KURSUS MENCAPAI KEJAYAAN

Tarikh mula tulis: 9.12.2002
Tarikh siap: 24.04.2004
Pengeditan terbaru: 10.07.2004
© irwan abu bakar, 2002

PENDAHULUAN

Anda mahu mencapai kejayaan? Tahukah anda bahawa ada langkah-langkah tertentu yang, jika anda ikuti, akan membawa anda kepada apa sahaja yang anda kehendaki? Tahukah anda bahawa ada 13 “ciri” (atau sifat) yang dimiliki semua orang yang berjaya dalam lapangan masing-masing? Dan tahukah anda bahawa ada 5 prinsip penting yang perlu diambil perhatian untuk berjaya dalam hidup di dunia ini? Kursus ini akan membincangkan tiga perkara itu: Pertama, tentang langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk mencapai kejayaan. Perkara kedua ialah tentang ciri-ciri yang perlu anda miliki (bangunkan dalam diri) untuk berjaya. Perkara ketiga ialah tentang lima prinsip kehidupan yang perlu diberikan perhatian.

DEFINISI KEJAYAAN

Ada banyak definisi “kejayaan” yang telah dirumus orang. Masing-masing dengan tujuan dan penekanan tersendiri. Dalam kursus ini, saya takrifkan “kejayaan” sebagai “pencapaian apa yang dikehendaki”. Ringkasnya: BERJAYA = MENDAPAT APA ANDA MAHU

KAJIAN TENTANG KEJAYAAN

Ilmu mencapai kejayaan telah dikaji orang dengan mendalam dan terperinci, terutamanya di barat. Antara nama-nama "besar" yang telah menghasilkan karya klasik dalam bidang ini ialah Napoleon Hill, Clement Stone, dan Norman Vincent Peale.

PERSONALITI YANG MELAMBANGKAN KEJAYAAN

1. Antara nama-nama yang sering disebut sebagai contoh orang yang berjaya ialah:

(a) Thomas Edison yang mereka bentuk 10,000 mentol elektrik sebelum berjaya, (b) Henry Ford yang memulakan sistem pengilangan kereta (secara 'assembly line') yang menimbulkan ketawa orang tetapi kemudiannya terbukti paling berjaya, dan (c) Colonel Sanders yang menerima 1,007 penolakan terhadap idea "ayam goreng" Kentucky yang dipeloporinya tetapi akhirnya menawan seluruh perniagaan di lapangan itu.

2. Beberapa bulan yang lalu, saya telah memberi ceramah tentang kejayaan kepada sebuah syarikat swasta di Shah Alam, Selangor. Saya tanyakan kepada peserta-peserta: siapakah contoh orang Malaysia yang mereka anggap telah mencapai kejayaan luar biasa (bersifat "fenomena"). Mereka semua menamakan penyanyi Siti Nurhaliza. Saya bersetuju dengan mereka.

BERSEDIALAH UNTUK BERUBAH

Ada satu perkara penting yang perlu anda perhatikan. Jika anda mahu berjaya, anda mesti sedia mengubah beberapa tabiat/kebiasaan anda untuk disesuaikan dengan petua-petua dalam kursus ini. Hal ini hanya ANDA SENDIRI yang dapat lakukan kerana perubahan mesti datang dari diri sendiri. Kalau anda tidak bersedia untuk berbuat begitu, mustahil anda akan mendapat manfaat daripada kursus ini. INGAT: Anda tidak mungkin mendapat hasil yang baru jika melakukan sesuatu dengan cara yang lama! AMARAN! Setelah mengikuti kursus ini, sentiasa berhati-hati dengan apa yang anda kehendaki kerana anda akan memperolehnya!

 

A: LANGKAH 5A UNTUK BERJAYA

Ada bermacam-macam "formula kejayaan" yang telah dicipta orang. Ada banyak buku yang telah ditulis tentangnya. Dalam kursus ini, saya akan membincangkan formula mudah yang saya bangunkan hasil daripada pembacaan yang lama dan dari pengalaman hidup sendiri setakat ini. Formula ini saya namai formula 5A untuk berjaya. (Bayangkan anda mendapt 5A dalam peperiksaan UPSR. Satu kejayaan cemerlang yang awal dalam hidup). Langkah-langkah kejayaan yang saya cadangkan adalah seperti yang berikut:

L1. Aim
L2. Act (+Adjust +Ask)
L3. ACHIEVE
L4. Acclaim
L5. Acclimitise

Dalam BM, formula ini dapat juga dinamai Formula 5S:

L1. Sasar
L2. Serang (+Selaras + Soal)
L3. SAMPAI
L4. Syukur
L5. Sesuai

Dalam kursus ini, kita akan gunakan istilah "Formula 5A" atau "Langkah 5A" sahaja. Perhatikan bahawa langkah tambahan "adjust" ("selaras") dan "ask" ("tanya"/"minta") di antara L2 dengan L3 ditambah untuk mengambil kira keadaan tertentu apabila L2 tidak dapat membawa anda secara terus ke L3. Hal ini akan dijelaskan di bawah Langkah "Act" ("Serang") nanti. Perhatikan bahawa ACHIEVE (mendapat atau SAMPAI pada kejayaan) berada di tengah-tengah di antara L1&2 dengan L4&5. Maknanya: anda perlu buat dua perkara sebelum mencapai kejayaan dan dua perkara setelah kejayaan diperoleh.

LANGKAH 1: AIM

Langkah ini ialah langkah yang paling penting. Maka saya akan berbincang dengan agak panjang lebar mengenainya.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan "Aim" ?

"Aim" bersinonim dengan membidik "goal" (sasaran atau matlamat). Sebelum anda boleh mencapai sesuatu kejayaan, anda perlu tentukan apa yang anda mahu. Proses ini ialah proses menentukan matlamat, atau gol. (Saya gunakan istilah "gol" dalam kursus ini dengan makna ""matlamat" atau "sasaran". Makna "gol" yang sedemikian telah diterima dalam Kamus Dewan.) Jika gol tidak ditentukan, anda tidak akan mencapainya. Langkah "menentukan gol" ini ialah langkah yang paling penting. Bayangkan orang yang bermain bola. Mesti ada tiang golnya. Kalau tidak ada, tidak mungkin ada jaringan. Masalahnya, terlalu ramai daripada kita yang bermain "bola kehidupan" dengan tidak menentukan tiang golnya. Kita sekadar menyepak bola ke sana ke mari tanpa tujuan yang pasti. Dalam Islam ada konsep "niat". Semua pekerjaan, terutamanya ibadat penyembahan formal, hendaklah dimulai dengan niat. Malah Allah memberi ganjaran berdasarkan niat kita, bukan pencapaian kita. "Niat" ini, secara kasarnya, bersinonim dengan menentukan matlamat. AMARAN DARI PENULIS: Jika anda tidak menentukan ke mana anda hendak pergi, anda tidak akan sampai ke sesuatu destinasi. Kalau pun anda tersampai, anda tidak akan sedar yang anda telah sampai. Kalau pun anda tersedar yang anda telah sampai, anda tidak akan tahu apa yang hendak dibuat (bagaimana hendak memanfaatkan sampainya anda di situ); maka sampainya anda adalah sampai yang sia-sia sahaja. AMARAN: Orang yang tidak menuju ke mana-mana biasanya akan sampai ke situ. (A man going nowhere normally gets there.)

2. Bagaimanakah caranya menentukan gol kita?

INGAT! Menentukan gol bererti menetukan destinasi. Dalam konteks ini, haruslah diingat bahawa: Dari mana anda datang tidak penting. Di mana anda berada tidak penting. Yang penting ialah KE MANA anda mahu pergi. Malangnya, jika anda tanya sesiapa pun, mereka dengan mudah dapat menjawab soalan dari mana mereka datang dan di mana mereka berada. Sayangnya, tidak ramai yang dapat menjawab soalan ke mana mereka mahu pergi.

EMPAT (4) perkara penting dalam menentukan gol adalah seperti yang berikut:

(1) TULIS

Dalam menentukan gol anda, anda MESTI TULIS gol anda itu di atas kertas (dalam buku khas): Minda anda ialah alat yang sentiasa mencari gol untuk dicapai. Tetapi minda memerlukan sasaran yang ditentukan dengan jelas. Matlamat yang tidak dituliskan akan tinggal sebagai angan-angan kosong. Minda anda akan terikat untuk mencapai matlamat itu apabila matlamat itu telah tertulis ke atas kertas. Contoh matlamat (gol) yang boleh ditulis: - mendapat 9A dalam peperiksaan pada bulan November 2003 nanti - menerbitkan 10 buah puisi di media cetak perdana pada tahun 2003 - mendapat kerja di sektor swasta pada bulan Jun 2003 ("Gol" anda perlulah spesifik dan tidak terlalu umum). INGAT (KATA ORANG TUA-TUA): Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. (Yang penting ialah "kemahuan"; jalannya pasti akan menjelma kemudian). AMARAN: Anda mesti tuliskan apa yang anda mahu. Dapatkan segera sebuah buku kecil dan tuliskan segera apa-apa yang anda mahu capai. Selagi hal ini tidak dilakukan, minda anda tidak mempunyai iltizam yang cukup untuk mencapainya. Bincangkan gol yang anda tulis itu dengan orang yang rapat dengan anda dan akan menyokong anda. JANGAN bincangkan dengan sesiapa yang akan memperlekehkannya. Bacalah catatan anda itu selalu-selalu, sekurang-kurangnya sekali sehari.

(2) MULA DARI AKHIR

Dalam menentukan gol anda, anda mesti BERMULA DARI AKHIR: Tentukan gol terakhir anda sebelum sebarang langkah diambil untuk mencapainya. INGAT: Apakah yang terjadi kepada Mat Jenin? Dia mati jatuh dari pokok kelapa. Kenapa? Kerana dua sebab: Pertama, Mat Jenin tidak menuliskan apa yang dia mahu. Kedua, Mat Jenin bergerak selangkah demi selangkah dari angan-angan pertama (menjual kelapa). Dia tidak mulakan golnya dengan "berkahwin dengan tuan puteri". Sepatutnya dia "memeluk tuan puteri" semasa dia di banir pokok kelapa lagi, sebelum dia mula memanjat pokok kelapa itu. AMARAN: Gol yang tidak dimulakan dengan LANGKAH PALING AKHIR menjadi angan-angan Mat Jenin (day dreaming).
"Contohilah Mat Jeni, bukan Mat Jenin:
tentu matlamat
rancang cara
baru panjat
batang kelapa."

(Nasihat dari puisi "Mat Jeni" oleh Irwan Abu Bakar, Dewan Budaya, Disember 97).

INGAT: Apabila saya katakan GOL TERAKHIR, saya maksudkan gol duniawi (tidak mutlak). Sebagai orang yang beragama, gol terakhir kita yang mutlak ialah MATI DAN MASUK SYURGA. Hal ini tidak akan dibincangkan dengan mendalam di sini. Namun gol mutlak itu perlu diingati kerana semua gol lain hendaklah berpaksikan gol mutlak itu. Setelah menuliskan gol terakhir, anda tuliskan langkah-langkah yang akan anda ambil untuk mencapai gol itu. Langkah-langkah ini ialah "peta" yang memandu anda ke arah gol itu. ("Jalan" pada "peta" ini akan anda jejaki untuk sampai ke destinasi.)

(3) MAHU

Dalam menentukan gol anda, anda mesti BENAR-BENAR MAHU apa yang anda hendak capai: Anda mesti menjiwai cita-cita anda. Sikap sambil lewa terhadap cita-cita akan menghalang pencapaiannya. Kebolehan anda tidak penting. Yang penting ialah kemahuan anda. Di sini "kemahuan" bererti "hajat yang sangat mendalam", atau "keinginan yang membara" (intense desire). AMARAN: Yang menentukan DARJAT ialah HAJAT, bukannya BAKAT. Dalam bahasa Inggeris dikatakan bahawa "Attitude, not aptitude, determines altitude".

(4) PERCAYA

Dalam menentukan gol anda, anda mesti PERCAYA akan mencapai apa yang anda kehendaki: Anda akan mencapai kehendak anda hanya jika anda percaya yang anda akan mencapainya. Seperti kata Henry Ford: Jika anda berkata "aku boleh" atau "aku tak boleh", anda sentiasa betul! (Maknanya, jika anda percaya yang anda boleh mencapai gol anda, maka anda akan mencapainya, dan begitulah sebaliknya, jika anda percaya yang anda tidak boleh mencapai gol anda, maka anda tidak akan mencapainya.) INGAT: Minda anda ialah alat yang tugasnya memenuhi gol anda (seperti jin dalam lampu Aladin). Apa yang minda anda dapat fikir dan percaya, minda akan dapat capai. (What the mind can conceive and believe, the mind can achive.) Perhatikan bahawa konsep PERCAYA itu ditegaskan dalam agama. Al-Quran, misalnya, bermula dengan menegaskan kebergunaannya untuk orang yang percaya sahaja: "Alif laam miim. Kitab ini tidak ada keraguan padanya, jadi petunjuk bagi orang-orang yang taqwa, yaitu orang-orang yang beriman (percaya) kepada yang ghaib, mendirikan sembahyang, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka; Dan orang-orang yang beriman kepada (Kitab) yang diturunkan kepada engkau (ya Muhammad) dan (Kitab-kitab) yang diturunkan sebelum engkau, sedang mereka itu yakin (percaya) akan adanya (hari) akhirat. Mereka itu atas petunjuk pada Tuhannya; dan mereka itulah orang-orang yang menang." (Al-Baqarah, ayat 1-5).

 

3. Anda ada masalah untuk menentukan apa yang anda mahu?

Ada beberapa kaedah yang telah dicipta orang untuk membantu anda menentukan apa yang anda mahu.  Saya berikan empat kedah di sini.

Mula dengan mengandaikan bahawa anda tidak ada sebarang halangan untuk mendapat apa yang anda mahu. Tiada masalah kewangan; tiada masalah fizikal; tiada masalah emosi; tidak ada apa-apa masalah. Kemudian anda gunakan mana-mana kaedah di bawah ini untuk menentukan apa yang anda mahu:

(a) Kaedah Tongkat Sakti (Magic Wand)

Bayangkan anda mempunyai sebatang tongkat sakti yang akan menunaikan tiga hajat anda setiap kali anda melibaskannya di udara.  Halakan dan libaskan tongkat itu kepada sesuatu "destinasi" dan tuliskan tiga perkara yang anda mahu tongkat itu tunaikan.  Misalnya, halakan kepada anak-anak anda dan tuliskan (a) semua anak berjaya masuk universiti, (b) semua anak melakukan sembahyang lima waktu tanpa gagal setiap hari, dan (3) semua anak berinteraksi dengan sopan dan ramah dengan ibu bapa.

(b) Kaedah Mati Dalam Enam Bulan

Bayangkan anda betul-betul sihat tetapi akan mati dalam masa 6 bulan lagi.  Senaraikan perkara yang anda mahu lakukan dalam masa enam bulan itu.

(c) Kaedah Senarai Impian

Duduk dengan selesa.  Tuliskan secara rambang minimum 100 perkara yang anda mahu capai dalam hidup ini.

(d) Kaedah Jutawan Segera

Bayangkan anda diberi wang RM1 juta yang mesti dibelanjakan segera.  Tuliskan perkara-perkara yang anda akan lakukan dengan wang itu.
 

 

LANGKAH 2: ACT

L2.1 Semua rancangan hendaklah diikuti dengan tindakan. Kalau tidak, rancangan itu akan menjadi sia-sia.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan "Act"?

"Act" ("serang") bererti "bertindak" atau melakukan sesuatu. Aim ialah tindakan minda (brain) sementara act ialah tindakan fizikal (brawn). Anda hendaklah sentiasa berfikir sebelum bertindak dan sentiasa bertindak terhadap apa yang anda fikir. Kejayaan tidak akan dicapai tanpa bertindak (atau bekerja). Anda menemui "kejayaan" sebelum "tindakan" hanya di dalam kamus-kamus (tidak dalam kehidupan)! Bertindak bererti mengambil langkah-langkah yang telah anda "peta" untuk menuju ke destinasi (gol) anda.

2. Bagaimanakah caranya untuk bertindak?

Untuk bertindak, mulalah dengan langkah pertama: jika anda mahu makan seekor kerbau, anda perlu menunyahnya semulut demi semulut (one bite at a time).

Prinsip semulut sekali kunyah.  Prinsip ini sering dinamai Prinsip Memotong Rumput (Mowing the Lawn). Bayangkan anda perlu memotong rumput di sebuah padang bola.  Tentu ada rasa gerun pada diri anda untuk menyiapkan tugas yang besar itu.  Namun pemotong rumput yang berpengalaman akan "membahagikan" padang itu kepada bahagian-bahagian kecil yang mampu ditanganinya dengan segera. Pembahagian padang itu kerap kali dapat dilakukan dalam minda sahaja.  Rumput dipotong dari satu bahagian kecil kepada bahagian kecil yang lain.  Pecahkan projek yang besar kepada beberapa bahagian yang kecil. Senaraikan.  Tangani satu persatu (dan tandakan bahagian yang selesai ditangani).

Pernahkah anda mendengar cerita benar seorang perempuan berumur dalam 70-an tahun yang berjaya merentas benua Amerika dengan berjalan kaki? Apabila ditanya bagaimana dia melakukannya, dia menjawab, "Saya mengambil satu langkah, dan satu langkah lagi, dan satu langkah lagi, dan satu langkah lagi..." Untuk memastikan yang anda akan mengambil langkah-langkah yang perlu, anda hendaklah menentukan langkah pertama, merancang langkah pertama, mengambil langkah pertama, dan menyemak langkah pertama.

Dalam mengambil langkah pertama, anda perlulah memerhatikan pentingnya hukum momentum, seperti yang berikut:

- semua perkara akan terus berada pada keadaan sedianya kecuali anda sengaja mengubahnya.

Peruntukkan suatu tempoh untuk mengambil langkah pertama supaya momentum dapat diubah dengan sengaja. Contoh: katalah anda perlu menyiapkan sebuah laporan. Anda berasa berat untuk menanganinya. Anda tentukanlah suatu masa tertentu, katalah jam 3.00 petang, untuk mula menulis laporan itu selama 15 minit. Setelah tamat 15 minit itu, anda akan dapati (a) laporan itu akan dapat diselesaikan dengan lebih mudah daripada anda jangkakan; atau (b) anda mula membentuk minat untuk menamatkan laporan itu; atau (c) anda dapat terus menulis laporan itu lebih daripada 15 minit itu sehingga laporan itu mendapat bentuk yang dikehendaki; atau (d) anda berjaya menyiapkan laporan itu dalam 15 minit. Walau apapun, tindakan tersebut telah menggerakkan anda untuk melakukan perkara yang anda rasa berat untuk melakukannya. Anda telah memperoleh momentum untuk menyelesaikannya.

Perhatikan hukum 5P dalam bertindak: Proper planning prevents poor performance (Perancangan baik mengelakkan prestasi buruk ----PBEPB).

L2.2 PERINGATAN TENTANG TINDAKAN:

1. Anda tidak akan mendapat sesuatu yang baru jika melakukan perkara yang sama.
2. Jika anda melakukan apa yang dilakukan oleh orang lain, anda tidak akan dapat lebih daripada apa yang diperoleh orang lain.
3. Kaedah yang luar biasa akan mengeluarkan hasil yang luar biasa.
4. Jika anda mahu rumah yang paling besar, binalah sebuah rumah baru yang lebih besar daripada rumah orang lain; jangan merobohkan semua rumah orang lain yang lebih besar daripada rumah anda.

L2.3 DUA PRINSIP TINDAKAN YANG PENTING:

1. Hukum Sebab Akibat. Anda hanya boleh tuai apa yang anda semai. Tindakan mendahului hasil (seperti kayu mendahului haba).

2. Apa Yang Wajar Dimulakan Wajar Pula Disempurnakan (Hukum Hangat Tahi Ayam).  "Hangat-hangat tahi ayam" merupakan sebuah pepatah Melayu yang popular.  Pepatah ini merujuk kepada sikap negatif seseorang yang tidak bersemangat untuk meneruskan sesuatu tindakan (suka berhenti atau "hilang semangat" di pertengahan jalan).  INGAT: Apa yang anda lakukan, lakukan dengan sempurna hingga akhir.

L2.4 PERANAN ADJUST
Anda harus ada sifat fleksibel.  Jika tindakan menemui perkara di luar jangkaan, lakukan sedikit penyelarasan pada rancangan tindakan anda.  Katalah anda mahu meracun rumput tiba-tiba hari hujan.  Atau anda mahu mebancuh konkrit di ruangan terbuka dan hari hujan.  Atau anmda pergi untuk memotong getah dan ahri hujan.

L2.5 PERANAN ASK
Ada kalanya anda perlu bertanya (atau meminta daripada orang lain) untuk mendaptkan sesuatu.  Tindakan yang sedemikian ialah tindakan yang wajar.  Jika anda ingin mengahwini seorang wanita, misalnya, tidak mungkin tercapai tanpa bertanya kepadanya.  Dalam hal yang sedemikian, ingatlah bahawa anda tidak kerugian apa-apa dengan meminta atau bertanya.  Jika anda tidak diberikan apa yang diminta, anda tidaklah kerugian apa-apa.  Namun kerap kali anda tidak mendapat kerana tidak meminta.  Kekadang pihak yagn kedua itu menunggu-nunggu anda meminta untuk memberikannya kepada anda. Bayangkan seorang gadis yang meminati anda dan menanti anda melamarnya: betapa ruginya jika anda terlepas peluang kepada orang lain semata-mata kerana anda malu untuk melamarnya kerana takut ditolak sedangkan anda sendiri memang sangat-sangat berminat untuk mengahwini gadis itu. Dalam hal ask ini, perhatikan peranan penting "doa" (meminta kepada Allah).  Doa ialah alat yang sangat berkesan untuk mendapatkan sesuatu.  Doa akan menegaskan kepada minda anda yang anda benar-benar mahukan sesuatu itu.

 

LANGKAH 3: ACHIEVE

Anda dapat (achieve) apa yang anda kehendaki. Anda sampai di sini setelah melakukan Langkah 1 dan Langkah 2.

LANGKAH 4: ACCLAIM

Setalah mendapat kejayaan, berhenti sejenak dan bersyukur atas pencapaian anda. Bergembiralah dengan apa yang anda capai itu. Lupakan dahulu masalah yang telah dan akan dihadapi seterusnya.  Bergembira dahulu. Rayakan (Celebrate). Ucap alhamdulillah. Kenduri. Sembayang syukur.

LANGKAH 5: ACCLIMITISE

Kejayaan merupakan satu langkah untuk anda ke hadapan lagi.  Batu loncatan kepada pencapaian yang lebih bail. Jangan terus tergamam/kagum akan kejayaan anda itu. Jangan tertegun. Biasakan diri dengan pencapaian yang baru itu.  Terima kejayaan sebagai kebiasaan hidup baru anda... kemudian orak langkah ke hadapan lagi (gol yang lain) dengan bermula dari Langkah 1.

 

B: TUJUH (7) SIFAT ORANG YANG BERJAYA

Orang yang berjaya dan terkemuka dalam bidang masing-masing sebenarnya memiliki beberapa sifat yang sama. Apakah sifat-sifat itu? Ada beberapa pendapat yang berlainan tentang hal ini. Namun perbezaan antara satu pendapat dengan yang lain tidak banyak. Di sini saya akan gunakan pendapat Tom Bay: Orang yang berjaya dan terkemuka dalam bidang masing-masing semuanya memiliki 13 sifat yang berikut:

Berdisiplin (Disciplined)
Yakin pada diri sendiri (Self-Confident)
Tabah/Tekun (Persistent)
Progresif (Progressive)
Tegas (Decisive)
Terfokus (Focused)
Berwawasan (Visionary)
Bernasib baik (Lucky)
Cemerlang (Excels)
Bersemangat (Enthusiastic)
Bertujuan (Purposeful)
Pemperbaik (Improver)
Beragama (Spiritual)

Anda perlu pilih dan amalkan sifat-sifat ini. Pilih satu persatu sifat yang memikat hati anda dan amalkan supaya menjadi tabiat (habit). Anda boleh juga mengamalkan beberapa sifat secara serentak sehingga semuanya menjadi tabiat. TUJUH daripada sifat-sifat tersebut yang saya anggap paling penting saya huraikan di bawah ini.  Sifat-sifat itu kerap kali berkaitan antara satu dengan lain.

1. YAKIN DIRI

Yakin Pada Diri Sendiri bermakna anda yakin akan keupayaan anda untuk berfikir dan menghadapi segala cabaran hidup.  Sifat ini merupakan satu daripada dua sifat paling penting yang mesti ada pada anda yang hendak berjaya. Tidak ada pengkaji ilmu kejayaan yang mengatakan sifat ini tidak penting. Ada beberapa pengkaji yang meletakkan sifat itu sebagai paling utama, malah merupakan prasyarat untuk berjaya. Keyakinan pada diri sendiri dapat dibangunkan dengan memiliki empat kualiti yang berikut: (1) hidup secara sedar (akan kesan tindakan anda terhadap orang lain), (2) hidup secara bertanggungjawab (terhadap kelakuan anda), (3) hidup dengan ada tujuan (sehingga anda cuba cemerlang dalam semua perkara), dan (4) hidup secara berwibawa (dengan memikul tanggungjawab terhadap semua kata dan perbuatan anda ).

2. DISIPLIN

Satu daripada dua sifat paling penting yang mesti ada pada anda yang hendak berjaya ialah berdisiplin. Tidak ada pengkaji ilmu kejayaan yang mengatakan sifat ini tidak penting. Ada beberapa pengkaji yang meletakkan sifat itu sebagai paling utama, malah merupakan prasyarat untuk berjaya.  Anda perlukan disiplin untuk membuat perubahan-perubahan penting yang akan membawa anda kepada kejayaan.

Berdisplin bermakna anda sendiri yang mengawal hidup anda.  Anda tidak menyerah kalah kepada sebotol pil, makanan, ugutan emosi, status sosial, ingatan yang mengerunkan, takut kepada kegagalan, dan sebagainya.

3. TABAH/TEKUN

Orang yang tabah akan terus berusaha walaupun ada rintangan (impediment) atau tentangan (opposition). Jangan mengaku kalah. Walau bagaimanapun, berhati-hati supaya jangan menjadi intrusif (menjadi musuh atau pengganggu kepada orang lain).

4. TEGAS (TANGKAS MEMBUAT KEPUTUSAN)
Sentiasa percepatkan membuat keputusan. Langkah membuat keputusan dapat dipercepatkan dengan mengambil langkah-langkah yang berikut: (1) Tentukan objektif (gol) dengan jelas; (2) Kenal pasti apa perkara paling buruk yang akan berlaku sekiranya keputusan yang anda buat itu salah.  Peritmbangkan sama ada anda sanggup menerima akibat itu; (3) Jika ada masa, pertimbangkan dengan semasak-masaknya; jika kesuntukan masa, ambil keputusan segera;  (4) Bayangkan apa yang akan dibuat oleh seseorang yang anda kagumi jika orang itu berada dalam keadaan yang anda hadapi pada masa itu;  (5) Minta nasihat dairpada orang yang  pernah mengalami masalah yang serupa; dan (6) lakukan PMI (sistem plus-minus-interesting dalam pemikiran lateral de Bono). 

Anda berasa berat membuat keputusan kerana lima "ketakutan: (1) takut gagal, (2) takut kepada (kemampuan) diri sendiri, (3) takut kelihatan bodoh, (4) takut akan perkara yang anda belum biasa dengannya, dan (5) takut akan perubahan.  Elakkan rasa takut ini dengan membuat persediaan secukupnya dan dengan bersikap berani megambil risiko yang munasabah.

5. FOKUS
Tentukan prioriti (keutamaan) anda. Kemudian tumpukan sepenuh perhatian terhadapnya.

6. BERSEMANGAT
Sentiasa lakukan sesuatu dengan penuh semangat (enthusiastic).  Dampingi orang yang bersemangat.

7. BERAGAMA
Orang yang alim sentiasa merendah diri.  Mereka percaya Allah lebih penting daripada diri mereka sendiri.  Orang yang alim pentingkan usaha dan bukan kejayaan.  Kejayaan ialah hak Allah untuk memberinya. Orang yang alim akan terus berusaha walau apa pun rintangannya. Maka orang yang alim sentiasa berjaya.

 

C: LIMA (6) PRINSIP UNTUK KEJAYAAN

Ada beberapa "prinsip kehidupan" yang perlu difahami dan diberi perhatian/diamalkan untuk memastikan anda berjaya. Lima yang paling penting adalah seperti yang berikut:

(1) Takut kepada perkara yang tidak diketahui (Fear of the unknown)
(2) Semua perkara dicipta dua kali
(3) Mulakan dari akhir
(4) Ke Mana Anda?
(5) Berseronoklah dengan kembara anda (Enjoy the journey)

Di sini saya akan huraikan lima prinsip yang tersebut.

1. TAKUT KEPADA PERKARA YANG TIDAK DIKETAHUI

Kita sentiasa takut kepada sesuatu yang kita belum biasa dengannya. Untuk ke tempat yang belum pernah kita pergi pun kita akan merasa cuak. Kita bimbang untuk melakukan sesuatu yang belum pernah kita lakukan. Penyelesaiannya ialah DENGAN MELAKUKANNYA dan bukan mengelakkan diri daripada melakukannya kerana kejayaan kerap kali memerlukan anda melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan/ dialami.  Kebimbangan dapat diatasi dengan membuat persediaan yang cukup: (1) Fahami sistem: dapatkan maklumat sebanyak mungkin tentang perkara itu dan (2) Bawa bekalan: sediakan semua keperluan dengan selengkapnya.

2. SEMUA PERKARA DICIPTA DUA KALI

Semua perkara yang berlaku di dunia ini berlaku dua kali: kali pertama berlaku di minda dan kali kedua baharulah berlaku secara fizikal. Contoh: (1) akitek memikirkan dan melukiskan pelan sebelum bangunan dibina, (2) penceramah memikirkan perkara yang hendak diucapkan sebelum melahirkan kepada pendengar, (3) otak memikirkan tindakan tangan mengambil barang sebelum mengarahkan tangan mengambil sesuatu barang. Anda tidak boleh melanggar peraturan alam ini.  Jika mahu mencapai sesuatu kejayaan, anda hendaklah bayangkan di minda anda terlebih dahulu yang anda mendapat kejayaan itu.  Bayangkan anda mendapat 10A dalam peperikasaan pada masa anda sedang bersedia untuk menghadapi peperiksaan itu. Bayangkan setiap masa; tegaskan dengan melihatnya (misalnya, tulis dan papar di dinding bilik anda); tegaskan dengan menyebutnya kepada diri anda; tegaskan dengan menceritakannya kepada orang lain (yang akan menyokong dan tidak kepada yang akan memperlekehkannya).

3. MULAKAN DARI AKHIR

Dalam mengambil sebarang tindakan, sentiasa fokus kepada gol atau (matlamat) akhir.  Gol itu hendaklah jelas dalam minda anda. Elakkan merayau-rayau dari satu "stesen" ke "stesen" yang lain tanpa lebih dahulu memastikan destinasi sebenarnya.

4. KE MANA ANDA?

"Dari mana anda datang" dan "di mana anda berada" tidak penting. Yang penting ialah "ke mana anda mahu pergi".  Memang anda perlu menyedari dari mana anda datang dan di mana anda berada untuk menentukan bearing tempat yang anda hendak tuju tetapi perkara itu hendaklah dianggap sebagai panduan biasa dan tidak wajar menjadi penghalang kepada langkah anda untuk mara.

5. STIMULUS VERSUS RESPONS

Apa yang berlaku kepada anda tidak menentukan nasib anda.  Yang menetukan nasib anda ialah bagaimaan anda bertindak balas terhadap apa yang berlaku itu.
Ada banyak perkara yang berlaku pada diri anda tidak dapat anda elakkan.  Namun anda dapat menentutkan sepenuhnya apa yang anda lakukan sebagai tindak balas kepadanya. Contoh ekstrim: ada orang yang gagal bercinta lalu membunuh diri; ada orang yang gagal bercinta tetapi menerimanya sebagai cabaran lantas bertindak positif melakukan perkara yang membawa kemajuan diri sehingga mendapatkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang hilang.
"Apa yang berlaku kepada anda tidak penting.  Yang penting ialah apa yang anda lakukan kepada apa yang berlaku kepada anda."

6. BERSERONOKLAH DENGAN KEMBARA ANDA

Anda ada gol yang anda mahu capai.  Anda akan bahagia apabila mencapai gol itu. Namun anda harus berseronok dan menikmati setiap langkah yang anda ambil semasa menuju ke arah gol anda.  Jangan membenci jalan yang anda terpaksa lalui. Misalnya, mereka yang mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan ialah mereka yang seronok apabila belajar untuk peperiksaan itu.

wab/siap 24.4.2004 (Hari ini ulang tahun perkahwinan saya yang ke-24).

TAMAT.