APA KATA PAKAR TENTANG NOVEL INI...
 

  • Antara novel terbaik di alam Melayu yang pernah saya baca...
  • Karya kreatif yang membawa perubahan baru dalam kesusasteraan Melayu baru...

      Sasterawan Negara S.Othman Kelantan


 

  • Eksperimen itu (penulisan novel Hostel: Debaran Kedua), pertama seumpama itu di Malaysia dan mungkin di dunia...
  • Saya yang sudah menghabiskan masa hampir empat tahun di Universiti Malaya, berkenalan lebih baik dengan kehidupan di kampus melalui novel ini...

     Prof. Madya Dr. Victor A. Pogadaev (Sarjana Rusia):


APA KATA PEMBACA TENTANG NOVEL INI...
 


 

  • Best! Penceritaan lancar dan terkawal.  Banyak "cameo appearances" dari segi nama.  Pengajaran diselitkan dengan kreatif.
  • Bagus untuk memikat remaja kepada karya sastera.

      Amir Mukhriz (Pelajar IPT dan Penulis Muda)


 
  • Ceritanya sedap.
  • Saya habis baca dalam empat jam...

      Zeno Dalius (Pelajar IPT dari Ranau, Sabah)

 


 
  • Macam-macam ada. Menghiburkan dan pertama seumpamanya dalam kelas yang tersendiri.
  • Kekuatan HDK terletak pada kekuatan tema kemahasiswaan dalam realiti kehidupan kampus.
  • Kajian kes yang dibuat untuk merungkai sesuatu persoalan menjadikan anda seolah-olah sedang memegang buku penyiasatan sehebat karya Shakepears.

      Naimisa Yusof (Pembantu Penyelidik, USM)


RESENSI BUKU INI: Klik Di Sini dan Di Sini

 

RM15.00 Pos percuma

Borang Pesanan Online                   Borang Pesanan Pos

Boleh juga dibeli di (1) Pekan Buku, Universiti Malaya, Kuala Lumpur; (2) Jaseema Enterprise, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur; (3) Kedai buku Pustaka Sri Intan, Kota Bharu, Kelantan.

Hostel: Debaran Kedua
sebuah e-novel dari esastera.com

Penerbit: eSastera Enterprise
ISBN: 983-41715-1-X
Genre: Novel umum
349 muka surat
Cetakan Pertama, 2004
Harga Pasaran: RM20.00
Harga Kedai eSastera: RM15.00 (Pos percuma)

Penulis
Irwan Abu Bakar dan Hasimah Harun (Penyelaras), Abdul Latip Talib, Anbakri, Ida Munira Abu Bakar, Jimadie Shah, Md Zainuddin Abd Rahman, Mohamad Hata Ghazali, Muhammad Zakir, Nimoiz T.Y, Rudy Ludinata, dan Wan Nur-Ilyani Wan Abu Bakar.

Sinopsis
Buku ini mengisahkan ragam kehidupan penghuni kolej kediaman universiti, termasuk pelajar dan kakitangan akademik.  Lokasi utama ialah Kolej Kediaman Kedua (KK2), Universiti Malaya (UM).  Peristiwa demi peristiwa yang dialami oleh Pengetua Kolej, Penyelia Kolej, dan pelajar-pelajar diceritakan dalam 50 episod yang mendebarkan, lucu, sinis, dramatik, seram, sensasi, serius, sedih, dll.  Kisah yang diceritakan termasuklah cinta remaja antara pelajar, adventur yang dialami pelajar dalam kegiatan kokurikulum, liku-liku dan cabaran hidup peribadi Pengetua Kolej, Penyelia-penyelia Kolej, dan penghuni pelajar, dan sebagainya.  Sesuai untuk bacaan semua golongan masyarakat.

Zalee, Ali, Alim, dan Aliman ialah pelajar Universiti Malaya (UM) yang tinggal di Kolej Kediaman Kedua (KK2) UM. Anisah Kasfi ialah kawan baik mereka. Pengetua KK2 ialah Dr. Kamsi. Berbagai peristiwa yang dilalui oleh mereka di UM, KUiTTHO, Langkawi, Johor, dan Negeri Sembilan dirakamkan dalam 50 episod yang mendebarkan, sedih, sinis, lucu, seram, dan dramatik. Melibatkan percintaan remaja, adventur, jenayah, masalah pendidikan, masalah sosial, isu perundangan, agama, budaya, dll. Segala pahit manis kehidupan warga kampus.

Perlu dibaca oleh semua pelajar dan kakitangan universiti/kolej.  Perlu dibaca oleh semua pelajar sekolah yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tiggi.  Perlu dibaca oleh semua ibu bapa pelajar.  Perlu dibaca oleh semua.

Rekod

  • Novel pertama yang dicetak daripada sebuah e-novel (karya yang dihasilkan di alam siber secara sambung-menyambung).
  • Novel paling ramai penulisnya (12 orang).

 

 
PETIKAN

Hampir 20 minit Zammi pergi mari di depan pejabat Dr. Kamsi.  Dia masih tidak berjaya memberanikan dirinya untuk berjumpa dengan Dr. Kamsi walaupun telah bermacam-macam dialog terlakar di dalam mindanya sebagai persediaan untuk dia berjumpa dengan Dr. Kamsi. Dan sedang Zammi mundar-mandir di depan pejabat Dr. Kamsi, tiba-tiba Dr. Kamsi keluar dari pejabat itu.  Zammi tidak dapat berfikir panjang lagi.  "Assalammualaikum, Doktor," katanya, "boleh saya jumpa Doktor sekejap?"

          "Ya, apa hal?" Dr. Kamsi tidak berhenti berjalan dan Zammi terus ikut berjalan beriringan dengannya.

          "Saya nak pinjam duit, Doktor."

          "Pulak..."

          "Ya, doktor.  Sangat penting."

          "Kenapa?"

          "Saya nak kahwin"

          "Pulak..." kata Dr. Kamsi.

          "Saya perlu pinjam sekejap sahaja. Tiga hari. Saya perlu bawa duit itu ke majlis pernikahan. Tunjukkan sahaja di majlis itu. Kemudian duit itu akan dikembalikan. Dan saya berjanji akan menyerahkannya semula kepada Doktor sebaik-baik sahaja majlis itu usai. Saya janji." Suara Zammi mendayu-dayu. Dia berharap Dr. Kamsi memahami situasi genting yang dihadapinya.  Betapa malunya dia jika wang itu tidak dapat disediakannya nanti.

          "Berapa awak nak pinjam?"

          "Lima ribu ringgit, Doktor."

          "Lima ribu? Awak gila?" kata Dr. Kamsi. Dr. Kamsi memberhentikan langkahnya. Mereka berdua berhadapan dan tidak lagi berjalan.

          "Saya memang perlu, Doktor. Saya hendak pinjam sekejap sahaja. Nak tunjukkan di majlis itu sahaja. Lepas itu saya akan masukkan semula ke bank."

          Tidak pernah dibuat orang. Pelajar hendak kahwin dan pinjam duit kolej. Dr. Kamsi berasa hal itu tidak boleh berlaku. Mengarut sungguh budak ini!

          "Tolong, Doktor. Saya tak ada tempat lagi nak mintak tolong. Pada Doktor sahaja..."

          Suara Zammi kedengaran begitu mendayu-dayu di telinga Dr. Kamsi. Bunyinya sungguh sincere. Sungguh genuine. Tapi hal ini tidak oleh berlaku. Belum pernah dibuat orang. Memang belum pernah dibuat orang.

 

RESENSI

Ngumpat pasal Hostel: Debaran Kedua
 

Judul: Hostel Debaran Kedua
Penulis: Kumpulan Penulis Komuniti Esasterawan
Penerbit: eSastera Enterprise
Tahun: 2004
ISBN: 983-41715-1-X
Harga: RM20.00

Novel Hostel Debaran Kedua (HDK) merupakan sebuah novel elektronik (e-novel) yang ditulis di alam maya. HDK dibukukan setelah 12 orang penulis dalam Komuniti Esasterawan menulisnya secara berperingkat-peringkat dan mengambil masa 13 bulan untuk disiapkan. Selain Prof. Ir. Dr. Wan Abu Bakar Abas dan isteri beliau Hasimah Harun, nama-nama seperti Abdul Latip Talib, Anbakri, Ida Munira Abu Bakar, Jimadie Shah, Md Zainuddin Abd Rahman, Muhamad Hatta Ghazali, Muhammad Zakir, Nimoiz T.Y, Rudy Ludinata dan Wan Nur Ilyani Wan Abu Bakar turut sama-sama terlibat dalam penulisan HDK.

Novel HDK setebal 349 muka surat ini merangkumi 50 bab, berkitar dunia dan peristiwa akademik di Universiti Malaya (UM). Latar tempat yang difokuskan dalam HDK ialah Kolej Kediaman Kedua (KK2) UM. Dunia kemahasiswaan beberapa pelajar UM melalui watak utama Ali, Alim, Aliman, Anisah Kasfi, Dr. Kamsi dan Zalee amat mengesankan. Penulis-penulis HDK yang mempunyai pelbagai latar belakang dan tahap akademik daripada seorang pensyarah, guru, penulis, penyair dan pelajar kejuruteraan serta undang-undang menjadikan HDK lain dari yang lain. Plot cerita yang dimuatkan meliputi agama, budaya, motivasi kekeluargaan, undang-undang, falsafah hidup, misteri, humor, cinta dan catatan kembara.

Menurut Prof. Dr.Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, HDK mendapat pengiktirafan Sasterawan Negara (SN) S Othman Kelantan sebagai sebuah novel berbahasa Melayu yang bermutu. Masakan tidak, pembaca ‘dijamu’ dengan pengenalan yang menghiburkan. Berikut ialah petikan yang dimaksudkan; Masa itulah, katanya, dia nampak dengan mata kepalanya sendiri yang Ustaz Alim memakai seluar dalam perempuan. Dan, bagi mereka, kalaulah hal itu betul, itu masalah besar. Unsur humor dan suspen seperti ini banyak kedapatan dalam HDK, dan menjadi keselesaan kepada pembaca mengikuti cerita dalam bab demi bab tanpa rasa jemu.

Selain unsur humor, HDK turut memuatkan realiti dunia kemahasiswaan yang merangkumi politik kampus, politik ahli akademik universiti, aktiviti pengajian dan berpersatuan. Kekuatan HDK terletak pada kekuatan tema kemahasiswaan dalam realiti kehidupan kampus. Watak-watak yang digarap juga mempunyai pro dan kontra tersendiri bergantung kepada kedudukan ekonomi keluarga mahasiswa. Penulis-penulis juga berjaya menghidupkan watak manusia-manusia opurtunis, materialstik, pendendam, dengki, gila kuasa, penakut, pak turut, putar belit, bermuka-muka, warak, bermaruah dan yang tewas/gagal dalam percintaan. Semua perkara sama ada ditokok tambah di luar rasional atau betul-betul berlaku mampu mengajak pembaca untuk berfikir tentang kebenarannya.

Mesej-mesej keilmuan di dalam HDK diolah dengan gaya yang santai dan bersahaja. Fakta-fakta yang berat seperti konsep sains, perundangan, latar tempat, kajian kes, ditulis dengan baik sehingga pembaca tidak menghadapi kesukaran menghadamnya. Menariknya, kajian kes yang dibuat untuk merungkai sesuatu persoalan menjadikan anda seolah-olah sedang memegang buku penyiasatan sehebat karya Shakepears. Novel HDK boleh dibeli daripada Kedai eSastera Online (www.esastera.com/kedai) dengan harga istimewa RM15.00.

Naimisa Yusof