sastera SMS    Editorial 19    Ahad 03 April 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

ISU PPSMI : MENCARI RESOLUSI MENANG-MENANG

Seperti ketika mula-mula dicetuskan ideanya, ketika dilaksanakan dan hinggalah sekarang, program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih mengundang pertikaian daripada pelbagai pihak. Ketika satu pihak hadir dengan agenda membawa rakyat Malaysia maju beberapa langkah ke hadapan, hadir pihak kedua dengan agenda yang sama pentingnya, memperjuangkan jati diri Bahasa Melayu yang tidak dinafikan kelihatan mulai parah dinodai kegelojohan bangsa sendiri.

Maka persoalan signifikansi perkara yang diperjuangkan menjadi relevan dalam menyuraikan kekusutan yang timbul. Umum mengetahui dasar kerajaan mengarahkan mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat sekolah di ajar dalam bahasa Inggeris adalah untuk memperlengkapkan generasi muda dengan kemahiran bertutur dalam bahasa yang rata-rata sumber-sumber ilmu kontemporari ditulis atau disampaikan dengan bahasa tersebut.

Meninjau pula kegusaran melihat perlaksanaan dasar ini bakal mengancam kedaulatan bahasa dan jati diri bangsa Melayu, kita dapat lihat akan kepekaan pihak terbabit akan masa depan bahasa ibunda yang seakan terjarah di bumi sendiri. Di sini, tindakan awal mempertahankan bahasa Melayu berdasarkan indikator-indikator yang ada sememangnya amat perlu. Maka ketelusan dalam meneliti indikator dan memilih yang mana satu harus diketengahkan dan dilantangkan sangat signifikan.

Mungkin boleh dipertimbangkan resolusi yang memuaskan hati kedua-dua pihak yang terlibat. Dalam erti kata lain, PPSMI diteruskan, dengan syarat perlaksaannya perlulah lebih teliti dan tidak hanya mengorbankan lebih ramai tikus putih seperti dakwaan setengah juta pelajar Melayu akan keciciran dalam subjek Sains dan Matematik kerana dasar ini. Dalam masa yang sama, kerajaan perlulah lebih tegas dalam mengekalkan kedaulatan Bahasa Melayu daripada terus menanggung aib.

Beberapa kurun yang lampau, ketika Tanah Melayu di era kegemilangannya, bangsa asing termasuk dari Eropah tidak segan silu untuk belajar bahasa ibunda kita demi kepentingan perdagangan dan perluasan jajahan. Mereka berjaya hingga ke tahap menenggelamkan nama Tanah Melayu itu sendiri. Melihat realiti semasa, dan pengajaran dari sejarah, mungkin sudah tiba masanya kita pula belajar bahasa mereka, supaya kita tidak turut tenggelam.   

Amir Mukhriz
 

sastera SMS    Editorial 18    Ahad 27 Mac 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------


MENULIS SEPANJANG HAYAT

Oleh Penulis Jemputan:
IDA MUNIRA ABU BAKAR

Menulis sepanjang hayat tidak semudah kata-kata yang memakan masa beberapa saat saja. Menulis membawa hidup kepada kehidupan. Penulis, penyair, novelis dan dramatis semuanya sebelum menjadi ranting kepada pohon, akarnya tetap susunan huruf yang tak pernah luput dimakan peristiwa. Setiap apa yang kita alami  dan perhati setiap hari jika tidak menulisnya  kita kehilangan bukti kita pernah menikmati saat tersebut  biarpun sukar menemuinya berlangsung
sepanjang hayat.

Bukan mudah seseorang yang bergelumang dengan huruf-huruf sanggup menulis untuk sepanjang hayatnya. Tidak mustahil juga penulis akan berhenti menulis. Namun bertambahlah mustahil jika seorang yang pernah mengakui menulis itu dunianya  bertekad untuk berhenti menulis. Sasterawan Negara A. Samad Said sendiri  pernah mencipta sejarah dengan mogok seninya dan sebagai penulis pertama  berani mengisytiharkan dirinya bersara daripada dunia penulisan.  Tetapi beliau tetap kembali menulis akhirnya. Ini adalah kerana menulis itu sudah jadi darah daging yang tidak dapat dipisahkan dari jiwa raga kita. Bukan kerana terpaksa, tetapi kerana itulah diri kita yang gagal kita bohongi. Derrida, seorang ahli falsafah  dan kritikan sastera  yang di akhir hayatnya menemui kematian sendiri  untuk berhenti menulis, tetapi karyanya tetap dikenang malah dipetik tidak kurang daripada 14 ribu kali.

Menulis adalah sebuah pengembaraan  bukannya  semata-mata untuk kemasyuran atau demi memenangi banyak hadiah sebagai destinasi. Apapun, biarlah yang ditulis itu tidak memudaratkan orang lain sebagai penulis yang
bertanggungjawab yang memgang amanah Illahi.Benar, mata pena jauh lebih tajam  dari mata pedang. Tetapi kadang-kadang mata penalah menjadi pengejam paling dasyat kepada yang tidak sepatutnya.

Jesteru, jika  jiwa masih walafiat, paling tidak pun hati masih berkecenderungan, marilah bersama kita menulis sepanjang hayat. Biar mungkin kita pernah meninggalkannya, namun usahlah  pernah memasak nesan ke atasnya kerana pada suatu detik tanpa kita sedar, menulis itu bukan kertas atau dakwat tetapi kita sendiri.


 

 

sastera SMS    Editorial 17    Ahad 20 Mac 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MENULIS UNTUK SUARA YANG TERTINDAS

20 Mac 2005, genap tempoh 2 tahun pencerobohan haram pasukan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas bumi Iraq.  Menyusur kembali kronologi kebiadaban terang-terangan itu, pada 20 Mac 2003, Presiden George W. Bush telah menyerang bumi dan rakyat Iraq setelah tempoh 48 jam yang diberikannya untuk Saddam Hussein serta dua anak lelakinya, Uday dan Qusay keluar dari negara tersebut tidak diendah. 3 minggu berhempas pulas mempertahankan kedaulatan tanah air, hukum alam ternyata tidak memihak kepada yang lemah, dengan anggaran 250 000 tentera AS,  45 000 dari Britain, 2000 dari Australia, 900 dari Sepanyol dan 200 dari Poland, lautan soldadu dengan kelengkapan senjata yang canggih bukanlah saingan rakyat Iraq. Dan seterusnya adalah sejarah, yang makin bertambah faktanya dari hari ke hari, fakta bilangan kematian semestinya.

Justeru, kesengsaraan, penderitaan, penganiayaan yang dialami rakyat Iraq adalah sesuatu yang tidak pernah dipencilkan kelompok penulis. Jiwa-jiwa derita rakyat Iraq yang selama ini hanya meronta di dalam sangkar perasaan, telah dibiarkan mengamuk di dalam novel dan cerpen yang lahir dan terus lahir hasil garapan penulis yang peka dan terpanggil untuk menyebarkan mesej kemanusiaan kepada masyarakat. Sungguh, tidak pernah terbaca oleh Bush  akan Mawas Raksasa Dan Si Pemakai Topeng hasilan satira Faisal Tehrani, dan tidak pernah terlihat askar-askar Uncle Sam itu akan cerpen Ghafirah Idris, Syahadah Bersatu Di Najaf,  tetapi karya-karya ini adalah antara contoh karya yang telah mengetuk pintu hati pembaca tempatan, dan seterusnya menambahkan sensitiviti mereka kepada hal yang berlaku di sekeliling. Ji! ka ini berlaku, maka penulis itu telah berjaya pada cakupan perjuangannya sebagai penyampai kepada pembaca.

Michael Moore, Fahrenheit 9/11nya tidak berjaya menjatuhkan Bush pada pilihanraya presiden yang lalu. Tetapi filem dokumentarinya itu telah berjaya membuka seluas-luasnya mata khalayak dunia dan rakyat Amerika sendiri tentang sisi buruk presiden kesayangan mereka. Beliau tidak berhenti setakat itu, dan kini sedang menekuni sekuel kepada filem tersebut, iaitu Fahrenheit 9/11½. Karyawan dan sasterawan yang sensitif kepada persekitaran dan mempunyai maklumat yang tepu, akan memberontak hatinya untuk menyalurkan pula maklumat tersebut untuk dikongsi bersama. Dan amalan ini, akan menguntungkan banyak pihak, sekurang-kurangnya, mewakili suara yang tertindas.

 Jumpa lagi minggu hadapan, insya-Allah.

-Amir Mukhriz-

 

sastera SMS    Editorial 16    Ahad 13 Mac 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

SASTERA DI IPTA DAN IPTS: SATU GAGASAN

Beberapa hari lepas, ketika saya asyik bersantai dengan rutin harian, melayari jaringan siber, seorang rakan penulis membuat panggilan dari Kuala Lumpur. Rakan tersebut meminta saya memberi pendapat relevankah sastera Melayu diwajibkan di seluruh IPTA dan IPTS di negara kita. Saya tidak dapat memberi jawapan spontan ketika itu, dan selepas panggilan dimatikan, otak saya pun ligat bekerja, relevankah? Apakah signifikannya? Bagaimanakah perlaksanaan yang praktikal?

Mengimbau kembali bermula tahun 2002 yang lepas, semua pelajar peringkat menengah wajib mengikuti Komponen Kesusasteraan Melayu dalam Subjek Bahasa Melayu di sekolah mereka, dan Kementerian Pendidikan juga telah mengemukakan soalan yang berkaitan dengan komponen kesusasteraan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2002 dan sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2001. Hasil inisiatif ini, sastera dapat mendekati lebih 350,000 pelajar berbanding dengan hanya 90,000 melalui mata pelajaran elektif Kesusasteraan Melayu yang ditawarkan di tingkatan 4 dan 5.

Sastera telah berjaya diterapkan pada peringkat sekolah menengah, sama ada pelajar menghayatinya atau tidak, itu satu masalah yang berbeza dan subjektif sifatnya. Memang ada yang mengakui, belajar komponen sastera semata-mata untuk mendapat keputusan cemerlang dalam kertas Bahasa Melayu, tetapi tidak kurang yang benar-benar menghargai sisipan ini, termasuk pelajar dari aliran sains tulen. Maka tidaklah mereka semata-mata menghafal, tetapi pergi lebih jauh, menyelami sastera.

Usaha untuk membawa sastera Melayu ke seluruh IPTA dan IPTS juga satu langkah yang baik. Melihat kepada beberapa faktor, seperti betapa jauhnya golongan muda dengan keindahan bahasa ibunda mereka, sesuatu perlu dilakukan. Tiada sensitivi yang dizahirkan kebanyakan muda mudi Melayu apabila lagu Tipah Tertipu berkumandang di corong radio dan televisyen. Tidak terlintas kebanyakan muda mudi Melayu untuk membaca dan menceduk khazanah-khazanah berharga di dalam karya sastera klasik mahupun sastera kontemporari. Prof. Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, bekas  Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah berkata, “Semua genre sastera yang bermutu tinggi mempunyai nilai seperti kehalusan budi, menyemai sifat pengasih, saling menghormati dan merangsangkan pemikiran kreatif. Nilai ini jik! a dipupuk dalam diri individu akan menghasilkan manusia yang dapat membendung sifat kehaiwanan dalam dirinya untuk menjadi seorang yang berbudi pekerti tinggi, lemah-lembut dan bertimbang rasa. Cerita yang disampaikan dalam genre sastera juga mempunyai mesej yang menginsafkan khalayaknya seperti mesej penderitaan yang mengundang simpati,"

Tidak cukup ruangan ini untuk menyenaraikan signifkan sastera Melayu diperkenalkan pada peringkat pengajian tinggi sebagai kursus yang wajib diambil seperti kursus Tamadun Islam Dan Asia (TITAS) dan Kenegaraan Malaysia. Cuma saya kuat pada menyatakan, menjadikan sastera Melayu sebagai kursus wajib mungkin salah satu daripada alternatif yang boleh dipertimbangkan. Alternatif lain adalah seperti menyelitkan komponen sastera di dalam mata pelajaran Kenegaraan Malaysia di samping semua IPTA dan mungkin IPTS menawarkan kursus sastera Melayu sebagai salah satu kursus elektif. Kepada rakan yang mencetuskan gagasan tersebut, teruskanlah pacuan anda untuk memartabatkan sastera Melayu di IPTA dan IPTS, dan saya bersetuju, manfaat yang dinatijahkan dari usaha tersebut akan kembali kepada masyarakat, dalam erti kata lain, akan melahirkan golongan muda yang lebih tahu dan menghargai nilai-nilai murni.

Jumpa lagi minggu hadapan, Insya-Allah.

 

Amir Mukhriz

sastera SMS    Editorial 15    Ahad 6 Mac 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Masyarakat Kurang Membaca, Salah Siapa? 

Mari kita sama-sama tinjau kedai-kedai buku yang berhampiran, berdiri di satu sudut dan perhatikan gelagat anak remaja yang membelek siri-siri novel popular, dan seterusnya membeli novel tersebut untuk dijadikan bahan bacaan mengisi masa lapang. Maka di mana masalahnya?

Saban hari kita merungut dengan kecenderungan pembaca terhadap karya-karya ringan yang bertemakan cinta dan mainan perasaan. Selain itu, nahu dan kosa kata di dalam karya yang dikatakan picisan itu dijadikan modal tambahan untuk menyatakan bahawa pembaca telah tersalah memilih bahan bacaan lantaran membuang masa dan wang begitu sahaja.

Keuntungan berganda-ganda penulis novel popular dijaja dengan nada yang sinis. Untuk apa? Menagih simpati tidak mendapat pulangan sepatutnya sebagai penggiat sastera serius? Maka diri sendiri tertanya-tanya, apa punca segala ini? Di mana salahnya?

Realitinya, pembaca memilih bahan bacaan yang sesuai dengan citarasa mereka. Jika di restoran, kita tidak boleh memaksa pelanggan membeli dan menelan nasi lemak jika mereka datang untuk sekadar minum teh tarik. Itu hak mereka. Analogi ini diterjemah ke dunia sastera, kita tidak boleh memaksa pembaca muda meladeni karya-karya berat yang disaratkan dengan teori-teori sastera yang pelbagai itu. Kita perlu akui, apabila menulis karya semacam itu, pembacanya hanya sekelompok kecil, walaupun disiar di dalam Mingguan Malaysia atau Berita Minggu sekalipun!

Pakar motivasi serta pengarah sebuah syarikat penerbitan, Puan Ainon Mohd, pernah menyatakan terdapat kelompongan pada bahan bacaan untuk remaja lelaki yang sedang melangkah ke alam dewasa. Kurang kedapatan karya yang memenuhi selera mereka. Benar, tidak semua remaja lelaki yang menghadapi masalah seperti itu, ada segelintir yang terkecuali, seperti dinyatakan Nizam Zakaria, seorang penulis novel pada talian (online) yang sangat prolifik, anak-anak muda sekarang sudah mampu ke MPH dan Kinokuniya membeli karya-karya dunia garapan Alan Hollinghurts, Yann Martin dan lain-lain. Tetapi kelompok elit ini hanyalah kecil, dan luahan Puan Ainon itu perlu dipandang serius.

Justeru, masalah rakyat Malaysia yang kurang membaca, perlu diakui kekurangan bahan bacaan yang sesuai itu sebagai salah satu faktornya. Usahlah mengharapkan karya-karya yang cantik mulus daripada kacamata sastera, sebagai penyelesaian kepada permasalahan ini. Itulah realiti yang perlu diterima. Karya seperti itu, tidak dinafikan menyumbang kepada khazanah sastera Melayu, tetapi yang pasti, tidak mampu menyelamatkan kuantiti pembaca karya Bahasa Melayu yang semakin tenat.

Sekurang-kurangnya, pembaca novel-novel popular, mereka masih membaca. Sama-samalah kita renung-renungkan.

Jumpa lagi minggu hadapan, Insya-Allah.

 

Amir Mukhriz.

 

sastera SMS    Editorial 14    Ahad 27 Februari 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

ILHAM YANG HADIR: DIMANFAAT ATAU DIPERSIA?

Melihat ragam penulis, terutama ketika mencatat sesuatu maklumat atau ilham yang bermain di cepu fikir, selayaknyalah penulis dikatakan pelik dan sentiasa sukar dijangka. Masakan tidak, dengan hanya secebis tiket bas atau tiket komuter, bukanlah asing jika penulis memilih untuk memanfaatkan sebaik mungkin medium tersebut.

     Ilham yang singgah, atau maklumat yang tiba-tiba bergolek ke sisi, lazimnya tidak akan dipersiakan begitu saja. Justeru, apabila tiada tempat lain untuk 'ditambat', ketika itulah cebisan tiket, tisu restoran, resit belian malah ruangan sms telefon bimbit akan dipilih sebagai 'tali pengikat'. Selain itu, alat bantuan digital peribadi (PDA) juga salah satu alternatif yang kian popular.

     Kehadiran ilham memang ada kalanya tiba ketika saat-saat tidak dijangka. Ada penulis terilhamkan sesuatu apabila menempuh sesuatu peristiwa. Dengan sifat insan yang mudah lupa, maka mencatat ilham tersebut adalah amalan terbaik untuk mengelakkannya hilang begitu sahaja. Selain itu, sebagai penulis, pengumpulan maklumat adalah penting sama ada maklumat tersebut akan digunakan dalam karya di dalam pembikinan, atau mungkin sahaja maklumat tersebut akan menjadi aset terpenting pada karya-karya yang akan datang.

     Mempersiakan ilham walupun sedikit bukanlah sesuatu yang wajar. Ini kerana kita tidak tahu, barangkali ilham yang terdiri daripada beberapa patah kata itulah, yang bakal melahirkan sebuah karya agung bagi penulis tersebut.

     Majalah SasteraSMS masih menunggu penghantar karya yang ke-100 untuk dihadiahkan top-up bernilai RM30. Pastikan anda orangnya!

Jumpa lagi minggu hadapan. Insya-Allah.
 

 

sastera SMS    Editorial 13    Ahad 20 Februari 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

ELAKKAN SMS JENAKA MELAMPAU


Oleh Penulis Tamu: Nimoiz T.Y

TANGGAL 26 Disember 2004, dunia dikejutkan dengan kejadian ombak besar Tsunami yang melanda tanpa amaran awal. Selang seminggu selepas Malaysia juga turut menerima impak yang sama, saya menerima satu SMS dari seorang teman. Cebis-cebis SMSnya lebih kurang begini:”...Nik, tolong tengok TV3 SEKARANG. Ada berita terkini tentang Tsunami. Kali ini di Pulau Pinang. Jambatan Pulau Pinang RUNTUH. 255 orang belum ditemui, 132 kenderaan tenggelam, 31 mati dan 1 orang kena tipu. Hahaha...”

Pada mulanya, saya agak terkejut. Ingatkan Tsunami betul-betul mengamuk sekali lagi. Kali ini lebih terukkah? Sampai jambatan Pulau Pinang yang berdiri kukuh, yang menjadi kebanggaan Malaysia runtuh? Huh! Dan apabila membaca keseluruhan SMS ini, saya ketawa ha ha ha. Betapa saya sedar itu hanya gurauan. Sekadar mainan. Sekadar SMS jenaka dan santai untuk mengisi masa petang. SMS sebegini, jika ditujukan kepada orang tertentu - Teman siber, teman sepejabat, teman serumah, teman sekuliah, teman sekolah, teman lama atau siapa-siapa sahaja, mungkin boleh merapatkan lagi keakaraban. Tidak salah kita bergurau. 

Tetapi (ada tetapinya), bagaimana pula dengan SMS jenaka yang agak melampau dan keterlaluan? Dulu, saya pernah terbaca SMS dalam inbox seorang teman, yang “diforwardkan” juga dari seorang temannya, dan mungkin temannya itu mendapat forward dari teman yang lain. Saya tidak berapa ingat sangat SMS ini. Yang saya ingat, SMSnya berbunyi lebih kurang begini:”...Tut tut tuuuuuuut. Pukul 12.00 malam. Sekarang masuklah waktu bersetubuh bagi seluruh kawasan Batang Berjuntai, Batu Berendam, Lembah Pantai, Paya Dalam dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya...”. Cukup melampau. Nama-nama tempat ini memberikan konotasi makna yang mendalam. Dan akan memberikan tafsiran menyimpang.

Kenapa mengaitkan seks dengan waktu sembahyang? Soalnya, adakah SMS sebegini dibolehkan hatta niat kita hanya untuk main-main? Jangan main-main, SMS sebegini adalah haram. Kerana melibatkan soal agama. Soal agama melibatkan hubungan kita dengan Tuhan.

Memang, ada yang beranggapan bahawa SMS sebegini bukannya ada apa-apa. Sekadar SMS jenaka untuk teman-teman rapat. Untuk satu SMS, kita mungkin hanya hilang kredit sebanyak RM0.01 atau RM0.02 atau RM0.05 atau RM0.07 atau RM0.10 atau RM0.15. Paling tinggi pun cuma RM0.20 sahaja. Apalah sangat nilai 1 sen dalam dunia sekarang, walaupun ada yang menyatakan bahawa kurang 1 sen tidak menjadi 1 juta. Cukup! Ini bukan soalnya. Soalnya sekarang, sanggupkan kita menambahkan Pelaburan Saham Dosa (PSD) untuk hari esok, hatta dengan 1 sen? Percayalah, nilai 1 sen ini akan menjadi dividen yang semakin bertambah jika SMS tadi "direplykan" pula kepada semakin banyak orang. Mungkin kita tidak menyedarinya. Mungkin kita tidak berasa apa-apa. Awas! Kita mesti ambil tahu.

Jangan leka untuk bergurau. Jangan tambah dosa. Elakkan SMS jenaka melampau. Terutama yang bersangkutan soal seks dan agama. Jangan main-main.

Salam penuh tulus. Sekian.

 

 

sastera SMS    Editorial 12    Ahad 13 Februari 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

TAHUN BARU, JIHAD & SASTERA SMS

Oleh Penulis Tamu: Mohd. Dahri Zakaria

Dua hari lepas kita selamat menyambut tahun baru hijrah ke 1426.  Dua hari lepas jugalah kita telah selangkah ke  depan dibawa oleh arus masa tanpa toleh. Sebagai umat terpilih, sudah tentu betapa kita merasai besarnya pengertian di sebalik kata ‘hijrah’ itu sendiri.

Tragedi yang menimpa penduduk Acheh dan beberapa tempat pilihan Tuhan yang  lain sangat menyentuh nurani. Tidak Tuhan lakukan sesuatu perkara itu tanpa hikmah. Maka tugas kitalah sebagai yang ‘masih terselamat’ ini untuk menyelongkar hikmah di sebalik semua itu.

Harus diakui bahawa sehingga kini kita masih jauh tertinggal dalam banyak perkara. Maka untuk tahun baru ini, sangat elok untuk kita ikut sama berhijrah dalam banyak perkara. Kita masih miskin dalam banyak perkara. Miskin harta. Miskin ekonomi. Miskin semangat. Miskin politik. Miskin minda. Miskin jiwa. Miskin umat. Miskin nilai kemanusiaan. Dan segala macam kemiskinan lagi. Semuanya miskin, jauh tertinggal daripada orang lain.

Maka sudah sampai masanya, untuk tahun baru yang telah bergerak selangkah ke depan ini, untuk turut sama kita seiring dengannya. Sudah sampai masanya untuk kita berjihad memperteguhkan umat supaya muncul sebagai antara yang terkuat dalam segala segi. Jika tidak, sudah tentu kita akan menjadi mangsa penindasan  musuh di mana saja tanpa peduli.

Sastera SMS? Kita berperang dengan senjata masing-masing. Orang ekonomi berperang dengan senjata ekonomi. Orang politik berjuang dengan bahasa politik. Orang akademik bersilat dengan bahasa akademik. Orang sastera berjihad dengan bahasa sastera. Dan sasteraSMS sudah tentu salah satu daripada senjata orang sastera.

Dunia berubah. Kehidupan semakin kompleks. Jika kita tidak mahu terus tertinggal di belakang, mulakan dengan apa yang ada hari ini untuk membina sesuatu yang lebih mahal nanti.

Salam Hijrah.

 

sastera SMS    Editorial 11    Ahad 6 Februari 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

Bernilaikah Seni Dan Sastera di Mata Kita?

Melihat pemuda ditemani sebuah gitar, menyanyi menghibur demi seringgit dua, bukanlah perkara asing di beberapa tempat di kota raya Kuala Lumpur, sama tidak asingnya dengan melihat si buta yang menjual tisu dan sikat, juga untuk seringgit, dua ringgit atau lebih, atau penyimpulan yang lebih kejap, demi sesuap nasi, untuk diri sendiri dan untuk keluarga yang disara.

Tetapi apabila membaca kisah adanya penyair jalanan yang menjaja puisi di celah-celah manusia pelbagai etnik di Pasar Seni, sedikit mengujakan. Menurut pengkisahan lagi, dengan bayaran RM10, si penyair jalanan akan mendeklamasikan puisinya. Menarik bukan? Perkhidmatan tak akan ada, tanpa permintaan, barangan tidak akan dijual, tanpa ada pembeli. Perkaitan mudah, penyair jalanan tersebut masih setia dengan kerja uniknya, kerana masih ada insan yang masih mahu membeli dan seterusnya mendengar alunan puisinya. Selagi ada yang menghargai seni dan puisi khususnya, selagi itulah koceknya tidak akan lompong dari ringgit yang nilaiannya terkadang hampir sama dengan sebuah kehidupan.

Begitulah, lelaki ini bijak mencatur hidupnya, menongkah arus berbekal bakat menulis dan seterusnya mendeklamasikan puisi, dan keyakinan bahawa akan ada insan yang mampu melepas wang RM10 dengan pulangan yang pada pandangan sesetengah mata, tidak ada nilainya. Mata yang tidak menghargai seni.

Seni dan sastera, tidak ternafi, memiliki nilai yang tinggi begantung kepada mata yang menghakimi. Mereka yang memandang karya sastera dengan kaca mata komersil, akan menjulang karya yang menjanjikan pulangan wang ringgit dengan segera dan menimbun jumlahnya. Karya yang memperaga nilai estetika dengan berkesan, menyogok mesej murni dengan penuh berseni, memartabat bahasa ke takah yang sepatutnya, tidak lagi terjamin kedudukannya di mata khalayak, atau lebih tepat, masih belum terjamin akan dilayan sama adil oleh penerbit, pengedar dan penjual buku.

Maka tidak hairanlah apabila kita mendengar karya-karya hebat penulis tempatan sukar benar untuk dipasarkan, dan jikapun sudah berpindah tangan dari pengedar kepada penjual, buku yang memenangi hadiah sastera peringkat nasional sekalipun, hanya boleh didapati di atas tingkat dua kedai, di dalam sebuah bilik yang agak terpencil. Ini realiti!

Terlempar satu persoalan, untuk apa menghargai seni? Untuk apa menghargai sastera? Untuk apa menghargai usaha seorang penyair jalanan yang mencari wang ringgit bertujuan menghilang lapar dan dahaga? Tinggallah kita sebagai khalayak sastera untuk menyediakan jawapannya. Tidaklah menjadi hal kita ini penulis atau sekadar pembaca karya sastera, kerana cakupan khalayak di sini merangkumi kedua-duanya. Dua kelompok yang seharusnya mempunyai jawapan untuk soalan-soalan di atas.

Jumpa lagi minggu hadapan, insya-Allah.

Amir Mukhriz
 

 

sastera SMS    Editorial 10    Ahad 30 Januari 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------


PENULIS JANGAN SAMPAI FAKIR DIKSI

Seorang kenalan merungut, banyak membaca tetapi tidak dapat menambah perbendaharaan kata-kata bombastik. Untuk apa bombastik? Kenalan itu bukanlah seorang penulis, bukan juga penyair, cuma dia mengagumi sajak-sajak indah yang dibacanya lantas membuat kesimpulan, sajak yang hebat perlu kepada perkataan yang bombastik. Sajak yang indah tidak perlu disaratkan dengan kata-kata bombastik, tetapi perlu pada kata-kata yang hebat, disusun dengan susunan yang hebat.

Kembali kepada rungutan tersebut, membaca sahaja semestinya tidak menjamin penambahan kosa kata. Apa yang perlu dititikberatkan ialah pemilihan bahan bacaan itu sendiri. Karya sastera serius dan artikel ilmiah adalah contoh bahan bacaan yang menawarkan diksi-diksi yang segar dan kaya dengan nilai estetikanya. Membaca akhbar picisan dan majalah hiburan? Kosa kata jarang bertambah, kerana bahasanya sendiri punah ranah!

Selain membaca bahan bacaan terpilih, mengakrabi kamus juga merupakan satu tabiat yang menjanjikan pulangan. Ada yang memandang dangkal amalan mengkelek dan membelek kamus dengan kerap, tetapi kedangkalan semacam inilah yang membuatkan seseorang penulis itu mampu menghasilkan karya-karya yang segar dari segi penggunaan diksinya.

Untuk menjadikan istilah yang baru dipelajari tidak lenyap begitu sahaja, menulis adalah jalan penyelesaiannya. Baik karya kreatif, atau nonkreatif, kedua-duanya relevan dalam memanipulasikan diksi-diksi yang segar dan kontemporari. Justeru, jika timbul pula isu tiada idea untuk menulis yang panjang-panjang, tulis sahaja karya ringkas seringkas 160 aksara, dan hantarkannya ke majalah ini, dan semestinya melalui khidmat pesanan ringkas!

Di samping itu, ada penulis kawakan berpesan, janganlah kita sebagai penulis menjadi fakir diksi. Benarlah nasihat penulis tersebut, kerana sebagai sasterawan, senjata ampuh yang digalas tidak lain hanyalah kumpulan kata, yang digubah menjadi sebuah cerita.

Akhir kata, terima kasih kepada Cik Saleha Ahmad, kerana sudi memberi perhatian kepada majalah Sastera SMS dan seterusnya berkongsi komen yang membina.

Kepada pembaca, jangan lepaskan peluang untuk memenangi hadiah istimewa, dengan menjadi penghantar karya yang ke seratus.

Jumpa lagi minggu hadapan, insya-Allah.

Amir Mukhriz

 

Sastera SMS    Editorial 09    Ahad 23 Januari 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MEMBENTUK MASYARAKAT KELAS SATU DENGAN SASTERA

Pada 11 Januari yang lepas, Perdana Menteri telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Ramai yang melihat kempen ini sebagai usaha melahirkan 'masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama'. Secara tidak langsung, dapatlah kita simpulkan negara berstatus kelas pertama, memerlukan rakyatnya dihiasi dengan tahap budi bahasa dan nilai moral yang tinggi.

Untuk menjana negara menggapai status kelas satu, itu satu cabaran, dan untuk melahirkan rakyat yang menepati ciri-ciri rakyat negara kelas pertama, juga satu cabaran berbeza. Halakan teropong ke negara Amerika Syarikat misalnya, gah mereka dengan status negara elit, tetapi melihat rakyatnya bermula dari yang bergelandangan di celah-celah lorong bangunan, hingga kepada pemimpin-pemimpin atasan mereka, tidak sukar untuk melihat kebobrokan yang terpamer dalam tingkah laku dan tutur kata. Lihat saja pemimpin nombor satu mereka, kata putus eksekutifnya (executive decision) sering kali tersasar daripada nilai-nilai kemanusiaan itu sendiri.

Maka sebagai rakyat yang seharusnya menyahut positif dasar yang cuba diterapkan Perdana Menteri, golongan penulis perlu segera meneruskan inisiatif mereka dalam mencambah nilai-nilai murni di kalangan masyarakat. Ini bukan kerja baru. Sejak sastera Melayu dilakar di atas lembar kertas, itulah yang diperjuangkan. Manuskrip sastera Melayu lama baik berbentuk pantun, syair, gurindam, pepatah mahupun hikayat tidak dinafikan sarat dengan ajaran-ajaran murni yang cuba disampaikan penulis.

Maka tidak kira apa pendekatan yang cuba dibawa penulis masa kini, tanggungjawab untuk menyampaikan apa yang sepatutnya tidak harus diabaikan. Sastera serius dan sastera popular memikul amanah yang sama. Ketika inilah penulis sastera popular perlu pandai mengambil peluang, untuk membuktikan kepada khalayak sastera, bahawa karya mereka bukan picisan, bukan bermakna popular itu tidak bermaruah, tetapi popular hanya pada tema dan dalam masa sama masih sarat dengan nilai-nilai murni yang bergerak sealiran dengan jalan cerita.

Pembaca juga harus bijak memilih bahan bacaan dan belajar menjadi pembaca kelas satu. Tidak salah meladeni karya popular, tetapi perlu diseimbangkan dengan karya serius dan tulisan ilmiah. Memvariasikan bacaan tidak merugikan. Mungkin bacaan novel-novel ringan perlu untuk santapan emosi, tetapi santapan intelek juga perlu untuk melahirkan individu kelas satu, yang seterusnya membentuk masyarakat elit untuk menghuni negara kelas pertama.

Sama-samalah kita menyahut seruan yang baik dengan reaksi proaktif. Supaya masyarakat kita tahu apa itu nilai murni, dan supaya masyarakat kita lebih pandai berbahasa.

Jumpa lagi minggu hadapan, Insya-Allah.

Amir Mukhriz

 

sastera SMS    Editorial 08    Ahad 16 Januari 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

GENERASI BERSILIH GANTI, PERJUANGAN TETAP SEGAR

Patah tumbuh hilang berganti. Begitulah pepatah yang diwariskan orang tua-tua kita. Ringkas tetapi berselit erti yang mendalam. Digali ke dasar, membawa maksud hakikat makhluk itu sendiri. Tiada yang kekal. Bahkan setiap hari, bertambahnya kelahiran, bertambah jualah kematian.

Pepatah ringkas, ditokok nakal kemudian hari. Patah tumbuh hilang berganti, yang tumbuh tidakkan sama dengan yang patah, yang diganti tidakkan sama dengan yang hilang! Bukan madah lelucon, tetapi ada wajar dan warasnya. Kelompok penulis misalnya, sudah bertingkat generasinya. Angkatan dahulu pergi, mampir angkatan baharu. Penulis tua menanti masa menyerah gelar kepada penulis muda. Dan putaran ini terus berpusing.

Sudah menjadi ikrar klise, pergantian yang baharu kepada yang lama, akan meneruskan perjuangan yang lama. Menyudahkan yang tidak sudah. Tetapi dalam konteks penulis muda, ikrar ini tidak seharusnya terhenti di situ. Meneruskan perjuangan yang tak sudah, dan dalam masa sama, membuka lembaran perjuangan baru, dengan berbeza mukadimahnya, dengan lain intipatinya.

Penulis muda masih bersenjatakan pena, kerana penulis bukan tentera, dan penulis juga bukan ahli politik. Maka dengan pena inilah penulis muda menggantikan dan melakar coretan baru dalam perjuangan. Meneroka lapangan sasar, membidik maksud yang lebih global, dengan pantas dan lebih berterus terang, tetapi masih berseni.

Saban hari muncul penulis muda yang baharu dan segar. Sastera Melayu tidak ketandusan penulis muda, itulah realitinya. Masalah yang mungkin relevan diperdebatkan ialah mungkin mutu penulis muda yang masih belum mencapai takah penulis kawakan. Perjalanan memerlukan masa, masa yang dimanfaatkan membuah hasil yang diharapkan.

Di dalam majalah Sastera SMS, karya penulis muda hadir dalam pelbagai genre, daripada cerpen bersiri, hinggalah sumbangan madah pujangga. Melihat rentak dan rima semasa, penulis muda ini diyakini tidak akan berhenti menulis. Mereka akan terus meneroka lembaran perjuangan sebagai penulis, dari media cetak, hinggalah ke skrin telefon bimbit, mereka menulis dan terus menulis!

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada pembaca Muslim.

Jumpa lagi minggu hadapan, Insya-Allah.

Amir Mukhriz
 

 

sastera SMS    Editorial 07    Ahad 9 Januari 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

TSUNAMI YANG MENCORET PUISI

 

Bagi masyarakat dunia, tirai pementasan tahun 2004 telah dilabuhkan dengan sebuah babak yang selazimnya tidak patut berada pada penghujung sesebuah cerita. Sambutan tahun baru tidak segalak tahun-tahun yang sudah, malah bagi negara yang menjadi pentas pementasan aksi penutup tirai tersebut, sambutan tahun baru dibatalkan terus dengan tumpuan terfokus kepada usaha-usaha memulih dan merawat.

Gempa bumi yang kuat di utara Sumatera dikatakan menjadi punca kepada tragedi yang disifatkan paling dahsyat di dunia dalam tempoh 40 tahun. Jumlah kematian yang direkodkan sudah pun mencecah ratusan ribu dan bakal bertambah dari semasa ke semasa, pulau-pulau di sekitar Banda Acheh bahkan ada yang lenyap sama sekali, sekadar menunjukkan sedikit daripada kekuasaan Yang Maha Esa.

Jika dikumpul coretan-coretan puisi dan karya-karya kreatif reaksi terhadap bencana alam ini, mungkin hampir atau telah mencecah ratusan. Bait-bait indah digubah bertujuan menggambarkan suasana, keperitan, kedahsyatan, dan kesengsaraan yang dialami mangsa yang terlibat. Tidak kurang yang cuba menyampaikan mesej bahawa bencana ini tidaklah lain melainkan peringatan daripada Tuhan, terhadap kealpaan manusia yang semakin lupa akan hari kemudian.

Jiwa manusia sememangnya ciptaan yang penuh misteri dan berseni. Tidak terungkap dengan akal fikiran. Maka apabila dijamu dengan sastera yang juga seni sifatnya, maka natijah yang diperoleh ialah kesan yang mendalam dan meresap jauh ke dasar perasaan. Itulah sumbangan sastera dalam menyuntik naluri kemanusiaan ke dalam hati manusia, menyuburkan kasih sayang dan mengairi diri setiap insan dengan terusan belas simpati.

Coretan-coretan seputar kecelakaan ini tidak akan terhenti apabila segalanya selesai pulih. Selagi ada memori yang masih merakam peristiwa ini, selagilah itulah karya-karya sastera akan terus mengalir menjalankan tanggungjawabnya, mengajar manusia erti kemanusiaan, memugar jiwa dengan rimbunan kasih sayang, dan seterusnya mengajak manusia kembali kepada Tuhan.

Tahun baru Masihi sudah pun menjelma. Dunia semakin uzur. Sama-samalah kita beringat, sama-samalah kita memperingat, dan karya sastera merupakan salah satu medium terbaik untuk menyampaikan peringatan.

Jumpa lagi minggu hadapan, Insya-Allah.   

Amir Mukhriz
 

sastera SMS    Editorial 06    Ahad 2 Januari 2005
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

APRESIASI TERHADAP KARYA SASTERA : ANUGERAH DAN HADIAH KEKAL RELEVAN (Bahagian Akhir)

KETIKA editorial ini diterbitkan, sudah seminggu nama-nama pemenang Hadiah eSastera.com 2004 (Hescom 2004) diumumkan. Tahniah kepada mereka yang berjaya dan tidak berjaya. Kepada yang berjaya kerana karya mereka berhasil menarik perhatian panel pemilih, dan kepada yang tidak berjaya kerana mereka telah melahirkan karya yang mungkin berbeza pula nilaiannya pada masa dan tempat yang lain. Menghasilkan karya itu sendiri sudah merupakan kemenangan kecil kepada seseorang penulis. Kemenangan dalam bentuk kepuasan peribadi.

Kembali membicarakan anugerah sastera, adalah sesuatu yang tidak asing, apabila terdapatnya kejutan kecil apabila sesuatu keputusan diumumkan. Tetapi bagi mereka yang matang, kejutan kecil hanyalah seperti hembusan angin yang mencium pipi. Mereka merasionalkan keadaan. Inilah yang sewajarnya. Sebarang tindakan membesarkan apa yang sewajarnya kecil, hanyalah memahat rumah yang sudah siap terbina. Lebih mendukacitakan apabila si pemahat tersebut melakukan kerja di malam hari ketika orang lain sedang tidur. Sekadar membuat bising dan menyembunyikan diri apabila matahari sudah terbit. Ini tidak profesional, malah menjatuhkan martabat dunia sastera itu sendiri.

Sememangnya tidak ada hitam putih untuk menghalang seseorang menilai kembali karya yang diiktiraf. Malah, ada bentuk penilaian yang mampu memberi manfaat kepada perkembangan sastera itu sendiri. Usman Awang antara penulis yang pernah menilai kembali sajak yang telah memenangi hadiah sastera. Tetapi kritikan beliau dibuat dalam saluran terbuka dan jika diamat-amati hujahan beliau, penulis yang dikritik akan mendapat manfaat yang banyak daripadanya.

Itulah uniknya hadiah sastera, yang membuatkan sifat relevannya malar tidak berubah. Daripada signifikan penganugerahan apresiasi sastera kepada penulis dan karya yang diiktiraf, hinggalah kepada penilaian semula atau kritikan yang menyusul sesuatu penganugerahan. Biarpun zaman berganti zaman, hadiah dan anugerah akan tetap menanti karya yang mampu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat dan dunia sastera.

Tahniah sekali lagi kepada mereka yang meraih kemenangan dalam Hescom 2004. Adunan pemenang daripada pelbagai lapis usia menjanjikan sesuatu yang positif kepada eSastera.com khususnya, dan kepada perkembangan sastera Malaysia amnya.

Jumpa lagi minggu hadapan, Insya-Allah.   

Amir Mukhriz
 

sastera SMS    Editorial 05    Ahad 26 Disember 2004
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

APRESIASI TERHADAP KARYA SASTERA : ANUGERAH DAN HADIAH KEKAL RELEVAN (Bahagian 2)

PADA editorial yang lepas, telah digambarkan betapa pemberian hadiah dan anugerah sebagai satu penghargaan yang signifikan kepada penggiat sastera. Namun, segala macam imbuhan dan ganjaran yang disertakan sekali dengan anugerah tersebut, bukan hanya menguntungkan pemenang semata-mata. Ini kerana lahirnya seseorang pemenang beriringan dengan lahirnya sebuah ataupun sejumlah karya yang bermutu daripada penulis tersebut.

Menjadi kelaziman juga penulis yang memenangi anugerah akan terus menulis dan menghasilkan karya-karya yang lebih baik demi mengekalkan statusnya sebagai pemenang anugerah. Ini sangat baik kepada perkembangan sastera itu sendiri. Sifir mudah, semakin ramai penulis yang berjaya memenangi anugerah sastera, semakin suburlah penghasilan karya-karya yang bermutu pada masa akan datang. Malangnya sesuatu yang lazim itu bukanlah bermakna sesuatu yang mesti. Kedapatan juga segelintir kecil penulis yang berjaya memenangi sesebuah anugerah, terus berhenti menulis selepas itu, ataupun tidak menulis secara konsisten. Mungkin niatnya memasuki sayembara yang dianjurkan dengan niat untuk sekadar cuba-cuba bukannya kerana kecenderungan hati untuk menjadi penulis atau bergiat aktif dengan kesusasteraan. Ini satu tindakan yang merugikan baik ! kepada penulis itu sendiri, dan juga kepada khalayak pembaca. Penulis rugi kerana bakatnya tidak dibaja dan disuburbiakkan, pembaca rugi kerana tiada lagi hidangan bermutu daripada penulis tersebut.

Berbalik kepada natijah penganugerahan yang diterima oleh seseorang penulis atau sesebuah karya, nama penulis tersebut akan mekar di bibir khalayak dan elit sastera. Bakatnya akan dikesan dan karya-karyanya akan diperhatikan, baik yang sudah terbit ataupun yang bakal terbit. Terdapat penulis muda yang namanya cepat naik hasil daripada kerapnya beliau memenangi hadiah-hadiah sastera yang berprestij. Karya-karya beliau yang memang diiktiraf mutunya, akan mudah tersebar bahkan dicari oleh pembaca. Bagi penulis yang niatnya menulis adalah untuk menyampaikan mesej dan ideologi, tiada yang lebih baik baginya apabila karyanya tersebar luas bahkan sampai ke tahap di cari pembaca.

Bagi karya sastera pula, dengan memenangi sesebuah anugerah, nafas hayatnya akan bertambah panjang dan tidak lagi bersifat termengah-mengah seperti yang dialami oleh kebanyakan karya sastera serius jika dibandingkan dengan sastera popular. Setidak-tidaknya, dalam deretan naskhah sastera popular di rak-rak kedai buku, akan terselit juga naskhah sastera serius yang berjaya memenangi anugerah. Itu dari segi pemasaran, dari segi hayat, penganugerahan akan memanjangkan dan memberi peluang kepada karya-karya bersifat eksperimental atau non konvensional cepat mendapat tempat di hati khalayak sastera. Contoh termudah ialah sajak bersifat confessional yang dimenangi Baha Zain pada tahun 1971 dan 1973, sajak ‘berani’ oleh penyair wanita, Zaihasra, juga pada tahun 1973, dan juga karya-karya Faisal Tehrani yang banyak sekali menggondol anugerah, termasuk novel oksidentalismenya, 1515.  (Bersambung)

Amir Mukhriz

 

sastera SMS    Editorial 04    Ahad 19 Disember 2004
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

APRESIASI TERHADAP KARYA SASTERA : ANUGERAH DAN HADIAH KEKAL RELEVAN (Bahagian 1)

Apresiasi kepada karya sastera boleh diberikan dalam bentuk yang pelbagai. Antara bentuk apresiasi yang lazim dibuat serta turut memberi impak yang mendalam adalah dengan memberi anugerah ataupun hadiah. Penganugerahan semacam ini bukan sesuatu perkara yang baru bertapak di seputar alam sastera, bahkan seawal abad ke-4 Masihi lagi, sebelum kedatangan Islam membawa cahaya ke Tanah Arab, masyarakat Arab Jahiliyah sudahpun terbiasa dengan adat mengagungkan syair-syair yang hebat dan tinggi estetikanya. Syair yang terpilih akan digantung di dinding Kaabah, satu bentuk penghargaan yang sangat tinggi jika dilihat kepada status Kaabah itu sendiri di mata masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu.

Kini, setelah beribu-ribu tahun berlalu, transformasi adat dan budaya masyarakat dunia  masih tidak memadam amalan memberi anugerah sastera sabagai tanda menghargai dan mengangkat sesuatu karya yang diiktiraf mutu dan nilainya. Dari sebesar-besar anugerah pada peringkat antarabangsa seperti Hadiah Nobel, pada peringkat serantau seperti S.E.A Write Award, pada peringkat tempatan seperti Anugerah Sastera Perdana dan Hadiah Sastera Utusan, hinggalah anugerah-anugerah hasil daripada sayembara yang dianjurkan mengikut tempat dan tema tertentu. Bagaimanapun, skala untuk menilai sesuatu karya, tetap menjadi hak mutlak panel pemilih. Penilaian karya sastera itu sudah semacam dilihat subjektif, malah terdapat juga dakwaan penilaian dipengaruhi unsur bias, seperti yang mungkin terjadi pada beberapa pemenang Hadiah Nobel yang lepas. Benar atau tidak dakwaan tersebut, tidaklah menjadi perhatian khalayak sastera, kerana panel pemilih tetap memegang hak mutlak penilaian dan keputusan mereka.

Walau apapun, masyarakat akan tetap menghargai karya sastera tidak kira apa jua bentuk penzahirannya. Setelah pelbagai tamadun dunia bersilih ganti, apresiasi sastera dalam bentuk pemberian anugerah dilihat akan kekal menjadi satu amalan yang baik dan signifikan. Natijah daripada usaha semacam ini banyak memberi sumbangan kepada perkembangan sastera sesuatu bangsa dan bahasa itu sendiri. Sasterawan yang menerima anugerah ini telah membuktikannya.

Kepada warga eSastera.com,  selamat melangsungkan majlis penyampaian Hadiah eSastera.com (HesCom) bagi tahun 2004 pada 25 Disember ini.

Sekian, jumpa lagi minggu depan, insya-Allah.

Amir Mukhriz
 

sastera SMS    Editorial 03    Ahad 12 Disember 2004
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mengapa Menulis?

MENULIS adalah salah satu cara untuk berkomunikasi.  Istimewanya teknik ini, apabila penulis tersebut berupaya untuk berkomunikasi melangkaui masa dan tempat yang tidak terbatas. Melalui penulisan, ilmuwan-ilmuwan beribu-ribu tahun yang lepas dapat mencurah ilmu mereka kepada kita dan generasi-generasi selepas kita selagi bintang-bintang di angkasa raya tidak jatuh menimpa bumi. Masalah kita tidak dapat berkomunikasi dengan mereka tidak menjadi persoalan, kerana komunikasi itu sendiri tidak terhad kepada dua hala, bahkan bicara sehala juga diiktiraf sebagai komunikasi.

Selain daripada kelebihan tersebut, berbanding memaculkan suara melalui peti suara, tulisan berbeza kerana apa yang ditulis dapat dibetul dan diubah selagi mana tidak sampai ke mata pembaca. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata? Silap-silap mudik ke neraka. Penulisan juga tidak terkecuali daripada menjadi sebab untuk seseorang mendapat kemurkaan Tuhan, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh menulis, sama juga tidak bermakna kita kena berhenti bercakap untuk mengelak diri daripada neraka. Contoh tulisan berunsur maksiat ialah tulisan yang mengumpat atau memfitnah orang lain, tulisan yang mencampak waswas ke dalam hati manusia tentang hukum-hukum Tuhan, tulisan yang membangga-banggakan diri, ataupun tulisan lucah lagi melucahkan.

Tanggungjawab penulis sangat besar.  Apa yang ditulis akan dibaca, dan apa yang dibaca berpotensi untuk dibuat, atau sekurang-kurangnya mempengaruhi apa yang bakal dibuat. Pendek kata, kita menulis untuk apa? Untuk siapa? Teringat moto UTM "Kerana Tuhan, Untuk Manusia". Satu lagi kekuatan yang ada pada penulisan ialah kemampuannya untuk membebaskan apa yang terbisik di mulut dan apa yang terjerit di hati. Waallahua'lam.

Selamat menulis dan selamat berkarya di seputar sistem pesanan ringkas. Jumpa lagi minggu depan, insya-Allah.

 

sastera SMS    Editorial 02    Ahad 5 Disember 2004
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Optimis Terhadap Pembaharuan: Merintis Kemajuan Untuk Generasi Mendatang

REAKSI positif terhadap sesuatu penemuan ataupun pembaharuan adalah satu peribadi optimistik yang seharusnya ada pada setiap diri kita. Kemestian ini kekal relevan selagi mana penemuan atau pembaharuan tersebut tidak bercanggah dengan fitrah manusiawi dan undang-undang langit.

Di dalam memperkatakan penerbitan majalah SasteraSMS, medan berkarya yang terkini ini menyambut baik sebarang reaksi optimis daripada anda. Majalah ini akan menjadi wadah kepada karya-karya yang selama ini hanya dapat dinikmati oleh sebilangan kecil pembaca sahaja. Anda akan menjadi perintis jika mula menghantar karya, atau sekadar memajukan (forward) karya-karya yang sedang berada di dalam peti mesej telefon bimbit anda.

Tidak ternafi, sokongan semerta kelompok perintislah yang menjadi batu asas kepada perkembangan-perkembangan akan datang majalah elektronik ini. Betapa potensi besar dilihat dapat dijana hasil daripada usaha penerbitan serta promosi yang berterusan. Bayangkan, dengan suntikan sedikit baris-baris aturcara komputer, tidak mustahil majalah sasteraSMS bakal menjadi rujukan dalam lapangan teknologi perhubungan dan maklumat (ICT) negara kita.

Tanpa sifat optimis masyarakat terdahulu, kita mungkin tidak dapat menikmati teknologi-teknologi yang sedia tercipta sekarang. Konsekuensinya, tanpa sifat optimis kita, generasi terkemudian tidak berpeluang menikmati kemungkinan-kemungkinan yang dapat ditawarkan majalah ini pada masa-masa mendatang.

Justeru, bersama-samalah kita menempatkan diri dalam kelompok optimis. Bersama-sama kita memeriahkan penyebaran karya sastera melalui khidmat sistem pesanan ringkas (sms). Demi kemungkinan-kemungkinan yang bakal tercetus. Demi generasi akan datang. Demi penemuan terbaru dalam usaha memartabatkan sastera tanah air.

Jumpa lagi minggu hadapan, Insya-Allah.

 

 

sastera SMS                          Ahad 28 November 2004
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MAJALAH SASTERA SMS : INOVASI DALAM MENGKOLEKSI KARYA SASTERA

Inovatif ialah sifat yang merujuk kepada mereka yang membuat, mencipta, atau memperkenalkan sesuatu yang baru seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain. Mempunyai karakter inovatif akan ketara efektifnya apabila digandingkan dengan sifat kritis terhadap persekitaran. Jalinan dua sifat inilah yang menggerakkan pengasas (founder) eSastera.com untuk menerokai metode-metode baru dalam penerbitan karya sastera yang di luar batasan konvensional.

Setelah hampir genap dua tahun eSastera.com menjadi wadah pemartabatan sastera alam siber, diikuti penerbitan majalah Internet bulanan BESt, kini komuniti perkumpulan sasterawan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan usia ini, maju selangkah lagi dengan merintis pengumpulan karya-karya sastera yang beredar dari sebuah telefon bimbit ke telefon bimbit yang lain, menggunakan khidmat pesanan ringkas (sms).

Untuk editorial julung kalinya ini, saya bagi pihak Esastera Enterprise mengalu-alukan sebarang karya yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas, dan karya tersebut jika bukan karya asli penghantar, masih boleh diterima dengan syarat disertakan nama penulis asal atau dinyatakan statusnya yang tidak diketahui sumber (anonymous).

Ratusan tahun dahulu, merpati putih mengepakkan sayapnya untuk menghantar sesuatu mesej.  Kini kita hanya memerlukan sebuah telefon bimbit, menara komunikasi, dan akaun telefon yang aktif untuk menghantar mesej dalam masa hanya beberapa kerdipan mata. Syukur kepada Pencipta. Ayuh kita manfaatkan teknologi kurniaan-Nya!

Jumpa lagi minggu hadapan, insya-Allah.

EDITORIAL | KOMEN | CERPEN | CERPEN BERSIRI | SAJAK | LELUCONTEKA-TEKI

HAIKU | NOVEL BERSIRI | PUJANGGA  | PANTUN | BERBALAS PANTUN | POEMS |  HOME