|
Sastera Siber Sebagai Wadah
Alternatif
Terdapat beberapa laman utama yang menyediakan ruang untuk peminat dan juga kelompok penulis, teruatamanya generasi baru untuk berkarya. Antaranya ialah laman Pustakamaya.net, Melayu.com, Karyanet.com.my, arahkiri.cjb.net, idealis-mahasiswa.net, www.esastera.com, dan beberapa lagi. Namun, antara yang ramai itu, yang agak menonjol ialah laman www.esastera.com. Istimewanya laman ini apabila ia merupakan satu-satunya laman siber yang memuatkan sepenuhnya hasil-hasil karya sastera dalam pelbagai genre oleh kebanyakan pengunjungnya. Malah ia juga dikenali sebagai majalah sastera elektronik. Komitmen pengendalinya inilah yang menjadikannya antara laman yang menarik untuk dikunjungi dan seterusnya berkarya di situ. www.esastera.com (selepas ini disebut e-sastera) mula dilancarkan pada 23 Disember 2002 bertempat di Kolej Kediaman Kedua, Universiti Malaya bersempena dengan majlis yang dinamakan sebagai ‘Gathering Raya Penyair Alam Siber’. Sempena majlis itu, sekalian penghuni dan pengkarya dilaman berkenaan berhimpun untuk pertama kalinya di alam nyata setelah sekian lama berhimpun di alam maya. Setahun sebelumnya laman ini lebih dikenali sebagai www.comunityzero.com/penyair. Menurut pengasasnya, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, sewaktu pelancaran e-sastera fasa 2, begitu menyuguhkan tentang komitmen penganjur untuk menjadikan laman itu sebagai satu ‘platform’ dalam usaha untuk menghasilkan karya-karya sastera yang bermutu dekad ini. Sehingga kini, terdapat beberapa ruangan khusus yang menghidangkan karya-karya penghuninya. Antaranya, ‘Penyair’ yang memuatkan karya-karya ahli berbentuk sajak, ‘Sajen’ untuk sajak jenaka, ‘Haiku’, iaitu antara bentuk puisi Jepun yang terkenal yang ditulis dalam Bahasa Melayu, ‘Resensi’ yang memuatkan ulasan atau kritikan terhadap karya-karya yang sedia ada dipasaran terbuka, ‘Cerpenis’ yang menghimpunkan cerpen-cerpen, ‘Berita dan Bicara Sastera’ yang menghimpunkan maklumat dan juga laporan tentang kegiatan-kegiatan sastera yang berlangsung di dalam negara, ‘Novel’ yang memuatkan novel bersiri yang ditulis oleh ahli-ahli tetap secara bergilir untuk meneruskan sinambungan cerita, ‘Poets’ yang memuatkan puisi-puisi dalam bahasa inggeris, ‘Profil’ yang memuatkan biodata-biodata ahli laman berkenaan, ‘Madah dan Pantun’ dan beberapa pilihan genre lagi. Kepelbagaian pilihan yang ada ini memungkinkan pengunjung dapat berkarya secara bebas dan terbuka menjadikannya antara yang menarik untuk dikunjungi. Laman ini merupakan tempat berhimpun ramai penulis, termasuk yang muda dan mapan. Di sinilah anda akan ditemukan dengan pelbagai nama seperti Drirwan, Arisel BA, Sri Diah, Abdul Latip, Zainal Lasim, Razali Endun, Hashimah Harun, Gravedigger, Ida Munira, Al-Maghfirah, Alaieffa, Jimadie, Wan Azman, Erwin Khairul, Anbakri, Ana Suraya, MdZainuddin, Damahum, Rudy Bluehikari, dan Nimoiz TY. Atau yang termuda kini seperti Fard Razy, Mankie, Adie7, dan ramai lagi. Malah, di sini juga kita akan bertemu dengan kelompok penulis dari pelbagai pelusuk dunia. Ada yang datang dari Indonesia, Mesir, Jepun, Amerika Syarikat dan pelbagai lagi. Mereka inilah antara pengunjung setia serta penyumbang tetap di laman berkenaan. Istimewanya di sini, setiap karya mempunyai peluang untuk ‘dibedah’ secara langsung. Ini kerana, diruangan-ruangan yang disebutkan di atas, turut memuatkan ulasan-usalan serta kritiakn yang dibuat oleh penghuni lain. Ini menjadikan penulis karya itu dapat mengetahui maklum balas pembaca dengan cepat dari pelbagai sudut terutamanya untuk menilai kelemahan dan keduatan sesebuah karya mereka. Malah sebelum itu juga turut diperkenalkan sistem ‘mentor’ antara penulis mapan dan baru. Karya-karya penulis baru, terutamanya sajak di e-mail terlebih dahulu kepada ‘mentor’ yang dilantik untuk dinilai atau diberi ulasan sebelum dimuatkan ke dalam laman berkenaan. Ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan secara tidak langsung dapat bertukar-tukar pendapat antara keduanya. Karya-karya juga dapat disiarkan secara bebas dan terbuka. Bermutu atau tidak, itu soal kedua. Tetapi bila sudah berkarya di situ, karya-karya anda akan dinilai dengan segera, dan tidak dapat tidak, anda akan memilih karya-karya yang terbaik sahaja untuk tujuan siaran di situ. Sungguhpun begitu, pengendali sendiri tetap menetapkan syarat, seperti karya-karya yang menyentuh moral, peribadi, atau apa-apa saja yang boleh menimbulkan keaiban orang lain, awal-awal lagi karya seperti ini ditolak. Seperti juga dimana-mana laman atau tempat di dunia ini. Sehingga kini, laman berkenaan telah berjaya menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) pada tahun lepas. Melalui anugerah berkenaan, sajak-sajak ahli yang tersiar dilaman berkenaan sepanjang tahun 2002 telah dinilai untuk menerima anugerah berkenaan melalui satu majlis yang telah diadakan yang dinamakan Hadiah eSastera.com (HeS.Com) 2003 yang menawarkan hadiah utama bernilai RM2003, sijil dan cenderamata. Sajak Jenaka (Sajen) juga turut dinilai untuk menerima Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) yang menawarkan hadiah sebanyak RM1000. Melalui anugerah itu juga, beberapa naskhah buku turut telah diterbit iaitu APAS (sebuah antologi puisi pilihan komuniti ‘penyair’ alam siber). Sajak-sajak yang termuat di dalam antologi berkenaan merupakan sajak pilihan yang turut dinilai untuk Hadiah Esastera.com (HeS.Com) 2003. Dua buah lagi ialah SAJEN yang merupakan antologi sajak jenaka pilihan komuniti ‘penyair’ alam siber untuk Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) 2003 dan Kursus Kepenyairan E-Sastera. Ketiga-tiga naskhah berkenaan diselenggarakan oleh Irwan Abu Bakar dan Hashimah Harun dan diterbitkan oleh kAPAS Publication. Manakala untuk tahun hadapan pula terdapat beberapa penambahan hadiah lain turut ditawarkan dalam HeS.Com 2004 seperti Anugerah Cerpenis Alam Siber (ASCAS), Anugerah Haiku Alam Siber (HAIJIN) dan beberapa lagi. Selain daripada itu, beberapa sayembara lain turut diadakan sepanjang tahun. Ia juga turut dikenali sebagai ‘Sayembara Di Talian’ yang diadakan bersempena dengan sesuatu peristiwa seperti Sayembara Puisi Perang, Sayembara Puisi Hari Bapa, Sayembara Puisi Hari Keluarga, Sayembara Puisi Hari Guru, dan Sayembara Puisi Maulidur Rasul yang menawarkan tiga hadiah utama bernilai RM100. Beberapa hadiah tidak berkala juga turut ada seperti penyumbang sajak terbanyak untuk tahun berkenaan, sajak keseribu, deklamator terbaik (dinilai dalam dua pertemuan sebelum ini), pengulas prolifik dan beberapa lagi. Dan terbaru sempena pelancaran e-sastera fasa 2, penganjur telah mula menawarkan hadiah Anugerah Sasterawan Alam Siber (ASWAS) yang merupakan projek terbesar laman berkenaan. ASWAS yang pertama akan mula dikeluarkan pada tahun 2006 dengan menjadikan karya-karya yang tersiar dilaman berkenaan sepanjang tahun 2002 hingga 2005 sebagai penilaian. Dan khabarnya, hadiah yang ditawarkan mencecah ke angka RM100,000! Ini jelas menunjukkan bahawa sastera siber sudah mampu untuk pergi jauh
ke depan meninggalkan tanggapan yang sedia ada. Tidak dapat tidak, dunia
sastera siber mula mendapat tempat dan mampu duduk sebaris dengan dunia
sastera arus perdana. Penulis-penulis baru sudah boleh berkarya dengan bebas
tanpa menunggu peluang dari arus perdana tiba.
|