| DAHRIE | ARTIKEL | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20 |
| 21 | 22 | 23 | 24 |
| 24 | 23 | ||
| 22 | 21 | ||
| 20 | 19 | ||
| 18 | 17 | ||
| 16 | Akan Ke Mana Dunia Seni Di Kampus? | 15 | Bagaimana Saya Menjadi Ahli Keluarga www.e-sastera.com? |
| 14 | Sastera Siber Sebagai Wadah Alternatif |
13 | Puisi Sebagai Wacana Komunikasi : Satu Analisis Ke Atas Sajak ‘Sesal Orang Melaka’ Karya Irwan Abu Bakar |
| 12 | Seni Deklamasi, Dekon dan Baca Teks | 11 |
Karya Sastera Perlu Penilaian Semula |
| 9 |
Wayang Kulit Sebagai Medium Dakwah |
10 | Iktibar Daripada Kejatuhan Palestin |
| 7 | Saupi ‘Menghalalkan’ Wayang Kulit | 8 | Yang Lebih Mc D |
| 5 | CSUH : Wajah Baru Dunia Poligami | 6 | Bila 'Nyamuk' Bersepah? |
| 3 | Pelajar Warnai Teater Melaka | 4 | Sampaikah Mesej Dalam Festival Teater 2002? |
| 1 | Peritnya Memerangi Budaya Ciplak | 2 | Persoalan Sosial Dalam Sang Puteri |
24. Belasungkawa Dr!
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Saya sudah mula tidur-tidur ayam sewaktu sms pertama saya terima dari teman sekuliah di Malaysia. Dalam keadaan yang agak mamai, berita pertama itu sungguh mengejutkan, dan langsung menyegarkan kembali kantuk saya. Seusai itu telefon saya mula dibanjiri sms yang membawa berita yang sama dari rakan-rakan : Dr. Othman Puteh meninggal dunia di Sabah jam 3 petang tadi!
Saya tergesa menelefon rakan di Kuala Lumpur untuk bertanya berita sedih dunia sastera negara ini. Malangnya belum ramai yang maklum tentang itu waktu itu, terutamanya rakan-rakan penulis muda, kecuali rakan sekuliah yang nyata agak rapat dengan gemulah ni. Balik ke tanahair tiga hari kemudian, baru saya tahu rupanya dalam waktu yang hampir itu, kita telah kehilangan tiga orang tokoh dalam dunia yang berbeza, iaitu Datuk Harun Idris (Politik), Tan Sri A. Samad Idris (Filem), dan Dr. Othman Puteh sendiri (Sastera).
Dr. Othman Puteh saya temui dua hari sebelum berangkat ke London mengikuti program universiti di kedai Koperasi Buku DBP. Kebetulan saya ke sana untuk membeli majalah bulanan DBP dan beliau sedang membawa seorang calon sarjana mencari buku-buku untuk kuliahnya. Kami seperti biasa; bersalam, bertanya khabar, dan langsung beliau bertanya tentang baki kuliah yang beliau tinggalkan bersama kami tidak lama sebelum itu. Kami berceloteh tidak lama, sebelum saya meminta diri untuk berundur. Dan beliau waktu itu menghantar saya dengan senyum yang selalunya tidak lekang dari bibir.
Saya biasa memanggilnya ‘Dr.’, walau rakan-rakan penulis lain (yang agak senior) biasa memanggilnya ‘OP’, kependekan dari nama beliau ‘Othman Puteh’. Barangkali ini antara penghormatan dari kami kelompok anak-anak muda yang terjun dalam dunia sastera. Beliau tamat kontrak untuk kuliah saya secara tiba-tiba tanpa memaklumkan kepada kami, beberapa minggu sebelum beliau meninggal. Selepas itu, baru saya dapat tahu bahawa kontrak beliau tidak disambung lagi.
Tetapi sebelum itu beliau ada memaklumkan ada menerima tawaran dari pihak universiti untuk menjadi ‘Karyawan Tamu’ dan bertugas di Canselori. Tetapi beliau awal-awal lagi menolak dengan alasan tugas itu nanti akan mengganggu rutin tugasan beliau dalam dunia sastera yang biasanya akan membawa beliau keseluruh negara untuk pelbagai program sastera. Tambah pula beliau tidak selesa dengan keterikatan masa yang akan beliau hadapi jika menerima tawaran itu sesuai dengan masa ‘persaraan’ yang beliau lalui tika itu.
Nama Othman Puteh amat rapat dengan dunia sastera remaja tanahair. Malah sesetengah pihak selalu menyebut beliau sebagai ‘Raja Sastera Remaja’. Beliau telah menghasilkan lebih kurang 60 buah novel dan sekitar 200 buah cerpen yang telah diterbitkan dipelbagai tempat. Selain itu, puluhan buku kajian lain berkisar sastera negara turut dihasilkan.
Novel beliau yang agak terkesan dari pembacaan saya ialah Kalut dan Munajat Di Perkebunan. Selebihnya adalah himpunan karya-karya sastera remaja beliau, terutamanya cerpen dan juga siri-siri penyiasatan yang mula diterbitkan akhir-akhir ini. Selain itu terdapat juga puluhan antologi yang beliau selenggarakan hasil daripada pelbagai bengkel, pertemuan atau perhimpunan penulis seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Beliau yang lahir 59 tahun lalu dan dibesarkan di Melaka mula aktif menulis sewaktu masih dibangku sekolah lagi. Sedari itu beliau tanpa lelah, berkayuh terus menanggapi dunia sastera secara lebih dalam. Pelbagai buku serta esei ilmiah yang telah dihasilkan seputar sastera remaja tanahair, menjadikan beliau tokoh penting dalam ujana sastera negara. Antara penghargaan terbesar yang pernah diterima beliau ialah Anugerah SEA Write Award daripada kerajaan Thailand sedikit masa lalu di atas sumbangannya dalam dunia sastera Melayu.
Hari-hari terakhir beliau diwarnai dengan kisah-kisah suram. Seketika dulu sewaktu Kementerian Pendidikan memperkenalkan matapelajaran Komponen Sastera (KOMSAS) dalam Bahasa Melayu dalam sistem pengajian peringkat menengah, beliau sekeluarga diserang tohmahan khalayak lantaran dicurigai kesan daripada pemilihan karya-karya sastera yang digunakan untuk KOMSAS berkenaan. Pada waktu itu, karya beliau, anaknya Hizairi serta Timah Baba (isteri) turut terpilih. Asas kecurigaannya adalah kerana Othman Puteh sendiri adalah antara ahli panel dalam pemilihan teks karya berkenaan.
Sewaktu kami bertemu di Melaka dalam satu bengkel penulisan di Kolej Yayasan Melaka anjuran Kelab Sasterawan Muda beliau menitiskan air mata sewaktu diajukan soalan itu oleh kebanyakan peserta. Tetapi beliau telah memberi penjelasan yang sebenarnya tentang isu itu, menjadikan kami cukup kagum dengan prinsipnya.
Usai itu, tragedi kehilangan anak lelaki sulungnya yang juga antara penulis muda tanahair yang menjanjikan harapan dan sedang meningkat, Hizairi Othman mengejutkan banyak pihak. Hizairi hilang begitu sahaja tanpa khabar berita meninggalkan seberkas harapan keluarga dan khalayak sastera. Sehingga kini tiada sebarang perkhabaran yang diterima tentang nasib beliau. Othman Puteh khabarnya berikhtiar mencarinya sehingga ke berdoa di depan Kaabah di Mekkah dihari-hari akhir riwayatnya. Hizairi mula saya mesrai lewat pertemuan dalam satu seminar sastera yang saya bersama rakan-rakan anjurkan di Melaka dulu di mana beliau adalah antara ahli panelnya.
Kami mula bertukar nota seusai itu. Dan antara yang kekal dalam ingatan ialah seminggu sebelum kehilangannya, beliau ada mengirimkan saya dua naskhah majalah sastera dari Brunei dan juga Indonesia sebagai tanda ingatan. Selepas berita kehilangannya mula diketahui umum, saya kembali menatap naskhah majalah berkenaan serta sedikit tulisan nota ringkas beliau yang dikepilkan bersama, yang saya simpan sehingga sekarang. Sehingga kini, Hizairi pergi entah ke mana, walau kepulangannya sentiasa dinanti-nantikan.
Semoga roh gemulah ni dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang terpilih. Al-fatihah untuknya. Amin!
(Artikel ini pernah tersiar dalam Akhbar Mahasiswa)
|
|
23. ANA Terlalu Lemah?
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Membuat Persembahan Projek Akhir merupakan antara yang cukup mendebarkan oleh sesetengah mahasiswa yang berada di tahun akhir pengajian. Bagi mereka yang mengikuti Ijazah Seni Persembahan (Drama), Universiti Malaya selalunya mereka diberi dua pilihan, iaitu sama ada memilih untuk mengadakan persembahan sebuah pementasan teater atau menyudahkannya dengan menyiapkan sebuah Latihan Ilmiah bertulis.
Walaupun tidak ramai, selalunya pementasan teater tetap akan menjadi pilihan jka mereka merasai kekuatan diri mereka sendiri. Malangnya untuk tahun ini hanya ada dua persembahan sahaja yang dipilih untuk dijadikan sebagai Projek Akhir sementara hampir keseluruhan yang lain memilih untuk meyiapkan Latihan Ilmiah. Tahun lepas, terdapat lebih kurang empat persembahan yang melibatkan siswa tahun akhir untuk pilihan Projek Akhir mereka.
Projek Akhir pertama telah dibuat beberapa bulan lalu iaitu sebuah persembahan Opera Cina yang telah dipentaskan di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Malaya sempena dengan Pesta Tanglung yang turut dianjurkan.
Untuk persembahan kedua ini, siswi Rosazlinda Abdullah telah memilih naskhah Dinsman, ANA untuk dipentaskan di Auditorium Jabatan Muzium & Antikuiti, Muzium Negara pada 27 Februari lalu.Teater ini diarahkan oleh Idham Hadi Md Nor.
Teater ini hanya melibatkan tiga orang watak sahaja, iaitu Ana, Baba dan Emak. Watak Ana dipegang oleh Rosazlinda sendiri, manakala watak Baba oleh Megat Shahrizal Mohd Yusof, dan Emak oleh Khairun Nisaq Abdul Bahri.
Naskhah ini lebih berkisar kepada konflik yang berlaku ke atas watak Ana itu sendiri, yang secara tidak langsung telah memberi kesan kepada kejiwaannya, terutamanya dalam membuat sebarang keputusan untuk diri dan juga memilih untuk kepentingan orang lain.
Pada tahun lepas, naskhah yang sama pernah dibawa oleh Istina Jafri untuk juga sebagai pementasan Projek Akhir mereka. Dan jika dibuat perbandingan, nyata pementasan pada tahun lepas jauh lebih bermutu dan menepati maksud pengarangnya.
Terdapat beberapa faktor yang boleh diambil kira kepada kemungkinan pembawaan naskhah ini menjadi terlalu lemah. Pengarahnya, Idham Hadi Md Nor jika ditelusuri perjalanan penglibatan beliau dalam dunia teater secara galak akan terserlahlah keterikatan idea beliau.
Sebelum ini beliau pernah mengarahkan ‘Kan Ku Bunuh Cinta’ dalam Festival Teater MAKUM 2003. Pernah juga mengarahkan ‘Soluloki Sebuah Kanvas’ sempena Festival Seni 2003. Mengarah juga ‘Romeo And Juliet’, sebuah teater epik Inggeris serta beberapa lagi.
Hampir ke semua konsep cerita yang di bawa beliau ini berakar dari asas pergerakan sama : penggunaan objek berupa kotak, kerusi, atau petak-petak gerak yang tidak bercambah untuk menghantar makna kepada penonton. Dapat dikesani dalam naskhah ANA ini, beliau menjadikan kerusi sebagai objek asas untuk menghantar maksud kepada penonton. Sebenarnya asas pergerakan seperti inilah yang beliau warisi tanpa idea melalui ‘mahaguru’ beliau, Effendi Shamsuddin yang mula menampilkannya melalui sketsa ‘Sistem’ sempena pelancaran penerimaan anugerah Sijil ISO universiti tahun lalu.
Dalam ANA, apakah makna kerusi itu? Hanya perlakuan akhir cerita antara babak watak Baba dan Emak sahaja yang mudah dikesani penonton, apabila kerusi yang banyak itu menjadi simbol kubur Ana itu sendiri. Ini menampakkan ia telah tidak dikembangkan sejauh mungkin untuk plot sebelumnya.
Dari sudut pembawaan watak, antara ketiga watak itu, hanya watak Ana yang menampakkan kekuatannya jika dibandingkan dengan watak Baba dan Emak. Watak Ana lah yang agak menghidupkan cerita. Sementara watak-watak Baba dan Emak menjadi terlalu lemah bila gagal menampilkan wajah yang sebenar sebagai seorang ‘bapa’ dan ‘ibu’ kepada seorang anak yang ‘degil’ dan ‘keras hati’ seperti Ana itu.
Rosazlinda yang pernah membawa watak Ana itu mungkin sudah mempunyai pengalaman dalam aspek pembawaan watak kerana pada pementasan tahun sudah, beliau membawa watak yang sama dalam naskhah itu.
Watak Baba seharusnya lebih tegas terutamanya dalam menangani karenah anaknya itu yang agak suka beretorik bila beliau menyatakan keputusan serta alasannya dalam membuat keputusan itu. Ini tidak berlaku.
Sementara watak ibu mula menjadi terlalu lembut seolah-olah seorang ibu itu tiada sebarang tanggungjawab yang besar terutamanya dalam menyelesaikan konflik penting yang dihadapi anaknya itu. Faktor-faktor ini, tidak dapat tidak akan melemahkan cerita itu sendiri.
Pengarah juga tidak menggunakan sepenuhnya aspek-aspek penting lain dalam sesebuah pementasan teater. Antaranya peggunaan ruang yang agak terhad serta tidak diisi dengan props dan set yang sesuai bagi menyembunyikan ruang yang terbuang itu.
Penggunaan cahaya juga agak static, dan hanya memberi fokus kepada penggunan cahaya yang terhad. Latar tempat dan masa hanya dibezakan oleh dua warna. Keadaan ini mengelirukan penonton untuk membuat penilaian serta makluman tentang kedudukan sebenar watak-watak pada sesuatu masa itu.
Kesan-kesan bunyi juga tidak digunakan sepenuhnya oleh pengarah. Hanya sesekali sahaja muzik latar dibunyikan dengan agak lama, itupun sewaktu plot cerita sudah berada dipenghujungnya.
Tetapi antara semua itu, faktor masa lah antara aspek penting yang harus diberi penilaian. Ini sebuah naskhah pementasan teater. Dan bukannya sebuah persembahan pentomin atau sketsa pendek sebagai lelucon. Pementasan ini hanya mengambil masa cukup-cukup 30 minit sahaja. Sedangkan pengarah boleh membawanya lebih panjang sedikit dengan memasukkan beberapa unsur atau perkara yang telah disebutkan tadi.
Pengarang asal naskhah ini, saudara Dinsman yang ditemui seusai pementasan menyatakan rasa agak kecewanya kerana pengarah dikatakan gagal memberi penghayatan kepada pembawaan cerita ini.
Menurutnya, beberapa slot seperti pada watak Ana, penghayatan tidak diberikan sepenuhnya oleh pengarah dan juga pelakon. Ini kerana menurut beliau, watak inilah sebenarnya penggerak utama kepada cerita ini.
Ruang untuk Ana berhenti sejenak atau berada dalam keadaan ‘pause’ sebenarnya menuntut masa yang agak lama kerana pada saat itu sepatutnya Ana yang berada dalam dilemma akan menuntut beliau untuk berfikir akan bermacam-macam hal dan lebih memberi penghayatan atau ‘feeling’ lagi. Dan ruang inilah sepatutnya diisi dengan muzik latar atau kesan bunyi yang mengesankan. Selain itu, agak jelas bahawa pengarah gagal untuk memahami bahawa teknik ‘pause’ itu sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam sesebuah pementasan teater itu, dan bukannya hanya dibuat secara suka-suka.
Keadaan-keadaan seperti ini sebenarnya akan melemahkan cerita itu sendiri. Di sinilah sebenarnya menuntut seseorang pengarah itu untuk memberi lebih perhatian kepada aspek-aspek penting dan kecil dalam sesebuah pementasan teater itu untuk menghasilkan sebuah persembahan yang baik, berkesan serta berjaya, dan bukannya mengarahkan sesebuah pemenatasan itu hanya kerana minat semata-mata.
Seperti kata pepatah orang tua-tua, jika kita terjun masuk ke dalam dunia orang lain yang kita tidak tahu tentangnya, belajarlah bagaimana untuk menjadi mahir tentang dunia orang lain itu, dan bukannya berjalan secara sombong dan bongkak membuta tuli semata-mata untuk menunjukkan kebolehan kita itu. Ini kerana yang akan terpamer di situ bukanlah sebuah keajaiban, tetapi sebaliknya adalah sebuah kebodohan semata.
(Artikel ini pernah tersiar dalam laman www.esastera.com)
|
|
22. Anak Kerbau Mati Emak : Rekonstruksi Masyarakat Melayu Pasca-Merdeka
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Naskhah Anak Kerbau Mati Emak (selepas ini disebut AKME) karya Bidin Subari (Malina Manja) menemui khalayak penonton untuk kesekian kalinya melalui satu pementasan yang telah diadakan dengan jayanya di Istana Budaya pada 18 Januari lalu. Untuk kali ini naskhah berkenaan telah diarahkan oleh Mior Hashim Manap. Dan seperti biasa, ramai pelakon dibawa masuk ke dalam pementasan ini sebagai meneruskan tradisi orang-orang teater sebagai usaha untuk memikat lebih ramai khalayak penonton datang menyaksikan pementasan itu.
Menonton teater ini semacam membawa kita kembali ke alam Melayu lewat tahun-tahun 70-an dahulu. Jika dikira faktor masa, waktu itu negara kita sudah lebih kurang 15 tahun menyambut kemerdekaan.
Pementasan yang mengambil masa lebih kurang dua jam lebih ini telah mengembalikan nostalgia masyarakat kita pada waktu itu. Ini ditandai dengan kemunculan watak Tawil yang memulakan cerita apabila beliau ke rumah Pak Mohsein untuk berurut punggungnya yang telah disondol oleh anak kerbaunya.
Usaha Tawil yang digambarkan sebagai pemuda lurus bendul itu banyak kali menemui halangan apabila sebaik sahaja Pak Mohsein ingin memulakan urutannya, ada-ada saja orang yang datang atau keluar dari rumahnya. Keadaan ini telah menimbulkan ketidak-selesaan pada Tawil yang masih malu-malu, bimbang dilihat orang akan keadaan punggungnya itu.
Situasi ini telah memberi ruang sepenuhnya kepada penonton untuk bergelak-ketawa dengan telatah Tawil itu dalam masa yang agak panjang. Sementara Kulup yang merupakan tunangan Jamiah tiba-tiba muncul memberitahu Pak Mohsein tentang gelagat anak kerbau Tawil yang telah terlepas itu yang telah cuba menyondol orang lain dan telah merosakkan banyak tanaman orang.
Faktor inilah yang menyebabkan Kamarun datang ‘menyerang’ rumah Pak Mohsein memberitahu anak kerbau itu bukan sahaja telah merosakkan tanamannya, malah turut menyebabkan binatang kesayangannya turut mati. Kamarun telah beberapa kali cuba ‘menyerang’ rumah Pak Mohsein semata-mata untuk menuntut ganti-rugi di atas kerosakan tanaman dan juga kematian binatang ksayangannya.
Akan tetapi Pak Mohsein agak bertegas, dan semacam keberatan untuk memberikan ganti-rugi itu. Tetapi diakhir cerita Pak Mohsein membayar juga ganti rugi itu.
Sementara hubungan Jamiah dengan Cikgu Salim mula dicurigai oleh Kulup sehingga menuntut beliau untuk mendengar pengakuan sebenar tentang hubungan itu melalui Jamiah sendiri. Keadaan ini menimbulkan rasa kurang senang Jamiah, dan menambahkan lagi rasa cemburu Kulup.
Keadaan menjadi lebih parah apabila Jamiah menuntut supaya pertunangan beliau dengan Kulup dibatalkan. Keadaan ini menimbulkan kemarahan Pak Mohsein sehingga sanggup untuk memukul Jamiah.
Jamiah mula bertegas dengan keputusannya meminta diputuskan pertunangannya dengan Kulup dengan alasan tidak suka dengan sikap Kulup yang cemburu buta itu. Malah Jamiah juga telah meminta izin keluarganya untuk pergi ke Kuala Lumpur bersama dengan Cikgu Salim.
Keadaan ini memuncakkan lagi kemarahan Pak Mohsein. Sehinggalah mencetuskan pula bibit pergaduhan di antara Pak Mohsein dengan isterinya sehingga hampir-hampir membawa kepada perceraian mereka. Ini ditambah mula dengan keputusan anaknya Jamiah yang telah melarikan diri dari rumah.
Kulup yang mencari Jamiah dan memujuknya kembali ke kampungnya, terpaksa mengambil inisiatif lain iaitu dengan terpaksa memujuk Pak Mohsein sekali supaya dapat menerima kembali kepulangan Jamiah kerumahnya itu.
Akhirnya keadaan reda, dan Jamiah kembali ke pangkuan keluarganya dan membatalkan hasratnya untuk memutuskan pertunangannya dengan kulup. Sementara Cikgu Salim muncul untuk menceritakan situasinya yang sebenar bersama Jamiah itu.
Pada keseluruhannya cerita ini sudah berjaya dalam menyampaikan maksud kepada khalayak penonton. Ini disesuaikan dengan alirang pembawaan cerita ini yang mendukung aliran realisme. Maka kerana itu ia amat memudahkan penonton untuk memahami cerita kerana ia merupakan sebuah perlakuan atau salinan semula apa-apa yang berlaku di dalam sesebuah masyarakat.
Pengarah juga telah menggunakan props dan set yang agak terperinci. Ini barangkali disesuaikan dengan tempat pementasan itu berlangsung iaitu di Istana Budaya, yang sudah diketahui umum mempunyai banyak kemudahan serta penggunaan teknologi terkini yang canggih untuk memudahkan sesebuah pementasan itu dijalankan.
Gambaran sebuah rumah kampung di tepi sawah yang cukup sifatnya membantu penonton untuk terus pergi kepada maksud atau pemikiran yang hendak disampaikan pengarang di dalam naskhah berkenaan. Kedudukan peralatan rumah, kelengkapan serta hal yang biasa ada disesebuah perkampungan tani dan sawah melengkapkan penceritaan watak-watak dalam teater ini.
Pengarah juga telah menggunakan kesan bunyi serta muzik latar yang agak sesuai dengan perjalanan cerita. Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh DJ Dave sesekali dinyanyikan melengkapkan suasana cerita ini.
Sementara pembawaan watak-watak pula, antara kesemua watak yang terdapat dalam pementasan ini, watak Tawil merupakan antara watak penting yang mula menggerakkan plot cerita. Watak Tawil dilihat begitu banyak mencuit hati penonton dengan karenah lucu dan bersahajanya itu.
Selain itu, watak Pak Mohsein yang agak jelas dengan sifatnya yang sesekali panas baran menghidupka lagi cerita ini. ini dapat dilihat melalui sikapnya yang mula ‘menyinga’ bila anak gadisnya Jamiah lari dari rumah sehingga nyaris-nyaris membawa perceraian beliau dengan isterinya Jumi.
Watak Kamarun pula mempunyai kelemahan yang agak ketara di dalam penggunaan dialognya. Ini kerana dialog-dialog atau tutur yang dibawa oleh Kamarun terlalu pantas dan laju sehinggakan penonton tidak dapat menangkap maksud atau kenyataan yang diucapkan oleh beliau. Ini barangkali disesuaikan pengarah dengan sifatnya yang agak terburu-buru dalam seseuatu tindakan itu.
Namun yang agak malangnya ialah sambutan atau ‘feedback’ yang diterima secara langsung sewaktu pementasan itu berlangsung. Penonton nampaknya tidak memberi respon yang sepatutnya dalam sesuatu keadaan yang sepatutnya menuntut penonton berada dalam keadaan begitu.
Ini saya kesani contohnya sewaktu babak Pak mohsein sedang bergaduh (bertekak) dengan isteri beliau, Jumi tentang kehilangan anaknya dari rumah mereka. Pada waktu ini, suasana berada dalam keadaan tegang, dan sepatutnya penonton memberi lebih perhatian tentang aksi-aksi itu. Sebaliknya dalam babak ini penonton telah menyambutnya dengan gelak-tawa yang tak putus-putus melihat gelagak mereka berdua ini.
Keadaan ini agak pelik berlaku. Dan ini barangkali melambangkan mutu penonton teater kita di Malaysia ini.
Jika ingin dilihat dari sudut tema, nyatalah waktu itu masyarakat Melayu masih berada ditakuk lama dan betapa sulitnya untuk meninggalkan tradisi lama walaupun setelah 15 tahun negara mengecapi kemerdekaan. Ini dapat dikesan melalui plot-plot cerita yang masih lagi mengisahkan tentang hal-hal yang remeh-temeh dan perkara tetek-bengek.
Inilah dikesan melalui watak-watak Pak Mohsein, Tawil, Kamarun, Kulup yang masih lagi bercakap tentang hal anak kerbau, anak kambing mati, cemburu buta, sakit punggung, dan lain-lain lagi.
Ini secara tidak langsung melambangkan mutu dunia teater di Malaysia waktu itu serta keadaan atau gambaran masyarakat Melayu yang sebenar.
(Artikel ini pernah tersiar dalam laman www.esastera.com)
|
|
21.“Separuh Belut, Separuh Ular”
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Isu nasib Bahasa Melayu mula disentuh secara terang-terangan oleh seorang Menteri kerajaan baru-baru ini. Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mengetuai sebuah kementerian yang baru dibentuk dari kemenangan besar kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-11 baru-baru ini, sebenarnya mengulangi nada yang telah lama dimainkan oleh para aktivis bahasa, sama ada melalui persatuan, NGO, atau secara perseorangan.
Ia mula dicanangkan apabila timbul isu bahasa rojak dalam komunikasi kebanyakan rakyat Malaysia. Kisahnya bermula dengan dua buah lagu; Seksis (Anita Serawak) dan Tipah Tertipu (Ruffedge). Kemudiannya melarat kebeberapa buah lagu lain seperti Alhamdulillah (Too Phat) dan Diva (Anita Serawak). Kesemua ini telah diharamkan untuk siaran umum di semua stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ia timbul bila artis berkenaan memprotes pengharaman yang dilakukan oleh pihak kerajaan itu.
Seperti biasa, bila seorang menteri telah megulas dan menyatakan kebimbangannya secara terang-terangan, maka gegerlah sekejap perdana negara dengan isu ini. Sekejap sahaja, kerana sehari dua ini nampaknya isu ini telah mula tenggelam, ditenggelami bersama harapan dan cita-cita aktivis bahasa. Contohnya, lihat saja ‘Konsert Sure Heboh’ masih digunakan tanpa malu walau telah beberapa kali ditegur oleh banyak pihak. Malah terbaru, setelah isu ini telah reda Utusan Melayu pula menganjurkan ‘Konsert Sure Gempak’!
Bila rakyat dan pemimpin bercakap kembali tentang isu bahasa, rasanya seperti kita baru sahaja menyambut kemerdekaan negara dari tangan penjajah. Sedang hakikat mengetahui bahawa sehingga kini, kita sebenarnya sudah 47 tahun lepas-bebas dari tangan penjajah. Maka kerana itu saya fikir, isu-isu bahasa ini, sepatutnya telah lama diselesaikan dan ditangani, dan sekarang adalah masa untuk kita rakyat Malaysia menghadapi arus kemodenan dan globalisasi tanpa segan dan malu-malu sehingga terpaksa mengorbankan nilai dan akar budaya sendiri.
Tetapi nyata kita telah lama tewas. Isu bahasa sebenarnya adalah sebahagian daripada akar budaya tradisi rakyat Malaysia. Namun rakyat Malaysia nampaknya memandang enteng akan semua ini, terumatanya orang Melayu itu sendiri. Soal bahasa tidak menjadi akar budaya dalam diri masing-masing. Maka kerana itu, bila timbul pembaharuan dan kemodenan yang datang mendadak secara tiba-tiba, tanpa kita sendiri bersedia untuk menghadapinya dengan akar budaya tradisi yang kukuh, maka sudah tentu kita akan tenggelam dan lemas bersama pembaharuan dan kemodenan (baca : globalisasi) yang menyerang itu.
Bahasa Melayu sehingga kini nampaknya menjadi bahasa kelas dua. Cita-cita sesetangah ahli bahasa untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai antara bahasa terpenting di dunia nampaknya mula menemui jalan sukar. Anak-anak yang lahir dari kelompok Dasar Ekonomi Baru nampaknya agak malu-malu untuk bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Ini ditambahi dengan penekanan dan komitmen negara dalam menghadapi arus globalisasi supaya rakyatnya bersedia untuk menerima semua itu. Dan antaranya ialah isu penggunaan dan kebolehan ber- Bahasa Inggeris dikalangan yang Malaysia.
Maka antaranya sistem pengajian mula dirombak, dan matapelajaran Matematik dan Sains mula diajar dalam Bahasa Inggeris. Tujuannya adalah untuk lebih memahirkan pelajar dan menyesuaikan diri dengan arus globalisasi yang melanda seluruh dunia sekarang ini. Dan antara alasannya ialah penggunaan istilah-istilah dalam dunia sains dan matematik yang diterima pakai semuanya dalam Bahasa Inggeris. Tetapi saya percaya, antara alasan utama para pemimpin negara yang merombak sistem ini adalah bertujuan untuk lebih meningkatkan pengetahuan dan kebolehan rakyat Malaysia dalam Bahasa Inggeris.
Nah! Pelik bukan? Ingin mengubati sebatang pokok yang sedang sakit dan tidak berbuah, tetapi bajanya disiram terus pada dahan dan ranting-ranting, dengan harapan agar ia segera pulih dan mula berbuah. Mengapa tidak diletakkan terus baja itu pada akarnya?
Sepatutnya sistem pengajian untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris yang harus dibaiki dan diperkemaskan balik kerana ini adalah saluran yang terbaik digunakan untuk memahirkan rakyat kita dalam ber-Bahasa Inggeris tanpa mengorbankan prinsip akar tradisi dan budaya kita.
Maka kerana itu timbul isu bahasa rojak ini. Alasan sesetangah pihak bahawa betapa tidak ada perkataan yang sesuai dalam Bahasa Melayu yang boleh digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud dalam pertuturan harian adalah antara alasan yang dangkal. Takkan lah Bahasa Melayu, yang pernah menjadi antara bahasa terpenting dunia dalam era Kesultanan Melayu Melaka itu berada pada tahap semiskin itu?
Sebenarnya yang menjadi pokok utama di sini ialah kesediaan diri dalam menanganinya. Saya segera teringat kata-kata Awang Sulong dalam komentar beliau dalam Mingguan Malaysia bulan lepas, bahawa betapa rakyat Malaysia (baca : orang Melayu) sebenarnya terlalu merendah diri. Takut untuk berbangga dengan apa yang ada. Sebaliknya sedia bermegah dengan hak orang lain.
Kita tentu tidak mahu isu bahasa rojak yang dicanangkan ini berlegar sekitar lagu-lagu sahaja. Ini kerana tanpa sedar ia sebenarnya telah lama merebak dalam banyak ruang lain lagi, dan malah sehingga kini sebenarnya berada pada tahap kritikal.
Pencampuran antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ini sebenarnya telah menghilangkan penanda identity rakyat Malaysia.
Isu ‘rojak’ ini timbul bila penutur bahasa mencampurkan antara dua bahasa (atau lebih) dalam percakapan harian mereka. Keaslian bahasa asal telah berubah. Keadaan ini nampaknya bukan menjadi disiplin bagi kebanyakan penutur bahasa (rakyat) dinegara lain. Contohnya, lihat sahaja Perancis, Jepun atau China. Mereka bukan sahaja berjaya mengekalkan kekuatan dan penggunaan bahasa mereka, malah berjaya juga menjadikan Bahasa Inggeris yang datang ke tempat mereka itu disesuaikan dengan bahasa mereka.
Ini yang tidak berlaku ditempat kita. Dan antara sebab utamanya ialah oleh betapa tidak adanya kekuatan rakyat kita dalam hal-hal bahasa ini untuk mendepani semua itu. Maka inilah yang menimbulkan isu bahasa rojak ini, bila proses penukaran kod antara bahasa telah dilakukan sesuka hati.
Dalam situasi negara kita sebagai sebuah negara yang dihuni oleh rakyat berbilang kaum, seharusnya isu bahasa ini tidak lagi menjadi satu masalah yang merumitkan untuk pembentukan jati diri bangsa. Bahasa Melayu yang telah diperakui dalam perlembagaan negara sebagai bahasa rasmi seharusnya dapat dijadikan benteng yang paling kukuh untuk mengekalkan akar tradisi rakyat dan juga agen perpaduan yang paling penting.
Tirulah bagaimana Timbalan Perdana Menteri kita bertutur dalam Bahasa Melayu, atau Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Setiausaha Agung MCA, atau Menteri Kesihatan kita. Mereka ini begitu cermat dan berdisiplin dalam penuturan dan penggunaan Bahasa Melayu mereka, tiada bahasa rojak, dan malah nampak begitu yakin dengan penggunaan Bahasa Melayu mereka dalam pertuturan harian mereka.
(Artikel ini pernah tersiar dalam Akhbar Mahasiswa, Julai 2004)
|
|
20. Sastera Siber Karya Kelas Dua?
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Kepantasan dunia teknologi maklumat mula meresap dalam banyak perkara. Dan dunia sastera sendiri mula merasai bahangnya. Takat ini, medium sastera kita mula terpisah dua. Dan pemisahan itu bukan lagi secara senyap-senyap atau bawah tanah.
Satu, sastera arus perdana, yang selalunya menempatkan karya-karya sastera dalam banyak akhbar atau majalah arus perdana negara. Dua, yang memisahkannya, -sastera siber, yang mula dijadikan medan oleh kebanyakan penulis generasi baru untuk menempatkan karya-karya sastera mereka sebelum muncul dilapang sasar sastera arus perdana.
Jika di arus perdana, kita mempunyai ruang dipadang Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Tunas Cipta, URTV dan banyak majalah atau akhbar tabloid lain lagi.
Jika di alam siber, selalunya kita akan menemui Melayu.com, PustakaMaya.net, eSastera.com, baca.com, tokeikedai.com, karyanet.com, dan banyak lagi.
Sastera siber sebenarnya mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Kemunculan beberapa orang penulis generasi baru kita telah membuktikannya. Lihat saja Ghafirah Idris yang baru saja memenangi tempat pertama untuk kategori cerpen eceran bagi Hadiah Sastera Utusan untuk tahun sudah. Malah karya-karya beliau banyak mendapat tempat dibeberapa akhbar atau majalah lain dalam dunia sastera arus perdana. Beliau bermula dengan sastera siber. Giat menghasilkan cerpen, dan segera hantar untuk tujuan siaran dan bersedia menerima kritikan bersama rakan penulis lain di alam siber.
Nimoiz TY juga begitu, bermula dengan sastera siber sebelum mendapat tempat dalam sastera arus perdana. Pernah memenangi hadiah utama kategori puisi Hadiah eSastera.com (HeScom 2003) anjuran laman eSastera.com melalui sajaknya, ‘Jalan Baru’ yang tersiar dilaman eSastera.com dan berpeluang mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Amiza Khursyi, antara nama baru yang mula menonjol, sekarang berada di Timur Tengah menghabiskan baki kuliahnya, juga bermula dengan sastera siber. Cerpen beliau mendapat hadiah ketiga dalam Sayembara Karya Kreatif Negeri Sembilan anjuran Persatuan Penulis Negeri sembilan (PEN) baru-baru ini.
Malah, nama-nama lain seperti Ida Munira Abu Bakar, Salman Sulaiman, Jimadie Shah, Wan Azman Wan Mamat, MK Riza, Fard Razy, Lutfi Ishak, Ummu Hani Abu Hassan, Ezzar Kamal, Arisel BA, AnBakri, MdZainuddin Abd. Rahman, Razali Endun, Zainal Lazim, Abdul Latip Talib, Irwan Abu Bakar, Raja Rajeswari Setharaman dan beberapa lagi merupakan antara yang agak aktif menulis dalam sastera siber sekalipun sudah mempunyai nama dalam sastera arus perdana.
Sesetengah orang melihat sastera di alam siber ini sebagai pasar lambakan karya. Sebab itu ada sesetangah pihak tidak begitu memandang tentang hasil karya sastera di sini. Hakikat ini mungkin ada kebenarannya, tetapi tidak semuanya begitu. Ini kerana terdapat juga sesetengah laman yang begitu bertanggungjawab, dan malah prinsip kerja mereka juga mirip kepada akhbar-akhbar atau majalah di arus perdana lain.
Pengalaman mengunjungi dan mengikuti dunia sastera siber amat memberangsangkan. Laman eSastera.com contohnya, mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Selain bilangan pengunjung yang ramai, malah ia juga datang dari pelbagai pelusuk tempat seperti dari Jepun, Ireland, Timur Tengah, Amerika Syarikat, dan beberapa negara lain lagi termasuk pengunjung tetap dari dalam negara sendiri.
Mereka bertemu di satu tempat, eSastera.com, untuk berkarya dan bertukar-tukar pandangan serta pendapat secara langsung dan cepat, dalam banyak genre, -sajak, cerpen, drama, novel, novel bersiri, madah dan pantun, resensi buku, berita sastera, sajak jenaka (sajen), poets, profil penulis, dan beberapa lagi. Ini yang istimewanya. Malah terbaru, laman berkenaan mula menerbitkan majalah sastera elektronik bulanannya yang pertama, BESt, yang mula menemui khalayak 31 ogos lalu.
Isi karya tidak berbeza atau menuntut perbezaan. Cuma medannya sahaja yang berlainan. Yang tinggal lagi adalah tentang penerimaan khalayak. Ini barangkali perkara pokok yang paling utama untuk dibahaskan banyak pihak.
Sesetengah penulis, terutamanya yang membesar dan bersusah payah bersama sastera arus perdana sebelum muncul sebagai kelompok penulis yang diiktiraf, agar sukar untuk menerima hakikat kehadiran kelompok penulis yang bergiat dalam sastera siber ini.
Kata mereka, sastera siber kurang nilai seninya. Barangkali oleh faktor mudahnya tersiar dalam mana-mana laman untuk menemui khalayak. Tidak seperti mana hal yang menimpa bagi pengikut sastera arus perdana yang mengambil masa yang lama dan cukup bersusah payah sebelum berjaya muncul dalam dunia sastera dan diiktiraf.
Maka kerana itu tidak ramai yang memberi perhatian untuk melihat sastera siber ini. Apatah lagi untuk memberi sumbangan bagi mengembangkannya sejauh mungkin. Penulis-penulis mapan, jarang benar yang berkunjung. Malah ada antara mereka yang mencebik atau sesekali masuk untuk membuat kacau dengan menyamar menjadi watak lain. Ini berlaku.
Ini mendukacitakan. Bukan keadaan, tapi sikap. Untuk merubah barangkali sulit kerana kita selalunya sukar untuk menerima sesuatu yang baru itu. Apatah lagi untuk menyokongnya pergi lebih jauh ke depan.
Kenapa begitu?
Dunia sudah berubah. Dulu waktu dunia teknologi maklumat belum begitu meluas kegunaan dan penerimaannya, sastera arus perdana merupakan hanya satu-satunya jalan yang boleh dilalui oleh sekalian kelompok penulis. Tetapi kini, selari dengan perkembangan semasa, sastera siber telah memberi alternatif baru untuk menampung sebanyak mungkin karya-karya sastera menemui khalayaknya. Malah telah banyak pihak mengambil kesempatan dengan peluang dan ruang yang ada untuk turut sama mengeksploitasi demi mengembangkan dunia sastera ini.
Cuma yang tinggal kini adalah penerimaannya. Sejauh manakah ia diterima akan kehadirannya, masih berkait rapat dengan dunia arus perdana sana, terutamanya pihak-pihak yang berwajib yang memayungi perjalanan dunia sastera dinegara ini.
Sementara itu, hayat sesebuah laman sastera di alam siber juga amat menentukan pengaruhnya. Selalunya sesebuah laman itu hanya bersifat sementara, dan tidak tahan lama. Ini berkait rapat dengan bilangan penulis yang turut menulis dan menyumbangkan karya untuknya serta jumlah pengunjungnya. Jika tiada penulis, atau laman itu sendiri tidak dikemas-kini setiap masa, secara jujurnya laman itu tak akan bertahan lama. Pelawat atau pembaca biasanya hanya akan berkunjung ke laman berkenaan sekiranya ada sesuatu yang terbaru dan terkini atau laman berkenaan menunjukkan perubahan isi setiap masa. Jika tidak, hayat laman berkenaan tak akan ke mana juga. Ini ditambah pula dengan keadaan betapa kerat rakyat Malaysia yang celik IT dan menggunakan sepenuhnya ruang yang ada itu untuk dunia sastera.
Berbeza dengan di arus perdana, selalunya ia terbit secara berkala dan tetap. Dan malah penerimaannya juga amat meluas. Maka kerana itu ia lebih mendapat tempat dan menyeluruh.
Ada beberapa faktor yang difikirkan perlu untuk mengubah tanggapan bahawa karya sastera siber ini berada pada tahap karya kelas dua dan seterusnya diterima setaraf dengan kedudukan sastera arus perdana ini.
Antaranya ialah editorial dan pertanggungjawaban. Sastera di arus perdana, tidak dapat tidak, mesti melalui tapisan editor sebelum tersiar di mana-mana penerbitan, baik majalah atau akhbar. Ini bermakna, setiap karya yang tersiar itu sudah melalui peringkat editorial yang memungkinkan ianya sesuai untuk disiarkan umum.
Karya-karya yang tersiar itu juga selalunya turut mempunyai pemiliknya yang sah. Ini yang dimaksudkan dengan pertanggungjawaban. Ini bermakna, pihak editorial yang menerbitkan sesebuah karya itu mengesahkan bahawa karya berkenaan mempunyai tuan punya dan juga sah keasliannya.
Ini bermakna, sekalipun penerbitan sastera di alam siber nampak agak mudah dan cepat, faktor ini hendaklah dititik-beratkan agar ia masih dapat mengekalkan keaslian dan mutu sesebuah hasil karya itu sebelum menemui khalayak.
Pihak yang berada di arus perdana juga hendaklah melakukan sesuatu agar wujudnya kesinambungan antara dua dunia yang berbeza ini. Contohnya, sekiranya sesebuah laman sastera itu mengadakan sayembara atau penerbitan-penerbitan terbaru, ruang promosi hendaklah dibuka sama di peringkat arus perdana supaya semua pembaca yang mengikutinya maklum tentang sesuatu yang berlaku di dunia yang satu lagi itu. Dan begitulah sebaliknya. Ini secara tidak langsung akan mewujudkan kesinambungan antara keduanya dan secara tidak langsung akan menunjukkan saling kebergantungan antara keduanya.
Namun, apa-apa saja yang dilakukan, masih lagi bergantung kepada penerimaannya. Jika kita masih beranggapan bahawa karya-karya sastera siber itu sebagai karya kelas dua, lakukanlah apa saja perubahan pun, karya-karya sastera kita tak akan ke mana juga. Siapalah sangat yang hendak membaca karya-karya sastera Melayu kan?
(Artikel ini pernah tersiar di Mingguan Malaysia - 17 Oktober 2004)
|
|
19. ”Jangan Jadi Peminta Sedekah”
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Awal-awal pagi lagi dia telah menelefon saya, minta untuk bertemu. Katanya, ada sesuatu yang menarik untuk dilihat. Memang lama benar saya sudah tidak menemuinya. Barangkali sudah hampir setahun lalu.
-Datanglah ketempat aku ni, katanya. Kebetulan hari tu saya ada program lain yang sudah beberapa hari dirancang.
-Tidak, kau mesti datang juga. Ada cerpen baru, ulangnya lagi.
-Ok, lepas asar, putus saya.
-Aku tunggu kau di Hotel Legend, dekat The Mall tu, jelasnya lagi.
Lepas zohor, dia telefon lagi.
-Jadi tak datang, soalnya lagi. Barangkali untuk mengesahkan.
-Ya, aku datang, balas saya.
-Aku tunggu kau kat ruang bawah The Mall tu, sarannya.
Azman Hussin saya mula kenal pada awal tahun 1998 lalu. Kebetulan waktu itu, saudara Nawawee Mohammad melalui Rangkaian Persahabatan Penulis (ARPIPI) ada menganjurkan majlis ‘Cakap-Cakap Penulis’ yang menghimpunkan kelompok penulis baru dan lama dari Terengganu dan Kelantan di Pekan Jerteh.
Saya buat pertama kalinya menghadiri majlis bersama sekalian kawakan penulis terkenal seperti Norhisham Mustafa, CK Abd. Rahman, Jaafar Hasny, Nawawee Mohammad, Mokhtar Taib, Mohd. Rafli Awang, Ramli Daud, Mohammad Ishak, LC Fang, Rokaid Chik, Mohd. Khairi Che Teh, Wan Zahari Ali, Nassury Ibrahim, Zubaidah Mat Hassan dan beberapa orang lain. Terselit antara mereka itulah seorang pemuda, rambut panjang paras pinggang, pendiam, dan perokok; yang kemudiannya saya kenali sebagai Azman Hussin.
Waktu itu beliau belum terkenal, kerja merata tempat dan pelbagai jenis. Tetapi dalam diam, rupanya waktu itu sudah banyak karya-karya beliau berupa sajak dan juga cerpen yang tersiar dalam pelbagai penerbitan arus perdana.
Seusai program itu, kami mula akrab, lebih-lebih pada akhir-akhir tahun 1998 bila saya mengambil kelas tambahan untuk peperiksaan STPM di Maktab Adabi Pasir Puteh. Saya berulang-alik dari rumah ke Pasir Puteh dengan motor Honda saya yang banyak jasa itu (sekarang pun masih guna motor yang sama!) hampir setiap hari dengan jarak pergi-balik 40 kilometer.
Dalam waktu-waktu terluang itulah saya mengambil kesempatan untuk berkunjung ke rumah beliau yang berada dipinggir Bandar Pasir Puteh itu. Selalunya bila kelas habis pukul satu, lepas zohor saya sudah terpacul diberanda rumahnya, sambil borak-borak dengan ayah dan emaknya.
Jam 6 petang saya sampai ditempat yang dijanjikan.
-Tunggu aku dibawah sekejap, ujar beliau bila saya membuat panggilan. Saya tunggu, lama juga, lebih kurang setengah jam, hinggalah saya mengambil keputusan untuk pulang saja kerana hari dah hampir gelap dan awan mula keruh tanda nak hujan. Dua rantai saya bergerak untuk balik, beliau menelefon saya balik.
-Mana kau?, aku ada kat bawah ni, maklum beliau. Saya segera berpatah balik, dan mula mengambil tempat disisir kaki lima untuk meletakkan motor.
Dari jauh beliau tersenyum, sambil memperkenalkan lima rakannya yang datang bersama dari kampung.
-Apa khabar, kau?
Saya hanya menjawab dengan senyuman, sambil memerhati, rambutnya yang mula panjang balik tiu. Cepat benar rambut kau panjang, bisik saya dalam hati.
-Makanlah, aku belanja, pelawa beliau. Sebenar waktu itu saya masih lagi kenyang, kebetulan baru lepas minum petang tadi.
-Order saja, ujar beliau lagi, sambil beliau memesan segelas kopi mahal dan seketul daging kambing bakar. Saya tahu, dia dah ‘kaya’ sekarang, lepas menang Hadiah Sastera Perdana dua tahun sudah.
-Kau buat apa sekarang?, soal saya memulakan. Sebelum ini, setahu saya dia ralit menjual buku disekolah-sekolah seluruh Kelantan.
-Jual cerut. Pejabat aku kat Ipoh. Aku ambil sub untuk pasaran kawasan Pantai Timur.
-Kerja lama kau? -Masih jalan. Aku dah tukar kereta sekarang, lepas kemalangan teruk hari tu. Kereta aku ni hanya beberapa orang saja pakai kat Kota Bharu.
Saya tersenyum. Saya tahu, dia begitu berbangga dengan apa yang dia ada dan perolehi, lebih-lebih dalam usia semuda itu.
Kami diam lama.
-Lawa buku aku?, tanya beliau sambil mengunjukkan sebuah buku pada saya. Naskhah terbaru yang baru saja diterbitkan, tambahnya lagi
Saya tersentak. Kenapa begini? Biar betul kau ni Man?
-Kenapa?, soal beliau balik.
Saya diam, sambil tangan segera membelek-belek buku itu.
-Semalam baru lancar, di Muzium Negara sempena Majlis Baca Puisi kat situ. Orang kanan Berita Harian yang lancar, ujar beliau lagi.
‘Apa Yang Kau Cari?’, begitulah tajuknya, sebuah kumpulan cerpen yang memuatkan sepuluh buah cerpen beliau, dengan sembilan daripadanya pernah tersiar di akhbar mingguan perdana negara, manakala satu lagi cerpen terbaru beliau yang tidak pernah diterbitkan di mana-mana.
-Kau berani, terlalu berani, sehingga orang melihat dari jalur yang lain keberanianmu itu, ujar saya lanjut, sambil tersenyum.
Buku setebal 104 muka surat itu memaparkan muka depannya dengan wajah Azman Hussin sendiri yang memiliki bentuk tubuh wanita bercoli bagi menutupi sepasang buah dadanya. Beliau menerbitkannya sendiri melalui syarikatnya, Pustaka Pemikir.
-Kau ambil 30 naskhah, tolong jual untuk aku, pintanya.
-Hah! Macam mana aku nak jual ni Man, kalau gambar depannya macam ni? Sergah saya. Nanti orang kata aku jual buku lucah pulak, naya aku dibuatnya!
Dia tersenyum, tanpa kata.
-Siapa cetak buku ni? Tak ada pun nama syarikatnya?
-Dian. Mereka tak nak tulis nama syarikat kat buku aku tu, takut. Mereka tak mahu bertanggungjawab. Asalnya pun mereka tak mahu cetak. Jenuh aku pujuknya.
Saya diam.
-Ambik saja, nanti bolehlah kau jualkannya nanti, balasnya kemudian.
Saya memegang kembali buku itu. Bagi saya buku itu terlalu erotik untuk bacaan umum, baik tajuknya, ceritanya, dan malah juga gambar muka depannya.
Sembilan cerpen yang termuat di dalamnya pernah saya baca. Cerpen ‘Doktor’, pernah tersiar dalam Berita Minggu, seperti juga dengan kebanyakan cerpen-cerpennya yang lain. Waktu itu beliau agak mendapat tempat di akhbar Berita Minggu jika di bandingkan dengan Mingguan Malaysia. Semua orang tahu, waktu itu kerana Sutung ada. Jika tidak, barangkali nasibnya sama saja seperti di Mingguan Malaysia.
Satu-satunya cerpen beliau yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia yang terdapat dalam kumpulan cerpen ini ialah ‘Tahun Depan Di Jerusalem’. Cerpen itu turut melayakkan beliau menang Hadiah Sastera Utusan tahun sudah, bagi kategori cerpen eceran.
Lain-lain cerpen beliau yang termuat di dalamnya, iaitu ‘Candy, KL & Putrajaya’, ‘Kenabius @ Canabis’, ‘Cinta, Politik & Kemerdekaan’, ‘Apa Kau Cari?’, ‘Boxing, Boxing, Boxing’, ‘Sebuah Kehidupan’, ‘Alam Memilih Hanya Yang Terkuat’, dan terakhir, paling erotik saya kira tajuknya, ‘Al-Faraj’!
Hampir kebanyakan cerpen beliau saya kira masih berada pada stail dan cara yang sama, sepertimana yang telah beliau paparkan dalam kumpulan cerpen kontroversi terdahulu beliau iaitu ‘Dongeng Pascamerdeka’. Beliau agak selesa nampaknya menggunakan latak-latak watak, masa dan tempat yang melibatkan kelompok gelandangan, marhean, dan bawahan, tetapi dalam masa yang sama mengupas isu-isu atau tema-tema umum yang mencakupi ekonomi, politik, sosial, agama dan sebagainya.
-Malam semalam aku jual kat Rumah PENA. Kebetulan jumpa dengan Faisal dan Sukri. Mereka minta buku aku. Aku bagi. Tapi dalam tu aku tulis, ‘jangan jadi peminta sedekah’, cerita beliau.
-Apa maksud kau?, risik saya lagi ingin tahu lebih lanjut. Lalu dia memulakan khutbah panjangnya.
-Itulah perangai orang Melayu yang paling aku tak suka. Sebab itu orang Melayu tak maju-maju sampai sekarang. Semuanya nak percuma. Sikit-sikit subsidi, sikit-sikit bantuan, sikit-sikit percuma. Semuanya nak kan bantuan. Macam mana nak maju?
Lalu beliau menyentuh secara lebih rinci lagi tentang kenyataan itu melibatkan sikap dan juga cara orang Melayu sekarang ni.
-Kita terlalu banyak keistimewaan, sehingga menjadikan kita lemas dalam keistimewaan yang ada itu. Kita jadi malas nak berusaha, susah dan tak tahu nak menghargai serta menerima apa yang ada, berterima kasih dengan kemampuan sendiri serta paling penting berusaha sendiri untuk memajukan diri. Jangan mengharapkan yang percuma dan subsidi saja yang kita jangka boleh bantu kita. Tongkat-tongkat inilah sebenarnya yang akan melemahkan kita semua.
Saya diam.
-Patutnya kau beri ceramah ini pada sekalian ramai anak-anak Melayu kita yang tak faham dan malas usaha sendiri itu. Biar mereka tahu macam mana nak majukan diri sendiri dan menghargai apa yang ada. Jangan harapkan hanya dengan subsidi saja kita boleh hidup, saran saya.
Tiba-tiba saya merasa lapar kembali.
-Tambah daging kambing bakar satu lagi, untuk kawan saya ni, ujar Azman pada pelayan yang kebetulan lalu di situ.
Saya tersenyum.
Borak kami melarut hingga lewat petang, sebelum saya mohon diri untuk pulang.
-Ambil buku aku ni, tolong jualkan. Harga asalnya RM15 senaskhah. Tapi dengan kau, kau jual satu naskhah RM10 saja. Nanti aku telefon kau tanya laku ke tak laku. Boleh?
-Boleh, tapi jangan harap sangat aku boleh jual semuanya ni. Aku dah lama tak jual buku pun.
-Mana untuk aku satu? Soal saya menguji.
-Kau nak bayar ke tak nak? Soal beliau diwaktu saya mula mengeluarkan dompet.
-Kenapa?
-Kalau kau tak bayar, aku akan tulis seperti apa yang aku tulis pada Faisal dan Sukri tu. Kalau bayar, aku tak tulis lah. Beliau senyum meleret.
-Kau tulis apa yang kau nak tulis. Ujar saya, sambil menarik balik duit RM10 yang saya sudah cuba untuk hulurkan padanya.
Dia ketawa terbahak-bahak.
-Tulislah, cabar saya.
Lalu segera dia mencapai buku itu dan menunaikan cabaran saya, sebelum menghulurkannya untuk saya.
-Aku menghargai karya kawan-kawan, tak kan aku nak ambik percuma, ujar saya sambil meletakkan kembali not RM10 di atas meja.
Saya tahu sangat, semua penulis memang begitu. Bukan mereka nak kan sangat dengan duit tu, tapi yang paling penting ialah rasa penghargaan dan sokongan daripada rakan-rakan yang meraikan hasil karya mereka. Itu saja saya kira.
Dia ketawa lagi, terbahak-bahak. Saya tersenyum dengan telatahnya itu.
Kami bersurai, saat waktu dah hampir maghrib.
(Artikel ini pernah tersiar di Akhbar Mahasiswa, Oktober 2004)
|
|
18.Mahasiswa Dan Nilai Budaya Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Di Universiti Malaya ini, hanya terdapat dua buah sahaja persatuan yang berorientasikan hal-hal kebudayaan, kesenian, dan kesusasteraan yang berdaftar dengan pihak Hal Ehwal Pelajar iaitu Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM) dan Pertubuhan Pentas Lakon (PELAKON).
ISUM lebih bersifat umum, jauh lebih berusia (umurnya dah mencapah 32 tahun) jika dibandingkan dengan PELAKON yang lebih tertumpu kepada dunia teater semata dan dipusatkan kegiatannya di Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya.
ISUM telah agak lama ‘lemas’ (terakhir aktif sekitar zaman Shukri Abdullah-Penyair), sehinggalah diberi nafas baru dan diaktifkan semula oleh sekumpulan anak-anak muda dari pelbagai fakulti pada awal tahun 2003 lalu. Bertolak dari situ, beberapa program kesusasteraan mula digerakkan secara tersusun seperti diskusi buku, majlis baca puisi, pementasan teater dan juga dialog seni.
PELAKON pula lebih memberi komitmen kepada dunia teater. Sehingga kini telah mementaskan banyak pementasan teater, termasuk juga penyertaan dalam Festival Teater Malaysia beberapa tahun lalu.
Sungguhpun begitu, beberapa persatuan berdaftar lain juga dilihat mempunyai kecenderungan yang sama apabila sesekali turut menggerakkan aktiviti dan program-program kebudayaan diperingkat kampus. Antaranya Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Persatuan Bahasa Tamil Universiti Malaya (PBTUM) dan lain-lain lagi.
PMIUM selalunya menganjurkan Malam Kesenian setiap tahun. Namun konsep kesenian yang difahami mereka selalunya terbatas kepada acara-acara tertentu sahaja, seperti nasyid, atau pentomin. Lain-lain acara kesenian selalunya dibataskan oleh hal-hal agama yang seringnya dijadikan alasan. Sementara PBTUM hampir setiap tahun akan melancarkan antologi cerpen yang dianjurkannya.
Acara kebudayaan secara milik bersama selalunya dirujuk kepada acara Festival Seni anjuran Pusat Kebudayaan yang merupakan acara wajib tahunan kalendar umum warga kampus. Selain itu, acara mingguan pula diisi oleh Slot Santai Petang Rabu yang selalunya diadakan setiap minggu pada setiap petang rabu. Namun, slot ini tidak begitu mendapat sambutan warga kampus juga khalayak lantaran tidak dijadikan acara rutin saban minggu. Hanya kekadang ada, dan malah pengisiannya juga tidak begitu menyeluruh kepada hal-hal kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan yang sedia ada dinegara kita oleh masyarakatnya yang majmuk itu.
Kolej-kolej kediaman juga selalunya turut mempunyai jawatankuasa kesenian dan kebudayaan. Tetapi jawatankuasa ini selalunya bergerak bermusim, iaitu hanya apabila musim berlangsungnya Festival Seni di dalam kampus. Kemudiannya ia terbiar begitu sahaja tanpa apa-apa sehinggalah datang tahun baru, dan beralih tampuk pimpinan.
Inilah hakikat yang berlaku terhadap aktiviti kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan di dalam kampus uniperdana ini. Pergerakannya masih secara perlahan, bermusim, dan tidak merakyat. Maka kerana kita semacam terlepas kepada akar budaya sendiri. Sedang disisi kita sendiri saban hari diserang oleh arus globalisasi dan pemodenan tanpa sempadan menjadikan kita seakan terapung dan terlepas antara dua tempat berpaut..
Berapa ramai dikalangan warga kampus kita, yang disebut-laung sebagai kelompok intelektual, mengetahui, mengenali, dan merasai akar budaya tradisi mereka? Berapa ramai antara kita yang tahu, dengar, dan boleh menampilkan nazam, teromba, gurindam, syair, seloka? Atau berapa ramai lagi yang menonton dan memahami persembahan Wayang Kulit, Mak Yong, Kuda Kepang, Dabus, Awang Batil, Jikey, Selampit, Mek Mulong atau Menora? Atau adakah lagi dikalangan mahasiswa kita yang masih sudi bermain congkak, gasing, wau, atau guli? Atau ada lagikah dikalangan kita yang masih berselera menjamah onde-onde, cendol, pulut manis, pucuk paku atau ikan kering?
Sedang saban hari kita dihujani dengan dunia hiburan yang ‘kering’, muzik-muzik yang memuja nafsu, filem-filem yang tidak terbatas dan komedi bodoh, pusat-pusat hiburan atau makanan-makanan segera yang tumbuh bagai cendawan di sana-sini.
Di mana kita?
Bukan menolak kemajuan persoalannya disini. Tetapi adakah kita bersedia untuk menerima semua pembaharuan dan pemodenan yang semakin galak mendepani kita tanpa menolak akar budaya tradisi kita? Tidak ada orang yang akan menjawab untuk kita.
(artikel ini pernah tersiar dalam Buletin Iqra’ (Bil. 2), terbitan Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan dan Kreatif, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya)
|
|
17. Adakah Kita Tertinggal? Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Petang sudah agak lewat waktu sesi dialog kami bermula. Menyambut kedatangan jiran sebelah adalah sesuatu yang amat ditunggu. Kami tergesa seusai jumaat untuk ke KK12, tempat yang disebut-sebut sebagai gelanggang kami bersua. Waktu sampai, tidak ramai yang ada. Hanya Yang DiPertua kami yang seorang itu, dan dua tiga orang exco MPMUM yang juga barangkali tahu dari minit-minit terakhir majlis itu dijangka berlangsung.
Tetamu kami, Universitas Muslim Nusantara (UMN) Al Washliyah, Medan Indonesia bersama rombongan siswanya. Kami bermula dengan sesi pengenalan dan taklimat serba sedikit tentang ‘rumahtangga’ masing-masing, disusuli dengan sesi dialog yang agak meresap disuamkan oleh cerita-cerita nakal tentang politik masing-masing.
Indonesia memang terkenal dengan ribut reformasinya yang turut membawa kejatuhan rejim Suharto. Ini, dakwa mereka, oleh kesan suara-suara mahasiswa yang bersatu hati turun ke jalan-jalan raya untuk menuntut kebenaran dan mencari penyelesaian.
Dan, mujur bukan? Apabila Suharto jatuh, nyata mereka gembira dengan andaian bahawa akan selesai dan terjawablah segala hal tentang kemiskinan, kroni, korupsi, nepotisme, rasuah, salah guna kuasa dan segala macam kebobrokan lain dalaman negara mereka. Nyata mereka tertipu dengan ramalan sendiri apabila BJ Habibie yang mewarisi kepimpinan Suharto gagal menyelesaikan semua itu, dan ini turut menyeret kepada hayat politiknya yang singkat.
Seperti juga Gus Dur, Ibu Megawati nampaknya masih belum sepenuhnya dapat menyelesaikan hal yang merimbun itu. Malah Indonesia masih kekal antara negara miskin di dunia ini dengan segala macam beban hutang. Adakah kita begitu?
Lupakan itu. Kerana itu bukan pokok perbincangan kami. Idea asal kami ialah tentang hal-hal kebudayaan dan kesenian. Seperti rasa kagum kami betapa mereka, sebuah ‘Universitas Muslim Nusantara’ datang berkunjung ke laman kami dengan membawa ‘buah tangan’ kesenian untuk dipersembahkan. Sangka asal kami, barangkali oleh fikir sekalian warga, metod utama kunjungan itu adalah akan hal-hal sekitar agama.
Kelompok siswa dari UMN ini mempersembahankan antaranya Tari Saman yang popular dari tanah Acheh. Tarian ini melibatkan penari lelaki dan juga perempuan yang terdiri dari kelompok siswa mereka dan dipersembahkan dalam keadaan kedudukan mereka sebagai seorang mahasiswa muslim. Penari perempuan bertudung litup, dan pakaian mereka juga agak selesa jika ingin dilihat dari skop aurat yang memang diberati dalam agama. Lenggok tari mereka juga agak lemah lembut, dan tidak terkinja-kinja secara membuta tuli. Barangkali itu lenggok tari sufi yang tidak popular ditempat kita.
Pelik bukan, bagi kita di sini? Sebab itu tidak berlaku di sini. Kita telah diasingkan secara ‘total’ sedari dulu. Mana mungkin kita di sini yang dari disiplin sains untuk bercakap tentang agama. Atau jarang kita dengar siswa dari ICT berhujah tentang sastera dan budaya. Atau dari lain-lain disiplin dan keilmuan lagi.
Bukan kita tidak mahu, tetapi keadaan dan suasana masyarakat serta budaya kita yang tidak mengizinkan. Kita semacam pelik dengan semua itu. Dan malah, sehingga dipandang jengkel bila sesekali kita berhujah tentang itu, jika benar apa yang didebatkan itu bukan dari disiplin ilmu yang kita pelajari.
Kita macam tak pernah dengar nama-nama seperti Al-Farabi, Ibnu-Sina, Ibnu-Rusydi, Ibnu Battuta, atau lain-lain Ibnu lagi. Mereka ini, malah bukan hanya sebagai seorang ulama’, tapi merangkap juga sebagai saintis, sasterawan, budayawan, pemuzik, intelektual, doktor dan segala macam ketokohan lain lagi. Kenapa boleh begitu? Mudah saja jawabnya; Pintu ilmu dan ruang diskusi mereka tidak tertutup oleh sikap manusia!
Ramai yang terkejut bila sesekali terdengar siswa-siswi dari Akademi Pengajian Islam ingin mementaskan teater. Atau bila sesekali agak ribut bila berita kemasukan siapa saja yang bernama ‘artis’ di dalam kampus uniperdana ini. Wei, kenapa ni?
Ini antara sikap yang melemahkan, dan secara langsung membunuh. Tidak langsung membina, lebih-lebih untuk kecemerlangan akal dan perkembangan nilai intelektual kita sebagai seorang mahasiswa universiti.
Ia seakan sama juga dengan yang diluar sana. Semuanya telah dipetakkan. Dan setiap petak yang telah ditetapkan itu adalah tetap. Tak boleh diubah-ubah lagi. Yang rugi bukan orang lain juga; -adalah kita semua.
Biasanya, hanya yang mempunyai kuasa saja yang boleh menentu dan memetakkan sesuatu itu. Seperti acara-acara baca puisi, yang duhulunya agak tersisih dari sisi masyarakat umum. Tetapi bila sekali pemimpin tertinggi negara turun padang untuk turut mendeklamasikannya, nah!, sekarang ia semacam sudah menjadi perkara yang tidak asing lagi bagi kita semua.
Ini semacam memberi satu isyarat. Jika kita inginkan sesuatu perkara itu merakyat dan membiak-baka, maka sudah tentu yang berkuasa dan berada di atas lah yang harus memulakannya. Jika tidak, tidak dapat tidak lama kelamaan ia akan hilang begitu saja ditelan oleh mulut-mulut globalisasi yang tidak mengenal siapa ini.
Benar bukan?
(artikel ini pernah tersiar dalam Buletin Iqra’ (Bil. 1), terbitan Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan dan Kreatif, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya)
|
|
16. Akan Ke Mana Dunia Seni Di Kampus? Oleh MOHD DAHRI ZAKARIA Dunia seni (baca : sastera, budaya, hiburan) seringkali tidak dilihat dengan kaca mata yang besar oleh kelompok mahasiswa. Ironinya, ia semacam cuba ‘dirabunkan’ oleh hampir sebahagian besar mahasiswa, lebih-lebih lagi yang menguasai gerombolan mahasiswa. Ini kerana, biasanya kelompok ini amat ‘alergi’ pada mereka yang bernama ‘artis alias seniman’. Selalunya dunia seni tidak menjanjikan apa-apa dikampus. Perkembangan tidak sihat ini dilihat mula mengakar apabila kelompok jumud mula menguasai arena politik kampus. Keadaan ini terbawa-bawa oleh pengikut-pengikutnya (secara ‘rabun’?) dan hingga menjalar kepada rakyat mahasiswa bawahan. Kesannya, lihatlah apa yang berlaku tentang nasib dunia seni dikampus IPT seluruh negara kita sehingga kini.
Segalanya telah dipetakkan. Jika bidang alias disiplin ilmu itu yang kita pelajari secara rasmi di universiti ini, maka itulah sahaja bidang kita. Tak boleh lebih. Orang ekonomi, dengan ekonominya lah. Orang sejarah dengan sejarahnya, atau orang matematik dengan ilmu matematiknya sajalah. Lalu menjadilah kita di antara orang-orang yang duduk dalam satu baldi yang besar, yang di dalamnya yang ada hanya orang-orang seperti kita saja!
Selebihnya, ia telah dijumudkan oleh faham-faham agama yang tak seberapa itu. Dunia seni telah dicop sebagai agen yang melalaikan ummah. Lalu ia pun mula dipetakkan lagi. Teater itu, faham mereka hanya sebuah pentomin. Atau nyanyian itu hanya nasyid-nasyid semata. Mereka takut untuk pergi lebih jauh daripada itu atas alasan agama. Sedangkan telah diakui bahawa faham mereka tentang dunia seni dari skop agama telah dibataskan oleh sikap sendiri.
Contohnya, lihat saja sewaktu Uji Rashid, Hail Amir dan Param yang masuk ke kampus Universiti Malaya tahun sudah. Mereka disambut dengan demo oleh segelintir mahasiswa yang mendakwa memerangi hiburan (seni?) yang melalaikan. Lalu menangislah Uji Rashid dipentas yang terbuka itu atas sikap kelompok ‘orang-orang berilmu’ ini. Beliaupun, yang semacam faham akan situasi ini, pada malam berkenaan mengenakan tudung labuh berjubah ala-Arab. Tetapi itulah nasibnya. Sebaik saja ‘minus one’ dibunyikan, kelompok ini mula meninggalkan dewan berkenaan secara beramai-ramai sebagai tanda protes, walaupun sebelum acara itu bermula, dalam rundingan mereka bersama Timbalan Naib Canselor (HEP) waktu itu. Dato’ Prof. Dr. Hashim Yaacob yang bertanggungjawab membawa mereka bertiga ini masuk untuk pengisian slot sempena kemerdekaan, mencabar agak kelompok ini meninggalkan dewan itu sekiranya benar persembahan itu akan melalaikan semua. Tapi itulah, belum sempat Uji Rashid memulakan persembahannya, mereka telah berangkat meninggalkan dewan itu. Mudahnya, sebelum lalai (jika benar melalaikan!), mereka telah berangkat meninggalkan majlis itu. Lalu, bilakah penilaian itu hendak dibuat? Jawapannya sudah tentu hanya berlandaskan tanggapan semata.
Yang ada hingga kini ditangan kelompok mahasiswa kita hanya dua jawapan muktamad, iaitu pertama biarkan pengamalnya terus lalai dengan dunia seninya atau keduanya ‘mematikan’ terus dunia seni anutan yang didakwa melalaikan itu. Dua-duanya tidak menguntungkan kita semua. Seharusnya kelompok ini dapat memberi pilihan jawapan yang ketiga, iaitu dengan menyediakan garis panduan sesuai dengan tuntutan agama untuk tujuan mendidik serta memupuk agar bentuk kesenian dan kebudayaan yang diidam-idamkan itu selari dengan tuntutan semasa agama kita, jika benar apa yang ada selama ini disekeliling kita telah banyak melalaikan diri.
Perkembangan terbaru, seperti penyertaan dua universiti islam kita dalam Festival Teater MAKUM, iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) pada tahun lepas merupakan petanda positif kepada penerimaan hal ini. Dan kita percaya keterbukaan ini selalunya akan menghasilkan percambahan ide yang bernas dan bermakna, sesuai dengan kedudukan penghuninya sebagai ahli intelektual.
Itu satu sisi. Di satu sisi lain pula, ialah sikap ‘orang-orang seni’ itu sendiri. Sejauh mana mereka bersungguh dalam agenda seni dan budaya yang mereka bawa itu sebagai satu wadah pengisian jiwa yang bermutu. Pengisian dunia seni bukan hanya sekadar dipadatkan dengan majlis baca puisi yang ringan-ringan saja. Atau pementasan teater yang hanya sekadar mengisi waktu terluang saja. Malah ia boleh pergi lebih jauh daripada itu.
Setiap universiti awam dinegara ini serasanya hampir kesemuanya mempunyai kumpulan penggiat seninya yang tersendiri. Di Universiti Islam Antarabangsa, contohnya, mempunyai Kelab Puisi IIUM. Atau di Universiti Putra Malaysia dengan Gapura Kreatif, Universiti Malaya dengan Ikatan Sastera (ISUM), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan Kumpulan Artisukma, dan universiti-universiti lain juga. Malah, kegiatan kebudayaan antara universiti-universiti awam kita juga turut digerakkan melalui satu badan gabungan yang dinamakan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM). Kumpulan-kumpulan inilah yang dilihat memayungi banyak kegiatan-kegiatan sastera dan budaya alias seni di dalam kampus.
Tetapi memadaikah dengan apa yang ada sehingga kini? Barangkali fikirnya, tidak. Ini lantaran segalanya terletak ditangan mahasiswa itu sendiri. Terutamanya sejauh mana nilai seni itu dapat ‘dikunyah’ oleh kelompok mahasiswa itu. Contohnya mudah saja, seperti kenyataan di atas iaitu tentang penerimaannya oleh kelompok mahasiswa itu sendiri.
Di Universiti Malaya contohnya, aktiviti kesenian dan kebudayaannya banyak dibumbui oleh Festival Seni yang merupakan acara wajib tahunan universiti. Melalui perayaan inilah sebahagian besar mahasiswa terlibat dengan pelbagai ucara kebudayaan dan kesenian yang dijadikan slot pengisiannya seperti Manifestasi Puisi, Pop Band, Teater, Nyanyian Irama Asli, Muzik Akustik, Tarian Kreatif, Nasyid, Koir, Kompang, Tarian Tradisional, Boria, dan Dikir Barat. Kegiatan ini merupakan anjuran Pusat Kebudayaan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Selalunya melalui acara inilah kelompok mahasiswa dapat memberi sumbangan sepenuhnya kepada warga kampus melalui dunia seni. Selebihnya, masih bergantung kepada kegiatan kecil-kecilan peringkat persatuan, kelab, fakulti atau kelompok kecil mahasiswa.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia pula program kesenian dan kebudayaannya juga banyak digerakkan oleh Pusat Kebudayaannya. Kumpulan Artisukma yang agak terkenal dan membina nama itu, selalunya gah melalui pementasan-pementasan teater dan juga tarian. Malah turut juga kalendarnya diisi dengan acara-acara kebudayaan tahunan yang lain. Sementara Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula selalunya kita dengar keriuhan acara seninya melalui penganjuran Pertandingan Dekon antara universiti saban tahun. Universiti-universiti lain, tidak kita dengar keriuhan dunia seninya. Hanya kadang-kadang satu dua acara besar diadakan, itupun dibuat bersempena dengan sesuatu peristiwa penting negara seperti perayaan hari kemerdekaan.
Ada dua pihak yang bertanggungjawab di sini. Pertama, dipihak pentadbir melalui penganjuran aktiviti-aktiviti kebudayaan dan kesenian secara rutin saban tahun seperti yang berlaku di UM, UKM atau UMS itu. Dan kedua ialah kelompok mahasiswa itu sendiri. Sejauh mana ia boleh bergerak, bergantung kepada penerimaan dan pelaksanaannya. Jika nilai seni dan budayanya menebal dalam diri seseorang mahasiswa itu, insyaallah ia akan kuat mendukung aspirasi budaya ini. Jika tidak, tunggu dan lihat sajalah akan ke mana nasib dunia seni ini di kampus. Sama ada ‘mati’ secara senyap atau membiak secara terancang, hanya mahasiswa itu sendiri yang akan menentukannya.
(Artikel ini pernah tersiar dalam Akhbar Mahasiswa, Mei 2004)
|
|
15. Bagaimana Saya Menjadi Ahli Keluarga
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Dapat memasuki Universiti Malaya adalah antara suatu pengalaman yang cukup menarik dalam hidup untuk dikenang. Paling menarik, pengalaman itu tidak hanya diisi dengan sedikit hal, tetapi dicantum oleh pelbagai perkara, kenangan, dan insiden yang melahirkan serumpun kenangan indah.
20 haribulan nanti merupakan hari ulangtahun penubuhan e-sastera.com yang pertama. Dan saya fikir catatan ini antara pengalaman saya yang ingin dikongsi bersama sebagai penghuni laman www.esastera.com ini.
Bagaimana saya mengenali e-sastera.com, sebuah majalah sastera elektronik ini? Dahulu kala saya agak ‘jahil’ tentang dunia ICT ini. Malah dua e-mail yang saya kekal guna sehingga hari ini pun dibina oleh seorang rakan sewaktu belajar di Melaka dulu. Waktu itu, perasaan meluap-luap untuk mengetahui dan pergi lebih jauh dalam dunia ICT ini bagai tak dapat dibendung lagi. Lalu daripada teman itu, saya desak supaya diajar membuat e-mail, membuka e-mail, menghantar e-mail, membaca akhbar, menggunakan internet, serta beberapa perkara penting lagi yang mempunyai kaitan dengan dunia ICT ini. Kebetulan pula waktu itu, terdapat juga kertas-kertas pengajian yang melibatkan dunia ICT ini.
Habis belajar, saya berkerja dikampung halaman bila permohonan saya untuk sambung belajar ke universiti tak diterima. Waktu itu saya akrab dengan majalah-majalah sastera, serta surat-surat khabar terutamanya melalui ruangan sastera dan budaya yang dikendalikan oleh Sutung Umar RS. Dari situlah saya mula membaca dan mengetahui tentang adanya sebuah laman internet yang memuatkan karya-karya sastera dialamat www.comunityzero.com.
Telahan saya, semua ini masih terlalu baru dalam dunia sastera Malaysia. Lalu saya pun cuba untuk memasukinya beberapa kali berdasarkan panduan yang tertulis didada akhbar itu. Namun, cubaan itu menemui kegagalan untuk beberapa kali dan saya pun mula melupakannya.
Setahun selepas itu, saya dapat tawaran masuk ke universiti. Itupun seusai sekalian upacara rasmi sebagai seorang penuntut universiti dan rakan-rakan lain juga sudah memulakan kuliah untuk beberapa minggu. Semasa di sini juga saya sedari bahawa iklan dan promosi laman e-sastera.com ini mula kerap tersiar diakhbar arus perdana. Waktu itu, saya sudah mula mengumpulkan rakan-rakan penulis di sekitar kampus. Dari situlah saya mengenali Jimadie Shah Othman, Wan Azman Wan Mamat, Anjan Ahzana, Abdul Rahim Sabri, Shahrizal Abdan dan beberapa orang lagi. Perkenalan dengan mereka inilah yang membawa kami ke hulu-hilir saban masa untuk berceloteh tentang dunia sastera dimerata tempat. Malah daripada kelompok inilah juga yang membawa kepada usaha mengaktifkan semua ISUM (Ikatan Sastera Unuiversiti Malaya), sebuah persatuan penulis di dalam kampus yang sudah berusia lewat 31 tahun itu.
Lewat tahun 2002, saya terbaca satu berita yang menyatakan laman e-sastera.com akan mengadakan satu majlis yang dinamakan ‘Gathering Raya Penyair Alam Siber’ di dalam kampus universiti. Fikir saya, inilah peluang besar yang tak patut saya lepaskan untuk mengetahui secara lebih dekat tentang sastera di dunia baru ini.
Saya segera berbincang dengan Jimadie Shah Othman akan hal ini, dan beliau nyata bersetuju untuk mengikuti sama majlis yang dimaksudkan itu. Lalu kami berdua mula membuat temujanji untuk bertemu dengan ‘founder’ laman itu, Dr. Irwan Abu Bakar di Fakulti Kejuruteraan yang cuma kami kenali melalui nama yang tersiar di akhbar tempatan itu.
Nama Irwan Abu Bakar dan biodatanya pertama kali saya kenali melalui majalah Dewan Sastera pada beberapa tahun sebelumnya. Selebihnya, saya selalu mengikuti sajak-sajak beliau yang tersiar dalam akhbar-akhbar perdana hari minggu. Jangkaan awal saya, nama beliau ialah ‘Irwan Abu Bakar’ sebagaimana yang digunakan dalam setiap karyanya. Namun nyata jangkaan itu jauh meleset, apabila saya mengenali secara lebih dekat dan masuk ke dalam keluarga e-sastera.com, bahawa nama sebenar beliau ialah Wan Abu Bakar Wan Abas, dan ‘Ir’ yang digunakan didepan nama asalnya itu sebenarnya ialah pangkat keahlian beliau dalam dunia kejuruteraan.
Saya dan Jimadie mengunjugi Dr. Irwan dengan agak segan untuk mendaftarkan diri bagi mengikuti majlis ‘Gathering Raya’ itu. Maklumlah, beliau waktu itu Dekan (Ketua Jabatan?) di Fakulti Kejuruteraan, bertaraf ‘Professor Dr. Ir.’ dan kami hanya dua orang mahasiswa kecil. Namun, layanan oleh Dr. Irwan waktu itu amat menyenangkan kami, dan kami menjadi agak selesa untuk berbicara tentang dunia sastera secara lebih lanjut. Saat itu saya mula terfikir akan kebenaran kata-kata orang-orang sastera itu sendiri, bahawa betapa dunia sastera itu dapat memecahkan tembok-tembok yang terbina dalam norma masyarakat kita sendiri.
Malah, daripada pertemuan itulah juga saya mula menjadi ahli keluarga e-sastera.com, apabila Dr. Irwan secara langsung memberi taklimat serba sedikit tentang dunia e-sastera dan seterusnya mendaftarkan keahlian saya sebagai ahli komuniti e-sastera.com secara sah. Dan Dr. Irwanlah juga yang mencadangkan saya menggunakan nama pendaftaran “dahrie” yang saya kekalkan sehingga kini.
Pertama kali memasuki e-sastera.com, hanya laman ‘penyair’ saja yang saya kunjungi kerana saya fikirkan hanya itu satu-satunya pengkalan yang memuatkan karya penulis. Namun, melalui beberapa penerangan dan maklumat yang diberikan oleh rakan-rakan, baru saya sedari bahawa dalam masa yang sama turut terdapat laman ‘sajen’, ‘poets’, ‘resensi’, ‘berita sastera’, ‘cerpenis’, ‘dramatis’, ‘haiku’, ‘profil’, serta ‘madah dan pantun’. Dan laman-laman inilah yang memuatkan sekian banyak karya pengunjung dan penghuni tetap laman ini.
Dari sinilah saya mengenali Nahkoda yang prolifik itu, Dr. Irwan yang kaya dengan puisi komedi-sinisnya, Cikgu Hashimah yang ramah, Uda yang banyak idea, Kablam yang sekejap ada-sekejap tiada, Innocent yang dah hilang sekarang, Nimoiz TY yang sudah ‘laku’ itu, Jimadie yang sarat falsafah, Ana Suraya yang selalu bercerita tentang keluarga dan makna kasih sayang, AnBakri yang saya selalu tak akan lepaskan peluang untuk menatap puisi-puisi protes atau madah-madah beracun, Pak Latip yang sarat pengalaman, atau ramai lagi yang terbaharu seperti Sri Diah, Alaieffa, Pak Arisel BA, Haji Razali Endun, Damahum, ErwinKhairul, RudyBluehikari, Mohammad Zakir, Zainal Lasim, HalisaSayangku, dan yang ‘muda-muda’; Wan Azman Wan Mamat, Masmanalaka, Anjan Ahzana, Ummu Hani, Ezzar Kamal, Al-Maghfirah, dan termuda yang agak prolifik, Fahd Razy. Saya fikir ramai lagi orang penting yang tak tersebut di sini, yang turut sama-sama memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan komuniti e-sastera ini. Mereka inilah yang saya fikirkan akan menentukan duduk-letak dunia sastera kita nanti. *sempena ulangtahun pertama komuniti e-sastera.com (Artikel ini pernah tersiar di laman www.esastera.com)
|
|
14. Sastera Siber Sebagai Wadah Alternatif Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA Sastera siber mula mendapat tempat oleh kebanyakan pengguna dan juga peminat sastera sebagai medan alternatif untuk meneruskan kesinambungan karya mereka menemui khalayak. Sebagai antara pilihan terbaik, ia secara tidak langsung bergerak sesuai dengan perkembangan semasa dalam dunia teknologi maklumat, yang memungkinkan semua manusia berada dalam satu ‘kampung’.
Terdapat beberapa laman utama yang menyediakan ruang untuk peminat dan juga kelompok penulis, teruatamanya generasi baru untuk berkarya. Antaranya ialah laman Pustakamaya.net, Melayu.com, Karyanet.com.my, arahkiri.cjb.net, idealis-mahasiswa.net, www.esastera.com, dan beberapa lagi. Namun, antara yang ramai itu, yang agak menonjol ialah laman www.esastera.com.
Istimewanya laman ini apabila ia merupakan satu-satunya laman siber yang memuatkan sepenuhnya hasil-hasil karya sastera dalam pelbagai genre oleh kebanyakan pengunjungnya. Malah ia juga dikenali sebagai majalah sastera elektronik. Komitmen pengendalinya inilah yang menjadikannya antara laman yang menarik untuk dikunjungi dan seterusnya berkarya di situ.
www.esastera.com (selepas ini disebut e-sastera) mula dilancarkan pada 23 Disember 2002 bertempat di Kolej Kediaman Kedua, Universiti Malaya bersempena dengan majlis yang dinamakan sebagai ‘Gathering Raya Penyair Alam Siber’. Sempena majlis itu, sekalian penghuni dan pengkarya dilaman berkenaan berhimpun untuk pertama kalinya di alam nyata setelah sekian lama berhimpun di alam maya. Setahun sebelumnya laman ini lebih dikenali sebagai www.comunityzero.com/penyair.
Menurut pengasasnya, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, sewaktu pelancaran e-sastera fasa 2, begitu menyuguhkan tentang komitmen penganjur untuk menjadikan laman itu sebagai satu ‘platform’ dalam usaha untuk menghasilkan karya-karya sastera yang bermutu dekad ini.
Sehingga kini, terdapat beberapa ruangan khusus yang menghidangkan karya-karya penghuninya. Antaranya, ‘Penyair’ yang memuatkan karya-karya ahli berbentuk sajak, ‘Sajen’ untuk sajak jenaka, ‘Haiku’, iaitu antara bentuk puisi Jepun yang terkenal yang ditulis dalam Bahasa Melayu, ‘Resensi’ yang memuatkan ulasan atau kritikan terhadap karya-karya yang sedia ada dipasaran terbuka, ‘Cerpenis’ yang menghimpunkan cerpen-cerpen, ‘Berita dan Bicara Sastera’ yang menghimpunkan maklumat dan juga laporan tentang kegiatan-kegiatan sastera yang berlangsung di dalam negara, ‘Novel’ yang memuatkan novel bersiri yang ditulis oleh ahli-ahli tetap secara bergilir untuk meneruskan sinambungan cerita, ‘Poets’ yang memuatkan puisi-puisi dalam bahasa inggeris, ‘Profil’ yang memuatkan biodata-biodata ahli laman berkenaan, ‘Madah dan Pantun’ dan beberapa pilihan genre lagi. Kepelbagaian pilihan yang ada ini memungkinkan pengunjung dapat berkarya secara bebas dan terbuka menjadikannya antara yang menarik untuk dikunjungi.
Laman ini merupakan tempat berhimpun ramai penulis, termasuk yang muda dan mapan. Di sinilah anda akan ditemukan dengan pelbagai nama seperti Drirwan, Arisel BA, Sri Diah, Abdul Latip, Zainal Lasim, Razali Endun, Hashimah Harun, Gravedigger, Ida Munira, Al-Maghfirah, Alaieffa, Jimadie, Wan Azman, Erwin Khairul, Anbakri, Ana Suraya, MdZainuddin, Damahum, Rudy Bluehikari, dan Nimoiz TY. Atau yang termuda kini seperti Fard Razy, Mankie, Adie7, dan ramai lagi. Malah, di sini juga kita akan bertemu dengan kelompok penulis dari pelbagai pelusuk dunia. Ada yang datang dari Indonesia, Mesir, Jepun, Amerika Syarikat dan pelbagai lagi. Mereka inilah antara pengunjung setia serta penyumbang tetap di laman berkenaan.
Istimewanya di sini, setiap karya mempunyai peluang untuk ‘dibedah’ secara langsung. Ini kerana, diruangan-ruangan yang disebutkan di atas, turut memuatkan ulasan-usalan serta kritiakn yang dibuat oleh penghuni lain. Ini menjadikan penulis karya itu dapat mengetahui maklum balas pembaca dengan cepat dari pelbagai sudut terutamanya untuk menilai kelemahan dan keduatan sesebuah karya mereka.
Malah sebelum itu juga turut diperkenalkan sistem ‘mentor’ antara penulis mapan dan baru. Karya-karya penulis baru, terutamanya sajak di e-mail terlebih dahulu kepada ‘mentor’ yang dilantik untuk dinilai atau diberi ulasan sebelum dimuatkan ke dalam laman berkenaan. Ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan secara tidak langsung dapat bertukar-tukar pendapat antara keduanya.
Karya-karya juga dapat disiarkan secara bebas dan terbuka. Bermutu atau tidak, itu soal kedua. Tetapi bila sudah berkarya di situ, karya-karya anda akan dinilai dengan segera, dan tidak dapat tidak, anda akan memilih karya-karya yang terbaik sahaja untuk tujuan siaran di situ. Sungguhpun begitu, pengendali sendiri tetap menetapkan syarat, seperti karya-karya yang menyentuh moral, peribadi, atau apa-apa saja yang boleh menimbulkan keaiban orang lain, awal-awal lagi karya seperti ini ditolak. Seperti juga dimana-mana laman atau tempat di dunia ini.
Sehingga kini, laman berkenaan telah berjaya menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) pada tahun lepas. Melalui anugerah berkenaan, sajak-sajak ahli yang tersiar dilaman berkenaan sepanjang tahun 2002 telah dinilai untuk menerima anugerah berkenaan melalui satu majlis yang telah diadakan yang dinamakan Hadiah eSastera.com (HeS.Com) 2003 yang menawarkan hadiah utama bernilai RM2003, sijil dan cenderamata. Sajak Jenaka (Sajen) juga turut dinilai untuk menerima Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) yang menawarkan hadiah sebanyak RM1000.
Melalui anugerah itu juga, beberapa naskhah buku turut telah diterbit iaitu APAS (sebuah antologi puisi pilihan komuniti ‘penyair’ alam siber). Sajak-sajak yang termuat di dalam antologi berkenaan merupakan sajak pilihan yang turut dinilai untuk Hadiah Esastera.com (HeS.Com) 2003.
Dua buah lagi ialah SAJEN yang merupakan antologi sajak jenaka pilihan komuniti ‘penyair’ alam siber untuk Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) 2003 dan Kursus Kepenyairan E-Sastera. Ketiga-tiga naskhah berkenaan diselenggarakan oleh Irwan Abu Bakar dan Hashimah Harun dan diterbitkan oleh kAPAS Publication.
Manakala untuk tahun hadapan pula terdapat beberapa penambahan hadiah lain turut ditawarkan dalam HeS.Com 2004 seperti Anugerah Cerpenis Alam Siber (ASCAS), Anugerah Haiku Alam Siber (HAIJIN) dan beberapa lagi.
Selain daripada itu, beberapa sayembara lain turut diadakan sepanjang tahun. Ia juga turut dikenali sebagai ‘Sayembara Di Talian’ yang diadakan bersempena dengan sesuatu peristiwa seperti Sayembara Puisi Perang, Sayembara Puisi Hari Bapa, Sayembara Puisi Hari Keluarga, Sayembara Puisi Hari Guru, dan Sayembara Puisi Maulidur Rasul yang menawarkan tiga hadiah utama bernilai RM100.
Beberapa hadiah tidak berkala juga turut ada seperti penyumbang sajak terbanyak untuk tahun berkenaan, sajak keseribu, deklamator terbaik (dinilai dalam dua pertemuan sebelum ini), pengulas prolifik dan beberapa lagi.
Dan terbaru sempena pelancaran e-sastera fasa 2, penganjur telah mula menawarkan hadiah Anugerah Sasterawan Alam Siber (ASWAS) yang merupakan projek terbesar laman berkenaan. ASWAS yang pertama akan mula dikeluarkan pada tahun 2006 dengan menjadikan karya-karya yang tersiar dilaman berkenaan sepanjang tahun 2002 hingga 2005 sebagai penilaian. Dan khabarnya, hadiah yang ditawarkan mencecah ke angka RM100,000!
Ini jelas menunjukkan bahawa sastera siber sudah mampu untuk pergi jauh ke depan meninggalkan tanggapan yang sedia ada. Tidak dapat tidak, dunia sastera siber mula mendapat tempat dan mampu duduk sebaris dengan dunia sastera arus perdana. Penulis-penulis baru sudah boleh berkarya dengan bebas tanpa menunggu peluang dari arus perdana tiba.
(Artikel ini pernah tersiar dalam Akhbar Mahasiswa, Februari 2004)
|
|
13. Puisi Sebagai Wacana Komunikasi : Satu Analisis Ke Atas Sajak ‘Sesal Orang Melaka’ Karya Irwan Abu Bakar
PENDAHULUANKamus Dewan (Edisi Ketiga) menyebut ‘Komunikasi’ sebagai “perhubungan (secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain)”.
Sementara Zulkifli Yusof (2000 : 3) pula menyebut komunikasi sebagai pertukaran dan pemahaman maklumat di antara kalangan pihak-pihak yang terlibat. Ini bermakna komunikasi hanya akan berlaku apabila adanya dua belah pihak, iaitu pembuat mesej dan penerima mesej.
Dalam disiplin komunikasi, 3 aspek penting yang harus wujud iaitu pengirim, bahan dan penerima. Pengirim (sender) akan menggunakan ikon-ikon tertentu dalam menyampaikan mesejnya kepada khalayak umum. Ikon-ikon itu selalunya boleh dan akan disampaikan dalam pelbagai bentuk, sama ada perkataan, carta, gambarajah, atau simbol-simbol yang sesuai. Ini dinamakan sebagai membuat ‘enkod’. Selalunya pengirim ini akan memilih saluran tertentu untuk menyampaikan mesejnya iaitu sama ada melalui memo, bersemuka, poster, video, dan atau menggunakan cara lain.
Penerima mesej (receiver) yang telah menerima sesuatu mesej itu pula akan cuba memahami sebaiknya mesej yang hendak disampaikan. Kemudian penerima akan bertindak sama ada hendak menerima atau menolak idea atau mesej yang telah disampaikan itu. Proses ini dinamakan sebagai ‘dekod’.
Terdapat empat bentuk komunikasi yang asas wujud. Antaranya ialah komunikasi antara manusia dengan manusia (diri sendiri), manusia dengan alam, manusia dengan orang lain, dan manusia dengan Tuhan. Dan sesebuah puisi yang baik, ialah puisi yang turut mempunyai atau wujud kesinambungan antara empat perkara ini.
ANALISIS KE ATAS SAJAK ‘SESAL ORANG MELAKA’ Sajak ‘Sesal Orang Melaka’ karya saudara Irwan Abu Bakar atau Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, merupakan antara sebuah karya terbaik beliau dalam menghantar mesej kepada khalayak pembaca.
Beliau merupakan antara penulis dari luar disiplin sastera yang mula membiak dan mencipta nama dalam dunia puisi tanahair kita. Beliau merupakan seorang pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.
Sehingga kini beliau telah menerbitkan sebuah kumpulan puisi persendirian bertajuk ‘Semelar’ yang memuatkan sebanyak 114 buah sajak pelbagai tema. Beliau juga merupakan pengasas majalah sastera elektronik, www.esastera.com.
Saya perturunkan sajak berkenaan sebagaimana berikut;
SESAL ORANG MELAKA
Terus bertikam dua sahabat seorang gagah seorang perkasa belumlah nyata siapa alah kami semua di bawah rumah.
Tuah menghunus keris setia Jebat menghunus keris setia setia raja bertikam dengan setia kawan kami bersorak di bawah rumah.
Terus bertikam dua pahlawan pahlawan Melayu pembela Melaka mana gagah mana perkasa kami bertelagah di bawah rumah.
Mati seorang ditikam rakan seorang lagi layu terkilan terbunuhlah dua pahlawan Melayu.
Sesalnya kami orang Melaka menanggung dosa di bawah rumah tidak berguru mengurus sengketa tamak menjaga perut sendiri dua pahlawan dibiarkan mati.
IRWAN ABU BAKAR, Kuala Lumpur.
Sajak ini pada dasarnya mudah untuk difahami khalayak pembaca kerana ia ditulis secara naratif. Pengarang bercerita secara langsung tentang peristiwa pertikaman antara Hang Jebat dan juga Hang Tuah yang merupakan pahlawan Melaka yang mempunyai metos pengangan dan falsafah kekuatannya yang tersendiri.
Jika dilihat secara umum, dalam disiplin komunikasi, pengarang telah membuat ‘enkod’nya yang tersendiri melalui tiga kelompok watak yang wujud di dalam sajak itu, iaitu ikon ‘Tuah’, ‘Jebat’ dan ‘kami semua’ (rakyat) dalam usahanya menghantar mesej kepada khalayak pembaca.
Ikon-ikon seperti ‘Tuah’ yang dipaparkan, boleh saja diterima oleh khalayak pembaca pada zaman ini sebagai lambang kepada individu tertentu. Ini kerana, semua sudah mengetahui kisah dan sifat watak ‘Hang Tuah’ dalam sejarah Melayu sebagai seorang yang terlalu setia kepada raja atau pemerintah sehingga sanggup membunuh rakan sendiri yang disifatkan telah menderhaka itu.
Begitu juga dengan ikon watak ‘Jebat’. Ia telah dilambangkan sebagai seorang yang sanggup berkorban demi menuntut kebenaran tentang nasib yang telah menimpa rakannya ‘Hang Tuah’ yang telah menjadi mangsa fitnah itu.
Sementara watak ‘kami semua’ yang merupakan kelompok rakyat jelata atau pengikut setia antara dua tokoh di atas. Watak ‘kami semua’ dilambang sebagai hanya sekadar ‘tukang lihat’ sahaja akan peristiwa pertikaman dan pergaduhan yang telah berlaku di antara dua tokoh di atas. Apabila berlaku kematian di antara mereka, maka kelompok ‘kami semua’ inilah yang amat merasai kerugiannya apabila mereka telah kehilangan tokoh yang mengungguli mereka selama ini.
Sajak ini dicipta pada Mei 1997, awal setahun dari peristiwa reformasi yang melanda negara kita ekoran pemecatan Timbalan Perdana menteri waktu itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tetapi jika ia hendak disesuaikan dengan keadaan negara kita sekarang ini, saya fikir pengarang telah menghantar mesej kepada khalayak pembaca untuk disesuaikan tentang senario politik yang berlaku di dalam negara kita sekarang ini.
Watak ‘Tuah’ barangkali boleh disesuaikan dengan watak Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamed. Manakala watak-watak ‘kami semua’ dapat terus disandarkan kepada masyarakat kita yang turut merasai bahang atau pengikut setia antara mereka berdua ini.
Demam reformasi yang telah melanda negara akhir 90-an dulu memberi wajah yang sebenar kepada gambaran ‘kami semua’. Dan malah, penubuhan sebuah parti politik baru, iaitu Parti KeADILan melengkapkan lagi sinambungan pengarang tentang sikap ‘kami semua’ itu.
Jika dilihat dalam senario ini, jelas kesilapan watak ‘kami semua’ telah turut memainkan peranan besar dalam memungkin semua ini berlaku. Pertamanya akan wujud jurang perbezaan pendapat dan idea yang lebih lebar tanpa ada usaha dari mereka sendiri untuk merapatkan jurang perbezaan itu atau sekurang-kurangnya mencari titik temu yang akan memungkinkan memberi faedah kepada semua.
Sayangnya ini semua tidak berlaku. Maka kesannya sudah tentu sehingga membawa kepada pembunuhan ‘Jebat’ dan kekecewaan ‘Tuah’ di atas perbuatan mereka itu. Sebenarnya di sinilah letaknya fungsi ‘kami semua’ itu. Rakyat sebenarnya harus ‘lebih cerdik’ dalam menilai pergerakan dan tindakan-tindakan para pemimpin mereka agar rakyat semua tidak merasai kerugian besar.
Saya fikir mesej yang disampaikan pengarang boleh diterima dengan jelas oleh khalayak pembaca.
Dalam sajak ini, wujud tiga hubungan komunikasi, iaitu hubungan antara manusia dengan manusia, manusia dengan individu lain, manusia dengan alam dan hubungan manusia dengan Tuhan.
Hubungan manusia dengan manusia (atau diri sendiri), pengarang telah jelas melukiskannya melalui watak-watak ‘Tuah’-‘Jebat’ itu. Watak ‘Tuah’ telah digambarkan pengarang sebagai seorang yang terlalu setia kepada raja atau pemerintah sehingga sanggup membunuh rakan sendiri. Manakal watak ‘Jebat’ pula turut digambarkan pengarang sebagai seorang yang terlalu setia kepada persahabatan sehingga sanggup menuntut bela di atas fitnah yang telah dilemparkan kepada ‘Tuah’.
Lihat saja bagaimana pengarang menggambarkan sikap yang dapat menghubungkan dengan diri mereka itu;
Tuah menghunus keris setia Jebat menghunus keris setia setia raja bertikam dengan setia kawan kami bersorak di bawah rumah.
Komunikasi antara manusia dengan individu lain pula dapat dilihat kepada sikap watak ‘kami semua’ yang masih duduk bertelagah sesama sendiri tanpa berbuat apa-apa apabila melihat dua pemimpin mereka sedang bertikam. Ini digambarkan pengarang melalui ayat berikut;
Tuah menghunus keris setia Jebat menghunus keris setia setia raja bertikam dengan setia kawan kami bersorak di bawah rumah.
Terus bertikam dua pahlawan pahlawan Melayu pembela Melaka mana gagah mana perkasa kami bertelagah di bawah rumah.
Mati seorang ditikam rakan seorang lagi layu terkilan terbunuhlah dua pahlawan Melayu.
Sesalnya kami orang Melaka menanggung dosa di bawah rumah tidak berguru mengurus sengketa tamak menjaga perut sendiri dua pahlawan dibiarkan mati.
Komunikasi hubungan manusia dengan alam pula dapat ditelusuri melalui masyarakat alam Melayu itu sendiri. Beberapa penanda, seperti keris, raja dan beberapa lagi dpat dihubung-kaitkan terus dengan masyarakat Melayu.
Ini telah pengarang gambarkan melalui petikan berikut;
Tuah menghunus keris setia Jebat menghunus keris setia setia raja bertikam dengan setia kawan kami bersorak di bawah rumah.
Sementara hubungan komunikasi antara manusia dengan Tuhan pula jelas digambarkan oleh pengarang melalui rasa penyesalan yang dirasai oleh watak ‘kami semua’ iaitu orang-orang Melaka yang telah gagal menyelesaikan permasalahan yang telah melanda antara dua peminpin besar mereka. Kesannya, selain daripada rasa bersalah dan berdosa, mereka turut rugi kerana membiarkan perkara ini berlaku semata untuk kepuasan diri sendiri.
Ini jelas digambarkan pengarang melalui ayat berikut;
Mati seorang ditikam rakan seorang lagi layu terkilan terbunuhlah dua pahlawan Melayu.
Sesalnya kami orang Melaka menanggung dosa di bawah rumah tidak berguru mengurus sengketa tamak menjaga perut sendiri dua pahlawan dibiarkan mati. KESIMPULAN Bersandarkan kepada kenyataan itu, jelaslah bahawa sajak ini melengkapkan prinsip disiplin komunikasi yang telah ditampilkan oleh pengarang untuk disampaikan kepada khalayak pembaca. Jesteru itu, tidak dapat tidak, pembaca berjaya menelusuri keempat-empat hubungan ini dan secara tidak langsung dapat melengkapkan lagi maksud yang hendak disampaikan pengarang kepada pembaca umum. (Artikel ini pernah tersiar dalam laman www.esastera.com)
|
|
1. Peritnya Memerangi Budaya Ciplak
(Cerita Dalam Sajak; 1989)
Demikian segala-gala bukan sekadar hiburan
Sazalee Yaacob bukanlah nama baru yang bertapak dalam dunia sastera negara, lebih-lebih dalam seni deklamasi. Tindakan beliau itu telah memberi kesan sejarah yang tidak terbayarkan dalam sejarah dunia penulisan sastera negara. Sebenarnya ini bukanlah pengalaman baru bagi Nawawee Mohammad, yang cukup sinonim dengan sajak-sajak 'Dalam Sajak' nya. Beliau pernah mengalami hal yang sama melalui sajak Bawah Lambaian Bendera Negara yang termuat di dalam antologi Sajak Seorang Aku (Teks Publishing; 1988) dan termuat juga dalam sebuah antologi bersama, Lambaian Nusa, selenggaraan Talib Samat (DBP; 1991) yang diciplak seratus peratus tanpa segan silu, rasa hormat, dan malah rasa bersalah. Penciplakan ke atas sajak berkenaan saya kesani berlaku di dalam sebuah akhbar tabloid, Pentas Dunia (Bil. 39; Awal Januari 2001) melalui ruangan sastera dan budayanya apabila sajak itu 'disalin-tulis' oleh penama Yazid Fadloli Hulaimi dari Kluang, Johor.
Saya percaya, penama ini adalah seorang
yang ingin mencuba nasib untuk mendapat tempat dalam dunia sastera melalui
jalan singkat. Barangkali beliau beranggapan akan terlepas daripada
perhatian penulis asalnya ataupun khalayak umum dengan sandaran bahawa sajak
berkenaan telah ditulis dan diterbitkan hampir 18 tahun dahulu (ditulis
1984, dan diterbitkan pada 1988). Memang setiap perbuatan yang salah, walau disembunyikan di dalam lubang gua yang gelap ditengah malam gelita sekalipun akan diketahui orang juga akhirnya kerana setiap yang salah itu pasti akan mendapat pembalasannya. Maka kerana itu amat tidak bijak dan memalukan sekali jika budaya ini mula dipraktik dan diguna-pakai oleh kebanyakan rakyat di negara ini, lebih-lebih yang terlibat dengan dunia penulisan sastera. Berbanding dengan hasil karya industri muzik, karya sastera lebih global jika mahu dibandingkan melalui pemilikan hasilnya. Ini kerana dunia muzik telah diluaskan dengan unsur lagu, berbanding karya sastera yang hanya bersandarkan kepada patah perkataan. Walaupun memang setiap manusia bebas untuk menggunakan patah kata mereka, namun bagi penulis sekiranya sesuatu patah perkataan itu digabungkan menjadi sebuah hasil karya sastera malalui kreativiti dan disiplin ilmu, ia secara langsung akan menjadi identiti milik rasmi mereka. Maka kerana itu ia dinamakan ciplak jika ditiru dan diguna-pakai tanpa izin terlebih dahulu dari pemilik asalnya atau dengan tanpa memberi kredit kepadanya. Budaya ini amat jelik sekali jika berlaku dalam dunia sastera negara yang sekarang ini sedang berada dalam perjalanan untuk mencapai tahap kematangannya. Setiap penulis, baik lama atau baru, seharusnya mengambil inisiatif mereka sendiri dengan menjadikan pengalaman yang lepas-lepas sebagai satu pedoman untuk mereka agar lebih berhati-hati dalam melahirkan sesebuah karya sastera. Sebenarnya yang paling bertanggungjawab membawa sesebuah karya ciplak menemui khalayak pembaca ialah editor yang mengendalikannya. Seharusnya seseoang editor itu mestilah seorang yang hafiz dalam karya sastera (baik cerpen, puisi, skrip drama, dan lain-lain) agar dapat mengesan dengan mudah dan cepat sekiranya berlaku penciplakan ke atas sesebuah karya penulis dan seterusnya menyekatnya daripada tersiar menemui khalayak pembaca umum.
Saya amat bersetuju sekali jika sekiranya pihak yang berwajib, seperti persatuan penulis yang memayungi kebajikan (?) penulis dibawah tanggungan mereka atau pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai agen sastera dan budaya negara, mengeluar dan mengedarkan maklumat, kesalahan, larangan, cara mengatasi, ciri-ciri, dan juga hukuman yang bakal diterima oleh pengamal budaya ini di dalam setiap bengkel, seminar, ceramah, atau diskusi serta sebarang program sastera lain yang dianjurkan sebagai panduan peringatan, khususnya untuk penulis yang baru belajar bertatih sebagai satu latihan dan disiplin sisipan. Garis panduan secara rinci ini amat diperlukan bagi kelompok ini khusus dalam usaha mereka melahirkan karya yang bebas plagiat, lebih-lebih bagi membezakan antara bentuk cuplikan yang dibenarkan dalam keadaan tertentu; seperti meminta izin, memberi kredit dan sebagainya.
Saya fikirkan di sini bahawa hanya ada dua jalan utama sahaja untuk mengatasi kedua-dua masalah ini daripada terus membiak. Golongan penyanyi dan penerbit album boleh menurunkan harga seminima mungkin untuk membolehkan pengguna menikmati hasil karya asli mereka. Saya percaya mereka ini masih lagi akan menikmati keuntungan berlipat ganda sekiranya usaha ini dimulakan. Ini kerana hanya pengguna yang bodoh dan cetek akal sahaja jika masih membeli album cetak rompak sedangkan harga album asal itu lebih kurang sama sahaja. Sementara bagi penulis pula, hanya tindakan mahkamah akan memberi kesan yang besar sebagai peringatan untuk penulis-penulis lain agar menjauhi tabiat buruk ini. Sehingga kini, dalam sejarah penulisan karya sastera negara masih belum ada penulis yang mengambil tindakan sedrastik itu untuk mempertahankan hak dan maruah mereka. Sayangnya penulis kita terlalu pemaaf, kerana mereka yang menjadi mangsa ini kadang-kadang cukup hanya sekadar jika puisi mereka yang diciplak itu diketahui khalayak, kemudian dibahas, lalu dikritik si pencuri itu melalui akhbar, tapi tidak dengan tindakan yang boleh memberi pengajaran yang lebih besar kepada si pencuri itu!
(Artikel ini pernah tersiar di laman http://idealis-mahasiswa.net)
|
| 2.
Persoalan Sosial Dalam Sang Puteri
Sempena festival berkenaan, yang sebelum
ini dikenali sebagai Pekan Teater, sebanyak 9 pementasan telah diadakan yang
diwakili oleh sembilan buah kumpulan teater yang bergiat aktif sekitar Kuala
Lumpur ini. Antaranya ialah Karyawan Bandaraya (Angin Madinah), Kumpulan
Giat Budaya (Atap Genting Atap Rumbia), Kelab Teater Kota Kuala Lumpur (Khadam),
Badan Kesenian Wilayah Persekutuan (Bujur Lalu Melintang Patah), Grup Teater
Artis Kreatif (Ekor), Sandiwara Studio (Hang Jebat Menderhaka), Angkatan
Karyawan Aktif Kuala Lumpur (Tamu Di Bukit Kenny), Kelab Kilat TNB Kuala
Lumpur (Bujur Lalu Melintang Patah), dan Pertubuhan Pentas Lakon (Sang
Puteri). Pengarah muda ini berjaya memberi wajah secara jujur pada watak Tuanda sebagai mewakili golongan kelas atasan yang ternyata lebih mementingkan darjat, pangkat serta harta untuk kepentingan dan kepuasan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kesan dan akibat yang terpaksa diterima oleh golongan bawahan seperti pada watak Pak Anjang, Mak Anjang, Andak, Inah, Tok Aki, Pujangga, dan Pamanda. Tuanda yang mewakili golongan atasan ini memperlihat secara rinci perwatakan yang secara klisenya wujud dalam diri mereka. Hukum sebab, kesan dan akibat juga terpapar dengan jelas. Tuanda yang menggunakan kedudukan dirinya untuk memanipulasi golongan bawahan yang terpaksa mengikut telunjuknya akhirnya terpaksa menerima musibah bila kesemua watak seperti Pujangga, Pamanda, Inah, Andak dan sebahagian lagi menjadi penentang kekuasaannya oleh kesedaran yang timbul dalam diri mereka, menyebabkan Tuanda terpaksa menerima hakikat kebenaran itu. Aspek kepengarahan sedikit menjadi cacat lantaran pengarah tidak menggunakan sepenuhnya peluang untuk menyelitkan unsur teaterikal di sepanjang pementasan itu. Unsur nyanyian, tarian, atau lagu-lagu tradisional tidak sedikit pun diguna-pakai oleh pengarah, sedangkan jika dilihat secara keseluruhan cerita itu, ia banyak berkisar seputar kehidupan orang kampung yang tentunya kaya dengan hal-hal seperti ini. Ini menjadikan persembahan ini menjadi sedikit canggung untuk disesuaikan dengan jalan ceritanya. Wagiman NS (Abdul Rahman Sidek), selaku ketua panel sewaktu memberi ulasan sebelum keputusan diumumkan banyak menyentuh tentang betapa wujudnya jurng yang besar diantara teater yang dipertandingkan pada tahun ini jika dibandingkan dengan teater-teater dalam Pekan Teater yang lepas. Antara masalah utama yang diulas beliau tentang mutu persembahan pada tahun ini ialah kegagalan pengarah untuk menyatakan lokasi teater itu berlangsung semasa pementasan dijalankan. Keadaan ini jelas sekali diakui jika disorot dari aspek penggunaan busana dan tatarias. Watak Tuanda agak tidak jelas kedudukannya dalam sistem masyarakat jika didasarkan pada pakaian yang digunakan sepanjang pementasan itu untuk menentukan sama ada beliau mewakili golongan istana, aristokrat, kaya atau sebaliknya. Ini kerana pakaian beliau agak terkedepan dari peredaran masa, dan malah watak Pamanda pula telah dipakaikan dengan pakaian ala-tentera menjadikan ianya agak sulit untuk menentukan kedudukan kedua-dua watak ini dalam sebuah masyarakat. Watak-watak mewakili orang kampung pula seperti Pak Anjang, Tok Aki, Petani 1 dan 2, telah disolek dengan make-up secara keterlaluan sehingga menjadikan muka mereka ini keputihan, sedangkan ia tidak berlaku pada watak Andak, Inah, dan Mak Anjang. Penonton nyata tidak dapat membaca maksud yang hendak disampaikan oleh pengarah jika ia disorot dari aspek ini, kerana sebahagian daripada busana yang digunakan khususnya untuk mewakili golongan orang kampong sudah jelas tergambar melalui pakaian mereka. Cuma topi yang digunakan oleh Petani 2 sahaja yang menampakkan ketidakpekaan pengarah lantaran ia bukanlah topi yang biasa digunapakai oleh kebanyakan pesawah seperti Petani 2 itu kerana topi itu dilihat sebagai terlalu moden dalam dunia seorang pesawah sepertinya. Namun, pengarah nampak agak teliti dalam memberi wajah kepada watak Pujangga. Pemakaian busana jelas menggambarkan watak sebenar seorang ahli akademik yang tentunya sarat ilmu. Kedudukan set disepanjang pementasan berlangsung nyata bersesuaian walaupun agak statik. Ini kerana set-set yang digunakan adalah fleksibel dan dapat disesuaikan dengan sebarang pergerakan watak, menjadikan kedudukan pentas tidak terlalu berat sebelah atau canggung. Kedudukan set dapat berfungsi dengan baik kerana pengarah telah menggunakan objek untuk menyatakan maksudnya seperti pengguna bongkah empat segi untuk watak-watak orang kampung yang hidup sebagai seorang petani/pesawah. Malah set yang sama juga telah digunakan untuk watak Andak yang dihukum oleh Tuanda, dan sewaktu Andak digambarkan sedang menolak batu sebagaimana yang dimimpikan oleh Pak Anjang. Situasi yang sama juga digunakan oleh pengarah dalam penggunaan prop sepanjang pementasan ini berlangsung. Bahan-bahan yang digunakan secara langsung dapat disesuaikan dengan keadaan. Pengarah berjaya mempragmatikkan sebahagian objek yang dijadikan prop untuk meneruskan kelangsungan jalan cerita yang dibawa. Cuma, kedudukan monumen watak Pujangga agak statik, sedangkan ia digunakan hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja disepanjang pementasan ini berlangsung. Sementara prop disebelah kiri monumen itu juga tidak digunakan langsung menjadikannya statik tanpa makna yang khusus untuk penonton memberi maksud.
Dari aspek lakon dan gerak pula, hampir
keseluruhan watak telah melakukan pergerakan dengan baik. Blocking yang
dibawa setiap pelakon disesuaikan dengan dialog yang digunakan serta selari
dengan kesusuaian watak. Tuanda adalah watak yang jelas menunjukkan
kemampuan pelakon dalam pembawaan perwatakannya. Mimik muka yang ditonjolkan
juga memberi ekspresi watak yang selari dengan pembawaannya. Hanya
kadang-kadang pergerakan Pamanda dan Tuanda menjadi tidak seimbang bila
mereka saling bertukar tempat duduk secara cepat menjadikan keadaan pentas
agak kelam kabut dengan suasana pergerakan mereka, dan malah sesekali
membawa kepada keadaan pentas yang berat sebelah bila kedua-dua watak
tertumpu pada satu sudut sahaja seperti berlaku sewaktu Pamanda sedang
membuat laporan tentang persiapan pihak beliau untuk melangsungkan
perkahwinan anak Tuanda denganInah. Selain itu, dialog yang dituturkan oleh Pamanda juga terlalu cepat menjadikannya agak sulit untuk difahami oleh khalayak audien. Beberapa kata erotik dan kasar juga turut digunakan seperti "anu", "jadah", dan beberapa lagi oleh beberapa watak. Keadaan ini menjadikan suasana percakapan antara watak berlaku secara langsung dan ia nyata adalah kelangsungan hidup dalam masyarakat harian sekeliling. Manakala suara Inah pula pada awalnya lebih kepada keanak-anakan secara berlebihan melindungi pembawaan wataknya yang sebenar, sehinggalah bertukar menjadi agak matang setelah berpisah dengan Andak dan 'direbut' oleh Tuanda untuk dijodohkan dengan anak lelakinya. Kehadiran 'mayat' antara akhir babak pementasan itu adalah lambang kecacatan yang agak jelas oleh pengarah dalam mentafsirkan skrip Johan Jaafar ini. Malah hanya satu 'mayat' saja yang ditampil, sedangkan sudah banyak 'pembunuhan' yang telah dilakukan oleh Tuanda untuk kepentingan dirinya selama ini. Kehadiran watak ini yang pada hakikatnya hanyalah sebagai tempelan sepatutnya hanya boleh diungkapkan melalui dialog antara watak yang sedang berhujah ketika itu. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan pengarah cuba mencuri masa untuk memanjangkan tempoh pementasannya itu dengan tujuan barangkali melengkapkan peraturan masa yang diperuntukkan dalam setiap pertandingan teater. Selain daripada itu kehadiran watak Pujangga sebagai patung atau monumen di atas sebuah tugu juga berlaku secara tiba-tiba. Pujangga dapat dilihat dengan jelas keluar-masuk ke dalam tugu monumen itu menjadikan audien lebih tertanya-tanya maksud sebenar yang hendak dipaparkan pengarah.
Manakala penggunaan tatabunyi juga hanya sedikit dan kadang-kadang kehadirannya juga secara tiba-tiba seperti hilangnya bunyi itu. Penggunaan kesan bunyi pada awalnya juga agak terlalu kuat sehingga menenggelamkan suara pelakon. Malah penggunaan lagu latar juga agak janggal kerana ianya turut disertai dengan vokal asal lagu berkenaan, yang paling sesuai hanya digunakan melodinya sahaja untuk lebih memberikan mood kepada audien. Muzik latar kadang-kadang terhenti secara tiba-tiba, selain tiadanya penggunaan muzik latar tradisional atau nusantara. Pengarah telah tidak menggunakan sepenuhnya kesan khas yang sepatutnya harus ada dalam sesebuah pementasan teater. Latar tempat suasana perkampungan tidak dinyatakan pengarah secara rinci. Begitu juga kesan bunyi yang harus ada untuk menggambarkan masa atau waktu sesuatu babak itu seperti sewaktu Pak Anjang bermimpi kepada Andak di malam hari. Malah sehingga kini saya masih tertanya-tanya adakah lantaran pengarah terlalu mengandaikan segala aspek di dalam pementasan itu adalah objek yang penggunaannya fleksibel untuk menyatakan maksud yang hendak disampaikan menghalalkan sebarang keputusannya untuk tidak menggunakan sepenuhnya disiplin bantu lain dalam pementasannya kali ini (?). Ini kerana saya lihat aliran yang di pegang oleh seseorang pengarah dalam setiap pementasan yang dilakukan akan menghalalkan banyak aspek lain lagi, yang secara tidak langsung akan mematikan hujah pengkritik yang menekuninya. Namun secara keseluruhannya, pengalaman menonton 'Sang Puteri' telah memberi satu pengalaman baru kepada saya. Pengarah dengan kerjasama para pelakon telah berjaya memberikan yang terbaik untuk terus mengungguli dunia teater sekitar Kuala Lumpur ini. Dan apapun kritikan diri yang saya hujahkan, produksi 'Sang Puteri' telahpun memenangi pertandingan berkenaan untuk melayakkannya ke pertandingan akhir Festival Teater Kebangsaan 2002 nanti, selain turut menggondol hampir keseluruhan hadiah yang dipertandingkan dalam festival peringkat Wilayah Persekutuan kali ini seperti Pengarah Terbaik, Teknik Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, selain johan keseluruhan. Tahniah!
(Artikel ini pernah tersiar di laman http://idealis-mahasiswa.net)
|
| 3.
Pelajar
Warnai Teater Melaka
Malah, Pekan Teater Negeri juga sudah lama tidak diadakan, sedangkan setiap tahun ada saja kumpulan yang mewakili negeri ke Pekan Teater Zon Selatan dengan wakil yang itu-itu juga. Sehinggalah dua tahun lepas dihidupkan kembali Pekan Teater Negeri yang sedikit rencam dengan penglibatan yang agak meluas daripada golongan pelajar institusi pengajian tinggi di Melaka ini. Sukar kadang-kadangnya untuk menentukan faktor yang menyebabkan hal seperti ini terjadi. Namun yang paling nyata, ialah berlakunya lompang yang agak besar bagi dunia teater di negeri Melaka sejak lima tahun kebelakangan ini. Kelompangan ini sebenarnya telah cuba diisi oleh kebanyakannya golongan siswa dengan tujuan mengembalikan wajah disebalik kesuraman dunia teater di Melaka ini. Siswa daripada Institut Teknologi Seni Malaysia (ITSM) kelihatan begitu memonopoli dalam sebarang pementasan teater yang dimaksudkan itu pada awalnya. Malah pementasan itu tidak hanya sekadar diadakan dikampus mereka, tetapi juga turut diadakan diluar kawasan sekitar Melaka ini seperti di sekolah atau mana-mana dewan yang lain. Dan ini ternyata turut melibatkan penyertaan daripada kebanyakan orang luar mereka. Pada September 1997, pelajar ITSM memulakan pementasannya di Dewan Kompleks Belia dan Sukan, Air Keroh melalui Kumpulan Taming Sari. Kumpulan ini mementaskan teater bertajuk "Karmabakalala". Naskhah ini diarahkan oleh Azhan Abd. Rani. Pementasan ini adalah satu permulaan kepada penglibatan pelajar dalam dunia pementasan teater di negeri Melaka ini lantaran kekosongan yang ditinggalkan oleh gerombolan elit teater negeri. 1998 mula menunjukkan penglibatan yang agak besar golongan ini apabila terdapat 5 pementasan seputar Melaka yang kesemuanya dipentaskan oleh siswa-siswa ITSM. Kumpulan Taming Sari mementaskan "Impian Diambang Waktu" di Dewan Besar Kampus ITSM, Taman Merdeka pada September 1998 hasil arahan Saudara Subroto Katimin. Kumpulan ATLAS pula mementaskan "Anak Kerbau Mati Emak" di Dewan Besar SMK. Teknik, Bukit Katil. Teater ini diarahkan oleh Saudara Mohd. Rashid Umar. Kumpulan Teater Indera juga dari ITSM mementaskan "Panji Kayangan" hasil arahan Saudara Mohd. Yusof Shaari. Manakala Kumpulan Taming Sari telah mementaskan "Tanah Lot" di Dewan Besar SMK. Munsyi Abdullah atas arahan Saudara Hafez Azwan Darwis. Kedua-dua nakhah ini dipentaskan pada bulan Februari 1998. Tahun 1999 pula mula menampakkan sambutan yang baik daripada warga siswa dari institusi pengajian tinggi yang lain apabila warga Kolej Yayasan Melaka (KYM) turut terlibat mementaskan teater pertamanya diluar kolej iaitu naskhah "Ilham" yang telah dipentaskan di Dewan Teater PERPUSTAM. Teks ini dihasil dan diarahkan oleh Saudara Hafez Azwan Darwis, bekas pelajar ITSM yang dipinjamkan khas untuk melatih warga KYM melalui Produksi KASPURI dalam pementasan berkenaan. Pengurusan KYM sebenarnya telah mengambil satu langkah yang bijak apabila memasukkan subjek sastera yang menuntut pelajarnya mementaskan teater pada akhir semester mereka sebagai satu bahan untuk projek akhir mereka. Dan pementasan ini turut dikira dalam bilangan jam kredit berkenaan. Ini sebenarnya turut manambahkan kerancakan dunia teater yang agak hambar kebelakangan ini. Warga ITSM masih mengungguli pementasan teater di Melaka ini pada tahun berkenaan dengan mementaskan tiga naskhah pada tempat dan masa yang berlainan. Kumpulan PENTAS telah mementaskan "Mahkamah" pada Februari 1999 di Dewan PERZIM. Skrip ini diarahkan oleh Saudara Hafez Azwan Darwis. Pada Ogos 1999 pula, Kumpulan Teater Keris turut mementaskan "Kaki Lima" di Dewan Teater PERPUSTAM yang juga turut diarahkan oleh Saudara Hafez Azwan Darwis. Manakala pada bulan yang sama juga, Produksi Teater Baiduri pula telah mementaskan "Sidang Terakhir" di tempat yang sama hasil arahan Saudari Marlisa Nadiya Mohd Suhaimi. Tahun 2000 adalah kemuncak penglibatan siswa setakat ini dalam dunia pementasan teater di Melaka ini apabila terdapat 13 pementasan telah dilakukan. Pada tahun ini, warga KYM memonopoli hampir keseluruhan pementasan. Keadaan ini ditambah pula dengan penghijrahan beramai-ramai warga ITSM ke kampusnya di Bukit Sebukor, (barangkali ini percaturan orang-orang politik) yang turut menyaksikan berlakunya pertukaran pengalaman dan kemudahan yang sedia ada ternyata lebih menghangatkan dunia teater. Warga KYM telah mementaskan 9 teater diikuti ITSM (2- sebelum penghijrahan beramai-ramai itu), UiTM (1) dan MPPM (1). Pada tahun ini dihidupkan kembali Pekan Teater Melaka (PTM 2000) menyaksikan KYM buat pertama kalinya turut menghantar 2 produksinya untuk memeriahkan PTM berkenaan. Kedua-dua produksi ini adalah hasil gabungan antara pelajar ITSM, yang sudah menjadi pemastautin tetap dikampus KYM ini dengan warga KYM. Pementasan pada tahun ini dimulakan oleh warga ITSM melalui Produksi KELAS yang telah mementaskan "Meja Bulat" pada Februari 2000; dua bulan sebelum semua warga ITSM 'dijual' kepada KYM. Naskhah ini telah diarahkan oleh Saudara Mohd Zamri Mohd Napis. Teater kedua oleh pelajar ITSM ialah "Mustaqima" hasil arahan Saudara Mohd Roni Pasla Shafie di Auditorium Yayasan Melaka pada November 2000. Warga KYM, melalui Produksi KASPURI, pada Mac 2000 telah mementaskan tiga teater di Dewan Teater PERPUSTAM iaitu "Mahkamah" , "Inflakasta", dan "Sasau". Manakala pada Julai 2000, melalui PTM 2000, KYM melalui Produksi KASPURI dan PAWAKA telah mementaskan "Si Bereng-Bereng" arahan Saudara Dee Waqaf di Dewan Besar MPPM dan "Kubur" arahan Saudara Sharulfadli Yahaya di Dewan Perbandaran Alor Gajah. Manakala pada bulan September dan Oktober pula, Produksi KASPURI turut terlibat dalam dua lagi pemetasan teater di Auditorium Yayasan Melaka iaitu "Pegawai Khalwat" dan "Baginda Puteri". Sementara warga KYM bagi program francais UKM juga turut mementaskan dua teater di Dewan Teater PERPUSTAM iaitu "Kubur" dan "Wang Panas". Baki dua teater lagi adalah hasil pementasan Kumpulan KESIDA milik warga UiTM, Lendu yang telah mementaskan naskhah "Sabda Sang Pendeta" dan Kumpulan Teater MPPM yang mementaskan "Perjuangan". Kedua-dua pementasan ini berlangsung sempena Pekan Tater Melaka 2000. Pada tahun 2001 pula, sehingga kini hanya satu pementasan saja yang berlangsung di Auditorium Yayasan Melaka. Pementasan ini dilakukan oleh Produksi Animed milik warga KYM yang telah mementaskan naskhah "Meja Bulat" pada akhir April. Baki tujuh bulan yang ada sebelum tirai tahun ini berlabuh menjanjikan banyak lagi pementasan yang akan berlangsung, terutamanya oleh golongan pelajar ini. Warga UiTM contohnya, khabarnya sedang giat mengadakan latihan untuk pementasan teater yang agak besar juga apabila turut bekerjasama dengan Saudara Yalal Chin, aktivis teater lama di Melaka ini. Jesteru itu, sehingga kini dapatlah dirumuskan bahawa, sejak tiga tahun kebelakangan ini golongan pelajar telah mewarnai dunia teater di negeri Melaka. Ini berdasarkan penglibatan yang agak menyeluruh daripada warga pelajar khususnya siswa dari institusi pengajian tinggi di sini. Keadaan ini seharusnya dapat membuka mata banyak pihak, terutamanya pihak Pejabat Kebudayaan negeri untuk menyediakan kemudahan prasarana yang lebih baik serta membantu setiap produksi yang terlibat dalam pementasan ini untuk menambahkan lagi galakan kepada penglibatan mereka ini. Ini selari dengan hasrat kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam yang ingin menjadikan negeri Melaka ini sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang sarat dengan ciri-ciri kebudayaannya yang tersendiri. Dan dunia teater ini sebenarnya adalah salah satu daripada cabangnya itu.
(Artikel ini pernah tersiar dalam Buletin Sastera, terbitan Kelab Sasterawan Muda, Kolej Yayasan Melaka dan juga di laman http://idealis-mahasiswa.net)
|
| 4.
Sampaikah Mesej Dalam Festival Teater 2002?
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Menonton pementasan teater Dalam Kehadiran Sofea yang dipersembahkan oleh Kumpulan Budayasari yang mewakili Pulau Pinang sempena Festival Teater Malaysia 2002 memberi satu pengalaman yang menjemukan diri. Teater ini adalah teater kedua yang ditonton sempena festival besar ini selepas teater pertama beberapa hari sebelumnya persembahan Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah yang mementaskan Macalzone, yang nadanya juga seakan-akan sama.
Kebetulan ada temujanji dengan seorang rakan, lalu kami jadikan Auditorium DBKL sebagai tempat pertemuan kami seusai menyaksikan pementasan itu nanti sempena kesibukan kota Kuala Lumpur sekarang ini dengan perayaan teater dari seluruh negara. Saya mengajak seorang teman dari aliran agama yang baru ingin berjinak dalam dunia sastera setelah beliau saya ‘dakwahkan’ sedikit sebanyak tentang kebaikan, keistimewaan, dan keindahan alam sastera ini untuk menyaksikan pementasan itu. Dan beliau memang mengikutinya penuh galak sebelum ini.
Kami sampai setelah pementasan berlangsung beberapa minit. Dengan kehadiran penonton lebih kurang dua pertiga dewan itu, kami terduduk bila terpandang gelagat ‘gatal’ sekumpulan Mak Nyah dan pelacur di atas pentas yang besar itu! Saya tertanya diri, sambil memandang teman sebelah; inikah persembahan sebuah festival teater yang khabarnya akan sarat dengan mesej kemanusiaan yang membina untuk santapan khalayak penonton, selari dengan satu daripada lima tujuan festival ini diadakan? Dan teman saya tersengih seakan menyindir penuh jelek sambil merungut, ‘lelaki lembut’ dari lorong gelap mana yang berjaya diangkut pengarah sehingga berkesan membawa cerita pada malam ini!
Terdapat 14 buah produksi yang mewakili negeri masing-masing untuk melengkapkan Festival Teater Malaysia 2002 yang julung-julung kali diadakan ini. Masing-masing diwakili oleh Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah (Sabah ~ Macalzone), Grup Teater Malinja (Selangor ~ Perempuan Seorang Leftenan Inggeris), Akrab (Kedah ~ Pasrah), Grup Pendua (Johor ~ Sang Puteri), Anak Emas Raub (Pahang ~ Protes), ASPEK (Kelantan ~ Antithesis), Gapura (Negeri Sembilan ~ Tamu Di Bukit Kenny), Kerabat Inspirasi Tunas Asyik (Terengganu ~ Selendang Umi), Grup Teater Ngoncong (Sarawak ~ Inflakasta), Akar Budi (Perlis ~ Pusaran Angin Songsang), Budayasari (Pulau Pinang ~ Dalam Kehadiran Sofea), Artistik (Melaka ~ Selendang Umi), Badan Budaya (Perak ~ Penunggu Pusaka), dan PELAKON UM (Wilayah Persekutuan ~ Sang Puteri). Sempena festival ini, pementasan sepanjang acara tidak lagi seperti tahun-tahun sebelumnya yang lebih dikenali sebagai Pekan Teater, di mana setiap produksi terpaksa melalui pelbagai peringkat pertandingan untuk sampai ke peringkat kebangsaan seperti peringkat daerah, negeri, dan zon. Istimewanya kali ini, semua produksi teater mewakili negeri masing-masing dapat berhimpun disuatu tempat untuk mengadakan pementasan secara teratur sambil diadili panel penilai. Maka kerana itu, hajat penganjur untuk merayakan secara besar-besaran pementasan teater dari seluruh negera tercapai selari dengan alasan globalisasi dan daya tarikan pelancongan. Sememangnya setiap perayaan itu besar maknanya kepada khalayak masyarakat.
Penilaian panel pengadil kali ini juga sudah tidak lagi kepada berorientasikan pertandingan semata apabila beberapa kategori yang selalunya dipertandingkan dalam Pekan Teater sebelum ini seperti Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik, Teknik Terbaik, dan beberapa lagi sudah ditiadakan. Tetapi untuk festival tahun ini, hanya lima produksi yang dipilih untuk memenangi lima kategori aspek yang dinilai oleh anggota panel pengadil yang diketuai oleh Prof. Datin Dr. Rahmah Bujang, atau disebut juga sebagai Anugerah Juri. Keadaan ini dapat dilihat sebagai usaha penganjur untuk terus menghantar mesej kepada khalayak audien melalui sesebuah pementasan teater, dan tidak hanya berorientasikan kepada pertandingan semata.
Malah, menurut ketua panel lagi, festival kali akan dinilai dari sudut kejayaan sesebuah produksi dalam menyampaikan satu komposisi visual dan moral untuk dinikmati khalayak. Manakala produksi yang paling berkesan dalam menghantar komposisi visual dan moral layak untuk memenangi aspek yang dipertandingkan. Dan paling mengejutkan barangkali pada malam keputusan diumumkan ialah kemenangan Dalam Kehadiran Sofea (Kumpulan Budayasari, Pualau Pinang) bagi kategori Anugerah Persembahan Yang Berani Menonjolkan Secara Lucu Isu Yang Sensitif, selain anugerah lain seperti Anugerah Persembahan Yang Mencapai Kesempurnaan (Grup Teater Malinja, Selangor ~ Perempuan Seorang Leftenan Inggeris), Anugerah Reduksi Eksperimental Dengan Unsur Teaterikal Yang Menarik (Grup Teater PELAKON UM, Wilayah Persekutuan ~ Sang Puteri), Anugerah Persembahan Yang Berusaha Mengemukakan Persoalan Semasa Dengan Menggunakan Watak Tradisi Melayu (Grup ASPEK, Kelantan ~ Antithesis), dan Anugerah Persembahan Yang Menjelaskan Naskhah Dengan Kerja Yang Tersusun dan Teratur (Grup Teater Pendua, Johor ~ Sang Puteri).
Memanglah Dalam Kehadiran Sofea telah dimenangkan oleh panel penilai bagi kategori yang diadili itu, tetapi adakah produksi ini berjaya dalam menghantar moral kepada khalayak audien? Dimanakah unsur sensitif yang didakwa disampaikan secara lucu yang dimaksudkan panel penilai? Dunia pelacur adalah isu klise yang sudah menemui masyarakat berkurun lamanya. Saya selalu fikirkan bahawa zaman untuk mengambil kisah-kisah buruk, negatif, tidak bermoral, teruk dan yang sealirannya untuk dijadikan contoh dan menghantar moral kepada khalayak sudah lama berlalu selari dengan perkembangan tamadun kita. Masyarakat sudah jelek dengan kisah-kisah pelacur, perogolan, kekecewaan, putus cinta, penganiayaan, perbezaan darjat, dan sebagainya yang cuba dihantar dalam setiap pementasan teater untuk dijadikan sempadan hidup. Seharusnya kini khalayak lebih dihidangkan sesuatu yang baru, segar, bermoral, positif, dan kebaikan untuk dijadikan tauladan hidup seharian. Dan bukannya hal yang itu-itu.
Seperti genre lain dalam dunia sastera kita juga, contohnya cerpen dan novel, sudah puluhan tahun kita dihidangkan dengan perkara-perkara yang tidak molek untuk dijadikan sempadan hidup dalam kebanyakan karya besar negara. Barangkali ada benarnya pendapat Mohd. Affandi Hassan, bahawa dunia sastera kita sebenarnya sedang menghadapi krisis nilai yang teruk, buruk dan parah. Maka kerana itu, adalah malang sekali jika keadaan ini masih diulang-ulang, lagi dan lagi secara berterusan, lebih-lebih lagi bila turut diberikan anugerah dan penghargaan yang tidak sepatutnya diterima, lantaran khalayak tidak akan memperolehi apa-apa, melainkan yang itu-itu juga tanpa sebarang perubahan yang selari dengan kemajuan tamadun dan pemikiran bangsa.
Dunia teater kita perlukan perubahan, seperti juga dalam dunia sastera kita secara keseluruhannya. Sudah sampai masanya untuk kita mulakan sesuatu yang baru dan baik untuk perkembangan sihat dunia sastera negara, tanpa menoleh kepada dunia sastera barat yang lebih menghalalkan cara semata untuk menyampaikan maksud kepada masyarakat tanpa perlu menilai terlebih dahulu baik-buruknya. Selari dengan budaya kita yang sopan santun dan beradab, ada baiknya untuk semua ahli sastera negara bergerak juga secara penuh sopan santun dan beradab dengan tidak hanya menjadikan sesuatu yang tidak baik untuk dijadikan contoh kepada khalayak sebaliknya terus kepada budaya baik kita untuk dicontohi masyarakat audien.
Ayuh, belum terlambat untuk kita mulakan sesuatu yang baik!
(Artikel ini pernah tersiar di laman http://idealis-mahasiswa.net)
|
5.
CSUH : Wajah Baru Dunia PoligamiOleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Maafkan aku Hajar!
Maafkan aku, Hajar!
Maafkan aku, Hajar!
Salahkan aku, Hajar!
Maafkah aku, Hajar!
Maafkan aku, Hajar
Tuhan Saya akui jarang menemui sajak bernada seperti ini dari seorang perempuan yang sudah berkeluarga. Tapi saya juga tidak fikir ia lahir dari hati mereka yang pernah melaluinya. Ini kerana masyarakat kita sudah terlalu lama memberi sambutan yang buruk dan negatif terhadap dunia poligami lantaran sikap sesetengah lelaki yang mengamalkannya itu sendiri.
Keadaan ini mendorong Sarah untuk memujuk Ibrahim agar mengahwini Hajar, lantaran usia yang makin melewat, ditambah dengan keinginan Ibrahim untuk melihat zuriat sendiri bagi menyambung tugas dakwah kepada umatnya. Lalu Nabi Ibrahim mengahwini Hajar, dan langsung lahirlah Nabi Allah, Ismail A.S, menambahkan lagi rasa kasih sayang baginda terhadap keluarga barunya itu. Keadaan ini memberi tekanan kepada Sarah, bila merasakan dirinya terpinggir dan kekurangan untuk menambah rasa kasih sayang Ibrahim padanya. Inilah yang mendesak Sarah meminta Ibrahim menyingkirkan Hajar dan anaknya Ismail dalam hidup mereka, sehinggalah turun wahyu dari Allah supaya Nabi Ibrahim menghantar isteri dan anak lelakinya itu di sebuah padang pasir yang jauh dari dirinya (sekarang tempat itu sekitar Kota Mekkah). Dan nyata Hajar menerima semua ini dengan redha hati, yang akhirnya menginsafkan Sarah. Malah Sarah sendiri seusai itu akhirnya melahirkan Nabi Ishak, A.S juga dari benih Ibrahim.
"Cemburu telah meramas seluruh tubuhku, telah menjerut tangkai jantungku, telah meradak hatiku, telah menikam ubun-ubunku, telah merodok mulia pekertiku, telah membunuh warasku" Inilah tindakan atas bahana nafsu, hingga mengenepikan akal waras. Namun Sarah kembali pada-Nya, bila penyesalan timbul dalam dirinya, sebagaimana cuba diungkapkan oleh Amaruszati; "Di atas cemburu yang padam, kubina kagum berabad kerana tak kaunista madumu, hanya dalam hiba menyeru kasih Allah terhadap Ismail" Dan sambung Amaruszati lagi kemudiannya; "Maafkan aku, Hajar / maluku bergetar dalam sendu". Nah, berapa ramai sikap wanita yang hidup bermadu seperti ini wujud? Jika rasa seperti ini menjadi budaya dalam hidup wanita yang bergelumang dalam dunia poligami, alangkah!
Tuhan / mesti tidak kutahu di mana / aku mengerti Engkau kekal / dan ada. Maka moleknya jika pengamal dunia poligami itu begitu juga semuanya, kerana tidak Allah jadikan sesuatu itu tanpa makna dan tujuan apa-apa, sebaliknya terhimpun seribu hikmah yang tersembunyi tunggu diselongkar oleh umatnya.
(Artikel ini pernah tersiar di dalam Akhbar Mahasiswa dan juga di laman http://idealis-mahasiswa.net)
|
| 6.
Bila 'Nyamuk' Bersepah? Oleh JEBAT ISKANDAR
Nyamuk begitu sinonim dengan kehidupan manusia. Dari kampung hingga ke pekan besar, haiwan ini menjadi musuh utama dan berbahaya dengan pelbagai ancaman penyakit dan mudarat kesihatan. Terdapat pelbagai jenis nyamuk dalam kelompok keluarganya. Ada tiruk, aedes, dan banyak nama besar lain lagi, yang kesemuanya membawa jenis penyakit yang tersendiri yang menjurus kepada kerosakan kehidupan manusia.
Nah, sekarang dosa siapa yang harus kita tanggung bersama?
(Artikel ini pernah tersiar di dalam Akhbar Mahasiswa dan juga di laman http://idealis-mahasiswa.net)
|
| 7.
Saupi
‘Menghalalkan’ Wayang Kulit
Watak Samad, Said, Wak Yoh, Wak Long, dan Pak Dogol merupakan antara watak penting dalam sesebuah permainan wayang kulit. Malah jika kena pada gayanya, pembawaan watak ini dalam dunia perdalangan akan menjadi daya penarik utama dalam sesuatu persembahan wayang kulit untuk menarik minat penonton sesuai dengan perubahan dan peredaran masa. Namun, sesetengah dalang tidak dapat memenuhi kehendak dan selera penonton semasa melalui pembawaan cerita sewaktu setiap persembahan berlangsung lantaran wujudnya keterikatan kepada syarat-syarat dan pantang-larang tertentu yang menjadi sebahagian daripada halangan dan kekangan utama dalam perdalangan mereka. Keadaan inilah yang menjadikan wayang kulit mula diharamkan di sesetengah tempat di negara ini ekoran berlakunya perubahan tampuk pemerintahan politik setempat di negeri-negeri yang masyarakatnya antara yang giat menghidupkan permainan tradisional ini. Pemimpin politik negeri yang tendesi agama ini menjadikan alasan wujudnya unsur-unsur khurafat, tahyul, dan pemujaan melampau yang membawa kepada kesyirikan sebagai alasan kekal untuk terus mengharamkan permainan wayang kulit ini dimainkan secara umum untuk tontonan dan pertunjukan kepada khalayak. Alasan ini kuat didorong oleh cara perdalangan seseorang dalang sewaktu melangsungkan permainan wayang kulit itu seperti adanya upacara buka panggung, kaitan watak dengan dewa-dewi dari kayangan, penggunaan patung wayang yang diperbuat dari belulang binatang, pemujaan kepada patung-patung wayang, penggunaan mentera dan banyak lagi. Sebaliknya, para kelompok pemimpin ini bersetuju untuk ‘menghalalkan’ kembali permainan tradisional ini dimainkan untuk tontonan umum sekiranya para dalang bersetuju untuk membuang unsur-unsur yang membawa kepada pengharaman itu. Keadaan inilah yang telah menimbulkan konflik kepada sesetengah dalang apabila mereka tidak dapat menunaikan sepenuhnya permintaan itu demi untuk terus menghidupkan permainan tradisional yang sudah berakar-umbi dalam kelompok masyarakat tertentu sejak sekian lama. Di negara ini terdapat beberapa kumpulan wayang kulit yang dikenali umum lantaran keaktifan produksi mereka membuat persembahan di serata tempat. Antara yang terkenal, seperti kumpulan yang pernah dipimpin oleh Tokoh Seni Negara, Gemulah Hamzah Awang Hamat, Dollah Baju Merah, anak muridnya, Nik Mat Suara Mas, Saupi, (semuanya dari Kelantan) dan Sri Asun (Kedah). Selebihnya, walaupun agak banyak yang masih ada dan membuat persembahan setempat, tetapi kumpulan itu tidak begitu menonjol dalam kelompok masyarakat umum. Namun di antara kumpulan yang disebutkan di atas itu, kumpulan yang dijuarai oleh Dalang Saupi adalah antara kumpulan yang paling terkenal dikalangan masyarakat umum, terutamanya kelompok anak-anak muda di sebelah Pantai Timur lantaran pembawaan cerita yang selalu dimainkannya mempunyai kelainan dan keistimewaan yang tersendiri jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Saupi, atau nama asalnya Che Mohd. Saupi bin Mat Isa adalah antara dalang yang tidak asing lagi di Pantai Timur. Beliau dilahirkan di Kampung Cabang Empat, Chetok, Tok Uban, Tumpat, Kelantan pada 11 April 1956. Ayahnya, Mat Isa berasal dari Thailand adalah merupakan seorang dalang wayang kulit yang terkenal di Selatan Siam waktu itu. Namun, beliau tidak sempat mengenalinya kerana bapa beliau meninggal dunia sewaktu beliau masih di dalam kandungan ibunya, menjadikannya anak yatim tunggal sebelum ibunya berkahwin lain setelah pulang menetap di Tumpat, Kelantan. Sehingga kini beliau mempunyai empat orang adik tiri daripada perkahwinan kedua ibunya. Saupi mula bermain wayang kulit sewaktu berumur 17 tahun. Menurut beliau, waktu itu anak-anak muda di kampungnya sedang membentuk sebuah kumpulan belia yang akan membuat persembahan wayang kulit. Kebetulan waktu itu hanya tempat sebagai dalang yang masih kosong walau beberapa sesi uji bakat telah diadakan untuk mencari calon yang layak, menjadikan beliau begitu berminat untuk mengisi kekosongan yang ada.Beliau akhirnya meminta izin ibunya untuk mencuba nasib, dan nyata tuah menyebelahi dirinya. Selepas itu beliau tidak menoleh kebelakang lagi. Bersama kumpulannya, Saupi mengadakan persembahan wayang kulit serata tempat sama ada atas jemputan, persembahan kebudayaan, atau perayaan masyarakat setempat. Dulu, biasanya beliau bergerak bersama kumpulannya, Kumpulan Saupi Bunga Andani atau Kumpulan Wayang Kulit Saupi Air Mata. Namun kini beliau bergerak membuat persembahan secara bebas, dan tidak terikat kepada mana-mana kumpulan. Menyentuh tentang unsur-unsur yang membawa kepada pengharaman wayang kulit di dua negeri di Pantai Timur sekarang ini, beliau mengakui bahawa boleh mengubah keadaan dan menjadikan wayang kulit kembali dihalalkan’ untuk persembahan umum. Ini berdasarkan kepada keikhlasan beliau membuktikan bahawa beliau bebas daripada sebarang unsur ritual sepanjang membuat persembahan wayang kulitnya. Contoh jelas yang dapat diambil daripada pengalamannya bermain wayang kulit ialah beliau tidak mengadakan upacara buka panggung sebelum sesebuah permainan wayang kulit hendak diadakan, seperti membuat kenduri untuk dijamu dengan menggunakan bahan-bahan tertentu, memperasap patung-patung, ataupun membacakan mentera untuk memuja dewa-dewa tertentu. Sebaliknya, kata beliau, sebelum permainan dimulakan, beliau akan dahulukan dengan bacaan ayat Al-Quran, iaitu Surah Al-Fil, dan kemudiannya membacakan ayat yang memuji kebesaran Allah serta para nabi. Walaupun masih terikat dalam tradisi cerita dari kitab Ramayana dan Mahabrata yang merupakan teks rasmi rujukan para dalang wayang kulit, Saupi telah cuba keluar jauh dari ikatan itu dengan melakukan beberapa pengubahsuaian dalam kebanyakan cerita yang dibawa. Kebanyakan cerita yang dibawa adalah rekaan beliau sendiri yang dirancang terlebih dahulu dan banyak terdedah kepada cerita ranting daripada cerita asal sesebuah permainan wayang kulit. Ini dapat dilihat dalam kebanyakan cerita yang di bawa, beliau banyak memasukkan unsur luar yang berlaku disekeliling masyarakat seperti kisah SUKOM 98, senario pelakon Bollywood, dunia dangdut, demam bolasepak, dan banyak lagi. Tujuan utama beliau adalah untuk menarik seramai mungkin penonton dan pendengar yang akan mengikuti setiap persembahannya. Dalam kebanyakan cerita yang beliau bawa, nyata ianya sarat komedi dengan menjadikan tiga watak utama iaitu Samad, Said, dan Wak Yoh sebagai tunjang untuk membina plot dan menghidupkan cerita. Melalui tiga watak inilah Saupi membina karektornya yang tersendiri seperti watak Samad digambarkan sebagai serba tahu, cerdik, suka bercakap besar, tetapi penakut. Manakala watak Said, iaitu anak saudara Wak Yoh dilukiskan sebagai seorang yang cerdik, dan pandai mengambil peluang di atas kelemahan dua rakannya itu. Sementara Wak Yoh pula ditonjolkan sebagai seorang yang berani tetapi bodoh, tidak tahu membaca dan menulis. Pembawaan karektor masing-masing inilah yang digunakan oleh Saupi sepenuhnya untuk menghidupkan cerita dengan selitan unsur komedi. Sungguhpun begitu, beliau mengakui hakikat bahawa, asas-asas penting dalam sesebuah permainan wayang kulit perlu dikekalkan seperti unsur muzik, watak-watak penting, serta penampilan sesuatu watak untuk menjadikannya kekal sebagai sebuah permainan wayang kulit. Ini dapat dilihat dalam kebanyakan cerita yang dimainkan beliau, sekalipun mengikut peredaran zaman dan kehendak masyarakat sekeliling, watak-watak penting dan latar tempat dalam sesebuah cerita asal wayang kulit masih dikekalkan seperti watak Samad, Said, Wak Yoh, Pak Dogol, Wak Long, Sri Rama, Sri Dewi, dan lain-lain lagi. Sewaktu kunjungan penulis ke rumahnya baru-baru ini mendapati tidak terdapat sebarang alatan atau patung yang biasa digunakan dalam sesebuah permainan wayang kulit dirumahnya sesuai dengan tugasnya sebagai seorang dalang wayang kulit. Ini bertentangan dengan sesetengah dalang lain yang biasanya akan mempunyai koleksi patung-patung wayang yang digunakan dalam setiap permainan mereka serta himpunan peralatan muzik yang mengiringi setiap persembahan mereka. Malah, ada juga segelintir dalang yang masih kuat terikat dengan unsur ritual dan mengadakan upacara tertentu seperti memuja patung-patung itu dengan memperasapkannya, membalutnya dengan kain kuning, atau disimpan ditempat yang tinggi. Keadaan ini seperti membenarkan dakwaan sesetengah orang bahawa patung-patung wayang benar-benar hidup. Menurut Saupi, sekiranya terdapat jemputan untuk mengadakan persembahan di sesuatu tempat, biasanya beliau akan memaklumkan kepada kumpulan muzik tertentu untuk mengiringi permainannya, dan beliau tidak terhad kepada kumpulan muzik tertentu sahaja. Malah kadang-kadang kumpulan muzik itu telah disediakan oleh penganjur. Dan Saupi dapat menyesuaikan diri semasa perdalangannya dengan kumpulan muzik yang ada itu. Beliau pernah ‘memperdaya’ kumpulan pemain muzik yang mengiringi persembahannya dengan menggunakan pasir sewaktu permulaan persembahan untuk menyeragamkan bunyi muzik yang dimainkan, sedangkan dalang lain biasanya menggunakan beras kunyit sebagai syarat utama untuk tujuan yang sama. Untuk tujuan rakaman kaset di studio pula, beliau pernah membawa cerita secara solo tanpa bantuan pemain muzik iringan serta patung-patung wayang yang biasa digunakan. Sebaliknya beliau menggunakan kesempatan daya ingatan yang kuat serta kebolehan beliau memanipulasi suara untuk membawa watak yang berbeza-beza itu. Keadaan ini menunjukkan kebolehan semulajadi beliau tanpa dibayangi oleh unsur-unsur lain. Harus diakui bahawa beliau sememangnya mempunyai daya ingatan yang kuat. Ini sesuai dengan keadaan dirinya yang tidak dapat membaca dan menulis kesan daripada pendidikan rasmi yang terhad. Kesempatan inilah yang biasa diambil oleh sesetengah pihak untuk memperdaya beliau dalam kebanyakan persembahan yang diadakan terutamanya berkaitan bayaran. Beliau pernah menerima cek tendang daripada penerbit sesudah membuat rakaman, dan malah kadang-kadang menerima bayaran yang terlalu murah untuk sesebuah persembahan yang dilakukan. Beliau juga pernah menggunakan patung wayang yang diperbuat daripada plastik yang disediakan oleh penganjur dalam sebuah persembahan. Ini bertentangan dengan pendirian yang biasa dipegang oleh segelintir dalang yang hanya boleh menggunakan patung yang diperbuat daripada belulang sahaja dalam kerja perdalangan mereka. Ini selari dengan prinsip mereka bahawa setiap patung wayang yang diperbuat daripada belulang itu mempunyai nyawa yang tersendiri dan hidup. Sepanjang penglibatannya dalam dunia perdalangan, beliau pernah dibawa ke Jepun, Taiwan, dan Singapura untuk mengadakan persembahan wayang kulit kepada masyarakat luar sempena festival yang diadakan di sana. Di Jepun, contohnya, beliau pernah tinggal selama sebulan tujuh hari pada tahun 1990 untuk mengadakan persembahan wayang kulit di sana. Sementara di Taiwan beliau pernah membuat persembahan selama 11 hari dan di Singapura selama enam hari. Dan untuk dalam negara, hampir setiap negeri di Malaysia ini telah pernah beliau pergi untuk membuat persembahan bersama kumpulannya. Pengalaman paling perit dalam hidup ini yang pernah dilalui beliau ialah bila terlibat dalam kemalangan jalanraya pada tahun 1996 yang menjadikannya hilang ingatan’ selama sembilan bulan. Beliau tidak dapat mengadakan sebarang persembahan wayang kulit, dan malah hampir kesemua cerita yang pernah beliau bawa tidak dapat beliau ingati lagi. Keadaan ini mendorong beliau mendapat rawatan dihospital dan juga cara tradisional untuk memulihkannya kembali seperti sediakala seperti hari ini. Sehingga kini, selain daripada persembahan pentas biasa, lebih kurang 15 buah album permainan wayang kulit beliau telah berada di pasaran sama ada dalam bentuk kaset dan juga cakera padat video (VCD). Antaranya seperti Bunga Andani, Bunga Andano (8 siri), Anak Samad (8 siri), Anak Laksamana (7 siri), Sayap Mas, Sayap Perak (7 siri), Hanuman Kebatu (7 siri), Innawon (6 siri), Tuan Kecik, Raja Budak (3 siri), Bunga Cempaka Gila (8 siri), Barang Purba, Sukom 98’, Demam Bollywood, Masuk Dangdut, Siri Komedi (4 siri), dan Jenaka Wayang Kulit Saupi (3 siri) serta sebuah album yang memuatkan lagu-lagu dikir beliau, Nok Stail.
(Artikel ini pernah tersiar di dalam Akhbar Mahasiswa dan juga di laman http://idealis-mahasiswa.net)
|
| 8.
Yang Lebih Mc D Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Kami bertiga, pada suatu malam yang agak ranum, minum teh tarik di Jalan Telawi, Bangsar. Seorang memulakan, setelah jenuh ralit dengan gelagat anak muda mundar mandir seputar itu, bercerita tentang tawaran yang beliau dapat daripada pihak berkuasa sastera dan budaya negara, Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengisi slot teater yang diistilahkan ‘underground’ yang baru dimula-perkenalkan.
Bulan pertama, buah tangan Faisal Tehrani sudah dimulakan dengan pementasan adaptasi novel TIVI karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Agak menarik, Faisal Tehrani ‘meminjamkan’ sebahagian besar daripada pelakon dan ahli produksi itu yang datangnya dari dalam kuliah beliau sendiri di UiTM.
Pementasan selama beberapa malam itu penuh padat sesuai dengan ruang yang disediakan penganjur persis berada disiar kaki Pasar Seni. Dr. Anuar Nor Arai, antara karyawan seni yang turut hadir untuk tidak melepaskan peluang menonton nyata tidak segan dengan hamburan kritikan yang pedas-tajam beliau untuk pengarah dan juga team produksi itu. A. Wahab Hamzah, selaku wakil penganjur dan juga pengerusi bagi sesi soal jawab usai pementasan itu cuba menggunakan sepenuh ruang dan keadaan untuk menyejukkan suasana yang agak hangat itu.
“Cerita apa aku nak bawa ye?” Soal seorang rakan tadi.
“Tentang perang. Tentang kejahatan Amerika!” Seorang rakan lain lagi menyampuk cepat. Perang di Timur Tengah waktu itu dah entah masuk hari ke berapa, semua lupa.
“Alaa… tentang perang boringlah. Dah tak ada ummm lagi. Semua tentang perang. Bagi syor lain sikit.”
“Tak, maksud aku disebalik perang itu.”
“Maksud kau?”
Amerika telah selamat menyerang Iraq. Perang yang digambarkan akan berlangsung dalam masa yang singkat, mendesak Amerika mengerahkan ratusan ribu askarnya ke negara teluk itu. Dua tafsir mudah di sini tentang perang itu; tentu minyak dan Isreal. Tapi yang barangkali agak kukuh hujah kita adalah atas alasan hogemoni Israel di rantau teluk itu.
Tambahan pula, waktu itu masih panas tentang kisah seorang gadis Amerika, Rachel Corrie, yang mati digilis tentera Isreal dengan sebuah jentolak sewaktu cuba untuk mempertahankan sebuah rumah penduduk Palestin daripada dirobohkan oleh askar Isreal itu.
“Memang Amerika jahat. Dah dasar dia pada orang lain. Tapi ada yang lebih jahat daripada Amerika lagi sebenarnya.”
Kami terkekeh. Iraq di zaman Saddam Hussin juga jahat, sampuk seseorang. Dosa Saddam terhadap puak Kurdis tetap tidak dapat dipadam dengan kata maaf semata. Ratusan ribu rakyat Kurdis mati percuma dengan bom beracun Saddam dan konconya. Malah ribuan rakyat yang tidak selari dengan dasar beliau juga menerima nasib yang sama. Lalu, apa beza dosa Saddam dengan Bush, atau Ariel Sharon?
“Tapi dosa Ariel Sharon lebih besar dari semua!” Kata yang seorang lagi.
Ya, Si Sharon tu dosanya tiga kali ‘double’. Ujar kami serentak. Lebih Amerika daripada Amerika. Lalu kami berceritera panjang tentang orang-orang Yahudi yang tidak mempunyai tanah tumpah ini. Salah satu faktor yang menjadikan orang-orang Yahudi ini lebih Amerika daripada Amerika ialah kerana fobia mereka kepada kisah-kisah masa lalu dalam sejarah hitam yang panjang orang Yahudi.
Pada zaman pemerintahan Nazi berkuasa, kelompok Yahudi merupakan antara golongan yang paling hina, dibenci dan tersisih pada kaca mata mereka. Orang-orang Yahudi dibunuh beramai-ramai dan dihumban ke dalam kawah besar, selain ramai yang lain diusir merempat ke serata tempat.
Kesan daripada itulah kelompok elit Yahudi akhirnya membentuk persefahaman di antara mereka sehingga melahirkan gerakan missionari bagi tujuan membina semula bangsa Yahudi dengan tafsiran mereka bahawa semua bangsa lain di dunia ini adalah goyyim. Dan salah satu kejayaan besar mereka ialah apabila berjaya mengisytiharkan sebuah negara Israel di atas tanah tumpah rakyat Palestin pada 9 April 1948. Bermula dari detik itu, Israel melebarkan cengkaman kuasa dan taring beliau dengan melakukan pengusiran sedikit demi sedikit rakyat Palestin dari tanah tumpah mereka dan melakukan rampasan demi rampasan untuk meluaskan pengaruh serta tanah jajahannya. Malah sehingga kini yang dilihat berdiri teguh dibelakang Presiden Amerika juga kelompok Yahudi yang membarisi kabinet pentadbirannya. Tentang teater? Ha…ha…ha…, kami hampir terlupa. Ya, tentang teater itu, buatlah sedikit kelainan nanti dan biarlah nampak oleh khalayak penonton bahawa yang paling berkuasa dalam percaturan dunia sekarang ialah orang Yahudi, sampuk yang memulakan tadi.
Dunia teater kita sudah hilang seri jika penilaian dibuat berdasarkan festival teater yang sudah masuk tahun kedua ni. Tapi ini bukan pertandingan. Ini barangkali medium pernyataan pendapat, berhujah, dan malah membuat dan menyatakan keputusan yang diambil oleh kelompok seniman (baca teateris) dalam sesuatu isu yang berlegar sekitar diri. Sama-sama kita tunggu dan lihat pementasan itu nanti. Sama ada ia Mc D atau menjadi Lebih Mc D, khalayak yang akan menentukan.
(Artikel ini pernah tersiar dalam Akhbar Mahasiswa)
|
| 9.
Wayang Kulit Sebagai Medium Dakwah Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
PENGENALAN
Teater tradisional memainkan peranan yang agak penting dalam struktur masyarakat di Malaysia, khususnya kaum Melayu sebagai pengisian kepada program budaya dan tradisi rakyat. Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis teater tradisional yang telah dikelompokkan oleh para sarjana yang telah menjadi akar budaya masyarakat setempat sejak berabad lama.
Di Malaysia, teater tradisional telah dikelompokkan kepada empat jenis yang utama iaitu Teater Proto, Teater Patung, Teater Tari, dan Opera. Teater Proto atau Proto Theatre boleh dipecahkan kepada dua aspek iaitu dalam bentuk penceritaan dan juga ritual. Bagi aspek penceritaan, beberapa teater tradisional seperti Awang Batil, Selampit, Tarik Selampit, dan Main Peteri. Sementara dibawah alur ritual pula melibatkan pemujaan (jin, dewa, hantu, nenek-moyang, tanaman pertanian) dan rawatan (main peteri, ulit mayang, bagih, barongan).
Di bawah kelompok Teater Tari, terdapat lebih kurang enam jenis teater tradisional iaitu Mak Yong, Menora, Barongan, Kuda Kepang, Mek Mulong, dan Randai. Kesemua teater ini melibatkan unsur drama dan juga tarian. Manakala Opera pula terdapat lebih kurang lima jenis teater traditional yang tergolong di bawahnya iaitu Jikey, Hamdolok, Bangsawan, Ketomprak, dan Hadrah/Noge.
Teater Patung pula melibatkan dua cabang iaitu Wayang Kulit dan Chinese Puppet. Terdapat empat jenis Wayang Kulit di negara ini iaitu Wayang Kulit Purwa, Wayang Kulit Gedek, Wayang Kulit Melayu, dan Wayang Kulit Siam/Kelantan. Sementara Chinese Puppet pula terdapat tiga jenis iaitu Glove Puppet, String Puppet dan Rod Puppet.
WAYANG KULIT
Terdapat dua teori penting yang menyebut tentang asal usul kedatangan permainan Wayang Kulit ke Tanah Melayu (Malaysia). Teater Tradisional ini yang dipercayai berasal dari India mula memasuki negara ini melalui dua arah iaitu melalui Siam (Thailand) dan juga Indonesia.
Pendapat pertama, Wayang Kulit yang asal dari India ini dipercayai mula menapak di tanah Jawa, Indonesia. Dari situlah ia merebak ke Bali, Sumatera, Kalimantan dan masuk ke Malaysia melalui negeri Johor. Wayang Kulit yang bertapak di Johor ini dinamakan Wayang Kulit Purwa. Ceritanya banyak berkisar kepada kisah Mahabrata.
Pendapat kedua pula menyatakan ia masuk ke Malaysia melalui Siam (Thailand) selepas menyusur bumi Kemboja (Kampuchea) dari India. Di Malaysia, ia mendarat di Kelantan, Perlis dan Kedah. Di Kelantan, ia dinamakan Wayang kulit Siam atau Kelantan. Cerita yang dibawa adalah dirujuk kepada kisah Ramayana, meliputi cerita pokok dan juga cerita ranting. Jenis satu lagi dinamakan Wayang Kulit Melayu yang juga dimainkan di Kelantan. Ia membawa kisah daripada cerita-cerita Panji dan Mahabrata. Tetapi kini wayang kulit jenis ini sudah tidak aktif lagi dimainkan.
Manakala Wayang Kulit dari Siam yang mendarat di Kedah dan Perlis pula dinamakan Wayang Kulit Gedek. Ia merujuk cerita daripada kisah Ramayana. Sehingga kini terdapat beberapa kelompok kumpulan penggiat yang masih aktif mengadakan persembahan permainan ini. Antaranya Dollah Baju Merah, Nik Mat Suara Mas, Pak Nasir, Sri Asun, Saupi, dan beberapa lagi. Namun, dengan jumlah yang sekecil itu masih belum mampu untuk menampung hayat usia teater tradisional ini yang jika disukat secara jujur, sudah menghala ke penghujungnya. Ia mula ditandai dengan kemerosotan permainan ini selain ketiadaan pewaris yang akan mewarisi permainan tradisional ini.
Persembahan Wayang Kulit mempunyai sejarahnya yang tersendiri di Nusantara ini. Antara yang terkenal ialah sewaktu kelompok ulama’ terkenal Indonesia, Wali Songo, yang menjadikan persembahan wayang kulit sebagai satu alat untuk menyampaikan dakwah mereka kepada umat Islam setempat.
Inisiatif ini adalah satu alternative yang tidak pernah terfikir oleh kita sehingga kini tentang kesesuaiannya selari dengan keadaan wayang kulit itu sendiri kini yang turut mempunyai terlalu banyak unsur—unsur yang bercanggah dengan agama Islam. Keadaan ini semacam menunjukkan bahawa wayang kulit pada zaman itu jauh lebih maju, dan ‘bersih’ jika dibandingkan dengan yang ada sekarang ini.
Usaha dakwah yang dijalankan oleh kebanyakan pihak tertentu pada masa kini nampaknya gagal untuk menarik perhatian golongan sasaran, sehingga menjadikan suasana masyarakat penuh bobrok apabila hal-hal yang negative mula berleluasa berlaku dan aspek agama mula ditinggalkan sedikit demi sedikit dari akar diri setiap umat.
Persembahan wayang kulit yang ada di negara ini sekarang sebenarnya boleh dijadikan sebagai satu alat dalam usaha golongan mubaligh agama untuk menyampaikan dakwah dan ajaran agama Islam untuk menarik perhatian umat terbanyak. Tinggal lagi, segala unsure yang bercanggah dengan agama yang terdapat dalam sesebuah persembahan wayang kulit itu dibuang sepenuhnya dan digantikan dengan unsur-unsur baru yang selari dengan kehendak agama. Tujuannya adalah agar persembahan wayang kulit ini ‘halal’ dimainkan dari sudut agama dan dijadikan satu medium dakwah yang baru untuk menarik perhatian khalayak banyak.
ASPEK PERTENTANGAN DALAM ISLAMWayang Kulit yang ada dimainkan di negara ini sekarang hampir keseluruhannya mempunyai unsur yang bertentangan dengan agama Islam. Lantaran itu permainan ini tidak diberi perhatian yang sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan sebagai inisiatif untuk menjadikannya sebagai satu medium dakwah yang berkesan bagi tujuan pengembangan agama. Tujuan utamanya adalah untuk menarik kelompok remaja belia daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang tidak bermoral dan bertentangan dengan agama.
Beberapa aspek yang nyata bercanggah dan bertentangan dengan agama Islam memang terdapat di dalam sesuatu persembahan wayang kulit di Negara ini. Antara yang utamanya ialah penggunaan dan pemujaan kepada patung yang diperbuat daripada kulit binatang yang digunakan di dalam setiap pesembahan oleh para dalang. Islam mengharamkan penggunaan patung bagi tujuan yang mempunyai unsur pemujaan, apatah lagi jika digunakan dengan niat tertentu selain daripada Allah.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, yang berbunyi;
“dari Ibnu Umar bahawa Rasulallah SAW bersabda : Sesungguhnya mereka yang membuat patung ini akan diseksa pada hari kiamat dan dikatakan padanya, ‘hidupkan apa yang kamu buat itu….”
Di dalam setiap persembahan wayang kulit, patung tidak hanya setakat digunakan tetapi turut dipuja bagi tujuan memanggil roh-roh atau makhluk-makhluk ghaib yang dipercayai sebagai penunggu kepada patung berkenaan untuk membantu menggerak dan menghidupkannya. Ia biasa dimulai dengan upacara buka panggung yang biasanya melibatkan penyediaan bahan-bahan tertentu untuk dijamu seperti ayam, beras, jarum, benang, kunyit, dan sebagainya.
Sama juga penggunaan ke atas alatan muzik yang terdapat di dalam setiap persembahan wayang kulit. Peralatan muzik ini dipercayai mempunyai penunggunya yang tersendiri yang bertanggungjawab untuk menghidup dan mengerakkan dan mengeluarkan bunyi yang sesuai dengan persembahan yang diadakan itu.
Selain daripada itu, watak-watak yang digunakan juga merujuk kepada dewa-dewa dari atas kayangan yang sememangnya bertentangan dengan agama kerana unsur ini seolah menduakan keesaan Allah. Watak-watak yang digunakan ini biasanya merujuk kepada kepercayaan agama Hindu, dan dasarnya adalah daripada kisah-kisah yang terkandung dalam teks Ramayana dan Mahabrata. Watak-watak yang biasa digunakan seperti Maharaja Rawana, Maharaja Seri Rama, Sita Dewi, Hanuman Kera Putih, Jin, serta banyak lagi.
Selain daripada itu, aspek penggunaan bahasa, turut-kata, dialog yang kasar, kesat, lucah, dan diluar dari moral tradisi manusia oleh kebanyakan dalang. Faktor ini jelas bertentangan dengan agama Islam yang selalunya menuntut umatnya untuk berkelakuan baik sama ada dari aspek tutur kata, dialog, percakapan harian yang biasanya didasari dengan faham agama dan moral yang tinggi.
DAKWAH MELALUI WAYANG KULITPersembahan wayang kulit dapat dijadikan sebagai satu medium dakwah yang berkesan sekiranya kesempatan ini diambil untuk menyesuaikan tuntutan agama dengan kehendak masyarakat persekitaran. Ini selari dengan prinsip agama Islam itu sendiri yang sesuai digunakan pada bila-bila masa melangkaui latar zaman, tempat, atau persekitaran. Malah Allah SWT telah berfirman, di dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah, ayat 3; ayat terakhir yang diterima oleh Rasulallah SWT dalam hayat hidupnya yang berkisar tentang kesempurnaan agama Islam yang baginda sampaikan itu dan kesesuaiannya dengan peredaran zaman.
Usaha pertama yang harus diambil ialah dengan ‘membersihkan’ persembahan wayang kulit dan menjadikannya sebagai satu medium dakwah yang berkesan dalam usaha penyebaran agama Islam secara lebih meluas dan fleksibel dengan suasana tuntutan peredaran zaman.
Upacara-upacara yang biasa dilakukan dalam setiap persembahan wayang kulit seperti buka panggung, kepercayaan tahyul, khurafat, bagi tujuan puja patung atau alatan muzik serta bagi mengelak ditimpa musibah atau bencana semasa persembahan berlangsung perlu dihapuskan dan digantikan dengan cara yang selari dengan tuntutan agama. Jika sebelum ini, para dalang biasanya akan membaca mentera-mentera serta jampi serapah tertentu bagi tujuan mengharapkan sesuatu selain daripada Allah, ia haruslah digantikan dengan amalan-amalan yang selari dengan tuntutan agama seperti dengan membaca ayat-ayat Al-Quran yang tertentu dengan tujuan mendapat perlindungan dan pertolongan daripada Allah SWT semasa persembahan berlangsung. Atau para dalang boleh juga mulakannya dengan zikir-zikir tertentu yang memuji kebesaran Allah SWT bagi tujuan mendapat keredhaan dan keampunan Allah serta perjalanan persembahan yang akan diadakan itu berlangsung dengan jayanya.
Penggunaan nama-nama watak juga penting dalam aspek ini. Jika sebelum ini nama-nama para dewa, atau watak jin, hantu, atau pembesar dengan gelar nama yang tertentu, hendaklah digantikan dengan nama-nama yang biasa digunakan disekeliling diri, serta mempunyai perwatakan yang baik-baik sesuai dengan tujuan dakwah yang hendak dicapai. Latar cerita juga, yang jika sebelum ini terlalu bersumberkan kepada kitab Ramayana dan Mahabrata yang tersohor dalam anutan agama Hindu, digantikan dengan kisah-kisah iktibar pada zaman dakwah Rasulallah SWT, para sahabat baginda, kisah tauladan daripada tabii’ atau tabi’iin yang pernah mencatatkan sejarah gemilang dalam dunia Islam.
Kisah-kisah yang dibawa juga hendaklah sarat dengan unsur-unsur kebaikan serta mencerita kebesaran dan keagungan Allah SWT. Begitu juga dengan dialog-dialog, atau kata-kata yang diucapkan oleh setiap watak yang dibawa hendaklah digantikan dengan kata-kata yang baik, bersopan, serta berhemah, selari dengan tuntutan agama dan budaya timur yang sekian lama kita pegangi.
Penggunaan patung juga harus dititik-beratkan. Jika sebelum ini patung yang diperbuat daripada belulang binatang telah digunakan, ia hendaklah digantikan dengan patung-patung yang diperbuat daripada plastic atau kertas. Sementara rupa bentuk patung yang dihasilkan juga hendaklah tidak terarah kepada sebuah patung yang sempurna rupa bentuknya kerana Islam mengharamkan pembuatan patung yang cukup sifatnya untuk sebarang tujuan. Ini selari dengan fitrah agama bahawa yang berkuasa memberi dan mengambil sesuatu itu hanya pada Allah SWT sebagai Yang Maha Pencipta.
KESIMPULAN
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa persembahan wayang kulit yang merupakan salah satu daripada jenis teater tradisional dapat dimanipulasikan sebagai medium dakwah yang baik sekiranya bentuk persembahannya diselaraskan dengan mengikut kehendak agama Islam. Sebagaimana yang telah dinyatakan, unsure-unsur bertentangan dengan landas agama dibuang sepenuhnya, dan digantikan dengan bentuk atau cara yang dituntut dalam Islam.
Kaedah ini sesungguhnya memerlukan komitmen dan kerjasama yang lebih daripada kelompok para dalang itu sendiri, kerana yang menggerak dan memainkan sesebuah persembahan wayang kulit adalah bergantung kuat kepada tok dalang, dengan bantuan ahli muzik kumpulannya. Jesteru itu, atas inisiatif inilah para dalang harus memainkan peranan yang lebih penting untuk menentukan duduk-letak persembahan wayang kulit dalam era dunia teknologi maklumat sekarang ini.
|
10.
Iktibar Daripada Kejatuhan PalestinOleh DEE WAQAF
Tepat 9 April lepas, genaplah 54 tahun rejim Israel menduduki dan menguasai bumi Palestin secara rasmi. Ia ditandai dengan penaklukan Deir Yassin, kawasan penempatan orang Arab di pinggir Baitulmaqdis. Kedudukannya yang terletak berjiran dengan sebuah perkampungan Yahudi di Givat Shaul, sebenarnya aman dan harmoni sekalipun berbeza fahaman agama antara mereka melalui persefahaman yang di capai antara dua pihak yang bertelagah selama ini melalui wakil masing-masing.
Namun pagi Jumaat yang damai itu menjadi sejarah yang tidak terhapuskan apabila kumpulan bersenjata Yahudi dari suku yang lain mengambil kesempatan dengan menyerang dan menguasai kawasan itu dengan melakukan pengusiran dan pembunuhan secara beramai-ramai penduduk Islam.
Bermula dari detik itulah operasi pengusiran, pembunuhan, pembersihan, dan kekejaman Israel berlaku secara berterusan tanpa belas kasihan ke atas ribuan umat Islam yang mendiami Palestin sehingga ke saat ini.
Tidak ada siapa yang dapat membantu, lebih-lebih bila rejim Yahudi itu turut bersekongkol dengan polis dunia, Amerika Syarikat yang kuat menyokong dari belakang dengan bantuan ketenteraan dan sumber kewangan.
Sedang negara Islam lain melalui pelbagai pertubuhan Islam yang memayungi mereka tidak dapat melakukan sesuatu melainkan meneruskan agenda mesyuarat mereka yang tak pernah berkesudahan untuk menangani masalah yang melanda umat Islam di Palestin ini.
Inilah hakikat paling pahit yang harus diterima oleh sekalian umat Islam diseluruh dunia. Umat Islam sekarang ini sudah tidak mempunyai kuasa lagi untuk menguasai dunia ini, walaupun jumlahnya diseluruh muka bumi ini sudah mencapai angka 1.3 billion.
Sedangkan bangsa Yahudi yang minoriti serta tidak mempunyai negara dan hidup menumpang sejak zaman nabi lagi kini semacam sudah menguasai dunia ini dalam hampir keseluruhan keadaan.
Kita harus merenung kembali firman Allah sebagaimana berikut;
“Dan kalau kiranya penduduk negeri itu beriman dan memelihara dirinya dari kejahatan, nescaya Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (kebenaran Tuhan), lalu mereka Kami siksa, disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Al-A`raaf; 96).
Ayat di atas menerangkan tentang janji Allah ke atas umatnya yang lalai dalam melaksanakan suruhan agama sebagaimana yang telah dikehendaki-Nya.
Bangsa Yahudi, sebagaimana diketahui telah mengalami zaman kejatuhan sebanyak dua kali dalam sejarah kewujudannya. Dan zaman kejatuhan itu ditandai dengan kelalaian dan pengabaian terhadap hukum dan perintah Allah sewaktu bangsa mereka berada dipuncak kejayaan. Lalu Allah turunkan bala sebagai satu musibah dan peringatan kepada orang-orang yang terkemudian.
Kita harus merenung kembali sejarah perjuangan umat Islam Palestin menentang rejim zionis ini. Sebenarnya sejak akhir-akhir sudah dapat didengar dari suara pejuang-pejuang bahawa mereka ini sebenarnya berjuang untuk menuntut tanah air mereka kembali, dan bukannya atas dasar agama yang suci itu. Kebetulannya, mereka ini adalah umat Islam. Maka kerana itu agama yang suci ini menjadi sandaran utama dalam perjuangan mereka.
Harus diingat bahawa, perjuangan menegakkan agama Islam dan perjuangan menuntut tanah tumpah sendiri adalah berbeza sekali.
Kita harus menginsafi kejadian yang pernah menimpa umat Islam di Bosnia, Chehnya, Somalia, Kosovo, Filipina, Indonesia, Thailand, terbaharu di Afghanistan dan banyak tempat lagi yang hampir kesemuanya telah mengalami zaman perit peperangan.
Umat yang lalai terhadap suruhan Allah akan hilang keberkatan hidup. Kelalaian umat Islam dalam pelaksanaan ajaran dan tuntutan agama menyaksikan mereka ini kehilangan kekuatan dan roh agama dalam kehidupan. Maka kerana itu kita tidak dapat berhadapan dengan musuh-musuh Islam yang sering licik untuk mengambil kesempatan di atas kelemahan ini.
Perpecahan yang berlaku antara sesama umat memburukkan lagi keadaan. Apatah lagi jika hal-hal penting agama mula ditinggalkan satu-persatu, seperti sembahyang, amalan-amalan wajib, ajaran mulia yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran dan sebagainya oleh rangsangan persekitaran.
Umat Islam seharusnya tidak mudah lalai dengan kemewahan dan kesenangan hidup untuk terus mengingati Allah melalui pelaksanaan suruhan dan perintah-Nya. Sebenarnya melalui agama inilah umatnya akan memperolehi kekuatan zahir dan batin melalui persaudaraan, dan persefahaman yang wujud. Masyarakat Islam boleh melihat contoh terbaharu yang diambil oleh kebanyakan saudaranya diseluruh dunia dalam menangani masalah yang melanda umat Islam di Palestin. Hanya Iraq, satu-satunya negara umat Islam yang bertindak nekad menghentikan bekalan minyaknya untuk pasaran luar sebagai satu protes ke atas kekejaman rejim tentera Israel ke atas penduduk Palestin.
Tetapi kebanyakan negara Arab lain yang turut menjadi kuasa besar dunia dalam industri minyak hanya melihat tindakan pantas Iraq itu dengan sebelah mata tanpa mahu memberi reaksi dengan nada yang sama. Disinilah letaknya kelemahan utama umat Islam seluruh dunia. Meraka tiada persefahaman dan semangat persaudaraan dalam menangani isu sejagat, khususnya untuk membela nasib umat Islam serata dunia.
Maka kerana itu kita tidak harus terkejut jika suatu masa nanti negara Islam akan jatuh satu persatu ke tangan musuh agama yang ligat menarikan rentak dan irama untuk terus melalaikan umat Islam dari segenap segi.
Kebanyakan sumber utama dunia sekarang ini berada di dalam tangan umat Islam. Bahan asli seperti minyak, arang batu, air, gas, dan sebagainya, yang kebanyakan terdapat di negara Arab dan Timur Tengah, sebenarnya dapat dijadikan senjata utama untuk terus memerangi dan menundukkan musuh Islam kerana mereka ini sememangnya bergantung penuh terhadap semua bekalan ini untuk meneruskan kehidupan dan kekuasaan mereka.
Namun lantaran oleh ketiadaan persefahaman dan rapuhnya ikatan persaudaraan sesama Islam menyaksikan musuh-musuh Islam ini dapat memonopoli dan mengeksploitasikan sepenuhnya kelemahan umat Islan ini untuk memperkukuhkan kekuasaan serta cengkaman penindasan dan penjajahan mereka. Maka kerana itu selamanya umat Islam tidak akan menemui kemenangan, apabila ditambah pula dengan tahap pegangan agama yang semakin rapuh.
Bangsa Yahudi yang hanya seramai enam juta orang dan hidup menumpang di bumi Amerika berjaya membina satu pengaruh yang kuat hasil daripada persefahaman, perpaduan, dan semangat persaudaraan yang tinggi yang wujud antara mereka telah berjaya mengubah keadaan dunia hari ini.
Mereka berjaya menjadikan Amerika Syarikat sebagai boneka dan kuda tunggangan untuk menunaikan cita-cita besar mereka di atas muka bumi ini. Malah sehingga kini, Presiden Amerika sendiri berada di bawah pengaruh dan kekuasaan segerombolan pencatur Yahudi untuk membuat sebarang keputusan besar. Mereka ini cepat bertindak, sekalipun pernah jatuh beberapa kali, tahan diuji dan menjadikan ujian dan bala yang pernah menimpa mereka lama dulu sebagai iktibar untuk terus bangun mencipta keagungannya sendiri.
Tapi umat Islam sebaliknya. Walaupun sudah banyak peristiwa atau catatan sejarah besar pernah berlaku ke atasnya, mereka cepat lalai dan cuba memisahkan ikatan persaudaraan sesama umat dengan menjadikan sempadan kenegaraan sebagai batas utama yang menjadi tembok penghalangnya. Maka kerana itu kita gagal, dan lambat menemui kejayaan.
Inilah kelemahan terbesar umat Islam kini yang harus dikekangi untuk muncul sebagai sebuah kuasa besar dunia.
(Artikel ini pernah tersiar di dalam majalah Dzul Nurain, Julai 2002)
|
11.
Karya Sastera Perlu Penilaian Semula
Oleh JEBAT ISKANDAR
Membaca kebanyakan karya sastera lewat dewasa ini semacam membaca satu kisah hidup seorang manusia malang yang saban masa ditimpa kecelakaan yang tidak berkesudahan.
Pembaca menjadi bosan, cemuh, dan akhirnya bertindak memberontak lanataran kecewa dengan pengalaman yang sering ditonjolkan itu lebih ke arah keburukan untuk dijadikan sempadan hidup dalam diri.
Itulah majas yang dipersembahkan oleh kebanyakan penulis hari ini melalui karya mereka untuk menemui khalayak pembaca. Mereka mengambil kesempatan ini dengan alasan bahawa masyarakat sastera di Malaysia sekarang sudah menerima-pakai alasan bahawa setiap hasil karya yang dihasilkan itu haruslah ditafsir, dikaji, disentuh, diselidiki, dan dikritik tanpa menyentuh peribadi penulis karya berkenaan.
Ianya sudah dimulakan sejak awal kemerdekaan dulu oleh ramai penulis yang sekarang ini sudah ada yang menjadi penulis besar negara, dan nampaknya sekarang ini ianya semacam ingin dijadikan budaya teras dalam kerja penulisan negara.
Mereka memberi alasan bahawa yang harus dilihat ialah apa yang ditulis dan dikata oleh seseorang penulis itu, dan jangan sekali-kali melihat orang yang mengatakannya. Ini bermakna mereka melarang peribadi mereka disandarkan bersama dengan karya yang dihasilkan itu.
Barangkali ini kebebasan yang di cari oleh ramai penulis Malaysia yang lahir dari pelbagai kelompok masyarakat ini.
Kisah ini boleh dianalogikan begini. Seorang perempuan Islam yang berpakaian seksi menjolok mata dikhalayak ramai memberi peringatan umum bahawa jangan membayangkan peribadinya hanya dengan melihat cara berpakaian. Sebaliknya lihatlah isi dalamannya itu (hati, jiwa, tingkahlaku, budi, pengorbanan, batin; yang jauh tersembunyi tanpa dapat di lihat oleh mata kasar manusia itu?)
Sedarkah kita, khalayak pembaca, dan juga penganut dunia sastera itu sendiri bahawa prinsip ini sebenarnya bertentangan dengan fitrah asal agama yang menuntut bahawa setiap penyair-penulis itu bergerak di atas landasan yang telah disediakan? Sedang Allah sendiri telah berfirman melalui Surah As- Syua`ra bahawa setiap mereka ini (penulis-penyair) mesti menulis kepada hal-hal yang baik untuk dijadikan panduan hidup masyarakat, dan tidak menyatakan sesuatu yang tidak mereka lakukan.
Sesungguhnya hanya mereka yang beriman sahaja akan sedar apa yang telah mereka lakukan dan melakukan sesuatu sebelum terlambat. Dunia sastera kita sudah jelik dengan kebanyakan karya yang terhasil oleh kebanyakan penulis seperti ini.
Sama-sama kita renungkan.
(Artikel ini pernah tersiar dalam Buletin ARPIPI, Mac 2002)
|
12. Seni Deklamasi, Dekon dan Baca Teks
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Dunia deklamasi puisi mempunyai nilai seninya yang tersendiri. Seperti juga seni untuk menghasilkan sesebuah karya sastera, cara untuk menyampaikan sesebuah karya sastera kepada khalayak umum turut mempunyai nilai seninya yang tersendiri.
Rahman Shaari, hafiz puisi di negara ini pernah menyebut sewaktu menghakimi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat Universiti Malaya tahun sudah, bahawa seseorang deklamator itu tidak semestinya perlu menghafaz sajak-sajak yang akan beliau baca kerana pembacaan dengan menggunakan teks juga akan memberikan nilai seni yang tersendiri jika kena pada caranya. Pyanhabib antara tokohnya yang selalu mendeklamasikan sajak dengan menggunakan teks yang berjela-jela panjang helaiannya.
Tetapi persembahan deklamasi puisi berbeza dengan deklamasi lakon atau dekon. Dekon lebih menuntut kepada sebuah manifestasi terhadap sesebuah puisi yang dideklamasikan itu. Ia barangkali membawa kepada perlakuan, aksi, gerak dan juga dialog yang disesuaikan dengan kehendak puisi yang selari dideklamasikan, yang biasanya secara berkumpulan.
Sungguhpun masih baru dan sehingga kini masih belum begitu meluas dipersembahkan, dekon mempunyai daya penariknya yang tersendiri. Bagi peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), acara ini sudah mula diiktiraf. Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah menjadikan acara ini sebagai kalendar wajib sekolah pengajian seni mereka untuk menganjurkannya bagi dipertandingkan diperingkat IPTA sejak beberapa tahun terakhir ini.
Di Universiti Malaya, ia lebih dikenali sebagai Manifestasi Puisi dan merupakan antara acara tetap setiap tahun dalam program Festival Seni yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan,
Deklamasi puisi bukanlah hanya sekadar baca teks semata. Ia lebih kepada komitmen dan nilai seni yang ingin dipersembahkan oleh khalayak umum. Lalu, jika ia hanya sekadar dipersembah sekadar lewa, sambil baca teks sajak tangan seluk poket, alangkah malangnya khalayak audien yang menyaksikannya!
Khalayak penonton menantikan sesuatu sebenarnya yang akan dipertontonkan oleh para deklamator. Barangkali aksi-aksi magis atau luarbiasa cara deklamasinya yang ada dalam persembahan seseorang deklamator itu. Faktor ini sebenarnya yang memainkan peranan untuk menarik khalayak lebih menekuni setiap bait sajak yang dideklamasi itu serta dapat mengikat perhatian audien untuk lebih memberati setiap sajak yang disampaikan itu. Sebagai contoh, lihat saja bagaimana Khalid Salleh boleh membuat persembahan baca puisi solo selama satu jam setengah tanpa henti di UIAM baru-baru ini.
Inilah yang tidak ditemui sepenuhnya dalam Malam Baca Puisi Merdeka II di Panggung Bandaraya 13 September lalu. Seharusnya acara besar seperti itu lebih memberati aspek-aspek ini. Baiknya, beberapa penyair yang diakui keseniannya dalam dunia deklamasi, seperti Sukri Abdullah, Dr. Siti Zainon Ismail, Khalid Salleh, serta penyanyi lagu rakyat, Roslan Madun dapat memberi lebih kepuasan kepada khalayak penonton yang rata-rata adalah kelompok jemputan dari sekolah-sekolah tinggi. Malah ia turut dimesrai dengan deklamasi oleh sepasang kanak-kanak tadika yang begitu bersemangat dalam persembahan mereka menghiburkan hati khalayak.
Grup Karyawan Bandaraya yang membuat persembahan dekon dari puisi Perdana Menteri semacam kehilangan punca. Pentas yang agak kecil itu diisi dengan jumlah pelakon yang agak ramai menjadikan pentas lebih padat dan terhad. Selain itu, gerak lakon juga tidak ditafsirkan secara rinci selari dengan puisi yang dideklamasikan. Pergerakan dilihat hanya sekadar semacam bentuk tari yang sesekali diisi dengan bunyi gendang. Ia dilihat hanya sebagai satu acara deklamasi beramai-ramai, dan bukannya sebuah manifestasi puisi yang besar maknanya itu sesuai dengan tema sajak.
Kadang-kadang yang menjadi masalah ialah apabila tidak dapat mentafsir puisi berkenaan secara tepat dan rinci. Ini yang menjadikan sesebuah persembahan dekon itu hanya sebagai mencukupkan syarat penyertaan sahaja, sedangkan sebenarnya sesebuah persembahan dekon masih boleh pergi lebih jauh itu.
Dr. Victor Pogadev, penyair Russia yang sudah puluhan tahun menetap di negara ini melihat bahawa kebanyakan penyair kita masih belum mempunyai keperibadian yang tersendiri dalam dunia deklamasi. Seperti juga dalam beberapa acara-acara sayembara deklamasi puisi, kebanyakan deklamator yang menyertainya semacam membawa dengung yang sama tanpa sebarang perubahan besar antara mereka sejak bertahun-tahun. Keterikatan kepada peraturan pertandingan bukanlah alasan yang kuat bagi beliau untuk membawa keperibadian yang tersendiri dalam dunia deklamasi.
Malah jika diadu dengan jiran senusantara kita Indonesia, ternyata kita masih jauh tertinggal. Dunia seni mereka sudah mengakar. Persembahan kebudayaan dan keseniaan mereka disertai dengan jiwa. Maka kerana itu nilai seni mereka agak mahal harganya serta diterima khalayak umum secara bersama kepada kepentingannya dalam hidup ini. Dunia deklamasi yang mula merakyat di negara ini masih memerlukan masa yang agak panjang untuk menjadikannya sebagai sebuah acara elit yang berkualiti yang secara tak langsung mampu menarik perhatian masyarakat umum menghargai dunia seni melalui caranya yang tersendiri. Jika ia sudah mengakar, barulah barangkali kita akan merasai betapa pentingnya dunia seni ini khususnya sebagai satu jalan untuk pembangunan jiwa dan minda.
|