GAPENA didakwa tidak bela penulis
Oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
GABUNGAN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) kini
berusia lebih 32 tahun. Ia sudah terkenal di peringkat nasional,
nusantara dan antarabangsa.
Bagaimanapun, GAPENA kini dianggap sudah melupakan dua
daripada tujuh tujuan penubuhannya, iaitu mempertahan dan
memperjuangkan hak dan kepentingan penulis serta mengusahakan
peluang untuk penulis memajukan bakat mereka.
Sebaliknya, ia hanya kerap menganjurkan pertemuan, sayembara
dan mencari Melayu saja daripada membela nasib penulis tanah
air.
Penyair mapan yang telah bergiat dalam GAPENA sejak
penubuhannya, T.Alias Taib mendakwa badan tersebut kurang
mengambil tahu dilema dan permasalahan penulis muda.
``Sejak dulu lagi GAPENA lebih terarah kepada memperkenalkan
budaya Melayu dan sarjana tanah air ke luar negara. Ia tidak
memperjuangkan hak penulis muda,'' jelasnya yang menegaskan
GAPENA wajar membina pengarang yang baik untuk masa depan.
Katanya, penulis muda hari ini adalah aset untuk memenuhi
harapan tersebut dan oleh itu mereka perlu dibela. Sewajarnya
menurut beliau, GAPENA mengutamakan usaha itu kerana ia dapat
melahirkan pengarang yang baik.
``Ia perlu membela penulis muda bukan dari segi kewangan
sahaja malah ilmu. Barulah fungsinya jelas,'' kata T. Alias.
Beliau yang telah memenangi pelbagai anugerah sastera
mencadangkan supaya GAPENA mendedahkan penulis muda kepada
sastera antarabangsa menerusi karya terjemahan.
Di samping itu perlu diadakan forum yang menampilkan penulis
muda sebagai pembicara, bukan lagi sebagai peserta seperti
sebelum ini. Juga menyediakan peruntukan berupa tabung khas
untuk penerbitan karya penulis muda tanpa memilih bangsa dan
genre.
Mengenai masalah penulis menjadi mangsa penerbit, T.Alias
berpendapat sudah sampai masanya GAPENA menubuhkan unit hak
cipta untuk memelihara kepentingan penulis terutamanya yang
berada dalam Sekretariat Penulis Muda GAPENA (SPMG).
``Unit tersebut bertujuan melihat ketidakadilan serta
keburukan dalam dunia penerbitan dan berusaha mengatasinya,''
tegas T. Alias yang mencadangkan agar GAPENA dan penerbit
berunding menyelesaikan masalah bayaran untuk penulis.
Sementara itu, pengkritik sastera, Mohamad Daud Mohamad pula
mahu GAPENA meninggalkan mentaliti status quo serta kroni
sendiri. Sebaliknya, menggilap imejnya agar kelihatan bersih.
Beliau mengakui GAPENA pernah menganjurkan beberapa majlis
ilmu seperti Bengkel Penghayatan Puisi dan Bengkel Penulisan
Kreatif Wilayah Selatan. Namun, tiada perkembangan lanjut kerana
penulis tidak berfungsi dan tidak dibina dengan baik.
Namun beliau tidak menafikan acara lawatan dapat membuka
minda dan memberi idea baru. Cuma, katanya jangan ia dijadikan
keutamaan.
``Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan bagus, namun
tidak melahirkan penulis. Lebih baik sayembara penulisan
diteruskan kerana ia dapat melahirkan pelapis akan datang,''
tegasnya yang menyetujui kewujudan SPMG untuk melahirkan penulis
pelapis.
``Saya mencadangkan agar GAPENA memberi peruntukan khas bagi
SPMG agar ia dapat menjadi jambatan untuk penulis berkreatif.
GAPENA juga harus menentukan hala tuju SPMG,'' katanya yang
turut meminta GAPENA mendesak DBP menerbitkan karya penulis muda
dan berunding dengan penerbit untuk berbincang soal penerbitan.
Seorang penulis yang bukan dari latar belakang sastera,
tetapi sedang membina nama dalam penulisan,
Irwan Abu Bakar mencadangkan
supaya GAPENA `dimasyarakatkan'. Katanya, ada dua langkah yang
perlu GAPENA lakukan untuk menuju ke arah itu.
``Pertama, GAPENA perlu mewujudkan dana penerbitan untuk
penulis menerbitkan karya mereka kerana ramai penulis yang tidak
berkemampuan.
``Kedua, GAPENA perlu mengadakan anugerah tahunan untuk
penulis yang menghasilkan karya kreatif dan deskriptif yang
terbaik,'' jelas Irwan.
Katanya, sebagai pertubuhan induk, GAPENA, harus memberi
anugerah yang lebih besar berbanding yang dianjurkan oleh
kerabatnya di seluruh negara.
Mengenai SPMG, Irwan yang juga Ketua Jabatan Fakulti
Kejuruteraan Bio-Perubatan Universiti Malaya berharap kelompok
ini tidak diabaikan GAPENA.
``Kewujudan SPMG baik kerana ia satu usaha melahirkan penulis
pelapis harapan masa depan. Justeru, ia perlu dijaga dan dipupuk
sebaik-baiknya,''kata Irwan.
Utusan Malaysia. |