| DAHRIE | LAPORAN & BERITA | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | |||||||||||||
|
7. Bangsawan Shamsir Alam
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Bangsawan merupakan antara bentuk teater tradisional yang agak tercicir dalam arus pembangunan negara. Seperti juga teater-teater tradisional lain, jarang benar kita dengar anak-anak muda bercakap tentang dunia teater jenis ini. Ia dilihat telah mula tenggelam dikambusi arus globalisasi yang serba rencam itu.
Kesannya, institusi pengajian tinggi sebagai tempat perkongsian dan pencarian ilmu telah mengambil-alih teraju ‘kehidupannya’ dengan memberi nafas baru yang serba mungkin bagi meneruskan kesinambungan dunia teater melayu dinegara ini.
Baru-baru ini, sebahagian mahasiswa Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif mementaskan sebuah teater bangsawan bertajuk ‘Shamsir Alam’ di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada 8 dan 9 Mei lalu.
Pementasan selama dua malam berturut-turut ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan, terutamanya dari kelompok anak-anak muda yang sudah tentunya mereka datang untuk melihat sebuah teater bangsawan yang begitu terkenal dengan bentuk pementasannya pertengahan abad lalu yang giat dipentaskan di Pulau Pinang.
Menurut Prof. Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin (2003; 91), bangsawan sudah mula menapak di Pulau Pinang lewat tahun-tahun 1870-an. Ia dibawa masuk oleh para pedagang India yang datang berdagang dengan Syarikat India Timur (The East India Company). Kemunculannya dipercayai hasil pengaruh daripada wayang Parsi atau Mendu.
Bangsawan Shamsir Alam ini merupakan arahan bersama Prof. Madya Dr. Ariff Ahmad dan Seniman Negara Rahman B. Sementara naskhah asal teater ini ditulis oleh Seniman Negara Rahman B.
Bangsawan Shamsir Alam ini dimulakan dengan babak pertama apabila Sultan Shamsir Alam yang memerintah di negeri Indera Puri bermimpi dikunjungi seorang puteri dari kayangan bernama Puteri Gul Badar Peri yang telah menasihatkan baginda supaya mengembara dan melihat keadaan dinegaranya supaya dapat menambah pengalamannya dalam urusan pemerintahan negara itu.
Sebaik terjaga dari tidur itu, Sultan Shamsir Alam terus memerintahkan khadamnya, Khadam Obit supaya memanggil Memanda Menteri untuk menceritakan mengenai mimpinya itu dan seterusnya meminta penjelasan tentang makna disebalik mimpi itu.
Akhirnya, melalui nasihat Memanda Menteri, Sultan Shamsir Alam bersetuju untuk mengikuti nasihat Puteri Gul Badar Peri itu untuk mengembara keseluruh negeri Indera Puri. Dengan ditemani Khadam Obit, baginda memulakan pengembaraan itu.
Dalam perjalanan itu, baginda telah bertemu dengan Puteri Gul Badar Peri dan tuan puteri itu telah menghadiahkannya sebiji geliga sakti yang mempunyai banyak kesaktiaannya. Baginda meneruskan pengembaraan selepas itu sehinggalah bertemu dengan Pak Said, seorang pemotong kayu yang telah mempelawa baginda bermalam dipondok buruknya.
Sementara itu, dalam babak lain, dinegara Anta Permai, Puteri Nilam Cahaya yang sedang bersuka-ria dengan para dayang-dayang di taman istana tiba-tiba telah disambar oleh Jin Arsyah dan membawa lari. Sementara dayang-dayang itu terus pengsan tak sedarkan diri, sehinggalah Sultan dan Permaisuri Negara Anta Permai itu berkunjung ke taman berkenaan. Tunangan Puteri Nilam Cahaya, Tengku Munir Shah telah membuat keputusan untuk keluar mencari tunangannya itu.
Setelah jenuh mencari. Tengku Munir Shah menemui jalan buntu dan tunangannya itu gagal ditemui sehingga mendorong baginda untuk membunuh diri. Namun saat genting itu berjaya diselamatkan oleh Khadam Obit yang kebetulan ada disitu dan segera dikhabarnya kepada Sultan Shamsir Alam.
Setelah diselidiki, akhirnya baru diketahui bahawa baginda berdua adalah bersaudara. Sultan Shamsir Alam bersetuju untuk membantu Tengku Munir Shah dengan menggunakan geliga sakti yang ada padanya dengan bantuan Khadam Obit dan Pak Said untuk mengesan kedudukan Puteri Nilam Cahaya. Akhirnya mereka berjaya mengesan kedudukan Puteri Nilam Cahaya didalam sebuah gua yang dijaga oleh Jin Arsyah. Dan dengan bantuan Puteri Gul Badar Peri, Puteri Nilam Cahaya berjaya diselamatkan setelah rombongan Sultan Shamsir Alam gagal menghalau Jin berkenaan.
Menariknya, konsep bangsawan yang pernah dipentaskan lewat tahun-tahun enam puluhan dan tujuh puluhan dulu masih lagi dikekalkan, walaupun ianya telah disesuaikan dengan perkembangan zaman.
Sebagai contohnya, setiap babak dalam pementasan bangsawan ini diselang-selikan dengan tarian dan nyanyian lagu-lagu lama dan baru yang diiringi oleh sekumpulan pemuzik.
Menurut Seniman Negara Rahman B yang lebih mesra dipanggil ‘cikgu’ selepas pementasan itu menyatakan, bangsawan yang pernah dipentaskan dulu juga menggunakan konsep yang sama, cuma penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu selingan antara babak itu adalah terdiri daripada pelakon itu sendiri dan lagu-lagu yang dibawa juga turut mempunyai kaitan dengan cerita yang dibawa. Ia merupakan antara waktu ‘pause’ bagi membolehkan pertukaran props dan set dilakukan oleh tenaga belakang tabir tanpa mengganggu cerita.
Sementara itu, sebahagian besar pelakon juga berjaya dalam percubaan pertama mereka ini terutama jika dilihat dari sudut pembawaan watak. Ini kerana pementasan bangsawan sememangnya menuntut disiplin teater yang tinggi kerana ia banyak berbeza jika dibandingkan dengan teater moden lain, sedang sebahagian besar daripada tenaga produksi berkenaan merupakan siswa tahun pertama dan pertama kali terlibat dengan sebuah pementasan teater tradisional ini. Dari segi pemakaian kostum dan bahasa pertuturan yang digunakan contohnya, akan menggunakan latar istana yang begitu sinonim dengan kedudukan bangsawan pada waktu dulu sebagai antara bahan hiburan golongan istana.
Sebahagian besar peralatan props, set, dan juga kostum yang digunakan dalam pementasan ini merupakan pinjaman daripada koleksi milik Seniman Negara ke-4 berkenaan.
Sungguhpun masih banyak perkara yang masih boleh diperbaiki untuk memantapkan persembahan ini, namun pujian harus diberikan kepada mereka atas kesungguhan dan inisiatif mereka untuk terus menghidup dan mengekalkan salah satu daripada aset budaya yang ada dalam masyarakat kita pada hari ini.
(Artikel ini pernah tersiar dalam Akhbar Mahasiswa, Jun 2004)
|
|
6. ANA Terlalu Lemah?
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Membuat Persembahan Projek Akhir merupakan antara yang cukup mendebarkan oleh sesetengah mahasiswa yang berada di tahun akhir pengajian. Bagi mereka yang mengikuti Ijazah Seni Persembahan (Drama), Universiti Malaya selalunya mereka diberi dua pilihan, iaitu sama ada memilih untuk mengadakan persembahan sebuah pementasan teater atau menyudahkannya dengan menyiapkan sebuah Latihan Ilmiah bertulis.
Walaupun tidak ramai, selalunya pementasan teater tetap akan menjadi pilihan jka mereka merasai kekuatan diri mereka sendiri. Malangnya untuk tahun ini hanya ada dua persembahan sahaja yang dipilih untuk dijadikan sebagai Projek Akhir sementara hampir keseluruhan yang lain memilih untuk meyiapkan Latihan Ilmiah. Tahun lepas, terdapat lebih kurang empat persembahan yang melibatkan siswa tahun akhir untuk pilihan Projek Akhir mereka.
Projek Akhir pertama telah dibuat beberapa bulan lalu iaitu sebuah persembahan Opera Cina yang telah dipentaskan di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Malaya sempena dengan Pesta Tanglung yang turut dianjurkan.
Untuk persembahan kedua ini, siswi Rosazlinda Abdullah telah memilih naskhah Dinsman, ANA untuk dipentaskan di Auditorium Jabatan Muzium & Antikuiti, Muzium Negara pada 27 Februari lalu.Teater ini diarahkan oleh Idham Hadi Md Nor.
Teater ini hanya melibatkan tiga orang watak sahaja, iaitu Ana, Baba dan Emak. Watak Ana dipegang oleh Rosazlinda sendiri, manakala watak Baba oleh Megat Shahrizal Mohd Yusof, dan Emak oleh Khairun Nisaq Abdul Bahri.
Naskhah ini lebih berkisar kepada konflik yang berlaku ke atas watak Ana itu sendiri, yang secara tidak langsung telah memberi kesan kepada kejiwaannya, terutamanya dalam membuat sebarang keputusan untuk diri dan juga memilih untuk kepentingan orang lain.
Pada tahun lepas, naskhah yang sama pernah dibawa oleh Istina Jafri untuk juga sebagai pementasan Projek Akhir mereka. Dan jika dibuat perbandingan, nyata pementasan pada tahun lepas jauh lebih bermutu dan menepati maksud pengarangnya.
Terdapat beberapa faktor yang boleh diambil kira kepada kemungkinan pembawaan naskhah ini menjadi terlalu lemah. Pengarahnya, Idham Hadi Md Nor jika ditelusuri perjalanan penglibatan beliau dalam dunia teater secara galak akan terserlahlah keterikatan idea beliau.
Sebelum ini beliau pernah mengarahkan ‘Kan Ku Bunuh Cinta’ dalam Festival Teater MAKUM 2003. Pernah juga mengarahkan ‘Soluloki Sebuah Kanvas’ sempena Festival Seni 2003. Mengarah juga ‘Romeo And Juliet’, sebuah teater epik Inggeris serta beberapa lagi.
Hampir ke semua konsep cerita yang di bawa beliau ini berakar dari asas pergerakan sama : penggunaan objek berupa kotak, kerusi, atau petak-petak gerak yang tidak bercambah untuk menghantar makna kepada penonton. Dapat dikesani dalam naskhah ANA ini, beliau menjadikan kerusi sebagai objek asas untuk menghantar maksud kepada penonton. Sebenarnya asas pergerakan seperti inilah yang beliau warisi tanpa idea melalui ‘mahaguru’ beliau, Effendi Shamsuddin yang mula menampilkannya melalui sketsa ‘Sistem’ sempena pelancaran penerimaan anugerah Sijil ISO universiti tahun lalu.
Dalam ANA, apakah makna kerusi itu? Hanya perlakuan akhir cerita antara babak watak Baba dan Emak sahaja yang mudah dikesani penonton, apabila kerusi yang banyak itu menjadi simbol kubur Ana itu sendiri. Ini menampakkan ia telah tidak dikembangkan sejauh mungkin untuk plot sebelumnya.
Dari sudut pembawaan watak, antara ketiga watak itu, hanya watak Ana yang menampakkan kekuatannya jika dibandingkan dengan watak Baba dan Emak. Watak Ana lah yang agak menghidupkan cerita. Sementara watak-watak Baba dan Emak menjadi terlalu lemah bila gagal menampilkan wajah yang sebenar sebagai seorang ‘bapa’ dan ‘ibu’ kepada seorang anak yang ‘degil’ dan ‘keras hati’ seperti Ana itu.
Rosazlinda yang pernah membawa watak Ana itu mungkin sudah mempunyai pengalaman dalam aspek pembawaan watak kerana pada pementasan tahun sudah, beliau membawa watak yang sama dalam naskhah itu.
Watak Baba seharusnya lebih tegas terutamanya dalam menangani karenah anaknya itu yang agak suka beretorik bila beliau menyatakan keputusan serta alasannya dalam membuat keputusan itu. Ini tidak berlaku.
Sementara watak ibu mula menjadi terlalu lembut seolah-olah seorang ibu itu tiada sebarang tanggungjawab yang besar terutamanya dalam menyelesaikan konflik penting yang dihadapi anaknya itu. Faktor-faktor ini, tidak dapat tidak akan melemahkan cerita itu sendiri.
Pengarah juga tidak menggunakan sepenuhnya aspek-aspek penting lain dalam sesebuah pementasan teater. Antaranya peggunaan ruang yang agak terhad serta tidak diisi dengan props dan set yang sesuai bagi menyembunyikan ruang yang terbuang itu.
Penggunaan cahaya juga agak static, dan hanya memberi fokus kepada penggunan cahaya yang terhad. Latar tempat dan masa hanya dibezakan oleh dua warna. Keadaan ini mengelirukan penonton untuk membuat penilaian serta makluman tentang kedudukan sebenar watak-watak pada sesuatu masa itu.
Kesan-kesan bunyi juga tidak digunakan sepenuhnya oleh pengarah. Hanya sesekali sahaja muzik latar dibunyikan dengan agak lama, itupun sewaktu plot cerita sudah berada dipenghujungnya.
Tetapi antara semua itu, faktor masa lah antara aspek penting yang harus diberi penilaian. Ini sebuah naskhah pementasan teater. Dan bukannya sebuah persembahan pentomin atau sketsa pendek sebagai lelucon. Pementasan ini hanya mengambil masa cukup-cukup 30 minit sahaja. Sedangkan pengarah boleh membawanya lebih panjang sedikit dengan memasukkan beberapa unsur atau perkara yang telah disebutkan tadi.
Pengarang asal naskhah ini, saudara Dinsman yang ditemui seusai pementasan menyatakan rasa agak kecewanya kerana pengarah dikatakan gagal memberi penghayatan kepada pembawaan cerita ini.
Menurutnya, beberapa slot seperti pada watak Ana, penghayatan tidak diberikan sepenuhnya oleh pengarah dan juga pelakon. Ini kerana menurut beliau, watak inilah sebenarnya penggerak utama kepada cerita ini.
Ruang untuk Ana berhenti sejenak atau berada dalam keadaan ‘pause’ sebenarnya menuntut masa yang agak lama kerana pada saat itu sepatutnya Ana yang berada dalam dilemma akan menuntut beliau untuk berfikir akan bermacam-macam hal dan lebih memberi penghayatan atau ‘feeling’ lagi. Dan ruang inilah sepatutnya diisi dengan muzik latar atau kesan bunyi yang mengesankan. Selain itu, agak jelas bahawa pengarah gagal untuk memahami bahawa teknik ‘pause’ itu sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam sesebuah pementasan teater itu, dan bukannya hanya dibuat secara suka-suka.
Keadaan-keadaan seperti ini sebenarnya akan melemahkan cerita itu sendiri. Di sinilah sebenarnya menuntut seseorang pengarah itu untuk memberi lebih perhatian kepada aspek-aspek penting dan kecil dalam sesebuah pementasan teater itu untuk menghasilkan sebuah persembahan yang baik, berkesan serta berjaya, dan bukannya mengarahkan sesebuah pemenatasan itu hanya kerana minat semata-mata.
Seperti kata pepatah orang tua-tua, jika kita terjun masuk ke dalam dunia orang lain yang kita tidak tahu tentangnya, belajarlah bagaimana untuk menjadi mahir tentang dunia orang lain itu, dan bukannya berjalan secara sombong dan bongkak membuta tuli semata-mata untuk menunjukkan kebolehan kita itu. Ini kerana yang akan terpamer di situ bukanlah sebuah keajaiban, tetapi sebaliknya adalah sebuah kebodohan semata.
(Artikel ini pernah tersiar dalam laman www.esastera.com)
|
|
5. Anak Kerbau Mati Emak : Rekonstruksi Masyarakat Melayu Pasca-Merdeka
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Naskhah Anak Kerbau Mati Emak (selepas ini disebut AKME) karya Bidin Subari (Malina Manja) menemui khalayak penonton untuk kesekian kalinya melalui satu pementasan yang telah diadakan dengan jayanya di Istana Budaya pada 18 Januari lalu. Untuk kali ini naskhah berkenaan telah diarahkan oleh Mior Hashim Manap. Dan seperti biasa, ramai pelakon dibawa masuk ke dalam pementasan ini sebagai meneruskan tradisi orang-orang teater sebagai usaha untuk memikat lebih ramai khalayak penonton datang menyaksikan pementasan itu.
Menonton teater ini semacam membawa kita kembali ke alam Melayu lewat tahun-tahun 70-an dahulu. Jika dikira faktor masa, waktu itu negara kita sudah lebih kurang 15 tahun menyambut kemerdekaan.
Pementasan yang mengambil masa lebih kurang dua jam lebih ini telah mengembalikan nostalgia masyarakat kita pada waktu itu. Ini ditandai dengan kemunculan watak Tawil yang memulakan cerita apabila beliau ke rumah Pak Mohsein untuk berurut punggungnya yang telah disondol oleh anak kerbaunya.
Usaha Tawil yang digambarkan sebagai pemuda lurus bendul itu banyak kali menemui halangan apabila sebaik sahaja Pak Mohsein ingin memulakan urutannya, ada-ada saja orang yang datang atau keluar dari rumahnya. Keadaan ini telah menimbulkan ketidak-selesaan pada Tawil yang masih malu-malu, bimbang dilihat orang akan keadaan punggungnya itu.
Situasi ini telah memberi ruang sepenuhnya kepada penonton untuk bergelak-ketawa dengan telatah Tawil itu dalam masa yang agak panjang. Sementara Kulup yang merupakan tunangan Jamiah tiba-tiba muncul memberitahu Pak Mohsein tentang gelagat anak kerbau Tawil yang telah terlepas itu yang telah cuba menyondol orang lain dan telah merosakkan banyak tanaman orang.
Faktor inilah yang menyebabkan Kamarun datang ‘menyerang’ rumah Pak Mohsein memberitahu anak kerbau itu bukan sahaja telah merosakkan tanamannya, malah turut menyebabkan binatang kesayangannya turut mati. Kamarun telah beberapa kali cuba ‘menyerang’ rumah Pak Mohsein semata-mata untuk menuntut ganti-rugi di atas kerosakan tanaman dan juga kematian binatang ksayangannya.
Akan tetapi Pak Mohsein agak bertegas, dan semacam keberatan untuk memberikan ganti-rugi itu. Tetapi diakhir cerita Pak Mohsein membayar juga ganti rugi itu.
Sementara hubungan Jamiah dengan Cikgu Salim mula dicurigai oleh Kulup sehingga menuntut beliau untuk mendengar pengakuan sebenar tentang hubungan itu melalui Jamiah sendiri. Keadaan ini menimbulkan rasa kurang senang Jamiah, dan menambahkan lagi rasa cemburu Kulup.
Keadaan menjadi lebih parah apabila Jamiah menuntut supaya pertunangan beliau dengan Kulup dibatalkan. Keadaan ini menimbulkan kemarahan Pak Mohsein sehingga sanggup untuk memukul Jamiah.
Jamiah mula bertegas dengan keputusannya meminta diputuskan pertunangannya dengan Kulup dengan alasan tidak suka dengan sikap Kulup yang cemburu buta itu. Malah Jamiah juga telah meminta izin keluarganya untuk pergi ke Kuala Lumpur bersama dengan Cikgu Salim.
Keadaan ini memuncakkan lagi kemarahan Pak Mohsein. Sehinggalah mencetuskan pula bibit pergaduhan di antara Pak Mohsein dengan isterinya sehingga hampir-hampir membawa kepada perceraian mereka. Ini ditambah mula dengan keputusan anaknya Jamiah yang telah melarikan diri dari rumah.
Kulup yang mencari Jamiah dan memujuknya kembali ke kampungnya, terpaksa mengambil inisiatif lain iaitu dengan terpaksa memujuk Pak Mohsein sekali supaya dapat menerima kembali kepulangan Jamiah kerumahnya itu.
Akhirnya keadaan reda, dan Jamiah kembali ke pangkuan keluarganya dan membatalkan hasratnya untuk memutuskan pertunangannya dengan kulup. Sementara Cikgu Salim muncul untuk menceritakan situasinya yang sebenar bersama Jamiah itu.
Pada keseluruhannya cerita ini sudah berjaya dalam menyampaikan maksud kepada khalayak penonton. Ini disesuaikan dengan alirang pembawaan cerita ini yang mendukung aliran realisme. Maka kerana itu ia amat memudahkan penonton untuk memahami cerita kerana ia merupakan sebuah perlakuan atau salinan semula apa-apa yang berlaku di dalam sesebuah masyarakat.
Pengarah juga telah menggunakan props dan set yang agak terperinci. Ini barangkali disesuaikan dengan tempat pementasan itu berlangsung iaitu di Istana Budaya, yang sudah diketahui umum mempunyai banyak kemudahan serta penggunaan teknologi terkini yang canggih untuk memudahkan sesebuah pementasan itu dijalankan.
Gambaran sebuah rumah kampung di tepi sawah yang cukup sifatnya membantu penonton untuk terus pergi kepada maksud atau pemikiran yang hendak disampaikan pengarang di dalam naskhah berkenaan. Kedudukan peralatan rumah, kelengkapan serta hal yang biasa ada disesebuah perkampungan tani dan sawah melengkapkan penceritaan watak-watak dalam teater ini.
Pengarah juga telah menggunakan kesan bunyi serta muzik latar yang agak sesuai dengan perjalanan cerita. Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh DJ Dave sesekali dinyanyikan melengkapkan suasana cerita ini.
Sementara pembawaan watak-watak pula, antara kesemua watak yang terdapat dalam pementasan ini, watak Tawil merupakan antara watak penting yang mula menggerakkan plot cerita. Watak Tawil dilihat begitu banyak mencuit hati penonton dengan karenah lucu dan bersahajanya itu.
Selain itu, watak Pak Mohsein yang agak jelas dengan sifatnya yang sesekali panas baran menghidupka lagi cerita ini. ini dapat dilihat melalui sikapnya yang mula ‘menyinga’ bila anak gadisnya Jamiah lari dari rumah sehingga nyaris-nyaris membawa perceraian beliau dengan isterinya Jumi.
Watak Kamarun pula mempunyai kelemahan yang agak ketara di dalam penggunaan dialognya. Ini kerana dialog-dialog atau tutur yang dibawa oleh Kamarun terlalu pantas dan laju sehinggakan penonton tidak dapat menangkap maksud atau kenyataan yang diucapkan oleh beliau. Ini barangkali disesuaikan pengarah dengan sifatnya yang agak terburu-buru dalam seseuatu tindakan itu.
Namun yang agak malangnya ialah sambutan atau ‘feedback’ yang diterima secara langsung sewaktu pementasan itu berlangsung. Penonton nampaknya tidak memberi respon yang sepatutnya dalam sesuatu keadaan yang sepatutnya menuntut penonton berada dalam keadaan begitu.
Ini saya kesani contohnya sewaktu babak Pak mohsein sedang bergaduh (bertekak) dengan isteri beliau, Jumi tentang kehilangan anaknya dari rumah mereka. Pada waktu ini, suasana berada dalam keadaan tegang, dan sepatutnya penonton memberi lebih perhatian tentang aksi-aksi itu. Sebaliknya dalam babak ini penonton telah menyambutnya dengan gelak-tawa yang tak putus-putus melihat gelagak mereka berdua ini.
Keadaan ini agak pelik berlaku. Dan ini barangkali melambangkan mutu penonton teater kita di Malaysia ini.
Jika ingin dilihat dari sudut tema, nyatalah waktu itu masyarakat Melayu masih berada ditakuk lama dan betapa sulitnya untuk meninggalkan tradisi lama walaupun setelah 15 tahun negara mengecapi kemerdekaan. Ini dapat dikesan melalui plot-plot cerita yang masih lagi mengisahkan tentang hal-hal yang remeh-temeh dan perkara tetek-bengek.
Inilah dikesan melalui watak-watak Pak Mohsein, Tawil, Kamarun, Kulup yang masih lagi bercakap tentang hal anak kerbau, anak kambing mati, cemburu buta, sakit punggung, dan lain-lain lagi.
Ini secara tidak langsung melambangkan mutu dunia teater di Malaysia waktu itu serta keadaan atau gambaran masyarakat Melayu yang sebenar.
(Artikel ini pernah tersiar dalam laman www.esastera.com)
|
|
1. Tamtama Sebagai Satu Permulaan
(Artikel ini pernah tersiar di laman http://idealis-mahasiswa.net)
|
|
2. Malam Bara Perjuangan Yang Tidak Membara
(Artikel ini pernah tersiar di laman http://idealis-mahasiswa.net)
|
|
3. Santai Petang Rabu UM Hangat
Acara Santai Petang Rabu yang biasa dilangsungkan di laman Gazebo, Universiti Malaya dengan pelbagai acara kebudayaan dan kesenian yang dipersembahkan oleh kelompok siswa pada kali ini dijamu dengan upacara baca puisi. Majlis ini yang dianjurkan oleh Pejabat Kebudayaan dan HEP UM mengambil kesempatan sempena musim peperangan yang hangat berlaku sekarang ini di Timur Tengah dengan tema 'Dunia Menuju Kehancuran'. Majlis yang berlangsung sedikit lewat rentetan renyai hujan yang tidak henti-henti sedari tengah hari mendesak penganjur untuk mengubah lokasi asal dari laman Gazebo ke Serambi Seni, Pusat Kebudayaan UM. Ia dimulakan dengan ucapan ringkas pengurusi majlis dan kemudiannya mula diisi dengan pembacaan puisi oleh Rahmat Haron, penulis dari group Majalah Siasah. Puisi beliau yang agak panjang itu dibaca dengan penuh tekun. Ia berkisar nasib sebilangan rakyat didunia ini yang hidup dalam kebuluran dan kekurangan vitamin dan zat kesan daripada kemiskinan, peperangan, serta keadaan negara yang kacau-bilau. Audien yang awalnya sekitar 20 orang mula membiak apabila Tuan Haji Zubir Ali, penyanyi lagu puisi yang juga Timbalan Pengarah, Pusat Kebudayaan UM datang dengan serombongan pelajar yang mengikuti kelas penulisan puisi beliau. Dan mereka ini juga turut diberi peluang membacakan sajak-sajak yang bernada sama hasil karya masing-masing di dalam majlis berkenaan. Hasmi Hashim, juga kolumnis Siasah turut tidak melepaskan peluang yang ada dengan membacakan sebuah sajak beliau yang berjudul "Ketika Sedang Sembahyang Malam". Sajak berkenaan berkisar saat genting rakyat yang tidak berdosa tidak sempat menyudahkan amalan yang dilakukan oleh mereka bermunajat kepada-Nya setelah diserang dan dibom oleh pihak penceroboh dinegara mereka. Sebelum itu, beliau turut bercerita bahawa pada hari majlis berkenaan diadakan merupakan genap sebulan seorang sukarelawan Amerika yang terbunuh digilis buldozer tentera Israel sewaktu mempertahan sebuah rumah rakyat Palestin daripada diroboh. Rakan dari group ComunityZero juga turut tidak ketinggalan untuk membacakan puisi dalam majlis berkenaan. Antaranya Sdr. Matyo Bomoh, Buluh Sakti, Putera Kota, dan beberapa lagi yang masing-masing membacakan sajak-sajak tentang perang menjadikan suasana agak hangat. Namun, diakhir majlis, Tuan Haji Zubir Ali meredakan suasana majlis dengan dua buah lagu puisi, juga berkisar tentang dunia peperangan. Dan salah satu daripadanya mengisahkan peristiwa pembunuhan rakyat Palestin di Shatila dulu. Majlis berakhir tepat jam tujuh petang.
(Artikel ini pernah tersiar di laman www.esastera.com)
|
4. Malam Puisi Siswa &
|