Sastera siber karya kelas dua?

Oleh Mohd. Dahri Zakaria


Kepantasan dunia teknologi maklumat mula meresap dalam banyak perkara. Dan dunia sastera sendiri mula merasai bahangnya. Takat ini, medium sastera kita mula terpisah dua. Dan pemisahan itu bukan lagi secara senyap-senyap atau bawah tanah.

Satu, sastera arus perdana yang selalunya menempatkan karya-karya sastera dalam banyak akhbar atau majalah arus perdana negara. Dua, yang memisahkannya, sastera siber, yang mula dijadikan medan oleh kebanyakan penulis generasi baru untuk menempatkan karya-karya sastera mereka sebelum muncul di lapang sasar sastera arus perdana.

Jika di arus perdana, kita mempunyai ruang di padang Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Tunas Cipta, URTV dan banyak majalah atau akhbar tabloid lain lagi.

Jika di alam siber, selalunya kita akan menemui Melayu.com, PustakaMaya.net, eSastera.com, baca.com, tokeikedai.com, karyanet.com, dan banyak lagi.

Sastera siber sebenarnya mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Kemunculan beberapa orang penulis generasi baru kita telah membuktikannya. Lihat saja Ghafirah Idris yang baru saja memenangi tempat pertama untuk kategori cerpen eceran bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan untuk tahun sudah.

Malah karya-karya beliau banyak mendapat tempat di beberapa akhbar atau majalah lain dalam dunia sastera arus perdana. Beliau bermula dengan sastera siber. Giat menghasilkan cerpen, dan segera hantar untuk tujuan siaran dan bersedia menerima kritikan bersama rakan penulis lain di alam siber.

Nimoiz TY juga begitu, bermula dengan sastera siber sebelum mendapat tempat dalam sastera arus perdana. Pernah memenangi hadiah utama kategori puisi Hadiah eSastera.com (HeScom 2003) anjuran laman eSastera. com melalui sajaknya, Jalan Baru yang tersiar di laman eSastera.com dan berpeluang mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Amiza Khursyi, antara nama baru yang mula menonjol, sekarang berada di Asia Barat menghabiskan baki kuliahnya, juga bermula dengan sastera siber. Cerpen beliau mendapat hadiah ketiga dalam Sayembara Karya Kreatif Negeri Sembilan anjuran Persatuan Penulis Negeri sembilan (PEN) baru-baru ini.

Malah, nama lain seperti Ida Munira Abu Bakar, Salman Sulaiman, Jimadie Shah, Wan Azman Wan Mamat, MK Riza, Fard Razy, Lutfi Ishak, Ummu Hani Abu Hassan, Ezzar Kamal, Arisel BA, AnBakri, MdZainuddin Abd. Rahman, Razali Endun, Zainal Lazim, Abdul Latip Talib, Irwan Abu Bakar, Raja Rajeswari Setharaman dan beberapa lagi merupakan antara yang agak aktif menulis dalam sastera siber sekalipun sudah mempunyai nama dalam sastera arus perdana.

Sesetengah orang melihat sastera di alam siber ini sebagai pasar lambakan karya. Sebab itu ada sesetengah pihak tidak begitu memandang tentang hasil karya sastera di sini. Hakikat ini mungkin ada kebenarannya, tetapi tidak semuanya begitu. Ini kerana terdapat juga sesetengah laman yang begitu bertanggungjawab, dan malah prinsip kerja mereka juga mirip kepada akhbar-akhbar atau majalah di arus perdana lain.

Pengalaman mengunjungi dan mengikuti dunia sastera siber amat memberangsangkan. Laman eSastera.com contohnya, mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Selain bilangan pengunjung yang ramai, malah ia juga datang dari pelbagai pelosok tempat seperti dari Jepun, Ireland, Asia Barat, Amerika Syarikat, dan beberapa negara lain lagi termasuk pengunjung tetap dari dalam negara sendiri.

Mereka bertemu di satu tempat, eSastera. com, untuk berkarya dan bertukar-tukar pandangan serta pendapat secara langsung dan cepat, dalam banyak genre, - sajak, cerpen, drama, novel, novel bersiri, madah dan pantun, resensi buku, berita sastera, sajak jenaka (sajen), poets, profil penulis dan beberapa lagi. Ini yang istimewanya. Malah terbaru, laman berkenaan mula menerbitkan majalah sastera elektronik bulanannya yang pertama, BESt, yang mula menemui khalayak 31 Ogos lalu.

Isi karya tidak berbeza atau menuntut perbezaan. Cuma medannya sahaja yang berlainan. Yang tinggal lagi adalah tentang penerimaan khalayak. Ini barangkali perkara pokok yang paling utama untuk dibahaskan banyak pihak.

Sesetengah penulis, terutamanya yang membesar dan bersusah payah bersama sastera arus perdana sebelum muncul sebagai kelompok penulis yang diiktiraf, agak sukar untuk menerima hakikat kehadiran kelompok penulis yang bergiat dalam sastera siber ini.

Kata mereka, sastera siber kurang nilai seninya. Barangkali oleh faktor mudahnya tersiar dalam mana-mana laman untuk menemui khalayak. Tidak seperti hal yang menimpa bagi pengikut sastera arus perdana yang mengambil masa yang lama dan cukup bersusah payah sebelum berjaya muncul dalam dunia sastera dan diiktiraf.

Mencebik

Maka kerana itu tidak ramai yang memberi perhatian untuk melihat sastera siber ini. Apatah lagi untuk memberi sumbangan bagi mengembangkan sejauh mungkin. Penulis-penulis mapan, jarang benar yang berkunjung. Malah ada antara mereka yang mencebik atau sesekali masuk untuk membuat kacau dengan menyamar menjadi watak lain. Ini berlaku.

Ini mendukacitakan. Bukan keadaan, tapi sikap. Untuk merobah barangkali sulit kerana kita selalunya sukar untuk menerima sesuatu yang baru itu. Apatah lagi untuk menyokongnya pergi lebih jauh ke depan.

Dunia sudah berubah. Dulu waktu dunia teknologi maklumat belum begitu meluas kegunaan dan penerimaannya, sastera arus perdana merupakan hanya satu-satunya jalan yang boleh dilalui oleh sekalian kelompok penulis.

Tetapi kini, selari dengan perkembangan semasa, sastera siber telah memberi alternatif baru untuk menampung sebanyak mungkin karya sastera menemui khalayaknya. Malah telah banyak pihak mengambil kesempatan dengan peluang dan ruang yang ada untuk turut sama mengeksploitasi demi mengembangkan dunia sastera ini.

Cuma yang tinggal kini adalah penerimaannya. Sejauh manakah ia diterima akan kehadirannya, masih berkait rapat dengan dunia arus perdana sana, terutamanya pihak-pihak yang berwajib yang memayungi perjalanan dunia sastera di negara ini.

Sementara itu, hayat sesebuah laman sastera di alam siber juga amat menentukan pengaruhnya. Selalunya sesebuah laman itu hanya bersifat sementara, dan tidak tahan lama. Ini berkait rapat dengan bilangan penulis yang turut menulis dan menyumbangkan karya untuknya serta jumlah pengunjungnya. Jika tiada penulis, atau laman itu sendiri tidak dikemas kini setiap masa, secara jujurnya laman itu tidak akan bertahan lama.

Pelawat atau pembaca biasanya hanya akan berkunjung ke laman berkenaan sekiranya ada sesuatu yang terbaru dan terkini atau laman berkenaan menunjukkan perubahan isi setiap masa. Jika tidak, hayat laman berkenaan tidak akan ke mana juga. Ini ditambah pula dengan keadaan berapa kerat rakyat Malaysia yang celik IT dan menggunakan sepenuhnya ruang yang ada itu untuk dunia sastera.

Berbeza dengan di arus perdana, selalunya ia terbit secara berkala dan tetap. Malah penerimaannya juga amat meluas. Maka kerana itu ia lebih mendapat tempat dan menyeluruh.

Ada beberapa faktor yang difikirkan perlu untuk mengubah tanggapan bahawa karya sastera siber ini berada pada tahap karya kelas dua dan seterusnya diterima setaraf dengan kedudukan sastera arus perdana ini.

Antaranya ialah editorial dan pertanggungjawaban. Sastera di arus perdana, tidak dapat tidak, mesti melalui tapisan editor sebelum tersiar di mana-mana penerbitan, baik majalah atau akhbar. Ini bermakna, setiap karya yang tersiar itu sudah melalui peringkat editorial yang memungkinkan ia sesuai untuk disiarkan umum.

Karya-karya yang tersiar itu juga selalunya turut mempunyai pemiliknya yang sah. Ini yang dimaksudkan dengan pertanggungjawaban. Ini bermakna, pihak editorial yang menerbitkan sesebuah karya itu mengesahkan bahawa karya berkenaan mempunyai tuan punya dan juga sah keasliannya.

Ini bermakna, sekalipun penerbitan sastera di alam siber nampak agak mudah dan cepat, faktor ini hendaklah dititikberatkan agar ia masih dapat mengekalkan keaslian dan mutu sesebuah hasil karya itu sebelum menemui khalayak.

Pihak yang berada di arus perdana juga hendaklah melakukan sesuatu agar wujudnya kesinambungan antara dua dunia yang berbeza ini. Contohnya, sekiranya sesebuah laman sastera itu mengadakan sayembara atau penerbitan-penerbitan terbaru, ruang promosi hendaklah dibuka sama di peringkat arus perdana supaya semua pembaca yang mengikutinya maklum tentang sesuatu yang berlaku di dunia yang satu lagi itu. Dan begitulah sebaliknya. Ini secara tidak langsung akan mewujudkan kesinambungan antara kedua-duanya dan secara tidak langsung akan menunjukkan saling kebergantungan.

Namun, apa-apa saja yang dilakukan, masih lagi bergantung kepada penerimaannya. Jika kita masih beranggapan bahawa karya-karya sastera siber itu sebagai karya kelas dua, lakukanlah apa saja perubahan pun, karya-karya sastera kita tidak akan ke mana juga. Siapalah sangat yang hendak membaca karya-karya sastera Melayu?