------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

AMIR MUKHRIZ DIWAWANCARA oleh Drirwan
Sdr Amir Mukhriz. Terima kasih kerana sudi diwawancara. Sebagai sebuah institusi yang ingin membangunkan dan mempromosi penulis-penulis muda sehingga memenangi hadiah Nobel dalam sastera, wajarlah rasanya esastera.com memberikan sedikit tumpuan kepada penulis muda seperti saudara.
1. Pertama kali saya tersedar akan kehadiran sdr di esastera.com ialah apabila sdr menulis "wadeh-wadeh..." terhadap amaran saya utk mengetatkan kemasukan ke esastera.com dan memadam nama ahli yang tidak mahu memberikan biodata:
amirMukhriz
May-3-2004 11:36 AM
wadeh-wadeh...
drirwan
May-2-2004 9:51 PM
MAKLUMAN: KE ARAH eSASTERA YG PROFESIONAL. Semua komuniti dalam esastera.com kini diklasifikasi sbg "private". Permohonan menjadi ahli perlu diluluskan oleh Founder/Administrator. Hanya mrk yg memberikan identiti/biodata akan diterima menjadi ahli baru. Ahli lama yg tidak dikenali juga akan dibatalkan keahlian mrk secara berperingkat-peringkat.
Pada masa itu, saya menyangka sdr juga adalah di kalangan ahli yang suka mangacau dan "baling batu sembunyi tangan" (penyamar). Namun sebelum sempat memadamkan keahlian sdr, saya telah "tersemak" bahawa sdr sebenarnya berdaftar secara sah dan telah menyiarkan biodata sdr. Walau apa pun, soalan saya ini tidak ada kena-mengena dengan kehadirian sdr di esastera.com. Saya cuma mahu tahu apa makna "wadeh-wadeh" itu dan apa signifikannya dengan diri sdr sehinggakan ungkapan itu seolah-olah merupakan "brand" kepada kehadiran sdr di esastera.com.
Pertama sekali, terima kasih kepada drirwan kerana memilih saya untuk diwawancara. Harapan saya jawapan-jawapan yang saya berikan tidak akan mengecewakan drirwan dan pembaca, saya juga tidak pandai menyusun kata, jadi minta maaf awal2 jika ada ayat2 saya yang mengguris jiwa.
Berbalik kepada soalan, sepanjang bulan 3 dan 4 yang lepas saya telah menyewa di sebuah rumah bujang di Shah Alam kerana bekerja sambilan di Seksyen 13. Dari penghuni rumah itulah saya mula mendengar ungkapan ‘wadeh-wadeh’ yang sampai sekarang saya tidak tahu apakah maksudnya.
2. Nama sdr ialah Mohd Azlan Bin Idris. (a) Kenapa guna nama "Amir Mukhriz" di esastera.com? (b) Apa makna amirMukhriz (c) Dari mana sdr mendapat nama itu? (d) Apabila menulis di media cetak seperti Tunas Cipta, apakah nama yang sdr gunakan? (e) Adakah sdr menggunakan nama-nama pena lain dan di mana nama-nama itu digunakan?
(a) Amir Mukhriz ialah nama pena rasmi saya baik di media cetak mahupun di media siber.
(b) Jika hendak diterjemah berpandukan bahasa Arab, amir ialah ketua dan mukhriz ialah cangkuk yang digunakan untuk menyangkuk guni.
(c) Cadangan seorang teman.
(d) sila rujuk (a)
(e) Tiada.
3. Sdr memasuki esastera.com melalui komuniti "Cerpenis" pada 27 Jan 2004. Pada bulan Mac barulah sdr memasuki komuniti-komuniti lain. (a) Bagaimana sdr mengetahui tentang esastera sehinggakan sdr memasuki "Cerpenis"? Atau apakah sdr telah memasuki esastera sebelum ini dengan nama-nama lain? (b) Adakah sdr mengenali atau pernah mendengar nama mana-mana ahli esastera.com sebelum sdr menyertai esastera.com?
(a) Saya kenal esastera.com apabila membaca berita sastera dalam akhbar utusan. Saya tidak pernah masuk esastera dengan nama lain.
(b) Kenal itu tidak, sekadar mendengar nama adalah seperti sdr uthaya sankar.
4. Saya agak terperanjat apabila sdr muncul di rumah saya bersama-sama sdr Dahrie tempoh hari. Saya ingatkan siapa. Apabila sdr Dahrie memperkenalkan sdr sbg Amir Mukhriz, saya pun masih berasa serba salah kerana tidak ingat akan biodata sdr walaupun saya sudah tahu amirMukhriz tu ahli esastera. Saya sangkakan sdr pelajar Akademi Islam UM, barangkali. Saya nak tanya tetapi ragu-ragu, takut tersilap tanya pula. Apa perasaan sdr pada masa itu?
Gembira ada, segan pun ada. Gembira kerana tidak sangka pada malam itu dua orang ahli esastera sekaligus dapat saya jumpa, lebih-lebih lagi status drirwan selaku founder komuniti tersebut. Segan kerana saya adalah orang baru dalam sastera dan esastera tetapi sedang duduk ‘semeja’ dengan orang-orang lama.
5. Sekali bertemu dengan sdr, saya beranggapan sdr seorang yang kacak, mempunyai personaliti yang menarik, dan berperangai baik. Saya juga berpendpat sdr seorang yang alim. Sdr juga agak pendiam tetapi pandai mengambil hati dengan meluahkan ungkapan-ungkapan yang menyeronokkan pendengar apabila sdr berkata-kata. Apa komen sdr.
Satu ketika saya pernah menghadapi masalah dengan orang yang tidak mengenali saya dengan rapat, mereka selalu tersalah sangka saya seorang yang sombong. Oleh itu, saya cuba mengubah keadaan tersebut dengan lebih bersifat ramah dan banyak senyum apabila berkomunikasi walaupun dengan orang asing. Komen Dr tersebut membuktikan perubahan yang cuba saya lakukan itu berjaya. Alhamdulillah.
6. Sdr Abdullatip suka bertanya pendapat orang muda tentang "bercinta semasa belajar". Tapi saya ingin bertanya sdr soalan yang lebih advanced dan lebih peribadi sedikit daripada itu. Soalan saya: Pada tahap manakah sdr berada dalam bidang ini (bercinta)... adakah sdr sekarang (a) belum terfikir untuk bercinta, (b) sedang mencari, (c) sedang bercinta, atau (d) sedang putus cinta? Sila berikan butir-butir setelah memilih a, b, c, atau d.
(b) Saya sedang mencari kesempurnaan cinta. Ada sesiapa dapat membantu?
7. Beberapa soalan peribadi. (a) Berapakah saiz tubuh sdr; maksud saya berapakah ketinggian sdr dan berapakah berat badan saudara. (b) Berapa kali sehari sdr mandi? (c) berapa kali seminggu sdr bersukan/bersenam? (d) apakah buah-buahan yang sdr suka makan? (e) Para doktor menasihatkan kita supaya banyak minum air demi menjaga kesihatan sistem badan. Berapa gelas air sdr minum setiap hari?
(a) 168 cm dan 55 kg.
(b) 2 kali.
(c) minimum 7 hari seminggu 5 kali sehari. Saya tidak bersukan secara konsisten melainkan ada rakan-rakan yang mengajak bermain bolasepak bersama.
(d) buah mangga
(e) 3 ke 4 gelas.
8. Sdr kelihatan kepada saya seperti anak orang-orang berada. (a) Bolehkah sdr ceritakan sedikit siapa ayah dan ibu sdr, misalnya dari mana mereka berasal, di mana mereka berada, dan apa yang mereka buat sekarang. (b) Harap sdr juga dapat ceritakan serba sedikit tentang adik-beradik saudara?
(a) Ayah saya baru sahaja bersara daripada berkhidmat sebagai seorang pegawai polis. Ibu saya seorang suri rumah dan tidak nampak lagi tanda-tanda untuk beliau akan bersara (hanya Allah yang tahu besarnya pengorbanan seorang ibu). Mereka berdua berasal dari Johor Bharu.
(b) Saya ada 2 orang kakak dan seorang abang. Kakak sulung suri rumah kepada seorang pramugara, abang seorang usahawan muda yang sangat sibuk dengan perniagaannya dan kakak kedua seorang pegawai bank, masih single, dan saya selalu mengusik ingin mencari seorang sasterawan untuk menjadi pasangan hidupnya.
9. Saudara telah menyertai MPR 2004. Apakah perbezaan amirMukhriz pra-MPR dengan amirMukhriz pasca-MPR?
Sebelum MPR, saya jahil banyak perkara berkaitan sastera bermula daripada istilah-istilahnya hinggalah kepada tema yang berada seputarnya sehinggakan saya tidak tahu membezakan antara sastera serius dan sastera popular. Saya hampir menulis karya yang jalan ceritanya seperti A mengorat B, B mengorat C, C mengorat D dan E terjatuh dalam longkang.
Kini, saya sedar bahawa setiap karya yang ditulis akan dipertanggungjawabkan kepada penulis itu sendiri. Natijah daripada pembacaan pembaca akan tempias sahamnya kepada penulis. Saya diajar supaya tidak menghasilkan karya yang sia-sia malahan membawa mudarat kepada pembaca.
Dan yang paling penting, menulis sudah menjadi tanggungjawab yang perlu saya pikul semampu kudrat yang ada.
10. Sdr Nimoiz sdr dampingi semasa
MPR. (a) Apa pendapat saudara tentangnya. (b) Saya beranggapan sdr Nimoiz ialah seorang yang sangat rajin membaca. Apakah sdr setuju dengan saya?
(a) Berpegang teguh pada prinsip. Lawak dan ceria sudah tentu. Dia juga seorang yang selamba (baca: selamba rock).
(b) Setuju.
11. Kata orang, "tabiat" (habits) membentuk keperibadian seseorang. (a) Apakah tabiat baik yang sedang sdr amalkan demi menjaga peribadi. (b) Apakah tabiat baik yang hendak saudara amalkan tetapi belum berjaya lagi. (c) Apakah tabiat buruk yang sdr sedang amalkan yang sdr berasa perlu sdr hentikan?
(a) Banyakkan senyum dan mudah berbicara. Peribadi yang ‘mesra pengguna’ tidak merugikan, percayalah.
(b) Menjaga penggunaan masa dan tidak menangguhkan kerja.
(c) Tidak menjaga masa dengan betul serta selalu menangguhkan kerja.
12. Sdr kelihatan berkawan agak rapat dgn sdr Dahrie. (a) Bagaimana sdr bekenalan dengan sdr Dahrie? (b) Apa tanggapan sdr tentang sdr Dahrie.
(a) Sdr Dahrie telah menghantar e mail kepada saya menyatakan dia juga dari Terengganu. Kami berbalas e mail beberapa kali sebelum mengatur pertemuan di Universiti Malaya.
(b) Berpandangan jauh dan yakin pada diri sendiri.
13. Tentang karya sastera. (a) Apa genre karya yg paling sdr minati? Jelaskan secara terperinci. (b) Siapakah penulis yang sdr minati untuk genre-genre yang berkenaan.
(a) Saya sangat berminat pada cerpen dan novel. Melalui kedua genre ini, ideologi dan mesej yang ingin kita kongsi bersama pembaca tidak terbatas dan dapat diolah mengikut kesesuaian cerita. Lebih khusus lagi, saya suka karya yang berunsur satira, begitu juga karya yang mesej ketuhanannya tidak disampaikan secara klise.
(b) Saya masih kurang membaca karya-karya penulis mapan. Jadi dikecualikan mereka, penulis yang saya minati dalam genre ini ialah sdr Faisal Tehrani.
14. Apa cita-cita jangka panjang sdr dalam bidang penulisan?
Saya ingin menghasilkan karya-karya yang dapat dijadikan rujukan dalam tempoh masa yang lama. Karya itu harapnya akan memberi manfaat kepada pembaca selagi mana dunia ini masih wujud.
15. Sekembalinya sdr dari rumah saya, sdr telah menulis di noteboard komuniti Penyair: "Alhamdulillah... alhamdulillah... alhamdulillah... terima kasih byk2 pd drirwan sekeluarga. saya sangat gembira. mahu melompat-lompat rasanya!" ...Ini ada surprise untuk sdr: Dalam salah satu episod novel Hostel: Debaran Kedua (episod yang tidak disiarkan di komuniti Novelis tetapi akan diterbitkan dalam bentuk cetakan keras), penulisnya telah menulis:
"Bakri segera bangun. Dia berasa mahu melompat-lompat. Dia mahu melompat-lompat kesukaan seperti Amir Mukhriz mahu melompat-lompat seronok kerana dapat bertandang ke rumah pengasas majalah e-sastera."
Apa perasaan sdr apabila mengetahui nama Amir Mukhriz disebut dalam novel Hostel itu?
Sangat gembira. Mahu melompat-lompat rasanya!
16. Apakah sdr mempunyai sebarang falsafah hidup tertentu yang sdr jadikan pegangan dalam melayari kehidupan sehari-hari?
Saya selalu bertanya kepada orang yang ahli dalam sesuatu bidang yang saya jahil. Tidak terkecuali jika yang saya tanya itu perempuan ataupun mereka yang lebih muda. Pada saya, mereka yang malu bertanya atau sombong untuk bertanya akan terperangkap dalam belenggu kejahilan.
17. Sdr sedang belajar dalam bidang ICT dan akan menjadi profesional yang bekerja dalam bidang itu. (a) Tidakkah sdr berasa bahawa kegiatan bersastera itu menghabiskan masa dan wang sahaja? (b) Apa faedah yang sdr harapkan daripada kegiatan sastera sdr?
(a) Jika saya tidak bersastera, saya akan buat benda lain, dan benda itu juga menghabiskan masa. Tidak ada hobi atau kegiatan yang apabila dilakukan masa tidak berdetik kerananya. Berkenaan wang pula, setiap ringgit yang mengalir kerana minat saya pada sastera saya anggap sebagai pelaburan.
(b) Saya mengharapkan kegiatan sastera saya ini benar-benar dapat menjadi wadah terbaik untuk saya menyambung risalah Utusan Tuhan.
18. Saya sendiri membelanjakan banyak masa dan wang setiap bulan menerbitkan esastera.com. Apakah sdr ada apa-apa nasihat atau kata-kata motivasi untuk saya?
Teruskan! Sudah ramai yang mendapat manfaat daripada usaha murni drirwan. Semoga segala yang dikorbankan Dr untuk melihat esastera.com terus bernyawa diterima sebagai amal yang diredai Pencipta.
19. Apa pandangan sdr tentang kemunculan e-majalah sastera baru, "Bulanan Esastera"?
Satu langkah ke hadapan untuk sastera maya. Jika saya tidak silap, apa yang terbit dalam majalah ini hanyalah yang dipilih sahaja dan disunting oleh editor. Ini membuktikan bahawa sastera maya juga dipelihara mutunya. Maka, apa lagi yang boleh diperendahkan dan dipersoalkan?
20. Jika dibandingkan dengan penulis-penulis muda lain di esastera.com seperti Nimoiz, Ghafirah, dan Ida Munira, di mana sdr berada?
Penulis-penulis muda di esastera rata-rata saya lihat mempunyai koleksi karya yang agak membanggakan, lihat sahaja Nimoiz, puisinya ratusan, Ida sudah terbitkan buku dan Ghafirah pula dengan cerpen-cerpennya, tidak ketinggalan nama seperti Ummu Hani, FahdRazy, Lutfi Ishak, dan Jimadie serta nama-nama lain yang saya tertinggal. Penulis-penulis muda ini sudah jauh ke hadapan. Saya? Saya sedang di tahap mentarbiyah diri untuk istiqamah menulis. Harapan saya, kelak apabila mereka mahu melihat saya, mereka tidak perlu menoleh ke belakang, cukup dengan melihat ke kanan. InsyaAllah.
21. Dari emel yang sdr hantar kepada saya, saya mendapat tanggapan bahawa sdr seorang yang agak pemalu. Namun dari pembacaan tulisan sdr di esastera.com, jelas sdr seorang yang mempunyai deria lawak (sense of humour) yang sangat baik dan canggih. Memang orang yang agak pendiam dan pemalu biasanya dapt menghasilkan karya lawak yang bermutu tinggi. Maka saya ingin bertanya: (a) Apa pandangan sdr tentang "sajen". (b) Kenapa sdr tidak menulis sajen? (c) Pada pandangan sdr, mengapa sdr Nimoiz telah berhenti menulis sajen?
(a) Sajen telah membuka ruang kepada penyajak/penyair untuk menghimpunkan kata-kata terbaik dengan susunan terbaik dan dalam masa sama memecahkan usus pembaca.
(b) Belum sampai seru.
(c) Mungkin dia tidak berhenti, tetapi cuma berehat seketika, asyik berjenaka sahaja, penat juga.
22. Boleh terangkan sedikit tentang kursus yang sedang sdr ikuti di universiti. Bila dijangka tamat? Apa yang sdra nak buat selepas tamat pengajian?
Saya mengambil kursus Kejuruteraan Perisian. Kami belajar mengaturcara sistem komputer, menyelia rangkaian komputer, dan hal-hal lain yang berkaitan dengan komputer secara umum.
InsyaAllah saya akan tamat pengajian ijazah saya sekitar hujung tahun hadapan.
Selepas itu, bergantung pada keadaan dan kesempatan, sama ada saya bekerja, menyambung peringkat sarjana (master) atau kedua-duanya sekali.
23. Ini soalan umum: Jika sdr diberi RM1 juta untuk dibelanjakan dalam tempoh sebulan, apa yang akan sdr buat dengan wang itu?
Belanja keluarga makan. Membawa kakak saya melancong. Sedekah jariah. Beli gajet-gajet teknologi terkini. Sumbangkan RM29 900 kepada eSastera.com dan bakinya akan dibuat modal untuk perniagaan.
24. Ini satu lagi soalan umum: (a) Pernahkan sdr ke luar negara? Jika pernah, bolehkah sdr ceritakan sedikit pengalaman. (b) Jika sdr ditawarkan hadiah percutian percuma ke luar negara untuk dua orang, ke negara mana sdr hendak pergi dan mengapa. Siapa yang akan sdr bawa bersama?
(a) Negara paling jauh yang saya pernah sampai hanyalah Singapura. Itupun ketika saya masih kecil. Tiada pengalaman menarik kecuali seorang peniaga di sana cuba menghalang saya daripada mendapatkan ibu saya. Mungkin dia cuma mahu bergurau, tapi yang pasti saya sudah seriau.
(b) Ke Mesir (atau mana-mana negara Timur Tengah yang lain). Saya akan bawa bersama ustaz saya kerana dia boleh tunjukkan saya tempat-tempat menarik di sana seperti makam anbiya’ dan auliya’ yang selama ini saya hanya dapat membaca kisah-kisah mereka. Saya juga boleh beli barang-barang yang sukar di dapati di tanah air kita.
25. Nyatakan ciri-ciri gadis yang sdr rasa sesuai untuk menjadi pasangan hidup sdr.
1. Faham minat dan kecenderungan saya.
2. Mudah saya bentuk dan lentur mengikut acuan agama.
3. Tegur kesilapan saya (dengan berhikmah).
4. Manja.
Tak banyak, 4 sahaja. Ha! Ha! Ha!
26. Binatang apa yang paling sdr (a) suka, (b) benci, dan (c) takut.
(a) kucing yang comel
(b) lipas yang sedang terbang
(c) ular, ulat, dan segala macam binatang yang menunggu setiap mayat dalam kubur (kecuali mereka yang mendapat rahmat daripada Allah).
27. Apakah sdr rajin membaca buku-buku sastera? Buku apa yang terakhir sdr baca dan bila.
Saya ada membaca buku sastera tetapi tidaklah sampai ke tahap rajin. Buku yang terakhir saya baca ialah
Pemikiran Satira dalam Novel Melayu oleh SN S. Othman Kelantan. Masih dalam proses mengkhataminya.
28. Terangkan sedikit tentang liku-liku kehidupan dan cabaran yang sdr hadapi dalam bidang pelajaran dari sekolah hingga sekarang.
Alhamdulillah, Tuhan memudahkan laluan saya dalam bidang akademik. Setelah sering bertukar sekolah rendah kerana mengikut ayah, saya masuk sekolah menengah berasrama, matrikulasi, dan sekarang kolej universiti.
Sekadar berkongsi pengalaman, saya masuk Kustem sebagai pelajar Sains Samudera, bagaimanapun saya mohon untuk bertukar ke Sains Komputer pada semester kedua dan diluluskan.
Kini, saya terpaksa berkonvokesyen dengan junior kerana terpaksa menggantikan balik semester pertama saya dahulu.
29. Apakah pencapaian peribadi sdr yang paling bermakna dan paling sdr banggakan setakat ini?
Mendapat
single aggregat dalam SPM dahulu antara pencapaian yang saya banggakan, alhamdulillah.
30. Sdr suka menulis sajak-sajak bertemakan agama. Apakah sdr bercadang untuk terus berkarya dengan memfokus kepada tema keagamaan itu?
Saya tidak bercadang untuk memfokuskan karya-karya saya kepada tema agama semata-mata, tetapi sebagai umat yang menyambung risalah nabi, saya akan cuba sebaik mungkin memasukkan mesej ketuhanan ke dalam karya saya.
31. Sdr sekarang sedang berada di mana dan sedang buat apa?
Saya, bahkan kita semua, sedang berada di alam yang sementara dan sedang dalam perjalanan ke alam yang kekal. J
32. Sebagai pelajar ICT, apa pandangan sdr tentang sastera siber?
Satu alternatif kepada peminat sastera untuk lepak dan bersantai. Sastera siber juga memudahkan komunikasi antara ahli serta karya dapat dibaca oleh semua orang sejurus selepas dihantar.
33. Apakah sdr boleh mnendeklamasikan sajak? Pernahkan sdr mengambil bahagian dalam majlis atau pertandingan deklamasi?
Alhamdulillah, baru-baru ini saya memenangi tempat ketiga pertandingan deklamasi sajak peringkat kelab. Saya memilih sajak Rajawali nukilan Rendra dan itulah sajak pertama yang saya deklamasikan di hadapan khalayak.
34. Di samping bersastera, apakah minat sdr?
Berniaga dan mengikuti perkembangan bola sepak antarabangsa.
35. Biasanya bilakah sdr menulis? Bagaimana sdr mendapat/mencari ilham?
Dulu, saya menulis apabila ada sesuatu yang mencucuk-cucuk dalam jiwa hingga mengganggu ketenangan. Tetapi itu bukan amalan yang bagus untuk menjadi penulis prolifik, maka saya berpindah ke tahap memaksa diri untuk menulis. Ilham ada di mana-mana, tinggal lagi kita yang perlu mencarinya. Salah satu cara saya mencari ilham ialah dengan membelek akhbar atau majalah.
36. Esastera.com sedang cuba membangun dan mempromosi penulis-penulis muda ke arah memenangi hadiah Nobel dalam sastera. Boleh sdr cadangkan nama-nama yang patut kami berikan perhatian istimewa untuk tujuan itu?
Ahli esastera yang aktif dan berada dalam kelompok penulis muda tidak ramai. Maka perhatian bolehlah diberikan kepada setiap ahli secara sama rata, perhatian istimewa diberi bergantung pada komitmen ahli itu sendiri. Jika individu tersebut memberi reaksi positif, maka tumpukanlah perhatian pada beliau.
37. Khabarnya karya sdr telah terpilih untuk diterbitkan di majalah DS. Perkara ini ialah suatu pencapaian yang amat signifikan bagi penulis muda seperti sdr. Boleh ceritakan sedikit?
Sebenarnya bukanlah terpilih, tapi dicadangkan. Mentor kami dalam genre puisi sewaktu MPR ialah abg Shamsuddin.
Ketika beliau membedah puisi Warkah Buat Habibah saya, katanya penggunaan metafora bagus dan puisi itu patut dihantar ke
Dewan Sastera. Tapi, setelah berbincang dengan beberapa rakan, saya memilih untuk menghantarnya ke
Mingguan Malaysia dan bukannya Dewan Sastera.
38. (a) Sebagai penulis, perlukah kita bergerak secara berpasukan? Atau adakah lebih baik bekerja dan menulis secara sendirian. (b) Apa pandangan sdr jika kami daftarkan persatuan "Komuniti Penulis Alam Siber"?
(a) Ada masanya kerja berpasukan itu perlu, tapi mereka yang mahu bergerak sendirian tidak juga memilih keputusan yang salah. Ramai akan berhujah dengan duduk dalam pasukan susah senang dapat dikongsi bersama, iyakah? Contoh mudah, berapa ramai yang mahu berkongsi kesusahan pengendali esastera mendapatkan sumber kewangan?
(b) Bagus jika pelaksanaan agendanya berjalan. Ada perkumpulan yang tidak berdaftar tapi ahli-ahlinya dapat manfaat yang banyak. Lebih banyak kumpulan berdaftar tetapi ahli-ahli hanya berjumpa setahun sekali ketika mesyuarat agung.
39. Soalan umum lagi: Apa pandangan sdr tentang (a) lelaki berambut panjang dan (b) bos perempuan.
(a) Saya suka rambut panjang yang kemas dan tidak menyerupai perempuan. Contoh personaliti yang rambutnya saya suka
i. Triple H (WWE)
ii. Yassin ketika malam Anugerah Bintang Popular 2003
(b) tidak menjadi masalah jika dia bersedia menerima pendapat orang lain. Penaung kelab saya seorang pensyarah perempuan.
Saya selaku exco kelab, selalu diminta pendapat untuk membuat keputusan. Ini satu contoh bos yang baik.
40. Di MPR 2004, sdr telah berkesempatan bergaul dengan Ghafirah dan Ida Munira. (a) Apa tanggapan sdr tentang mereka? (b) Antara Ghafirah dengan Ida, siapakah yang lebih mendebarkan? (Jangan jawab Siti Nurhaliza). Kenapa?
a) Ramah dan mesra. Mereka berdua juga sangat merendah diri. Ghafirah ketika di tanya di DBP apakah perasaannya setelah memenangi HSKU, dia menjawab ‘takut’. Saya faham dan kagumi jawapannya itu. Ida pula, dengan suaranya yang rendah, selalu menuturkan ayat-ayat yang menggambarkan ketinggian budi.
b) Ghafirah, kerana nama ayahnya sama dengan nama ayah saya. Hahhahahahhahahhahaahahhahahaha!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
41. Sdr lebih kurang sebaya dengan anak-anak saya yang telah remaja. Anak-anak saya kebanyakannya dibesarkan dengan "fast food". Adakah sdr juga menggemari "fast food"? Kalau ya, makanan segera apa yang sdr minati?
Biasa-biasa saja, saya jarang makan fast food.
42. Kalau sdr diberi peluang untk meminta sesuatu dari Esastera Enterprise, apa yang sdr hendak minta?
Mengadakan pertemuan (gathering) di bandar Kuala Terengganu. Bagi pihak saya, insya-Allah saya boleh carikan tempat dan segala yang berkaitan dengannya. Jadi, marilah!
43. Ada apa-apa lagi yang sdr hendak sampaikan kepada pembaca kita?
Sastera itu indah jika dilandaskan kepada fitrah.
Waallahua’lam.
Terima kasih kerana sudi diwawancara dan sudi menjawab soalan-soalan ini dengan ikhlas dan panjang lebar. Semoga sdr terus maju dalam pelajaran dan dalam sastera. Semoga sdr dan keluarga sdr bahagia dan diberkati Allah sentiasa, insya-Allah.
Sama-sama. Insya-Allah.
Irwan Abu Bakar
Kuala Lumpur, 6.07.04