IRWAN ABU BAKAR WAWANCARA                                    
1 2 3                              

 

3. WAWANCARA OLEH ROHAYA MOHD YUSOF
DARI DEWAN SASTERA

Rohaya Mohd. Yusof daripada Dewan Sastera telah berkesempatan mewawancara Profesor Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas tentang penglibatan  beliau dalam bidang sastera, khususnya dalam penulisan kreatif bagi mencungkil rahsia kejayaan beliau dalam bidang ini. Penerokaan beliau dalam alam siber yang disalurkan ke dalam dunia kesusasteraan memberikan suatu impak yang besar kepada perkembangan kesusasteraan tanah air. Ikutilah wawancara ini seterusnya bagi mengetahui perkembangan sastera dalam alam siber.


 

1.          Profesor merupakan anak Malaysia yang pertama mengikuti pendidikan formal dalam bidang biokejuruteraan dan kini profesor merupakan Profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan. Selain itu profesor juga sedang melibatkan diri dengan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan tisu. Jadi profesion profesor jelas menjurus kepada bidang kejuruteraan, dan sebagai jurutera bagaimana dan sejak bilakah profesor berminat dalam bidang kesusasteraan, khususnya dalam penulisan kreatif?

Terima kasih kerana sudi mewawancara saya. Saya amat menghargainya. Saya meminati tulisan kreatif lama sebelum saya menjadi jurutera.   Semasa bersekolah menengah lagi, saya suka membaca karya-karya kreatif, terutamanya cerpen dan novel. Semasa di Tingkatan 4 dan 5, saya mengambil mata pelajaran sastera Melayu untuk peperiksaan MCE (kini SPM) walaupun saya pelajar sains. Saya ada menulis beberapa buah cerpen dan sajak semasa di Tingkaran 4 dan 5.  Semasa menjadi pelajar praijazah dan pascaijazah di Glasgow, United Kingdom, saya menulis sajak untuk tatapan peribadi. Saya ada sebuah buku khas untuk menulis sajak-sajak itu. Ada antara sajak itu yang saya terbitkan di akhbar Persatuan Pelajar Malaysia Glasgow. Walau bagaimanapun, saya mula menerbitkan sajak di media massa hanya setelah saya berumur 44 tahun.  Cerpen pertama saya pula diterbitkan di media konvensional semasa saya berumur 51 tahun.

 

2.          Dalam bidang kesusasteraan, profesor lebih cenderung dalam bidang kepenyairan dan sering melibatkan diri dalam majlis deklamasi puisi. Penglibatan yang aktif profesor dalam bidang sastera adakah telah diterima umum? Adakah profesor menghadapi halangan untuk diterima sebagai “orang sastera”?

Saya seorang yang lebih gemar bersifat "low profile".  Saya tidak terlalu ghairah untukmendedahkan diri kepada masyarakat sastera kecuali melalui karya saya. Saya mendeklamasi puisi kerana diundang atau terpaksa. Namun saya cukup seronok dengan kegiatan itu.  Tidak ada apa-apa respons negatif yang saya terima dari kalangan sarjana mahupun khalayak sastera. Malah saya banyak mendapat respons yang positif terhadap kehadiran saya dalam dunia sastera. Namun saya tidak peduli sangat akan penerimaan orang. Asalkan saya boleh berkarya dan karya saya diterima, saya seronok. Walau apapun, saya dapati kebanyakan "orang sastera" (penulis, pengurus, dan peminat karya kreatif) yang sempat saya dampingi, sangat menyanjung tinggi penglibatan saya dalam bidang penulisan itu. Barangkali kerana saya bukan seorang yang provokatif atau agresif, maka orang tidak menunjukkan sikap negatif.  Atau barangkali oleh sebab saya menerbitkan karya di media massa setelah saya bergelar profesor, maka orang berasa segan untuk memperkatakan perkara yang negatif. Atau barangkali karya saya memang baik hahaha. Entahlah terpulang kepada tafsiran masyarakat.  Bukankah semua orang berhak memberi pandangan dan saya pula berhak melakukan apa-apa sahaja yang saya fikirkan baik untuk saya dan untuk semua asalkan saya tidak menyusahkan orang lain.

(Perhatian: Kenyataan dalam warna merah telah dibuang oleh Dewan Sastera dan yang berwarna biru ialah tambahan yang dibuat oleh Dewan Sastera sendiri -- Irwan).

 

3.          Profesor bermula dengan menulis sajak. Sajak pertama profesor dihasilkan dan diterbitkan secara konvensional. Sehingga kini lebih kurang 50 buah sajak yang profesor ilhamkan telah dihasilkan dan diterbitkan secara konvensional. Bagaimanakah dan apakah yang menyebabkan profesor beralih arah daripada penulisan secara konvensional kepada penulisan karya di alam siber?

Saya tidak pernah beralih arah daripada penulisan karya secara konvensional kepada penulisan di alam siber.  Saya hanya menambah satu lagi medium dengan berkarya di alam siber.  Saya masih lagi menulis di medium konvensional.  Tidak ada sebab tertentu saya menulis di alam siber kecuali untuk memanfaatkan kemajuan teknologi dan untuk menerap gaya perkembangan dunia sastera yang sedang berlaku di seluruh dunia.  Saya mula bergiat di alam siber dengan menjadi penerbit, iaitu apabila saya mengendalikan komuniti "Penyair" di www.communityzero/penyair. (Komuniti itu kini menjadi sebahagian daripada majalah  elektronik esastera.com atau dikenali juga sebagai e-sastera).  Dalam penglibatan saya dengan penerbitan karya di alam siber, saya dapati ada tiga golongan penulis yang terlibat, iaitu (a) mereka yang mahu menambah satu lagi medium untuk menerbitkan karya mereka, (b) mereka yang mahu kembali menulis setelah "berehat" daripada menulis di medium konvensional, dan (c) mereka yang belum pernah menerbitkan karya di medium konvensional.

 

4.          Adakah kepakaran profesor dalam bidang kejuruteraan menjadi pendorong dan banyak membantu atau mempermudah profesor berkarya dalam bidang sastera siber?

Tidak.  Kita tidak memerlukan pengetahuan teknikal tentang komputer dan perisiannya untuk berkarya di internet. Yang diperlukan hanya membiasakan diri dengan komputer dan sambungan internet.  Perkara ini tidaklah susah untuk dipelajari. Anak kelima saya mula berkarya di internet semasa berumur 9 tahun. Namun sedikit pengetahuan teknikal akan mempermudah sesiapa yang ingin menjadi penerbit (menyediakan laman web untuk penyiaran karya sendiri atau karya orang lain).



5.          Mungkin tidak ramai, terutamanya penulis senior, yang tahu atau meminati sastera siber atau E-sastera. Hal ini kerana mereka ini sudah terbiasa menulis dan menerbitkan karya mereka secara konvensional dan tidak bersedia untuk membuat anjakan paradigma ke arah IT. Bagaimana caranya profesor mengatasi perkara ini supaya lebih ramai penulis senior berminat untuk berkarya di alam siber dan sekali gus mahu memanfaatkan laman E-sastera ini?


Saya tidak pernah memikirkan hal ini sebelum ini.  Setakat ini, saya hanya berurusan dengan mereka yang memang bersedia untuk berkarya di internet.  Walau bagaimanapun, penerbitan majalah elektronik berkala Bulanan eSastera (ringkasnya BESt) saya lihat sebagai jalan yang dapat membantu ke arah meramaikan penulis senior menyiarkan karya di internet.  Insya-Allah, kami akan berusaha ke arah itu.  Dengan publisiti yang diberi oleh majalah Dewan Sastera ini, saya berharap lebih ramai penulis mengetahui tentangnya dan menyumbangkan karya.  Majalah BESt bersedia menerima sumbangan karya yang dihantar melalui cara konvensional.

 

6.           Laman web boleh dicapai dan dimasuki oleh sesiapa sahaja. Begitu juga dengan laman E-sastera, pasti akan terdapat masalah ciplakan. Bagaimanakah profesor dapat mengatasi masalah ciplakan dalam sastera siber?


Kenyataan saudari bahawa "laman web boleh dicapai dan dimasuki oleh sesiapa sahaja" adalah tidak tepat.  Setiap laman web mempunyai sistem keselamatanya sendiri yang dapat menentukan kadar ketelusannya kepada pengguna.  Jika mahu, penerbit boleh mengehadkan atau menapis pengguna yang keluar masuk ke laman webnya.  Tentang penciplakan, saya tidak melihat isu ini mempunyai banyak bezanya daripada apa yang dapat berlaku di medium konvensional.   Setakat ini, laman web e-sastera tidak menghadapi masalah ini.  Pernah sekali penciplakan berlaku tetapi hal ini dengan serta-merta didedahkan oleh ahli-ahli dan ahli yang menciplak itu disingkirkan.


 

7.          Dalam ruangan fokus dalam majalah ini profesor berandaian bahawa penulis atau penyumbang karya di alam siber tidak mementingkan royalti. Sampai bilakah penulis dalam E-sastera boleh bertahan dan sanggup menulis tanpa royalti atau honorarium?

Pembayaran royalti memerlukan input kewangan yang signifikan daripada penerbit.  Oleh sebab penerbit sendiri tidak mendapat apa-apa manfaat kewangan daripada penerbitan karya berkenaan, penerbit terpaksalah menanggung sendiri beban kewangan itu.  Maka agak sukar untuk penulis mengharapkan penerbit membayar royalti. Majalah e-sastera cuba memberi pampasan dengan cara mengadakan anugerah tahunan. Namun kegiatan ini juga memerlukan input kewangan beribu-ribu ringgit daripada penerbit.  Kami cuba menjana pendapatan dengan menawarkan ruang iklan tetapi belum berjaya.  Berdasarkan pengalaman kami, memang sukar untuk penerbit swasta membayar royalti.  Barangkali sekiranya majalah sedemikian diterbitkan oleh pihak kerajaan, peruntukan boleh dipohon daripada kementerian yang berkenaan.  Saya tidak tahu sama ada penerbit swasta boleh mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana agensi kerajaan dalam melaksanakn aktiviti ini.  Semasa merancang penerbitan e-majalah BESt, itulah perkara utama yang kami bincangkan.  Kami cuba mencari jalan untuk mendapatkan wang bagi membayar para penilai dan penulis tetapi jalan itu masih belum kami temui.  Saya akui bahawa memang isu ini ialah isu yang akan menjadi penghalang kepada kegiatan memajukan sastera Melayu di alam siber.  Saya tidak ada penyelesaiannya kecuali pada masa ini kami tidak menghalang penulis karya yang telah diterbitkan di majalah e-sastera untuk menghantarkan karyanya itu kepada penerbitan lain.

Saya melihat pengembangan  sastera Melayu di internet sebagai usaha untuk memastikan yang sastera Melayu terus hidup dan relevan.  Maka saya membuat sedikit pengorbanan material untuk menjadi penerbit.  Memang ada penulis yang juga sanggup mengetepikan balasan material. Namun pengorbanan itu bukanlah bererti yang kami tidak mendapat apa-apa.  Kami mendapat keseronokan.  Kekadang mendapat pengiktirafan. Misalnya, pengiktirafan yang diberi oleh Dewan Sastera bulan ini terhadap sastera siber adalah sesuatu yang tidak pernah saya dan rakan-rakan mimpikan dan nilainya melebihi sebarang ganjaran material.  Tahniah kepada pihak editorial DS yang peka terhadap perkembangan seperti ini.

8.          Apabila hasil karya yang disumbangkan tidak mendapat sebarang ganjaran, tidakkah profesor fikir sastera ini seolah-olah tiada nilai komersial. Hal ini menyebabkan kerja penulisan ini hanya sebagai hobi untuk mengisi masa lapang dan mengelakkan masyarakat daripada membuat kerja yang tidak berfaedah. Situasi ini akan menyebabkan kerja penulisan sastera menjadi satu kerja yang tidak serius. Apabila menulis akan menjanjikan pulangan yang setimpal dan lumayan hal ini akan memancing minat dan rasa tanggungjawab penulis untuk menulis dengan serius dan membuat kajian yang mendalam terhadap penulisannya, maka baharulah akan terhasil karya yang bermutu. Bagaimanakah pandangan profesor tentang hal ini?

Barangkali pandangan saya tentang isu ini banyak berpaksi kepada sikap saya sendiri bahawa "kerja penulisan (dan penerbitan) ini hanya sebagai hobi untuk mengisi masa lapang dan mengelakkan daripada membuat kerja yang tidak berfaedah".  Namun hobi juga boleh dilakukan dengan serius dan penuh komitmen.  Karya yang bermutu dan penerbitan yang bermutu dapat dihasilkan  walaupun dilakukan sebagai hobi.  Lihat sahaja kepada hobi bermain golf, misalnya.  Orang sanggup berbelanja besar dan menggunakan masa yang banyak untuk memenuhi tuntutan hobinya itu.  Masalahnya, jika penulisan itu hanya hobi, orang perlukan pekerjaan lain untuk memperoleh pendapatan (atau pendapatan tambahan) bagi menyara hidup.  Bilangan penulis akan berkurangan dan bilangan penerbit juga berkurangan.  Itulah situasi sedih yang sedang berlaku sekarang
sehinggakan perkembangan sastera Melayu di alam siber masih jauh ketinggalan.

Jika esastera.com dan BESt masing-masing dapat menjana pendapatan sekitar RM20 ribu sebulan, tentu situasi ini akan menjadi lebih baik. Dengan sebab itu, kami sedang mencari rakan kongsi atau penerbit bersama yang sanggup menyediakan bajet yang tersebut.

 

9.          Bagaimana dengan perlindungan dan kawalan dari segi hak cipta terhadap karya siber. Adakah harta intelektual ini akan terpelihara daripada pengeksploitasian orang-orang yang berkepentingan?

Hal ini melibatkan aspek undang-undang.  Saya tidak dapat memberikan jawapan yang komprehensif.  Malah lebih elok jika saya tidak memberikan sebarang jawapan kerana ditakuti mengelirukan khalayak.  Eloklah Dewan Sastera kemukakan soalan ini kepada para profesional dalam bidang ini.

 

10.     Dalam ruangan fokus yang profesor tulis, profesor juga seolah-olah begitu yakin bahawa sastera siber sedang menenggelamkan sastera cetakan konvensional. Bagaimanakah profesor boleh begitu yakin sedangkan rasanya pembaca sastera siber ini begitu terhad dan masih banyak yang berasa selesa membaca buku, malah E-novel yang pertama juga dicetak dalam bentuk konvensional untuk mengembangkan hasil sastera?

Izinkan saya mengulas hal ini dengan panjang sedikit kerana saya sebenarnya memperkatakan perubahan budaya yang dibawa oleh kemajuan teknologi.

Dalam sekelip mata, sesuatu kemajuan teknologi boleh mengubah cara hidup manusia. Biarlah saya beri contoh dari bidang akademik. Institusi paling penting bagi ahli akademik, sama ada dalam aktiviti pengajaran mahupun penyelidikannya, ialah institusi perpustakaan. Sesebuah institusi pendidikan tinggi atau institusi penyelidikan bangga dengan bilangan buku dan jurnal
akademik yang dimilikinya, dulunya dalam bentuk cetakan keras dan kini dalam bentuk CD ROM. Kemunculan dan perkembangan internet telah mengubah segala-galanya. Hari ini orang tidak lagi ke perpustakaan. Orang mendapatkan maklumat terkini dari internet. Malah jurnal-jurnal akademik yang terkemuka kini diterbitkan secara elektronik. Institusi perpustakan kini sedang sibuk menilai semula perananannya.

Saya beri satu lagi contoh yang berkaitan dengan penulisan dan pembacaan. Alat yang paling penting bagi seorang penulis atau pembaca ialah kamus. Orang menyimpan dan merujuk kepada naskhah kamus setiap masa. Dalam zaman internet ini, orang tidak lagi membeli atau menyimpan kamus untuk kegunaan harian. Segala yang diperlukan dari sebuah kamus dapat dicapai dengan mengklik tetikus komputer sambil seseorang itu menulis atau membaca.

Biar saya berikan satu contoh di bidang komunikasi pula.  Kemunculan mesin faksimili telah merobah cara orang berkomunikasi. Pada masa mula-mula muncul, mesin faksimi dianggap sebagai alat yang amat moden dan merupakan teras kepada sistem komunikasi moden. Cuba kita lihat apa yang terjadi kemudiannya. Dalam beberapa tahun sahaja, mesin faksimili menjadi kuno apabila internet datang membawa sistem e-mel. Dan kini e-mel juga telah terhad kegunaanya apabila sistem komunikasi sms menjadi semakin popular.  Malah kegiatan sastera juga telah mula berkembang melalui medium sms secara kecil-kecilan, misalnya melalui "pantun sms".

Beberapa tahun lalu, saya ada berbual dengan seorang penulis mapan. Dia menyatakan bahawa keseronokan berkarya dicapai apabila hasilnya (dalam bentuk cetakan) dapat kita pegang dan kepit ke sana sini, termasuk ke bilik tidur.  Pada masa itu, saya memberitahunya bahawa ada anjakan paradigma dari segi tabiat itu. Penulis sudah berasa seronok jika karyanya disiarkan di internet dan dapat dicapai oleh pembaca dari seluruh dunia. Tidaklah perlu dikepit ke sana sini.  Namun kalau saya bercakap dengannya pada hari ini, saya akan memberi jawapan yang lain. Saya akan katakan bahawa pada hari ini, anda boleh membeli sebuah komputer yang saiznya sama besarnya dengan saiz sebuah novel biasa, malah lebih nipis dari sebuah novel yang tebal. Dan komputer itu dapat disambungkan ke internet secara tanpa wayar. Dan anda boleh kepit komputer itu ke bilik tidur, malah ke tandas (jika begitu tabiat pembacaan anda).

Mari pula kita berbalik kepada kenyataan saudari bahawa "pembaca sastera siber ini begitu terhad..."  Mungkin pembaca sastera siber terhad tetapi situasi itu sedang berubah dengan cepat kerana kini kerajaan sedang menyediakan kemudahan akses ke internet secara menyeluruh.  Sekiranya kita menyediakan bahan bacaan yang sesuai dan menarik, pembaca sastera siber Melayu akan bertambah dengan cepatnya.  Bilangan khalayak yang membaca sastera siber akan bertambah selaras dengn perkembangan sumber dan kemudahan.  Jika kita tidak menyediakan bahan bacaan yang sesuai, pembaca-pembaca ini akan mencari bahan lain di internet.

Kenyataan saudari bahawa "masih banyak yang berasa selesa membaca buku (konvensional daripada buku elektronik)" mungkin betul pada ketika ini.  Namun membaca buku cetakan keras amat menyusahkan jika saudara telah terbiasa dengan e-buku yang mempunyai segala kemudahan link yang memungkinkan pembaca melompat dengan mudah dan cepat dari satu bahagian ke bahagian yang lain. Saya belum lagi bercakap tentang kemudahan yang disedikan di e-buku seperti teks dan grafik yang beranimasi dan bersifat interaktif. Cuba saudari buka majalah elektronik Bulanan eSastera yang baru diterbitkan itu. Buka sahaja majalah itu, saudari akan dihidangkan dengan muzik merdu yang mengelus jiwa dan grafik beranimasi yang menarik deria pengllihatan. Apabila telah terbiasa dengan pembacaan yang sedemikain, membaca majalah konvensional menjadi amat membosankan.  Sekarang ini, ramai pelajar di institusi pengajian tinggi mendapatkan bahan bacaan mereka, termasuk nota-nota kuliah, dari internet.  Kita sedang menghasilkan suatu generasi graduan yang hampir keseluruhannya membaca dari internet dan bukan dari bahan cetakan keras. Tabiat membaca yang sedemikian itu tidak dapat tidak akan membuatkan sastera di terbitan konvensional tidak lagi dilanggan orang kelak.

Tentang kenyataan saudari bahawa "E-novel yang pertama juga dicetak dalam bentuk konvensional ", biar saya jelaskan sedikit. Novel Hostel: Debaran Kedua mungkin bukan merupakan e-novel pertama di Malaysia. Saya tidak pernah menyemak hal itu. Namun saya yakin bahawa novel itu ialah e-novel pertama di Malaysia yang diterbitkan semula dalam bentuk cetakan konvensional.  Hal ini dilakukan kerana kami menganggap bahawa kita (sastera Melayu) kini berada dalam tempoh peralihan. Kebolehcapaian internet masih terhad. Dalam tempoh peralihan itu, saya tetap yakin akan kewujudan bersama secara "menang-menang" antara medium konvensional dan medium internet. Sebab itulah salah satu objektif e-sastera adalah untuk menerbitkan produknya di internet ke dalam bentuk cetakan konvensional. Hal ini telah dilakukan bukan sahaja kepada novel Hostel: Debaran Kedua, malah sebelum itu lagi telah dilakukan kepada sajak dan sajak jenaka (sajen) yang diterbitkan di e-sastera.  Namun apabila prasarana dan sumber sudah lengkap, kegiatan membaca dan menulis akan berpindah ke medium internet. Hal ini sama seperti keadaan apabila kemudahdapatan mesin cetak telah mengubah cara orang bersastera dari sastera lisan kepada sastera cetakan.

 

11.      Setujukah profesor kalau dikatakan bahawa E-sastera hanya akan mewujudkan penulis yang bersifat sementara?

Fenomenon penulis yang menghilang dan majalah yang mati ialah fenomenon biasa dalam medium penerbitan konvensional.  Hal yang sama juga berlaku dalam medium internet.  Saya tidak nampak sebarang masalah dalam hal ini.  Penulis yang serius dan berkualiti akan terus bertahan walau di medium mana sekalipun.  

(Dewan Sastera, November 2004)

 

2. Wawancara bersama Saudara Drirwan oleh Airmas_sz

Airmas_sz: Assalamualaikum... Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara drirwan kerana membalas wawancara ini. assalamualaikum.

Waalaikummussalam... Saya yang sepatutnya mengucapkan terima kasih atas susah payah sdr menyediakan soalan untuk saya jawab.  Ini satu penghormatan kepada saya.
 
Airmas_sz: Saudara sekarang ini seorang Profesor dan Ketua Jabatan di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.  Sebagai seorang berjawatan tinggi tentu sekali saudara boleh dikira sebagai seorang yang berjaya.  Soalan pertama, saya mengapa sastera atau lebih tepat apa yang menggerak saudara untuk menghidupkan esastera,  apakah  ini satu tindakan yang terdorong secara semula jadi atau memang satu impian yang lama baranya? Saya bertanya begini kerana saya berasa esastera boleh juga dikatakan membawa satu praradigma baru dalam sastera Malaysia. 

Saya bukan lagi Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan; saya melepaskan jawatan itu apabila menerima pelantikan sebagai Pengetua Kolej Kediaman Kedua.
Mengapa saya membangunkan laman esastera? Seperti kebanyakan penemuan yang bermakna di muka bumi ini, saya membangunkan esastera berdasarkan kepada suatu "kesilapan". Saya terbaca sebuah rencana di Berita Harian yang menyatakan bahawa belum ada laman web untuk penulis menyiarkan puisi berbahasa Melayu seperti poetry.com (untuk puisi berbahasa Inggeris).  Masa itu saya tidak aktif dengan sastera di alam siber kecuali di poetry.com.  Lalu saya berasa bertanggungjawab untuk mewujudkan laman yang sedemikian. Maka lahirlah community "Penyair".  Selepas itu baru saya sedar yang sudah ada beberapa laman web yang memungkinkan penulis menyiarkan karya mereka, misalnya Melayu.com. Namun saya gembira kerana esastera rasanya merupakan majalah sastera internet yang paling maju di Malaysia pada hari ini.

Airmas_sz: Apakah proses yang saudara gunakan dalam pengkaryaan sesuatu sajak, cerpen, atau novel dan apakah yang menarik minat saudara ke atas sastera. apakah ia memberi saudara kebebasan atau saudara terikat anutan-anutan tertentu sebagai penulis.

Proses? Entahlah, saya tulis saja. Apa yang menarik minat saya... saya mempunyai minat yang mendalam terhadap penggunaan bahasa; hal ini barangkali yang membuatkan saya meminati puisi. Saya tidak ada pendidikan formal dalam sastera untuk memungkinkan saya menganuti aliran-aliran tertentu, maka saya menulis secara bebas; tak ikut sebarang peraturan kerana tak tahu peraturan.

Airmas_sz: Ke manakah hala tuju esastera dan adakah apa-apa perubahan yang akan melibatkan saudara dan ahli-ahli esastera?

Saya kendalikan esastera secara "market-driven".  Saya tidak pernah menentukan hala tuju tertentu untuknya. Perubahan saya lakukan berdasarkan permintaan atau keperluan pada masa tertentu.  Sebab itu saya sangat responsif terhadap permintaan dan rungutan ahli. Malah ruangan seperti "pantun", "drama", dan "haiku" diwujudkan atas permintaan ahli tertentu. Tujuan asal saya hanya menyediakan wadah untuk penulis berkarya secara bebas tanpa campur tangan saya. Falsafah itu masih saya pegang hingga ke hari ini walaupun pengalaman mengajar kami bahawa orang sentiasa menganggap kami (saya dan keluarga saya) sebagai "tuan rumah" dan perlu melayan tetamu yang datang dengan sewajarnya.

Airmas_sz: Apakan saudara akan “mengkomersialkan” esastera apabila tempohnya matang; kini keahliannya adalah percuma, bergantung kepada saudara sebagai pembiaya untuk modul di communityzero?

Saya memang bangunkan esastera sebagai suatu "business venture". Sebab itulah saya tubuhkan syarikat untuk menangani esastera secara formal. Namun saya tidak berharap input kewangan daripada ahli. Ahli-ahli esastera ialah penulis dan sumbangan mereka ialah tulisan mereka. Pendapatan kewangan perlu diusahakan oleh penerbit, iaitu saya sendiri. Saya mengharapkan iklan dan derma untuk menanggung kos penerbitan esastera dan membiayai kegiatan "hadiah esastera".

Airmas_sz: Ada antara penulis di esastera sangat hebat dan ada juga sangat lemah; apakah nanti akan ada semacam satu kasta antara yang hebat dan yang baru bertapak atau ia langsung tak nampak?

Pada pandangan saya, tidak ada dalam esastera penulis yang sangat hebat mahupun yang sangat lemah.  Kalau ada pun, seorang dua sahaja. Rata-rata ahli esastera ialah penulis yang agak baik dan sedikit kurang baik.  Setakat ini saya tidak nampak masalah kasta itu. Keadaan kita pada masa ini adalah agak mantap dan interaksi antara ahli-ahli berbentuk interaksi sihat. Masing-masing tolong-menolong. Saya sangat berpuas hati.
 

Airmas_sz: Yang benarnya saya berasa teruja dengan kehadiran esastera bersama sastera yang hebat di dalamnya seperti saudara abd latif, arisel ba, nimoiz, glateh, zainal lasim sekadar menyebut beberapa nama yang tentunya kalau disebut semua menjadi panjang wawancara ini, saya mengira mereka-mereka ini sudah punya nama sudah tentu mereka tidak perlu untuk  berada di esastera , namun menurut fikiran saudara apakah yang mendorong mereka berada di esastera sambil kadangkala turut sama membimbing mereka yang masih mentah di arena penulisan (tanpa bayaran sekadar sukarela).

Lazimnya, orang yang sudah berjaya memang suka menolong mereka yang mahu bangun. Di situ ada kepuasan. Sebagai seorang yang telah dewasa dari segi umur, saya sendiri tidak berapa pentingkan kejayaan peribadi lagi. Peranan saya sudah berubah kepada memajukan generasi muda.  Kalau kita betul-betul serius mahu menang hadiah Nobel misalnya, tentu sekali kita akan menumpukan usaha kita kepada membangunkan penulis-penulis muda kita. Insya-Allah esastera akan bergiat dengan pemikiran yang sedemikian.

Airmas_sz:  Ada-sumber sumber yang mengatakan bahawa esastera adalah golongan kedua atau pun tidak jelas kredebilitinya, sebagai contoh ada antara karya di esastera ditulis oleh penulis yang tidak jelas yakni tidak di ketahui siapa orang itu (kerana pendaftaran keahlian yang longgar di internet boleh menerima sesiapa sahaja), malah ada juga antaranya menciplak dan  memplagiat?

Media cetakan keras pun menghadapi masalah yang sama.  Isu ciplak ialah isu media cetakan keras juga, bukan spesifik di alam siber. Penulis yang tidak diketahui identitinya bukan penulis yang serius; mereka suka-suka sahaja; mereka datang dan pergi. Kita tidak harus membuang masa untuk menangani mereka. Misalnya, saudara sendiri tentu tahu yang esastera boleh mengetatkan keahlian dan mengawal kemasukan ahli, namun apa gunanya? Saya hanya mengambil tindakan menghalang kemasukan mereka yang  benar-benar mengganggu perjalanan esastera dan menimbulkan keresahan kepada ahli lain. 
Namun saya agak liberal dalam hal ini.

Airmas_sz: Saja suka-suka... di sini saja ambil contoh penciplak atau manusia yang tiada otak  bekerja, 5 cara untuk membina satu sajak:
1. Salin sebahagian sajak orang lain ke kertas
2. Pecahkan sajak-sajak itu ke baris yang jauh antara satu sama lain; letakkan ayat lain di tengah-tengahnya
3. Letakkan tajuk lain ke atas karya itu
4. Di bawah sekali letakan nama sendiri
5. Akhirnya hantar ke
www.esastera.com menggunakan nama secara rawak
Mungkin ia tidak perlu diperkatakan tetapi kepada orang yang di ciplak mungkin boleh merah biji mata malah saya sendiri pernah menerima satu lirik dari penyanyi Amerika yang walau karyanya bagus tetapi dihantar oleh penciplak. saya hanya tahu tentang ini bila mendengar lagu itu di supermarket.

Wah, nampaknya sdr seorang yang sangat berpengalaman dalam hal ciplak-menciplak ni... hahaha (jenaka free).

Airmas_sz: Apakah ada kajian terperinci dalam mencari “apa itu esastera” dan apakah sumber-sumbernya? Bolehkah kita katakan esastera merupakan satu media yang boleh dipertanggungjawabkan kewujudannya dan kewujudannya mesti dipertahankan sampai bila-bila?

Memang boleh dipertanggungjawabkan dan wajar dipertahankan.  Apa alternatif lain yang kita ada untuk memajukan dan mengembangkan sastera kita pada zaman ini? Buku dan majalah sastera pun susah nak laku di pasaran. Dan apresiasi terhadap karya sastera akan berubah daripada apresiasi teks bercetak semata-mata.


Airmas_sz: Isteri saudara juga berbakat dalam bidang penulisan dan juga ada antara anak saudara yang mempunyai kecenderungan menulis; boleh saya tahu apa pandangan saudara?

Kami berkongsi hobi, itu sahaja.  Saya dan isteri saya tidak ada kegiatan masa lapang yang berasingan. Kalau isteri saya tidak berminat tentang sesuatu hobi saya, lazimnya saya akan tinggalkan hobi itu.

Airmas_sz: Saya nampak macam satu kelainan apabila di alam siber saudara dan isteri malah bersama anak-anak boleh berbicara tentang sastera seolah-olah sebagai satu perbincangan dari sahabat ke sahabat, bukan dari satu keluarga? 

Kami masuk ke alam siber sebagai individu yang independent. Sebab itu perkara ini boleh berlaku. (Kadangkala kami berlakon, hahaha...)

Airmas_sz: Siapakah sasterawan yang saudara minati dan apakah genre yang sinnonim dengan saudara dan mengapa?

Saya meminati puisi. Saya paling suka tulisan A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, T. Alias Taib, Rahman Shaari, Zaharah Nawawi, dan ramai lagi. Di esastera, saya paling suka sajak-sajak... ah, banyak yang saya suka. Saya juga minat cerpen. Cerpen Zaharah Nawawi dan T. Alias Taib mesti saya baca. Mengapa saya meminati puisi? Sebenarnya saya meminati semua genre namun puisi paling mencabar pengucapannya; puisi juga lebih ringkas daripada cerpen dan novel.

Airmas_sz: Kita pernah mendengar slogan memasyarakatkan sastera; apa pandangan saudara dan apa yang esastera lakukan untuk memenuhi slogan ini?

Saya setuju sastera dimasyarakatkan.  Esastera berharap dapat mengembangkan sastera kepada generasi muda melalui media internet. Kami juga komited menghasilkan versi cetakan keras produk kita untuk masyarakat umum di luar alam maya.

Airmas_sz: Sejauh mana saudara rasa sastera bisa menembusi halangan berkelompok?

Berkelompok? Kelompok sastera biasanya didasari ikatan yang bukan sastera. Pertubuhan sastera kerap kali diasaskan kepada pegangan yang non-sastera. Apakah saya menjawab soalan sdr? 

Airmas_sz: Dari apa yang saya baca tentang karya saudara, nampaknya saudara memenuhi hampir setiap genre, namun apakah genre yang paling saudara minati dan apakah genre yang banyak saudara hasilkan; saya berasa perlu untuk tahu kerana ada yang minat tapi tak boleh buat, ada yang boleh buat tapi tak minat.

Saya paling meminati puisi dan saya hanya menulis puisi. Saya menulis cerpen sebagi kegiatan tambahan.  Saya menulis novel untuk menggerakkan kegiatan itu di esastera. Saya menulis pantun kerana suka-suka. Tentang "minat tapi tak boleh buat, boleh buat tapi tak minat" itu masalah kecil. Belajarlah cara membuat apa yang sdr minat dan belajar meminati apa yang sdr boleh buat. Perkara ini tidak mustahil.

Airmas_sz: Bilakah mulanya saudara menulis dan apakah sejak kecil lagi? Kalau sejak kecil apakah saudara tidak main guli? (tareht marah tanya macam ni).

Saya mula menulis masa muda-muda tapi tidak serius. Masa sekolah menengah, saya rajin menulis cerpen.  Ada juga yang tersiar tetapi di akhbar pelajar sahaja. Masa itu saya tak minat sajak. Di Tingkatan 5, saya menulis satu dua sajak untuk majalah sekolah. Semasa menjadi mahasiswa, saya mula menulis dan menyimpan puisi dengan serius tetapi puisi peribadi. Saya mula menerbitkan puisi semasa berumur 44 tahun. Saudara semua masih belum terlambat.

Airmas_sz: Apa ada kesalan dalam hidup saudara dan kalau saudara boleh kembali ke belakang, apakah yang hendak saudara perbetulkan dalam hidup saudara?

Ah, akhirnya ada satu soalan yang betul-betul menarik hati saya. Sebenarnya, hidup saya banyak ditentukan oleh takdir. Maka saya tidak ada sebarang sesalan. Saya berserah kepada qada dan qadar. Setiap kali, apabila saya tidak mendapat apa yang saya hendak, mestilah kerana Allah mahu menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Oleh sebab sekarang ini boleh dikatakan saya berada dalam "comfort zone" kehidupan, saya rasa takut untuk kembali ke belakang mengubah apa-apa...

Saya berharap jawapan saya tidak menyinggung sesiapa; jika hal itu berlaku, saya mohon maaf. Terima kasih sdr Airmas kerana telah sudi mewawancara saya. Salam.

 
1. T. Alias Taib Mewawancara Irwan Abu Bakar

Pada Mei/Jun 2002, semasa penyair T. Alias Taib sedang menggarap Prakata untuk antologi puisi Semelar, beliau telah beberapa kali mewawancara saya. Salah satu wawancara itu dilakukan secara bertulis. Jawapan saya tulis semasa berada di Glasgow, Scotland. Di sini saya siarkan wawancara bertulis itu semoga ada mana-mana bahagian yang boleh menjadi ilmu yang berguna kepada anda, insya-Allah:

(1) Tanggapan sdra terhadap puisi?

Puisi merupakan cetusan bahasa dalam bentuknya yang paling indah. Saya amat meminati bahasa dan, dengan itu, mendapati puisi sebagai dimensi bahasa yang saya gemari. Saya berpuisi untuk memperoleh keseronokan intelektual. Proses menghasilkan puisi, bagi saya, merupakan eksasais minda yang menyeronokkan dan mematangkan. Seseorang yang rajin membaca puisi akan dapat “membaca" peristiwa sebenar yang berlaku di sekitarnya dengan ketelitian dan sensitiviti yang tinggi.

(2) Puisi terbina drpd bentuk dan isi. Kpd sdr, yang mana datang terlebih dahulu?

Puisi saya berteraskan “isi”. “Bentuk” saya gunakan untuk membentangkan isi itu dengan cara yang paling baik.

(3) Ambil dua puisi terbaik sdr. Ceritakan sedikit ttg draf kedua-dua puisi itu sehingga selesai ditulis.

Saya tidak dapat menentukan yang mana dua puisi “terbaik” saya. Namun dua daripada puisi saya yang sangat saya minati ialah “Meracik Air” (puisi pendek) dan “Mat Jeni” (puisi yang sederahana panjang).

Puisi “Meracik Air” tidak terlalu sulit menurunkannya ke kertas tetapi telah mengalami berpuluh-puluh proses pengeditan di dalam minda saya dalam usaha saya mencari-cari sebuah “puisi sains”. Saya bina puisi ini daripada frasa “OHH OHH OHH”. Setelah berjaya diturunkan ke atas kertas, saya mengeditnya lima atau enam kali demi menjadikannya karya yang dapat diapresiasi oleh semua pembaca walaupun pembaca yang bukan dari bidang sains. Misalnya, kata “terus” sengaja saya letakkan sebagai suatu baris yang terasing supaya dapat dikaitkan dengan frasa sebelumnya atau frasa selepasnya, bergantung kepada keupayaan pembaca sendiri.

Puisi “Mat Jeni” pula merupakan salah sebuah puisi yang paling sukar saya tulis. Hal ini demikian kerana puisi itu merupakan suatu idea yang saya “paksakan” ke atas diri saya untuk menulisnya. Pada masa itu, saya banyak memberi ceramah motivasi, terutama tentang goal setting dan sebagainya. Saya dapati, dalam alam Melayu, kita ada watak popular Mat Jenin yang berangan-angan (day dreaming) tetapi tidak ada watak popular yang mencapai kejayaan melalui goal setting. Maka, setiap kali kita bercakap tentang goal setting, kita digerunkan atau dimomok-momokkan dengan fobia “angan-angan Mat Jenin” (yang akhirnya mati jatuh pokok kelapa). Untuk ceramah motivasi saya, saya perlukan watak yang mengimbangi Mat Jenin itu. Dalam kes ini, sebenarnya saya telah tahu perkara yang hendak saya tulis. Maka saya tuliskan apa sahaja yang terfikir dan peroleh draf pertama. Draf pertama itu merupakan idea mentah yang ditulis dalam bentuk yang tidak terurus langsung. Saya melakukan revision lebih daripada dua puluh kali sebelum mendapatkan bentuk yang saya rasa agak munasabah. Setelah sajak itu tersiar dalam majalah Dewan Budaya, saya masih tidak berpuas hati. Saya lakukan sedikit lagi pindaan (minimum) untuk versinya dalam antologi (Semelar) ini.

(4) Adakah revision sebahagian proses mengarang puisi? Adakah sdra amalkan revision dlm setiap puisi yang ditulis? Ceritakan sedikit.

Ya, seperti yang saya katakan di atas tadi, saya mengedit semua puisi setelah saya peroleh draf pertamanya. Ada puisi yang diedit berbelas-belas kali. Namun ada juga puisi yang saya berpuas hati setelah mengeditnya empat atau lima kali sahaja. Pada amnya, saya membaca sesebuah puisi saya banyak kali dan mengeditnya berbelas-belas kali. Saya juga mendapatkan bantuan isteri saya utuk melakukan pengeditan dari segi tatabahasa. Ada juga puisi yang “tidak menjadi”, iaitu puisi yang saya abaikan/tolak setelah disiapkan drafnya dan diedit beberapa kali.

(5) Adakah sdra mengalami writer’s block? Kalau ya, bagaimana sdr mengatasinya?

Ada. Sebenarnya, ada dua jenis block yang biasanya saya alami. Pertama, tiada idea untuk ditulis walaupun diri mahu menulis. Untuk mencari idea, saya akan melihat sekeliling saya: pada barang-barang, pada orang, pada kata-kata orang, dan pada bahan-bahan yang dibaca atau didengar. Puisi “Seorang Tong Sampah”, misalnya, saya peroleh dengan cara itu. Kalau tidak dapat juga idea setelah melakukan “scanning” (peninjauan) itu, saya tidak menulis tetapi buat kerja-kerja lain sehingga “datang” idea.

Jenis block yang kedua adalah apabila ada idea yang “kuat” untuk ditulis tetapi tidak dapat menurunkannya dalam bentuk yang sesuai. Apabila saya ada idea tetapi tidak dapat menurunkan ke kertas dengan cara yang "sesuai” (sesuai dengan kehendak saya), maka saya akan mebalik-balikkanya dalam minda saya. Hal ini saya lakukan sambil berjalan, sambil membuat kerja lain, sambil tidur, dll. Biasanya, minda akan menyelesaikan hal itu dengan mengemukakan cara yang sesuai untuk menurunkan idea itu ke kertas – kadang-kadang dalam sekejap masa dan kadangkala dalam masa yang lama. Puisi “Rahsia Di Cermin”, misalnya, diperoleh dengan cara itu. Saya menanti berbulan-bulan untuk memperoleh bentuk yang saya anggap sesuai itu. Pernah juga saya tuliskan sahaja sesuatu idea dalam bentuk datangnya (walaupun tidak sesuai) dan mengeditnya berulang-ulang kali sehingga berasa puas hati. Kerja sedemikian amat rumit (tedious). Puisi “Mat Jeni”, misalnya, dicapai dengan cara itu.

(6) Selain puisi, apakah cara sdra mengisi masa lapang?

Agak kurang tepat jika dikatakan puisi ialah pengisi masa lapang. Saya lebih selesa menyatakan bahawa saya berpuisi untuk mengisi “sebarang kelapangan yang ada” dalam hidup saya. Kerap kali “kelapangan” itu saya perlu wujudkan (create atau design) untuk berpuisi. Dalam kesibukan hidup setiap hari pun saya berpuisi. Apabila bebas daripada kerja rasmi harian, saya bayak meluangkan masa dengan keluarga seperti bersiar-siar atau makan-makan di luar. Saya juga menggunakan masa untuk membaca, menonton teater, dan menghadiri ceramah-ceramah.

Irwan Abu Bakar
Glasgow, 2 Jun 2002