|
PERHATIAN Laman web peribadi
Nimoiz T.Y telah berpindah ke:
www.esasterawan.com
|
BIODATA
NIMOIZ T.Y atau Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub dilahirkan di Kampung
Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan. Mendapat pendidikan
awal di Sekolah Kebangsaan Ipoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan
Ipoh sebelum bertukar ke Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai
untuk mengambil kursus aliran teknikal iaitu Kejuruteraan Awam.
Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Jabatan Kejuruteraan Awam,
Fakulti Kejuruteraan, KUiTTHO - (Kini Fakulti Kejuruteraan Awam
dan Alam Sekitar). Sekarang mengajar di Jabatan Matematik, Sains dan
Komputer (JMSK), Politeknik Mukah, Sarawak.
Mula menulis secara serius selepas tamat SPM (ketika berumur 17 tahun)
iaitu semasa menunggu keputusan peperiksaan SPM terutama setelah
mengikuti bengkel penulisan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Kelantan
serta Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA). Puisinya, 'Garapan Puitis
Buat Kekasih' dan cerpen 'Fatin Atau Nabila?' terpilih sebagai salah
sebuah daripada 6 karya terbaik semasa bengkel ini. Juga mendapat
tempat ketiga dalam acara deklamasi puisi pada malam peserta. Tiga
kemenangan 'peribadi' serentak ini telah menyuntik semangat baru untuk
beliau terus berkarya.
Menulis dalam genre puisi, cerpen, esei/artikel dan Novel Bersama.
Mula menyiarkan karya pada tahun 2001 dengan sajak eceran 'Ahlan
Wasahlan Ya Ramadhan' dan 'Mutiara Ramadhan', (Majalah Intelek, JDS
KUiTTHO, Sesi 2001), tapi hanya untuk edaran kampus sahaja. Dua buah
sajaknya yang pertama terbit serentak di media cetak ialah 'Penagih
Cinta' (Berita Minggu, 20 Oktober 2002) dan 'Menyerahkan Pemilik
Suara' (Pentas Dunia, 20-27 Oktober 2002).
Setakat ini, ulisan beliau pernah tersiar di akhbar Berita Minggu dan
Mingguan Malaysia serta Utusan Malaysia, Pentas Dunia, Metro Ahad,
Tunas Cipta, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Siswa,
Dewan Agama & Falsafah, Sarina, URTV, Mingguan Wanita, Majalah I, Seri
Dewi & Keluarga dan majalah Noor (Indonesia). Karya beliau juga
termuat dalam beberapa buah buku bersama seperti Apas, Sajen, Selagi
Ombak Mengejar Pantai 8, Hostel: Debaran Kedua, Bayi Kota Berahi,
Suara Tamu Tioman dan Salju Jabal Musa (bakal terbit). Kumpulan Puisi
persendirian beliau, Jalan Baru yang memuatkan 100 buah puisi bakal
terbit tidak lama lagi (Boleh dibeli secara online di laman
www.esastera.com/kedai).
Alam siber memberi ruang yang lebih terbuka untuk beliau berkarya.
Beliau juga memiliki weblog persendirian
(http://nimoizty.blogspot.com) sebagai jurnal catatan peribadi. Selain
itu, beliau turut menyiarkan karya di laman http://www.esastera.com ,
Bulanan E-Sastera (http://www.esastera.com/best), Sastera SMS
(http://www.esastera.com/sms), http://www.pustakamaya.net dan
http://www.melayu.com . Untuk tujuan pengantarabangsaan, sajak
ecerannya ada diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Irwan Abu
Bakar dan Airmas_sz dan disiarkan di URL
http://www.communityzero.com/poets.
Beliau merupakan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2004 anjuran
Bahagian Pengembangan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta
ahli Sekretariat Alumni MPR-DBP.
Biodata dikemaskinikan pada 17.02.2005
|
|
NIMOIZ T.Y DIWAWANCARA OLEH
ABDULLATIP
1. Saudara Nimoiz T.Y, kali ini giliran saudara
diwawancara. Pernahkah saudara mengikuti wawancara
bertulis sebelum ini? Wawancara manakah yang paling
menarik minat saudara membacanya? Dan pada pendapat
saudara apakah faedah yang kita dapat dari wawancara
ini?
PERTAMA SEKALI ,
terima kasih diucapkan kerana sudi mewawancara saya.
Suatu penghormatan yang cukup besar saya rasakan.
Tambahan, saya diwawancara oleh cerpenis dan novelis
prolifik, sdr. Abdullatip.
Pernah. Saya suka semuanya. Pada pendapat saya,
wawancara memang relevan kerana kita dapat mengetahui
sesuatu hal atau perkara daripada tokoh yang
diwawancara. Maklumat ringkas di ruangan "profil"
hanya menyebut sedikit sahaja tentang diri dan karya
sastera. Ini tidak mencukupi.Selain itu, orang yang
diwawancara juga dapat berkongsi pendapat atau
pengalaman. Jika ada kesilapfahaman berlaku, mungkin
akan dapat dibetulkan.
2. Khabarnya saudara dari keluarga
"NIK". Boleh beritahu nama sebenar, tempat lahir dan
sedikit mengenai latar belakang keluarga?
TIDAK
juga. Dalam salalilah keluarga saya, boleh dikatakan
semuanya ada - "Nik", "Tuan", "Raja" dan "Tengku".
Misalnya, nama sebenar saya "Nik Mohd Iznan bin Tuan
Yaakub". Lihat, saya menggunakan nama "Nik" dipangkal
nama manakala ayah saya "Tuan". Lebih kompleks, datuk
saya pula menggunakan nama "Raja" di pangkal namanya.
Kalau sepupu saya lagi pelik. Namanya "Tengku Zawawi
bin Nik Mustapha" manakala abangnya pula "Raja Azam
bin Nik Mustapha".
Untuk adik-beradik saya, kalau yang lelaki akan
menggunakan nama "Nik" manakala yang perempuan pula
"Tuan". Abang saya yang sulung telah menterbalikkan
tradisi ini untuk anak-anaknya, yang lelaki "Tuan"
manakala perempuan pula "Nik". Entah, kadang-kadang
saya sendiri pun pelik. Malah tidak berapa faham.
Saya dilahirkan di Kampung Gual Ipoh, 17500, Tanah
Merah, Kelantan. (Nama "Gual Ipoh" sempat saya
semadikan dalam sajak saya, "Gual Ipoh (1)" dan boleh
dibaca di "Penyair". Sajak ini juga telah tersiar
dalam Berita Minggu, dedikasi kepada semua orang Gual
Ipoh dari anak Gual Ipoh yang tinggal di perantauan.
Saya bercadang untuk menerbitkan siri-siri sajak Gual
Ipoh yang seterusnya (2, 3, 4, 5..) seperti siri "Aku
Dalam Sajak" (Arisel BA), "Ingatan Kepada Kawan" (Zaen
Kasturi) dan Lim Swee Tin, kalau tidak silap "Perempuan
Yang Sedang Tidur Itu".)Saya anak ketujuh daripada
lapan orang adik-beradik. Lima lelaki dan tiga
perempuan. Saya merupakan anak bongsu yang lelaki.
Yang sebetul-betulnya bongsu ialah adik perempuan saya
yang kini sedang belajar di Sekolah Menengah Sains
Pasir Puteh dalam tingkatan empat.
Daripada lapan orang ini, lima orang sudah
berumahtangga. Yang tinggal, abang saya (anak ke-6),
saya (anak ke-7) dan adik saya (anak ke-8 @ bongsu).
Alhamdulillah, setakat ini saya sudah mempunyai tujuh
orang anak saudara.Yang tinggal di rumah hanya emak
dan ayah. Abang saya yang sulung juga menetap di
kampung, tapi di rumah sendiri. Yang lain tinggal di
luar kerana urusan kerja. Salah seorang abang saya (anak
ke-4) kini bermastautin di Perancis bersama isteri dan
seorang anaknya, kerja di sana
3. Adakah ayah
dan ibu saudara masih hidup? Boleh ceritakan bagaimana
kehidupan saudara di zaman kanak-kanak?. Benarkah
saudara anak paling manja?.
Ya, malah mereka masih sihat lagi. Perlukah saya
ceritakan lebih lanjut? Oklah, biarpun tidak ditanya,
biarlah saya ceritakan serba sedikit mengenai mereka.
Ayah saya merupakan pesara Lembaga Letrik Negara (LLN).
Sebagai Atendan Letrik. Saya pernah curi-curi tengok
slip pencennya, cuma RM 150.00 lebih-lebih. Untuk
menampung kehidupan, sekarang ayah saya bekerja
sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah sekolah sebagai
pendapatan tambahan. Abang-abang dan kakak-kakak saya
sebenarnya ada kirim duit, tapi terus masuk ke dalam
akaun Tabung Haji. Ayah dan emak malas usik.
Baru-baru ini ayah saya pernah diarahkan oleh syarikat
untuk berundur kerana umurnya sudah menjangkau 62
tahun (Lahir tahun 1942). Pun, kerana rekodnya yang
baik dengan pihak sekolah, kontraknya telah disambung
semula. Lagipun, ayah saya jenis orang yang tidak
boleh duduk diam. Ada sahaja kerja yang dibuatnya.
Ayah saya juga memelihara empat ekor lembu dan dua
ekor kambing. Sekadar "main-main".
Emak saya pula merupakan seorang penoreh getah. Bukan
menoreh getah sendiri, tapi getah orang lain. Kami
sebenarnya ada kebun getah sendiri, tapi lokasinya
agak jauh daripada rumah. Jadi, getah kami orang lain
yang menoreh. Terbalik.Kehidupan semasa kanak-kanak?
Kalau hendak diceritakan, memang cukup panjang. Saya
takut jadi macam autobiografi pula.Tapi secara
ringkasnya, keluarga saya tidak pernah mengongkong
saya dalam melakukan sesuatu perkara. Untuk membuat
keputusan samada kecil atau besar, semuanya bergantung
kepada diri saya. Sebagai contoh, kalau saya nak beli
baju raya, emak akan bagi duit dan saya pergi beli
sendiri. Ketika zaman kanak-kanak juga, macam-macam
permainan telah saya main. Main wau, mandi di sungai,
"modify" basikal, curi buah kelapa bapa saudara
sendiri, buat kem dalam semak, main masak-masak, main
perang-perang, main rakit, lastik burung dan
sebagainya. Untuk lastik burung, saya bersyukur kerana
saya tidak dikurniakan kebolehan melastik tepat pada
sasaran. Sepanjang-panjang hidup saya, hanya sekali
sahaja saya melastik sampai jatuh. Itupun butung itu
telah terlepas selepas saya bawa pulang ke rumah. Oh
ya, satu lagi, semasa kanak-kanak saya suka ratah
Milo.
Anak paling manja? Tidak juga. Tapi memandangkan saya
hanya sesekali pulang ke kampung, perhatian yang lebih
biasanya akan diberikan. Saya telah tinggalkan Gual
Ipoh sejak dari tingkatan 4 lagi. Sebenarnya, bukan
kepada saya seorang, malah kepada adik-beradik yang
lain. Maklumlah, emak dan ayah saya hanya tinggal
berdua di kampung. Kalau hari ayah bekerja, emak akan
tinggal seorang diri di rumah.
4.
Apakah faedah yang saudara dapat setelah menyertai
esastera.com?. Boleh ceritakan bagaimana bermulanya
penglibatan saudara dengan laman web ini?
TENTANG
bagaimana saya menyertai esastera, telah saya
ceritakan panjang lebar dalam artikel "Mengapa Saya
Menulis di Laman Ini". Artikel ini boleh diakses di
laman "Berbicara" atau "Web page" saya.
Faedah:
1. Dapat berkenalan dengan ramai penulis yang juga
ahli esastera samada penulis mapan atau baru.2.
Melalui laman inilah sajak dan profil saya dipetik
oleh Arisel BA untuk kolum Sastera dan Budaya Tabloid
Pentas Dunia. Inilah karya saya yang pertama di media
cetak selain sajak "Penagih Cinta" dalam Berita Minggu
yang disiarkan pada hari yang sama.
3. Peluang berkenalan dengan editor majalah dan
wartawan. Misalnya Sri Diah, Arisel dan Dahrie.4.
Karya berpeluang diulas oleh penulis lain – Nakhoda,
Cikgu Hasimah, Zainal Lasim dan Abdullatip.
5. Berpeluang memiliki laman web persendirian
menggunakan kerangka esastera. (esastera.com/dot dot
dot). Misalnya, laman web saya pernah dikunjungi oleh
penulis berkaliber seperti Marsli NO dan Drs Ahmad
Fadzil Yassin (AF Yassin) serta lain-lain.6. Tidak
perlu terbelek-belek di kedai majalah jika ada karya
yang tersiar di media cetak. Saya sudah banyak kali
dimarah oleh tuan kedai kerana asyik membelek-belek
sahaja, tetapi tidak membeli. Adalah mustahil untuk
saya membeli semua majalah. Paling banyak pun setakat
tiga empat buah sahaja. Kalau ada karya ahli esastera
yang tersiar, biasanya ahli lain akan tinggalkan notis
di papan nota.
5. Khabarnya
saudara kenal rapat dengan sdr Nakhoda. Boleh
ceritakan pandangan saudara tentang dirinya dan adakah
saudara tahu kenapa dia meninggalkan esastera.com dan
membuka laman web sendiri?
BOLEH
juga dikatakan begitu. Saya pertamakali jumpa Nakhoda
di sebuah kedai kek. Kami sembang (sebenarnya bukan
sembang, yang banyak bercakap hanya Nakhoda) sehingga
kedai itu tutup. Kami tak perasan pun. Tuan kedai tak
tergamak nak "halau" kami, jadi dia matikan lampu di
ruang sebelah sana. Kami faham. Di luar kedai, kami
sambung lagi.
Kalau ada kelapangan, biasanya saya akan ke rumah
Nakhoda pada hujung minggu (Sabtu). Saya akan ke
Bandar Batu Pahat lebih kurang jam 11.00 pagi untuk
mendapatkan majalah terbitan DBP di sebuah toko buku
yang juga wakil pengedar DBP di sana. Semasa balik,
saya akan singgah di rumah Nakhoda. Saya sengaja pilih
waktu tengahari sebabnya boleh terus makan nasi,
sekaligus boleh "save budget" (ha ha ha - sebenarnya
Nakhoda yang minta saya datang tengahari). Selepas itu,
kami akan berbual-bual tentang hal-hal sastera.
Saya juga sudah tiga kali menghadiri program
anjuran esastera di Kuala Lumpur. Semuanya saya
tumpang kereta Nakhoda. Nakhoda juga pernah bawa saya
jumpa Dr. Awang Sariyan di menara DBP. Alangkah
bangganya saya apabila Nakhoda perkenalkan saya kepada
Dr. Awang, "Cikgu (panggilan mesra Nakhoda kepada Dr.
Awang Sariyan), ini Nimoiz, sahabat saya. Dia juga
seorang penulis." Kembang-kempis hidung saya. Rasa
macam tidak percaya yang berhadapan dengan saya
sekarang itu ialah Dr. Awang sariyan.
Ketika menghadiri majlis penyampaian Hes.Com, kami
sempat singgah di Mid Valley. Di sana, saya mengidam
nak makan nasi kerabu. Tapi, betapa terkejutnya saya
ketika menghulur pinggan, pelayan tu cakap: "RM 6.00".
Apabila saya menghulur duit, cepat-cepat Nakhoda
memintas. "Tak pe, saya belanja."
Nakhoda pernah beritahu kepada saya, dulu dia
pernah juga ikut seseorang. Sekarang sudah sampai
masanya untuk dia buat seperti orang itu buat
kepadanya dengan harapan saya pun akan buat begitu
kepada orang lain. Jadi, boleh dikatakan, keluarga
Nakhoda sudah macam keluarga angkat saya di Johor.
Pendapat saya tentang Nakhoda, dia memang seorang yang
baik.
Tentang mengapa membuka laman web sendiri, Nakhoda
cakap yang dia ada visi tersendiri. Setiap penulis
mesti ada wawasan jik aingin berjaya. Minat Nakhoda
lebih kepada muzik. Nakhoda pernah bawa saya naik ke
atas loteng rumahnya. Dia tunjukkan kepada saya dua
buah organ (Dengan saiz yang besar macam itu, saya
fikir harganya mungkin mencecah tiga empat ribu).
Malah, dia dan anaknya sempat mainkan beberapa buah
lagu. Di dinding, tergantung sijil-sijil dari Sekolah
Muzik Yamaha (kalau tidak silap). Dia juga tunjukkan
saya beberapa buah manuskrip yang telah dikompilasikan.
Tebal juga. Saya fikir, itu kumpulan puisi atau lirik
lagu. Saya sempat juga intai-intai, ada satu rak
buku-buku sastera. Di lantai pula, bertimbun-timbun
koleksi majalah lama terbitan DBP seperti Dewan
Sastera, Dewan Bahasa dan lain-lain.
6.
Saudara bukan pelajar aliran sastera tetapi saudara
minat menulis. Apakah yang mendorong saudara menulis?.
Adakah ayah dan ibu saudara memberi galakan?. Dan
apakah cita-cita saudara dalam dunia penulisan?
DALAM
sistem pendidikan di Malaysia, aliran pengajian sama
ada sains, teknikal, ekonomi, sastera atau apa-apa
sahaja bermula ketika seseorang pelajar itu masuk
tingkatan empat. Kedudukan samada dalam kelas sains
atau sastera bergantung kepada keputusan PMR. Saya
meminati bahasa Melayu sejak dari sekolah rendah lagi.
Jadi, soal bukan pelajar aliran sastera, itu tidak
timbul dalam diri saya. Lagipun, ini satu kelebihan
kerana saya tidak akan terikat dengan teori dan bebas
menggarap apa-apa yang melanggar konvensi.
Analogi yang boleh saya buat begini; Dua orang pelajar
Politeknik "X" telah disuruh oleh pensyarah pelatih
untuk memotong kayu dengan menggunakan sebilah gergaji.
Seorang daripadanya belajar cara memotong kayu dalam
bilik kuliah manakala seorang lagi tidak. Selepas
cukup masa yang ditetapkan, didapati kedua-kedua
pelajar ini telah berjaya memotong kayu berkenaan.
Cumanya, didapati pelajar yang ada belajar tadi agak
sukar memotong kayu berkenaan memandangkan dia terlaku
terikat dengan cara memotong kayu. Misalnya, kayu
berkenaan mestilah diapit dengan apit G dahulu, kena
tanda dahulu tempat yang hendak dipotong, kecondongan
gergaji mesti mengikut darjah yang ditetapkan, cara
menolak dan menarik gergaji serta banyak lagi.
Andaikata mutu pemotongan pelajar ini kurang memuaskan,
tentu dia akan dipersoalkan.
Apapun, jika nilai kepersisan atau kecantikan
pemotongan oleh pelajar yang tidak belajar dalam bilik
kuliah tadi kurang memuaskan, dia tentulah tidak boleh
dipersalahkan kerana dia tidak belajar.
Tentang galakan, terus terang saya katakan, ayah
dan ibu saya tidak pernah memberi galakan secara lisan.
Semuanya bergantung kepada saya. Awal-awal dulu, saya
menyorok semua hasil tulisan samada yang pernah
tersiar atau tidak. Sebab itu saya guna nama pena.
Apapun, segala-galanya terbongkar dan terjawablah
misteri siapa "Nimoiz T.Y" apabila adik saya terjumpa
sajak saya yang tersiar dalam Pentas Dunia kerana di
dalamnya terdapat profil sama.
Lebih serius lagi apabila sajak "Gual Ipoh (1)"
tersiar. Satu kampung tahu. Apapun, saya tahu, ayah,
emak dan ahli keluarga memberi dorongan secara dalaman,
tidak secara terus terang. Misalnya, saya ada jumpa
keratan karya saya yang disimpan oleh ayah. Malah,
siap fotostat lagi. Kalau ayah saya baca akhbar di
rumah orang lain, dan di dalamnya termuat karya saya,
ayah saya akan bawa pulang ke rumah. Sebenarnya,
inilah galakan yang lebih kuat berbanding galakan
secara lisan.Cita-cita dalam penulisan, untuk masa
terdekat ini saya mahu memastikan ada walau sebuah
karya saya tersiar dalam apa-apa akhbar atau majalah.
Cita-cita saya cukup tinggi. Kali pertama dahulu, saya
sudah berani menghantar ke Mingguan Malaysia
dan Berita Minggu. Bagi saya, hanya dua akhbar
ini sahaja yang boleh saya peroleh secara mudah di
kampung. Rupa-rupanya agak sukar juga untuk
menembusinya. Suatu ketika dahulu, terdapat satu
ruangan dalam akhbar Berita Harian iaitu "Medan
Kreatif Riong." Ruangan ini dikhususkan untuk
menyiarkan cerpen dan puisi pendatang baru. Saya
begitu yakin karya akan tersiar dalam ruangan ini
kerana untuk menghiasai laman "Sastera dan Budaya"
Berita Minggu, saya fikir itu adalah mustahil.
Alhamdulillah, dengan kesungguhan, kini saya telah
berjaya menembusinya.
Misi saya seterusnya ialah Dewan Masyarakat,
Dewan Budaya, dan Dewan Sastera di samping
artikel dalam Dewan Bahasa. Saya rasa tidak
mustahil jika saya terus berusaha.
Saya pernah menghantar e-mel kepada Puan Rozninah
(Editor Dewan Sastera) untuk mengucapkan terima
kasih kerana sudi menyiarkan surat pembaca saya, Mac
2004. Saya tulis lebih kurang begini. "…Puan, terima
kasih kerana sudi menyiarkan surat pembaca saya dalam
Dewan Sastera, Mac 2004. Di kesempatan ini saya
ingin bertanya, adakah sidang editor Dewan Sastera
ada menerima kiriman sajak saya. Saya tidak pasti sama
ada sampai atau tidak. Untuk makluman, bagi majalah
terbitan DBP, sajak saya pernah tersiar dalam Dewan
Bahasa, Pelita Bahasa, dan Tunas Cipta
di samping majalah francais untuk Media Network Sdn.
Bhd. iaitu Dewan Agama dan Falsafah dan
Dewan Siswa. Sekian, semoga Dewan Sastera
terus maju sebagai penjana sastera global…"
Agak lama juga saya menunggu. Alhamdulillah, emel saya
dibalas. Jawab Puan Rozninah, juga lebih kurang; "Sidang
editor DS ada menerima tulisan saudara. Masih dalam
pertimbangan. DS mengutamakan penulis mapan…"
Penulis mapan? Saya fikir, saya perlu terus mencuba
walaupun belum lagi mapan. Setahu saya, ada juga puisi
penulis yang tidak dikenali tersiar dalam Dewan
Sastera. Sampaikan pengulas puisi pada bulan
berikutnya menulis yang dia pun tidak pernah jumpa
nama itu.
Semasa menyertai MPR, kami berkesempatan bertemu muka
dengan Puan Rozninah. Dan sekali lagi Puan Rozninah
menyebut, "...DS mengutamakan penulis mapan. Tapi,
tidak salah jika ingin mencuba..." Dan hasil percubaan
salah seorang penulis muda (Ummu Hani Abu Hassan –
juga ahli esastera), karyanya tersiar dalam DS Jun
2004 di ruangan Ujana Klasik. Ummu Hani juga lebih
kurang umurnya dengan saya. Jadi, mengapa saya tidak
boleh? Saya juga tumpang gembira rupa-rupanya Ummu
Hani sekarang ini merupakan timbalan editor Dewan
Masyarakat (sebagai pelatih UM). Setahu saya,
karya Lee Keok Chih juga pernah menembusi DS ketika
beliau masih di sekolah menengah. Tidak mustahil.
Saya juga bercita-cita ingin memiliki kumpulan puisi
dan cerpen persendirian. Selain itu, pada masa akan
datang saya ingin juga menulis novel yang boleh
memberi kesan mendalam kepada pembaca. Macam novel
Senjakala (Baharudin Kahar). Saya juga kalau boleh
ingin menghasilkan karya yang bila disebut, ada
sinonimnya. Misalnya kalau sebut Salina, nama
A. Samad Said akan terbayang. Kalau sebut Saudagar
Besar Dari Kuala Lumpur, nama Keris Mas akan
terlintas. Kalau sebut Hari-Hari Terakhir Seorang
Seniman, nama Anwar Ridhwan akan terngiang-ngiang
manakala kalau sebut Orang Tua di Kaki Gunung,
nama Azizi Hj. Abdullah akan datang.
Cita-cita penulisan dalam jangka panjang, "…Mengislahkan
diri dalam mengislahkan orang lain, dan hidup dalam
kelompok dan suasana mereka yang terislah...".
7. Saudara adalah pemenang Hadiah esastera.com 2003.
Adakah saudara sudah menjangka kemenangan itu?.
Bagaimana perasaan saudara bila diumumkan keputusan
tersebut?.
SEBENARNYA,
saya langsung tidak menjangka. Ketika draf pertama
Antologi "Apas" dikeluarkan, ketiga-tiga sajak yang
layak ke peringkat akhir jauh melencong dari dugaan
saya. Saya jangka sajak lain yang bakal termuat dalam
antologi "Apas". Tapi, rupa-rupanya tidak.
Alhamdulillah, saya bersyukur. Kemenangan ini telah
menyuntik lebih banyak "Hormon" semangat untuk terus
menulis."…Menulis Terus Menulis…"
8. Ada yang tidak
berpuas hati dengan pemilihan saudara sebagai pemenang
Hes.com 2003. Berbagai reaksi diluahkan di sini hingga
menghangatkan suasana esastera. Apa perasaan saudara
ketika itu?
SAYA
tak berasa apa-apapun sebab saya tidak kenal nama-nama
mereka yang tidak puas hati tu. Kronologinya
seolah-olah saya terdengar bunyi hantu ketika pulang
kelas malam. Buat apa nak takut kalau kita tidak
nampak. Mungkin orang kampung pasang "tape" untuk
menakut-nakutkan anak muda suka keluar malam. Lainlah
kalau tiba-tiba hantu tu muncul depan mata saya.
Mungkin rasa seriau juga.
Bagi saya, mereka yang mempertikaikan kemenangan itu
seolah-olah tidak menghormati keputusan hakim. Semua
orang tahu siapa hakimnya. Rasanya, mahkamah agung pun
akan menolak kalau sesuatu petisyen itu dihantar
semacam surat layang.
9.
Selepas dinobatkan sebagai penyair terbaik
esastera.com saudara agak jarang muncul di laman web
ini dan jarang menyiarkan karya berbanding sebelumnya.
Mungkinkah kemenangan itu dan kritikan mereka yang tak
puas hati sedikit sebanyak memberi tekanan kepada
saudara?
SEPERTI
yang saya cakap tadi, saya tak rasa apa-apa pun.
Sebenarnya, pada waktu itu saya masih dalam "iddah".
Saya terlalu ghairah ingin melihat karya tersiar di
media cetak. Akan tetapi, saya telah melakukan satu
kesilapan besar iaitu tidak mencatatkan mana sajak
yang sudah dihantar dan mana yang belum. Jadi, fail
sajak saya bercelaru.
Saya lebih gemar hantar sajak
secara pukal. Sebagai contoh, saya akan hantar ke 8
penerbitan sekaligus. Setiap penerbitan biasanya saya
akan sertakan antara 1 hingga 3 buah sajak. Bermakna,
saya akan hantar lebih kurang 15 sajak dalam satu-satu
masa. Kalau 8 atau 9 atau 10 kali saya hantar, jumlah
yang telah saya hantar sudah berpuluh-puluh buah. Dari
segi kebarangkalian, jika 15 buah sajak yang saya
hantar, mungkin hanya sebuah yang tersiar. Itupun
kalau bernasib baik.
Sebenarnya, saya bukan jarang muncul. Tapi, saya masuk
secara senyap-senyap. Ketika saya masuk, saya tidak
tulis apa-apa pun di papan nota. Kalau ada ahli yang
peka, tentu akan terperasan kehadiran saya pada
"recent login". Pun, saya telah mula menghantar
kembali sejak akhir-akhir ini kerana tempoh "iddah"
sudah tamat. Sejak bulan Mac hingga Mei lalu pula,
saya ada komitmen lain yang lebih penting. Tapi, saya
tetap juga masuk. Macam yang saya cakap, masuk secara
senyap-senyap.Kalau masa bercuti di kampung pula,
saya tidak mempunyai kemudahan internet. Bukan setakat
internet, di rumah saya juga tidak ada telefon. Kalau
"gian" sangat nak masuk esastera, saya terpaksa ke
bandar Tanah Merah yang sejauh lebih kurang 25 Km.
Kalau "CC" penuh pula (biasanya budak sekolah main
"game"), saya akan balik dengan tangan kosong.
Di Batu Pahat, "CC" dekat sahaja dengan rumah saya.
Kalau tidak ada duit, saya boleh ke makmal komputer.
Tak payah bayar pun. Boleh akses dari pagi sampai
malam. Sampaikan, ketika minggu ulangkaji saya pernah
"login" esastera dari pagi sampai petang kerana makmal
komputer kosong. (Saya berhenti sembahyang zohor dan
sambung lagi).Dulu, saya pernah ambil subjek
Pengaturcaraan Komputer (C+++). Untuk kelas saya, dua
buah makmal komputer digunakan. Semasa pensyarah ke
makmal sebelah, saya akan bukan laman "penyair".
Apabila pensyarah kembali, saya buat kerja semula.
Bermakna, saya tidak pernah tinggalkan esastera walau
sesibuk mana sekalipun jika kemudahan itu ada.
10. Selain dari
saudara, Ida Munira memenangi hadiah sajen terbaik dan
Nakhoda sampai 15 kali naik ke pentas mengambil hadiah.
Apabila saudara sudah jarang masuk dan jarang
menyiarkan karya di penyair, sdr Ida Munira sudah
jarang masuk dan tidak lagi menyiarkan sajen dan sdr
Nakhoda pula tidak lagi menyertai esastera.com, ada
yang berpendapat anda bertiga seolah tidak menghargai
esastera.com. Apa komen saudara?
ADA suatu cerita untuk dikongsi bersama:
"...Seorang anak kampung telah belayar di lautan.
Semasa belayar, dia terpaksa singgah di sebuah pulau
bernama pulau Bintari untuk mendapatkan bekalan air
mentah. Agak lama juga dia di pulau itu sehingga tidak
sempat menjenguk keluarganya di kampung…"
Tanggapan orang kampung 1: Si anak itu tidak mengenang
budiTanggapan orang kampung 2: Si anak itu tidak
mengenang jasa
Tanggapan orang kampung 3: Si anak itu anak yang
derhakaCerita di sebalik tabir: Semasa di
pulau Bintari, anak itu menjumpai sebuah perkampungan
Melayu yang aman-damai. Yang peliknya, orang Pulau
Bintari tidak makan ikan kerana tidak tahu cara
penagkapan ikan. Merasakan sudah menjadi
tanggungjawabnya, si anak tersebut telah rela
meninggalkan keluarganya untuk membantu orang kampung
cara-cara penangkapan ikan. Si anak sedar dia pun
tidak berapa pandai sangat. Tetapi cukuplah sekadar
membantu, boleh juga merasa ikan. Orang kampungnya
tidak tahu yang pulau ini tidak mempunyai talian
internet. Anak murid ini pula terpaksa menggunakan
duit poket sendiri untuk membeli bahan-bahan
pengajaran atau barang-barang keperluan harian..." .
Jawapan sebenar: ?
Sebenarnya, Ida juga hanya
menggunakan kafe siber. Masuk kafe siber bukan percuma.
Kena bayar. Ida pun macam saya, masih belajar. Masih
bergantung kepada duit biasiswa atau pinjaman. Kami
perlu berjimat. Kalau tidak, hujung semester makan
lempeng. Alhamdulillah, hasil penjimatan ini, Ida
sekarang sudah berjaya menerbitkan "Pendatang Malam".
Nakhoda pula awal-awal sudah cakap yang dia akan
kurangkan penglibatan di esastera pada tahun 2004.
"So?".
11. Kalau tidak ada apa-apa
halangan, Hescom.2004 akan diadakan tidak lama lagi.
Boleh saudara sebutkan nama-nama mereka yang saudara
fikir layak menerimanya?
SERAHKAN
saja kepada kebijaksanaan hakim. Harap-harap lepas ni
tidak akan ada lagi kontroversi.
12. Karya saudara pernah tersiar di
esastera.com. Dan kini karya saudara tersiar di media
cetak. Antara karya yang tersiar di media cetak dengan
yang tersiar di internet mana satu yang lebih
mengembirakan hati saudara?
TENTULAH
kedua-duanya sekali.
Soalan Sains: Apakah yang berkaitan dengan
katak?
- binatang yang melompat
- Kaloula Pulchra
- Binatang yang hidup dua alam
- Tidak berekor.
Jawapan: Semuanya betul. Dalam konteks
sastera, jawapan yang saya pilih ialah (c), iaitu
binatang yang hidup dua alam. Katak mempunyai
kelebihan berbanding binatang lain kerana ia boleh
hidup dua alam.
Jadi, saya cuba ikut resam katak.
Saya akan cuba juga berenang di air walaupun saya tahu
memang saya tidak pandai berenang. Sekurang-kurangnya,
saya ada usaha. Apapun, jangan khuatir, saya ada ikat
tali pada pokok kayu di tebing.
13. Khabarnya semasa mengikuti MPR
di Genting Highlands, saudara dilantik menjadi Tok
Penghulu dan menerima hadiah kerana kesungguhan yang
saudara tunjukkan. Boleh kongsi pengalaman saudara?
SERAMAI
36 peserta telah menyertai MPR tersebut. 12 orang
peserta lelaki manakala 24 orang peserta perempuan.
Dari esastera, 4 orang peserta telah menyertainya
iaitu saya, Amir Mukhriz, Ida Munira dan Ghafirah.
Saya masih ingat pesanan dari A.
Wahab Hamzah, "Ingat, kalau ada apa-apa yang berlaku,
Penghulu orang pertama yang akan saya cari." Apapun,
saya bersyukur sebab tidak ada perkara yang tidak baik
berlaku. Lagipun, semua peserta MPR 2004 semuanya
baik-baik dan mudah mesra belaka. Jadi, saya dapat
tumpukan perhatian kepada bengkel.
Pengalaman: Dari kalangan
peserta ini, rupa-rupanya masih ada yang belum pernah
jumpa "swimming pool" (termasuk saya). Selepas bengkel
pada waktu petang, kami akan terjun dalam kolam renang
ini sama-sama.
Sebagai penghulu, tidak banyak
tugas yang perlu saya jalankan. Saya hanya ditugaskan
untuk memastikan semua peserta mencukupi sebelum
sesuatu sesi dimulakan. Kalau tidak cukup, kena pergi
panggil. Selain itu, saya juga ditugaskan mencari
peserta untuk jadi MC bagi satu-satu majlis. Saya juga
turut ditugaskan untuk menyampaikan cenderamata kepada
penceramah selepas selesai sesi. Paling bertuah, saya
kena menyampaikan ucapan semasa malam penutup.
Sebenarnya, saya cukup gementar. Tambahan, VIP pada
malam tersebut ialah Tuan Hj. Hamdan Yahya, Hajjah
Zainab Kassim dan A. Wahab Hamzah selain Faisal
Tehrani, Shamsudin Othman dan Salina Ibrahim.
14. Sdr Ghafirah Idris juga
terpilih untuk mengikuti MPR di Genting Highland. Apa
pendapat saudara mengenai penulis yang memenangi
hadiah utama cerpen sastera utusan ini?
PADA
pendapat saya, terdapat tiga jalur kepengarangan dari
kalangan penulis wanita. Contoh nama-nama dari jalur
pertama ialah seperti Siti Zainon Ismail, Zaharah
Nawawi, Khadijah Hashim, Fatimah Busu dan Siti Zaleha
Mohd Hashim.
Dari jalur kedua pula adalah
seperti Nisah Haron, Mawar Shafie, Siti Jasmina
Ibrahim, Kamariah Kamarudin, Amy Suzani Ainuddin,
Zanazanzaly, Rozais Al-Anamy dan Siti Hajar Mohd Zaki.
Jalur ketiga pula nama-nama baru
seperti Ghafirah sendiri, Ida Munira dan nama-nama
lain yang selalu dijumpa dalam Tunas Cipta seperti
Luciana Benjamin, Noor Huwaina Idris dan ramai lagi.
Ghafirah sedang merintis denai
untuk meletakkan dirinya sebaris dengan nama-nama di
jalur kedua. Bermakna, Ghafirah sekarang sedang
meletakkan dirinya pada peringkat pra-jalur kedua.
Tidak mustahil akan datang, beliau akan meletakkan
dirinya di jalur pertama pula kalau ada kesungguhan.
Apa yang penting, beliau mestilah terus menulis.
Tentang jalur-jalur itu, bukan untuk mewujudkan
dikotomi, ini hanya pendapat saya.
15. Ada pendapat mengatakan kalau
sdr Ghafirah Idris tidak menghantar karya ke media
cetak namanya tidak popular seperti sekarang. Adakah
saudara setuju?
POPULAR
di sini dapat dilihat dalam dua aspek. Popular dalam "esastera"
dan popular di "luar". Memandangkan beliau agak
prolifik menyumbang untuk "Cerpenis", sudah tentulah
beliau sudah popular di "esastera". Nama Ghafirah
semakin melonjak kerana cerpennya mendapat mendapat
hadiah utama. Cerpen itu tersiar dalam Utusan
Malaysia. Utusan Malaysia adalah media
cetak. Jadi, tentulah saya setuju.
Pun, pada pendapat saya, popular
bukan soal utama. Ghafirah pernah beritahu yang dia
sebetul-betulnya belum bersedia. Dalam dunia
kesusasteraan, soal telah bersedia atau belum tidak
timbul.
16. Dalam sajak Genting Highland
terdapat kata-kata berikut: "Awan sisik di lereng
bukit. Mencium-cium". Yang tersurat, sajak itu
menggambarkan pemandangan di Genting Highland. Namun
tafsiran yang tersirat ialah saudara ingin
menceritakan bahawa saudara telah bertemu seorang
gadis (lereng bukit) yang menarik minat saudara dan
ingin mengenali dirinya dengan lebih dekat (mencium-cium).
Adakah saudara setuju dengan tafsiran tersebut?.
GENTING HIGHLAND
Awan sisik menjinak-jinak di lereng
udara sejuk khayal,
mencium-cium.
Genting Permai Park & Resort, Genting Highlands
3 Jun 2004
Saya fikir, eloklah saya ceritakan serba-sedikit untuk
perkongsian bersama. Begini. Semasa menyertai MPR,
kami menginap di Genting Permai Park & Resort. Sebuah
apartment yang agak mewah. Lokasi apartment ini
bukanlah di puncak Genting, sebaliknya di
tengah-tengah perjalanan ke puncak. Apabila keluar di
beranda, puncak Genting akan tampak berbalam-balam.
Kalau waktu malam, nampak terang-benderang cahayanya
seolah-oleh menggamit kami ke puncak sana.
Kalau waktu pagi pula, puncak Genting hanya nampak
sedikit sahaja. Dilitupi tompokan putih. Saya tidak
pasti samada awan atau kabus. Tapi, warna putihnya
seakan-akan gumpalan kapas. Tetapi, tidak pula bulat
sebaliknya berselerakan. Macam sisik-sisik ikan begitu,
tapi bukan juga sisik.
Memandangkan lokasi apartment yang kami menginap
bukan di puncak, suhunya tidaklah sedingin suhu di
puncak. Jadi, saya membayangkan dingin udara di puncak
akan turun "mencium-cium" tubuh kami. Mencium-cium itu
merujuk kepada udara. Manakala yang dicium pula adalah
tubuh kami.
Alhamdulilah, semasa sesi bebas, kami telah dibawa
naik ke puncak. Sempat naik kereta kabel. Dan, udara
sejuk memang betul-betul mencium-cium tubuh kami.
17. Tidak lama lagi akan muncul majalah bulanan
esastera.com. Apa pandangan saudara mengenai majalah
yang akan mula terbit pada 1hb ogos itu?.
SAMA-samalah
menyumbang. Berjaya atau tidak majalah ini bergantung
kepada penyertaan khalayak esastera sendiri. Jangan
sia-siakan.
18. Maaf kerana
soalan ini agak peribadi. Wanita yang bagaimanakah
pilihan saudara untuk dijadikan isteri?
Kadang-kadang susah juga. Apabila kita sukakan
seseorang, orang itu pula tidak sukakan kita. Apabila
seseorang sukakan kita, kita pula yang tidak suka.
Jadi, wanita pilihan saya tentulah wanita yang sukakan
saya dan saya sukakan wanita itu."...taksesuaitautanyasoalanbegini..."
(Petikan daripada cerpen Kulat, Faisal Tehrani –
Lagi Cerpen-Cerpen Underground).
19. Sajak "Menetak Bulan" antara
beberapa buah sajak saudara yang menyentuh hal politik.
Pada pandangan saudara apakah benar sastera telah
dipolitikkan?
"POLITIK
adalah kehidupan, sastera juga kehidupan. Di
tengah-tengah politik dan sastera duduk seniman,
dengan deria yang sangat peka, memerhati peristiwa di
sekelilingnya, menangguk pengalaman dirinya dan
pengalaman orang lain." (T. Alias Taib:2002).
Untuk sajak "Menetak Bulan", saya
tidak fikir ia menyentuh hal politik. Cuba kalau saya
tukar perkataan bulan kepada matahari?, saya fikir
tanggapan lain pula akan diberi. Apapun, maksud
lapisan pertama, kedua, ketiga atau seterusnya
bergantung kepada khalayak. Saya hanya menulis.
Umur saya sudah masuk 21 tahun
April lepas. Sudah layak untuk mendaftar sebagai
pemilih. Nampaknya, selepas ini saya perlu lebih
teliti dan berhati-hati.
20. Bagaimana pandangan saudara
mengenai penulis-penulis baru di esastera.com? Dan apa
nasihat saudara kepada mereka?
SAYA
cukup kagum. Jadikan esastera sebagai medan untuk
mengembangkan bakat dan minat. Sama-sama berusaha
untuk meletakkan esastera pada tempat yang sepatutnya.
Jangan main-main.
Nasihat (sebenarnya bukan nasihat, sekadar perkongsian)
– ini hanya untuk ahli baru: Jangan terlalu
ghairah menyiarkan karya di "penyair". Siarkan sajak
yang betul-betul berkualiti sahaja.
Kalau boleh, buat perancangan yang
rapi. Misalnya, tulis dahulu dalam 40 buah sajak.
Simpan dan peram sehingga betul-betul masak. Kemudian,
siarkan sajak-sajak tersebut sedikit-demi sedikit di "penyair".
Misalnya 1 hingga 2 buah seminggu. Dalam sebulan sdr
telah menyiarkan 8 buah sajak. Kalau setahun bermakna
sudah lebih 80 buah sajak dihasilkan. Dalam masa itu,
tulis juga sajak-sajak terbaru. Selang-selikan siar
yang lama dan yang baru.
Jika mahu lebih efisien lagi,
tetapkan hari penyiaran. Misalnya hari Ahad sebuah dan
hari Rabu sebuah. Ketika ada kesempatan "log in" pada
hari-hari lain, tumpukan untuk membaca, meneliti dan
mengkaji sajak-sajak penulis lain serta membaca papan
nota. Kalau rajin, buat ulasan atau tulis artikel.
Jangan lupa sibuk-sibukkan diri tulis sesuatu di papan
nota.
Kalau belum masukkan profil,
masukkan profil. Kalau belum siarkan gambar, siarkan
gambar. Penumpuan pembacaan ahli lain akan lebih
kepada penulis yang telah siar profil dan gambar
berbanding mereka yang belum buat begitu. "Keterpegunan"
juga akan lebih jika ada majlis nanti. Misalnya, saya
pernah tengok gambar Drirwan sebelum jumpa dengannya.
Ketika kami jumpa pertamakali semasa "Gathering" Raya
dahulu, saya rasa macam tak percaya. Betul!
21. Saudara masih belajar tetapi
dalam waktu yang sama aktif berkarya. Bagaimanakah
saudara membahagikan masa antara belajar dengan
berkarya?
INILAH
soalan yang pernah saya ajukan kepada salah seorang
rakan penulis muda. Jawabnya, "Saudara juga penulis,
tentu saudara juga tahu jawapannya."
Itulah jawapan yang diberikan oleh
beliau yang tidak memuaskan hati saya. Terus-terang
saya katakan, saya memang tidak pandai membahagikan
masa. Justeru, saya hanya memilih untuk menghasilkan
sajak sahaja. Saya juga ada menulis cerpen, tetapi
tidak banyak. Saya kurang menghasilkan cerpen kerana
bagi saya, menulis cerpen memerlukan komitmen masa
yang tinggi. Pun, tidaklah bermakna saya tinggalkan
terus.
Saya lebih senang menulis sajak.
Kalau sudah berpinar mata menaip tugasan misalnya,
saya akan buka "folder" sajak. Dan menaip apa saja
yang hadir di kepala. Jadi, kalau ada idea, saya boleh
menulis di mana sahaja. Pada bila-bila masa.
22. Pernahkah saudara mengalami
masalah ketika menulis tiba-tiba kehilangan mood dan
kekeringan idea? Bagaimana saudara mengatasinya?
PERNAH
juga. Untuk sajak, saya biasanya akan menulis dalam
buku conteng-conteng. Bukan buku mahal, tapi buku
latihan sekolah yang berharga RM 0.80. Apabila hilang
"mood" atau kekeringan idea, saya akan conteng-conteng
atau letak di tepi dahulu. Kalau saya tulis dalam buku
yang mahal – buku log misalnya, rasa sayang yang
menyelinap akan membantutkan kerja-kerja penulisan.
Jadi, kalau datang idea, saya akan
menulisnya cepat-cepat biarpun dengan tulisan cakar
ayam – hatta saya sendiri tidak dapat baca apa yang
saya tulis. Apabila ada kelapangan, saya akan buka
semula, mengeditnya dan menyalin balik ke dalam "PC".
Kalau tidak ada buku, saya biasanya
akan menulis dalam "outbox" "handset". Tidak perlu
risau, saya boleh menulis di mana-mana kerana
"handset" sentiasa bersama-sama. Saya pernah terbaca,
ada penulis yang menulis atas di atas tiket, tapak
kasut, papan lukisan, slip bank dan sebagainya di
perjalanan.
23. Kata Drirwan bahawa "Masa depan
sastera anda berada di esastera"?. Bagaimana saudara
mentafsirkan kata-kata tersebut?
UMUMNYA ,
terdapat dua kategori laman iaitu:
1. Laman Web2. Portal
Laman web dari segi kandungan bahannya adalah statik
dan memaparkan maklumat lama yang sudah basi.
Contohnya adalah seperti laman sastera persendirian
atau persatuan penulis.
Portal pula adalah dinamik (berubah-ubah) dan
sentiasa menyajikan maklumat baru dan terkini, segar
serta berpotensi untuk terus maju ke hadapan.
Contoh portal ialah seperti laman "Utusan" dan "Bharian".
Ini kerana, laman ini sentiasa berubah dari segi
bahannya setiap hari. Jumlah pengunjung untuk portal
biasanya adalah ramai berbanding laman web yang hanya
diakses oleh seseorang apabila perlu sahaja. Misalnya,
untuk mencari sesuatu bahan. Dan boleh dikatakan laman
web berpotensi untuk berkubur jika terus statik
sebegitu.
Menjurus kepada laman "esastera", saya dapat
golongkan bahawa esastera adalah portal. Bukan laman
web. Justeru, laman esastera berpotensi untuk untuk
maju memandangkan sifatnya yang dinamik. Boleh
dikatakan, setiap hari akan ada ahli yang menyumbang
tulisan terbaru dan ini sudah cukup untuk
mengkategorikan laman esastera adalah "portal" bukan
laman web. (Kalau boleh, selepas ini kita semua pakat
panggil "laman esastera", bukan "laman web esastera".
Kalau boleh lagi, portal esastera).
Misalkan, sdr adalah peminat ruangan "Kesihatan" dalam
akhbar Mingguan Malaysia dan penulis yang anda
gemari untuk ruangan tersebut ialah Najibah Hassan.
Jika sdr tidak membeli Mingguan Malaysia
sekalipun, saya fikir sdr akan usahakan untuk
mengakses internet dan terus "klik" pada "Kesihatan"
jika di rumah anda ada kemudahan internet. Bermakna,
penulis "favourite" sdr adalah Najibah Hassan dan
tulisan Najibah Hassan adalah "favourite" sdr. Akan
datang, begitulah juga.Menjurus kepada "anda" dalam
ungkapan " Masa depan sastera anda berada di esastera",
mungkin itulah jawapan daripada tafsiran saya.
24. Khabarnya ada
ahli esastera.com yang suka memberi gambaran yang
kurang baik mengenai laman web ini sehingga ada di
kalangan ahli dan mereka yang di luar sana berasa
tawar hati untuk menyertainya. Apa komen saudara?
GAMBARAN
yang kurang baik? Saya tidak pasti pula sebab tidak
banyak program sastera yang saya sertai.
25. Apakah nasihat
saudara kepada rakan-rakan di esastera.com.
Sekadar renungan untuk diri saya sendiri dan
rakan-rakan:
"...Manusia dilahirkan dengan iringan azan manakala
dimatikan dengan iringan solat. Dalam kehidupan
seharian, masa antara azan dan solat adalah terlalu
singkat. Fikir-fikirkanlah..."
Berkaryalah dengan sebaik-baiknya.
Setiap perbuatan, amalan, tulisan dan apa sahaja akan
dihitung waima sekecil biji sawi. Jadi, berkaryalah
dengan sebaik-baiknya. Pak Samad dalam puisi Kita Ini
Tetamu Senja pernah menyebut: "...Kita datang ini
kosong tangan kosong dada; bila pulang nanti bawa dosa
bawa pahala..."
Akhir sekali, kitalah pencorak masa
depan sastera negara. Dewan Sastera, Mei 2003 ada
memberikan fokus kepada Sastera Siber. Satu seminar
iaitu "Wacana Undang-undang Siber" pernah diadakan di
DBP tahun lepas. Datuk Johan Jaafar juga pernah
menyentuh sastera siber dalam kolumnya di Dewan
Sastera dahulu. Dalam Utusan Malaysia dan Berita
Harian, beberapa orang pernah menulis artikel tentang
sastera siber seperti Imlan Adabi, Marsli N.O, Lee
Keok Chih dan Fudzail. Dahrie juga ada menulis tentang
esastera dalam akhbar Mahasiswa. Bermakna, sastera
siber pernah diberi perhatian dan mempunyai masa
depannya yang sendiri.
Kalau kita tidak rebut peluang,
orang lain yang akan merebutnya.
Terima kasih kerana sudi menjawab
soalan-soalan tersebut. Sekian terima kasih.
SAMA-sama.
Abdullatip
27.6.2004
-------------------------------------
BIODATA:
NIMOIZ T.Y
mula mendaftarkan diri sebagai ahli esastera.com pada
5 Ogos 2002 dan merupakan salah seorang ahli yang
terawal. Sajaknya yang pertama disiarkan di laman "penyair"
berjudul "Aku Hanyalah Banduan" (2 September
2002). Sejak itu beliau terus aktif menyumbang. Dengan
keaktifan itu, beliau telah dihadiahkan "Platinum
Membership" oleh kAPAS Enterprise pada tahun 2002
bersama dua ahli lain iaitu Arisel BA dan Md.
Zainuddin.
Sajak "Menyerahnya Pemilik Suara"
dan biodata beliau di esastera telah dipetik oleh
Arisel BA dan disiarkan di Pentas Dunia, 20-27 Oktober
2002 serta merupakan sajak beliau yang pertama di
media cetak. Sehingga kini, beliau telah menyumbang
sebanyak X buah sajak dan sajen untuk esastera.
Beliau turut mengembangkan sayapnya
di media cetak. Setakat ini, 35 buah sajaknya telah
tersiar di pelbagai media seperti Berita Minggu,
Mingguan Malaysia, Pelita Bahasa,
Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Agama
dan Falsafah, Dewan Siswa, Sarina,
Remaja, Pentas Dunia dan termuat dalam
antologi bersama seperti Apas (kAPAS
Publication, 2003), Selagi Ombak Mengejar Pantai 8
(KEMUDI, 2004) dan Sajen (kAPAS Publication,
2003).
Cerpen beliau yang telah tersiar di
media cetak setakat ini pula hanya 5 buah sahaja. Pada
tahun 2003, beliau telah dipilih oleh DBP untuk
menyertai MPR tetapi tidak dapat menghadirinya atas
sebab-sebab tertentu. Bagaimanapun, beliau telah
dipilih sekali lagi pada tahun 2004. Motto dalam
bidang penulisan, "MENULIS TETAP MENULIS". |
|
|
|
|
|