ANDA PELAWAT KE-
Hit Counter

Mohd. Dahri Zakaria

Mentari Jendela Timur

BIODATA

KARYA

ARTIKEL
LAPORAN & BERITA
CERPEN
SAJAK
ANUGERAH/HADIAH
KEGIATAN
GALERI GAMBAR

 

  PAPAN MESEJ
Sila taipkan mesej dan klik "TAG"

Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Biodata.  

MOHD. DAHRI ZAKARIA

Nama lain dalam dunia penulisan ialah DEE WAQAF, dan sesekali juga menggunakan nama JEBAT ISKANDAR. Lahir dan dibesarkan di Besut, Terengganu, tanggal 04 Jun 1978. Mendapat pendidikan awal, rendah dan menengah di sekitar Besut, sebelum mengikuti Diploma di Akademi Seni Melaka. Sekarang mengikuti program Ijazah Pertama di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Mula mengikuti dunia penulisan secara tidak rasmi sewaktu di Tingkatan 3 lewat musim persekolahan dulu. Genre pertama yang digulati ialah penulisan cerpen, sebelum mencapah ke penulisan puisi. Sehingga kini hampir semua genre dalam dunia sastera telah digulati termasuk cerpen, puisi, skrip drama, esei sastera, pementasan teater dan juga dunia deklamasi.

Pernah mengikuti bengkel-bengkel penulisan pelbagai genre anjuran PELITA, ARPIPI, PWMT, PUSPA, PPK, TERAS,  GEMA, LBM, PENA, SPMG, KEPAK ITSM, KESADA, ISUM, dan lain-lain.

Sewaktu di Akademi Seni Melaka, pernah menubuhkan Kelab Puisi Akademi  (KEPAK ITSM), di Kolej Yayasan Melaka menubuhkan Kelab Sasterawan Muda (KESADA), dan di Universiti Malaya menghidupkan kembali Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM) bersama rakan-rakan dengan mengadakan dan menganjur pelbagai aktiviti dan program seputar kesusasteraan, kebudayaan dan keseniaan.

Karya-karya yang dihasilkan penulis sehingga kini pernah tersiar dalam pelbagai penerbitan seperti Berita Harian, Mingguan Dialog, Akhbar Mahasiswa, Al-Islam, Tunas Cipta, Dzul Nurain, Remaja, Radio Malaysia Melaka dan beberapa lagi.

Dalam dunia siber pula, karya-karya penulis juga selalu tersiar di laman www.esastera.com, dan http://idealis-mahasiswa.net. Kini merupakan kolumnis ruangan ‘Galeri Seni’ di laman http://idealis-mahasiswa.net.

Penulis boleh dikunjungi melalui laman www.esastera.com/dahrie atau dihubungi melalui e-mail deewaqaf@yahoo.com.

WAWANCARA BERTULIS ABDULLATIP DENGAN SAUDARA DAHRIE.


1. Assalamualaikum, terima kasih kerana sudi diwawancara dan saya akan bertanya banyak soalan termasuk hal peribadi kerana wawancara seperti ini dapat mengenali saudara lebih dekat dan mengeratkan lagi tali persahabatan. Adakah saudara setuju?

- Boleh. Apa salahnya. Dan terima kasih kerana sudi mewawancara saya.

2. Boleh ceritakan kehidupan saudara di masa kecil dan latar belakang keluarga saudara?

- Tak banyak kenangan zaman kecil saya untuk dikenang. Tetapi usaha kedua orang tua saya dalam membesar anak-anak amat menyentuh nurani. Ayah saya kerja sendiri, -dari jadi pelaut, petani, bawa lori, jual buah, buka kedai runcit, sebelum jatuh sakit, dan disambung oleh kudrat ibu; kami membesar dalam suasana yang damai.

3. Bagaimana bermulanya penyertaan saudara dengan esastera dan apa manfaat yang saudara perolehi selepas menyertainya?

- Saya mula mengenali esastera melalui iklannya diakhbar arus perdana. Kemudian saya ‘memberanikan diri’ untuk bertemu dengan pengendalinya, Dr. Irwan bersama Jimadie Shah. Kebetulan waktu itu, promosi tentang majlis pertemuan rakan-rakan komuniti penyair esastera.com untuk pertama kali dialam nyata sedang giat dilakukan. Ini yang membuatkan saya begitu bersungguh untuk menyertainya. Hal ini ada saya nukilkan dalam satu artikel saya untuk laman ini sempena menyambut ulangtahun pertama penubuhan laman ini dulu. (Sila rujuk artikel ‘Bagaimana Saya Menjadi Ahli Keluarga www.esastera.com dilaman saya, www.esastera.com/dahrie untuk lebih lanjut.)

Sebenarnya banyak benda yang saya dapat melaluinya. Saya percaya pada kata-kata, ‘jangan takut untuk mencuba dan menerima sesuatu yang baru’. Jika saya tak mengikuti laman ini, mana mungkin sehingga kini saya dapat menemui sekian ramai penulis terkenal dan baru yang turut memeriahkan halaman ini.

4. HESCOM.2003 telah berlangsung dengan jayanya dan HESCOM 2004 akan diadakan tidak lama lagi. Apa komen dan harapan saudara?

- Anugerah itu sebenarnya satu permulaan yang baik dalam ujana sastera negara. Harus diperakui, tidak ada laman atau pihak lain yang turut melibatkan diri dalam sastera siber ini begitu bersungguh seperti laman ini. Saya fikir, laman ini telah memulakan apa yang barangkali tidak terfikir oleh banyak orang bahawa dunia sastera siber boleh pergi sejauh ini.

Saya percaya dengan kesungguhan dan komitmen pengendali kita, Dr. Irwan dan tenaga kerjanya terhadap apa yang dilakukan selama ini untuk memajukan dunia sastera Malaysia.

5. Baru-baru ini saudara kehilangan seorang ibu. Boleh ceritakan antara kenangan bersama ibu yang tidak dapat saudara lupakan?

- Terlalu banyak. Cuma yang selalu mengunjungi saya kini, ‘Bila cinta telah pergi, hati menjadi tempat yang paling sunyi."

6. Saudara memiliki diploma khusus di bidang sastera dan kini melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Apa cita-cita saudara selepas ini?

- Saya fikir mahu jadi orang akademik. Mahu belajar sehabis mungkin. Walau dalam masa yang sama, saya juga turut berminat untuk turut terlibat dalam dunia perniagaan, jadi usahawan. Saudara saya belah ibu, ramai yang terlibat dengan dunia perniagaan. Selalunya saya tidak mempunyai satu cita-cita. Bukan sekarang saja, tapi sedari dulu.

Saya juga amat meminati dunia pasukan beruniform. Malah waktu di alam persekolahan dulu, saya menganggotai pasukan pengakap sejak dari darjah empat sehingga tamat tingkatan enam. Saban tahun saya berpeluang mengikuti pelbagai jenis perkhemahan mewakili sekolah termasuk peringkat negeri. Dan puncaknya, pada tahun 2001, saya dan rakan-rakan sepasukan persekolahan dulu berjaya menerima anugerah Sijil Pengakap Raja yang kami terima daripada Sultan Terengganu yang baru naik takhta waktu itu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah. Hinggakan pernah sekali seusai mengambil STPM dulu, saya berhajat untuk memohon jadi Inspektor Polis. Tapi ayah saya tak galakkan. Walaupun tidak sekeras waktu dia melarang abang saya dulu yang juga ingin memohon jadi polis, tapi kini saya faham maksud beliau.

7. Saudara selalu bertemu dengan Muhammad zakir dan Gravesdigger?. Kenapa sekarang mereka menyepi?

- Tidak selalu juga. Cuma biasanya kami terserempak. Barangkali mereka sibuk.

8. Saya tertarik dengan sebuah sajak saudara berjudul "SETELAH DIA BERNAMA IBU". Bagaimana datangnya idea untuk menulis sajak itu dan adakah ditujukan kepada ibu saudara?

- Sajak itu saya tujukan pada semua yang bergelar ‘anak’, dan bukan khusus untuk ibu saya. Saya selalu terfikir tentang sikap anak-anak zaman sekarang terhadap kedua orang tua mereka, terutamanya ibu.

Barangkali ini sifat semula jadi manusia, bila ada, kita selalunya tidak begitu memberati sangat tentang apa yang ada itu. Tetapi bila ia telah pergi untuk selamanya, ia mula menjadi satu perkara yang cukup mahal untuk dikenang kembali dan amat mendambainya untuk melukiskan kembali dengan warna-warna yang bersih lagi suci.

9. Kali pertama saya bertemu saudara pada malam HESCOM 2003. Walaupun ketika itu kepala saudara botak tetapi masih nampak hansem. Kata sdr Hasimah, di kampus saudara ramai peminat. Betul ke?.

- Hahahaha…..biasa saja. Saya orang kebanyakan, seperti orang-orang lain juga. Tidak ada apa-apa keistimewaan.

10. Saudara kenal rapat dengan Dr Irwan. Apa pandangan saudara terhadapnya?

- Mengenali beliau antara pengalaman termahal dalam hidup saya pernah saya temui. Saya fikir, jika tidak kerana dunia sastera, barangkali agak mustahil untuk saya mengakrabi beliau, kerana kami sememangnya ‘terpisah’ oleh banyak keadaan. Seperti juga dengan orang-orang lain yang saya temui dalam dunia sastera ini.

Seperti biasa, selalunya kita agak ‘takut’ dan ‘segan’ untuk berhadapan dengan orang yang jauh lebih ‘terkehadapan’ daripada kita. Apatah lagi jika ia turut berpangkat, atau berharta. Tetapi saya percaya, dalam dunia sastera, semua itu tidak terhijab. Buktinya, saya telah menemuinya.

Sebenarnya, dunia sastera banyak merobah tembok antara manusia untuk saling mengakrabi antara satu sama lain, tanpa menjadikan ‘perbezaan’ itu sebagai alasan untuk saling tidak mengenali dan hormat menghormati.

11. Apa pula komen saudara tentang Sdr Hasimah?.

- Lagi istimewa! Saya percaya, ada banyak ‘rahsia’ yang perlu saya kutip daripada beliau suatu masa nanti. Lebih-lebih soal ‘kebahagian rumahtangga’ barangkali! Tengoklah, nanti jika ada peluang, saya minta ‘orang rumah’ saya pergi ‘berguru’ dengan Cikgu Hashimah tu. Hahaha….

12. Sastera tidak boleh dipolitikkan dan politik tidak boleh disasterakan. Antara sastera dengan politik perlu dipisahkan. Apa komen saudara?.

- Saya fikir dunia sastera dengan politik tidak terpisah. Cuma dunia sastera memang tak boleh dipolitikkan, tetapi dunia politik boleh dijadikan bahan dalam dunia sastera kita. Dunia sastera ini sebenarnya wadah yang mencakupi semua dunia lain; -politik, ekonomi, sejarah, social, sains, budaya, teknologi dan banyak lagi. Cuma yang tinggal ialah bagaimana kita meramukan semua itu dalam dunia sastera untuk menghasilkan sebuah karya yang besar dan bermutu.

13. Pada 4hb Jun nanti saudara akan menyambut hari jadi. kata orang lelaki berbintang Gemini setia bila bercinta. Bilakah agaknya saudara akan menamatkan zaman bujang saudara?

- Oh! Hahaha…. Emmmm……dalam perjalanan.

14. Saudara minat menulis sajak dan cerpen. Apakah yang mendorong saudara menulis? Siapa yang memberi galakan dan siapa penulis yang jadi idola saudara?

- Saya bermula sendirian, berseorangan. Tetapi dari situ saya mula mencari semangat untuk terus menulis. Sedari sekolah rendah, saya telah mula terlibat dengan dunia deklamasi sajak peringkat sekolah, cemerlang dalam kertas Bahasa Melayu setiap kali peperiksaan sehingga mendapat perhatian dari banyak cikgu Bahasa Melayu, terutamanya yang melibatkan karangan. Ini berterusan berlaku sehingga di tingkatan tiga.

Sayangnya sewaktu ditingkatan empat, saya ‘dimusuhi’ cikgu sastera, menjadikan saya tak pernah lulus kertas Kesusasteraan Melayu walaupun pada asalnya itu matapelajaran yang paling saya minati dan pilih sewaktu ke tingkatan empat dulu, sedang rakan-rakan lain berkejaran memohon untuk masuk kelas perdagangan.

Tapi alhamdulillah, saya lulus juga dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM, terutamanya bagi kertas Kesusasteraan Melayu. Malah cikgu yang ‘memusuhi’ saya itu juga terkejut dengan semua itu, dan mengelak daripada bertemu dengan saya lagi selepas itu apabila terserempak buat pertama kali sewaktu saya ditawarkan masuk ke tingkatan enam rendah. Sebenarnya sebahagian besar rakan-rakan saya, yang juga barangkali ‘orang harapan’ cikgu tu gagal dalam peperiksaan itu.

Saya bermula dengan menulis cerpen sewaktu ditingkatan tiga. Ia saya lumatkan lagi sewaktu ditingkatan empat. Kemudian saya berhenti setahun untuk peperiksaan SPM sehinggalah saya sedar bahawa betapa susahnya untuk memulakan kembali dunia yang ditinggalkan itu. Selepas itu saya mula memberi tumpuan pada penulisan sajak dan ia berterusan mendominasi dunia penulisan saya sehingga kini. Pernah juga menghasilkan skrip drama. Kemudian menulis artikel-artikel. Sekarang saya mula berjinak-jinak dengan novel pula. Insyaallah.

Menulis bagi saya merupakan medium terbaik untuk kita menyampaikan sesuatu kepada orang lain, lebih-lebih jika kita secara terang-terangan tidak dapat menyampaikan sesuatu itu melalui bahasa kata atau bahasa tubuh. Itu antara dorongan saya untuk terus menulis.

Tiada siapa yang mendorong saya jadi penulis, kerana yang saya tahu memang saya telah bermula dari kecil lagi tanpa sedar. Bila dah besar dan terlibat secara langsung dalam dunia penulisan ini, baru saya sedar rupanya kakak saya juga seorang penulis, tetapi kini sudah tak aktif. Dan paling terbaru, seorang sepupu saya juga rupanya seorang penulis. Dia seorang Doktor Homerphathy, buka klinik sendiri di Besut. Dulu dia jadi ‘dresar’ di klinik kerajaan. Bila dah pencen, buka klinik sendiri. Waktu muda dulu dia memang seorang penulis yang aktif. Dan ini memang saya tidak ketahui sebelum ini. Ceritanya begini, kebetulan pada suatu hari minggu tu, satu sajak saya ada tersiar dalam akhbar Berita Minggu. Malamnya dia terus telefon saya dan ucapkan tahniah. Sesuatu yang mengejutkan! Selepas itu kami mula akrab dan dia secara langsung tanpa segan bercerita dan berkongsi pandangan tentang dunia sastera ini untuk dikongsi. Sekarang beliau merupakan antara orang yang selalu menunggu tulisan saya diakhbar atau majalah arus perdana. Sebenarnya dulu kami tidak begitu akrab, sebab beliau jauh lebih berusia dari saya!

Sehingga sekarang saya rasa saya dah tak ada idola dalam dunia sastera. Dan antara faktornya ialah betapa tidak banyaknya karya-karya sastera yang betul-betul dapat menakluk hati dan jiwa saya. Namun jika diperinci, novel Mohd. Affandi Hassan, ‘Pujangga Melayu’ adalah antara novel terbaik dan terkuat pernah saya temui. Di dalamnya sarat dengan ilmu, yang jika dipecahkan akan menemukan kita dengan dunia politik, sejarah, tamadun, sastera, ekonomi, dan rumahtangga secara serentak.

15. Bercinta sebelum kahwin atau bercinta selepas berkahwin. Apa pendapat saudara?

- Cinta bagi saya terlalu agung dan mahal harganya. Dan cinta yang agung dan mahal itu hanya datang sekali saja dalam hidup, dan tidak dua atau tiga. Maka kerana itu istilah ‘cinta’ itu saya fikir harus digunakan dengan sebaik-baiknya. Dan sebaik-baik cinta, ialah yang ‘disahkan’ seusai ijab dan kabul.

Saya pernah mengupas dengan agak panjang tentang isu ini dalam sebuah cerpen saya ‘Maqam Percintaan’. Cerpen itu pernah saya siarkan dalam laman ini, www.esastera.com, serta turut tersiar dalam majalah Tunas Cipta Februari 2004 lalu. Boleh juga dibaca sekarang dilaman saya, www.esastera.com/dahrie, ruangan cerpen.


16. Apakah saudara masih menjadi kolumnis "Galeri Seni" di laman http://idealis-mahasiswa.net?

-Ya.

17. Sebagai Administrator komuniti perbincangan, apakah usaha saudara untuk mengaktifkan komuniti tersebut?

- Sekarang saya sedang mengumpul bahan untuk turut memeriahkan ruangan berkenaan. Antaranya saya juga akan turut memuatkan slot wawancara dengan penulis. Tetapi penulis yang saya pilih ialah kelompok penulis mapan dan pernah tersohor tetapi tidak pernah mengunjungi laman ini. Saya akan cuba mewawancara mereka dan kalau boleh dengan penyertaan gambarnya sekali.

Selain itu saya juga akan memuatkan wawancara dengan kelompok penulis-penulis muda yang sedang meningkat naik. Konsepnya juga sama seperti di atas. Tujuannya secara tidak langsung dapat mempromosikan kepada mereka tentang laman ini. Saya juga akan cuba mengaktifkan diri dalam penyertaan artikel-artikel semasa. Perkara ini telah saya maklumkan pada Dr. Irwan dalam pertemuan lepas.

18. Di esastera, penulis baru dan penulis veteran sama-sama mendapat tempat untuk berkarya. Apa nasihat saudara kepada mereka?

- Gunakan ruang yang ada dan disediakan ini dengan sebaiknya, khususnya dalam menghasilkan karya-karya besar dalam dunia sastera kita.

19. Penulis di esastera ramai datang dan pergi. Tetapi saudara masih dapat bertahan sehingga kini. Apa rahsianya?

- Peluang tidak datang banyak kali. Lalu, apa yang ada dan tersedia depan kita, gunakan sepenuhnya dan sebaik mungkin, moga-moga banyak benda yang kita dapat melaluinya nanti. Tak perlu kita tergesa mengejar sesuatu yang tak pasti, oleh kerana pendapat orang terbanyak. Kebahagiaan dan kejayaan ada di mana-mana.

20. Di esastera ramai penulis muda yang berbakat. Sdr Ghafirah Idris, contohnya, muncul sebagai pemenang utama bahagian cerpen hadiah sastera utusan 2003. Apa komen saudara?

- Satu perkembangan yang baik. Sebenarnya setiap minggu di akhbar-akhbar utama negara, saya lihat kebanyakan yang turut mewarnai dunia sastera arus perdana adalah datangnya dari komuniti ini. Inilah yang saya rasa satu perkembangan sihat dan baik untuk ujana sastera negara. Walaupun nampak agak mudah, tapi itu bukan bermakna dari komuniti ini tidak mempunyai jaguh-jaguhnya. Sdr Ghafirah Idris sudah membuktikannya.

21. Soalan terakhir, ke arah esastera yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Apa pandangan saudara?

- Istiqamah dalam berkarya. Jadikan karya-karya sastera kita sebagai sebaik-baik karya yang akan memberi banyak faedah kepada masyarakat. Kita tak perlu menulis kerana mengejar sesuatu atau berhajat dengan habuan-habuan yang ada; pertandingan atau anugerah. Kerana yang paling penting ialah sejauh mana kekuatan karya kita itu. Seperti kata Mohd. Affandi Hassan, penulis ni harus menjadi seperti peniaga emas. Emas yang baik dan tulen, tak perlu dijaja untuk mendapatkan pembeli, kerana hanya emas saduran atau tiruan sahaja yang menuntut semua itu.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan-soalan wawancara ini. maaf jika ada yang menyentuh peribadi.

- Terima kasih kembali.


 

abdullatip
27.5.2004.