| MUHD. LUTFI ISHAK | CERPEN | Perakam Suara | |||
| BERSAMA
SENGSARA KAMI CINCANG MEREKA |
NAK IKUT CHE | PEREMPUAN DAN BUDAK LELAKI ITU | TIGA PULUH SEMBILAN HARI LEPAS | ||
| KEKERAMATAN KUIH PAU USIMIN |
PUUUTTT! | PEMOTONG BULU |
| PERAKAM
SUARA
Oleh: Muhd Lutfi Ishak Aku telah dibuang kerja. Maksudnya, aku ada banyak masa lapang yang perlu dihabiskan. Jadi aku rasa gembira. Mana kan tidak, hidup rasa lapang. Untuk elak rasa bosan, aku pun buat pelbagai ‘kerja’ (maksudku, aktiviti yang kusuka). Dua minggu pertama, aku telah isi masa lapangku dengan merayau-rayau di kompleks membeli belah, minum Cappuccino atau Somali di kafe, atau tengok wayang. Selama ini seharian aku bergegas ke sana ke mari mengejar masa, kini aku tak perlu fikirkan itu semua. Malah kurasa, masa pula yang mengejarku. Rupa-rupanya, biarpun baru dua minggu aku ulangi rutin itu, akhirnya aku bosan. Kakiku mula lenguh dan sengal-sengal kerana tak berhenti merayau-rayau. Lidahku rasa pahit dan pedal kerana banyak minum kopi Mat Saleh yang lemak berkrim tetapi ‘keras’ itu. Lebih buruk lagi, kopi tersebut buat aku susah buang air besar. Semua filem baru sudah kutonton. Sekarang, apa pula yang hendak dibuat. Terniat mahu cari kerja baru, tapi aku belum puas ‘berehat’. Aku tak ingin kembali, sekurang-kurangnya buat masa ini kepada rutin manusia kota yang berkarier - bangun seawal lima pagi, minum kopi seorang diri, masuk ke dalam badan LRT sebelum berpeluh-peluh kejar mesin ‘punch card’ agar dakwat merah tidak tercatat di kad kerjaku. Sedang aku terfikir, apakah yang mahu dilakukan, tiba-tiba saja aku teringatkan beberapa orang kawan yang sudah bertahun tidak dihubungi. Aku pun menelefon kawan-kawanku. "Betul sudah menikah?’’ "Habis, kau ingat aku tipu." "Bini kau sudah mengandung?" "Aku dah ada dua anak. Nak masuk tiga bulan depan." "Apa? Kau ni memang ubi kayulah, diam-diam berisi." "Aku tak diam. Kalau diam, tak berisi." Kami ketawa. Dengan seorang kawanku yang lain pula: "Kau ingat lagi, si Jim?" "Takkan aku lupa kawan kita yang pakai cermin mata seperti Nobita Doraemon tu. Kenapa?" "Dia dah kawin. Dua anak." Jawabku ghairah. Sesekali menelefon kawan-kawan lama, perbualan memang sentiasa rancak. Kenangan masa lalu berputar-putar dan segar kembali. "Diam-diam saja si Jim tu. Kau pula bila?" Aku diam. Soalan itu tak ada jawapannya. Jadi, aku tidak menjawabnya. Aku menyoal kembali. "Kau dah kawin?" "Belum. Tapi dah ada tiga anak." "Kau…" Aku terkejut juga. Tapi, kawanku yang seorang ini, sejak pulang dari menuntut di luar negara, dia tidak lagi menjadi manusia timur. Dia sudah jadi barat, lebih daripada orang barat sendiri. "Jadi, kenapa telefonku?’ "Aku dibuang kerja. Bosan. Tak tahu nak buat apa." Diperbualan telefon yang lain pula: "Hello, boleh saya cakap dengan Joni?" "Siapa di sana?" Nyata suara ini milik wanita berumur. "Kawan lamanya." "Maaf, dia tak tinggal di sini." "Dia di mana?" "Pusat serenti." Telefon diletak kasar, dan bunyi tuuuutttttt masuk dalam telingaku. Betulkan si Joni di tahan di pusat serenti? Setahu aku, sejak dulu lagi, Joni dikenal sebagai kawan yang tidak bermasalah. Dia rajin, dapat nombor satu dalam kelas, malah dialah satu-satunya kawanku di sekolah yang tidak merokok! Menelefon kawan-kawan lama, memang buatkan rasa bosanku kurang. Tapi, apabila mereka sering kutelefon, aku kembali bosan dan rasa malu. Bosan sebab sudah tidak ada cerita yang hendak dibualkan. Malu sebab sering ganggu kawanku di telefon. Jadi, aku ambil keputusan berhenti menelefon kawan-kawanku. Mereka sudah ada keluarga. Dan mereka semuanya bekerja. Kalau mereka ada masa kosong, masa itu perlu dibahagikan kepada anak isteri mereka, dan juga untuk hilangkan keletihan kerana lelah bekerja seharian. Kalau masa kosong mereka seperti pai nenas, aku hanya boleh tengok mereka makan sambil telan air liur saja. Beberapa hari, kerana betul-betul tidak tahu hendak buat apa lagi, aku terperap dalam bilik. Dunia yang besar ini rupa-rupanya jadi kecil bila rasa bosan. Aku baca majalah, akhbar, menonton televisyen. Tiap-tiap pagi, dalam akhbar, televisyen dan majalah, hanya siarkan berita yang menakutkan dan sensasi. Berita-berita pembunuhan dan gosip artis. Pada mulanya memang menghiburkan. Tetapi, bila setiap hari cerita dan beritanya masih sama, masih kisah-kisah rogol dan pembunuhan, aku mula menyampah. Malah lebih menyampah membaca berita yang tidak berguna, misalnya perkahwinan artis dengan lelaki misteri yang kaya sehingga kadang-kadang sengaja diletakkan di muka hadapan akhbar. Lalu aku berhenti membeli surat khabar. Aku tidak tonton berita lagi. Aku lebih suka lihat kipas berpusing, jelaga yang makin kelabu di syiling, dan sekali-sekala, dengan teropong aku meneropong apa saja. Dan pada suatu pagi, kerana terlalu bosan aku menulis sajak. Banyak juga sajak yang kutulis. Dua puluh buah. Aku menaip dalam komputer sajak-sajakku itu. Apabila siap, aku telah hantar sajakku yang semuanya berjudul tidak ubah macam rumus matematik: (Kesepian+Keheningan=Kebosanan) 1, (Kesepian+Keheningan=Kebosanan) 2 hingga (Kesepian+Keheningan=Kebosanan) 20 sekaligus, beserta sepucuk nota kecil: Harap tuan editor siarkan di akhbar tuan. Tapi, niatku untuk terus menulis sajak mati begitu sahaja sebab aku rasa aku memang tak berbakat. Buktinya? Kedua-dua puluh sajak yang kuhantar sekali gus ke sebuah akhbar mingguan terkenal itu, langsung tak disiarkan biarpun sebuah. Malah, editor yang baca sajakku itu telah hantar emel pendek yang terus memadamkan hasratku untuk menulis sajak: Sajak-sajak kau lebih hodoh dari anu aku. Kalau kau nak sajak kau balik, datanglah ambik dalam tong sampah. Akhirnya apa lagi yang mahu kulakukan di dalam bilik ini. Aku pun pakai seluar, sarung baju, keluar, jalan-jalan. Kerana tidak tahu hendak pergi ke mana, aku duduk di perhentian bas melihat kenderaan. Kebetulan, di tepiku sepasang kekasih sedang bercakap entah apa. Tentu ada yang menarik yang sedang mereka bualkan. Kerana aku tidak pernah bercinta, aku tertanya-tanya, apakah yang sering dibualkan oleh pasangan kekasih ini. Aku pasang telinga. Tapi, bila mereka syak aku cuba dengar perbualan mereka, mereka pun bangun, melihatku dengan rasa menyampah, dan berlalu. Aku diam saja melihat reaksi pasangan kekasih itu. Apa yang rahsia sangat tentang perbualan mereka? Mungkinkah mereka sedang berbincang tentang perkara yang sangat sulit? Atau sebenarnya mereka hendak melangsungkan perkahwinan beberapa bulan lagi. Lalu yang mereka bincangkan adalah tentang persiapan majlis perkahwinan yang hendak diadakan nanti seperti berarak dengan kereta lembu, atau naik motosikal besar, atau bernikah di dasar laut? Atau apa? Tapi, rasa ingin tahuku terhadap perbualan mereka buat aku terfikir cara yang bijak untuk mendengarnya. Aku cari jalan. Mungkin aku boleh beli alat perakam suara yang kecil, meletakkannya di bawah kerusi dan merakamnya. Aku bangun, terus ke kedai, cari perakam yang sesuai. Kebetulan, seperti faham sangat dengan kehendakku (memang itupun perangai semua jurujual dalam dunia ini), jurujual di kedai itu beri aku perakam suara yang kecil sambil kata, perakam suara yang ni jarang ada di kedai biasa. Di negara kita ni, ujarnya yakin macam politikus tengah berkempen - haram. Wartawan dan polis sahaja boleh guna. Aku senyum, dan memang aku tak percaya langsung apa yang penjual itu kata. Kalau polis tahu, kena tangkap, kata jurujual itu lagi sambil bagi balik wang baki aku. Esok paginya, aku sudah ada di perhentian bas. Gopoh-gapah aku lekatkan perakam suara itu di tempat yang sesuai masa orang tiada. Kemudian aku balik. Dua jam kemudian, datang lagi, tukar pita, dan balik. Hari itu saja, enam pita rakaman tergeletek atas katil. Semuanya belum kudengar, tapi aku aku mahu dengar kenam-enam pita rakaman itu malam ini juga. Sebabnya, aku bosan dan aku mahu jimat wang. Esok pagi, aku boleh guna pita rakaman ini lagi, dengar balik, guna lagi, dengar balik - sampai rosak, sampai pitanya putus. Semua pita rakaman itu, telah kutandakan dengan masa ia dirakam. Lepas itu aku dengar satu-satu. Aku dengar ikut urutan waktu. Mula-mula aku dengar pita rakaman yang terpasang daripada pukul 7.00 pagi hingga 9.00 pagi. Dan, dalam bunyi enjin kenderaan yang turut terakam, suara beberapa orang keluar dari lubang kecil pita rakamanku: "You tau, I dah setengah jam menunggu. Sepatutnya bas I sampai tadi lagi." "You setengah jam. I dah sejam. Memang bas ni tak ikut masa. Nanti di pejabat, bos I marah lagi." "Ha, itupun dah sampai. I nak maki pemandu bas tu. Biar dia tahu, jangan makan gaji buta saja. I bayar tambang bukan sebab nak guna bas dia. I guna tambang sebab nak dia tepat masa." Dan perbualan mereka tamat. Kedengaran enjin bas begitu kuat. Dalam fikiranku, aku dapat bayangkan, tentu mereka berasak-asak macam budak sekolah. Selepas itu, aku dengar rakaman daripada pukul 11.00 hingga pukul 1.00. Aku rasa, tentu aku dapat dengar perbualan sepasang kekasih semalam. Tapi, agakanku tersasar. "Bang, saya sudah sehari semalam tak makan." Suara yang terketar-ketar, dan lesu kedengaran dari pita rakamanku. "Bang, saya lapar. Tolong saya bang." Senyap seketika. Bunyi enjin sebuah motosikal berkuasa besar mencelah. "Bang…" "Kau tahu, aku juga sehari semalam tak makan. Aku sudah berpuluh kali naik turun pejabat, tapi mereka tak mahu terima aku kerja juga walaupun bahasa Inggeris kubagus. Ni, nak dapat ijazah ni, empat tahun belajar. Tapi sekarang, aku pengemis, macam kau." "Bang, seringgit pun jadilah." "Oii, bodoh. Aku takdak duit. Pergi! Jangan sampai aku belasah kau!" Aku tergelak sendirian. Mungkin inilah yang dikatakan buku bertemu dengan ruas. Pita rakaman dari pukul 1.00 hingga pukul 4.00 tidak ada apa yang menarik untuk didengari. Hanya bunyi enjin kereta, motosikal dan bas yang berhenti mengambil penumpang, terakam di dalamnya. Tetapi bila pita rakaman dari pukul 5 hingga pukul 6 kuputar, mataku yang sudah mula mengantuk kerena keletihan, terbuka bulat. "Kenapa abang lambat. Dah setengah jam tunggu abang." "Maaf sayang. Semalam abang tidur lambat." "Abang buat apa tidur lambat?" "Abang ingat dekat sayang. Abang tak boleh tidur. Masa orang azan subuh, baru boleh lelap." "Abang tipu." "Betul. Sumpah. Errr, sayang dah tempah?" "Bilik 305." "Jom. Malam ni, tak balik rumah?" "Tak. Papa dengan mama out station." "Ooooo. Ke mana?" "Entah. Abang, …" "Kenapa?" "Sejak semalam ayang asyik rasa mual. Muntah-muntah." "Nanti kita jumpa doktor. Jomlah." Bilik 305? Muntah-muntah? Nanti jumpa doktor? Jom? Aku tergeleng-geleng macam sesumpah. Aku lihat jam di dinding. Pukul 3.00 pagi. Aku rasa lapar. Ada lagi tujuh pita rakaman yang belum didengar. Arghh, esok saja. Aku pakai baju, sikat rambat, ambil dompet. Aku lapar. Aku mahu makan mi goreng mamak. Ketika sampai di kedai mamak, aku terfikir, tentu menarik kalau aku boleh letak pita rakaman dalam kereta orang politik. Apa yang selalu mereka cakapkan atas podium, mereka cakap tak dalam kereta? Mau minum apa? Teh tarik sama roti canai garing satu.
12.07 malam. 24 Julai 04. Kg Jawa, Klang
|
|
BERSAMA SENGSARA KAMI CINCANG MEREKA* Bab 1 Tika mulut senapang penjajah meludah timah sulungnya, dan membenam dada sasa panglima Hitam, kami orang-orang kampung yang melihat kejadian itu punya dua pilihan; lari selamatkan diri atau uji antara runcing keris dan raung senapang, manakah paling magis. Dan kami pilih untuk lawan, atau dalam bahasa lebih tepat, pilih syahid; jika syahid itu milik kami. Dengan laungan yang terbersit dari mulut kami serentak; Allahuakbar – kami menerkam tanpa secebis takut dengan keris tergenggam kukuh di tangan. Kami benamkan bisa keris ke tubuh-tubuh soldadu, dan buat pertama kali kami melihat bagaimana badan-badan soldadu yang lebih besar dan agam daripada kami menjerit sakit dengan darah muncerat yang bukan sahaja di tempat luka, malah mulut dan hidung mereka. Beberapa tika kemudian, desing peluru berhenti, dan kami mendapati sepuluh saudara kami syahid, dan lima belas penjajah laknat itu menemui neraka. Sore itu, kami satukan sahabat kami yang syahid di dalam kubur gergasi. Petang itu juga, kami tahu dua perkara - walau perjuangan baru bermula pasti penjajah mahu tamatkan episod ini secepat mungkin dan musim gembira sudah berlalu, dan kini yang menunggu di depan kami hanyalah darah dan peluru. Bab 2. Pagi itu kami tidak akan lupakan walau sesaat dari ingatan – gerimis membasahi tanah kampung. Dingin jadi gebar gergasi membalut jagat. Tika nur manja mentari menyentuh tanah tercinta ini, seperti yang kami jangka soldadu penjajah datang dalam angka yang lebih gergasi dan dengan angkuh meroboh kubu yang kami bangunkan dengan semangat dan keringat. Das-das tembakan yang bertalu-talu itu tak mampu kami hilangkan gemanya hingga bila-bila, lebih-lebih lagi saat berselang-seli dengan jeritan sengsara. Panglima Putih, pengganti Panglima Hitam gugur mencium harum tanah beberapa jam kemudian. Disusuli anak sulungnya, Semail. Dan akhir sekali, bila Piin dihinggapi dua butir peluru di jidatnya lalu tersungkur kelabakan, kami seolah-olah hilang dahan bergayut kerana dialah satu-satunya paling layak menggantikan Panglima Putih. Jeritan Allahuakbar, yang bergema sejak mula, beransur perlahan dan akhirnya macat. Ketika itu, kami tidak punya kelebihan lagi untuk melawan. Dan kami mengambil langkah berundur, yang kami fikir bukan kalah, tetapi mengumpul kekuatan sekali gus merencana strategi paling bagus. Saat kami tinggalkan medan pertempuran, kami tekad akan kembali, dan cincang seluruh laknat itu hingga hancur, seperti membajak bendang sebelum musim menuai – dengan keris dan lembing lambang kekuatan pejuang Melayu. Bersama sengsara dan dendam, dan semangat, kami meredah belukar dan mendaki bukit, lalu jadikan rimba pusat merancang serangan kedua. Rimba jugalah yang menjadi tempat untuk kami cari penawar bagi ubati luka-luka, dan juga memburu rusa untuk isi kelompangan perut kami. Bab 3 Kumpulan tanpa ketua untuk memimpin dan membuat keputusan bak belayar tanpa tuju – silap-silap bahtera ditipu muslihat laut dan akhiri pelayaran dengan satu rumus; karam. Sedar hal itu, masuk hari yang kedua puluh lima kami berpakat lantik seorang ketua yang dapat hilangkan dendam dan raung kematian yang terbit daripada mulut sahabat-sahabat kami. Salah seorang daripada kami pun usulkan, nanti saat malam jadi kanopi gergasi dan membungkus jasad hutan, kami mesti berkumpul dan pilih siapa paling layak berada di depan – menggempak semangat petualang-petualang. Malam pun tiba diiring dingin dan sepi, dan cengkerik yang tidak henti-henti melontar irama di celah-celah pohonan. Seseorang daripada kami bangun dan memulakan majlis dengan ucapan-ucapan api: “Kalian tentu ingat jeritan terakhir Panglima Hitam bukan? Kalian juga tentu belum lupa warna darah Panglima Putih, Semail dan? Kalian tahu, saat mereka kelabakan, Izrail datang jemput roh mereka dengan kunci syurga!” Ingin kami laungkan Allahuakbar kuat-kuat bila makna ucap itu menusuk fikir, tetapi kami matikan kerana tahu, jeritan keramat itu mungkin menjadi petunjuk musuh kenal pasti kedudukan kami. Namun beberapa orang daripada kami terlepas juga lalu tukar halus malam yang mengusap kulit jadi panas dan meremangkan tiba-tiba. “Khabarnya, penjajah juga bawa salib untuk kita.” Celaka, terdengar beberapa orang daripada kami mendengus kasar. Bangsa laknat, kafir, sambung beberapa yang lain. “Sudah lama kita terperuk dalam rimba. Tentu kalian tak sabar-sabar lagi halau mereka. Justeru, kita mesti punya ketua.” Sahabat kami yang sejak tadi bangun mengucapkan kata-kata sarat semangat itu, duduk bersila – memberi ruang kepada sesiapa yang lain untuk bangun bercakap dan sekali gus usul ketua baru. “Aku cadangkan Bali.” Seseorang yang berada di rusuk kiri bulatan bangun membuat cadangan. Semua mata mengarah kepada Bali. Siapa yang tidak kenal Bali, pemuda tiga puluhan yang gagah dan murid paling berbakat Panglima Hitam. Namun, satu perkara yang harus kami fikir betul-betul – Bali miliki panas baran yang tidak ada tolok bandingnya. Pernah suatu ketika, dia patahkan kaki rakan silatnya hanya kerana jatuhkan destarnya. Memang kami faham, jatuhkan destar lawan samalah seperti memalit tahi di janggut seorang petapa. Namun kami juga bukan setakat tahu, tetapi arif - rakan yang jatuhkan destarnya itu bukan sengaja dan tentu tidak berniat langsung mencabar Bali yang dimaklumi makam pencaknya. Bagi kami, dan Islam juga – tidak sengaja perlu dimaafkan. Jika tidak dimaafkan, kami punya satu tafsiran tunggal memaknakan perbuatannya: Bali bukanlah pendekar sejati, atau dalam ahasa senang, persis pendekar yang tahu menyerang tetapi bodoh baca tindak lawan. Suasana yang hangat sejak tadi kembali dingin dan gigi api yang meratah batang-batang kayu kering kelihatan menjulang-julang. Bali, yang masih menunggu jawapan, dan kami yang enggan memberi jawapan buatkan majlis sedikit macat. Namun kami cepat sedar, baru satu nama diusulkan – bukan itu bermakna kami mesti setuju, kerana kami tahu, masih ada beberapa nama yang kami rasa boleh, dan mampu memimpin kami, termasuklah dia, Khadijah. “Aku cadangkan puteri sulung Panglima Hitam, Khadijah,” ada satu suara menambah nama, dan tentunya sedikit tenangkan hati kami, yang sudah menangkap rasa – jika situasi begini berterusan, sesuatu di luar jangkaan boleh berlaku. “Ya, ya, Khadijah,” suara lain turut menyokong. Terdengar juga suara mulus dan lembut memadukan sokongan. Bali, yang mula rasa wibawanya tercabar bangun tiba-tiba dan menarik keris dari sarungnya lalu mengucup dengan ghairah. Lantas; “Kalian telah pun putuskan siapa ketua kalian.” Keris yang dikucupnya tadi dilempar lalu terpacak di tanah. “Jika nanti, yang jadi ketuaku serang perempuan, aku rela seorang diri menentang petualang.” Kami tersentak dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Bali sendiri. Apa kurangnya Khadijah – dia juga kuasai semua pencak silat yang diperturunkan di gelanggang seperti Bali, dan tentunya sebagai anak Panmglima Hitam, yang setiap masa bersama-sama ayahnya, bukan mustahil ilmu-ilmu yang diperturunkan kepada Bali, ada padanya. Tiada siapa pundari kami berani mendongak menentang sinar mata Bali yang memancar-mancar bak mata singa terkena cahaya bulan tika malam, kecuali seorang gadis – Khadijah. Beberapa detik kemudian, bila terdengar langkah perkasa Bali diikuti beberapa orang daripada kami menjauh, kami mula sedar barisan yang sedang di susun sudah ada retaknya. Bab 4. Hari ini penentu terhadap apa yang dimulakan Panglima Hitam. Kami, yang sediakan semua keperlian untuk turun ke kampung dan tamatkan perjuangan, tidak sabar-sabar lagi untuk merodok perut penjajah denbgan lembing yang kami buat daripada buluh runcing. Atau, jika tidak, kami juga tidak gentar rasa ketajaman peluru penjajah. Kemarahan dan api perjuangan yang dinyalakan Panglima Hitam, takkan sekali terpadam. Sementara itu Bali yang telah tinggalkan barisan, telah pun dilupakan. Mengingati sesuatu yang sudah ditakdirkan, tidak mapu ubah apa-apa. Lebih-lebih lagi bila kami yakin Khadijah bukanlah pilihan silap – itu kami pasti. Seminggu di bawah pimpinannya, kami mula sedar bahawa Khadijah ntidak saja miliki ilmu silat sehebat Bali malah sifat sabar dan bijak mengatur strategi yang dimiliki Panglima Hitam, juga mengalir dalam urat sarafnya. “Kita singa bangsa. Raungan kita hari ni akan bergema selama-lamanya,” Khadijah berhenti mengatur nafas dan menyeluruhi kami yang berada dalam barisan di depannya. “Kita punya sepasang tangan, dan kalian lihat, daripada sepasang tangan tiba-tiba cukup gagah bila berada dalam satu barisan.” Kata-kata yang terhambur daripada mulut Khadijah tidak saja koyak dingin yang menjala, malah membakar semangat kami. Lembing yang terpacakmendongak langit, digenggam makin erat. “Kata arwah ayahanda, serigala boleh dicontohi kerana sentiasa dalam kumpulan. Dan hari ini, kalian semua telah buktikan, betapa benarnya kata-kata ayahdanku,” sekali lagi Khadijah menyeluruhi kami dengan pandangannya. Beberapa ketika, dia menarik keris yang beradu di dalam sarungnya lalu mencium lok-lok penuh khusyuk, seolah-olah sedang mencium hanyir darah penjajah. “Hari ini penentu perjuangan. Dan perjuangan itu kini berada di hujung keris dan lembing kita. Berjuanglah, sehingga kita tercium bau syurga!” “Allahuakbar!” Laungan keramat yang entah tercetus dari mulut siapa disambut kami dengan suara lebih lantang berkali-kali lalu menyendat ruang sekeliling. Bab 5 Tika kaki kami mula menginjak tanah kampung yang sudah beberapa purnama di tinggalkan, kami seolah-olah tidak percaya – kerana apa yang kami lihat kini hanyalah bangkai-bangkai rumah yang rentung. Hati kami seperti dicucuk dengan seribu belati. Mungkin, jika tiada Khadijah bersama, kami sudah lama mencari batang tubuh penjajah yang kami tahu, kini berada di rumah pasung di ujung kampung. Sebagai ketua, tentunya kami hormati apa saja yang keluar dari mulut Khadijah. Bila Khadijah buat keputusan untuk serang lepas solat maghrib, maka kami setuju tanpa bantahan. Selesai saja kami solat maghrib, dan aminkan doa yang kami anggap doa terakhir, kami kembali ke kumpulan masing-masing. Dan, ketika bulan mula menebar sinarnya, kami sudah pun mengepng rumah pasung yang dikitari lapan orang soldadu bersenjatakan senapang patah. Bila terdengarsahaja jeritan “serang!”, yang begitu nyaring dan mulus dari mulut Khadijah, yang ada dalam mata kami hanyalah darah penjajah. Desing peluru dan mata lembing bersimpang-siur. Lapan orang soldadu yang berkawal di rumah pasung, berjaya kami lumurkan darahnya di lembing dan keris kami. Dan saat itulah, dengan mata dan kepala kami sendiri, kami lihat betapa pencak Khadijah mungkin lebih hebat daripada Bali. Saat kami menerobos masuk ke dalam rumah pasung, sekali lagi Khadijah membenam kerisnya ke tubuh soldadu yang tidak sempat melepaskan tembakan. Malangnya, antara peluru dan keris, ternyata peluru lebih kilat. Belum pun sempat Khadijah menarik kerisnya, sebutir peluru hinggap di timur dadanya. Dua butir peluru menyusul kemudian, membenam perut dan jidatnya. Saat itu kami seolah-olah bertukar menjadi sekumpulan serigala yang terserempak dengan mangsa pertama setelah sepurnama mencari makanan. Dan bila satu suara lantang dan cukup kami kenal menggema tiba-tiba, yang kami sendiri tidak sedar hadirnya selepas tinggalkan kami saat Khadijah dipilih sebagai ketua – melaungkan “Allahuakbar, demi Khadijah, demi bangsa, demi Allah, seranggg,” – yang terlintas dalam fikiran kami hanyalah satu akwal keramat: syahid! * telah disiarkan di dalam Mingguan Malaysia, Ogos 2002.
|
| NAK IKUT CHE
( Tersiar di majalah Wanita, Julai 2003) KEDUA-DUA mata adik jadi saksi, bagaimana tingginya batang tubuh Che melambung dirempuh lori pasir. Dudi jatuh di atas jalan, bergolek-golek macam bola ragbi, sebelum sekali lagi disapu, dilenyek, dihenyak dengan lori yang berkali ganda besarnya. Badan Che yang bongkok kurus melalang entah apa jadinya. Adik tak mampu buat apa-apa. Adik meraung-raung, menjerit-jerit, sampai akhir sekali gelap mata. Tika adik buka mata lagi sekali, adik sudah berada di dalam bilik dengan kepala adik berbalut. Adik bangun. Hari sudah malam. Ramai orang datang rumak adik malam itu. Adik langsung tak hiraukan mereka. Adik terus ke bilik Che. Che tidak ada di dalam biliknya. Di dalam bilik berbau kemenyan. Di ruang tamu, di dapur penuh jiran-jiran dan orang kampung. Mereka sibuk mengunyah makanan. Mungkin Che ada dekat bilik mandi. Mana tahu, dia ambil air sembahyang. Adik berjalan ke bilik air. Tiada. Ataupun Che ke dangau. Kan Che tak suka bising-bising? Adik hendak pergi ke dangau pula. Tak sempat lagi adik melangkah keluar pintu, ada orang cempung adik. Entah siapa. Adik memugas-mugas ingin lepaskan diri. Adik hendak cari Che dekat dangau. Orang itu bawa adik kepada emak. Adik menangis. Adik menjerit-jerit kata nak jumpa Che. Emak pujuk adik. Adik terus menangis. Semua orang melihat adik. Abah datang, pegang adik, dan bawa keluar rumah. Abah kata: Jangan buat hal. Tak fasal-fasal kena penampar. Tangisan adik terus sentut. Dengan abah, memang adik takut. Bila adik berhenti menangis, abah bawa adik masuk ke dalam bilik. Tidur! Kata abah. Adik pun pura-pura pejam mata. Kemudian abah keluar. Kalau diikutkan hati, hendak saja adik terjun ikut tingkap lalu ke dangau tengok Che ada dekat sana atau tidak. Tetapi, kaki adik tak kuat. Kalau patah nanti, adik juga yang susah. Tentu adik tak boleh ikut Che pergi penaik wau dekat bendang. Lama-lama duduk di atas tilam, adik tertidur. Pagi esok, ketika adik bangun, dengkur abah mengetuk kuat dinding rumah. Adik masuk ke dalam bilik Che. Tiada. Mungkin Che sudah pergi penaik wau dekat dangau. Adik basuh muka dekat sinki dapur dan berlari keluar menuju ke sawah. Sampai saja ke dangau, Che tiada juga. Adik macam hendak menangis. Che, Che pergi mana? Sejak hari itu, Che tak lagi balik rumah. Adik sudah putus asa. Kenapa Che tak cakap ke mana dia pergi. Che jahat. Che tak kesiankan adik. Dulu-dulu ketika Che belum pergi, adiklah yang menemani Che melengung di dangau. Dangau ini hasil tangan halus Che. Adik tolong angkat dua tiga keping papan saja. Mulanya, sebatang pokok kelapa reput patah melintang. Che suka duduk-duduk sambil tengok kenderaan kejar-mengejar. Bila tengah hari, kawasan ini panas ceng. Che tak boleh duduk lagi. Akhirnya Che kata: Kalau buat dangau sedap lagi. Boleh senggeng-senggeng walaupun tengah hari rembang. Hari-hari Che ke dangau. Duduk-duduk hisap rokok daun. Tiba bulan puasa, Che bawa al-Quran dan baca al-Quran di atas dangau. Suara Che merdu. Ada waktunya, Che menyanyi lagu Arab. Adik tak faham langsung lagu tersebut. Tetapi adik ingat sikit-sikit lagunya: Baladi yamis mis. Alami, alami, alamiiiii. Che akan ulang lanjut-lanjut. Ada dua tiga lagi lagu arab yang Che suka. Semuanya sedap-sedap belaka. Kadang-kadang, bila ralik sangat dengar Che menyanyi lagu Arab, adik tertidur di atas riba usangnya. Che tidak suka keadaan di rumah. Tiap-tiap hari hari emak dan abah bergaduh. Macam-macam hal mereka bergaduh. Bila tak mampu menahan marah, sepak terajang abah mula meratah dinding rumah. Emak pula tak mengalah. Ada-ada pinggan mangkuk berkecai dihempuknya ke atas lantai. Entah-entah kerana sebab itu abah terus pergi dan tak pulang sampai hari ini? Che bapa abah. Tetapi tak pernah pula adik dengar Che marahkan abah. Apa jadi pun Che duduk diam-diam. Habis-habis sangat, Che bangun, pegang rokok daun, balut kain tuala di kepala lalu melangkah keluar rumah. Adik akan ikut Che. Adik takut duduk rumah tanpa Che. Bukan abah saja pukul adik, kadang-kadang emak juga. Mereka memang tidak sayangkan adik. Sebab itu, adik sayangkan Che. Sayangkan Che lebih daripada sayang diri adik sendiri. Sebelum kematian Nek Bah, Che tinggal di rumahnya sendiri. Adik selalu pergi duduk-duduk, dan kadang-kadang tidur dengan Che. Duduk di rumah pun buat apa. Abah malam baru balik. Emak, ikut dia kerja. Kalau dia kerja siang, pukul tujuh pagi sudah pergi ke kilang naik van. Pukul tujuh petang baru balik. Kalau kerja malam, pukul tujuh van ambil, tujuh pagi esok baru balik. Rumah Che rumah kayu. Cantik. Adik suka duduk di beranda. Di beranda, Che letakkan sepasang bangku kayu. Di situlah Che dan Nek Bah duduk tika sore. Kadang-kadang makan tengah hari pun dekat situ. Tetapi setelah Nek Bah diusung di dalam sejenis alat yang orang kampung panggil: keranda, perangai Che terus berubah. Kehidupan Che tunggang langgang. Hendak tak hendak Che berpindah ke rumah adik. Semua sudah jadi kenangan. Setiap hari, adik teringatkan Che. Setelah Che pergi tak balik-balik, adik terasa seperti anak yatim-piatu. Kenapa Che pergi tak bawa adik sekali? Che tak kesiankan adik ya? Che…uh! Ada angin menabrak durja. Air mata yang baru sahaja hendak mengalir macat. Terasa ada ketenangan dihantar angin yang entah dari mana datangnya. Adik tarik nafas pelan-pelan. Tahun lepas, musim kemarau musim emas. Mana kan tidak, kemarau memberi peluang kepada adik lihat Che tunjukkan kehandalannya main wau bulan. Adik ingat lagi, bagaimana cara Che senyum bila wau bulannya mencanak ke udara. Setelah waunya ditambat ke salah satu tiang dangau, sebatang rokok akan terbalut di tangannya. Che pernah kata, kalau adik mahu bahagia dunia akhirat: Cu kena jadi macam wau. Wau boleh naik ke atas kerana dia lawan angin. Dia dapat terbang selagi ikut kehendak orang yang membuat dan mengawalnya di bawah. Begitu juga dalam hidup. Kita berjaya jika berani hadapi cabaran. Sebesar mana pun kejayaan kita, kita tetap hamba-Nya. Kita pasti bahagia selagi perintahnya kita ikut. Kemudian Che tersenyum bila adik memandangnya bingung dan berkata: Tak apalah kalau cu tak faham la ni. Cu akan faham bila besar nanti. Memang betul adik tak faham. Matahari berdiri lurus betul-betul di ubun-ubun adik. Adik pun berjalan langsam, dan terus baring di atas dangau. Semalam masa tidur, adik nampak Che dengan Nek Bah. Che pakai baju putih. Serban hijau melilit kepalanya. Mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu, dan biji tasbih ikut bergerak di tangannya. Nek Bah pula berpakaian putih. Bertudung. Mereka senyum kepada adik sampai nampak gigi. Gigi mereka tak seperti selalu. Putih dan tersusun cantik. Masa senyum itulah, Che dan Nek Bah menggamit-gamit. Adik tanpa fikir panjang mendekati Che. Bila sampai betul-betul di depan Che, Che pegang dan dukung adik. Che cium adik beberapa kali. Kemudian, bila Che puas cium adik, Nek Bah pula dukung adik. Nek Bah pun sama juga. Cium adik berkali-kali. Selepas itu Che berjalan. Nek Bah ikut di belakang. Adik tak tanya apa-apa. Timbul rasa seronok bila Nek Bah terus dukung adik dan bawa berjalan-jalan, walaupun entah ke mana. Akhirnya Che dan nenek berhenti berjalan setelah sampai di depan sebuah rumah. Rumah itu besar sungguh. Pintunya sama besar dengan rumah adik. Che buka pintu rumah. Bila buka saja pintu rumah, cahaya menyilau-nyilau memancar ke muka adik. Belum sempat adik masuk ke dalam rumah itu dengan Nek Bah, adik sudah terjaga. Bila adik tahu semua itu mimpi, adik jadi sebak. Adik rindu sangat dekat Che. Dan Nek Bah juga. Adik memandang ke depan. Ada jalan lurus. Di seberang jalan, ada sebatang parit. Di tepi parit itu banyak pokok tumbuh. Terutama pokok balik bumi dan mahang api. Pokok balik bumi daunnya besar. Sama dengan pokok mahang api. Bila musim kemarau macam sekarang, burung-burung datang makan buahnya. Selalunya burung capa, tet-tet, dan kadang-kadang, punai tanah juga. Lenguh duduk lama-lama di atas dangau. Bila lenguh, adik baring. Selesa sikit. Lastik yang ada di tepi paha, adik letakkan di atas perut. Batu-batu yang di jadikan peluru lastik, adik keluarkan satu-satu dari dalam poket seluar tiga suku. Batu dan lastik inilah menjadi kawan paling rapat yang menemani ke mana saja adik pergi setelah Che pergi. Habis batu-batu kecil adik keluarkan dari dalam poket, adik pejam mata seketika. Adik silangkan kaki kanan ke atas kaki kiri. Ini adik tiru dari perangai Che. Adik lapik kepala dengan kedua-dua belah tangan adik. Adik tarik nafas dalam-dalam. Batu-batu ini kecil, tetapi kata Che: Benda-benda kecillah selalunya bagi masalah. Cu, cu. Adik rasa ada orang panggil nama adik. Suaranya macam suara Che. Adik bingkas bangun. Seseorang sedang berdiri melihat adik sambil memegang wau bulan. Dekat kepalanya terlilit dengan tuala berbelang merah dan biru. Adik genyeh mata laju-laju. Orang yang sedang pegang wau itu sebiji macam Che. Bila habis genyeh mata, adik tengok lagi orang itu. Ya, memang Che. Che dah pulang! “Tolong penaik wau ni,” Che minta tolong. “Tolong sat,” Che terus pandang adik. Sah! Adik terus bangun dan terjun ke atas bendang yang sudah kering. Adik lari dan peluk paha Che. Adik menangis sampai kabur mata. Che usap perlahan-lahan kepala dan rambut adik. Che bongkokkan badan dan cium ubun-ubun adik. Adik peluk Che makin kuat sampai terasa tulang-temulang Che yang melilit badannya. Che cium pipi adik. Che usap muka adik dengan tangannya. Adik rasa tenang. “Jangan teriak. Budak lelaki mana boleh teriak.” Adik menangis bertambah kuat. Dalam sedu-sedan itu, Che meleraikan pelukan. Che pegang dan dukung adik. Che jahat - suara adik tersekat-sekat. Che memang jahat. Tinggalkan adik tak cakap apa-apa. Che senyum saja. Che letakkan adik kembali ke bawah - Panas ni. Mari duduk bawah dangau. Che pimpin adik. Sampai saja di dangau, Che pegang adik dan letakkan di atas lantai dangau. Lepas itu, Che melangkah naik ke atas dan bersila di tengah-tengah. Adik terus baring atas riba Che. Che usap dada adik. Che pergi mana? Tanya adik tersekat-sekat. Che tak terus jawab. Dia pandang adik.Usap dada adik: “Cu dah kurus. Dada pun tak berisi.” Che pergi mana? Adik inginkan jawapan. Kali ini Che bagi jawapan: “Pergi jumpa Nek Bah.” “Che jahat. Jumpa Nek Bah tak ajak adik.” Adik pegang dan ramas tangan kuat-kuat. “Ni balik, nak ambil cu bawa jumpa Nek Bahlah. Nak?” “Nek Bah ada dekat mana?” “Dekat sana.” “Jauh lagi dari kampung kita?” - Jauh, jawab Che pendek. “Che naik apa datang sini.” “Terbang.” “Che boleh terbang? “ “Dekat sana semuanya boleh terbang. Nek Bah pun sama” Seronoknya. Che pulang nak bawa adik jumpa Nek Bah. Kan adik dah kata, Che memang sayangkan adik. “Bila nak pergi.” Adik tak sabar-sabar nak tahu. “Nanti, lepas main wau.” Jawab Che sambil tersenyum sampai nampak gigi. “Adik tak nak main wau. Panas. Adik nak dengar Che nyanyi.” Che pandang adik. Dia senyum. Habis senyum, Che panggung kepala lihat ke depan. Nak lagu apa? Lagu arab, jawab adik cepat-cepat. Lagu alami yamis mis. Che tarik nafas panjang-panjang. Berdehem beberapa kali, dan mula menyanyi lagu alami yamis mis mis lanjut-lanjut. Muka Che merah menelurkan suara. Tiga minit, Che berhenti menyanyi. Selesai satu lagu. “Sudah. Tolong Che penaik wau. Angin tengah dok bertiup.” Adik bangun. Che luputkan silanya, mengengsot ke tepi, dan turun dari dangau. Adik duduk mencangkung seketika. “Mari naik kokkong Che.’ Adik naik kokkong Che. Sampai dekat wau, Che turunkan adik. Adik pegang wau yang ditinggalkan Che di situ sejak tadi. Che pula pegang tali dan mula membuka gulungan tali wau bulan yang berwarna hijau. Kira-kira tiga puluh meter Che berhenti. Pegang elok-elok. Angin hendak bertiup. Lepassssss! Jerit Che. Adik pun lepas wau yang adik pegang. Wau yang adik pegang tadi, menujah angin perlahan-lahan. Adik menjerit kegembiraan bila wau sudah naik. Che yang beberapa meter di depan, tersenyum biasa. Adik tepuk tangan lompat-lompat. Che memang pakar dalam hal nak menaikkan wau. Seminit kemudian, wau sudah jauh di atas ubun-ubun. Adik pun berlari dekat Che yang sedang mengawal wau. “Tak cukup tinggilah. Lepas tali lagi,” adik menggesa. “Tak boleh. Lepas lagi, boleh putus. Angin dekat atas kuat sangat,” tenang Che memberi penerangan kepada adik. “Tinggi lagi sikit. Alah, tak putus punya.” Che pun lepas sikit demi sedikit tali. Dari bawah adik dapat lihat dengan jelas, wau makin meninggi. Tiba-tiba wau melayang tak tentu hala. Tali yang Che pegang nampak kendur. Wau itu mula melayah turun mengikut tiupan angin. Che pun melenggak sama melihat ke mana wau hendak jatuh. Wau terus melayah-layah. Dan akhirnya, wau bulan jatuh betul-betul di atas jalan raya. Adik terus saja lari ke arah jalan hendak ambil wau. Nanti, kalau lambat-lambat, kena tindih dengan lori, wau bulan itu tentu hancur tulangnya, dan tak boleh dinaikkan lagi. Sampai betul-betul di atas jalan, wau bulan Che tak ada pula. Ke mana dia? Baru tadi, adik nampak dia jatuh betul-betul dekat sini. Adik memaling muka. Che pun tidak ada. Ke mana perginya Che? Kan tadi ada di situ. Dalam masa yang sama, baru adik perasan, ada sebuah van putih tengah laju beberapa meter saja daripada adik. Kalau tidak silap, itu van yang selalu ambil emak ke kilang. Van putih itu memberi hon panjang. Adik dengar jeritan dari dalam van menyebut nama adik dengan kuat. Tentu suara emak. Adik tak boleh buat apa-apa lagi. Gedegum! Adik rasa tubuh adik melayang tinggi. Pandangan adik gelap serta merta. Ketika sedang melayang itulah, adik disambut seseorang. Adik gagau kepala orang itu. Ada tuala. Che! Jom kita jumpa Nek Bah. Adik rasa seperti dibawa terbang. |
|
PEREMPUAN DAN BUDAK LELAKI ITU
(Tersiar di Dewan Masyarakat, September 2002) PEREMPUAN itu melihat tajam budak lelaki itu. Budak lelaki itu seperti tidak menyedari hunjaman tajam mata perempuan itu, terus bermain – main seperti biasa. Sekejap budak lelaki itu melompat. Sekejap lagi berlari – lari anak mengejar seekor kucing yang entah dari mana hadirnya. “Budak, jangan cuba mengada – ada. Kau nak rotan ya? Berapa kali aku cakap jangan lari – lari di dalam rumah. Kau tak reti bahasa melayu?” Dia menyergah kuat budak lelaki itu. Budak lelaki itu tertunduk ke bawah memandang lantai ketakutan. Bibirnya pucat biru tidak berdarah. “Tengok aku. Aku sedang bercakap dengan kau. Kau ini memang suka cari nahas. Kau nak kena ya? Kau tak puas kena batang penyapu lagi agaknya. Budak, pandang sini. Hei, aku cakap pandang sini!” Suaranya makin meninggi. Telinga perempuan itu merah. Hatinya dicucuk – cucuk gelagat budak lelaki itu yang tidak mengakuri perintahnya. Budak lelaki itu terus tercegat bingung di situ tanpa memandang ke muka perempuan itu. Perempuan itu melangkah luas- luas dan berhenti apabila sampai ke suatu sudut. Seberkas penyapu lidi yang sudah bewarna coklat dicapai. Penyapu lidi itu digenggam seerat mungkin. Budak lelaki itu menjadi semakin takut apabila melihat batang penyapu sebesar betisnya berada di dalam genggaman perempuan itu. Dia ingin menangis namun ditahannya. Dan ketika perempuan itu dengan muka yang bengis melangkah kembali ke arahnya, dia sudah pun dapat merasakan betapa sakitnya apabila seberkas penyapu lidi dihentam ke kulitnya. Kini perempuan itu betul – betul berada didepannya. Budak lelaki itu memejam mata. Baru beberapa budak lelaki itu memicingkan matanya, perempuan itu sudah pun menibainya. Mula – mula di betis. Selepas itu di tangan. Kemudian mula melarat ke seluruh tubuhnya yang kurus nipis macam papan kadbod. Budak lelaki itu langsung tidak menepis. Tidak juga menjerit. Jauh lagi melawan dengan kudrat kanak - kanaknya. Walaubagaimanapun beberapa ketika air mata budak lelaki itu yang ditahan – tahan mengalir deras. “Kau manja ya? Baru pukul sikit sudah menangis.” Perempuan itu berhenti daripada memukul budak itu. Perempuan itu memandang budak lelaki itu yang sedang teresak – esak menangis tanpa suara. Perempuan itu menatap rambut budak itu. Perempuan itu menatap kening budak itu. Perempuan itu menatap bibir budak lelaki itu. Perempuan itu menatap dagu budak lelaki itu. Perempuan itu menatap seluruh badan budak itu. Kulit budak lelaki itu yang ditibai dengan penyapu lidi berbilur merah. Seluar tiga suku paras lutut terlondeh sedikit. Budak lelaki itu cuba menahan air matanya daripada terus keluar. Cuba memperlahankan esakannya. Budak lelaki itu tahu jika dia tidak segera berhenti menangis, tidak segera menghentikan esakan, dia akan terus rotan. Dia akan terus disebat. Dirotan sampai seluruh badannya sakit. Disebat sampai seluruh badannya calar balar. Beberapa detik kemudian air matanya berhenti mengalir. Esakannya tidak berbunyi lagi. Budak lelaki itu terus memanah pandangannya ke lantai rumah papan itu. Sungguh, budak lelaki itu tetap tidak akan melihat muka perempuan itu ketika ini. Bukan budak lelaki itu berani melawan jauh lagi mencabar kesabaran perempuan itu. Tetapi ada sesuatu yang menggeliatkan tengkuknya. Budak terus dalam posisi yang sama. Awal tahun ini umurnya genap tujuh tahun. Sepatutnya dia mesti disekolahkan seperti mana budak – budak kampung yang sebaya dengannya. Memang itulah keinginan hati kecil budak lelaki itu. Tetapi apakan daya, pendapatan perempuan yang berada di depan budak lelaki itu, perempuan yang memberi makan dan minum, juga merotannya setiap hari itu, tidak cukup wang untuk menyekolahkannya. Lagi pun kalau perempuan itu cukup wang belum tentu dia disekolahkan. Budak lelaki itu tidak tahu mengapa perlu setiap hari dia dirotan dengan penyapu lidi kelapa. Pada hal jarang benar dia melakukan kesalahan. Tidak pernah sekali pun dia memecahkan pinggan mangkuk. Tidak pernah dia melawan kehendak perempuan itu. Jauh lagi cuba – cuba merayau tidak tentu hala ke paya mencari pelaga. Atau terhendap – hendap dibawah pohon mahang api melihat merbah atau kedidi yang hinggap untuk diterube* dan kemudiannya disembilih sampai putus kepala. “Kalau kau terus lari – lari di dalam rumah, aku rotan lagi,” perempuan itu memberi amaran keras. Perempuan itu melempar penyapu lidi kelapa itu ke arah dapur. Lemparannya itu terlalu kuat dan terkena sebiji gelas yang berada di atas lantai dapur. Gelas itu pecah berderai.. “Siapa yang letak gelas dekat situ? Kau ya? Kau ini memang tidak reti bahasa. Kau tahu gelas itu bukannya aku dapat percuma. Gelas itu aku beli. Beli dengan titik peluh aku.” Marahnya kembali meruap – ruap. Matanya dijegil luas kepada budak lelaki itu. Budak lelaki itu kembali menangis. Perempuan itu tidak mengendahkan tangisan budak lelaki itu. Malah tangisan budak lelaki itu semacam minyak yang sengaja dicurahkan kepada api marahnya yang sedang menyala. Muka budak lelaki itu ditolak kasar perempuan itu. Tolakan yang kasar itu akhirnya mula berubah menjadi tamparan – tamparan yang cukup menyakitkan. Pipi budak lelaki itu bertukar menjadi merah saga. Budak lelaki itu tersungkur ke juring dinding akibat didorong kekuatan tolakan tersebut. Kepala budak lelaki itu luka. Darah merah pekat yang mengalir itu mencair apabila bersatu dengan air mata. Perempuan itu tidak menghiraukan darah merah budak lelaki itu. Darah yang mengalir keluar daripada dahi budak lelaki itu tidak mampu menyejukkan hatinya yang betul – betul terbakar. Budak lelaki itu kembali menangis teresak – esak. Kali ini tangisan budak lelaki itu mengeluarkan suara. Namun suara itu masih dikawal budak lelaki itu supaya keheningan malam yang dibelah suara perempuan itu tidak terus dicemari dengan suaranya pula. Perempuan itu mengeronyok telinga budak lelaki yang tersungkur itu. Terdorong kesakitan akibat telinganya dikeronyok kuat, budak lelaki itu kembali berdiri. “Ambil penyapu itu. Sapu kaca – kaca ini. Cepat!” Perempuan itu mengarah kasar. Budak lelaki itu cepat – cepat mengambil penyapu lidi kelapa yang terbaring diatas serpihan gelas kaca. Kaca – kaca yang bertaburan itu disapu ke muka pintu dapur. Kemudian budak lelaki itu sekali lagi menyapu kawasan gelas kaca yang pecah tadi supaya tiada lagi serpihan gelas yang terbaki. Silap – silap jika serpih gelas kaca itu tertinggal dan dipijak oleh perempuan itu, dia akan didebik lagi. Perempuan itu terus menatap budak lelaki itu yang masih menangis teresak – esak. Sepatutnya budak lelaki itu dibelai dengan penuh kasih sayang. Ditegur dengan penuh kemesraan. Perempuan itu sedar akan hal itu. Tetapi perempuan itu tidak dapat menerima kahadiran budak lelaki itu ke dalam ruang pengalamannya. Sejak perempuan itu mengandungkan budak lelaki itu derita datang bertandang – tandang. Perspektif penduduk kampung terhadapnya, sebagai seorang anak gadis perawan, berubah. Dia dicaci. Dihina. Tidak cukup dengan hinaan dan cacian, dia dipulaukan. Perempuan itu terus - terusan menafikan takdir ini. Perempuan itu bergelar sebagai anak yatim piatu ketika umur sebelas tahun. Sewaktu umur perempuan itu sebelas tahun dia dibela oleh pakciknya sehingga berumur dua puluh satu tahun. Dan ketika umur perempuan itu genap dua puluh satu tahun peristiwa hitam menimpa dirinya. Pakcik perempuan itu, yang membelanya selama sepuluh tahun telah merogolnya pada suatu malam. Dan malam itu adalah malam yang celaka baginya. Malam yang paling celaka selama dua puluh satu tahun dia hidup di dunia. Orang kampung menuduhnya perempuan jalang. Perempuan yang tiada maruah. Panggilan yang bersifat celaan itu masih kekal sehingga hari ini. Walau peristiwa itu sudah lapan tahun berlalu. Selepas perempuan itu dirogol malam itu, selepas harga diri yang dipertahankan selama bertahun – tahun itu akhirnya dirampas dalam beberapa minit yang kejam oleh pakciknya, perempuan itu tidak tahu lagi arah hidupnya. Sebulan selepas perempuan itu dirogol, pakcik perempuan itu bersama isterinya pergi membuat umrah di Mekah. Ketika sedang menunaikan umrah pakcik dan isterinya terbunuh dalam suatu kemalangan yang ngeri. Ketika itu dia bersyukur dan merasakan itulah balasan Allah untuk hambanya yang kejam sesama saudara. Namun rasa syukur di dalam hati perempuan itu tidak lama berputik. Perutnya semakin hari semakin memboyot, menandakan dia mengandungkan seorang anak “rogolan”, yang pada suatu hari nanti akan membawa sial, yang akan terus – terusan membakar kebahagiaan dan ketenangan masa depannya.. Telahan perempuan itu lapan tahun yang lalu ternyata betul. Mata perempuan itu terus dijegil luas - luas kepada budak lelaki itu yang sudah separa usai melakukan suruhannya. Perempuan itu melihat hidung budak lelaki itu. Perempuan itu rasakan hidung budak lelaki itu adalah hidung orang yang merampas perawannya lapan tahun yang lalu. Hidung itulah yang meladeni dengan kasar tanpa kerelaan ke seluruh muka dan badan montoknya. Perempuan itu melihat pula pada tangan budak lelaki itu yang berbilur kesan daripada pukulannya. Tangan itulah yang mengoyak baju kebayanya, menarik kasar colinya, lalu mendedahkan segala rahsia kemejelisannya. Tangan itulah yang meramas – ramas tanpa rela dua ketul mahkota kesayangannya. Tangan itulah yang menutup mulutnya yang merintih – merintih meminta dikasihani. Dan tangan itulah juga yang menampar - nampar dan mencekik tengkuknya supaya dia tidak menjerit meminta simpati. Perempuan itu melihat terus ke arah rambut budak lelaki itu. Rambut budak lelaki itu berketak – ketak dan berselerak. Ya, rambut budak lelaki itu satu – satunya yang menyerupai dengan rambutnya. Rambut itulah yang ditarik kasar lapan tahun yang lalu sehinggakan segala isi kepalanya bergegar kuat. Dan rambut itulah yang dibelai – belai lapan tahun yang lalu apabila dia diam kaku setelah sedar kini dia bukan lagi gadis yang menjadi rebutan jejaka kampung seperti sebelum malam yang pahit dan sial itu. Perempuan itu sedar, walaupun kehadiran budak lelaki itu tanpa kerelaannya, kehadiran budak lelaki itu dengan suatu cara yang tidak dapat dilupakannya, sepatutnya bukan cara ini yang patut diambilnya. Bukan cara ini yang dapat menebus segala sengsaranya yang terkumpul sejak lapan tahun lalu. Mata perempuan itu beralih pula kepada mata budak lelaki itu yang masih berair. Dari bebola mata yang berkaca – kaca itu terbias rasa ingin dikasihani. Terbias supaya pemilik mata itu dibelai mesra sewajarnya. Ketika mata perempuan itu terus terpaku dalam bebola mata budak lelaki itu, ada sesuatu yang menyusup melalui mata dan terus ke hatinya. Perempuan itu mula rasa berdosa. Berdosa dengan apa yang dilakukannya sebentar tadi dan sebelum – sebelum ini. Budak lelaki itu kembali menundukkan kepalanya dan mengadap ke lantai rumah. Tiada apa yang menarik di lantai rumah itu. Di lantai rumah itulah setiap hari dia jatuh terjelepuk ditampar perempuan itu. Lantai itulah yang menjadi tempayan air matanya. Semakin lama budak lelaki itu menatap lantai rumah itu, segala penderitaannya bertayangan di dalam fikirannya. ‘Pergi masuk tidur,” perempuan itu memberi satu arahan ringkas dengan suaranya yang kembali perlahan. Budak lelaki itu menuruti arahannya. Luka didahi budak lelaki itu tidak mengalirkan darah lagi. Beberapa langkah budak lelaki itu berjalan, dia berhenti. Lalu memalingkan mukanya melihat perempuan itu yang masih merenungnya. Renungan itu tidak seganas tadi. “Amir nak cium pipi mak. Boleh tak?” Perempuan itu terkedu dengan kata yang terluncur dari mulut budak lelaki yang sudah sekian lama membisu. “Oh Tuhan, ampunkanlah dosaku,” kata – kata itu terpacul perlahan dari belahan bibir perempuan itu setelah budak lelaki itu berlari kencang ke arahnya lalu memeluk erat badannya. Sementara di luar rumah bulan mengambang penuh. Bunyian cengkerik dan pungguk silih berganti. Laman rumah perempuan dan budak lelaki itu terus disimbah cahaya bulan setelah lama bulan bersembunyi di sebalik awan. |
|
TIGA PULUH SEMBILAN HARI LEPAS
(Tersiar di majalah Jelita, Mac 2002) TIGA puluh sembilan hari lepas tangan kasar dan berurat itulah mengelus dan mewasit – wasitkan rambut isterinya yang panjang mengurai, sambil sebuah kucupan mesra hinggap di jidat gadis dua puluh tiga tahun itu. Dan siisteri memandang perut sendiri yang menjendul sembilan bulan lalu membalas senyuman sambil berkata lembut: Abang lihat anak kita ini. Kalau boleh Tina hendak hidungnya macam abang dan mulutnya macam Tina. Besar esok Tina ingin lihat anak kita jadi seorang Ustazah. Supaya tidak ummi hukum hakam Tuhan. Supaya dapat kirimkan kepada kita sepotong dua ayat al – Quran ketika di alam barzah. Kalau lelaki?, dia pula akan mencelah. Kalau lelaki Tina ingin dia jadi ulamak dan pemikir Islam yang hebat macam Iqbal. Macam Malik Bennabi, Ibn Taimiyah. Tangan isterinya yang resik dan lembut putih termaujud urat – urat berwarna biru digenggam kejap. Mereka akan berpandangan seketika. Pandangan yang mengupam kasih – sayang. Kasih sayang dan percintaan yang dihalalkan Tuhan. Tangan isterinya yang belum puas digenggam dileraikan seketika dan: Abang, sudahkah abang beli kain lampin, buaian, bedak, baju dan botol susu. Lagi tilam, lampin pakai buang. Lagi..., dan dia akan memotong percakapan isterinya: Sudah, semuanya abang sudah belikan. Tunggu Allah sahaja yang akan memberi visa kepada anak kita ini untuk keluar mengadap kedua ibubapanya yang semakin seksa menunggu. Matanya tiba – tiba berair dan panas – panas suam. Setitik demi setitik air jernih itu jatuh ke atas sejadah kumal. Air mata yang empar umpama susu getah yang ditoreh waktu pagi, mengalirkan kenangan bersama Hartina Agus, isterinya yang baru beberapa bulan menikmati hidup berpasangan. Biarlah air mata itu terus mengalir, mengalir dan terus mengalir lagi supaya kenangan mereka terus basah dan cinta mereka terus segar berabad. Sejadah dilipat dua dan disidai dimini ampaian berhampiran katilnya. Ketika dia meletakkan sejadah hasil lipatan malasnya, matanya tertancap pada kain sembahyang milik isterinya yang putih langis. Kain sembahyang itu salah satu hantaran perkahwinan diberi ikhlas untuk isterinya. Setiap malam sebelum tiga puluh sembilan hari yang lepas, kain sembahyang itulah dipakai isteri untuk solat berjemaah. Habis doa ditadah bersama, isterinya yang manis itu mendekati dan menghulur tangan. Tangan mereka berpadu erat. Hidung isteri yang runcig pasti mencecah tangannya. Marah, sakit hati yang beku di dasar rasa, mencair bersama kehangatan nafas yang keluar daripada hidung isterinya. Isterinya ke dapur pula. Dengan atur kaki seorang wanita yang baru beberapa bulan diijabkabulkan. Cukup bersopan untuk memateng makan malam sambil berkata: Abang, malam ini Tina masak lauk kegemaran abang, gulai lemak ikan sembilang. Pucuk pegaga pun ada. Bersiap – siaplah. Dia senyum bermakna. Cepat – cepat dia menukar baju dan kepol ke dapur menolong isterinya memasak. Isterinya pula tidak menolak pertolongan, walau kehadirannya mengganggu kelancaran isteri beraksi. Beberapa ketika ketawa mesra mereka bersilih ganti dengan bunyi lauk pauk yang digoreng. Isterinya tiga puluh sembilan hari yang lepas mencedok nasi ke dalam pinggannya sambil berkata: Makan Bang. Makan banyak – banyak. Kalau abang tak makan banyak, malam esok Tina tak nak masak lagi. Dia pasti menjawab: Abang akan makan banyak – banyak. Lagi pun lauk pauk ini isteri abang yang buat, tentu sedap. Memang isterinya tidak sahaja cantik, putih kulitnya, manis senyumannya, lembut tangannya, lonjong sireh mukanya malah masakannya senyaman ciuman yang dikenakan pada pipi gebu itu. Dia menarik kerusi yang tersorong di bawah meja bacaan. Punggungnya dihempap kasar. Laci meja bacaannya ditarik. Tangannya menjamah sesuatu. Sebuah diari ditarik keluar dan diletakkan di atas meja. Dia menghela nafas panjang, cuba mengenyah dengan kekuatan seorang lelaki supaya tidak tewas terhadap jelmaan kenangan bersama isterinya tiga puluh sembilan hari lepas, yang menyesakkan salur pernafasannya, yang menyebakkan dadanya. Jari - jemarinya yang semakin pucat dengan tonjolan garis – garis kecil berputar – putar, perlahan – lahan membuka helaian demi helaian. Disetiap helaian itu tercatat akwal – akwal yang cukup bernilai untuk membeli kenangan lampau dan membawa masuk ke hadapan mata dan ingatannya. Akwal – akwal itulah yang mengisi kesepian hatinya yang sifar tanpa apa – apa kegembiraan seorang lelaki. Akwal – akwal dilarik teratur itu sekaligus mensimelekan si pencatat seorang yang menghargai masa – masa lepasnya. Aksara demi aksara diranduk matanya sehinggalah ke satu halaman, tangannya tidak menyelak ke halaman seterusnya. Otaknya seperti tidak mampu memproses maklumat supaya sedikit tenaga disalurkan kepada kesepuluh jemari kasarnya dan menyelak seperti tadi. Matanya tidak lagi berkelip – kelip dan statik. Di helaian itu ada sebaris ayat berbunyi: Hari ini Tina hantar surat dekat aku. Tangannya memegang sampul surat itu, lalu perlahan – lahan isinya ditarik. Semalam surat inilah juga yang dibuka, dibaca, dibuka dan dibaca. Hari ini surat tersebut akan tetap dibuka, dibaca, dibuka dan dibaca lagi. Satu keluhan panjang dilepaskan. Sedikit ketenangan mengempangi air mata daripada kembali banjir. Dirinya tidak gagah seperti tiga puluh sembilan hari terdahulu untuk meladeni akwal yang dibentuki isterinya lewat pertunangan mereka. Surat itu diterima pada suatu senja berkarat ketika dia masih bergelar siswa Universiti Malaya. Kini, jika surat itu ditatap berulang kali ia segunung kaca yang merempuh matanya. Merunjang perasaannya. Amir, semalam abah Amir datang ke rumah Tina dan berbincang panjang mengenai perhubungan kita. Mengenai pertunangan kita ini. Semalam juga abah dan emak buat keputusan untuk kahwinkan kita selepas akhir tahun ini. Iaitu selepas Amir menamatkan pengajian Amir di Universiti Malaya. Cuma semalam bila Tina dengar keputusan yang dibuat itu, dapat Tina rasakan apa yang kita idamkan dan harap – harapkan, akan terlaksana tidak lama lagi. Amir… Tangannya yang berurat kasar itu melipat cepat – cepat surat itu. Semaja, dia tidak segagah tiga puluh sembilan hari yang lepas untuk menatapi akwal – akwal kenangan percintaannya sendiri. Dengan dengus sebak surat itu dikembalikan ke dalam sampulnya. “Kenapa kau pergi tanpa apa – apa pesanan. Kau pergi tanpa kebenaran abang.” Dia mula bercakap keseorangan. Air matanya kembali tergenang dan melimpah keluar ke birai pipinya. Menyusup kembali ke celah janggut dan kumis yang berserabut. Dahulu misai dan janggutnya pasti terjaga rapi. Dua hari sekali dia akan mengadap cermin. Janggut dan misainya yang baru hendak tumbuh itu akan dipancung dengan pencukur. Tetapi itu semua sudah tidak dilakukannya lagi sejak tiga puluh sembilan hari yang lepas. Sejak tiga puluh sembilan hari yang lepas, segala – gala perbuatan yang dilakukannya serba tidak kena. Biarlah janggut dan misainya itu terus tumbuh meliar, meliar mencari bekas ciuman isterinya. Kipas berpusing kadar sedang. Malam sudah masuk ke usia tua. Dia lihat kipas yang berpusing – pusing itu. Dia lihat segala – gala yang berada di dalam rumahnya. Usai melihat ke seluruh sudut rumah, matanya kembali terpaku ke arah kipas yang terus berpusing. “Kau untung kipas. Kerjamu menyejukkan kamar panas ini. Kau tidak tahu bercinta. Tidak kenal erti kasih sayang. Tidak kenal peritnya perpisahan. Kau tidak kenal semua itu. Tetapi aku, manusia. Manusia yang difitrahkan untuk saling berkasih sayang. Hidup berpasang – pasangan. Tetapi lihatlah, lihatlah manusia ini ( sambil menepuk dadanya, air matanya semakin kuat mengalir, suara mejadi teresak – esak), inilah akibatnya kasih sayang. Inilah akibatnya percintaan. Alangkah beruntungnya kau kipas. Kau sunggu beruntung.” Dia mula meracau yang bukan – bukan. Namun beberapa ketika kemudian dia beristighfar panjang. Mengingati Allah semula: Tetapi aku tidak menolak semua ini. Aku tahu ini semua cubaan yang dikurniaan Allah untuk hamba yang disayanginya. Tiga puluh sembilan hari yang lepas adalah klimak wasilah mereka. Zuriat yang akan memeriahkan rumahtangga sudah pun mendepak kuat. Bakanya itu sudah tidak sabar lagi untuk menambahkan bilangan khalifah yang memakmurkan dunia ini. Dia ingat benar tengahari itu. “Abang, doktor ramal kita dapat baby perempuan,” telefon bimbitnya yang berbunyi panjang dijawab. “Anak perempuan? Alhamdulillah. Tina dekat mana sekarang ini. Biar abang ambilkan.” “ Dekat Hospital Bersalin Doktor Aisyah.” “Tunggu di situ, tunggu ya, abang pergi ambil.” Itulah hari terakhir dia mendengar suara manja sarat harapan isterinya. Selepas itu suara yang cukup lunak itu tidak lagi mengetuk gegendang telinganya. Tidak lagi menjemputnya makan. Tidak lagi bercakap tentang anak mereka yang bakal lahir. Segala – galanya ghaib tiga puluh sembilan hari yang lepas. Kelunakan suara itu dirampas dengan cara yang amat kejam. Dengan cara yang tidak boleh dipadamkan dalam fikirannya. Sebuah lori membawa pasir yang menuju ke Kuala Ketil telah melanggarnya isterinya yang sedang melintas untuk membeli jeruk mangga yang dijual diseberang jalan. Kemalangan itu merabut rakus nyawa isterinya sekaligus anak di dalam kandungannya. Jeritan kuat isterinya itu dikepung dalam hiruk pikuk kenderaan bandar Sungai Petani yang sentiasa sibuk. Ketika dia sampai, apa yang dilihatnya lagi bukan isterinya yang pandai memasak tetapi jasad kaku seorang wanita sarat mengandung. “Perempuan ini mengandungkan anak perempuan saya. Ini isteri saya.,” suaranya yang lantang menjerit – jerit di tepi jalan itu akhirnya terkacip rapat apabila disabarkan oleh beberapa orang yang bersimpati. Dia tergegau sejenak. Ambulan datang setengah jam kemudian. Dia hanya melihat dengan rasa terkejut beberapa orang pekerja yang berpakaian putih, turun daripada ambulan menyelak kuarto surat khabar yang dinodai darah merah, lalu mengangkat isterinya yang sudah tidak bernyawa lagi. Beberapa orang pekerja majlis perbandaran mencuci darah yang masih berlopak – lopak di atas tempat mayat isterinya dibaringkan. Kemudian seorang polis trafik datang mendekat kepadanya. Sebelum kata – kata anggota polis trafik yang berpangkat sarjan itu terpancar ke mukanya, dia jatuh terjelepuk di atas aspal jalan hitam. Telefon berdering panjang. Dengan ayunan kaki diberati kesedihan dan kenangan dia maju ke ruang tamu. “ Helo, Amir. Emak ni,” suara seorang wanita merejah keluar dari bulatan – bulatan kecil gagang telefon yang dilekap ke telinganya. “Ya, Amir mak.” “Amir, esok emak dan abah ingin buat kenduri arwah empat puluh Tina. Kau pulang ya,” emak mertuanya seakan merayu. Ya, esok empat puluh hari kau pergi Tina. Empat puluh hari yang cukup lama bagi aku. Cukup lama melaluinya tanpamu Tina. Matanya kembali berair. “Ya mak, Amir akan pulang,” jawabnya dalam rentak tidak keruan. “Kau menangis Amir?” “Tidak, tidak, Amir akan pulang esok. Emak tunggulah.” Gagang telefon kembali ke kondisinya. Pintu bilik mandi dibuka. Air di dalam kolah rumahnya itu cukup untuk sekali wudhu. Tangannya membuka pili yang diperbuat daripada tembaga. Air berkocak tidak keruan apabila air dari pili menjunam ke dalam kolah. Bunyi yang terhasil daripada pertembungan antara air pili dan air kolah itu sedikit mendamaikan hatinya. Dia mengundur satu langkah ke belakang. Matanya mengejam rapat. Serentak dengan itu lafaz wudhu berputik di bibirnya. Tangannya mula memukat air untuk menyempurnakan wudhu. Dia kembali ke kamar tidurnya, mengambil al – quran. Kasad ditenun: Ya Allah, kuhadiahkan ayat – ayat suci ini untuk junjungan besar, para sahabat, tabiin dan arwah isteriku Hartina Agus, amin. Fajar kazib akan menjelma sejamang lagi, membuktikan bahawa aturan Allah itu cukup teratur dan maha sempurna. Jiran – jiran sekeliling rumahnya sudah senyap sepi dicumbu kedinginan pagi yang lembut. Sayup – sayup kedengaran suara sumbang milik kutu – kutu embun menyanyikan lagu diiringi petikan gitar yang cukup berirama, memadatkan ruang pagi yang sendat dengan warna hitam pekat. Sebentar kemudian suara sumbang dan bunyi petikan gitar tenggelam dalam alunan merdu seorang adam yang sedang diuji Allah; menghangatkan lagi kasih terhadap arwah isterinya dengan menghadiahkan ayat – ayat suci, yang tentunya lebih bermakna daripada kisah percintaan mereka yang berlaku tiga puluh sembilan hari yang lepas. Pastinya arwah isteri akan bersemadi penuh bahagia dengan meninggalkan seorang suami yang setia, persis seorang ibu atau bapa yang mati ketika belum cukup bekalannya tetapi meninggalkan anak – anak yang soleh dan solehah, yang sentiasa mendoakan kebahagiaan orang tua mereka. |
|
KEKERAMATAN KUIH PAU USIMIN OLEH MUHAMMAD LUTFI ISHAK |
| PUUUTTT!
Dia picit hidung rapat -rapat. "Kentutmu macam bangkai biawak.?" Kawanku ini pemarah. Makam kemarahannya, selampai jasadnya yang renjong. Caranya berjalan seperti pokok pinang digodam ribut. Kepalanya kecil, sering ingatkan aku tentang kepala ular daun yang melingkari pagar rumah waktu kecil-kecil dahulu. Perkenalan kami terjadi seperti sebuah filem hindi era kegemilangan Amitha Bacthan. Suatu malam sebulan lalu, aku berjalan-jalan di lorong gelap bagi tenangkan fikiranku yang kacau. Sebulan - ijazah sasteraku jaja kesetiap pejabat, yang kukira khidmatku diperlukan. Malangnya, tidak seorang pun majikan dengan murah hati tawarkan aku kerja. Walaupun aku produk sebuah universiti diiktiraf kerajaan. Entah dari mana, dia tiba-tiba sahaja muncul di depanku. Tangan kanannya genggam pisau ramboo. Aku kaget. Seperti rusa yang menyerah tengkuknya ke taring singa akibat terpana di terkam tiba-tiba, kakiku jadi lembik tidak bermaya. Hatiku tidak putus-putus menyebut Yang Maha Esa. Dia menyuruhku keluarkan seluruh isi yang terselit di dalam dompetku. Hanya RM 50. Itulah bekalku paling bongsu. Pantas tangannya merabut dompetku, memeriksa sendiri. Setelah puas, dia memandangku terkebil-kebil. Aku diam. Aku tidak akan melawan jika dia merodok pisau ramboo itu ke perut kempisku. Aku terbayangkan ketika itu, mi segera yang menjadi makanan tengah hariku, pasti membuak keluar. Namun, beberapa detik kemudian, dompetku dikembalikan. Dan RM 50 yang jelas kelihatan, dibiarkan begitu saja. Lalu, dia pergi. Alhamdulillah, dia tidak sejahat kusangka. Dua minggu selepas kejadian itu, aku terserempaknya di sebuah gerai makanan. Dia nampak biasa dengan t shirt dan jeans lusuh. Dia tidak perasan bahawa tika itu, aku juga sedang mengadap nasi lemak ikan bilis betul-betul di depannya. Namun, beberapa saat kemudian, dia sedar lalu melempar senyuman tawar. Aku membalasnya. Seperti tiada apa-apa yang berlaku antara kami, kami berkenal-kenalan dan sempat berbual kosong. Kini, dialah satu-satunya kawanku di kota neurotik ini. Air liur yang berkumpul di dalam mulut kuludah ke atas tar lorong yang bertompok-tompok dengan entah apa. Kini, kami samaþgama melempar pandangan jauh ke depan; mengena bangunan-bangunan usang yang pucat lesi. Benci dengan landskap klise tidak beragi itu, aku melempar pandanganku lebih jauh lagi - jauh ke atas, mengena hiasan yang bertebar di ruang akas; menganjal dari bulan ke dada langit yang bidang, dari satu najam ke satu najam yang kemilau lazuardi. Kemudian menukil kembali ke wajah kawanku itu: Wajahnya tidak bermaya dan berminyak. Hidungnya pesek macam katak kategori bufo-bufo. Rambutnya panjang - menutup bahu - langsung tidak terurus. Matanya merah. Agaknya dia membelah malam kepada dua. Setengah untuk rehatkan badan. Setengah lagi untuk fikirkan masa depan. Minggu lepas, dia ada menceritakan tentang latar belakang pendidikannya. Dia lulusan universiti. Seperti aku, tiada majikan pemurah memberinya kerja. Kerana lenguh menjembeng ijazah, dia pilih jalan senang dapatkan wang dengan mengugut orang. Daripada pendapatan haram itulah, kekosongan perutnya dipenuhi. Aku sudah lenguh berjalan-jalan. Siang tadi entah berapa kilometer naik turun pejabat mengharapkan kerja. Malam ini aku perlukan rehat. Aku ingin luahkan apa terpendam di dalam hati. Mungkin dengan cara itu dia mencari tempat sesuai untuk duduk seketika. Namun niat itu dimatikan suara-suara perempuan lorong yang sibuk menggoda lelaki celaka - harapkan Ringgit Malaysia. "Pernah rasa betina depan tu,?" tanyaku lurus. "Ringan-ringan. Tak kena bayar. Mereka suka juga bersedekah.?" Dia berterus-terang. Diiringi ketawa dibuat-buat. Kemudian sambung: "Mereka macam orang politik. Mula-mula tolong kita. Kemudian kita rasa mereka baik. Time tulah mereka demand." "Yang satu lagi?" Aku cuba meneka tingkat libidonya. "Lelaki bukan lelaki tu?"Aku angguk. "Errkk, tak tahan dengar suara mereka. Macam katak puru." Sepi yang beku sejak tadi dihentak ketawanya yang kuat. Begitulah bualan kami saban malam. Perbualan seperti itulah buat kami rasa bersaudara. Banyak persamaan antara kami berdua. Bezanya cuma satu: Aku pengemis mengharap kerja halal. Sesuai dengan ijazah yang kujinjit setiap hari. Dia, sudah jumpa dengan kerjanya. Jadi penyamun berijazah. Siapa sangka, penyamun juga masuk universiti dan lebih berakal daripada orang yang suka menghinanya. "Kautau kenapa aku tak rompakmu malam tu?" Dia cuba meneruskan perbualan. Aku pun tidak tahu, mengapa malam ini dia begitu berahi mengaco. Setelah menyedari beberapa ketika aku tidak menyambut usulnya, dia selamba menyambung: "Kita sama. Aku tahu nilai lima puluh ringgit dalam dompetmu sama harganya sebuah Mercedes orang kaya. Aku bukan seperti sesetengah politikus. Tahu sapu duit saja. Aku rompak wang dalam poket orang yang datang sini nak cari haba pelacur. Sebelum mereka habiskan duit ke kemaluan wanita, lebih baik sedekah kepadaku, walaupun terpaksa. Betul tak?" Aku angguk bodoh. Cuba berfikir dan menimbang tentang prinsip merompaknya itu. "Jangan jadi pokka. Confirmistlah.?" Aku tersenyum. Mendengar ceritanya tadi, seolah-olah aku kini sedang berkawan dengan seorang lagi Robinhood. "Kau tak berasa berdosa makan duit haram?" Kucuba lihat reaksinya. Dia sedikit terkejut dengan soalan yang tidak diagak akan keluar dari bibirku. "Bangsat pun fikirkan dosa. ( Suaranya agak kasar. Sedar kekasarannya itu, dia cepat-cepat perlahankan suaranya kembali). Environment telah acuankan diriku. Aku tiada pilihan. Kalau tak buat begini, siapa hendak bagi aku makan? Kau?" Ya, mungkin environment telah membina acuan kepada dirinya. Aku akui hakikat itu. Kata-katanya ingatkan aku kepada kata-kata Shiv Khera di dalam bukunya You Can Win: Dalam negara di mana kerajaan dan persekitaran politiknya jujur, secara kesuluruhannya anda akan dapati bahawa masyarakatnya jujur, mematuhi undang-undang dan suka membantu. Begitu juga sebaliknya. Dalam persekitaran yang korup, individu jujur akan menghadapi kesukaran. Sementara dalam persekitaran yang jujur, orang yang korup mempunyai masa yang sukar. Beberapa saat kemudian dia kembali biasa. Menyeluk poket seluarnya - dapatkan sebatang rokok, mencucuh, lalu hisap dalam-dalam. Bau langu daripada longkang-longkang bersaing dengan aroma rokoknya, menerobos ke dalam rongga nafasku. Beberapa ekor tikus mondok yang terserempak dengan kami melahu entah ke mana. Malam semakin malis. "Kita tak boleh berserah. Persekitaran bukanlah alasan ikut telunjuk nafsu," aku berterus-terang. "Siapa kata? Apa kau dapat setelah berbulan-bulan membimbit ijazah? Lihat, di sini orang kaya terus menciluk harta orang miskin. Tindakan itu tak ubah macam menyamun juga?" "Kau pesimistik." "Memang. Dulu, seorang kawanku kena reject universiti. Beberapa tahun kemudian, aku terserempaknya dengan sebuah Mercedes. Aku yang punya segulung ijazah pun belum punya apa-apa." "Itu rezekinya." "Itu bukan rezekinya." Dia membentak. "Habis?" "Dia ada cable besar. Kaufikir itu adil?" Dia memandangku dengan pandangan yang mengancam. Aku lihat matanya bersinar-sinar. "Kota ini gila. Gila kerana di huni orang bijak macam Hitler. Orang kaya macam Haman." Dia seperti mahu melepaskan segala kemarahan yang selama ini terkucil dalam hatinya. "Sampai bila kau nak kekal begini?" Aku semakin berani menangkis hujahnya walau aku perasan dia tengah marah. Dia langsung tidak melihat ke arahku. Hanya dengus nafasnya yang kuat kedengaran. Aku harap dia dapat kawal perasaan. Atau pun malam ini pisau ramboonya membenam dadaku? "Sampai kota ni sembuh daripada penyakit gilanya!" Aku rasa, dia tidak dapat mengawal rasa yang sedang bergejolak di dalam hatinya lagi. Aku mengambil keputusan untuk diam seketika, dan melihat aksi seterusnya. Sebatang rokok yang sudah habis di hisapnya, jatuh beberapa ela di depanku setelah dijentiknya. "Aku umpama puteri kayangan yang kehilangan sembarani. Setiap hari, aku harapkan sembarani milikku itu kembali. Tanpa sembarani mustahil aku dapat balik ke kayangan." Tiba-tiba saja dia membuat perumpamaan yang begitu sentimental. "Kita mesti belajar hidup di dunia. Dalam masa yang sama, menjejak ke mana perginya sembarani kita. Sembarani bukan penentu total hidup mati kita. Tapi Allah Taala." Aku dengan yakin membuat kesimpulan daripada kiasannya. Dia tersentak dengan jawab yang membersil dari mulutku. Kami saling berpandangan. Sejenis rasa pelik menyelubungi kalbu kami. Hayunan langkahnya dilajukan tiba-tiba. Aku terjeda seketika di belakangnya setelah menangkap suara teresak-esak. Malam sepekat air arang. Bulan separa penuh. Bintang-bintang agam bersinar-sinar, menghiasai durja langit yang dilumas warna hitam. Kedengaran hatif-hatif cabo terus-terusan mencari pelanggan, menggentis lembut gegendang telingaku (dan mungkin juga telinganya) dari arah belakang. Kemudian, meluncur pula suara- suara garau yang terbit dari halkum papak; si penggoda sejantina. Aku melangkah laju membuntuti kawanku yang agak ke depan. "Aku dahaga. Minum. Aku belanja." Dia mengangguk lemah. Aku lihat dia membiarkan air matanya mengalir, membasahi kontang hatinya. Bukankah sudah beratus tahun lampau Aflatun telahpun berkata: Kebenaran akan kekal abadi. Dalam langkah langsam ke gerai yang berada di depan sana, aku teringat kata-kata Edmund Burke: Untuk menyemarakkan kejahatan, orang-orang yang baik tidak perlu melakukan apa-apa dan kejahatan pasti bertambah. Aku tidak mahu menjadi orang baik yang tidak buat apa-apa. Aku mahu jadi lebih dari itu: Menarik orang dari dalam lumpur dan mandikan mereka, kemudian mengajak mereka masuk ke rumahku dan makan bersama! _____________________________ Glosari: Telur kong : telur busuk Cabo : pelacur Papak : lelaki tulen yang meniru gaya perempuan (pondan). |
|
PEMOTONG BULU |