
Editor sasteraSMS
Amir Mukhriz
ARKIB
EDITORIAL |
sastera SMS
Editorial 19 Ahad
10 April 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
KESERONOKAN SEORANG PENULIS
Seronokkah
menjadi penulis? Bergelumang dengan buku yang memenuhi bilik
tetapi tidak semua habis dibaca, termenung menunggu ilham jatuh
ke riba, meracau seorang diri bait-bait puisi yang begitu sukar
untuk dilahirkan, dan akhirnya menunggu berbulan-bulan untuk
melihat karya (yang sukar untuk dilahirkan tadi) terbit di dada
akhbar atau majalah.
Ironi kepada gambaran di atas, menjadi penulis boleh
sahaja diterjemah kepada satu kehidupan yang amat menyeronokkan
dan begitu unik sehingga tidak mampu dikecap semua individu.
Mengapa seronok? Ketepikan soal wang ringgit atau penerbitan
karya di media cetak, seorang penulis itu akan merasa puas
apabila mampu untuk membebaskan apa yang terbuku di hatinya
dengan hanya berkarya. Masalah diri, ketidakpuasan hati terhadap
sesuatu perkara, atau kekurangan peribadi untuk bersuara secara
lisan dalam menyatakan pendapat, boleh sahaja diterjemah kepada
teks. Nah, bukankah itu sesuatu yang seronok?
Difokuskan kepada masalah di dalam diri, rata-rata pakar
motivasi bersetuju, sesuatu masalah itu bukan untuk dipendam,
bukan untuk dijeruk hingga sampai ke satu tahap masalah itu enak
untuk diratah, itu bukan layanan sepatutnya kepada masalah.
Tetapi masalah adalah untuk diluahkan, dan sastera menyediakan
medan yang sangat luas bagi tujuan tersebut.
Lebih
menarik lagi, penulis bukan sahaja terbatas kepada meluahkan
masalah peribadinya sendiri, malah lebih jauh daripada itu,
menolong menyalin masalah yang ditanggung manusia lain ke dalam
karya-karyanya. Anda akan merasa puas apabila membaca kehidupan
golongan marhaen di dalam cerpen-cerpen di akhbar hujung minggu,
dan anda akan berkata, “inilah yang aku mahukan, cerita yang
ikhlas menggambarkan perit dan jerih masyarakat kita,”. Jika
bukan anda sekalipun, sekurang-kurangnya yang akan berkata
demikian adalah mereka yang sudah muak menonton dialog berkisar
projek-projek jutaan ringgit di dalam slot Samarinda (saya
seronok menulis ayat ini).
Ada
dikalangan rakan penulis yang hilang keseronokannya di dunia
sastera kerana terikat dengan tuntutan untuk menghasilkan karya
yang baik. Baik dari segi apa? Mutu? Penilaian mutu itu sendiri
pun bersifat subjektif. Atau baik kerana menyembunyikan
kebenaran dan menonjolkan kebatilan? Jika inilah tuntutan yang
dimaksudkan, maka selama-lamanyalah keseronokan sebenar
seorang penulis itu tidak dapat dinikmati.
Jumpa lagi minggu
hadapan, insya-Allah.
- Amir Mukhriz-
|