| IRWAN ABU BAKAR | CERPEN | 1 | 2 | 3 | |||||||||||||||
| 3
X-UMUR Oleh: Irwan Abu Bakar
Seperti semua penemuan saintifik yang hebat, penemuan bahan kimia “x-umur” berlaku secara kebetulan. Seperti semua idea agung sepanjang zaman, idea tentang bahan kimia “x-umur” terilham berasaskan pemerhatian yang tajam. Interpretasi tentang x-umur ditamsilkan oleh ahli sains Dr. Kadri berasaskan pengalamannya dengan wang. Apabila mengembara, Dr. Kadri lebih memberikan perhatian terhadap baki wang di dalam dompetnya. Berapa baki wang yang ada menentukan keupayaannya untuk terus mengembara. Berapa wang yang telah dibelanjakan tidak mempunyai apa-apa kesan kepada keupayaannya itu. Begitulah dengan umur manusia, fikir Dr. Kadri. Umur yang telah dilalui tidak dapat dimanfaatkan lagi. Perkara yang penting bagi manusia ialah baki umur yang ada. Baki inilah yang dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan segala tanggungjawab dan menunaikan segala ibadat. Pada fikiran Dr. Kadri, hal ini jelas menegaskan bahawa amalan mengukur umur seseorang daripada tarikh orang itu dilahirkan tidak banyak manfaatnya. Perkara yang perlu ditentukan ialah baki umur yang ada sebelum seseorang itu meninggal dunia. Tua muda seseorang itu harus diukur relatif terhadap baki umurnya. Orang yang lebih banyak baki umurnya itulah yang dikatakan muda, dan sebaliknya. Kalau masyarakat dapat menerima anjakan paradigma ini, alangkah bermaknanya ukuran umur seseorang itu, fikir Dr. Kadri.
II Teori yang dikemukakan oleh Dr. Kadri hasil penemuannya itu amatlah mudah difahami. Setiap orang mempunyai sejumlah bahan kimia x-umur di dalam tubuhnya. Apabila bahan ini menjadi sifar, orang itu akan mati. Bahan ini dilabel sebagai x-umur oleh Dr. Kadri sendiri. Agen kimia x-umur ditemui oleh Dr. Kadri semasa dia sedang melakukan penyiasatan terhadap kesan kemerosotan bioimpedens pesakit denggi. Tindak balas elektrik yang diperolehnya itulah yang membawanya kepada penemuan kimia x-umur. X-umur berkelakuan sama seperti entropi (yang merosot kuantitinya setiap kali berlaku sesuatu tindak balas). Begitu jugalah dengan x-umur. Kuantiti x-umur di dalam badan manusia merosot setiap masa. Namun apa yang paling penting ialah keadaannya yang merosot dengan kadar linear dan malar terhadap masa. Hal ini memungkinkan baki x-umur pada sesuatu masa diprojeksi dengan begitu mudah apabila jumlahnya yang ada sudah diketahui. Tempoh x-umur akan menjadi sifar dapat ditentukan dengan tepat. Dalam kata-kata yang lain, apabila kuantiti x-umur yang dimiliki seseorang itu telah ditentukan, maka akan dapat ditentukan dengan tepat hari, jam, minit, dan saat masa seseorang itu akan mati. III Penemuan dan hipotesis mula yang dikemukakan oleh Dr. Kadri menuntut suatu penyelidikan yang serius dan amat mencabar. Akhirnya Dr. Kadri berjaya mengekstrak bahan kimia yang berkenaan. Yang lebih penting ialah kejayaan Dr. Kadri mereka bentuk alat x-tron untuk mengukur kuantiti x-umur dalam tubuh seseorang pada sesuatu masa. Kaedah pengukuran itu amat mudah dan berbentuk tak invasif. Dia menggunakan aliran elektrik kecil yang disalurkan ke dalam tubuh manusia dan mengukur tindak balas sel epitelium terhadap arus elektrik yang dialirkan itu.
IV Dr. Kadri pernah membuat eksperimen mudah untuk membuktikan yang hipotesisnya salah. Dia mahu membuktikan bahawa sesuatu benda hidup boleh mati tanpa x-umur dalam tubuhnya menjadi sifar. Dia memasukkan sepuluh ekor tikus yang mempunyai x-umur yang diukurnya sebagai mencukupi untuk hidup selama dua tahun lagi. Dia memasukkan tikus-tikus itu ke dalam baling kaca tertutup dan menyalurkan gas toksik ke dalam balang itu. Esoknya dia pergi untuk mengutip bangki-bangkai subjek eksperimennya itu. Dia bertemu tikus-tikus itu di luar balang. Tikus-tikus itu lari apabila melihatnya datang. Tikus-tikus itu semuanya telah berjaya melepaskan diri daripada balang kaca itu.
V Setelah lebih lapan bulan Dr. Kadri menjalankan penyelidikan lanjutan, kesahihan penemuan dan teorinya tentang x-umur itu tidak diragui lagi. Dr. Kadri merancang untuk membuat satu pengumuman awam. Namun teori dan ciptaannya itu masih perlu dijaga sebagai rahsia besar, takut diciplak saintis-saintis lain. Semua formula perlu disimpan di dalam kepalanya sahaja. Lantas Dr. Kadri memusnahkan semua nota dan catatan berkaitan degan penyelidikan, penemuan, dan perekabentukannya itu. Kini otaknya sahaja yang menjadi satu-satunya storan yang menyimpan ilmu yang baru dan bernilai tinggi itu, sekurang-kurangnya untuk waktu terdekat. Sekurang-kurangnya sehingga paten untuk alat x-tron diperolehnya.
VI Hari itu merupakan hari yang amat besar maknanya bagi Dr. Kadri. Dia akan membentangkan penemuannya tentang x-umur kepada ratusan saintis terkemuka dan wartawan sains antarabangsa. Dia tidak dapat tidur. Jam 4.30 pagi dia terlelap sebentar tetapi kemudiannya terjaga semula. Tefikir olehnya untuk memastikan yang semua peralatan berjalan baik untuk upacara pembentangannya nanti. Dr. Kadri bergegas ke makmalnya. Dia menghidupkan alat x-tron demi memastikan alat itu berjalan lancar. Dia mahu melakukan ujian saat akhir. Namun, pagi-pagi begitu, dia tiada subjek untuk diuji. Dr. Kadri menjadikan dirinya subjek ujian itu. Subuh itu merupakan pertama kali dia memasangkan x-tron ke tubuhnya sendiri. Meter pada x-tron itu tidak bergerak. Dr. Kadri mengoncang-goncangnya. Bacaanya tetap sifar. “Celaka!” rungut Dr. Kadri dalam hatinya, “memang alat ciptaan manusia sentiasa gagal pada saat-saat yang kritikal…” Dr. Kadri mencapai telefon bimbitnya dan mendail Hamsi, jurutekniknya.
“Hello, Dr. Kadri,” terdengar
suara dari sebelah
“X-tron tidak berfungsi.” “Tidak befungsi? Tapi saya telah semak sebelum saya balik tadi. Alat itu berfungsi dengan sempurna,” sahut Hamsi. “Saya sedang mencubanya pada diri saya. Bacaannya sifar.” “Sifar?” Suara Hamsi begitu cemas. Dia yakin alat itu tidak rosak.
VII Hamsi tahu apa yang sebenarnya berlaku. Dia bergegas ke makmal -- untuk menguruskan mayat Dr. Kadri. Laporan kematiannya mencatatkan bahawa Dr. Kadri diserang strok. Lewat pagi itu suatu ilmu baru dikuburkan orang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Wira.
TAMAT.
|
|
GILA Oleh: Irwan Abu Bakar
Sudah 10 hari aku memerhatikan kelakuan pelik lelaki itu. Aku orang baru di situ. Memang setiap pagi aku ke kedai mamak itu untuk bersarapan pada jam 7.15. Aku minum teh tarik, makan roti canai, dan membaca akhbar. Dan dari hari pertama aku bersarapan di kedai mamak itu, aku lihat setiap pagi lelaki berumur awal tiga puluhan dan berbadan tegap itu mengulangi kelakuan peliknya: memesan roti canai dan teh tarik untuk dua orang tetapi menghabiskan bahagiannya sahaja. Bahagian untuk seorang lagi ditinggalkan tanpa dijamah apabila dia pergi. 10 hari terlalu lama untuk aku terus menahan rasa kehairanan. Namun hendak bertanya kepadanya akan kepelikan kelakuannya, tidak berani aku. Maklumlah, aku orang baru di situ dan lelaki itu belum aku kenali walaupun setiap pagi berjumpa dan setiap pagi aku menjeling kepadanya dan dia menjeling kepadaku. Aku tidak berani walaupun aku juga lelaki berumur awal tiga puluhan dan berbadan tegap sepertinya. Aku mendapat suatu ilham. Apa kata kalau aku berbuat sepertinya juga? Tentu dia akan kehairanan. Tentu dia akan datang bertanya kepadaku akan kepelikan kelakuanku itu. Aku menjangka, daripada pertanyaannya itu, aku akan dapat merumuskan rahsia di sebalik kelakuan peliknya. Berbagai soalan boleh ditanyanya kepadaku. Antara soalan-soalan yang akan ditanyanya adalah seperti yang berikut: "Apakah saudara sedang menunggu seorang tetamu yang tidak kunjung tiba?" "Apakah saudara biasanya bersarapan di sini dengan isteri saudara tetapi kini isteri saudara sudah tiada dan saudara tidak dapat menerima hakikat itu?" "Apakah saudara kesunyian dan mengharapkan seseorang akan datang duduk bersama saudara demi mendapatkan sarapan percuma yang saudara hidangkan?" "Adakah saudara tidak mahu diganggu maka saudara sengaja memesan teh tarik dan roti canai yang lebih supaya jika ada kawan-kawan saudara yang mahu duduk bersama-sama dengan saudara, akan saudara katakan bahawa saudara sedang menunggu seseorang dan tidak bolehlah dia duduk bersama dengan saudara?" Daripada soalan yang ditanyanya kepadaku nanti, aku akan dapat mengagak apa masalah lelaki itu. Aku akan dapat mengagak kenapa dia berkelakuan pelik begitu.
Lima minit berlalu. Jam 7.30 pagi, seperti biasa, lelaki berumur awal tiga puluhan dan berbadan tegap itu pun sampai. Dia melihat ke mejaku dan seolah-olah "ternampak" akan kelakuan pelik aku itu: duduk seorang diri tetapi memesan dua gelas teh tarik dan dua keping roti canai seolah-olah hidangan untuk dua orang. Aku agak tersentak apabila lelaki itu tidak ke meja sebelah seperti biasa. Sebaliknya, dia tersenyum kepadaku lantas duduk di mejaku di hadapanku. Aku membalas senyumannya. Dia tidak berkata apa-apa sebaliknya terus dengan kebiasaannya menelan seteguk teh tarik dari gelas di hadapannya dan makan roti canai yang terhidang di hadapannya. Roti canai itu dimakannya segera hingga habis, lalu dia membaca akhbar. Bacaan akhbarnya diselang-seli dengan meneguk teh tarik. Hingga ketiga-tiga bahagian akbar habis dibaca. Lebih kurang 40 minit digunakannya untuk mengusaikan akhbar dan teh tarik. Cuma kali ini, teh tarik yang diminumnya, roti canai yang dimakannya, dan akhbar yang dibacanya adalah kepunyaan aku. Aku yang memesannya tadi. Usai lelaki itu dengan gerak laku hariannya, aku menanti dengan penuh debaran. Aku menanti soalan dari lelaki itu. Apakah soalan yang akan ditanyanya kepadaku yang akan mendedahkan rahsia di sebalik kelakuan peliknya setiap pagi sebelum itu. Lelaki itu memandang kepadaku tetapi tidak bertanya apa-apa. Dia tersenyum dan menghulurkan sekeping kertas putih ke tanganku. Aku menyambut kertas itu. Lelaki itu bangun, tersenyum lagi tanda minta diri, lantas berlalu dari situ. 11 hari ialah tempoh yang terlalu lama untuk aku terus menahan rasa kehairanan. Aku bergopoh-gapah membuka kertas di tanganku apabila kelibat pemuda itu telah hilang dari pandanganku dalam keriuhan pagi itu. Di atas kertas itu tertulis nota untukku: "Selamat jalan, saudara. Esok kita tidak akan berjumpa lagi. Esok saudara tidak akan ke mari lagi. Kedai ini terlalu kecil untuk menampung kehadiran dua orang gila." Aku ketawa terbahak-bahak membaca nota itu. Lucunya. Aku terus ketawa. Aku tidak dapat berhenti ketawa. Sebentar kemudian, datang sebuah ambulans dan beberapa orang kakitangan dari dalam ambulans itu mengepungku dan menangkapku lalu membawa aku ke wad. Aku terus ketawa. Lucunya. TAMAT.
|
| 1 DARAH MELAYU Oleh: Irwan Abu Bakar Pintu rumah Maliki diketuk kasar. Bertalu-talu. Kedengaran suara keras berteriak-teriak dalam bahasa Scots. Sebentar kemudian pintu dipecah. Maliki ditangkap. Dalam jeritannya yang memecahi sunyi dan sejuk malam kota Glasgow itu, Maliki diseret masuk ke sebuah kereta usang yang sedang menunggu dan dipandu melalui Sauchiehall Street, kemudian Argylle street, dan selepas itu entah ke mana. Sebenarnya, sudah hampir enam tahun Maliki tinggal di negara lelaki berskirt, Scotland. Dia tidak menghadapi sebarang masalah walaupun dia merupakan satu-satunya orang Melayu yang tinggal di pinggir kota metropolitan Glasgow itu. Orang Scotland baik-baik belaka. Tabiat mereka tidak banyak bezanya daripada orang Melayu sendiri. Mereka lemah lembut, peramah dengan orang asing, dan tidak sombong. Maliki sering menceritakan kepada jiran-jirannya akan keselesaannya hidup dengan orang-orang Scotland dan bagaimana perangai orang Scotland banyak menyerupai perangai orang Melayu sepertinya. Setakat ini masalahnya cuma menghadapi orang Scots yang rata-rata pemabuk, itu sahaja. Namun peristiwa yang menimpa Maliki malam ini melambangkan suatu perubahan perangai manusia yang tidak pernah terfikir olehnya selama ini. Apatah lagi kumpulan orang yang menculiknya itu memang dikenalinya sebagai jiran-jirannya yang amat baik dengannya sebelum ini. "ABCD Musuh Utama Kita!" Begitulah bunyinya poster-poster kempen kesedaran yang sedang ditampal di merata-rata tempat di seluruh dunia. Dalam pelbagai bahasa. Kemunculan penyakit terbaru acute blood cells decay (ABCD) atau "pereputan sel darah parah" memang menggemparkan. Dan membingungkan. Dan menggerunkan. Seluruh dunia berada dalam kemasygulan. Penyakit ini bukan sahaja membunuh individu. Bukan sahaja membunuh bangsa. Bukan sahaja membunuh rakyat negara. Penyakit ini sedang membunuh seluruh umat manusia. Dari Cina ke Jepun, dari Rusia ke Eropah, dari Afrika ke Amerika, kewujudan seluruh umat manusia terancam. Tiada kecuali. Penyakit ini bangun dalam diri individu di mana-mana secara sendiri. Macam cendawan tumbuh. Punca akar atau benih "cendawan" itu belum ditemui. Tidak dapat dipastikan. Seluruh dunia berada dalam keadaan krisis kesihatan. Di seluruh dunia, semua kerajaan meletakkan negara masing-masing dalam keadaan darurat. Darurat kesihatan. ABCD dicirikan oleh sel darah putih dan sel darah merah yang mengalami dekomposisi fizikal. Mangsa mati setelah beberapa jam diserang. Penyakit itu dipercayai muncul dari dalam diri pesakit kerana pesakit tiada menunjukkan sebarang tanda infeksi dari luar. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejak sebab-musabab berlakunya penyakit ini. Usaha dilakukan oleh sektor awam dan sektor swasta. Sampai ke peringkat tertinggi WHO. Setelah lebih kurang sebulan ABCD merebak dan membunuh hampir enam juta manusia, seorang pakar penyelidik WHO mengemukakan suatu pemerhatian aneh: tidak ada orang Melayu yang diserang ABCD! Di seluruh dunia, walau di negara mana mereka berada, orang Melayu tidak ada yang diserang penyakit ini. Walaupun orang Melayu itu sedang berada di England, tempat penyakit itu paling teruk melanda setakat ini, orang Melayu tetap kebal terhadap ABCD. Begitulah keadaannya, orang Melayu di Malaysia dan Indonesia, di Madagaskar, di Eropah, di Kampuchea, malah di mana-mana sekalipun, tidak dihinggap penyakit ini. "Keadaan bangsa yang telah larut usianya menyebabkan darah yang diwarisi turun-temurun dari generasi ke generasi kini telah habis tempoh bergunanya, tak ubah seperti barang makanan dalam tin yang diawet yang mereput apabila sampai tempoh tahan (atau "sell by date") baginya," kata Dr. Wilkinson, ketua pasukan penyelidikan WHO di Kuala Lumpur apabila diminta menjelaskan fenomenon itu. Sambungnya, "Bangsa Melayu ialah salah satu bangsa yang relatif muda. Dengan sebab itu, darah orang Melayu masih belum sampai tempoh hayat bergunanya." Untuk beberapa minggu, teori "umur bangsa" yang dikemukakan Wilkinson itu menjadi pegangan para saintis. Usaha dilakukan untuk mencari punca penuaan darah dan kaedah merencatkannya. Namun teori itu cepat tersangkal apabila kajian suatu pasukan penyelidik Rusia menemui suku kaum Kulu di Afrika yang relatif muda berbanding dengan bangsa Melayu, tetapi telah diserang ABCD. Kelakuan ABCD itu telah menyebabkan para penyelidik menumpukan kajian terhadap bangsa Melayu. Mereka mencuba mengenal pasti apa uniknya bangsa Melayu yang menyebabkan darahnya mempunyai sejenis agen untuk menghalang ABCD itu daripada berlaku walaupun agen itu masih belum dapat dikenal pasti lagi. Keunikan bangsa Melayu ditelanjangi dan dikupas para penyelidik dengan pelbagai ragam. Misalnya, ada satu kajian yang diasaskan kepada fakta bahawa orang Melayu merupakan satu-satunya bangsa yang dapat diserang penyakit latah. Hal ini cuba dikaitkan dengan ketahanan darah orang Melayu daripada ABCD itu. Kajian telah dilakukan untuk menghubungkan tindak balas kimia dalam tubuh apabila seseorang itu sedang latah dengan tindak balas kimia yang berlaku apabila darah mereput dalam sindrom ABCD. Kajian ini menjadi semakin menarik apabila sepasukan saintis Kanada mengesahkan bahawa di samping bangsa Melayu, ada satu bangsa lain di dunia ini yang dapat menghidap penyakit latah. Bangsa itu ialah bangsa Eskimo. Hal ini sebenarnya telah diketahui orang berpuluh-puluh tahun tetapi dilupakan sehingga kajian terhadap ABCD menjadi popular. Beberapa pusat penyelidakan ABCD didirikan di benua sejuk beku Eskimo itu. Namun para saintis bertempiaran lari meninggalkan pusat-pusat penyelidikan mereka apabila menemui beberapa kelompok orang Eskimo yang diserang ABCD. Di samping usaha mengkaji tebaran ABCD di kalangan bangsa-bangsa, usaha-usaha telah juga dijalankan untuk mencari penawar kepada ABCD. Tindak balas terhadap dadah tertentu dan tabiat permakanan dikaji secara mendalam. Satu cadangan telah dikemukakan supaya darah orang Melayu ditransfusikan ke dalam tubuh bangsa lain untuk mengelakkan serangan ABCD. Percubaan ini dilakukan di beberapa pusat penyelidikan di USA, di negara German, dan di Jepun. Beratus-ratus sukarelawan bukan Melayu telah menjalani rawatan ini. Ada yang diberikan transfusi separa dan ada yang diberikan transfusi penuh, bergantung kepada apa yang dipercayai oleh pakar perubatan yang berkenaan. Darah orang Melayu menjadi sangat tinggi harganya. Satu sentimeter padu dapat dijual dengan harga beribu-ribu euro. Orang Melayu pun ramai yang berpeluang meningkatkan kedudukan ekonomi mereka hasil daripada kegiatan penjualan darah ini. Ada yang menjadi kaya-raya hasil aset asli yang dianugerahkan Allah itu. Beberapa peristiwa yang mengerikan orang Melayu juga ada dilaporkan walaupun tidak dapat disahkan secara rasmi. Di tempat orang Melayu minoriti, berlaku kejadian apabila perkampungan orang Melayu diserang penduduk majoriti untuk mendapatkan darah secara haram dan paksa. Ada juga dilaporkan peristiwa-peristiwa sedih apabila orang Melayu diculik untuk diambil darah mereka sehingga mereka sendiri mati dibunuh melalui proses itu. Hal inilah yang telah menimpa Maliki. Dalam keadaan kegawatan beberapa bangsa utama dunia untuk mempertahankan keterusan bangsanya, kegiatan ganas dan liar seperti itu mula dijustifikasikan sebagai kegiatan yang perlu dan terpaksa dilakukan. Ada yang mendakwa orang Melayu memang bertanggungjawab untuk berkongsi aset darah yang ada pada mereka dengan umat dunia yang lain. Orang Melayu tidak patut memikirkan keberterusan bangsanya semata-mata. Kegiatan mentransfusi darah orang Melayu ke tubuh bangsa asing merupakan satu-satu cara yang dapat difikirkan oleh para saintis untuk mengelakkan pupusnya bangsa bukan Melayu. Ada kerajaan orang Melayu yang telah mengambil kesempatan ini untuk mengeksport darah rakyatnya demi menambahkan pendapatan per kapita negara. Rakyat dipaksa menderma darah untuk tujuan itu. Atas tekanan beberapa kuasa besar bukan Melayu, ada kerajaan orang Melayu yang telah memaksa rakyatnya yang berada di negara tertentu untuk mendermakan darah mereka secara konsisten. Mereka diugut dengan pelbagai ugutan untuk melakukannya. Ugutan itu termasuk menarik biasiswa bagi pelajar-pelajar tajaan kerajaan dan membatalkan kewarganegaraan bagi sesetengah rakyat yang lain. Kegiatan mentransfusi darah orang Melayu itu bukan sahaja dilihat dari segi ekonomi seperti yang tersebut. Ada pihak yang melihatnya daripada segi politik juga. Pada mereka, inilah pertama kali dalam sejarah dunia moden, orang Melayu berpotensi untuk menjadi kuasa besar atau super power. Hal ini kerana orang Melayu kini memiliki senjata yang tidak dimiliki bangsa lain. Senjata untuk melawan serangan ABCD. Senjata untuk menghalang kepupusan bangsa. Ada juga pihak yang melihat dari segi agama. Seperti biasa, para ulamak ada dua pendapat yang bertentangan dalam hal ini. "Nikmat Allah yang ada pada kita harus digunakan untuk menyelamatkan seluruh umat manusia, sama ada Muslim atau kafir. Islam ditrurunkan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia, bukan kepada sesuatu kabilah sahaja!" Begitulah hujah yang dikemukakan oleh ulamak Melayu dari golongn pertama. Sementara itu, ada satu lagi golongan ulamak yang mengelurkan fatwa bahawa adalah haram bagi orang Melayu menggunakan darahnya untuk menyelamatkan kepupusan orang kafir. Orang kafir sentiasa menjadi musuh orang Islam, kata mereka. Di sana sini, bangsa kafir yang kuat sedang menindas orang-orang Islam. Maka, kata ulamak-ulamak ini lagi, adalah haram bagi orang Melayu mengganggu kehendak Allah untuk memusnahkan bangsa-bangsa kafir yang zalim ini. Kegiatan mentransfusi darah orang Melayu ke tubuh individu bangsa lain berjalan selama hampir empat bulan. Selepas itu, berberapa orang patien yang telah melalui prosedur transfusi ini juga disahkan mendapat ABCD. Turun semula harga darah orang Melayu. Ramailah orang Melayu yang terlepas peluang untuk menjadi kaya. Ramai yang terselamat daripada menjadi mangsa tindakan liar bangsa-bangsa utama yang berada dalam keadaan desperado. "Harapan terbaru umat manusia kini berada di Canton, Cina. Kami yakin akan prospek ini." Begitulah deklarasi ketua pasukan penyelidik dari negara Jepun. Penyelidik-penyeldik dari Jepun telah menjalankan penyelidikan terhadap sekumpulan terpencil orang China yang berada di suatu daerah pedalaman di Canton. Masyarakat terpencil ini telah menarik perhatian antarabangsa kerana merupakan "harapan" bagi manusia yang bukan berbangsa Melayu. Masyarakat terpencil ini ditemui oleh penyelidik Jepun, Profesor Saegusa. Profesor itu menemui masyarakat tersebut dalam usahanya mencari kelompok-kelompok terpencil di serta dunia yang tidak diserang ABCD. Empat pasukan penyelidik dari empat pelosok muka bumi kemudiannya bertandang di perkampungan "harapan" itu. Mereka mahu mengkaji mengapa orang China di Canton yang telah tua umur bangsanya itu tidak mengalami pereputan darah ABCD. Sebulan mereka menjalankan penyelidikan secara intensif. Kemudiannya, penyelidik-penyelidik berkenaan dipanggil ke Geneva untuk membentangkan dapatan masing-masing. Tiga kelompok pertama penyelidik mengemukakan tiga teori yang berlainan tentang mengapa masyarakat terpencil itu tidak diserang ABCD. Kelompok pertama dari Jepun mempostulasi bahawa keterpencilan masyarakat itu telah melindungi mereka daripada makanan moden yang meresap ke dalam darah. Maka darah mereka ialah darah yang tulen. Darah tulen, walau asalnya daripada bangsa apa sekalipun, menurut postulasi mereka, tidak akan mengalami pereputan ABCD. Dua lagi pasukan daripada USA dan Israel mengemukkan dua teori yang lain pula. Para pakar yang menghadiri "pertemuan otak" itu hanya mengangguk-anggukkan kepala tetapi kurang yakin kerana data yang dikemukakan tidak cukup untuk menyokong rumusan yang dibentangkan. Pasukan terakhir daripada Rusia telah membentangkan dapatan yang memeranjatkan tetapi diterima umum sebagai tepat, lantas memenangi hadiah Nobel khas yang diisediakan untuk penyelidikan dalam bidang itu. Pasukan gabungan pakar perubatan-antropologi dari Rusia itu mendapati bahawa masyarakat terpencil Canton yang berkenaan sebenarnya merupakan kerturunan kelima daripada suatu pasangan China-Melayu. Nenek mereka lima generasi lalu berkahwin dengan seorang lelaki Melayu yang lari dari Malaya ke China apabila diburu pemerintah kerana penglibatannya dengan kegiatan keganasan komunis di Malaya. Dapatan bahawa pasangan Cina-Melayu menghasilkan keturunan yg kebal kepada ABCD merupakan suatu dapatan yang sangat penting. Maknanya, anak dan kerturunan daripada pasangan yang salah seorang daripadanya ialah orang Melayu akan memiliki darah yang kebal ABCD. Darah mereka memiliki ciri yang sama dengan ciri darah orang Melayu. Begitulah rumusan yang dibuat oleh pasukan Dr. Pogadaev dari Rusia itu. Penemuan terbaru dan konklusif itu membuka suatu peluang baru kepada semua bangsa yang sedang menghadapi ancaman kepupusan itu. "Bangsa anda dapat diselamatkan daripada pupus jika berkahwin dengan orang Melayu dan menghasilkan zuriat yang mempunyai darah Melayu," tegas Dr. Pogadaev. Dalam sekelip mata, berlakulah perebutan yang maha hebat di seluruh dunia bagi mendapatkan orang Melayu untuk berkahwin dengan bangsa-bangsa lain. Pelbagai tawaran diberikan kepada orang Melayu, terutamanya yang masih bujang. Perkahwinan diuruskan pada pelbagai peringkat, dari peringkat individu ke peringkat G-to-G, dari peringkat penyelidikan saintifik kepada peringkat kehidupan harian. Orang Melayu mula berpindah ke serta muka bumi untuk menyelamatkan bangsa-bangsa lain. Mereka semunya perlukan darah Melayu. Patutlah, kata Hang Tuah, tidak Melayu hilang di dunia. Dari tingkap kondominium tempat aku tinggal, kulihat berduyun-duyun manusia Melayu menaiki pelbagai kenderaan yang sedang mengangkut mereka ke pelabuhan dan ke lapangan terbang untuk dikahwinkan dengan pelbagai bangsa lain di dunia. Mereka daripada pelbagai profesion dan taraf hidup. Ada juga rakan-rakan penulis muda yang sememangnya aku kenali, seperti Nimoiz, Anjan Ahzana, Dahri Zakaria, Jimadie Shah, Ida Munira, dan A. Marzah. Wah, penyair Kablam dan Inocent One pun ada. Terfikir aku, apakah orang Melayu sedang memanfaatkan rezeki pemberian Allah ini dengan cara yang sebaik-baiknya atau apakah mereka sedang menjual bangsanya? Apakah sebab sebenarnya yang darah orang Melayu kebal terhadp ABCD? Aku tidak tahu. Sebagai seorang lelaki profesional Melayu yang masih bujang, luas kembara, dan cekap dalam pelbagai bahasa, aku sendiri telah menerima ratusan tawaran untuk "menyelamatkan" pelbagai bangsa lain yang sedang menuju kepupusan. Namun aku sedang memikirkan apakah lebih baik aku berkahwin dengan seorang gadis Melayu demi mengekalkan kewujudan darah Melayu yang tulen? TAMAT.
|