AHKARIM : CERPEN

2. Polemik Di Udara
1. Luv U Bapak
Polemik Di Udara
sebuah cerpen ahkarim

 

“ Iacoca. Ya, Lee Iacoca. Mengapa tidak ?” Muzzammil menjawab dan bertanya. Bunyi jawapannya agak cengil, tetapi dengan iras wajahnya yang seolah sentiasa senyum, ajukan itu diterima sebagai respon spontan yang menarik oleh si penanya.

 

 “Maafkan saya. Saya tidak bermaksud untuk menyibuk. Tetapi bukan kah baik kita membaca buku-buku karangan penulis-penulis intelektual Islam ?” Nufrah mencuba

pula dengan soalan keduanya.

 

“Maksud Tuan buku-buku tulisan Qardawi, Baghoutti, Farabi, Ghazali, Syafie. Atau yang lebih tegas dan berani saperti Maududi, Albana, atau Ali Syariati .Atau maksud Tuan kitab-kitab tua oleh Muhammad Abdul Wahab, pengasas Wahabi.Atau buku Salman Rushdie ?....”

 

Nufrah terpegun dan ternampak pancaran kekaguman dari kerutan keningnya. Namun dia cuba menyembunyikannya dengan tidak membiarkan soalan yang diajukan Muzzammil tidak terjawab begitu lama.

 

“ Ya...dan tidak. Ya memang nama-nama pengarang dan ulamak-ulamak Islam yang sdr nyatakan itu.Tidak, bukan Rushdie si kapir laknat itu !”

 

Tersentak Muzzammil dengan sergahan Nufrah. Amat jelas sekali dia cukup marah kepada Rushdie. Muzzammil mengagak mungkin menyebut nama Rushdie sahajapun sudah menaikan darah Nufrah sungguhpun dia dapat mengagak Nufrah ini bukan orang Iran. Dia membiarkan seketika supaya Nufrah mengawal dirinya. Munkin dia dapat menjumpai semula dirinya. Selang beberapa ketika Muzzammil rasa wajar dia menyambung perbualan. Perbualan itu pun dimulakan oleh Nufrah sendiri, Nufrahlah yg menggangu pembacaannya. Dia tadi begitu kyusyuk sekali membaca bagaiman Iacoca dapat memulih semula Crysler dari sebuah syarikat yang hampir bankrap kepada sebuah syarikat yang mantap dan dapat menyaingi semua syarikat otomobil yang ada di Amerika. Kegigihan Iacoca melalui buku biografinya telah membawa Muzzammil ke satu alam yang cukup digemarinya, alam pengurusan moden.

 

“ Nampaknya, saudara tidak bersetuju saya membaca buku karangan orang barat. Apa kah tidak wajar saya mengetahui tentang sesuatu yang ditulis oleh orang barat. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita belajar dari pengalaman mereka, yang menjadi faktor kejayaan mereka.” Muzammil menyambung semula hujah yang terbantut tadi setelah melihat Nufrah sudah agak tenang sambil merenung dalam skrin di hadapannya.

 

Tiba-tiba Nufrah ketawa. Mula-mula perlahan, kemudian meningkat menjadi semakin kuat. Kemudian memuncak terbahak-bahak hingga terhinggut-hinggut badannya.

Muzzammil terasa ketawa itu sebagai menghina pendapatnya. Ketawa itu berisi hinggutan sisnis dan cemuhan. Namun dia membiar Nufrah terus ketawa hingga kemuncaknya menurun menjadi batuk-batuk lelah yang kering. Muzzamil mahu melihat apa kesudahan ketawa itu : adakah Nufrah mempunyai penjelasan tentang penyebab yang meransang ketawanya, atau ia sekadar pelarian daripada kekontangan mindanya yang tidak berdaya menjawab soalannya tadi.

 

Setelah reda dari ketawanya yang mensisakan sedikit senyuman sumbing di bibirnya, Nufrah menoleh melihat Muzzammil kembali kyusyuk membenam mukanya ke dalam buku yang dibacanya tadi. Dia menggeleng-geleng kepalanya dan senyum sumbingnya menjadi galak semula dan tiba-tiba badannya terhinggut-hinggut semula dengan ketawanya yang ditahan-tahan agar tidak terbahak keluar.

 

Muzzammil terasa hinggutan kerusinya dan dia menoleh melihat jiranya terus ketawa sendirian dengan suara yang rendah. Namun dia membiarkan sahaja dan terus menyambung bacaannya. Dia berjaya mengawal dirinya dan kembali ke dunianya. Ini kelebihan Muzzammil. Dia boleh menutup dunia nyata dengan mudah dan kembali kepada apa yang dia sedang lakukan dengan begitu cepat. Kelebihan ini dikenalpasti sebagai salah satu penyebab yang membuatnya berjaya dalam bidang akademik dan akhirnya membuat dia berjaya dalam kerjayanya.

 

Nufrah terus senyum. Dia membiarkan senyumanya terleret agak lama. Dipejamkan matanya. Dia memikir apa yang sepatutnya dia jawab kepada pertanyaan Muzzammil tadi. Dia sudah hampir lupa soalan Muzzammil tadi yg membuatnya dia ketawa besar. Sambil memikir, dia menekan butang di tempat letak lengan sebelah kanannya.

 

“ Tuan Yang Terutama, saya minta maaf. Ada kah tuan memerlukan apa-apa bantuan ?”

Dengan tiba-tiba dan pantas seorang peramugari muncul dan bertanya dengan hormat.

 

“ Ya, boleh bawa segelas air kosong. Dan sila tanya jiran sebelah saya, mungkin dia memerlukan sesuatu.” Nufrah menjawab

 

“ Tuan Muzamil, maafkan saya, boleh saya tawarkan sesuatu minuman untuk Tuan.?” Peramugari yang paras wajah mirip Sophia Loren menyapa menyentak Muzammil dari bacaannya.

 

“ Mmm..ya, mengapa tidak. Segelas coke jadilah.” Jawab Muzzammil sambil melontar sebuah senyuman kepada peramugari dan meleret kepada Nufrah, serta sedikit anggukan kepala kepada Nufrah yang merenung mukanya dengan sedikit senyuman. Peramugari terus berlalu dan Nufrah menjeling melihat goyangannya yang laju dan kasar. Muzzammil kembali kepada bukunya. Namun belum sempat dia menyambung ayat yg ditinggalkan tadi tiba-tiba dia terasa lengan kanannya disentuh.

 

“ Tuan Muzzammil, maafkan saya. Saya benar-benar perlu memohon maaf kepada Tuan. Saya tidak berniat menghina Tuan. Sebenarnya saya terasa hairan dan sedikit kagum melihat orang saperti Tuan yang membaca dan terus membaca. Membaca dan terus membaca. Saya agak, bukan sahaja terus membaca, malah terus percaya dan yakin, yakin setiap perkara yang ditulis oleh orang barat, orang-orang barat keparat itu ! Malah lebih jauh lagi orang Timur saperti Tuan cuba pula sedaya upaya melaksanakan...apa itu..ya, teori-teori, model-model, kaedah-kaedah, pendekatan-pendekatan, langkah-langkah..ya, malah segala suatu yang diajukan oleh mereka. Malah bukan itu sahaja sekali gus falsafah hidup dan budaya yang menjadi landasan kepada kejayaan mereka pun mahu dituruti.Tanpa sebarang perasangka, tanpa sebarang persoalan dalam benak Tuan. Tanpa sedikit pun terlintas keraguan bahawa itulah sebenarnya kejayaan. Ya, kejayaan..kejayaan saperti yang Tuan ucapkan tadi.” Nufrah menghujah dengan penuh semangat. Tangan kanannya terawang-awang dan sekali-sekala diketuknya keatas meja kecil yang masih terletak segelas minuman separuh kosong.Tergegar gelas itu tetapi meja hidangan kelas pertama cukup kukuh.

 

Selama itu Muzzammil mendengar dengan teliti segala hujah Nufrah. Dia mahu mengkhazam setiap ulas ucapan Nufrah agar tidak tercicir isi nya, agar dapat dia menjawab kembali nanti dengan betul dan bernas. Itu pun satu lagi kekuatan Muzzammil. Dia adalah seorang pendengar yang teliti. Kadang-kadang dia lebih banyak mendengar dari bercakap. Dia cukup yakin dengana falsafah Kung Fu Tze bahawa manusia diberi dua telinga dan hanya satu mulut supaya.lebih banyak mendengar dari banyak bercakap.

Sebaik sahaja Nufrah berhenti berhujah Muzammil merenung muka Nufrah dengan tajam.Terlintas di hatinya mahu mencampak bahak ketawa saperti yang dilakukan oleh Nufrah kepadanya tadi. Tetapi dia tidak sampai hati. Bukan itu.Sebenarnya itu bukan caranya berpolemik, itu bukan caranya untuk menjelaskan sesuatu. Yang paling dia mahu hindari ialah memenangi, jika ini adalah tentang kalah-menang, sesuatu perbalahan dengan cara memperli atau menghina secara sarkastik akan lawannya.

 

“ Tuan Yang Terutama, betul dan tidak. Hujah dan tuduhan Tuan tadi ada yang betul dan ada yang tidak....”  Belum pun sempat Muzzammil melansungkan hujah nya tiba-tiba Nufrah mencelah.

 

“ Nanti ! Nanti, macam mana Tuan tahu...”

 

“Tidak, tidak, saya tidak tahu Tuan siapa.Saya tidak mengenali Tuan. Saya mendengar Pramugari tadi memanggil Tuan, Tuan Yang Terutama, jadi saya seharusnya berbuat demikian. Begitu jugak agaknya Tuan bertanya soal saya mengapa saya tidak baca buku Islam sebab Tuan Yg Terutama mendengar nama saya dipanggil oleh Pramugari dan Tuan tahu Muzammil adalah nama Muslim.”

 

“Baik teruskan hujah Tuan, Tuan Muzzammil” Tegas Nufrah agak kesipuan.

 

“ Saya kata tadi ada betul dan ada tidak. Yang betulnya memang saya..mm kami, membaca dan terus membaca. Mencari apa yang terbaik untuk memakmurkan bumi Allah. Kami meneliti setiap teori, kaedah, pendekatan, malah falsafah mereka yang menyebabkan mereka berjaya. Itu memang betul dan kata-kata TYT tentang itu memang betul. Yang tidak betulnya ialah di peringkat pelaksanaanya. TYT adalah salah, salah besar, apabila menyatakan bahawa kami, negara kami, terus melaksanakan semua itu tanpa perasangka, tanpa sebarang persoalan. Dan amat salah sekali apabila TYT menyatakan kami menganutinya sekaligus dengan budaya dan falsafah hidup mereka yang menjadi landasan kejayaan mereka. Mungkin TYT kurang maklum bahawa kami, negara kami mempunyai budaya yang kukuh berteraskan Islam yang kami anuti. Segala sesuatu yang kami buat kami akan tapis, saring dan kami sesuaikan degan budaya kami. Yg mana bertentangan kami akan buang, hanya yang sesuai dan benar-benar menyumbang kepada kebaikan akan kami ubahsai dan adaptasikan.TYT, kami bukan peniru buta-tuli tetapi kami mampu mencipta sesuatu yang baik dari pengolahan semula.”

 

Muzzammil terpaksa berhenti. Tekaknya terasa sedikit pedih dan suaranya sedikit serak. Nufrah terus mengangguk meransangnya untuk meneruskan hujahnya. Dicapai gelas coke dan dengan pantas dia meneguk. Dia mendehem membuat laluan lega di kerongkongnya untuk merneruskan hujahnya.

 

“ Tuan-Tuan dan Puan-Puan penerbangan kita akan mendarat sebentar lagi. Sila ikatkan tali keledar anda dan betulkan tempat duduk anda.” Bersekali dgn pengumuman tersebut pramugari seiras Sophia Loren yang khas menjaga dan melayan hanya empat penumpang kelas pertama, segera tampil membetulkan tempat duduk penumpang dengan penuh tertib dan sopan.

“ Tuan Muzzammil, terima kasih diatas penjelasan itu, tapi tidak bermakna saya bersetuju dengan hujah-hujah Tuan itu. Mmm ..nampaknya semacam banyak lagi yang Tuan mahu perkatakan. Malang sekali kita akan sampai ke destinasi..maksud saya, saya sudah sampai ke destinasi saya.” Nufrah berkata sambil membetulkan tempat duduknya.

 

“Benar TYT, dan saya pun sudah sampai ke destinasi saya.” Jawab Muzzammil yang menyentap pandangan Nufrah kearahnya.

 

“ Apa, Tuan pun hendak turun di Jeddah?.”

 

“ Ya, saya akan ke Kota Suci Madinah dan kemudian akan Ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan Umrah selama beberapa hari, sebelum berangkat pula ke Kuala Lumpur.”

 

“ Bagus sekali. Mungkin kita akan dapat berjumpa lagi. Boleh saya minta kad nama Tuan  Nanti senang saya hubungi Tuan. Dan mungkin kita dapat kenal lebih jauh lagi.” Nufrah bertanya sambil menghulur sekeping kad yang diambil dari poket dalam kotnya.

Muzzammil pun mengambil sekeping kad dari dompetnya dan menghulurkanya kpd Nufrah sambil berkata;

 

“ Sebenarnya saya adalah seorang pensyarah di Instituit Tadbiran Awam, Malaysia.Yang lebih dikenali dengan nama INTAN.Saya dalam perjalanan pulang selepas mengikuti kursus di RIPA, UK. Sebenarnya saya penumpang kelas ekonomi yang bernasib baik yang dinaiktarafkan ke kelas pertama.” Jelas Muzzamil tanpa kelihatan wajah apologetik.

 

“Oh, RIPA. Royal Institute Of Public Administration. Saya pun pernah berkursus di situ..empat..lima tahun yang lalu. Saya tahu INTAN, saya pernah melawat Institut Tuan dua tahun lalu. Ya, kalau begitu banyak lagi yang boleh kita bincangkan. Begini saja, Tuan Muzzammil akan menjadi tetamu saya di Jeddah. Tuan akan dibawa ke Madinah dan kemudian ke Makkah atas pengelolaan orang-orang saya. Selepas itu Tuan akan kembali ke Jeddah dan akan melawat Institut Pengurusan kami di sini. Selepas itu mungkin...mungkin Tuan berminat untuk...entahlah, kita lihat nanti.Tolong jangan hampakan harapan saya.” Nufrah berkata dengan suara berbunyi rayuan bercampur arahan sambil terus berkemas untuk meninggalkan pesawat SAUDIAIR

 

Muzzammil terpinga-pinga mendengar jemputan yang lebih bernada rayuan dan mungkin arahan. Dia kelu seketika tanpa sepatah kepetahan nya lulus dari mulutnya. Kepetahannya yang menjadi kekuatannya  selama ini, sehingga dia pernah mendapat jolokan pensyarah paling petah bersyarah,  kini dengan tiba-tiba menyelinap lari meninggalkan dirinya, kaku.

 

Jarinya memegang erat sekeping kad berwarna emas.    Matanya tertumpu tepat kepada tulisan halus berlorek roman yang berbunyi; “ H E PRINCE NUFRAH IBNI AL FAHD, MINISTER FOR NATIONAL PUBLIC SERVICE”

 

TAMAT

 

AHKARIM

2.39 PAGI,  28hb jan 05 ketika isteri di KL

 

LUV U BAPAK

oleh ahkarim

 

Kali ini Pak Su tidak akan ubah fikiran lagi. Kali terakhir dia membuat persedian langkahnya terkedu kerana Mak Su tiba-tiba saja balik kerumah dan Pak Su  terpaksa menangguhkan rancangannya. “ Aborted ! Habis ! ” Katanya. Kesekian kali. Kesekian kali kerana itu bukan kali pertama Pak Su menangguhkan rancangannya. Kalau dikira penangguhan yang dibuatnya selama sembilan bulan dahulu, ini dah hampir lapan-belas kali. Itu tidak termasuk berpuluh-puluh kali sebelum itu semasa rancangannya masih belum jelas dan terperinci.

 

Kini Pak Su yakin rancangannya amat teliti dan setiap langkah yang dibuatnya telah direncana secara terperinci. Tidak ada sebarang lompang. Tidak ada cacat-cela Tidak wujud walau sedikit keraguan. Dia amat yakin dengan sifat ketelitian yang dimilikinya semasa bertugas di Jabatan Pemetaan dahulu mengajarnya tidak membiarkan sebarang ruang kecacatan. Mr.Catchpole, bosnya yang mewarisi cara pengurusan penjajah selalu berkata, “Don, jangan lupa, meticulousness, attention to details, itu our bread and butter.” Pak Su memegang prinsip itu sehingga menjadi sifat kekuatan yang dibanggainya.

 

Dan kali ini dia tidak akan membiarkan Mak Su ataupun sesiapa sekalipun menggagalkan    

rancangannya. Fikiranya bulat. Dia telah mengambil kira segala risiko yang akan dihadapinya. Segala akibat yang akan menimpa Mak Su dan lima orang anak mereka. Risikonya amat berat dan akibat terhadap keluarganya pun amat menakutkan. Namun Pak Su bulat tidak mahu memikirkannya lagi. Dia tahu jika dia terus memikirkannya maka pasti akan terbantut sekali lagi rancangannya. Kali terakhir dia memikirkan tentang risiko dan akibat pelaksanaan rancangannya bukan sahaja dia menangis teresak-esak malah hampir dia memutuskan untuk membatalkan terus rancangannya itu.

 

Malam tadi, kira-kira pukul dua-setengah pagi, sedang Mak Su nyenyak sambil mengeruh halus disisinya diatas katil yang mereka kongsi selama dua puluh lapan tahun, Pak Su bangkit perlahan-lahan. Setelah mengambil wudzuk dia ke ruang tamu dan duduk seketika diatas sejadah kegemaran Mak Su yang mereka beli di Jalan Ma`ala semasa mereka mengerjakan Umrah pada tahun lepas. Dia menyapu-nyapu dengan tapak tangan yang masih lembab di tempat sujud seolah-olah cuba merasai bekas tekapan dahi Mak Su. Kemudian dia bangun dan bertakbiratul-ihram melakukan solat Tahajjud dua rakaat. Di sujud terakhir dia bermunajat hampir sepuluh minit sehingga terasa semua darah turun ke kepalanya. Selepas itu dia solat Istikharah meminta agar Allah memberi petunjuk kepada pilihan dan keputusan yang dibuatnya itu. Dia membiarkan air matanya membasahi sejadah. Dia ingin memerah dan mengalirkan setiap titis air mata yang ada kerana selepas ini dia bersumpah tidak akan menangis lagi.

 

Selepas solat dan bermunajat  Pak Su masuk semula dan sebelum meletakkan semula kepalanya dibantal Pak Su menggosok-gosok belakang Mak Su yang sedang nyenyak sanbil membaca beberapa untaian ayat yang disyorkan oleh Tuan Guru Haji Hashim. Dia membisik hatinya meminta ampun dari Mak Su diatas kesalahan-kesalahan yang lepas dan lebih lagi dosa yang akan dilakukan olehnya pada esok hari.

 

Pagi tadi semasa Mak Su mencium tangannya seperti biasa sebelum keluar, Pak Su memegang tangan Mak Su lebih lama daripada biasa namun berhati-hati agar tidak begitu ketara takut disyaki sesuatu oleh Mak Su. Di sebalik langsir labuh dia menghantar Mak Su dengan tenungan terakhir sehingga kereta Mak Su hilang dari penglihatan. Doa yang dibisiknya sudah tidak tersusun kata dan ungkapnya rasa bercelaru. Takongan kelopak mata rasa sedikit melimpah dan tekaknya rasa tersengkang dan kering

 

Selepas Mak Su pergi Pak Su bergegas mengenakan pakaian jogging biasa. Dia mesti pergi jogging saperti biasa kerana inilah permulaan segala-galanya. Sebelum dia keluar rumah dia cuba mengingati semula dan menghafal setiap langkah rancangan yang akan dilaksanakannya sebentar lagi dengan penuh teliti. Dia mesti pastikan keadaan dalam rumah tidak ada sebarang kelainan; pinggan-mangkuk dibiar tak bercuci, tempat tidur tidak berkemas, baju kotor belonggok di hujung katil. Begitu juga buku-bukunya, dokumen-dokumen penting, perca-perca tulisannya di meja komputer. Malah segala-galanya kelihatan seperti biasa. Itu adalah sebahagian penting dalam rancangan bernas dan telitinya.

 

Hanya ada tiga benda yang perlu dibawa bersama; dompetnya yang berisi sedikit wang, paspot antarabangsa dan satu sarung surat besar yang berisi beberapa keping gambar, sebuah sajak sepanjang tiga muka yang pernah ditulisnya semasa Nabiha, anak sulungnya menyanmbut hari jadi ke dua puluh. Selain itu dia mempastikan wang kertas Dolar Amerika bernilai tiga ribu dolar, yang telah ditukarnya lima bulan dahulu, kemas berada di dalam sampul surat besar tersebut.

 

Dia melangkah keluar sambil menahan keinginan untuk menoleh melihat dalam rumah bagi kali terakhir. Dia menghidupkan enjin kereta dan membiarkannya. Menjadi tabiat Pak Su apabila hendak meninggalkan rumah beberapa hari, ini kan pulak selama-lamanya, dia akan memagar rumahnya. Dikutipnya empat ketul batu di tepi pagar dan mengelilingi rumah sambil membaca ayat kursyi dia mencampakkan seketul batu disetiap penjuru kawasan rumahnya. Kemudian dia terus memandu keluar tanpa menoleh kiri kanan.

 

Sesampai di taman rimba Jubli Perak diletakan keretanya ditempat biasa dihujung sebelah kanan taman rimba,dibawah pokok kesinai hutan. Entah mengapa Pak Su rasa tempat itu cukup memberi kedamaian kepadanya dan jika tempat itu diambil orang maka dia akan merasa kurang selesa. Mujurlah pada pagi yang amat bermakna itu seolah-olah tertulis di situ tempat itu miliknya seorang sahaja kerana tempat lain sudah penuh dan hanya lot itu yang masih kosong.

 

Selepas melakukan sedikit aksi keregangan Pak Su memulakan lari-lari anak di sekeliling taman melalui trek dari kanan. Pak Su suka mula dari kanan sungguhpun lebih ramai yang mula dari kiri. Sunat mula dari kanan.

 

Di laluan biasa dia bertembong dengan ramai kenalan pesara sepertinya; Mat Lazim bekas Setausaha Kerajaan yang masih hidup sihat berumur tujuh puluh dua tahun, Dato` Tajuddin yang memang cukup jaga makan, Cik Gu Hamid bekas professor di UUM yang kekal dipanggil Cik Gu. Dia juga berjumpa dengan sekumpulan pejalan cepat terdiri daripada peniaga-peniaga Cina yang tidak pernah jemu bercakap tentang pasaran saham sambil beriadah.

 

Pak Su yakin selepas ini mereka akan bercakap tentang dirinya. Merekalah saksi-saksinya. Semua ini telah diambil kira mengikut rancangannya yang teliti.

 

Sambil berlari-lari anak Pak Su membiarkan otaknya menelusuri langkah-lankah yang akan berlaku seterusnya mengikut rancangan penuh telitinya; Rutin joggingnya mesti empat puluh minit seperi biasa. Selepas membuat beberapa aksi penurunan untuk menurunkan degupan jantung dia akan memandu pulang. Mulai dari situlah dia akan hilang. Dia sedar dua tempat yang tidak akan disinggahinya seperti biasa ia itu kedai surat khabar Ali dan kedai nasi lemak bungkus Nab bujang. Ini sebahagian daripada rancangan telitinya. Mereka akan jadi saksi bahawa dia tidak beli akhbar pada pagi itu dan tak makan nasi lemak bungkus daun pisang Nab bujang saperti yang biasa dilakukan nya.

 

Pak Su pasti selepas berita mengenainya diketahui, Mak Su akan menghubungi kesemua anak-anak mereka kecuali Mimi dan Dot. Hafiz, anak lelaki pertamanya yang tinggal di Kota Bahru tentu yang pertama dihubungi oleh Mak Su. Abang Men, anak lelaki kedua yang tinggal bersama mereka, mungkin akan tahu bersama Mak Su tertakluk kepada bila dan siapa yang akan memberitahu berita sedih itu nanti. Nabiha, anak sulung mereka yang sudahpun berumah-tangga, mungkin diberitahu oleh Mak Su serentak dengan Hafiz.

 

Yang Pak Su paling risau dan sering menghantui beliau ialah Dot dan Mimi, anak-anak mereka yang sedang belajar di UiTM, Shah Alam dan di Padjadjaran, Bandung. Sebenarnanya faktor Mimi dan Dot lah yang mambantut rancangannya beberapa kali.Tetapi kali ini rancangan nya tak akan terbantut lagi. Semuanya teratur rapi. Siap dengan alibi nya sekali. Macam cerita detektif yang terlalu banyak Pak Su tonton di TV.

Sebenarnya Pak Su enggan mengakui bahawa idea rancangannya ini adalah ciplakan dari beberapa cerita yang biasa difilemkan. Dia cuba menyakinkan dirinya bahawa rancangannya ini adalah rancangan yang tulin dan bukan ditiru daripada mana-mana mahu pun mungkin ada sedikit persamaan. Memang Pak Su sedar rancangannya ini ada persamaan dengan filem The Dead Alive,  sebuah filem Hollywood box-office yang terkenal empat lima tahun dahulu. Tetapi matlamat  hero filem itu ialah untuk mendapatkan bayaran pampasan insuran nyawa dengan `mematikan` dirinya  dan lagi hero filem itu berpakat dengan isterinya. Persamaan dengan rancangan Pak Su sekadar jalan cerita di peringkat awal sahaja tetapi akhir kesudahannya sedikit berlainan. Apa pun yang pentingnya bagi Pak Su ialah rancangannya tidak akan tergendala kali ini.

Kini Pak Su bersedia menyambung rancangan rapinya. Dia melakukan sedikit aksi penurunan. Menarik nafas dalam-dalam dan pada kali ketiga dia menghembusnya dengan kuat sambil mengeluarkan suara. Pak Su cukup teliti pasal rutin riadahnya semenjak dia mula bersenamrobik di Institut Tadbiran Awam (INTAN) semasa dia berkursus untuk kenaikan pangkat selama tiga bulan di sana pada tahun 1986. Mula daripada itu rutin riadahnya mesti teratur dengan pergerakan yang saintifik. Malah Pak Su mendapat tahap CERGAS dalam ujian kercergasan jasmani kebangsaan (UKJK) yang dianjurkan oleh jabatannya dua tahun sebelum dia bersara wajib. Kini selepas dua tahun bersara Pak Su masih taksub mengamalkan rutin kecergasan demi menjaga kesihatan fizikalnya.

Dia menuju ke arah keretanya sambil menumbuk angin ke kiri ke kanan dan sesekali menendang angin ke depan dan ke belakang. Kemudian dia memasuki kereta dan menghidupkan enjin keretanya. Sekali sentuh terus hidup. Terasa pula sayang kereta tua nya yang semua anak-anaknya tahu dia memanggilnya The Old Faithful. Jolokan yang kadang-kadang secara gurauan dia menyamakan dengan Mak Su. Apa nak buat sungguh pun dia cukup sayang dengan kereta tuanya namun kereta itulah yang akan menjadi korban sebagai bukti kehilangannya.

Setelah memandu keluar dari kawasan Taman Jubli Perak, Pak Su belok ke kanan. Bukan ke kiri saperti kebiasaannya.. Dia terus memandu selama lebih kurang lima belas minit dengan tenang hati sambil menyanyi mengikuti lagu-lagu oldies kegemaran nya yang dimainkan oleh stesyen radio kegemaranya Light and Easy. Dia menyanyi dengan kuat supaya dapat menghambat keinginannya untuk memikirkan tentang rancangannnya. Dia mahu terus menyempurnakan rancangannya tanpa sebarang keraguan seolah-olah apa yang sedang dilakukannya sekarang adalah perkara biasa. Sekurang-kurangnya satu fasa lagi dalam hidupnya yang tak perlu digembargemburkan  Sesungguhnya memang Pak Su rasa seperti biasa kerana laluan yang sedang dilaluinya sekarang sudah tujuh kali dilaluinya semasa dia mencuba dan berlatih agar rancangan telitinya berjalan lancar apabila sampai masa pelaksanaan rancangan sebenar. Dan kini ini lah pelaksanaan sebenar.

Selepas kira-kira tiga puluh lima minit memandu dan jarak lebih kurang enam belas kilometer dari sempadan Thailand, dia membelok masuk kejalan batas ban tali air yang sempit dan tidak bertar. Dia terus memandu kira-kira satu setengah kilometer jauh dari simpang jalan besar tadi kemudian baru diberhentikan keretanya. Pak Su tahu mengikut penelitiannya selama tujuh kali ke tempat itu tidak ada seorang manusia pun yang pernah bertembong dengan nya. Apatah lagi sekarang bukan musim padi maka bendang luas di sekelilingnya kelihatan sepi. Rumah yang paling dekat kira kira satu kilometer dari situ dan biasanya penduduk disitu menggunakan  laluan lain bertar yang agak jauh dari situ.. Ini semua telah diteliti oleh Pak Su dan mustahil ada orang yang dapat melihat gelagatnya pada masa itu.

Selepas mempastikan kereta nya betul-betul menghala dan sedikit menjunam ke arah susur sungai tali air yang dalam, dia pun keluar dari kereta nya sambil membawa sampul surat besar. Dengan berhati hati dia melepaskan brek tangan dan membiarkan kereta menjunam masuk ke dalam sungai tali air. Pak Su memerhatikan The Old Faithful nya tenggelam secara mendadak dalam beberapa saat sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan kecuali gelodak membuih beberapa ketika dan terus hilang lenyap.

“Assalamualaikum, bye bye!” Pak Su mengucapkan salam dan selamat tinggal kepada keretanya, seolah-olah keretanya itu seorang manusia. Sesungguhnya bagi Pak Su keretanya itu  lebih dari seorang manusia. Lebih dari seorang rakan. Keretanya telah memegang rahsianya dengan cukup setia tanpa membocorkan kepada satu nyawa pun.

 

Kemudian Pak Su terus berjalan menuju kejalan besar. Kini fasa yang agak kritikal dalam rancangan telitinya sedang dilaluinya. Terasa satu macam kepuasan dalam benak Pak Su sungguhpun masih jauh perjalanannya dan baru tiga perempat rancangan telitinya telah selesai selamat dilaluinya. Sungguhpun terasa sedikit menggigil urat saraf nya namun kejayaan pelaksanaan rancangan teliti  setakat ini mendorong nya untuk terus melaksanakan dengan lancar satu perempat lagi baki rancangan teliti nya.

Kini yang memisahkan kejayaan dan kegagalan rancangannya hanyalah beberapa jam; beberapa tindakan yang tidak lagi dikira sebagai  kritikal; sedikit kecekalan hati dan sedikit ketabahan diri. Selepas semua itu Pak Su hanya perlu mengembara terbang kedunia luas dengan identiti baru. Identiti seorang manusia yang bebas tanpa cengkaman hutang bernilai hampir setengah juta ringgit. Bukan lagi manusia Hamidon yang bankrap. Hamidon yang sudah tidak laku walau sesen selepas dia bersara sebagai seorang Ketua Jabatan. Hamidon itu sudah mati. Mati bersama  keretanya yang tenggelam di  sungai tali air tidak jauh dari sempadan Thailand. 

Sambil berjalan dengan langkah luas dan laju, dia menoleh ke kiri dan ke kanan untuk menyakinkan dirinya tiada orang yang melihatnya. Sampai di simpang jalan besar dia berjalan kira-kira setengah kilometer ke arah utara sambil memerhati untuk melambai teksi yang jarang-jarang sekali lalu di waktu itu. Setelah hampir setengah jam baru sebuah teksi berhenti dan lantas Pak Su memberitahu pemandu yang ia hendak ke Bukit Kayu Hitam. Setelah melepasi pos Immigresen dia pun terus menuju ke arah terminal teksi Thailand. “ Pai Sadao”, kata nya kepada sekumpulan pemandu teksi Thailand. Mujurlah dia tahu sedikit-sedikit bahasa Thai yang memang diperlukan kelak. Setelah berunding tentang harga dia menghulur dua puluh lima Baht dan menaiki teksi. Pemandu memberitahu nya supaya tunggu sehingga cukup empat orang sebelum bertolak.

 

Tiba tiba  berdesing suara siren berdekatan dengan nya. Rupa-rupa nya telefon bimbit dalam saku Pak Su yang berbunyi. Banyak lagi deringan yang ada tetapi entah mengapa Pak Su memilih deringan siren untuk telefon bimbitnya.`Allahu Akbar, mengapa aku tak campak telefon tadi ?` Pak Su tergamam.

 Namun dengan cepat dia mengambilnya dan melihat paparan di muka telefon. `Masya Allah! Dot rupanya,` Dia dalam dilema. Samada menjawab atau menutup telefonnya. Pak Su tahu Dot, anak ke empatnya yang sedang mengikuti program ijazah sarjana di UiTM akan telefon bila amat mustahak dan apatah lagi hari ini bukan hujung minggu. Pak Su tak sempat memikir panjang dan terus menjawab, ` Ya Dot, bapak ni.” 

“ Assalamualaikum Bapak, Dot dah dapat surat, konvo pada 26 haribulan, Bapak jangan lupa tau. Masuk dalam diary bapak. Semua mesti datang tau.”

“ Ok lah Dot, bapak dan mak akan datang.”

"Ok luv U Bapak, bai.."

Pak Su terpinga pinga.Apa kah yang telah dia lakukan ? Bukan kah rancangan telitinya telah hampir sempurna ? Bukankah dalam senarai semak rancangan amat telitinya telefon bimbit mesti ditinggal didalam bilik tidur seperti biasa ? Sambil dia kelamkabut memikirkan keadaan itu tiba-tiba deringan halus khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefonnya pulak berbunyi.

Dia menekan punat ambilan pesanan dan membaca paparan dimuka telefon; ` Akum Pak. Mimi akan sampai KLIA lusa MH 640 Tlg ambik Mimi dgn kereta sebab barang banyak. Luv U. MIMI`  

 

TAMAT