ialah seperti laman "Utusan" dan "Bharian". Ini kerana, laman ini sentiasa berubah dari segi bahannya setiap hari. Jumlah pengunjung untuk portal biasanya adalah ramai berbanding laman web yang hanya diakses oleh seseorang apabila perlu sahaja. Misalnya, untuk mencari sesuatu bahan. Dan boleh dikatakan laman web berpotensi untuk berkubur jika terus statik sebegitu.

Menjurus kepada laman "esastera", saya dapat golongkan bahawa esastera adalah portal. Bukan laman web. Justeru, laman esastera berpotensi untuk untuk maju memandangkan sifatnya yang dinamik. Boleh dikatakan, setiap hari akan ada ahli yang menyumbang tulisan terbaru dan ini sudah cukup untuk mengkategorikan laman esastera adalah "portal" bukan laman web. (Kalau boleh, selepas ini kita semua pakat panggil "laman esastera", bukan "laman web esastera". Kalau boleh lagi, portal esastera).

Misalkan, sdr adalah peminat ruangan "Kesihatan" dalam akhbar Mingguan Malaysia dan penulis yang anda gemari untuk ruangan tersebut ialah Najibah Hassan. Jika sdr tidak membeli Mingguan Malaysia sekalipun, saya fikir sdr akan usahakan untuk mengakses internet dan terus "klik" pada "Kesihatan" jika di rumah anda ada kemudahan internet. Bermakna, penulis "favourite" sdr adalah Najibah Hassan dan tulisan Najibah Hassan adalah "favourite" sdr. Akan datang, begitulah juga.

Menjurus kepada "anda" dalam ungkapan " Masa depan sastera anda berada di esastera", mungkin itulah jawapan daripada tafsiran saya.

24. Khabarnya ada ahli esastera.com yang suka memberi gambaran yang kurang baik mengenai laman web ini sehingga ada di kalangan ahli dan mereka yang di luar sana berasa tawar hati untuk menyertainya. Apa komen saudara?

GAMBARAN yang kurang baik? Saya tidak pasti pula sebab tidak banyak program sastera yang saya sertai.

25. Apakah nasihat saudara kepada rakan-rakan di esastera.com.

Sekadar renungan untuk diri saya sendiri dan rakan-rakan: "...Manusia dilahirkan dengan iringan azan manakala dimatikan dengan iringan solat. Dalam kehidupan seharian, masa antara azan dan solat adalah terlalu singkat. Fikir-fikirkanlah..."

Berkaryalah dengan sebaik-baiknya. Setiap perbuatan, amalan, tulisan dan apa sahaja akan dihitung waima sekecil biji sawi. Jadi, berkaryalah dengan sebaik-baiknya. Pak Samad dalam puisi Kita Ini Tetamu Senja pernah menyebut: "...Kita datang ini kosong tangan kosong dada; bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala..."

Akhir sekali, kitalah pencorak masa depan sastera negara. Dewan Sastera, Mei 2003 ada memberikan fokus kepada Sastera Siber. Satu seminar iaitu "Wacana Undang-undang Siber" pernah diadakan di DBP tahun lepas. Datuk Johan Jaafar juga pernah menyentuh sastera siber dalam kolumnya di Dewan Sastera dahulu. Dalam Utusan Malaysia dan Berita Harian, beberapa orang pernah menulis artikel tentang sastera siber seperti Imlan Adabi, Marsli N.O, Lee Keok Chih dan Fudzail. Dahrie juga ada menulis tentang esastera dalam akhbar Mahasiswa. Bermakna, sastera siber pernah diberi perhatian dan mempunyai masa depannya yang sendiri.

Kalau kita tidak rebut peluang, orang lain yang akan merebutnya.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan-soalan tersebut. Sekian terima kasih.

SAMA
-sama.

Abdullatip
27.6.2004

-------------------------------------
BIODATA:

NIMOIZ T.Y mula mendaftarkan diri sebagai ahli esastera.com pada 5 Ogos 2002 dan merupakan salah seorang ahli yang terawal. Sajaknya yang pertama disiarkan di laman "penyair" berjudul "Aku Hanyalah Banduan" (2 September 2002). Sejak itu beliau terus aktif menyumbang. Dengan keaktifan itu, beliau telah dihadiahkan "Platinum Membership" oleh kAPAS Enterprise pada tahun 2002 bersama dua ahli lain iaitu Arisel BA dan Md. Zainuddin.

Sajak "Menyerahnya Pemilik Suara" dan biodata beliau di esastera telah dipetik oleh Arisel BA dan disiarkan di Pentas Dunia, 20-27 Oktober 2002 serta merupakan sajak beliau yang pertama di media cetak. Sehingga kini, beliau telah menyumbang sebanyak X buah sajak dan sajen untuk esastera.

Beliau turut mengembangkan sayapnya di media cetak. Setakat ini, 35 buah sajaknya telah tersiar di pelbagai media seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Agama dan Falsafah, Dewan Siswa, Sarina, Remaja, Pentas Dunia dan termuat dalam antologi bersama seperti Apas (kAPAS Publication, 2003), Selagi Ombak Mengejar Pantai 8 (KEMUDI, 2004) dan Sajen (kAPAS Publication, 2003).

Cerpen beliau yang telah tersiar di media cetak setakat ini pula hanya 5 buah sahaja. Pada tahun 2003, beliau telah dipilih oleh DBP untuk menyertai MPR tetapi tidak dapat menghadirinya atas sebab-sebab tertentu. Bagaimanapun, beliau telah dipilih sekali lagi pada tahun 2004. Motto dalam bidang penulisan, "MENULIS TETAP MENULIS".