Penulis baru, lama kuasai HesCom 2005

KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT GAMBAR-GAMBAR DI SEKITAR HESCOM 05

KUALA LUMPUR : eSastera.com, sebuah portal sastera ditalian meneruskan kegiatan tahunannya dengan menganjurkan majlis penyampaian Hadiah eSastera.com (HesCom) bagi tahun 2005 bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya 25 Disember baru-baru ini. Majlis seperti ini merupakan antara acara tetap tahunan laman berkenaan dan kali ketiga diadakan seumpamanya.

Pada tahun ini, majlis ini diadakan dengan kerjasama Persatuan Sastera Siber Malaysia (PESIBER).

Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas yang bertindak sebagai pengasas dan juga editor umum laman berkenaan dalam ucapan aluannya dalam majlis berkenaan menyatakan rasa gembira kerana majlis berkenaan dapat diadakan untuk tahun yang ketiga hasil sokongan dan juga sambutan baik yang diterima oleh kebanyakan penulis yang aktif berkarya di alam siber terutamanya kelompok penulis baru dan muda.

Beliau yang juga dikenali sebagai Irwan Abu Bakar dalam dunia sastera arus perdana mengakui bahawa sastera siber mempunyai potensi besar dalam konteks dunia sastera umum terutamanya ke arah melahirkan karya-karya yang bermutu dan berkualiti sebagai sinambungan kepada sastera cetak arus perdana.

Perasmian acara telah dilakukan oleh SN Datuk A. Samad Said.  Dalam ucapan perasmiannya, Datuk A. Samad Said mengakui bahawa internet telah menjadi penting kepada kehidupan manusia semasa sehinggakan beliau sendiri kini tidak lagi membeli akhbar sebaliknya membaca berita dari pelbagai sumber dengan menggunakan kemudahan internet.  Beliau berpendapat bahawa usaha Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar membangunkan laman esastera.com sebagai usaha yang terpuji. Beliau juga mengakui pernah mengambil bahagian dalam acara-acara esastera.com dan mengenali beberapa nama penulis esastera.com seperti Fahd Razy, Anbakri, dan  Nimoiz T.Y.  Beliau berpendapat bahawa adalah wajar agensi-agaensi kerajaan yang berkaitan mahupun badan-badan swasta memberikan bantuan kewangan kepada esastera.com dalam usahanya mencapai objektif murninya.

Lima anugerah utama yang dipertandingkan dalam HesCom melalui Anugerah Karya Alam Siber (AKAS) ini ialah Anugerah Penyair Alam Siber (APAS), Anugerah Novel Alam Siber (ANAS), Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS), Anugerah Cereka Alam Siber (ACAS) dan Anugerah Haiku Melayu Alam Siber (AHMAS) termasuk 8 sayembara eceran yang diadakan sepanjang tahun dikuasai oleh gabungan penulis lama dan baru, seperti dua tahun sebelumnya.

Syarifah Raha Wan Alwi (Tintasukma) menggondol hadiah utama APAS yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM 2005 berserta sijil dan cenderamata. Manakala Ludinata Misnun (Rudy Bluehikari) dan Mohd Azlan Idris (Amir Mukhriz) untuk masing-masing tempat kedua dan ketiga. Kesemua mereka ini merupakan kelompok penulis baru yang aktif di siber dan juga arus perdana.


Manakala penulis prolifik dari Negeri Sembilan, Abdul Latip Talib menguasai hadiah utama ASJAS yang menawarkan hadiah sebanyak RM 1000, sijil dan cenderamata. Beliau baru saja memenangi sayembara penulisan novel negeri Serawak yang diumumkan bulan lepas. Tempat kedua pula juga milik Ludinata Misnun (Rudy Bluehikari) dan ketiga diungguli oleh Shamsul Zakaria Sharipman (Airmas_SZ).

Bagi kategori ACAS pula, penulis muda Fahd Razy menang tempat pertama yang turut menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM 1000, sijil dan cenderamata. Tempat kedua pula milik Syarifah Raha Wan Alwi (Tintasukma) manakala tempat ketiga tiada pemenang. 

Untuk kategori AHMAS pula yang menawarkan hadiah wang tunai dalam bentuk Yen Jepun berserta sijil dan cenderamata, tempat pertama dikuasai oleh Izwanshah (EP) dengan hadiah sebanyak Yen2005, tempat kedua oleh Ludinata Misnun (Rudy Bluehikari) Yen1000 dan tempat ketiga oleh Wan Mohd Ashraf   Wan Mohamed (As-Syramy) Yen500.

Bagi kategori ANAS pula, tiada hadiah dikeluarkan untuk tahun ini.

Beberapa sayembara eceran seperti Sayembara Maulidur Rasul, Sayembara Tsunami, Sayembara Kemerdekaan, Sayembara Hescom, Sayembara Mengulas Sajak, Sayembara Sastera SMS, Sayembara Pantun, Sayembara Membangunkan Laman Web eSasterawan, dan Kuiz Sastera Bulanan turut dikuasai oleh kebanyakan penulis muda dan baru.


Dinsman sewaktu berucap sebagai juri yang mengadili karya untuk HesCom 2005 secara jujur mengakui bahawa berlaku penurunan mutu dalam kebanyakan karya untuk tahun ini jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Ini agak mengecewakan memandangkan ruang dan hubungan yang wujud dalam ruang siber seharusnya digunakan dengan sebaiknya oleh kebanyakan penulis ditalian ini untuk meningkatkan kualiti dan mutu karya masing-masing memandangkan wujudnya interaksi yang cepat dan pantas antara kelompok penulis baru dan lama di dalam ruang berkenaan.

Sehubungan itu beliau menyarankan agar pihak pengurusan laman berkenaan melakukan sesuatu agar bakat yang ada pada kebanyakan penulis di laman berkenaan tidak disia atau dibiarkan begitu saja.

Datuk A. Samad Said turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang. -  eSastera.com

KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT GAMBAR-GAMBAR DI SEKITAR HESCOM 05