Irwan Abu Bakar
Jurutera Sastera Alam Siber

Oleh: Nurzahirah Ismail

Dunia sastera di dalam internet bukanlah satu perkara baru.  Ia menjadi satu fenomena yang tidak harus dipandang ringan.  Google saja perkataan 'cyber literature', akan terdapat sebanyak 4,690,000 bahan mengenainya.  Begitulah berkembangnya kesan teknologi maklumat dan besarnya pengaruh internet dalam kehidupan manusia.

Hari ini terdapat lebih daripada 15,000 laman web khusus untuk sastera di internet.  Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menyemarakkan sastera di alam siber dengan adanya majalah sastera dalam internet yang dinamakan e-sastera (www.esastera.com).

Disebut sebagai majalah siber yang pertama di Malaysia, e-sastera memuatkan hampir semua genre di dalamnya.  Ia bukan saja bermaksud maklumat mengenai buku dan informasi karya sastera bahkan menyediakan debat wacana dan chat room yang tersendiri.

Telah beroperasi sejak tahun 2002, ia kini mempunyai lebih 1,000 ahli.  Mungkin ada yang belum pernah melawatnya, tetapi e-sastera bukan asing bagi penulis-penulis yang meminati dunia sastera, malahan kini sedang diusahakan pula Persatuan Sastera Alam Siber (Pesiber) yang sedang dalam proses pendaftaran dengan ROS.

Orang yang bertanggungjawab mengusahakan e-sastera adalah Irwan Abu Bakar atau Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas yang berasal dari Segamat, Johor.  Beliau bertugas sebagi profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.  Bidang kepakaran profesionalnya ialah biomekanik, terutamanya mekanik tisu dan analisis gerakan.

Kejuruteraan, katanya, mempunyai satu persamaan dengan sastera - ia memerlukan daya kreativiti yang tinggi.

"Kejuruteraan dan sastera perlukan kreativiti.  Setiap yang dihasilkan dalam kedua-dua jurusan itu menggunakan daya imaginasi yang kuat.  Saya syak begitu caranya otak manusia berfungsi, dengan kreativiti," katanya ketika ditemui Suara Keadilan di pejabatnya di Universiti Malaya.

Disebabkan kemungkinan itu, beliau tidak merasakan satu keanihan bagi orang sepertinya, yang berlatarbelakangkan kejuruteraan mekanik untuk melibatkan diri dalam sastera.

Bahkan, secara peribadi, beliau meminati sastera sejak di bangku sekolah  Kerana itu, sekalipun beliau pelajar sains, namun memilih untuk mengikuti mata pelajaran sastera secara 'optional'.

Beliau memilih Kesusasteraan Melayu kerana menggemari puisi dan kecenderungan yang mendalam pada bahasa.  Beliau suka pada perkataan, selok belok bahasa dan tatabahasanya.

Kerana minat pada puisi itu, beliau telah menerbitkan puisi di media cetak sejak tahun 1995, ketika berusia 44 tahun.  Baginya, keterlibatan yang lewat itu tidak mungkin menjadikan beliau seoerang penyair serius.

Sebagai seoerang profesor kejuruteraan dan lebih banyak membaca dan menulis bahan sains.  Ada kalanya beliau berasa sajaknya lebih sains daripada seni.

Sajak sepatutnya membawa pelbagai makna yang dapat digali keseniannya.  Namun sebagai seorang yang bekerja dalam sains, tulisannya mempunyai makna yang tepat seperti mana beliau menghuraikan konsep sains.

Ilham memperkenalkan e-sastera empat tahun lalu timbul apabila beliau menyedari tiada satupun laman web yang berbicara khusus tentang sastera.  Beliau memikirkan sastera Melayu perlu dikembangkan di alam siber memandangkan majalah dan jurnal sastera pun kurang mendapat sambutan di pasaran.

"Dari kajian saya, belum ada lagi laman sastera yang besar sebegini di dunia.  Dari segi kapasiti, e-sastera adalah yang terbesar.  Di dalamnya, hampir ada kesemua, pantun, cerita rakyat, puisi, teka-teki dan banyak lagi," katanya yang mengemaskini sendiri laman itu setiap 24 jam.

Beliau memberi kebebasan kepada setiap penulis menghasilkan apa saja, kecuali dua perkara yang 'diharamkan' di dalam e-sastera, iaiatu politik dan lucah.

Masalah itu bagaimanapun tidak timbul dan sehingga kini majalah sastera yang diusahakannya berjaya menarik ramai generasi muda.  Ia suatu pencapaian yang memberangsangkan kerana penglibatan generasi muda dan sastera bukanlah sesuatu yang mudah.

Menurutnya, golongan muda perlu digalakkan untuk berkarya.  Media cetak biasanya tidak dapat menyediakan ruangan untuk mereka dengan pelbagai halangan dan batas ruang yang menjadi hambatan.  Hasilnya, banyak karya penulis yang tidak dapat disiarkan dan ini merupakan satu kerugian besar.

Kerana itu, kata Irwan, e-sastera menyediakan ruang yang tiada had untuk penulis muda berkarya.  Beliau percaya, masa depan sastera berada di alam siber kerana tabiat membaca di kalangan generasi muda hari ini sudah beralih ke dunia internet.

"Hari ini, soal mengemaskini bukan masalah besar kerana sebenarnya e-sastera berjalan dengan sendiri.  Penglibatan saya hari ini cukup minimal.  Saya hanya masuk sebelah malam, katanya yang pada peringkat awal penubuhan majalahnya itu menggunakan akhbar-akhbar arus perdana untuk mengiklankan kewujudan e-sastera di kalangan pembaca.

Sehingga kini, selain penulis dan pembaca dalam negara, e-sastera mempunyai pengikutnya tersendiri.  Kebanyakannya merupakan pelajar-pelajar, termasuk dari luar negara, iaitau daru Mesir, Jordan, Australia, United Kingdom dan Ireland.

Baginya, bukan sukar untuk memahami mengapa berkarya di alam siber semakin mendapat perhatian, terutama di kalangan generasi muda.  Hari ini, katanya, mereka (penulis) memerlukan ruang bukan sahaja untuk berkarya bahkan berinteraksi secara langsung.

"Interaksi ini penting malahan saya sendiri setiap hari berbual dengan mereka.  Meraka akan menulis sesuatu, kemudian ada respon.  Cepat, pantas."

Ini sesuatu yang tidak ada dalam medium biasa.  "Bagi saya, komunikasi ini penting.  Kami berbual setiap hari sedangkan masing-masing tidak kenal satu sama lain.  Penulis dari Singapura pun ramai yagn masuk, begitu jgua dari Brunei," katanya.

Bagi memperkembangkan lagi bacaan di kalangna pembaca bukan Melayu, beliau memperkenalkan ruang "Poets" di mana sastera Melayu diterjemahkan dalam bahasa Inggeris.  Sumbangan sastera dalam bahasa Inggeris turut dialu-alukan.

Apa yang menarik mengenai e-sastera ini ialah ia menyertakan template laman web berbahasa Melayu; ini yang membezakannya dengan laman-laman siber lain.

Terbaru, beliau memperkenalkan sasterasms (www.sasterasms.com), majalah yang dihasilkan melalui sms kerana banyaknya hasil sastera yang disebar melalui sms. Melalui laman ini, orang ramai boleh hantar karya berupa pantun, sajak atau cerita pendek melalui sms  kepada editor.  Cara ini belum pernah dilakukan di mana-mana pun di dunia.

Satu lagi keistimewaan e-sastera ialah setiap tahun diadakan Anugerah Sastera.  Sehingga kini sudah tiga kali diadakan dan anugerah tahun ini akan diadakan pada bulan Disember.  Selain memilih Penyair Alam Siber, antara anugerah lain ialah Anugerah Cerpenis Alam Siber dan Anugerah Novelis Alam Siber.

Tahun lalu, acara ini diadakan di sebuah hotel dengan Dinsman sebagai panel hakim dan A. Samad Said sebagai tamu kehormat.

Sejak dimulakan, Irwan sendiri menangani perbelanjaan bagi anugerah tahunan.  Untuk tahun ini, beliau sedang mengusahakan penglibatan penaja memandangkan sambutan semakin menggalakkan.

Bersama isteri, Hasimah Harun, seorang guru bahasa yang berkongsi minat yang sama, mereka menerbitkan buku-buku termasuk novel yang ditulis oleh 12 penulis dalam tempoh 13 bulan melalui e-sastera berjudul Debaran Kedua, Jalan Baru (kumpulan sajak pemenang Penyair Alam Siber 2003 & 2004), Kursus Kepenyairan (pernah disiarkan di e-sastera), serta Semelar (antologi puisi Irwan).

Layari majalah e-sastera di

www.esastera.com
www.sasterasms.com
www.esasterawan.com