Sastera Melayu dan mata merah

SASTERA untuk pelajar mata merah. Itulah kenyataan dunia sastera Melayu. Ikan, kalau sudah mata merah, faham-faham sajalah. Jenis yang tidak boleh makanlah. Bagi kucing dan anjing pun sah kena tolak.

Lebih kurang begitulah kalau hendak diibaratkan. Itulah yang pernah dikatakan oleh guru-guru dan pensyarah sastera.

Khabarnya tahap sastera di sekolah menjadi tenat. Entah betul, entah dakyah saja. Banyak sekolah tidak mahu menawarkan matapelajaran ini. Apatah lagi hendak dijadikan elektif, atau sebelum ini, orang namakan, aliran sastera. Tidak ada masa depan, alasan mereka. Kalau ada pun, diperuntukkan untuk pelajar tercorot. Tercorot (?)

Mujur juga ada Komsas. Itupun sekadar mencukupkan syarat persekolahan dan untuk periksa saja.

Barangkali itulah nasib dan takdir sastera Melayu. Dihalau pergi, dipanggil datang. Itupun sekadar ala-ala suam-suam kuku. Nasib kalau sudah melukut di tepi gantang. Sastera Melayu tidak pernah menjadi lebih baik. Cuma belum sampai punah dan menjadi tugu sejarah yang reput.

Apakah sudah cukup usaha menjadikan sastera matapelajaran yang bermartabat tinggi? Hanya yang bijak pandai mengenal antara kaca dan permata.

Namun, apabila ingin mengatakan bahawa sudah cukup usaha dan tenaga untuk mengangkat darjat sastera di sekolah, maka renunglah ungkapan ini: sastera untuk pelajar mata merah!

Takah

Itulah kata-kata yang ada selepas pelbagai usaha dilakukan. Dan usaha yang dilakukan tidak membawa sastera maju ke takah tinggi.

Mata merah. Alangkah daif dan hinanya matapelajaran ini. Hanya untuk pelajar mata merah. Dan apakah patut matapelajaran ini untuk pelajar yang lemah saja.

Apakah matapelajaran sastera ini untuk menempatkan pelajar yang tidak ada harapan dan diketahui lemah pencapaian akademik dan tempat selayaknya, adalah kelas sastera.

Tentulah ini perkiraan yang dangkal. Cuba bayangkanlah kalau seorang pelajar yang sudah sedia lemah cuba menguasai matapelajaran ini.

Matapelajaran sastera tidak pernah menyediakan jawapan bersifat objektif seperti matematik. Jadi, bagaimana seorang pelajar yang lemah cuba memahami teks-teks sastera.

Bayangkanlah pelajar yang lemah pencapaian akademiknya cuba memahami teks klasik seperti Sejarah Melayu, atau Hikayat Malim Deman. Barangkali teks sastera yang lebih bersifat semasa gaya bahasanya seperti Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Sandera atau Orang Kota Baru.

Ataupun cuba memahami puisi-puisi Latiff Mohidin dan Rahamidin Zahari atau karya kreatif Anwar Ridhwan.

Matapelajaran sastera bukannya untuk orang yang baru pelajar membaca atau memahami bahasa, atau tercicir. Ia lebih daripada itu. Ilmu sastera barangkali tidak menyediakan jawapan ala matematik, tetapi teknik berfikir sains setinggi astronomi, biologi, fizik hatta metafizik sekalipun turut terangkum.

Kalau tidak percaya ada unsur fizik dalam puisi, cuba tanya Irwan Abu Bakar, penyair siber dan pensyarah kejuruteraan dari Universiti Malaya.

Hakikat

Itulah hakikat kontemporari. Tidak ada kelas sastera seperti dulu. Konon yang lebih glamor kelas perdagangan dan teknik. Hendak salah siapa. Pelajar? Ibu bapa? Atau sesiapa saja yang berkenaan. Macam lagu bangau?

Sastera memang tidak menyediakan pekerjaan sehebat doktor, pakar bedah, jurutera, peguam, juruterbang, tetapi ia menjadikan seseorang menjadi manusia.

Masalah. Sastera Melayu memang dipenuhi kudis-kudis masalah. Itu hanya di sekolah. Belum lagi kalau hendak diperdengarkan cerita karut, ada IPT yang mensyaratkan para pelajarnya mengkaji teks terjemahan bahasa Inggeris karya sastera Melayu. Ataupun kertas soalan pensyarah dan kertas jawapan pelajar ditulis dalam bahasa Inggeris.

Entah betul, entah tidak. Yang berkenaan, elok jenguk-jenguklah balik.

Utusan Malaysia, 14 September 2004.