DAHRIE SAJAK Penderhakaan Jalan Lain Ke Syurga Setelah Kalah Perempuan Itu Wanita Teratai
Perempuan Reformasi I Reformasi II Reformasi III Hujan Di Kuala Lumpur
Siri Mari Bermimpi
(Edisi 31 Ogos)
Siri Mari Bermimpi
(Edisi Diri)
Tidak Akan KunBunuh Anjing Itu Aeat Al-Akhras Masuk Universiti
Di Kubur Reny        

 

PENDERHAKAAN

 

Cis!!!

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,

Kota  Melaka, 1999-2001

 

JALAN LAIN KE SYURGA

 

Setelah dia tidak dapat masuk ke syurga melalui iman
maka tunggulah dia pengampunan dari-Nya
moga-moga dapat juga dia masuk ke syurga.

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,
Grup Penyair ISUM,
Kuala Lumpur.
September 18, 2003

SETELAH KALAH

 Dan dia pun bertelanjang
 setelah kalah berperang
 dibukanya semua pakaian batin
 cuma tinggal hanya yang satu itu.

 MOHD. DAHRI ZAKARIA,
 Kuala Lumpur.
 September 24, 2003 : 2.45 Petang
 

 

PEREMPUAN ITU WANITA

Bulan itu masih gadis

tidak pernah disentuh oleh bintang pun

yang setia memagari

walau ratusan tahun

 

Tinggallah pungguk

sebagai seorang penanti yang setia

- tidak terjangkau oleh capainya yang singkat.

 

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,

Kolej Yayasan Melaka.

27 April 2001 : 3.50 Petang

TERATAI

 

Tangan menggapai

hajat tak sampai

hati berderai.

 

Sifat teratai

tak pernah bercerai

walau jiwa berkecai.

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,

Kondo Rakyat Desa Pantai,

Kuala Lumpur.

Ogos 2003

 

 

PEREMPUAN

 

Matamu adalah fitnah

penglihatanmu yang memfitnahnya.

 

Hidungmu adalah fitnah

baumu yang memfitnahnya.

 

Mulutmu adalah fitnah

percakapanmu yang memfitnahnya.

 

Bibirmu adalah fitnah

ciumanmu yang memfitnahnya.

 

Lidahmu adalah fitnah

rasamu yang memfitnahnya.

 

Telingamu adalah fitnah

pendengaranmu yang memfitnahnya.

 

Tanganmu adalah fitnah

sentuhanmu yang memfitnahnya.

 

Kakimu adalah fitnah

perjalananmu yang memfitnahnya.

 

Rambutmu adalah fitnah

ikalmu yang memfitnahnya.

 

Tubuhmu adalah fitnah

auratmu yang memfitnahnya.

 

Hatimu adalah fitnah

perasaanmu yang memfitnahnya.

 

 

Dirimu adalah fitnah

nafsumu yang memfitnahnya.

Segala-galanya adalah fitnah,

kecuali imanmu!

 

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,

Gubuk Tepi laut, Terengganu.

Januari 2002

REFORMASI  I

 

 

Kau mengajakku bermain pedang

ditengah padang saujana yang luas.

 

Tiba-tiba kau lari meningalkan medan itu

menyusup masuk ke dalam hutan rimba yang tebal merimbun.

Sedang aku masih terpinga-pinga

dengan sebilah pedang tajam masih di tangan kananku.

 

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,

ARPIPI Besut,

Terengganu.

Januari 2002

REFORMASI  II


Setelah kau lari
dan aku yang terpinga itu
telah membunuhmu dengan tangan kananku.

Dan kau terkapar mati
kerana kutahu hayat perjuanganmu
hanya layak usai dihujung mata pedangku.

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,
ARPIPI Besut,
Terengganu.
Jun 2002

 

REFORMASI  III

 

Setelah kau mati,
dan aku tidak pernah merasa apa-apa
kerana kematianmu hanya kematian biasa
dan bukannya kematian para dewa.

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,
Grup Penyair ISUM,
Kuala Lumpur.
JUN 22, 2003

HUJAN DI KUALA LUMPUR

 

Tiba-tiba aku teringin ke pusat bandar petang itu; baiki telefon, beli prepaid, tambah nilai; dan aku segera mengajak kawan dengan Honda buruk 12 tahun usia.

Kami tergesa, awan gelap, kenderaan sesak, fikir kami 10 minit kami sampai di Pertama Kompleks. Ah, kereta kandas tersusun, kami lencong ke Lebuh Persekutuan yang agak lengang, dan nah! kami terbeban dengan susup-sasap celah kereta kandas, hujan renyai, jalan licin, motor mati tiba-tiba, dan aduh, petaka apa ini, Rabb!

Kami langsung, dengan susup, awan hitam, renyai hujan, tubuh letih, Pertama kompleks masih terlalu jauh untuk sampai, sedang kereta yang beribu itu masih belum tergerak.

Dan aku fikir nakal, mereka ini lepas solat dua waktu sebab trafik, anak nangis tunggu ibu disekolah rendah, isteri resah suami hilang lepas waktu pejabat, atau mak ayah rungsing anak gadis belum balik sampai rumah.

Kawanku membebel, "Pesta apa yang sedang dimainkan kerajaan sekarang sehingga jalan raya sesak seteruk ini?"

Dan aku terkekeh, sebuah kereta mati di tengah-tengah suasana ribut, pemandu turun buang air kecil tepi jalan, peniaga warung berduyun bimbit teh dan roti untuk dijual, kataku, "Bukankah dua tiga hari lepas raja kita sambut hari jadi. Ini tentu meraikan mereka! Atau mungkin ada demonstran jalanan. Bukankah mereka sedang galak menyambut rakan dari ISA?" Dan kami kuyup di atas motor itu, sedang perjalanan masih belum tamat.

Dua jam perjalanan, dalam lelah, kami sampai PWTC, dan yang menyambut kami adalah para pegawai DBKL dengan jerit-pekik, "Patah balik! Patah balik! Jalan tak boleh lalu di depan. Banjir besar!"

 

Nah! Dua jam hujan, seluruh Kuala Lumpur lumpuh, dan kami tak sampai-sampai juga ke Pertama Kompleks.

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,
Grup Penyair ISUM

Jun 12, 2003
 

 SIRI MARI BERMIMPI
  (Edisi 31 Ogos)

 

Di atas masjid kosong
sesepi sunyi
sedang ditengah padang penuh khalayak melompat-lompat,
katanya meraikan kemerdekaan negara.

Semua pun hairan
anak-anak kecil diajar erti kemerdekaan
dengan berlari-lari ditengah padang membawa belon
untuk merai tetamu kehormat yang datang
sementara orang tua diminta berkawad
mengelilingi padang hijau luas
untuk dinilai pasukan mana akan menang
sambil orang ramai diminta berdiri, menyanyikan lagu Negaraku (versi perang)
dan menghormati bendera yang berkibar megah.

Lalu semua ini memberi persoalan yang perlu dijawab;
Inikah tanda kemerdekaan,
sedang jiwa sebenar dihimpit kepuraan?


MOHD. DAHRI  ZAKARIA,
Dataran Air Keroh, Melaka.
Ogos 31, 1999

 

 

 

 

 

SIRI MARI BERMIMPI

        (Edisi Diri)

 

 

Hari ini mimpi berkunjung lagi

entah kali ke berapa, diri tak pasti

tapi yang jelas mimpi itu datang lagi.

 

Mimpi bagaimana mengunjungi diri?

mimpi datang menelanjangi diri

diri dipacu serata diri

diri lemas terkapai diri

diri lena dibuai diri.

 

Diri apakah ini, Diri?

diri datang ke dalam diri

diri berdiri disebalik diri

diri memuja sekalian diri.

 

Diri datang dan pergi

diri hilang dan menyepi

diri ada disanubari.

 

Diri ini diri sendiri

diri bertamu di dalam diri

diri meresap segenap sendi

diri kukuh berdiri sendiri.

 

Diri datang, datanglah lagi

diri enggan begini lagi

diri kamil diri dicari

diri ingin pulang sendiri

diri berteman iman hakiki.

 

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,

Akademi Seni Melaka.

1999-2001.

TIDAK AKAN KU BUNUH ANJING ITU
(kepada kawan)

Seekor anjing muda
dan seketul tulang,
puas menyalak
bukit tak runtuh
tulang tak lumat,
yang tinggal hanya salakan.

Tulang dimulut telah kau lepaskan
sedang aku kau kejarkan
barangkali bimbang tulangmu ku baham.

Tidak akan ku bunuh anjing itu
walau puas menyalak
kerana jika ingin ku bunuh,
mesti ku bunuh jasadnya
tidak juga ku bunuh bayangnya.

Menyalaklah sepuasmu, wahai anjing
hayatmu belum dewasa
kelak barangkali kau akan tahu
apa yang kau salakkan itu,
hanyalah sia-sia.


MOHD. DAHRI ZAKARIA,
Kondo Rakyat Desa Pantai,
Kuala Lumpur.
Ogos 9, 2003 : 2.00 pagi

 

 

AEAT AL-AKHRAS
(al-fatihah untuk semua pejuang intifada)      
 

Kautamatkan lapan belas tahun kehidupanmu
dengan sebiji bom jangka tersisip dipinggang
untuk menebus segenggam tanah air yang telah
nenek moyangmu lepaskan dahulu,
setelah jenuh bersenjatakan lastik kayu
katamu, kau berjuang atas nama agama.

Telah berfirman Allah : "Dan kalau kiranya penduduk negeri itu beriman dan memelihara dirinya dari kejahatan, nescaya Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan(kebenaran Tuhan), lalu mereka Kami siksa, disebabkan apa yang mereka usahakan."   (Al-A'Raaf : 96)

Wasiatmu, "Pesanlah kepada semua saudara kita, kematian ini belum tentu menjanjikan kebahagiaan di sana, walau cagarannya dengan sepotong nyawa, kerana hanya iman yang akan menentukan kedudukan kita disisi-Nya."

Berjuanglah dengan seribu Aeat Al-Akhras sekalipun
walau ribuan Yahudi mati ditangan beranimu,
masih belum tentu mengembalikan maruah diri
jika tidak dengan amal dan iman sempurna.

Sesungguhnya  hanya itu,
kekuatan yang telah kita tinggalkan
sekian lama.


MOHD. DAHRI ZAKARIA,
Masjid Ibnu Abbas, Kg. Mas Sekupang,
Terengganu.
April 5, 2002

 

MASUK  UNIVERSITI

 

Aku masuk universiti dua bulan lewat

telegram sampai setelah rakan khatam dua kitab

dan aku pun telah berpeluh sebagai buruh kasar.

 

Telah masuk aku ke universiti

Mak hantar dengan air mata

Ayah kirim dengan seribu doa

lalu berkelanalah aku seorang diri naik bas ke Kuala Lumpur

sampai pagi tanpa kawan, tiada kenderaan, tanpa sambutan, dan aku tergesa naik teksi untuk ke universiti itu.

 

Lepas daftar, pagi 24 haribulan, maka masuklah aku ke universiti ini,

Universiti tertua,

Universiti berjasa,

Universiti perdana,

Universiti peristiwa,

Universiti sejarah negara;

maka bergelarlah aku seorang mahasiswa.

 

Maka masuklah aku ke universiti

ayah bilang,

inilah lubuk ilmu, tempat buku-buku tidur-baring tanpa jemu

maka duduk berenanglah anak ayah dalam lautan ilmu

yang tiada sempadan ini tanpa ragu-ragu.

 

Maka masuklah aku ke universiti

mundar mandir seorang diri

tak sampai seminggu datanglah wakil parti

beri tawaran nak bantu diri

rupanya ada udang berdiri

urusan ilmu cuba dicampuri

maka ketawalah aku seorang diri

begini rupanya dunia universiti

memang tak lari dari dunia berparti.

  

Setahun aku di sini

tahulah aku universiti ini

bukan semua bersungguh cari ilmu diri

duit PTPTN tak sampai sebulan gigit jari

tukar handphone, tambah nilai lagi

malam-malam makan mee maggi

tengok wayang, tempat cari isteri

demonstrasi tak pasal-pasal kembali

menangislah mak ayah di kampung lagi

jual lembu-kambing sendiri

jamin anak dalam lokap peribadi.

 

Siswa  sekarang sudah berubah

yang jadi pilihan bukan lagi jubah atau ijazah

tetapi nafsu yang sentiasa berubah-ubah

orang tualah yang selalu susah

kemahuan mereka yang tak sudah-sudah.

 

 

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,

Grup Penyair ISUM,

Universiti Malaya, 14 Ogos, 2003 : 8.40 malam.

DI KUBUR RENY

 

 

Setelah kau mati

dan akulah pengunjung setia kuburanmu

telah ku makamkan jasadmu disisi  rumahku

agar aku selalu dapat mengunjungi pusaramu.

 

Akulah yang menanamkan kemboja dipanggal nesanmu

dan wangi kasturi yang aku cucuri saban hari

mengiringi doa dan sedekah Fatihah

moga-moga rohmu bersatu disisi-Nya.

 

Akulah lelaki itu

yang mendoakan kesejahteraan buat rohmu

walau kutahu sulitnya hidup di dunia sana

tanpa bekal yang apa-apa itu.

 

Kematianmu adalah luka panjang dunia fana

kau pulang dengan tiba-tiba, dan aku yang terpinga itu

mengiringi perjalananmu dengan langkah paling kanan

kerana kematian itu adalah pilihan tekadmu.

 

Diamlah mu di negeri sana

moga kau redha dengan pilihan itu.

 

 

MOHD. DAHRI ZAKARIA,

Grup Penyair ISUM,

Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

September 28, 2003 : 7.00 malam