KURSUS KEMAHIRAN
BERFIKIR UNTUK PENYAIR:
GARIS PANDUAN DAN TIP BERFIKIR UNTUK PENYAIR DALAM BERKARYA
© irwan abu bakar, 2002
Mula Ditulis: 21.10.2002
Tarikh Siap: Sedang Diusahakan
Tarikh pengeditan terbaru: 20.05.2004.
(PERHATIAN: Bahan kursus ini sedang dibangunkan dan diedit secara
berterusan; jika sdr mengikuti setiap perkembangan bahan kursus ini, sdr akan
dapati bahawa kaedah pemikiran divergen digunakan;
walaupun nota yang dihasilkan ialah nota linear, tetapi dalam menyediakannya, penulis
melompat dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain berdasarkan mood, ilham,
atau bahan rujukan yang diperoleh; penulis mengikut kaedah yang sama seperti
kaedah melukis "peta minda".)
Terus Ke Senarai Kandungan
Terus Ke Indeks
Terus Ke Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Terus Ke Lampiran
A: Preliminari
Objektif Kursus:
Untuk memberi penerangan dan petunjuk ringkas tentang pelbagai
teknik dan gaya berfikir
yang dapat digunakan dalam kegiatan berpuisi.
Apabila tamat mengikuti kursus ini, anda akan memahami perkara-perkara yang
berikut:
1. asas-asas penting kemahiran berfikir.
2. berfikir dengan kritis dan kreatif untuk membuat keputusan dan menyelesaikan
masalah dengan berkesan
3. penggunaan kemahiran berfikir dalam kegiatan berpuisi.
Peserta Sasaran:
Kursus ini diolah supaya sesuai untuk:
1. Orang awam yang berminat menulis, menganalisis, dan menghayati puisi.
2. Pelajar kolej dan universiti.
3. Pelajar sekolah menengah, Tingkatan 3 ke atas.
Sijil Kemahiran Berfikir Untuk Penyair eSastera:
Setelah tamat mengerjakan semua modul dalam kursus ini, peserta boleh mengambil
peperiksaan yang akan diadakan dari semasa ke semasa. Peserta yang lulus
peperiksaan itu akan dianugerahkan Sijil Kemahiran
Berfikir Untuk Penyair eSastera. Peperiksaan pertama dijangka akan
diadakan pada Disember 2002. (Butir-butir akan diumumkan kelak).
Franchise Kursus:
Hak franchise kursus ini boleh diperoleh dengan menghubungi: esastera@esastera.com.
Rujukan:
Kandungan dalam tulisan ini dibuat dengan menggunakan rujukan-rujukan yang
berikut:-
Rujukan Utama
1. Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. "Kursus Berfikir Untuk Kolej dan Universiti",
PTS Publications & Distributors, 2001.
2. Edward de Bono. "de Bono's Thinking Course", BBC Books, 1995.
3. M. Neil Browne & Stuart Keeley. "Asking the Right Questions - A Guide to
Critical Thinking", Prentice Hall, 2000.
Rujukan Tambahan
1. Stewart E. Kelly. "An Introduction to Critical Thinking", Mayfield Publishing
Company, 2002.
2. G Bassham, W Irwin, H Nardone, dan J M Wallace. "Critical Thinking: A
Student's Introduction", McGraw Hill, 2001.
3. Edward de Bono. "Lateral Thinking -- Creativity Step by Step", Harper & Row
Publisher, 1973.
4. Edward de Bono. "Serious Creativity", HarperCollins, 1992.
Deklarasi Penulis:
(a) Sebarang silap faham, silap baca, dan silap tulis oleh penulis adalah
tanggungjawab penulis sendiri dan tidak boleh sama sekali dipertanggungjawabkan
kepada penulis buku-buku rujukan yang tersebut.
(b) Sebarang perkara yang ditulis di sini tetapi tidak terdapat dalam
bahan-bahan rujukan adalah juga tanggungjawab penulis sepenuhnya.
B: Indeks
C: Kandungan
(Anda boleh "melompat" dari satu bahagian ke satu bahagian
yang lain dengan mengklik hiperlink yang disediakan. Namun bagi pembacaan
pertama, anda digalakkan membacanya mengikut urutan):
D1: Pendahuluan
Modul 11. Kemahiran Berfikir Boleh Diajarkan dan Dipelajari
Modul 12. Bilakah Penyair Berfikir?
Modul 13. Jenis-Jenis Pemikiran
Modul 14. Dua Aspek Penting Aktiviti Berfikir
Modul 15. Bidang Aplikasi Kemahiran Berfikir
Modul 16. Teknik Pemikiran Biasa
Modul 17. Prasyarat Kejayaan Mengaplikasikan Teknik
Berfikir
Modul 18. Apakah Bezanya Antara Pemikiran Kritis Dengan
Pemikiran Kreatif?
D2: Pemikiran Kritis
Modul 21. Stail Pemikiran Alternatif: Span dan
Mendulang-Emas
Modul 22. Definisi Dan Struktur Pemikiran Kritis
Modul 23. Kemahiran Pemikiran Kritis
Modul 24. Soalan-soalan Kritis
Modul 25. Falasi
Modul 26. Pemikiran Kritis Tidak Matang (Weak-Sense) Dan
Matang (Strong-Sense)
Modul 27. Pemikiran Kritis Dan Kegiatan Berpuisi
Modul 28.
Modul 29.
D3: Pemikiran Lateral
Modul 31. Minda Sebagai Sistem Mengurus Diri
Modul 32. Definisi Pemikiran Lateral
Modul 33. Pemikiran Lateral dan Kegiatan Berpuisi
Modul 34. Alat-Alat Berfikir Pemikiran Lateral
Modul 35. Provokasi
Modul 36. Kaedah Input Rambang
Modul 37. Kaedah Balikan -- Mencari Idea Atau
Membentangkan Idea
D4: Gaya berfikir
Modul 41.
Modul 42.
Modul 43.
Modul 44.
Modul 45.
Lampiran
Lampiran 1.
Lampiran 2.
Lampiran 3.
D: Garis Panduan dan Tips Berfikir Untuk
Penyair
D1: Pendahuluan
MODUL 11: KEMAHIRAN BERFIKIR BOLEH
DIAJARKAN DAN DIPELAJARI
Berfikir ialah kemahiran yang boleh dipelajari dan diajarkan.
Semua orang boleh berjalan tetapi mereka yang menyertai pertandingan berjalan
dilatih berjalan dengan lebih berkesan. Semua orang boleh berlari tetapi mereka
yang menyertai pertandingan berlari dilatih berlari dengan lebih berkesan
berdasarkan jenis pertandingan yang disertainya, misalnya teknik untuk larian
pecut berbeza daripada teknik untuk larian maraton. Malah perbuatan bernafas
yang lazimnya kita lakukan tanpa disedari juga dapat dilakukan dengan lebih
berkesan melalui teknik tertentu untuk tujuan tertentu, misalnya dalam senaman
dan semasa ibu sedang melahirkan anak. Begitu juga dengan berfikir. Orang boleh
dilatih untuk berfikir dengan lebih efisien dan berkesan apabila menggunakan
teknik-teknik tertentu. Teknik-teknik ini boleh dipelajari dan diajarkan supaya
menjadi tabiat.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
MODUL 12: BILAKAH PENYAIR BERFIKIR?
Bilakah masanya penyair berfikir?
Masa yang melibatkan penyair berfikir termasuklah yang berikut:
-semasa mencari ilham
-semasa menuliskan ilham dalam bentuk puisi
-semasa mengedit draf puisi
-semasa membaca karya orang lain
-semasa mengulas/mengkritik karya orang lain
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
MODUL 13: JENIS-JENIS PEMIKIRAN
13.1 Ada beberapa jenis pemikiran yang telah dikenal pasti. Dua jenis yang utama
ialah pemikiran kritis (critical thinking) dan
pemikiran kreatif (creative thinking).
13.2 Jenis-jenis yang lain termasuklah yang berikut:
-pemikiran saintifik
-pemikiran analitikal
-pemikiran historis
-pemikiran teknikal
-pemikiran logikal
-pemikiran sistematik
-pemikiran pragmatik
-pemikiran positif/negatif
-pemikiran nilai
-pemikiran hipotetikal
-pemikiran projektif
-pemikiran proaktif
-pemikiran konstruktif
-pemikiran emotif
-pemikiran intuitif
-pemikiran lateral
-pemikiran paralel
-pemikiran convergen/divergen
13.2.1 Banyak daripada jenis-jenis pemikiran ini merujuk kepada konsep-konsep pemikiran yang serupa ataupun bertindan antara satu dengan lain.
13.2.2 Pada pandangan penulis, jenis-jenis (dan stail/gaya) pemikiran yang disenaraikan ini dapat sahaja dikategorikan, secara kasar, kepada dua kumpulan utama: (a) pemikiran kritis dan (b) pemikiran kreatif.
13.3 Pada suatu masa dahulu, berlaku "pertelingkahan" antara pelopor pemikiran kritis dengan pelopor pemikiran kreatif. Masing-masing mendakwa bahawa cara pemikiran yang mereka ajarkan adalah lebih berguna sementara cara pemikiran yang satu lagi merosakkan. Pada hari ini pertelingkahan sedemikian telah ketinggalan zaman kerana, pada amnya, orang megakui bahawa kedua-dua cara pemikiran itu diperlukan oleh manusia.
13.4 Kursus ini akan memfokus kepada pemikiran kritis dan pemikiran kreatif. Untuk pemikiran kreatif, kita akan menumpukkan perhatian kita kepada pemikiran lateral.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
MODUL 14: DUA ASPEK PENTING KEMAHIRAN
BERFIKIR
Kursus ini akan merangkumi dua aspek penting aktiviti berfikir, iaitu
-teknik berfikir
-gaya/stail berfikir
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
MODUL 15: BIDANG APLIKASI KEMAHIRAN
BERFIKIR
Bilakah kemahiran berfikir diaplikasikan?
15.1 Dua aktiviti yang berikut merupakan bidang aplikasi kemahiran berfikir
yang utama:
-Menyelesaikan masalah
-Membuat keputusan
15.1.1 Satu kegiatan berfikir yang penting dan relevan (dengan dua aktiviti tersebut) ialah "penjanaan alternatif".
15.2 Dalam konteks masyarakat penyair, contoh aktiviti yang berkaitan adalah seperti yang berikut:
MENYELESAIKAN MASALAH:
- menghadapi "mental block"
- kehilangan (terlupa) kata/ungkapan yang sedia diketahui
- menghilangkan rasa jemu
- memindahkan puisi dari minda ke kertas
- mencari idea baru sebagai tema
MEMBUAT KEPUTUSAN
- menentukan kata yang paling sesuai
- menentukan tajuk puisi
- menerima atau menolak idea (ilham) yang datang
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
MODUL 16: TEKNIK PEMIKIRAN BIASA
Kenapakah kita perlu belajar teknik-teknik berfikir?
16.1 (a) Anda tentu pernah memerhatikan orang berjalan. Kebanyakannya berjalan mengikut "kebiasaan" masing-masing. Yang bernasib baik, elok dan tampan jalan biasanya. Yang kurang bernasib baik, jalannya cacat: ada yang pengkar, terhinjut-hinjut, mengengkang, dsb. (b) Anda juga tentu pernah melihat model pakaian berjalan di catwalk. Alangkah teratur dan bergayanya jalan mereka. Konsisten pula ketampanan jalannya itu. Model ini berjaya mencapai cara berjalan yang elok secara konsisten kerana mereka dilatih berjalan dengan teknik-teknik tertentu.
16.2 Orang yang tidak dilatih untuk berfikir dengan teknik-teknik befikir yang betul akan berfikir dengan cara "kebiasaan" masing-masing. Mereka dikatakan berfikir dengan "teknik pemikiran biasa".
16.2.1 Teknik pemikiran biasa mempunyai ciri-ciri (negatif) yang berikut:
(a) Dikuasai oleh perulangan: jika minda kita terdengar sesuatu idea sebanyak tiga kali atau lebih, maka hal ini akan dianggap lebih benar daripada apa yang didengar sekali sahaja.
(b) Dikongkong persepsi: Pemikiran kita sering dikongkong oleh persepsi (apa yang dilihat oleh mata), misalnya warna yang cerah dan garang membuat kita percaya bahawa perkara itu lebih penting.
(c) Tunduk kepada niat dan kepentingan peribadi: maklumat yang diterima oleh minda dipengaruhi oleh kaitannya dengan niat dan kepentingan peribadi kita. Apa yang bertentangan dengan kepentingan peribadi kita akan disisihkan.
(d) Tidak seimbang: Kalau ada seorang penyewa rumah berbangsa Melayu yang sukar mebayar sewa bulanannya, minda cenderung memutuskan semua penyewa Melayu sukar membayar sewa.
(e) Mengutamakan kepentingan: Kalau seorang penyewa rumah berbangsa Melayu sukar membayar sewa bulanannya, maka penyewa yang seorang itu menjadi lebih penting daripada seluruh masyarakat penyewa rumah berbangsa Melayu. Minda akan mengekalkan kepentingan penyewa yang seorang itu. Kepentingan ini tidak dapat dihapuskan dari minda oleh fakta bahawa kebanyakan orang Melayu tidak sukar membayar sewa rumahnya setiap bulan.
(f) Dipengaruhi pengalaman peribadi: Minda kita menganggap apa yang kita alami sebagai lebih penting daripada apa yang dialami oleh orang lain.
(g) Melihat dari sudut ekstrim: Minda sukar melihat sesuatu dari sudut pertengahan, misalnya jika seorang warga pendatang melakukan jenayah curi, semua pendatang dianggap pencuri.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
MODUL 17: PRASYARAT KEJAYAAN MENGAPLIKASIKAN TEKNIK
BERFIKIR
17.1 Mengamalkan Keterbukaan
Seseorang yang hendak mengaplikasikan teknik-teknik berfikir hendaklah
mengamalkan perkara-perkara yang berikut, kalau tidak kegiatan berfikir menjadi
eksesais yang meletihkan, membuang
masa, dan sia-sia sahaja:
- Fikiran atau minda perlu terbuka
- Sentiasa bersedia untuk mendengar pandangan
alternatif
- Sentiasa bersedia menerima pandangan alternatif yang
lebih baik
- Bersedia mengubah pendirian jika terbukti ada alasan
yang munasabah untuk berbuat begitu
17.2 Mengelak Perangkap Kepintaran (Intelligence Trap)
Orang yang "pintar" tidak semestinya menjadi pemikir yang baik. Ada yang
diserang fenomenon yang dinamai "perangkap kepintaran". Dua aspek utama
perangkap ini yang perlu dielakkan adalah seperti yang
berikut:
(a) menentukan pendirian terhadap sesuatu isu dan menggunakan kepintaran untuk
mempertahankan pendirian itu:
Ramai orang yang sangat pintar terperangkap dengan idea-idea yang selekeh/substandard
kerana mereka mampu mempertahankan idea-idea itu dengan baik.
(b) menganggap diri lebih pintar daripada orang lain (anggapan yang mungkin
betul) dan mencuba mendapatkan kepuasan yang maksimum daripada kepintarannya itu:
Cara paling mudah mendapat keseronokan dan kepuasan daripada kepintaran ialah
dengan "membuktikan" yang orang lain salah. Dalam jangka pendek, perbuatan ini
dapat menjadikan seseorang itu kelihatan lebih hebat. Malangnya, perbuatan ini
tidak membantu dalam membina idea-idea baru yang lebih baik dan lebih berguna.
17.3 Memberi Perhatian Kepada Kaedah-Kaedah Berfikir
Berlatih dan beramal secara berterusan dengan kegiatan berfikir tidak memadai.
Kita perlu berlatih dan beramal secara berterusan dengan menggunakan
kaedah-kaedah berfikir yang telah terbukti berkesan. Analogi: menaip dengan dua
jari untuk tempoh masa yang lama tidak akan dapat menjadikan seorang itu
jurutaip yang pantas berbanding dengan orang yang secara sengaja menggunakan 10
jari untuk menaip.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
MODUL 18: APAKAH BEZANYA ANTARA PEMIKIRAN KRITIS DENGAN
PEMIKIRAN KREATIF?
18.1 Pemikiran kritis dan pemikiran kreatif memang berbeza segala-galanya kerana
kedua-duanya adalah kaedah pemikiran yang berlainan. Perbezaan utamanya adalah
seperti yang berikut:
| PEMIKIRAN KREATIF | PEMIKIRAN KREATIF | ||
| 18.1.1 |
Dari segi objektif: |
Memurnikan fakta dengan menghapuskan kesangsian. (Pelupusan masalah). | Menjana fakta alternatif bagi mendapatkan fakta yang baru yang dapat dibandingkan secara seiring dengan fakta sedia ada. (Pencarian peluang). |
| 18.1.2 | Dari segi prinsip yang digunakan |
Menggunakan pendekatan "mendulang emas" (panning for gold).
|
Menggunakan prinsip "menggali (lubang) di tempat lain". |
| 18.1.3 |
Dari segi "arah gerakan": |
Bergerak menegak (vertical thinking: anologi mengatur bata) | Bergerak secara lateral (anologi air yang mengalir di permukaan yang rata). |
| 18.1.4 |
Dari segi "titik mula": |
Memerlukan masalah untuk dimurnikan. | Dapat bergerak (take off) dari keadaan sifar. |
| 18.1.5 |
Dari segi logik dan persepsi: |
Diasaskan kepada logik. | Diasaskan kepada persepsi. |
| 18.1.6 |
Dari segi analisis dan reka bentuk: |
Memfokus kepada apa yang ada (what-is) lantas menggiatkan analisis. | Memfokus kepada apa yang mungkin (what-can-be) lantas menggiatkan reka bentuk (design). |
18.2 Antara "pemikiran kritis" dengan "pemikiran kreatif", yang manakah yang
lebih utama untuk kegunaan kita seharian?
Oleh sebab masalah yang kita hadapai dalam kehidupan harian kita adalah
berlainan tabiatnya antara satu dengan yang satu lagi, maka ada masalah yang
hanya boleh ditangani dengan menggunakan pemikiran kritis dan ada masalah yang
hanya boleh ditangani dengan menggunakan pemikiran kreatif. Kita tidak ada
pilihan kecuali belajar kedua-duanya.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
D2: Pemikiran Kritis
Modul 21: Dua Pendekatan Berfikir: "Span" dan "Mendulang
Emas"
21.1 Span (sponge) bertindak terhadap air dengan menyerapnya. Apabila anda
berfikir secara itu, anda menyerap ke minda anda segala yang anda dengar dan
baca.
21.1.1 Pendekatan ini menekankan pemerolehan ilmu.
21.1.2 Memang kaedah befikir secara span ini ada beberapa kelebihannya. Namun kaedah ini mempunyai satu kelemahan besar: anda akan percaya kepada perkara terakhir yang anda terima (dengar/baca).
21.2 Pendekatan pemikiran mendulang-emas bersifat interaktif. Anda memilih apa yang mahu disimpan dan apa yang mahu dibuang. Pemikiran cara ini membabitkan penglibatan aktif anda dalam "memilih antara emas dengan batu".
21.2.1 Pendekatan ini menekankan interaksi yang aktif dengan ilmu semasa ilmu itu diperoleh.
Modul 22: Definisi Dan Struktur Pemikiran Kritis
22.1 Pemikiran kritis merujuk kepada kelakuan minda bertindak balas terhadap apa
yang didengar dan dibaca dengan menggunakan peniliaian
bersistem.
22.2 Kelakuan ini memerlukan suatu set kemahiran dan sikap tertentu. Kemahiran dan sikap ini dibina seputar suatu siri soalan kritis.
22.3 Struktur pemikiran kritis dibentuk oleh suatu sistem soalan kritis.
22.4 Pemikiran kritis merujuk kepada (a) kesedaran terhadap suatu set soalan kritis yang saling berkaitan, (b) keupayaan bertanya dan menjawab soalan-soalan itu pada masa yang sesuai, dan (c) keinginan untuk menggunakan soalan-soalan kritis itu.
Modul 23: Kemahiran Pemikiran Kritis
Kemahiran-kemahiran teras bagi pemikiran kritis adalah seperti yang berikut:
(a) Penjelasan dan pentafsiran idea (Clarification and interpretation of ideas)
(b) Menganalisis dan menilai hujah (Analysing and evaluating arguments)
(c) Menimbangkan kebolehpercayaan sumber (Judging credibility of source)
(d) Mengenal pasti bahasa memujuk (Identifying persuasive language)
(e) Mengesan falasi (kedustaan atau salah anggapan)
(Detecting fallacies)
(f) Mengesan alasan sebab akibat (Causal reasoning)
(g) Mengesan alasan kategorian (Categorical reasoning)
Modul 24: Soalan-soalan Kritis
24.1 Soalan kritis yang anda tanya memerlukan pihak yang satu lagi melakukan
sesuatu. Melalui soalan yang anda tanya, anda menyatakan kepadanya:
"Saya berasa ingin tahu" (curious);
"Saya ingin tahu lebih lagi" (want to know more);
"Bantukan saya"
Permintaan anda itu menunjukkan rasa hormat anda
terhadapnya. Anda sebenarnya mahu benar-benar memahami apa yang dikatakannya.
Soalan-soalan itu anda kemukakan kerana anda memerlukan pertolongannya untuk
memahami atau mengapresiasi alasannya dengan lebih mendalam.
24.2 Soalan-soalan kritis yang anda akan tanyakan (pada masa dan dengan cara
yang sesuai) adalah seperti yang berikut:
(a) Apakah isunya dan apakah rumusannya?
(b) Apakah alasan-alasannya?
(c) Perkataan atau frasa manakah yang mengandungi ambiguiti?
(d) Apakah percanggahan-percanggahan nilai dan andaian-andaian?
(e) Apakah andaian-andaian deskriptif?
(f) Adakah sebarang falasi dalam alasan yang dikemukakan?
(g) Berapa baikkah buktinya?
(h) Adakah sebarang sebab yang bertentangan?
(i) Adakah statistiknya meragukan (deseptif)?
(j) Apakah maklumat yang signifikan yang ditinggalkan?
(k) Apakah rumusan munasabah yang mungkin dibuat?
Modul 25: Falasi
25.1 Falasi (kesilapan pada hujah) ialah kesilapan pada cara berfikir. (Barangkali,
dalam bahasa Melayu, falasi bolehlah diistilahkan sebagai "kedustaan", namun
kita akan gunakan istilah "falasi" sahaja). Salah satu aspek penting pemikiran
kritis ialah mengenal pasti dan menangani falasi. Ada lebih 150 falasi yang
telah dikenal pasti orang.
25.2 Falasi dapat dibahagikan kepada dua kumpulan yang berikut (lihat Bashham
et al):
(a) Falasi Kerelevanan
(b) Falasi Ketakcukupan Bukti
25.3 Di sini disenaraikan beberapa falasi yang kerap ditemui dalam kehidupan
harian. (Falasi-falasi itu disenaraikan tanpa membahagikannya kepada dua
kumpulan yang tersebut dalam 25.2):
25.3.1 "Saya percaya..."
Falasi ini merujuk kepada perbuatan berpegang kepada benarnya pelbagai perkara
yang kita yakini. Perkara-perkara baru yang disampaikan kepada kita akan kita
nilai berdasarkan kepercayaan itu. Kita cepat-cepat
sangsi akan orang yang membawa laporan baru itu. Kita tidak memikirkan
kemungkinan bahawa perkara baru yang dilaporkan itu mungkin lebih betul atau
lebih tepat daripada apa yang kita yakini selama ini.
25.3.2 "Bagi saya..."
Falasi ini merujuk kepada beribu-ribu sikap yang
kita punyai. Sikap ialah suatu keadaan mental apabila kita sentiasa siap sedia
untuk bertindak balas berdasarkan nila-nilai peribadi kita sendiri. Kita
awal-awal lagi telah membuat keputusan bahawa apa yang akan disampaikan orang
kepada kita itu ialah sesuatu yang tidak betul.
25.3.3 "Siapa dia?"
Falasi ini merujuk kepada perbuatan kita yang menolak sesuatu kerana kita tidak
percaya kepada orang yang mengemukakannya. Falasi ini dinamai "ad hominem" (bahasa
Latin = menentang orangnya). Falasi ini kita lakukan apabila kita
menghentam peribadi orang itu dan bukan mengkritik
ideanya. Kita mahu kurangkan wibawa orang itu supaya wibawa ideanya menjadi
kurang. Contoh:
"Ah, apa yang dia tahu; dia bukannya orang seni yang sejati".
Falasi ini sering dinamai falasi ad hominem kesat (abusive ad hominem) untuk
membezakannya dengan ad hominem "engkau pun sama" (lihat 25.3.1).
25.3.4 "Engkau pun sama!"
Satu lagi falsasi jenis ad hominem (menentang orangnya) ialah falasi ad hominem
"engkau pun sama". Falasi ini berlaku seperti berikut: si A menuduh si B rasuah.
Si B tidak menjawab tuduhan itu, sebaliknya menuduh si A juga rasuah. Akhirnya
perbincangan berkisar kepada perbuatan rasuah si B dan tuduhan pertama yang si A
rasuah dipinggirkan. Kalau kita rajin mengikuti perbincangan wakil-wakil rakyat
kita, kita tentu akan dapat mentertawakan kualiti perbincangan mereka apabila
kita melihatnya dari sudut falasi ini. Dalam bidang sastera, contoh yang dapat
difikirkan ialah: si X menuduh si Y pemplagiat. Si Y menyerang balik dan mencuba
membuktikan yang si X juga pernah melakukan plagiat. Perbuatan plagiat si Y mahu
dilupakan melalui tuduhan baru itu. Dalam situasi sebegini, dua tuduhan itu
sepatutnya ditangani secara berasingan, bukannya tuduhan yang kedua digunakan
untuk menutup tuduhan yang pertama.
25.3.5 "Apa salah saya?"
Falasi jenis ini dinamai falasi kejahilan (Latin:
argumentum ad ignorantium). Dikenali juga sebagai "falasi bukti negatif" atau "falasi
memindahkan beban pembuktian". Falasi ini merujuk kepada perbuatan seseorang
yang mempertahankan ideanya dengan mengatakan tidak ada bukti sahih yang ideanya
salah. Falasi ini silap kerana mengandaikan bahawa "tidak
ada bukti" ialah "bukti": Tidak ada bukti (yang dapat menentang ideanya)
ialah bukti (bahawa ideanya betul). Falasi ini mengatakan sesuatu perkara itu
betul kerana tidak ada bukti yang perkara itu salah. Contoh:
"Oleh sebab tidak ada orang yang membuat kritikan negatif
terhadap puisi saya, maka semua orang berpuas hati dengan puisi saya".
25.3.6 "Selepas itu, maka..."
Falasi jenis ini ialah kesilapan berfikir yang paling kerap dilakukan. Falasi
ini sentiasa melibatkan dua kejadian. Falasi berlaku kerana kita percaya bahawa
peristiwa yang pertama (sebab) menyebabkan peristiwa yang kedua (akibat).
Dalam alam tabii, memang ada hubungan sebab-akibat yang harus diterima secara
automatik. Misalnya:
Peristiwa 1: Dia makan.
Peristiwa 2: Dia menjadi kenyang.
Hubungan: Selepas dia makan, maka dia menjadi kenyang.
Namun, di luar daripada hukum alam tabii, tidak semua dua kejadian dapat
dikaitkan sebagai sebab-akibat. Contoh 1:
Peristiwa 1: Dia berumah tangga.
Peristiwa 2: Dia berhenti menulis puisi.
Falasi: Oleh sebab dia berumah tangga, maka dia berhenti menulis puisi.
Hakikatnya, mungkin ada sebab lain yang dia berhenti menulis puisi, dan tidak
semua orang yang berumah tangga berhenti menulis puisi.
Contoh 2:
Peristiwa 1: Dia menjadi ahli komuniti "Penyair".
Peristiwa 2: Puisinya tersiar di akhbar perdana.
Falasi: Oleh sebab dia menjadi ahli komuniti "Penyair", maka puisinya tersiar di
akhbar perdana.
25.3.7 "Ohhhhhh..."
Satu lagi falasi yang kerap dilakukan ialah falasi yang dinamai falasi domino (dinamai
juga falasi lereng licin). Kalau kita jatuh sedikit di
lereng licin, kita akan terus jatuh tanpa dapat
ditahan lagi. Contoh 1:
Bercakap bohong lama-lama mencuri. (Pepatah Melayu).
Contoh 2:
Kita tidak boleh menyiarkan komen yang negatif terhadap puisi
kita. Kalau kita benarkan, nanti semua orang akan memberikan komen negatif.
25.3.8 "Pop!"
"Falasi apa yang popular" (Latin: ad populum) merujuk kepada perbuatan
menggunakan apa yang popular waktu itu sebagai asas hujah. Contoh (era ICT):
Sekarang zaman ITC. Jika kita mahu maju dalam berpuisi
perlulah kita berpuisi di alam siber.
25.3.9 "Herring Salai"
"Herring" ialah sejenis ikan laut dari Atlantik utara. "Red herring" (herring
merah) ialah ikan heriing yang telah disalai. Ikan herring salai ini kerap
digunakan untuk mempengaruhi anjing pemburu mengikutinya, misalnya semasa
melatih anjing itu. Dari tradisi itu, orang Inggeris menerbitkan simpulan bahasa
"red herring" yang membawa maksud "klu yang mengelirukan atau memesongkan
perhatian". Falasi "red herring" ialah argumen yang dikemukakan untuk
memesongkan perhatian orang daripada isu sebenar yang sedang dibincangkan kepada
isu lain. Contoh:
"Kenapa engkau pulang lewat, Minah?"
"Ibu memang sentiasa suka mencari salah saya."
"Tidak, itu tidak benar."
"Ya, sudah berapa kai ibu sengaja menyalahkan saya. Misalnya, semalam..."
Perbincangan "kenapa Minah pulang lewat" dipesongkan kepada "benarkah ibu sentiasa suka mencari kesalahan Minah". Falasi ini sangat kerap kita temui dalam kehidupan kita seharian.
25.3.10 Generalisasi Tergesa-gesa (Hasty Generalisation)
Falasi ini dilakukan apabila seseorang membuat rumusan umum berasaskan beberapa
kes yang kecil bilangannya. Misalnya, berasaskan peristiwa beberapa pelajar
Melayu yang menghabiskan wang pinjaman PTPTN untuk membeli teltefon bimbit,
lantas dibuat rumusan bahawa pelajar Melayu gemar menghabiskan wang pinjaman
PTPTN mereka untuk membeli teltefon bimbit.
25.4 Mengesan Falasi (Contoh Praktikal):
Di bawah ini diturunkan perbincangan yang benar-benar berlaku di papan nota komuniti "Penyair" ini. Isu bermula dengan ulasan ahli bernama Auww (user name; nama sebenar tidak didedahkan oleh empunya diri). Auww membuat "tuduhan" bahawa Nahkoda (seorang ahli lain) menggunakan nama lain "Gravesdigger" dan Rajarajes (seorang ahli lain) menggunakan nama lain "Zaharie" untuk mempromosi diri masing-masing di komuniti ini. Sebelum tuduhan itu dibuat oleh Auww, telah berlaku hal-hal yang berikut:
(1) Zaharie menyiarkan di laman komuniti ini sebuah artikel yang ditulis oleh Rajarajes dan diterbitkan di media cetak tertentu; dan
(2) Gravesdigger membuat komen positif terhadap output Nakhoda di komuniti ini.
Sayangnya, teks tuduhan sebenar yang dibuat oleh Auww tidak dapat disiarkan di sini kerana apabila artikel ini hendak ditulis, didapati dia telah memadamnya. Namun perbincangan selepas itu adalah seperti yang berikut:
Rajarajes:
Maaf sdr Auww. Sdr tersilap. Saya Raja Rajeswari. Saya tidak tahu siapa itu sdr
Zaharie. Sdr Zaharie, sila selesaikan kemusykilan sdr Auww. Beliau sangka kita
berdua adalah orang yang sama.
Nahkoda (1):
Sdr Auww, ribuan kemaafan, kerana anda kesilapan membuat telahan nan kesasaran;
saya adalah saya dan gravesdigger adalah dia, dua nama dan dua manusia yang
berbeza; selidikilah! Kita berkarya untuk membuat kebajikan juga. Harap
mengertikan hendaknya!
Nahkoda (2):
Sdr Drirwan, diharap dapat campur tangan untuk memberikan penjelasan kepada sdr
Auww kerana membuat pertuduhan bahawa saya & Rajarajes (menukar "nick") untuk
mempromosi diri sendiri. Moga kekusutan sdr Auww dapat dileraikan untuk kini dan
selamanya. Terima kasih sdr Drirwan kerana memberikan kepercayaan kepada kami
selama ini!
Drirwan:
Tentang tuduhan sdr Auww terhadap Nahkoda dan Rajarajes: dari perbincangan lalu,
dapat dirumuskan dengan mudah bahawa Nahkoda ialah eksekutif bank dari Batu
Pahat sementara Gravesdigger ialah kakitangan UM (besar kemungkinan sahabat dari
APM). Tentang sdr Rajarajes dan sdr Zaharie, telahpun dijawab oleh Rajarajes.
Kita tunggulah "response" dari Zaharie. Saya rasa masalah seumpama ini tidak
akan timbul sekiranya ahli memberikan biodata dan/atau gambar mereka. Sayangnya,
masih ada yang lebih suka bertikam dari sebalik tirai. Nampaknya budaya “surat
layang” dan “lempar batu sembunyi tangan” masih kukuh di kalangan orang Melayu
(UM). Oh, tidaklah saya tahu bilakah orang melayu ini akan berubah...
Auww (1):
Musykil bermaksud kesukaran untuk memilih. Saya tak buat pertuduhan tapi andaian.
kalau marah minta maaf ! Saya bukan k/tangan UM. Nampaknya ahli senat UM juga
suka berprasangka... bayangkanlah... Senate members only kalau tak salah cuma 20
orang dan terdiri dari para profesor. Bayangkanlah staf UM yang berjumlah begitu
ramai... bagaimana pula sikap prasangka & tuduh menuduh mereka !!!!
Auww (2):
Minta maaf sdr Nakhoda & Rajares. Mohon maaf sepuluh jari. Saya keluar dari
komuniti ini kerana 'bahasa' ahli senat UM @ Ketua Jabatan Biokejuruteraan + 3x
Dekan Kejuruteraan sangat manis! Akhir kata - dulu, kini dan akan datang, UM
bukanlah pilihan hati!!!
(a) argumen Drirwan (falasi generalisasi tergesa-gesa)
(b) argumen Auww (1) (falasi herring salai)
(c) argumen Auww (2) (falasi ad hominem)
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
Modul 26: Pemikiran Kritis Tidak Matang (Weak-Sense) Dan
Matang (Strong-Sense)
26.1 Anda tentu telah memiliki pandangan sendiri tetang beberapa banyak isu
peribadi dan isu sosial. Pandangan ini mempengaruhi anda apabila anda menerima (mendengar
atau membaca) sesuatu yang baru mengenai isu yang berkaitan. Pemikiran kritis
dapat digunakan secara antagonistik sama ada untuk:
(a) mempertahankan pandangan-pandangan anda yang terdahulu, atau
(b) menilai-dan-menyemak pandangan-pandangan anda yang terdahulu.
26.2 Jika anda menggunakan pemikiran kritis untuk mempertahankan pemikiran
sedia ada anda, anda terlibat dengan pemikiran kritis tidak matang. Dalam kes
ini, pemikiran kritis tidak digunakan untuk menuju ke arah kebenaran (truth)
atau kemurnian (virtue). Sebaliknya, tujuannya ialah untuk menentang atau
menghancurkan alasan dan pendapat yang berlainan dengan alasan dan pendapat anda.
Hasratnya ialah untuk mengatasi (mendominasi) dan mendapat kemenangan ke atas
mereka yang tidak bersetuju dengan anda. Penggunaan pemikiran kritis secara yang
sedemikian akan membinasakan potensi pemikiran kritis itu untuk membawa kebaikan
dan kemajuan.
26.3 Pemikiran kritis matang melibatkan penggunaan pemikiran untuk menilai semua
dakwaan dan alasan, termasuk dakwaan dan alasan anda sendiri. Dengan cara inilah
kita menghindar diri daripada jatuh ke lembah menipu diri sendiri dan menjadi
pak turut. Mengaplikasikan pemikiran kritis matang tidak bermakna anda mesti
menolak pandangan mula anda, sebaliknya ia akan memperkukuhkan pandangan itu
sekiranya pandangan itu sememangnya didapati sesuai setelah melalui
ujian-ujiannya pemikiran kritis.
26.4 Pandangan yang kukuh ialah pandangan yang dipilih daripada beberapa
pandangan alternatif yang telah difahami dan dinilai.
Modul 27: Pemikiran Kritis Dan Kegiatan Berpuisi
27.1 Bilakah teknik-teknik pemikiran kritis dapat digunakan dalam kegiatan
berpuisi? Antara kegunaan pemikiran kritis dalam kegiatan berpuisi adalah
seperti yang berikut:
(a) mencari fokus utama atau rumusan sesebuah puisi yang dibaca.
(b) menilai kebolehpercayaan idea utama yang diutarakan dalam sesebuah puisi.
(c) memastikan idea yang anda utarakan dalam puisi anda disokong dengan kuat
oleh alasan-alasan yang dikemukakan.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
D3: Pemikiran Lateral
Modul 31: Minda Sebagai Sistem Mengurus Diri
Hipotesis utama yang dibuat oleh de Bono: “Minda kita ialah sistem yang mengurus diri”.
Hipotesis ini tidak berkaitan secara terus dengan pemikiran lateral tetapi dapat memberi kefahaman kepada kita kenapa teknik-teknik pemikiran wajar dipelajari dan diamalkan untuk mendapatkan hasil tertentu yang diingini.
Menurut hipotesis ini, minda tidak mengatur maklumat yang diterimanya. Hal ini berbeza dengan seorang sekretari yang mengendalikan sistem pemfailan, seorang pustakawan yang mengkatalog buku, atau sebuah komputer yang secara aktif menyusun maklumat. Di dalam minda kita, maklumat itu sendiri yang menyusun dirinya kepada corak atau pola tertentu. Minda kita hanya menjadi wadah untuk maklumat bertindak sedemikian. Minda menyediakan sekitaran khas untuk maklumat berkelakuan mengurus diri.
Bayangkan minda kita sebagai tanah lapang yang datar atau rata. Apabila air hujan jatuh ke atasnya untuk kali yang pertama, air itu akan mengalir ke sebarang arah untuk menuju ke sungai-sungai. Namun selepas hujan yang pertama, terjadilah lekuk-lekuk dan lurah-lurah. Apabila hujan sekali lagi menimpa permukaan tadi, air tidak lagi bebas mengalir seperti keadaan pertama. Air itu akan mengikuti lekuk dan lurah yang telah terjadi. Begitulah seterusnya. Hujan yang berikutnya akan mengukuhkan lagi lekuk-lekuk dan lurah-lurah sehingga sampai kepada keadaan apabila aliran air hujan yang baru turun akan dikawal sepenuhnya oleh keadaan permukaan yang sedia wujud.
Begitulah kelakuan minda kita. Minda mentafsir maklumat baru berdasarkan kefahaman, pengalaman, dan pendirian kita yang terdahulu. Usaha yang sengaja perlu dilakukan untuk mengelurkan minda kita daripada corak pemikiran yang stereotaip ini. Pemikiran baru tidak mungkin diperoleh tanpa usaha yang sengaja itu.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
Modul 32: Definisi Pemikiran Lateral
32.1 Pemikiran lateral ialah kaedah berfikir (kreatif) yang melibatkan
penggunaan teknik-teknik spesifik dengan secara sengaja demi menerbitkan
persepsi-persepsi baru dan idea-idea baru.
32.2 Pemikiran lateral memfokus kepada kebolehan menukar persepsi (atau kebolehan untuk melihat sesuatu dengan cara-cara yang berlainan).
32.3 Konsep Mengali Lubang Di Tempat Lain:
Pemikiran lateral memennnntingkan penjanaan persepsi-perepsi baru. Penegasan
akan hal ini digambarkan melalui pandangan bahawa perbuatan menggali lubang yang
sedia ada untuk menjadi semakin dalam akan menghalang kita daripada menggali
lubang-lubang baru di tempat-tempat lain.
32.4 Mekanisme Kerja Minda:
Minda dikatakan sistem mengurus diri (self-organising system). Ia menangani
maklumat yang diterimanya berasaskan pola yang telah dibentuk terdahulu. Anologi:
tanah rata yang ditimpa hujan. Mulanya air hujan mengalir bebas ke mana-mana.
Kemudian terbentuk saliran dan lekuk-lekuk pada permukaan tadi. Air hujan yang
menimpa permukaan itu kemudian nanti akan mengalir mengikut profil bumi yang
telah terganggu itu. Begitulah minda mengurus maklumat berasaskan pola yang
telah dimilikinya hasil kesan datau pengaruh maklumat terdahulu. Hal ini
menjadikan pemikiran lateral penting kerana mampu mengubah pola.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
Modul 33: Pemikiran Lateral Dan Kegiatan Berpuisi
33.1 Sama seperti jenis-jenis pemikiran kreatif yang lain, pemikiran lateral tidak kena-mengena secara langsung dengan karya kreatif (termasuk tulisan kreatif seperti puisi). Pengasas pemikiran lateral, Dr. Edward de Bono, menegaskan bahawa dia tidak berani mendakwa bahawa pemikiran lateral dapat membantu dalam kegiatan penulisan kreatif. Malah Dr. de Bono sendiri tidak pernah mengembangkan teknik-teknik pemikiran lateral ke arah aplikasi yang sedemikian.
33.2 Memang ada orang yang mendakwa bahawa pemikiran lateral telah membantu mereka dalam kegiatan itu.
33.3 Bilakah teknik-teknik pemikiran lateral dapat digunakan dalam kegiatan
berpuisi? Antara kegunaan pemikiran lateral dalam kegiatan berpuisi adalah
seperti yang berikut:
(a) mencari idea (tema) utk menulis puisi apabila berlaku "mental block" dan
sebagainya.
(b) mencari cara untuk meneruskan penulisan puisi yang tidak dapat diteruskan
walaupun tema atau objek utamanya telah dikenal pasti.
(c) mencari cara yang paling baik atau berkesan untuk membentangkan sesuatu
idea.
33.4 Di sini kita akan melihat bagaimana teknik-teknik pemikiran lateral dapat dimanfaatkan dalam kegiatan berpuisi.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
Modul 34: Alat-Alat Berfikir Pemikiran Lateral
34.1 Kaedah pemikiran lateral menggunakan "alat" berfikir (thinking tools) yang telah direka cipta khas untuk mengorientasikan minda ke arah-arah tertentu secara bergilir-gilir semasa berfikir. Kita akan mempelajari beberapa "alat" yang penting dan menarik serta melihat kepada aplikasinya, termasuk aplikasinya dalam kegiatan berpuisi.
34.2 Edward de Bono telah mereka bentuk beberapa banyak alat berfikir untuk, secara sengaja, mengorientasikan minda ke arah tertentu semasa berfikir. Antara alat-alat itu, yang berikut ialah yang paling popular:
(a) PMI
(b) APC
(c) CAF
(c) C&S
(e) AGO
34.3 Khusus untuk menjana idea, pemikiran lateral menyediakan alat-alat yang berikut:
(a) Kaedah batu loncatan
(b) Kaedah melepaskan diri (escape method)
(c) Kaedah rangsangan rambang (atau input rambang)
34.4 Dalam kursus ini, anda akan diajar bagaimana menggunakan teknik-teknik pemikiran lateral yang tertentu dalam kegiatan berpuisi. Oleh sebab sukar mendapatkan bahan rujukan untuknya, penulis akan menggunakan pengalaman sendiri sebagai asas pelajaran. Namun seandainya anda ada sebarang rujukan yang dapat dimanfaatkan, sila kemukakan kepada penulis untuk digunakan bagi merapikan bahan kursus ini demi kebaikan bersama.
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
Modul 35: Provokasi
35.1 Beberapa banyak idea baru yang penting diperoleh secara kebetulan, secara tidak sengaja, kerana kesilapan, atau kerana perbuatan "gila-gila". Idea baru diperoleh kerana hal-hal ini menyebabkan berlakunya ketakberterusan kepada kebiasaan kita dan menyebabkan kita meninjau di luar kawasan "kemunasabahan" yang biasa.
35.2 Provokasi yang disengajakan mampu menghasilkan kesan yang serupa:
Kita tidak perlu menunggu ketaksengajaan, kesilapan, kebetulan, dan "kegila-gilaan"
berlaku demi mendapatkan idea baru melaluinya. Kita boleh dengan sengaja
menjananya, malah boleh "memasang dan menutup" (mensuiskannya "on" dan "off")
sesuka hati kita dengan menggunakan alat berfikir yang tertentu.
35.3 Provokasi ialah suatu aspek penting pemikiran lateral.
35.4 Kata po:
Kata “po” dicipta (oleh Edward de Bono) untuk digunakan sebagai alat provokasi
dalam berfikir. Kata ini tidak ada makna. Ia seolah-olah setaraf dengan kata
“yes” (ya) dan “no” (tidak). Namun ia berada di luar batas penilian, iaitu ia
tidak mengatakan "ya" atau "tidak". Ia berbentuk "non-commital". Ia hanya
melontarkan satu penyataan. Misalnya:
Ya, saya menulis puisi.
Tidak, saya tidak menulis puisi.
Po, saya menulis puisi.
Ayat pertama ialah pernyataan yang menegaskan bahawa protagonis menulis puisi.
Ayat kedua menegaskan protagonis bukan menulis puisi. Ayat ketiga tidak
menyatakan sama ada protagonis menulis puisi atau tidak. Ayat itu cuma membuat
suatu penyataan yang neutral sebagai provokasi untuk pembaca berfikir.
Kata ‘po’ akan digunakan dalam melaksanakan beberapa kaedah pemikiran lateral.
Modul 36: Kaedah Input Rambang -- Mencari Idea dan
Mengatasi "Mental Block"
36.1 Kaedah input rambang ialah teknik pemikiran yang amat mudah dilaksanakan tetapi amat berkesan. Ia merupakan “fokus kreatif” apabila anda memerlukan idea baru. Katalah anda menghadapi suatu situasi yang perlu ditangani. Ambil sepatah perkataan dari kamus secara rambang, misalnya dengan menutup mata anda, membuka kamus, dan menempatkan jari telunjuk anda pada halaman kamus yang terbuka itu. Ambil entri kamus yang paling dekat dengan hujung jari anda. Gunakan perkataan itu sebagai rangsangan untuk menangani situasi tersebut. Anda bolehlah menggunakan kata ‘po’ untuk menghubungkan keadaan yang hendak ditangani itu dengan kata yang anda ambil dari kamus. Kata ‘po’ digunakan kerana situasi yang sedang anda tangani sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan kata yang anda ambil dari kamus tadi.
Katalah anda hendak menulis puisi tentang guru dan anda mengalami ‘mental block’ lantas tidak dapat meneruskan penulisan. Anda ambil kamus dan pilih satu perkataan dari kamus itu. (Saya sekarang melakukan perkara itu dengan menggunakan Kamus Dewan. Saya peroleh kata “neraka”.)
Guru po neraka.
Saya dapat hasilkan ungkapan-ungkapan puisi yang berikut:
Guru yang memesongi langkahku dari lorong neraka
membakar dirinya bagai lilin pada waktu tidurku
dan tersenyum pada waktu jagaku
Itu draf pertama saya yang saya yakin dapat dibaiki dan dikembangkan untuk menjadi sebuah puisi yang baik, jika saya mahu.
(Anda harus perhatikan bahawa saya benar-benar melakukan proses tersebut secara ‘live’ semasa saya sedang menulis nota ini dan tidak mengambil sepatah kata yang telah saya kaitkan dengan “guru” dalam minda saya sebelum ini. Jika saya lakukan “penipuan” dengan menggunakan kata yang telah sedia saya kaitkan dengan “guru” dalam minda saya, maka saya tidak akan mampu menghasilkan sesuatu yang benar-benar baru dan kreatif).
36.2 Untuk kaedah input rambang ini, anda bukan sahaja dapat menggunakan kata dari kamus. Anda boleh juga menggunakan objek fizikal, misalnya benda pertama yang anda ternampak apabila anda buka mata anda yang dipejamkan setelah anda menoleh ke arah kanan.
36.3 Anda juga tidak perlu bermula dari sesuatu "situasi" untuk mengaplikasikan teknik ini. Kadangkala anda tidak ada idea langsung. Anda tidak tahu dari mana hendak bermula. Dalam kes ini, anda gunakan 'po' sebagai titik mula. Anda boleh terus sahaja ke provokasi 'po' untuk mendapatkan idea baru. Misalnya:
Po tong sampah
Po kaki kiri yang terpelecok
Po kepala pening
Tiga provokasi di atas yang benar-benar saya lihat/alami telah saya gunakan untuk menghasilkan idea bagi sajak-sajak "Seorang Tong Sampah", "Kaki Kiri", dan "Keindahan Puisi". Ketiga-tiganya sajak itu telah disiarkan di akhbar-akhbar perdana.
36.4 Sila pastikan yang anda mematuhi syarat-syarat yang berikut apabila anda
menggunakan teknik ini:
(a) Jangan kaitkan input rambang itu dengan idea yang anda sedia ada. Perbuatan
ini tidak berfaedah dan akan diketahui orang. Tujuan teknik ini adalah untuk
mendapatkan idea baru, bukannya sebagai alasan untuk mengemukakan idea yang
telah sedia difikirkan.
(b) Gunakan kata asal seperti diperoleh. Jangan mencuba mengatur huruf-hurufnya
atau mengambil sebahagian daripadanya untuk membentuk kata lain. Kesan
provokasinya akan hilang.
(c) Jangan mengambil terlalu banyak langkah dalam menghubungkan "situasi" yang
ditangani dengan input rambang itu: "hal ini membayangkan... yang membuat kita
terfikir bahawa... dan itu mengingatkan saya kepada... dan seterusnya." Terlalu
banyak langkah akan membawa anda kepada idea yang anda sedia miliki dan
kehilangan provokasi yang dikehendaki.
(d) Jangan senaraikan ciri-ciri perkataan rambang itu. Jika anda melakukankanya,
anda akan dibawa kepada sesuatu yang mudah dan hilanglah kesan provokasi yang
dikehendaki. Gunakan ciri pertama yang terfikir.
(e) Jangan tukar kepada perkataan lain! Menukar-nukar input rambang akan
membuatkan anda "menanti" ketibaan perkataan yang serasi dengan idea sedia ada
dan hilanglah nilai provokasi input. (Kata input ditukar hanya apabila ia
terlalu rapat hubungannya dengan situasi yang sedang ditangani sehingga tidak
ada lagi nilai provokasi.)
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
Modul 37: Kaedah Balikan (Reversal) -- Mencari Idea Atau
Membentangkan Idea
37.1 Kaedah ini ialah bentuk termudah bagi teknik "batu
loncatan". Ambil cara sesuatu perkara itu lazimnya dilakukan dan terbalikkan
untuk menghasilkan idea baru.
37.2 Kaedah batu loncatan menggunakan provokasi untuk menghasilkan "situasi
perantara", dan dari kedudukan perantaraan (idea baru yang tidak dapat
diaplikasikan) dilakukan pula "gerakan" untuk sampai ke idea yang dikehendaki.
Walaupun idea perantara tidak dapat diaplikasikan tetapi sangat berharga kerana
"nilai gerakan" yang dimilikinya. Sebenarnya, ada tiga kaedah yang berlainan
yang menggunakan teknik "batu loncatan". Dua kaedah lagi ialah kaedah
membesar-besarkan (exaggeration) dan kaedah pengherotan (distortion).
37.3 Berbalik kepada kaedah pemikiran balikan. Katalah anda dan keluarga melawat zoo. Tiba-tiba harimau garang terlepas dari kandangnya. Anda boleh menyelamatkan diri dan keluarga anda dengan berhadapan dengan harimau itu dan mengepungnya masuk semula ke kandang. Lebih mudah lagi, anda boleh gunakan idea balikan. Anda dan keluarga masuk ke kandang harimau dan mengunci diri di dalam kandang itu sehingga bantuan datang.
37.4 Pertimbangkan satu lagi keadaan. Katalah anda dihadapi masalah pencemaran sungai yang dilakukan oleh kilang-kilang di sepanjang sungai itu. Semakin jauh ke hilir, semakin parah pencemaran (kerana semakin banyak bahan buangan yang memasuki sungai itu). Anda boleh fikirkan penyelesaian melalui provokasi, misalnya:
po sesebuah kilang patut dibina di hilir kilang itu sendiri
Pernyataan ini kelihatan tidak logik. Memang pun tidak logik. Ia tidak dapat
diaplikasikan. Kita gunakan “nilai gerakan” pernyataan itu untuk memikirkan
sesuatu penyelesaian. Misalnya, idea yang terbit dari provokasi ini ialah
“sesebuah kilang diperintahkan mengambil air bersih dari sebelah hilir
kedudukannya dan membuang air kotor di sebelah hulu kedudukan itu. Dengan cara
ini, kilang itu sendiri merupakan pihak pertama yang merasi akibat air
buangannya”.
Contoh: pertimbangkan dua provokasi balikan yang berikut:-
po Pak Pandir pandai
po Mat Jenin kahwin dengan puteri raja
Dua provokasi ini telah saya gunakan (pada dua masa yang berlainan) untuk menghasilkan sajak “Pak Pandai” dan “Mat Jeni”. Kedua-dua sajak itu telah tersiar dalam majalah Dewan Budaya.
37.5 Kaedah balikan dapat juga dimanfaatkan untuk menimbulkan kesan tertentu
dalam sajak anda.
Contoh
Dari puisi "Namamu Mengharum Hormat" oleh Irwan Abu Bakar anda dapat temui
ungkapan yang berikut:
sebuah pingat menjadi agung
kerana padanya namamu sudi kautumpangkan
Dalam ungkapan di atas, keadaan lazim apabila pingat yang dianugerahkan akan menjadikan seseorang individu itu "agung" (dihormati) telah diterbalikkan. Hasilnya adalah suatu penghormatan yang amat tinggi kepada individu berkenaan apabila dikatakan individu itu (penerima pingat) yang menyebabkan pingat menjadi agung (dihormati).
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
D4: Gaya Berfikir
Modul 41:
Di bawah topik Gaya Berfikir ini, kita akan bincangkan teknik-teknik berfikir
yang berikut:
(a) pemikiran positif/negatif
(b) pemikiran emotif
(akan disambung, insya-Allah...)
Kembali Ke Senarai Kandungan
Kembali Ke Indeks
Kembali Ke Permulaan Bahan Kursus (Modul Pembelajaran)
Ke Lampiran
Lampiran
Lampiran 1.