Sastera Melayu bukan milik orang sastera saja

HAMPIR seminggu yang lalu, seorang pembaca menyatakan rasa terpikatnya kepada sastera Melayu. Semuanya gara-gara membeli dan membaca novel Perempuan Politikus Melayu, karya Faisal Tehrani.

Rasanya, itu hanyalah keajaiban kecil yang ditunjukkan oleh penulis negara ini dalam dunia sastera Melayu ini. Berupaya menghasilkan karya bermutu dengan gaya bahasa yang tentunya baik dan kreatif.

Tentunya, sikap memandang rendah terhadap sastera dan bahasa Melayu itu akan hilang apabila kita benar-benar bersifat terbuka dan jujur ketika membaca karya-karya sastera Melayu yang mempunyai kekuatan dan nilainya tersendiri berbanding sastera lain.

Sekalung bangga kepada pembaca itu, Nurul Nurdalila. Katanya, sastera Melayu mengajar betapa tinggi nilai bahasa dan tamadun Melayu.

Bekas pelajar sains tulen yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan, dan akhirnya menemui keindahan sastera dan bahasa Melayu yang menjadi suatu rahsia kepada dirinya selama ini.

Hakikatnya, beliau bukanlah orang pertama lulusan dalam bidang yang amat berbeza daripada aliran sastera, tetapi meminati sastera kemudiannya. Sudah ada, cuma bilangannya bolehlah dianggap tidak seramai mana.

Kebiasaannya, mereka yang datang daripada bidang yang jauh berbeza, tidak sekadar menjadi peminat, malah terlibat secara langsung.

Nama seperti Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob, seorang pakar pergigian dan Naib Canselor di Universiti Malaya; Dr. Irwan Abu Bakar, seorang lulusan dan pensyarah kejuruteraan, juga di Universiti Malaya bukanlah nama asing.

Underground

Demikian juga seorang pengamal undang-undang, Nisah Haron dan anak muda yang mempelopori gerakan sastera underground, Shaharil Hasrin Senin juga seorang jurutera.

Nurul Nurdalila barangkali bukan nama besar atau penting kepada sastera Melayu, malah tidak ada siapa yang kenal beliau pun. Namun luahannya mengenai sastera Melayu sepatutnya membetulkan pandangan kolot dan sempit terhadap sastera dan bahasa Melayu selama ini.

Pandangan jumud bahawa matapelajaran sastera Melayu di sekolah sebagai tidak penting dan tidak membantu pembentukan kerjaya, penuh dengan khayalan yang tidak membina patut lama dihapuskan.

Lebih buruk lagi, masalah ini menjadi bebanan akibat sikap malas.

Sememangnya sastera dan hasil karya penulis kita tidak akan memberikan pekerjaan. Tetapi apakah masyarakatnya perlu hidup tanpa mengetahui sesuatu yang sebenarnya menjadi sebahagian daripada denyutan nadinya sendiri, atau menjadi darah daging sejak lahir.

Kita tidak akan kenal hati budi sendiri andainya tidak tahu dan tidak faham jati diri yang tercermin melalui sastera dan bahasa.

Seribu macam hikmah dan kebijaksanaan berfikir dalam pepatah, simpulan bahasa dan pantun Melayu memperlihatkan betapa tinggi tahap pemikiran dan dalamnya ilmu pengetahuan orang-orang yang menciptanya.

Tetapi kita lebih kenal siri novel cereka Lord Of The Rings dan sanggup berbaris panjang mendapatkannya. Kita lebih mahu dikenali sebagai pembaca karya Shakespearce daripada mengenal tulisan Tun Seri Lanang.

Ironi

Sebab itulah, berlaku sikap ironi pada masyarakat yang terlalu memandang pencapaian dalam bidang sains dan teknologi, sehingga terlupa bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan negaranya.

Lebih malang, dalam usaha memburu taraf negara maju, sastera dan bahasa tidak pernah menjadi penting daripada halaman-halaman buku teks, sekadar memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Sekadar untuk lulus peperiksaan, tanpa memberikan sebarang harapan masa depan. Demikiankah?

Utusan Malaysia.