|
Tahun 1 Bil. 6
Mac-Ogos
2005
Tamu
|
KURIKULUM SASTERA PERLU DI GUBAL SEMULA
GHAZALI LATEH, merupakan
antara golongan pendidik yang terlibat secara langsung dalam dunia sastera
dinegara ini. Beliau yang mula aktif menulis sedari tahun 1993 terlibat
dalam genre cerpen, puisi dan juga novel. Dilahirkan pada 15 Mac 1961 di
Kampung Bukit Nibung, Bukit Jenun, Kedah. Mendapat pendidikan tinggi
peringkat Bachelor Pendidikan dan Ijazah Sarjana (Kesusasteraan Melayu) dari
Universiti Putra Malaysia (UPM). Sekarang sedang menyiapkan tesis Ph.D di
universiti yang sama dengan memberi perhatian kepada kajian pragmatik Bahasa
Melayu. Pernah menang pelbagai hadiah dalam dunia sastera, termasuk tempat
pertama dalam Pertandingan Menulis Puisi Alam (1998), Pertandingan Menulis
Cerita Kanak-Kanak Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan (2000),
Pertandingan Menulis Cerita Kanak-Kanak Sempena Hari Guru Peringkat Negeri
Selangor (2001 & 2004), dan Peraduan Menulis Puisi Karyanet – Kategori
Dewasa (2004). Ikuti wawancara wartawan BESt, MOHD. DAHRI ZAKARIA
bersama beliau baru-baru ini.
Khabarnya sekarang ini
saudara sedang menyiapkan tesis Ph.D di Universiti Putra Malaysia? Apakah
bidang kajian saudara? Adakah ia turut berkaitan dengan dunia pendidikan
sebagaimana peringkat ijazah pertama saudara dulu?
Saya menjalan kajian pragmatik bahasa Melayu, dengan pengkhususan kepada aspek
kesopanan (politeness) dalam ujian lisan Bahasa Melayu di sekolah. Kajian menjurus
kepada pragmatik bahasa golongan remaja kerana belum ada kajian seumpamanya di
negara ini. Kajian sebelum ini lebih berfokus kepada pragmatik bahasa orang dewasa
dan kanak-kanak.
Apa
pandangan awal saudara, sebagai seorang yang terlibat secara langsung dengan
dunia pendidikan, terhadap perkembangan dunia sastera dalam sistem
pendidikan dinegara kita?
Sastera kita ada turun naiknya. Kebetulan saya merupakan salah seorang panel penggubal
sukatan pelajaran Kesusasteraan Melayu KBSM yang terkini, saya nampak sastera semakin
terpinggir dengan adanya dasar 60:40, untuk sains dan sastera. Mata pelajaran sastera itu
sendiri semakin menguncup sifatnya kerana semakin kurang pelajar yang mahu belajar
kesusasteraan.
Bagaimana dengan pengenalan mata pelajaran Kompenan Sastera (KOMSAS)
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu?
Pengenalan KOMSAS ialah usaha yang baik. Namun penerimaan pelajar, saya nampak
seperti dipaksa untuk belajar sastera. Akibatnya pelajar lebih suka membaca buku ulasan
daripada membaca teks sastera itu sendiri. Harus diingat juga KOMSAS tidak ubah seperti
latihan pemahaman, bukan kajian sastera yang tuntas secara struktural dan sebagainya.
Adakah ia mencapai matlamat untuk memajukan dunia sastera
dengan memberi perhatian kepada karya-karya sastera yang dihasilkan oleh
penulis kita?
Saya agak berbelah-bahagi untuk menjawab soalan ini. Hal ini demikian kerana pemilihan
teks yang digunakan dalam KOMSAS nampaknya dipengaruhi oleh sikap panel pemilih
yang boleh dipertikaikan. Misalnya ada karya yang dipilih tidak memenuhi kriteria atau
unsur-unsur yang dapat menarik minat pelajar untuk menghayati sastera. Hasilnya,
guru-guru yang mengajar KOMSAS menghadapi masalah kerana mutu karya yang tidak
baik. Saya tidak mahu menyatakan karya-karya yang tidak sesuai, kerana hal ini akan
menyinggung pihak-pihak tertentu. Saya sebagai guru yang mengajar di sekolah sebelum
ini, turut berhadapan dengan masalah karya yang tidak sesuai, tidak kira karya prosa
mahupun puisi.
Sasterawan Negara Dato’ A Samad Said masih menolak
pelaksanaan system KOMSAS ini dengan alasan ia tidak begitu menyeluruh dari
sudut penggunaan teks yang terpilih untuk semua pelajar. Benarkah ini
berlaku? Boleh cerita sikit.
Memang benar! Keseimbangan kualiti teks mengikut zon juga tidak diberikan perhatian.
Ada zon mendapat teks yang cukup baik, sebaliknya zon lain mendapat teks yang sukar
ditelaah dan tidak bermutu. Ada novel yang tidak memenuhi kriteria kajian struktural
terpilih sebagai teks. Hal ini tentu menyukarkan bagi guru-guru yang mengajar. Begitu
juga pemilihan karya yang tidak meninjau terlebih dahulu latar belakang pelajar yang
berbagai-bagai.
Pengenalan KOMSAS hanya terhad kepada peringkat pendidikan
menengah sahaja, sedangkan jika benar sastera itu penting dalam konteks
pembangunan insan, ia harus turut diperkenalkan diperingkat pendidikan
rendah. Apa pandangan saudara?
Saya bersetuju sastera diperkenalkan di sekolah rendah. Sekurang-kurangnya minat
terhadap sastera ditanam sejak di sekolah rendah. Hal ini akan membantu pelajar
mencintai sastera kita apabila mereka dewasa.
Konsep pendidikan kita masih lagi berorientasikan kepada
peperiksaan semata. Maknanya apa yang dipelajari lebih kepada tujuan
menghadapi peperiksaan dan bukannya untuk tujuan pembangunan insan. Mengapa
hal ini berlaku?
Kita tidak dapat menolak hakikat ini kerana sistem pendidikan kita memerlukan pensijilan
sebagai kriteria status dalam masyarakat. Selagi doktrin ini tidak berubah, pendidikan
kita akan terus berorientasikan peperiksaan. Maksudnya sijil menjadi bukti pencapaian
seseorang, dan sijil hanya diberikan melalui peperiksaan. Kita tidak begitu memberi
kredit kepada, penampilan, pengalaman, dan kemahiran.
Bagaimana pula dengan kedudukan sastera-sastera tradisi kita
seperti pantun, syair, teromba, gurindam, seloka, nazam, dan lain-lain lagi?
Sastera tradisi kita tetap hidup walaupun zaman berubah. Malah sastera tradisi semakin
diberikan status akademik dengan adanya kajian di peringkat universiti. Namun, untuk
memperkenalkan sastera tradisi di peringkat akar umbi agar sukar, memandangkan
perubahan zaman kini tidak memberi ruang kepada perkembangannya. Contohnya,
budaya hidup masyarakat kita sudah berubah, sekali gus mengikis amalan sastera tradisi
dalam kalangan masyarakat.
Adakah
masih ada yang tidak kena dalam system pendidikan kita khususnya dalam
memberi perhatian terhadap dunia sastera dan budaya? Saya mengambil contoh
keadaan di Jepun yang mana puisi tradisi mereka seperti haiku dan tanka
telah diajar diperingkat pendidikan rendah lagi.
Hal ini merupakan urusan dasar pendidikan. Pemerintah mempunyai alasan tertentu
untuk menggubal dasar yang sebegini rupa, antaranya kewujudan masyarakat majmuk
di negara kita. Di Jepun, masalah multibudaya tidak timbul dan mereka bebas menggubal
dasar yang menyeluruh untuk bangsa mereka sendiri. Di negara ini, menetapkan bahasa
pengantar sekolah pun akan mendapat pelbagai reaksi yang pelbagai, apatah lagi
mewajibkan sastera Melayu dalam kurikulum? Jadi, kita terpaksa menerima hal ini
seadanya.
Seingat saya, bidang sastera (kelas sastera) di sekolah
selalunya dipandang sebagai tidak ada masa depan dan rendah tarafnya jika
dibandingkan dengan kelas-kelas lain. Setelah KOMSAS diperkenalkan oleh
kerajaan, adakah stigma ini masih wujud sekarang, sama ada dikalangan guru
sendiri ataupun dikalangan pelajar-pelajar sekolah?
Hal ini masih wujud. Semasa menggubal kurikulum Kesusasteraan Melayu dua tahun
yang lalu, ahli-ahli panel membangkitkan perkara ini dan ingin mewujudkan konsep
Sastera ke Kerjaya iaitu menjuruskan mata pelajaran sastera ke arah kerjaya-kerjaya
yang tertentu. Antara cadangan yang dikemukakan ialah latihan amali seperti
menghasilkan karya, berteater, dan sebagainya, bagi pelajar yang mengambil mata
pelajaran sastera. Namun cadangan tersebut ditolak kerana dianggap tidak sesuai.
Jadi, tidak hairanlah sastera masih dianggap
sebagai tidak masa depan. Sebenarnya
masalah ini boleh diatasi.
Cadangan untuk memberi
perhatian terhadap dunia sastera (karya-karya sastera) diperingkat sekolah
dikatakan datangnya dari persatuan-persatuan penulis dan juga kelompok
penulis itu sendiri. Sedangkan yang terlibat dengan dunia pendidikan ialah
guru-guru itu sendiri. Kenapa hal ini terjadi, dan adakah pelaksanaan yang
cuba dilakukan sekarang ini melalui KOMSAS disambut baik oleh kebanyakan
guru-guru?
Guru di sekolah seolah-olah mesin yang melaksanakan apa-apa sahaja yang diputuskan
untuk mereka. Walaupun ada rungutan, namun guru-guru tetap berdedikasi untuk
menjalankan tugas mereka. Secara peribadi, memang antara peranan persatuan penulis
adalah untuk mempromosikan karya ahli-ahli mereka. Perkara ini tidak salah, cuma
jangan sampai meminggirkan peluang orang lain dan menafikan rasional pemilihan
sesuatu karya.
Dalam satu dialog sastera
di Banting sempena Temu Sastera IPT 2005 baru-baru ini, seorang panel
menyifatkan karya-karya (dunia) sastera di Malaysia sekarang ini sebagai
sampah yang sangat tidak berguna dalam konteks sumbangannya kepada
masyarakat. Ia berbeza dengan dunia sastera 40 tahun lalu. Adakah hal ini
benar berlaku? Adakah hal ini turut mempunyai kaitannya dengan keadaan yang
berlaku terhadap dunia sastera dalam sistem pendidikan kita? Apa alasan
saudara?
Saya ada terfikir akan perkara ini. Sastera Melayu nampaknya tidak berkembang dan
tidak mengungkapkan pemikiran yang besar, sementelah tidak ada lagi masalah-masalah
besar yang kita hadapi seperti zaman penjajahan, perjuangan kemerdekaan, dan
sebagainya. Karya sastera kini juga hanya berlegar dalam kalangan sekelompok
pencandu sastera sahaja. Malah wujud pula elit sastera dan birokrat sastera yang
menganggap sastera dan urusan sastera sebagai milik eksklusif mereka dan merekalah
yang berhak membuat keputusan tentang dunia
sastera. Sebagai contoh, apabila berlaku
tragedi Tsunami, apakah sumbangan golongan sastera selain membaca puisi di podium
dan menerbitkan antologi puisi. Saya rasa sumbangan ini tidak cukup untuk menunjukkan
sumbangan terhadap masyarakat.
Diperingkat institusi pengajian tinggi (IPT), sudah ada
sesetengah universiti yang turut menawarkan kuliah-kuliah sastera kepada
siswanya. Ini berbeza dengan pendidikan di maktab-maktab perguruan yang
tujuan asalnya untul melatih dan melahirkan guru-guru untuk memberi
sumbangan kepada dunia pendidikan negara. Bagaimana tentang hal ini?
Masing-masing ada peranannya yang tersendiri. Di universiti, siswa-siswa lebih bersifat
keterlibatan, iaitu sebagai tanda masih ada yang berminat untuk melibatkan diri dengan
sastera. Malah kajian-kajian mereka boleh dimanfaatkan untuk tujuan dokumentasi dan
pengembangan sastera itu sendiri. Guru-guru pelatih pula berperanan mengembangkan
sastera dalam kalangan anak-anak didik mereka. Walaupun peranan ini bersifat 'kerjaya'
secara tidak langsung guru-guru tetap menjadi pemangkin kepada perkembangan sastera.
Apa cadangan saudara untuk memajukan lagi dunia sastera dalam
konteks dunia pendidikan?
Kurikulum sastera perlu digubal selaras dengan perkembangan zaman. Untuk melahirkan
sasterawan, kurikulum perlu memberikan pendedahan berkarya, mengapresiasi tokoh,
latihan amali, dan seumpamanya. Bukan sekadar disogokkan dengan karya sastera orang
lain semata-mata. Selama ini pelajar kita belajar untuk membaca dan memahami karya
sastera semata-mata, bukan melahirkan perasaan mereka melalui karya mereka sendiri.
Dalam dunia pendidikan, sastera masih relevan, terpulang kepada penggubal dasar
untuk menentukan sama ada masih ada tempat untuk sastera atau sebaliknya.
Kita berharap satu ruang yang lebih diberikan kepada sastera dalam dunia pendidikan kita.
|

Diterbitkan oleh
eSastera Enterprise
(001470857-K) mulai Ogos 2004
Anda adalah pelawat no.

|