LUTFI ISHAK SAJAK JENAKA (SAJEN) ADUHAI DUA KALI LIMA        
         

 

ADUHAI DUA KALI LIMA

Pak Mat baru dapat menantu
namanya Mahmud Tauhu.

Sebulan berlalu
Pak Mat tengok Mahmud Tauhu malas kerja
tiap-tiap hari melengung di beranda.

Walau suka melengung tak tentu hala
Mat Tauhu sedar bapa mentuanya
tak pernah solat
biar satu rakaat.

Suatu pagi hujan renyai-renyai
Pak Mat tak boleh menoreh
sementara menanti hujan berhenti
Pak Mat ajak main dam haji.

Tak sampai dua minit
Pak Mat masuk perangkap
Mahmud Tauhu bangga
katanya: "Tengok pak, sekali makan empat."
Pak Mat jawab: "Kau ni makan kuat, kerja tak buat."
Mahmud Tauhu senyum simpul
mukanya merah rasa terpukul.

Sepuluh minit main
kini Mahmud Tauhu masuk perangkap
dengan bangga pak Mat cakap:
"Tengok, sekali pasang strategi
terus dapat haji."
Dengar pak mentua cakap begitu
Mahmud Tauhu terus jawab;
"Pak ni kira hendak dapat haji
tapi sembahyang tak sekali."
Pak Mat senyum kambing
kini gilirannya kena menganjing.

18 Disember 2002