|
Novel
Terbaru!
Warkah Cinta Berbau Syurga
Pengarang A. Ubaidillah Alias ISBN 978-983-3603-91-6 Penerbit PTS Millennia Sdn Bhd 2008, Edisi Pertama, 544 muka surat
Harga RM 23.00
(harga pos RM 5.00)
Kandungan
LUPAKAN beberapa watak yang tiba-tiba muncul dan tiba-tiba menghilang atau yang tiba-tiba hidup dan tiba-tiba `dimatikan’.Saya bukan `pembaca novel’ yang baik tetapi novel ini `memaksa’ saya untuk membaca pembuka katanya:`Cairo kurasakan sepi tanpa surat-suratmu. Bunyi sahrawi yang mengepuk debu kering itu bagai membawa gemersik suaramu…’ Dan, pembuka kata bersurat novel ini `memaksa’ saya untuk terus bersantai hingga kepada penutupnya yang mengusik, `Wardah… Balqis… Maafkan aku’.
-Pyanhabib - Pemuisi
Benar, novel ini dipacui cinta. Namun tampilnya, bukan cinta yang boleh dibeli dengan bayaran biasa. Penulis ingin mengatakan, insan yang punya jati diri dan pegangan agama yang kukuh sahaja yang bisa memiliki cinta seharum wangian syurga. Insan- bisa sahaja mahu mencari cinta insani, namun jika anda memiliki Warkah Cinta Berbau Syurga, ini bermakna anda juga mahu mencari cinta Rabbani dalam masa yang sama.
-Nasriah Abdul Salam, Pemenang Hadiah Utama Sastera Utusan Melayu 2007, Cerpen 2007
“Aku akan terus menulis walaupun kutahu salam daripada warkah bisumu semakin menjauhi realiti. Tetapi aku tidak mampu hentikan semua ini melainkan kematian sahaja yang dapat memisahkan jiwaku daripadamu. Dan aku tahu, kematianku makin menghampiri...”
Cinta seorang lelaki yang ditagih dua gadis. Hebat sangatkah Amir Mukhlis hingga dia sanggup mengecewakan impian Wardah dan menolak harapan Balqis.
Tidak! dia adalah lelaki yang berpendirian. Dia sangat tegas dalam soal hati dan perasaan dan tidak mahu ada di antara mereka hanyut dibuai badai perasaan yang mampu memesongkan akidah manusia.
Amir Mukhlis, seorang penulis dan pemidato. Pertemuannya dengan Wardah berlangsung ketika mereka sama-sama menyertai sidang redaksi majalah sekolah. Pada ketika itu, Wardah turut terkesan dengan perubahan yang dibawa Amir terhadap dirinya.
Wardah Abdul Latif, gadis pintar dan berperawakan menarik, sering menjadi igauan pelajar-pelajar lelaki. Di sebalik personaliti yang memukau, gadis ini sebenarnya menyimpan rahsia kemelut keluarga hingga persepsi negatifnya terhadap kaum Adam bercambah dalam diam. Dia membenci lelaki yang tidak bertanggungjawab dan jahil. Wardah perlukan seorang teman lelaki yang memahami agama dan bertanggungjawab. Kehadiran Amir Mukhlis mengubah segalanya.
Tamat persekolahan menengah. Amir melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, terpisah dengan watak Wardah yang terpaksa berkahwin dengan lelaki bukan pilihannya. Amir tidak mahu dirinya tenggelam dalam kekecewaan yang mampu memakan diri sendiri. Dia pasrah. Dia reda. Bayangan Wardah dilepaskan. Tetapi hidup Wardah tidak bahagia, dia diseksa suami sehingga menghembuskan nafas terakhir.
Watak Balqis yang buntu dalam menyelesaikan masalah pula muncul dalam hidup Amir di Kaherah. Secara tidak sengaja lelaki itu membantu merungkai masalah si gadis. Ketika itu Balqis melihat Amir sebagai lelaki matang yang mampu membimbing dirinya dan Balqis sedar naluri wanitanya sudah terusik ketika itu.
Izzuddin, teman baik Amir di universiti. Konflik mula tercetus ketika Izzuddin turut menyimpan perasaan terhadap Balqis. Izzuddin sedar bahawa sudah dua kali Amir menyelamatkan Balqis, tetapi teman di sekeliling menganggap Izzuddin sebagai hero sebenar, tidak ada sesiapa yang mengetahui cerita sebenar dan Amir pula senang dengan situasi begitu.
Balqis akhirnya menzahirkan perasaannya terhadap Amir menerusi surat, tetapi Izzuddin yang terlebih dahulu membuka warkah itu tanpa pengetahuan Amir, menyebabkan hatinya sebal dengan luahan perasaan Balqis terhadap Amir. Amir pula tidak mengerti mengapa sahabatnya itu tiba-tiba menjauhkan diri darinya, seakan-akan benci melihat wajahnya. Pada masa yang sama Amir tidak mengerti isyarat yang ditunjukkan Balqis. Balqis kecewa.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Amir disahkan menghidap penyakit barah otak dan tidak mampu meneruskan hidup lebih lama. Ketika itu fikirannya ingin menyelesaikan masalah antara dia dan Izzuddin. Dalam kepayahan itu, Amir berusaha dan terus bangkit menyelesaikan konflik persahabatan dan perasaannya.
“Balqis, jangan mengharapkan sesuatu daripada ana. Ana bukan orang yang dapat menemani enti dalam kehidupan ini. Pasti ada orang lain yang lebih layak. Jika enti mahu memilih, pilihlah orang lain. Bukan ana...”
Amir merupakan seorang pejuang dalam hidupnya, seorang sahabat yang sejati dan khalifah yang hebat di muka bumi Allah. Hingga ke saat-saat akhir dia masih berjuang untuk menyempurnakan misi hidupnya dan tidak meletakkan kematian sebagai alasan untuk berputus asa.
A. Ubaidillah Alias menggunakan latar penceritaan yang menarik dengan penggunaan bahasa yang indah disulami puisi yang mampu menyentuh naluri pembaca. Keteguhan prinsip Amir Mukhlis perlu dicontohi remaja masa kini agar tidak tenggelam dalam arus kontemporari yang mengkhayalkan.
Sumber: http://novelpts.blogspot.com/2008/07/warkah-cinta-berbau-syurga_08.html
|